Pages - Menu

Wednesday, June 27, 2012

Bola api masuk rumah

Pagar batu rumah jiran mereka pecah akibat panahan petir sebelum menghasilkan ‘bola api’ yang dikatakan memasuki rumah Said.

MARANG – “Semasa isteri saya sedang memasak di dapur, hujan agak lebat di luar, tiba-tiba saya terdengar bunyi dentuman kuat sebelum isteri menjerit ada sebiji ‘bola api’ sebesar bola tenis masuk ke dalam rumah dan meluncur laju menuju ke arah bilik mandi.


Demikian cerita Said Abdul Rahman, 68, yang terselamat selepas rumah didiami bersama isteri, Fatimah Mamat, 58, dan tiga anak mereka disambar petir ketika ditemui Sinar Harian di rumah
mereka di Tanjung Belor, Pengkalan Berangan di sini, semalam.


Menurutnya, susulan kejadian yang berlaku kira-kira jam 4 petang itu, dia dan isteri termasuk tiga anak yang berada di dalam rumah, panik apabila asap hitam memenuhi ruang tamu dan dapur rumah kesan selepas ‘bola api’ itu memasuki rumah mereka.

“Saya yang berada di dalam bilik ketika itu bergegas keluar dan melihat suis elektrikdalam rumah turut terbakar manakala kotaknya hancur, di samping bahagian atas mesin basuh pecah dan simen dalam bilik mandi pula berlubang kerana ‘bola api’ itu.


“Ini merupakan kejadian pertama rumah kami disambar petir sejak lebih 10 tahun tinggal di sini. Mujur saya, isteri dan anak-anak yang berada di dalam rumah serta rakan anak-anak yang
berteduh kerana hari hujan di luar rumah ini terselamat,” katanya.


Said berkata, kejadian itu turut menyebabkan pagar batu di rumah jirannya pecah dan anak-anaknya berpendapat penahan petir itu menuju ke arah pagar rumah jiran mereka itu terlebih dahulu sebelum ‘bola api’ itu terhasil dan masuk ke rumah mereka.

Menurutnya, dia sekeluarga masih mengalami kesan trauma dan bimbang akan keselamatan mereka jika kejadian hujan lebat dan ribut petir melanda semula di kawasan berkenaan sekali gus insiden sama berlaku lagi.

“Namun, kami bersyukur kerana perkara itu juga sudah mendapat perhatian pihak Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (Dun) Pengkalan Berangan dan kerosakan berlaku di rumah ini termasuk fius terbakar dibaiki hari ini (semalam),” katanya.

sumber-Sinar

Wanita melecur dibakar teman lelaki meninggal

KUALA LUMPUR: Wanita yang dibakar teman lelakinya hingga menyebabkan 90 peratus tubuhnya melecur disahkan meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) jam 12.50 tengah hari semalam.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Sebelum ini, siasatan polis mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh. Bagaimanapun, kematian mangsa menyebabkan kes itu ditukar kepada Seksyen 302.

“Berdasarkan siasatan awal polis, suspek yang juga teman lelaki mangsa mempunyai niat dan sengaja bertindak demikian (membakar) dan ia bukannya berlaku disebabkan kecuaian,” katanya.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan seorang wanita berusia 23 tahun yang dikatakan tinggal bersama teman lelakinya cedera parah dan melecur akibat dibakar lelaki berusia 35 tahun itu selepas menyimbah petrol di ruang tamu rumah flat mereka di Taman Segar, Cheras.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, mangsa ditemui cedera bersama lelaki terbabit di dalam rumah itu. Mangsa melecur teruk hampir 90 peratus manakala teman lelakinya hanya melecur sedikit namun tidak sedarkan diri.

Siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan faham antara pasangan itu sebelum lelaki terbabit menyimbah cecair dipercayai petrol ke tubuh kekasihnya dan membakar wanita itu hingga menyebabkan sebahagian rumah turut terbakar.

Sumber-Harian Metro

Gangguan Saka

Ilmu Saka Boleh Sakiti Orang Lain Dan Diri Sendiri

Membicarakan tentang SAKA adalah satu perkara sensitif. Sesuatu yang tidak nampak dan tidak mudah untuk diyakini. Masyarakat melayu memahami saka sebagai ilmu yang diperturunkan atau dipusakai daripada waris teratas kepada waris di bawahnya daripada ibu ataupun bapa kepada anak, daripada datuk atau nenek kepada salah seorang daripada cucu atau cicitnya, ataupun ilmu yang dipusakai daripada seorang bapa saudara kepada anak saudara atau kepada seseorang yang berada dalam lingkungan keluarga.

Yang dimaksudkan dengan ‘ilmu yang dipusakai’ itu ialah ilmu yang ada kaitan dengan jin-jin, sama ada jin berkenaan dibela, dibuat sahabat ataupun dibuat saudara, disedari atau tidak disedari. Dengan perantaraan makhluk tadi, waris berkenaan berupaya melakukan rawatan penyakit, menilik dan sebagainya dalam keadaan menurun atau tidak menurun. Hasil daripada penglibatan makhluk ini juga waris adakalanya melibatkan diri dengan ilmu kebatinan mempertahankan diri seperti ilmu amalan wali suci, budi suci dan lain-lainnya atau ilmu kebatinan yang dinamakan amalan Al-Fatihah, silat syeikh, amalan sinar Islam dan sebagainya.

Amalan kebatinan mempertahankan diri ini juga melibatkan ilmu kebal, ilmu penggerun, ataupun amalan yang lebih bersifat peribadi seperti ilmu seri muka, ilmu kebidanan tradisional atau ilmu andaman tradisional. Pemilik saka yang melibatkan ilmu perbomohan ataupun dukun yang diwarisi oleh seseorang akan membolehkan pewaris memiliki kebolehan untuk melakukan rawatan dan sebagainya yang berkaitan dengan ilmu kebatinan seperti yang pernah dilakukan oleh pewaris tadi, berupaya melakukan rawatan dalam keadaan menurun biarpun dia tidak pernah mempelajari ilmu kebatinan yang khusus.
Dari sinilah lahirnya orang yang tidak sedarkan diri atau separuh tidak sedarkan diri, menurun lalu melakukan rawatan, berupaya menilik sesuatu yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar dan sebagainya. Hal demikian berlaku kerana makhluk tadi meresap dalam tubuh orang berkenaan, menguasai otak, jasad, lidah dan pergerakkan lalu menggunakan jasad manusia untuk bertindak.

Keadaan seperti ini dikenali sebagai ‘menurun’ dimana makhluk halus tadi telah menurun atau meresap dalam tubuh manusia lalu bertindak melakukan sesuatu menurut tujuan asal makhluk ini meresap dalam tubuh manusia. Pelbagai natijah luar biasa (nadir) mencarik kebiasaan adat dan tidak dapat difikiri oleh akal punca dan sebab musabab berlaku seperti yang dijelaskan. Iaitu boleh melakukan rawatan, menilik benda-benda ghaib, menjadi kebal, digeruni, mengangkat benda-benda berat dan sebagainya yang tidak upaya dilakukan oleh manusia biasa.

Makhluk yang berdampingan itu dalam proses masa tertentu menjadi sebahagian daripada dampingan manusia menyebabkan orang yang seumpama ini berupaya melakukan sesuatu yang tidak upaya dilakukan oleh manusia biasa. Jin atau makhluk halus yang dibela oleh manusia, pada kebiasaannya memerlukan manusia yang biasanya terdiri daripada kaum keluarga atau terus berdampingan dengan manusia setelah tuan yang asal tadi meninggal dunia. Makhluk yang seperti inilah yang dinamakan SAKA yang diperturunkan dari satu generasi kepada generasi berikutnya.

Penurunan saka boleh berlaku dengan sengaja atau tidak sengaja. Dilakukan dengan sengaja apabila seseorang itu secara berterangan menyatakan pada waris tertentu seperti anaknya yang dia adalah orang yang paling sesuai atau berkelayakkan mewarisi ilmu pemiliknya yang dimiliki selama ini. Apabila orang yang berkenaan menyatakan kesanggupannya menerima, maka bermula dari tarikh itu dia telah mewarisi saka tadi.

Penurunan saka juga boleh berlaku secara tidak langsung apabila seseorang waris itu menerima barang-barang tertentu, yang pada kebiasaannya terdiri daripda keris, lembing ataupun tombak atau objek lain seperti tangkal, azimat, batu geliga, akik dan sebagainya.

Penting

Objek-objek tersebut pada zahirnya merupakan benda yang dapat dipegang dan dirasa dengan tenaga atau dilihat oleh pancaindera. Objek tersebut hakikatnya adalah merupakan lambang, dimana disebalik lembing atau batu geliga atau lain-lain objek tadi terdapat jin atau jin-jin berserta dengannya. Penurunan kaedah kedua ini biasanya berlaku setelah pewaris meninggal dunia dimana barang-barang tadi menjadi barang peninggalannya si mati (pewaris).

Objek-objek ini terutamanya keris pada kebiasaannya dilangiri dengan air limau nipis pada malam-malam tertentu seperti malam Jumaat, sebulan sekali atau di malam Jumaat awal Muharram setiap tahun ketika bulan penuh dan dipersapkan dengan kemenyan.

Limau nipis merupakan satu bahan penting yang sering digunakan dalam pelbagai upacara amalan kebatinan termasuk perubatan melayu tradisional untuk memutus ubat, mandi perajan, mandi membuang sial badan dan sebagainya. Kaedah atau upacara melangiri senjata mungkin diketahui melalui pengajaran oleh pewaris ataupun melalui mimpi.

Apabila seseorang itu menerima saka tadi, tidak kira samaada pada asalnya pewaris itu redha atau tidak lalu akhirnya tunduk menerima dan melakukan upacara atau syarat-syrat yang diajar secara langsung atau tidak langsung termasuk ketika mimpi, makhluk tadi akan semakin rapat dengan ‘tuan’ barunya yang boleh ‘diperintahkan’ melakukan sesuatu. Iaitu untuk tujuan rawatan seperti yang dijelaskan. Untuk membinasakan lawan atau orang lain dengan permintaan pelanggan yang datang menemuinya.

Dari sinilah lahirnya pelbagai jenis amalan kebatinan seperti ilmu pengasih, ilmu penunduk, ilmu seri muka, ilmu pemisah iaitu untuk memisahkan antara suami isteri, ilmu pelalau iaitu ilmu menyebabkan seseorang itu tidak kira lelaki atau perempuan tidak mendapat jodoh atau premis perniagaan yang tidak didatangi oleh pelanggan.

Termasuk dalam ilmu kebatinan ini ialah khidmat daripada pemilik saka yang boleh digunakan untuk menyakiti seseorang yang boleh menyebabkan seseorang itu tidak normal atau bertindak seperti orang yang tidak waras, santau dan sebagainya. Semua amalan ini termasuk dalam kategori ilmu sihir iaitu tindak tanduk manusia yang melibatkan jin-jin atau yang dikenali sebagai makhluk-makhluk halus. Perlu dijelaskan bahawa amalan sihir adalah salah satu perbuatan dosa besar yang membinasakan.

Ilmu Yang Diwarisi Melalui Saka Ada Dua Jenis

Jenis Pertama

Adalah seperti yang dijelaskan diatas yang ada kalanya boleh digunakan untuk sesuatu yang dianggap boleh memberi manfaat seperti untuk tujuan rawatan, ilmu pengasih, digunakan untuk mencari barang hilang dan sebagainya. Selain mencari barang hilang saka juga boleh digunakan untuk mencuri barang kepunyaan orang lain seperti mencuri wang, barang kemas, pakaian termasuk seluar dalam dan baju dalam. Terlalu banyak hadis membicarakan tentang keupayaan jin-jin yang mencuri bahan makanan iaitu kurma dizaman Nabi s.a.w.

Selain boleh ‘digunakan’ untuk tujuan yang dijelaskan tadi, makhluk ini juga sering menyakiti orang lain, jiran-jiran termasuk kaum keluarga tuan saka tadi malah dalam keadaan tertentu makhluk ini boleh menyesatkan iman si empunya diri yang dianggap sebagai tuan tadi akan menyerang tuannya terutama ketika telah uzur,sakit atau ketika tua.

Orang Melayu yang memahami hal-hal yang berkaitan dengan saka ini sering beranggapan bahawa makhluk ini seumpama tidak terkawal apabila tuannya meninggal dunia dan tidak ada dikalangan keluarga yang sedia untuk mengambil alih peranan yang dimainkan oleh pewaris selama ini. Keadaan akan menjadi redha apabila salah seorang daripada waris sudi menjadi tuan kepada makhl;uk ini.

Anggapan ini ada kebenarannya tetapi pada hakikatnya biarpun makhluk ini mempunyai tuan baru ia tetap menjadi masaalah kepada manusia terutama kepada keluarga yang terlibat kerana antara tujuan utama iblis dan syaitan itu ialah untuk menyesatkan manusia seberapa banyak yang boleh agar mereka dapat masuk keneraka bersamanya.

Jenis Kedua

Saka ataupun penyakit yang diwarisi daripada seorang pewaris kepada seorang atau beberapa orang waris akibat daripada gangguan atau serangan iblis dan syaitan yang berlaku turun temurun. Bermaksud sekiranya seorang pewaris itu sakit, sakit yang sama akan dideritai oleh warisnya.

Pada kebiasaannya sakit yang berpunca daripada saka tidak kira samada saka jenis pertama atau kedua adalah sama. Senagai contoh sekiranya seseorang itu tidak boleh tidur malam, selalu termenung, berasa sakit kepala seperti dibaji-baji lalu dia menghantuk-hantukan kepala maka keadaan yang sama akan dialami oleh keturunannya atau mereka yang diserang oleh saka tadi yang terdiri daripada kaum keluarganya. 

Tidak mudah untuk memberi penjelasan bahawa seseorang itu sakit akibat saka. Umumnya apabila sesuatu masalah atau sakit itu dirujuk kepada mereka yang terlibat dengan amalan kebatinan, maka selalunya dikatakan bahawa penyakit tersebut dirujuk sebagai kena buatan orang, kena sihir, gangguan, saka dan sebagainya.

Hakikatnya masaalah penyakit perlu dirujuk kepada pakar kerana punca penyakit itu adalah pelbagai akibat kecederaan seperti luka,patah, keracunan, stress, depress dan sebagainya akibat gangguan ataupun sihir.
 Segala punca gangguan ini sukar diakui oleh pengamal perubatan moden tetapi kesemua faktor yang dijelaskan berlaku kepada mangsa.

sumber- Rawatan Islam Al-Haz

Asal Kejadian Jin

Renungan Rohani Antara Peranan Jahat Syaitan

Mengikut kajian ulama, syaitan adalah jenis jin yang jahat perangainya. Syaitan berasal daripada api dan tabiatnya menyesatkan manusia. Oleh itu ia wujud di mana saja manusia berada. Ia mempunyai kebolehan menyerupai sesuatu di alam nyata, memperalatkan tubuh manusia, malah boleh hidup dalam badan orang yang disukainya.

Selain mendatangkan punca penyakit, pengsan dan gila, jin juga kadangkala mencuri atau dipakai untuk mencuri barangan orang.

Dalam ajaran Islam kita dapat mengesan bahawa malaikat, jin dan syaitan mempunyai jalan untuk mempengaruhi manusia supaya melakukan kebaikan atau sebaliknya.
Mengikut sebuah hadis Turmizi, “Malaikat menggunakan jalan itu untuk meniupkan ilham yang baik maka syaitan pula menyampaikan bisikan jahat dan mendustakan Allah…”
Orang yang bersih jiwanya dapat mendengar suara ilham yang disampaikan oleh pelawat di hadrat hati. Oleh itu, orang berkenaan berasa lapang dada dan terdorong untuk beramal. Malah ilham sendiri menjadi faktor penting jiwanya berasa gembira. Orang yang kotor jiwanya didatangi oleh jin atau syaitan. Malah mengikut surah al-Zukhruf ayat 36, Allah menyediakan satu syaitan secara tetap dalam hati yang kosong daripada zikir.
Syaitan itu menjadi sahabat karibnya. Surah Fussilat ayat 25 menghuraikan kerja syaitan berkenaan iaitu membisikkan kata-kata manis dan menghayalkan.
Sesungguhnya hasutan syaitan, jin atau roh jahat ke atas fizikal dan rohaniah manusia jelas sekali. Hasutan itu masuk ke dalam diri mereka menerusi pelbagai jalan. Antara yang paling dahsyat dan ganas ialah dengan renungan rohani ketika oarng yang berniat buruk mengamalkan jampi mentera atau sihir untuk tujuan tertentu terutamanya untuk merosakkan orang yang dibencinya.
Inilah antara rahsia ( dan Allah Maha Mengetahui ) mengapa syirik disifatkan sebagai dosa besar oleh Allah. Kerja seperti ini merosakkan kedua-dua pihak. Pengamal sihir rosak imannya, manakala mangsanya pula rosak iman, anggota dan mentalnya.


JIN 
Makna Jin: Jin adalah satu nama jenis dan dalam bahasa Inggeris di sebut Ginie - perkataan tunggalnya " Jinny " yang bermaksud yang tersembunyi, yang tertutup atau yang gelap pekat.
Dalam Al-Quran terdapat banyak ayat-ayat yang menceritakan tentang Jin. Antaranya :-
Surah Al-Hijr ayat 26 - 27 :Yang bermaksud : Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari tanah liat yang kering kontang yang berasal dari lumpur hitam yang di beri bentuk dan Kami telah ciptakan Jin sebelum di ciptakan manusia daripada api yang sangat panas.
Surah Ar-Rahman ayat 15 :Yang bermaksud : Dia ( Allah ) menciptakan Jann ( Jin ) dari nyalaan api ( Pucuk  api yang menyala-nyala atau Maarij )
Surah Al-‘Araf ayat 12 :Yang bermaksud : " Engkau ciptakan aku ( kata Iblis ) dari api sedangkan ciptakan dia ( Adam ) dari tanah.
Dari Hadis Nabi s.a.w yang telah diriwayatkan oleh Muslim r.a: Maksudnya : " Malaikat diciptakan dari cahaya, Jaan diciptakan dari lidah api sedangkan Adam diciptakan dari sesuatu yang telah disebutkan kepada kamu ( tanah).

ASAL KEJADIAN JIN
Keterangan "Al-Maarij "
Maarij bermaksud nyalaan api yang sangat kuat dan sangat panas bahangnya atau " Al-Lahab " iaitu jilatan api yang sudah bercampur antara satu sama lain iaitu merah, hitam, kuning dan biru. Sesetengah ulama pula mengatakan " Al-Maarij " itu ialah api yang sangat terang yang memiliki suhu yang amat tinggi sehingga bercampur antara merah, hitam, kuning dan biru.
Sesetengah pendapat pula mengatakan Al-Maarij itu ialah api yang bercampur warnanya dan sama maknanya dengan " As-Samuun " iaitu api yang tidak berasap tetapi sangat tinggi suhu panasnya. Angin samuun yang telah sebati dengan Al-Maarij itulah Allah jadikan Jaan.
Menurut suatu Hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Mas’ud pula menyatakan bahawa angin Samuun yang dijadikan Jaan itu hanyalah satu bahagian daripada tujuh puluh bahagian angin Samuun yang sangat panas itu.
Dari api yang amat panas inilah Allah telah menciptakan Jin, iaitu dari sel atau atom atau daripada nukleas-nukleas api. Kemudian Allah masukkan roh atau nyawa padanya, maka jadilah ia hidup seperti yang dikehendaki oleh Allah. Jin juga di beri izin oleh Allah menzahirkan berbagai-bagai bentuk dan rupa yang disukai dan dikehendakinya kecuali rupa Rasulullah s.a.w mengikut tahap dan kemampuan masing-masing.
Jin juga diperintahkan oleh Allah menerima syariat Islam sepertimana yang diperintahkan oleh Allah kepada manusia. Rupa bentuk Jin yang asal selepas di cipta dan ditiupkan roh itu, hanya Allah dan Rasulnya sahaja yang mengetahuinya. Menurut sesetengah ulama rupa, tabiat, kelakuan dan perangai Jin adalah 90 peratus mirip kepada manusia.
Asal kejadian manusia ialah campuran daripada Jisim Kathif iaitu tanah dan air, Jisim Syafaf iaitu campuran api dan angin dan Nurani, iaitu roh, akal, nafsu dan hati yang dinamakan "Latifatur-Rabbaniah " sesuai dengan manusia sebagai sebaik-baik kejadian yang diciptakan Allah dan sebagai Khalifah Allah di muka bumi ini. Manakala kejadian Jin pula ialah campuran Jisim Syafaf iaitu campuran api dan angin dan Nurani iaitu roh, akal, nafsu dan hati yang sesuai dan sepadan dengan kejadian Jin.
Manakala mahkluk-makluk lain pula Allah jadikan daripada salah satu unsur tersebut, contohnya, binatang yang dijadikan daripada campuran Jisim Ksayif dan Jisim Syafaf sahaja. Batu dan tumbuh-tumbuhan pula dijadikan daripada Jisim Kasyif semata-mata. Manakala Malaikat pula dijadikan daripada Nurani semata-mata.

CARA PEMBIAKAN JIN
Manusia memerlukan masa mengandung selama sembilan bulan untuk melahirkan zuriat dan anak manusia juga memerlukan masa yang lama untuk matang dan menjadi baligh.
Berbeza dengan Jin di mana, apabila di sentuh alat kelamin lelaki dengan alat kelamin perempuan, maka Jin perempuan akan terus mengandung dan beranak dan anak Jin yang baru lahir itu terus mukallaf. Begitulah keadaanya sehingga ke hari kiamat.
Iblis pula apabila menyentuh paha kanan dengan paha kiri akan mengeluarkan 33 biji telor. Dalam setiap biji telor itu ada 33 pasang benihnya. Tiap-tiap pasang benih itu apabila menyentuh paha kanan dengan paha kiri akan keluar seperti yang terdahulu. Begitulah proses pembiakan Jin dan Iblis sehinggalah ke hari kiamat.

Bunian atau lebih masyhur di kalangan orang-orang Melayu dengan panggilan orang Ghaib pula ialah hasil campuran lelaki atau perempuan Jin dengan lelaki atau perempuan dari kalangan manusia. Anak yang terhasil daripada percampuran itu dikenali dengan nama Bunian. Perangai dan tingkah laku serta rupa bentuknya orang Bunian ini dalam beberapa perkara mengikut manusia dan dalam beberapa perkara pula mengikut Jin.
Jika asal usul datuk manusia ialah Nabi Adam, maka asal usul datuk Jin pula ialah " Jaan " yang asalnya adalah beriman kepada Allah dan melahirkan keturunan yang beriman. Selepas itu terdapat pula dari keturunan Jaan yang kufur dan melahirkan pula keturunan yang kufur. Anak cucu Jaan yang asal beriman itu ada yang kekal dalam iman dan ada pula yang kufur dan ada pula yang kembali beriman kepada Allah.

AGAMA PUAK-PUAK JIN
Jin Juga seperti manusia, iaitu ada yang baik, ada yang jahat, ada yang soleh, ada yang tidak soleh, ada yang alim lagi mukmim, ada ada yang kufur, ada yang murtad, fasik dan zalim, ada yang masuk syurga dan ada yang dihumbankan oleh Allah ke dalam neraka di hari akhirat kelak.
Majoriti puak-puak Jin terdiri daripada golongan Jin kafir. Golongan Jin kafir ini kebanyakanya beragama Yahudi, Kristian, Komunis dan sangat sedikit daripada mereka yang beragama Buddha dan Majusi. Terdapat juga golongan Jin yang tidak beragama. Golongan Jin yang memeluk Islam hanyalah sedikit bilangannya dan terdiri daripada golongan manoriti jika di bandingkan dengan keseluruhan bilangan Jin.
Seperti juga manusia biasa, Jin juga berada dalam tingkat-tingkat iman, ilmu dan amalan yang tertentu berdasarkan kepada keimanan dan amalan mereka kepada Allah. Antaranya ada Jin Islam yang bertaraf awam sahaja , Jin Islam yang di tingkat iman Khawas dan Jin Islam yang berada ditingkat iman yang Khawasil-Khawas.

Walaupun Jin Islam yang paling tinggi imannya dan paling soleh amalannya serta paling luas serta banyak ilmunya , tetapi masih ada pada diri mereka sifat-sifat mazmumah seperti takbur, riak, ujub dan sebagainya, tetapi mereka mudah menerima teguran dan pengajaran.
Mungkin inilah yang sering diperkatakan bahawa " sebaik-baik Jin itu ialah sejahat-jahat manusia yang fasik. " Tetapi yang berbezanya manusia yang paling jahat susah menerima pengajaran dan teguran yang baik.
Golongan Jin Islam yang awam dan Jin kafir suka merasuk manusia yang awam dengan berbagai-bagai cara, kerana pada pandangan mereka manusia-manusia yang awam itu bukanlah manusia sebenarnya, sebaliknya adalah rupa seekor binatang. Manusia yang Khawas dan Khawasil-Khawas tidak dapat di rasuk oleh Jin, bahkan Jin pula akan datang kepada mereka untuk bersahabat.

RUPA BENTUK JIN
Pada asasnya rupa bentuk Jin tidaklah banyak berbeza daripada rupa bentuk manusia, iaitu mereka mempunyai jantina, mempunyai hidung mata, tangan, kaki, telinga dan sebagainya, sepertimana yang di miliki oleh manusia. Pada dasarnya 80 hingga ke 90 peratus Jin menyerupai manusia.
Cuma yang berbezanya fizikal Jin adalah lebih kecil dan halus daripada manusia. Bentuk tubuh mereka itu ada yang pendek, ada yang terlalu tinggi dan ada bermacam-macam warna, iaitu putih, merah biru, hitam dan sebagainya. Jin yang kekal dalam keadaan kafir dan Jin Islam yang fasik itu mempunyai rupa yang huduh dan menakutkan. Manakala Jin Islam yang soleh pula mempunyai rupa paras yang elok.
Menurut sesetengah pendapat tinggi Jin yang sebenarnya adalah kira-kira tiga hasta sahaja. Pengetahuan mereka lebih luas dan umurnya tersangat panjang dan ada yang beribu tahun umurnya. Kecepatan Jin bergerak adalah melebihi gerak cahaya dalam satu saat. Memandangkan Jin adalah terdiri daripada makluk yang seni dan tersembunyi, tidak zahir seprti manusia dan tidak sepenuhnya ghaib seperti Malaikat, maka ruang yang kecil pun boleh di duduki oleh berjuta-juta Jin dan ianya juga boleh memasuki dan menghuni tubuh badan manusia.
Jumlah Jin terlalu ramai sehingga menurut sesetengah pendapat bilangannya ialah jumlah semua manusia daripada Nabi Adam hingga ke hari kiamat di darab dengan haiwan-haiwan, di darab dengan batu-batu, di darab dengan pasir-pasir dan semua tumbuh-tumbuhan. Itu pun baru satu persepuluh daripada jumlah keseluruhan Jin.
Manakala jumlah keseluruhan Jin ialah satu persepuluh daripada jumlah keseluruhan Malaikat. Jumlah keseluruhan Malaikat hanya Allah dan Rasulnya sahaja yang lebih mengetahuinya.
Alam kediaman Jin ialah di lautan, daratan, di udara dan di Alam Mithal iaitu suatu alam di antara alam manusia dan alam malaikat. Jika di berikan oleh Allah kepada kita melihat Jin, sudah tentulah kita akan melihat jarum yang dijatuhkan dari atas tidak akan jatuh ke bumi , tetapi hanya jatuh di atas belakang Jin, disebabkan terlalu banyaknya jumlah mereka.
Sebab itulah orang-orang tua kita selalu berpesan supaya anak-anak segera balik ke rumah apabila telah tiba waktu maghrib dan pintu serta tingkap rumah mesti di tutup, supaya tidak dimasuki oleh Syaitan dan Iblis.
Sebagaimana sebuah Hadis yang telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari daripada Rasulullah s.a.w yang bermaksud :
" Apabila kamu menghadapi malam atau kamu telah berada di sebahagian malam maka tahanlah anak-anak mu kerana sesungguhnya syaitan berkeliaran ketika itu dan apabila berlalu sesuatu ketika malam maka tahanlah mereka dan tutuplah pintu-pintu rumahmu serta sebutlah nama Allah, padamkan lampu-lampu mu serta sebutlah nama Allah, ikatlah minuman mu serta sebutlah nama Allah dan tutuplah sisa makanan mu serta sebutlah nama Allah ( ketika menutupnya ) "
Hadis di atas bermaksud bahawa Jin dan Syaitan akan tidur di waktu siang dalam cahaya dan sinar sehingga menjelang petang, di mana pada waktu itu mereka berkeliaran mencari rezeki dan makanan, baik lelaki maupun perempuan, samada yang dewasa atau kanak-kanak.

MELIHAT JIN
Pada prinsipnya Jin tidak boleh di lihat, di sentuh dan di dengar oleh manusia dalam bentuk yang asal sebagaimana ianya diciptakan, kecuali dalam keadaan-keadaan tertentu, Jin boleh di lihat dalam rupa bentuk yang diingininya.
Jin juga boleh di lihat oleh manusia dalam keadaan sihir atau ketika meminum air sihir atau melalui kemahuan Jin itu sendiri untuk memperlihatkan dirinya kepada manusia.

Di dunia semua Jin boleh melihat manusia manakala manusia yang Khawas dan Khawasil-Khawas sahaja yang boleh melihat Jin selain daripada para Nabi dan Rasul. Manakala di akhirat pula semua manusia mukmin yang ahli syurga boleh melihat Jin manakala Jin yang Khawas dan Khawasil-Khawas sahaja yang boleh melihat manusia.
Antara kelebihan Jin yang telah diberikan oleh Allah ialah kemampuannya untuk mengubah dirinya dalam berbagai bentuk dan rupa. Contohnya dalam peperangan Badar, Iblis telah menampakkan dirinya dalam bentuk seorang lelaki dari Bani Mudlij dan Syaitan pula dalam rupa Suraqah bin Malik yang datang membantu tentera musrikin memerangi tentera Islam. ( Iblis dan Syaitan adalah juga merupakan sebahagian daripada golongan Jin ).
Dalam Sahih Bukhari juga ada meriwayatkan bahawa adanya Jin yang menampakkan dirinya dalam bentuk seekor ular dan membunuh seorang pemuda yang cuba membunuh ular tersebut. Di samping itu Jin juga boleh menampakkan dirinya dalam rupa bentuk haiwan yang lain seperti rupa bentuk kucing, anjing dan sebagainya.

KUMPULAN-KUMPULAN JIN
Jin juga seperti manusia yang inginkan keturunan dan hidup berpuak-puak. Puak dan kumpulan Jin terlalu banyak dan bercakap dalam berbagai-bagai loghat dan bahasa. Ada sesetengah ulama membahagikan Jin kepada beberapa kumpulan, antaranya kumpulan yang menunggu kubur, kumpulan yang menunggu gua, kumpulan yang menunggu mayat manusia, kumpulan yang menunggu hutan rimba, kumpulan yang menunggu bukit bukau, kumpulan yang menunggu air mata air, kumpulan yang menunggu tasik, kolam, teluk, kuala, pulau dan sebagainya.

JENIS-JENIS JIN
Sama seperti manusia Jin juga terdiri dari pada berbagai jenis atau bangsa, antara yang tersohor ialah :-
1. Iblis Bapa dan pujaan kepada semua jenis Jin, Iblis dan Syaitan..
2. Asy-Syaitan Syaitan-syaitan
3.  Al-Maraddah Peragu-peragu ( pewas-was )
4.  Al-Afrit Penipu-penipu
5. Al-A’waan Pelayan-pelayan
6.  Al-Tayyaaruun Penerbang-penerbang
7.  Al-Ghawwaasuun Penyelam-penyelam
8.  At-Tawaabi Pengikut-pengikut ( pengekor )
9.  Al-Qurana Pengawan-pengawan
10.  Al-Ummaar Pemakmur.

GELARAN-GELARAN JIN DALAM ISTILAH ORANG-ORANG MELAYU
Jin menurut orang-orang Melayu mempunyai beberapa nama dan gelaran menurut perwatakkan dan rupa bentuk penjelmaan mereka. Kebanyakan nama Jin-Jin itu dimulai dengan hantu. Hantu-hantu tersebut sebenarnya adalah terdiri daripada golongan Jin, cuma di kalangan orang Melayu, menganggap hantu itu adalah makhluk yang berbeza daripada Jin.

ANTARA JIN-JIN YANG POPULAR DI KALANGAN ORANG-ORANG MELAYU IALAH:
Hantu Raya, Hantu Pontianak, Hantu Polong, Hantu Toyol, Hantu Langsuir, Hantu Penanggal, Hantu Pelesit, Hantu Air, Hantu Bukit, Hantu Kubur, Hantu Pari, Hantu Punjut, Hantu Jerangkung, Hantu Laut, Hantu Bawah Tangga, Hantu Galah, Jin Tanah, Hantu Kum-Kum, Hantu Bungkus, Hantu Pocong, Hantu mati di bunuh, Hantu Bidai, Hantu pari-pari, Hantu Kopek ( Tetek ), Harimau Jadian, Jembalang Tanah, Hantu Tengelong.

KERAJAAN-KERAJAAN JIN
Jin juga mempunyai pemimpin dan kerajaannya yang tersendiri. Antara Raja Jin alam bawah yang kafir ialah seperti Mazhab, Marrah, Ahmar, Burkhan, Syamhurash, Zubai’ah dan Maimon. Empat raja Jin Ifrit ( Jin yang paling jahat ) yang mempunyai kerajaan yang besar yang menjadi menteri kepada Nabi Allah Sulaiman a.s ialah Thamrith, Munaliq, Hadlabaajin dan Shughal.
Manakala Raja Jin Alam atas yang Islam pula ialah Rukiyaail, Jibriyaail, Samsamaail, Mikiyaail, Sarifiyaail, ‘Ainyaail dan Kasfiyaail. Raja Jin yang mengusai kesemua Jin tersebut bernama THOTHAMGHI YAM YA LI.. Manakala Malaikat yang mengawal kesemua Jin-Jin di atas bernama Maithotorun yang bergelar QUTBUL JALALAH.

ANAK-ANAK IBLIS JUGA MEMPUNYAI KERAJAAN YANG BESAR ANTARANYA :
1. Thubar Merasuk manusia yang di timpa musibah dan bala.
2. Daasim Merasuk manusia untuk menceraikan ikatan silatulrahim, rumah  tangga, keluarga, sahabat handai, jemaah dan sebagainya.
3. Al-‘Awar Merasuk manusia supaya meruntuhkan akhlak, berzina, minum arak, liwat, berjudi dan sebagainya
4.  Zalanbuur Merasuk manusia dengan api permusuhan dan pembunuhan.


 ANTARA JIN, IFRIT, SYAITAN DAN IBLIS
Jin, Ifrit, Syaitan dan Iblis adalah merupakan sebahagian daripada golongan Jin, cuma tugas dan fungsi mereka sahaja yang berbeza. Jin sebagaimana yang telah diterangkan di atas ialah sejenis mahkluk Allah yang tersembunyi dan tidak kelihatan oleh manusia. Pengetahuan mereka lebih luas dan sangat panjang usianya.

Manakala Ifrit pula adalah daripada golongan Jin yang sangat kuat dan bijak menipu serta sangat busuk hati terhadap manusia. Golongan ini tersangat sombong lagi amat durhaka kepada Allah.
Iblis dan Syaitan juga terdiri daripada golongan Jin dan mereka merupakan golongan Jin yang sangat sombong lagi durhaka, pengacau dan menjadi musuh utama manusia dan mendapat kutukan Allah sehingga ke hari kiamat.

Sebagaimana Firman Allah yang bermaksud :
" Iblis menjawab : Sebab engkau telah menghukum saya dengan tersesat, saya akan menghalang halangi mereka dari jalan Mu yang lurus. Kemudian saya akan mendatangani mereka dari depan dan dari belakang mereka, dari kanan dan kiri mereka. Engkau tak akan mendapati kebanyakan dari mereka bersyukur ( taat )."

Sesetengah ulama berpendapat bahawa Azazil itu bukanlah moyang Jin, sebenarnya beliau merupakan satu Jin yang paling abid dan alim di kalangan Jin yang di angkat menjadi ketua ahli-ahli ibadat kepada Jin dan Malaikat. Dia menjadi angkuh dan takbur di atas keilmuan, ketakwaan dan banyak beribadat serta asal usul kejadiannya berbanding dengan manusia ( Adam ). Maka dengan sifat beliau yang sombong itu Allah telah melaknatnya menjadi kafir dengan nama Iblis.
Bermula dari saat itulah Iblis melancarkan gerakan permusuhan dengan manusia sehingga ke hari kiamat.
Allah telah menjelaskan bahawa terdapat tiga jenis permusuhan dilakukan oleh Jin ke atas manusia iaitu :-
Melalui Kejahatan ( As-Suu’ ) : iaitu berkenan dan gemar kepada dosa-dosa dan maksiat hati dan segala anggota tubuh badan.
Kekejian ( Al-Fahsyaa’ ) : iaitu kejahatan yang lebih buruk dan jahat lagi.  Kekejian ini adalah sebahagian daripada perkara yang membawa kepada kedurhakaan dan maksiat kepada Allah.
Melalui pembohongan dan menipu Allah melalui perbuatan, perkataan dan nawaitu.

sumber-Rawatan Islam Al-Haz

Pelesit

gambar hantu pelesit
Belalang Pelesit
Pelesit merujuk kepada sejenis makhluk halus, kemungkinannya dari golongan jin/syaitan, yang dipelihara oleh seseorang, biasanya wanita, bagi tujuan memudaratkan musuh. Pemeliharaan makhluk halus ini dikenali sebagai saka. Hantu pelesit dipercayai diberi makan darah dari jari tangan tuannya. Hantu pelesit dikatakan mampu menjelma sebagai sejenis belalang pelesit, belalang kecil yang mempunyai kepala berbentuk tajam dan tirus, dan masuk kerumah mangsa. Pelesit ini kemudiannya akan mengambil peluang untuk menyerang dan menghisap darah mangsa apabila mangsa leka

Matlamat
Hantu Pelesit dikatakan akan dipelihara oleh wanita bagi tujuan membinasa musuh atau orang yang dibenci pemiliknya. Selain itu hantu pelesit juga digunakan bagi mendapatkan wang. Hantu pelesit akan menyerang seseorang mangsa dan hanya keluar apabila tuannya datang datang membantu menghalaunya keluar, dengan itu mendapat bayaran kerana membantu mengubati mangsa. Hantu pelesit biasanya dikatakan disimpan dalam botol kecil dan diberi makan darah yang dititik daripada hujung jari tuannya setiap kali bulan mengambang.

Status 
Hantu pelesit adalah sejenis makhluk halus yang dipelihara oleh manusia. Ia perlu diberi makanan menurut tempoh tertentu, biasanya dengan darah tuannya. Dengan itu hantu pelesit tersebut perlu diwariskan kepada seseorang penganti sebelum tuannya mati sebagai saka. Sekiranya tuannya mati sebelum sempat mencari pengganti, hantu pelesit akan hidup liar dan mengganggu penduduk berdekatan. Hantu pelesit akan membuat tuannya susah nak mati kerana tiada tuan baru untuk menjaga dia kelak, kecuali ada anak yang sanggup menjaga hantu itu. Dia akan menjaga tuannya sehingga dia dimusnahkan oleh tuannya sendiri. 

Kelemahan 
Pengamal ilmu sihir atau ilmu sesat ini adalah satu perbuatan syrik dalam ugama Islam. Pembela pelesit dikatakan tidak akan mempunyai zuriat kerana ilmunya yang panas akan membunuh janin atau anak kecil yang berdamping dengannya, sekiranya tidak dijaga dengan baik. ia takut dengan tahi besi iaitu (sejenis besi lebihan dari proses peleburan besi) Menurut pandangan pengamal perubatan,rupa pelesit adalah seperti seorang tua yang amat hodoh berabut putih panjang.Cara ia berjalan mirip seekor penguin.Ia menumpang ke badan belalang hijau sebagai tunggangannya.Cara untuk mengenali rupa belalang pelesit adalah dengan melihat di atas kepalanya terdapat tanda merah.Apabila dicabut kepalanya akan nampak juraian rambut yang halus.

Berita mengenai gangguan pelesit

Lelaki ikuti SRS dibelasah kerana disyaki mahu pecah rumah

KUANTAN - Malang buat petugas sukarelawan yang menyertai Skim Rondaan Sukarela (SRS) di sebuah taman perumahan di sini apabila dia dibelasah dua lelaki selepas didakwa mahu memecah masuk rumah penghuni kawasan berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira 2.30 pagi semalam itu, Kamarudin Abdul Karim, 24, cedera teruk di muka dan kepala selepas ditumbuk, dipijak dan disepak dua lelaki di kawasan perumahan di Indera Mahkota 2, di sini.
"Selepas selesai membuat rondaan SRS, saya berjalan kaki pulang ke rumah, tiba-tiba didatangi dua lelaki yang menuduh saya yang berjalan sendirian ketika itu bertujuan untuk memecah masuk rumah penghuni kawasan itu," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Selepas dibelasah, dia kemudiannya pulang ke rumah sebelum dibantu ibunya, Sufiyah Osman, 53, dan Pengerusi Rukun Tetangga kawasan berkenaan, Ramli Karim, 58, yang membawanya ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan untuk mendapatkan rawatan.

Mangsa kemudiannya membuat laporan polis di balai Polis Indera Mahkota.

"Saya berharap mereka yang membelasah saya tanpa belas kasihan dan penuh prejudis itu dikenakan tindakan sewajarnya," katanya.

Kamarudin berkata dia yakin kedua-dua lelaki terbabit juga merupakan penduduk di kawasan terbabit tetapi tidak menyertai skim SRS itu.

Sementara itu ibu kepada mangsa, Sufiyah berkata tindakan dua lelaki berkenaan yang membelasah anaknya itu tidak sepatutnya berlaku.

"Mereka sepatutnya mempunyai bukti yang kukuh dan bukannya membuat tindakan yang lebih berburuk sangka," katanya.

Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Mohd Jasmani Yusoff ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu: " Pihak polis masih menyiasat kes berkenaan, pihak polis sedang memburu dua suspek berkenaan," katanya.

sumber-Bernama

Pegawai polis maut, kereta rempuh belakang lori

KUANTAN - Seorang pegawai polis maut selepas kereta yang dipandunya merempuh belakang sebuah lori treler membawa muatan bijih besi di Km 197 Lebuhraya Pantai Timur dekat Sri Jaya, di sini awal pagi tadi.

Insp Muhammad Azman Arifin, 48 dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan yang juga pegawai pendakwa, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohd Jasmani Yusof berkata dalam kejadian 1.20 pagi itu, Muhammad Azman dalam perjalanan balik ke Kuantan dari Kuala Lumpur.

"Dipercayai ketika sampai di tempat kejadian, mangsa telah terlanggar bahagian kanan belakang lori itu menyebabkan kenderaannya berpusing ke kanan jalan.

"Akibat itu, mangsa yang parah di kepala meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum mayatnya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan untuk bedah siasat," katanya di sini.

Beliau berkata bapa kepada empat anak itu sedang melanjutkan pengajiannya di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dalam jurusan undang-undang.

"Difahamkan mangsa sering berulang-alik dari Kuantan ke UiTM Shah Alam bagi menghadiri kuliahnya," katanya.

Mohd Jasmani berkata jenazah mangsa akan dikebumi di Sungai Karang di sini.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

sumber- Bernama


Polis berkas suspek kes samun dalam tempoh dua jam

SHAH ALAM - Polis memberkas tiga suspek kes samun kira-kira dua jam selepas mereka melakukan jenayah terhadap seorang jurulatih gimnasium di Seksyen 19 di sini hari ini.

Tiga suspek itu diberkas di sebuah hotel murah di kawasan Batu Tiga di sini pada kira-kira 5 pagi selepas menyamun jurulatih itu berhampiran Sekolah Menengah Seksyen 19 dalam insiden kira-kira 3.40 pagi.

Ketua Polis Shah Alam ACP Ahmad Zahedi Ayob berkata tiga suspek itu yang menaiki kenderaan Chevrolet menggunakan taktik melanggar kereta yang dipandu mangsa dari belakang yang ketika itu dalam perjalanan pulang ke rumahnya.

Ekoran dari perlanggaran itu, mangsa memberhentikan kenderaannya untuk keluar melihat kerosakan yang dialami.


"Tanpa diduga, tiga lelaki yang berada di dalam kereta Chevrolet itu turut keluar dari kereta terbabit dengan sebilah parang di tangan salah seorang dari suspek sebelum mengugut mangsa agar menyerahkan barang berharga miliknya," katanya ketika dihubungi hari ini.
Takut dengan ancaman suspek, mangsa menyerahkan wang tunai sebanyak RM500 dan dua telefon bimbit miliknya.


Ahmad Zahedi berkata hasil laporan polis yang dibuat mangsa, pihaknya dapat mengesan kenderaan suspek terbabit yang diletakkan di hadapan sebuah hotel murah di Batu Tiga di sini dan memberkas ketiga-tiga suspek serta menemui semula barang milik jurulatih yang telah disamun.

Beliau berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan kumpulan itu menggunakan hotel berkenaan sebagai tempat istirahat sebelum mereka keluar semula untuk melakukan samun.

"Mereka hanya berehat dan mungkin akan keluar mencari mangsa lain memandangkan hasil samun pada awal pagi itu sedikit," katanya.

Kesemua suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan bagi rompakan berkumpulan dan rompakan dengan bersenjata.

sumber- Bernama

Tangisan dalam but kereta

MALANG...waris Alias Daniel dicari.
MALANG...waris Alias Daniel dicari.

JOHOR BAHRU: Seorang wanita tidak menyangka suara tangisan anak kecil didengarnya ketika memandu, membawa kepada penemuan seorang bayi lelaki yang diletak dalam but keretanya, dipercayai ketika dia singgah membeli makanan di sebuah restoran.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Bahru, Manayi Ibrahim berkata, kejadian itu berlaku jam 3.55 petang pada 27 Mei lalu ketika wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Zura, 27, memandu seorang diri menuju ke Kangkar Pulai, di sini.

Menurutnya, ketika ditemui bayi yang sihat dan cukup sifat itu dipercayai baru berusia tidak sampai 20 hari dan kini umurnya mencecah dua bulan.

Manayi berkata, dalam laporannya kepada polis, Zura memaklumkan, pada mulanya dia menyangka bunyi tangisan bayi didengarnya datang daripada radio keretanya.



“Zura kemudian menutup radio keretanya, namun bunyi tangisan bayi berkenaan masih kedengaran. Dia kemudian memberhentikan kereta dan membuka but sebelum terkejut mendapati ada bayi lelaki di situ.


sumber-HMetro

Turki beri Syria amaran jauhi sempadan


Jet pejuang Turki F-4 ditembak jatuh oleh Syria Jumaat lalu. - Foto EPA

ISTANBUL - Diiringi sokongan daripada negara anggota Nato, Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan memberi amaran agar tentera Syria menjauhi sempadan yang menyaksikan ketegangan atau berhadapan dengan respons ketenteraan negaranya.

Amaran itu dibuat susulan tindakan Syria menembak jatuh jet pejuangnya Jumaat lalu.

Recep Tayyip memberitahu Parlimennya bahawa jika tentera Syria mendekati sempadan Turki, negara jiran itu akan berhadapan dengan tindakan ketenteraan.

"Sebarang elemen ketenteraan dari Syria yang mendekati sempadan Turki dengan memperlihatkan risiko sekuriti dan bahaya, akan dianggap sebagai satu ancaman dan akan dilayan sebagai satu sasaran ketenteraan," kata beliau.

Ankara mendakwa senjara Syria menjadikan pesawat mencari dan menyelamat Turki sebagi sasaran.

Pagi semalam, Perdana Menteri itu mendakwa helikopter-helikopter Syria telah melanggar ruang udara Turki sebanyak lima kali tetapi Turki tidak mengambil tindakan balas.

Sebaliknya tegas beliau, sebarang pelanggaran akan ditangani dengan menggunakan kekerasan.

Dalam pada itu, Nato yang mengadakan mesyuarat semalam turut mengecam tindakan Syria menembak jatuh jet Turki.

Pesawat itu terhempas di Laut Mediterranean manakala dua juruterbangnya hilang.

Setiausaha Agung Nato, Anders Fogh Rasmussen menjelaskan bahawa pakatan itu belum mempertimbangkan respons bersenjata secara kolektif ke atas Syria.

sumber- Sinar

Parah dilibas penyamun

PARAH...Suraya menunjukkan kecederaan yang dialami Rokiah.
PARAH...Suraya menunjukkan kecederaan yang dialami Rokiah.

ARAU: Seorang warga emas menerima 14 jahitan di kepala selepas ditetak dengan senjata tajam dipercayai pedang oleh penjenayah, hanya kerana ingin menyamun seutas gelang emas bernilai RM2,000.


Kejadian berlaku di Kampung Felda Chuping, di sini, ketika mangsa, Rokiah Sirun, 78, sedang memberi makanan kepada kucing di belakang rumahnya pada kira-kira jam 8 malam, Jumaat lalu.


“Saya langsung tidak sedar dia datang dari belakang dan melibas pedang ke kepala saya. Tiba-tiba saya rasa sakit dan basah di belakang kepala sebelum rebah,” kata Rokiah.


Akibat mukanya jatuh tersembam ke atas batu, wanita itu turut menerima tiga jahitan di dahi.



Rokiah berkata, selepas meragut gelang emas bernilai RM2,000 yang dipakainya, suspek melarikan diri kerana menyangka dia sudah mati berikutan berlumuran darah di kepala.


sumber-HMetro