Imran dipenjara 11 bulan dan didenda RM2,000 selepas mengaku mengugut bapanya di Mahkamah Majistret, di sini, semalam. |
KUALA TERENGGANU - Seorang buruh bukan sahaja sanggup mengugut akan membunuh ibu kandungnya dengan kapak, malah dalam masa sama melakukan ugutan jenayah terhadap bapanya yang cuba memujuknya dalam satu kejadian amuk, awal September lalu di Kampung Padang Polis, Batu Rakit, di sini.
Bagaimanapun, perbuatan tertuduh, Imran Yaacub, 32, menerima pembalasan selepas Mahkamah Majistret, semalam menjatuhkan hukuman penjara 11 bulan dan denda RM2,500 atau sebulan lagi penjara jika gagal menjelaskan denda.
Majistret Noradila Ab Latiff menjatuhkan hukuman itu selepas Imran mengaku bersalah dengan sengaja melakukan ugutan jenayah terhadap bapanya, Yaacub Taib, 56, di kediaman mereka di Kampung Padang Polis, Batu Rakit, di sini, 2 September lalu kira-kira jam 11 pagi.
Dia mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.
Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa, Inspektor L Rathna manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, setibanya di rumah selepas mendapatkan pemeriksaan kesihatan di Klinik Wakaf Tengah, Batu Rakit, di sini, bapa malang itu nampak anaknya sedang mengamuk sambil tangannya memegang sebilah kapak serta berulang kali menyatakan akan membunuh ibunya yang ketika itu berada di rumah bersendirian.
Melihatkan situasi tegang itu, mangsa cuba memujuk anaknya jangan bertindak sedemikian, namun pujukan mangsa tidak 'menjadi' sebaliknya anaknya turut sanggup mengugut akan mengapa-apakan dirinya jika masuk campur.
Bagaimanapun, mungkin penat mengamuk, tertuduh kemudiannya tertidur di bawah rumahnya kira-kira jam 11.45 pagi sebelum ditangkap polis yang dimaklumkan orang ramai mengenai kejadian itu.
sumber- Sinar
budak2 zaman sekarang..
ReplyDelete