Pages - Menu

Thursday, December 20, 2012

Dua banduan larikan diri guna cadar

CHICAGO, Amerika Syarikat - Dua banduan berjaya melarikan diri dengan menggunakan cadar katil sebagai tali dari sebuah penjara di sini awal kelmarin.

Kedua-dua banduan tersebut yang disabitkan kesalahan merompak bank didapati hilang pada pukul 5 pagi waktu tempatan semasa para pengawal penjara membuat pengiraan bilangan penghuni.

tali dari cadar katil
TALI yang diperbuat daripada cadar katil digunakan oleh dua banduan lelaki untuk melarikan diri.
Menurut polis, banduan-banduan tersebut didapati bertindak melarikan diri antara pukul 5 dan 8.45 pagi.

Seorang pegawai polis, Sarjan Mark Lazarro berkata, kedua-dua banduan tersebut, Joseph 'Jose' Banks, 37, dan Kenneth Conley, 38, memakai baju banduan berwarna oren semasa mereka melarikan diri.

Bagaimanapun, katanya, kedua-dua mereka mungkin memakai baju T berwarna putih, seluar panjang berwarna kelabu dan kasut sukan selepas melarikan diri.

Menurut Biro Penyiasatan Pusat (FBI), kali terakhir kelibat kedua-dua lelaki itu dilihat adalah di Taman Tinley, 40 kilometer ke barat daya bandar raya ini.

Sejumlah anggota pasukan tindakan khas dihantar ke taman tersebut untuk memburu mereka.

Namun, kedua-dua banduan tersebut gagal ditemui.

Kedua-dua lelaki berkenaan didapati turun dari sebuah tingkap yang kecil di sebuah bangunan penjara.

Sejumlah orang mengerumuni kawasan di luar penjara kerana mereka tidak percaya kedua-dua banduan berkenaan boleh melarikan diri.

Penjara itu menempatkan kira-kira 700 banduan dan setinggi 27 tingkat.

Ia merupakan bangunan penjara tertinggi di dunia.

Bangunan tersebut direka oleh seorang arkitek, Harry Weese pada tahun 1970-an.

Setiap bilik penjara mempunyai tingkap.

Pada tahun 2010, Matthew Nolan yang merupakan adik pengarah filem Hollywood, Christopher Nolan dihukum penjara 14 bulan kerana merancang untuk melarikan diri dari penjara tersebut dengan menyembunyikan tali yang diperbuat dari cadar katil.

sumber- Agensi

No comments:

Post a Comment