Pages - Menu

Monday, November 12, 2012

Mekanik OKU maut kebakaran

KUALA LUMPUR - Seorang mekanik orang kurang upaya (OKU) sempat membuat panggilan terakhir kepada keluarga dan majikannya bagi memaklumkan kejadian kebakaran, sebelum ditemui mati dengan kesan melecur di rumah kedai tiga tingkat di Jalan Bangsar, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 2.30 pagi itu, mangsa Mohd Nor Mat Yaacob, 32, yang berasal dari Pasir Putih, Kelantan dipercayai terperangkap di dalam premis berkenaan.

kebakaran
Anggota bomba ketika memadamkan kebakaran di rumah kedai tiga tingkat yang mengorbankan seorang mekanik, semalam.
Mayat ditemui oleh pasukan penyelamat pada jam 6.30 pagi di tingkat satu selepas operasi memadam dan mengawal kebakaran selesai.

Ketika ditemui, mangsa lengkap berpakaian berada dalam keadaan terbaring, hanya tangan mangsa melecur selain terdapat besi menghempap badannya.

Abang mangsa yang dikenali sebagai Nizam, 34, berkata, arwah sempat menelefon seorang adiknya yang tinggal di Gombak bagi memaklumkan kejadian kebakaran tersebut.

“Arwah memberitahu dia terperangkap dalam kebakaran, sebelum talian telefon terputus. Kami cuba menghubungi dia semula selepas itu, namun tiada jawapan,” katanya.

Nizam berkata, mangsa mengalami kecacatan di lutut selepas terlibat dalam kemalangan kira-kira 13 tahun lalu.

“Arwah bekerja sebagai mekanik di pusat servis motosikal itu sejak sebulan lalu dan berulang-alik dari rumahnya di Gombak ke tempat kerja.

“Pada malam kejadian, arwah yang menunggang motosikal tidak pulang ke Gombak kerana hujan lebat dan mengambil keputusan bermalam di premis tersebut,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khirudin Drahman memberitahu, sebanyak lima jentera bomba dengan kekuatan 23 anggota termasuk pegawai terlibat dalam operasi memadam kebakaran tersebut.

“Kami terima panggilan pada jam 2.38 pagi dan sampai ke lokasi lapan minit kemudian. Api dapat dikawal pada jam 3 pagi. Anggaran kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya mayat dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat.

sumber- Sinar

No comments:

Post a Comment