KANGAR – Keseronokan seorang pelajar mandi-manda di sebuah taman tema air di Ayer Keroh, Melaka bertukar menjadi igauan buruk ketika bermain salah satu gelongsor air di situ.
SHARINA menunjukkan kesan luka di kepala anaknya, Muhammad Aiman selepas mendakwa terjatuh ketika mandi-manda di sebuah taman tema air di Melaka 20 November lalu. |
Mengimbau semula kejadian itu, ibu mangsa, Sharina Wahab, 39, mendakwa, dalam kejadian itu, kepala anaknya terhantuk sehingga terpaksa menerima 30 jahitan selain lebam di lutut, tangan dan tengkuk.
Dakwanya, anaknya pergi ke situ selepas mengikuti percutian selama empat hari anjuran Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Perlis melibatkan rombongan kira-kira 80 orang terdiri daripada pelajar dan guru bermula 19 November lalu.
“Kejadian disebabkan kecuaian petugas yang menyelia permainan gelongsor tersebut apabila dia melepaskan Aiman dalam keadaan berpusing-pusing sehingga anak saya terpelanting keluar.
“Ekoran itu, Aiman terjatuh ke lantai konkrit dari ketinggian empat meter menyebabkan kepala anak saya terhantuk selain kesan lebam di lutut, tangan dan tengkuk sehingga menerima 30 jahitan,” dakwanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Bunga Padi di sini semalam.
Dakwanya lagi, sebelum itu, Aiman telah meminta penyelia terbabit supaya tidak memusingkan pelampung yang dinaiki namun tidak diendahkan.
Menurut Sharina, dia kini resah dan risau apabila doktor di Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang merawat anaknya memaklumkan yang Aiman bakal mengalami simptom pening dan sakit kepala seumur hidup.
“Kini anak saya sering mengantuk selain lesu setiap kali bangun tidur dan keadaan itu telah mengubah kehidupan anak saya yang sebelum ini ceria,” dakwanya.
Ujar Sharina, apa yang dikesalkan pihak taman rema air tersebut dan JPN Perlis mendiamkan diri selepas kejadian itu.
Sementara itu Pengarah Pelajaran Negeri, Dun Kasa ketika dihubungi menyatakan, pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung insiden tersebut.
Dalam pada itu di Melaka, jurucakap taman tema tersebut memberitahu, pihaknya tidak pernah lepas tangan mengenai kejadian berkenaan dan sedang menunggu laporan penuh perubatan untuk tindakan lanjut.
“Kami telah menyediakan ambulans untuk menghantar mangsa ke Hospital Melaka sebaik kejadian sebelum dia dirujuk ke HKL.
“Kes ini pertama kali berlaku sejak kami mula beroperasi pada 15 Mei 2010,” katanya ketika dihubungi.
Tambahnya, kejadian mungkin berlaku apabila posisi badan mangsa yang ketika itu menggunakan pelampung tidak stabil sehingga dia tercampak keluar.
sumber- Kosmo
sumber- Kosmo
No comments:
Post a Comment