SELAYANG - Cubaan seorang pencuri meloloskan diri selepas kegiatan pecah rumah disedari penghuninya gagal selepas suspek tergelincir jatuh dari tingkat empat, Pangsapuri Jemerlang, Selayang Height, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, suspek terkejut selepas pintu rumah dibuka dari luar dan melarikan diri dari pintu belakang menggunakan saluran paip.
Kakitangan Hospital Selayang memeriksa keadaan suspek yang jatuh dari tingkat empat. Gambar kecil: Nor Syafiqah Dzar. |
Penghuni rumah, Nor Syafiqah Dzar Osman, 19, berkata, dia yang bekerja di sebuah kedai makan di tingkat bawah pangsapuri pulang ke rumah bersama dua sepupunya ketika waktu rehat.
“Tiada apa-apa yang mencurigakan sehinggalah suspek bertindak membuka pintu hadapan sewaktu sepupu sedang membuka pintu jeriji.
“Saya menjerit kerana terkejut menyebabkan suspek cuak lalu meloloskan diri menggunakan pintu belakang iaitu pintu yang digunakan untuk memasuki rumah,” katanya.
Menurutnya, dia bersama beberapa penghuni lain sempat mengejar suspek dari tingkat tujuh dan terlihat suspek hilang imbangan dan terjatuh di tingkat empat.
“Suspek meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian muka.
“Bersama mangsa ketika kejadian adalah wang tunai RM1,600, cincin dan kamera milik salah seorang penghuni rumah,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah gagal dihubungi untuk mengesahkan kejadian.
sumber- Sinar
No comments:
Post a Comment