SUNGAI AIR TAWAR - Seorang lelaki tempatan ditemui mati dalam sebuah kebun kelapa milik seorang penduduk di Tebuk Marjan, di sini kira-kira jam 8.10 malam, kelmarin.
Mayat mangsa, Ahmad Kumar Kadni, 43, disedari seorang penduduk selepas menghidu bau busuk dari kawasan kebun berkenaan.
Mayat mangsa yang ditemui dalam keadaan terlentang oleh penduduk. |
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohammad berkata, mangsa ditemui dalam keadaan terlentang serta berbau dan dipercayai mati dalam tempoh dua sehingga tiga hari.
Beliau berkata, pihaknya menolak sebarang unsur jenayah berikutan tiada kesan pergelutan di lokasi kejadian.
"Perut mangsa juga didapati pecah dan berulat. Kematian mangsa diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan kami percaya ia disebabkan oleh faktor dadah,” katanya.
Noor Mushar berkata, mangsa pernah ditahan beberapa kali sebelum ini di atas kesalahan dadah dan tidak menolak kemungkinan kematiannya disebabkan oleh pengambilan dadah secara berlebihan.
Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam semalam bagi membolehkan bedah siasat dijalankan untuk mengenal pasti punca kematian.
Sementara itu, seorang saksi, Noraizam Mohd Salleh, 31, berkata, mayat mangsa ditemui apabila ayahnya yang sedang meronda di sekitar kebun pada jam 8 malam mengesyaki sesuatu setelah terhidu bau busuk.
“Sememangnya menjadi rutin ayah saya untuk keluar meronda sementara menunggu masuk waktu solat.
"Ketika melalui kawasan kebun milik keluarga kami, dia terhidu bau amat busuk,” katanya.
Noraizam berkata, ayahnya kemudian memaklumkan perkara tersebut kepadanya dan ketua kampung serta membawa kepada penemuan mayat tersebut.
Katanya, mereka sekeluarga terkejut dengan penemuan mayat tersebut dan tidak menyangka kebun mereka menjadi lokasi menghisap dadah.
sumber- Sinar
No comments:
Post a Comment