Pages - Menu

Tuesday, November 27, 2012

Barangan kapal Titanic dilelong

WILTSHIRE, England - Dua menu hidangan dalam kapal Titanic berjaya dilelong pada harga 100,000 pound (RM489,000), mencatat harga tertinggi bagi barangan dalam kapal mewah tersebut yang dilelong setakat ini.

menu kapal titanic

Menu pertama merupakan hidangan bagi penumpang kelas pertama pada hari kapal itu memulakan pelayaran sulungnya dari Southampton, England menuju New York pada 10 April 1912, sebelum kapal itu karam.

Menu itu dijadikan cenderamata oleh dua adik-beradik penjual ikan, Richard dan Stanley May, yang menaiki kapal mewah itu untuk pergi ke Queenstown, Ireland dan tiba pada hari berikutnya.

menu Titanic

Menu tersebut disimpan oleh keluarga May sebelum dibawa ke pusat lelongan pada 24 November lalu dan memecah rekod harga lelong paling tinggi bagi barangan dalam kapal Titanic iaitu pada harga 64,000 pound (RM313,152).

Menu kedua pula merupakan hidangan mewah jamuan tengah hari bagi meraikan pelancaran Titanic yang diadakan pada tengah hari 31 Mei 1911, dilelong pada harga 36,000 pound (RM176,163).

Menu tersebut dinikmati oleh penumpang yang kebanyakannya golongan bangsawan, selepas menyaksikan kapal mewah itu meluncur di atas permukaan air buat kali pertama.

Acara makan tengah hari itu dianjurkan oleh pengilang kapal tersebut, Harland and Wolff di Hotel Grand Central, Belfast.

Satu lencana yang ditemui pada seorang daripada pelayan kapal yang lemas juga dilelong pada harga 36,000 pound (RM176,163).

Semua pelayan dalam kapal Titanic memakai lencana tersebut dan lencana yang ditemui itu memaparkan nombor 74, dipercayai milik Fredrick Wormald, 44, dari Testwood Road, Millbrook, salah seorang daripada 1,522 mangsa yang lemas dalam tragedi itu.

Satu set kunci berkarat yang ditemui pada Wormald turut dilelong pada harga 44,000 pound (RM215,000). 

sumber- AGENSI

No comments:

Post a Comment