Perkampungan kaum Red Yao telah dinobatkan sebagai kampung wanita berambut panjang pertama di dunia. Kampung Huangluo Yao ini terletak di Utara Guilin, China. Nama kaum Red Yao adalah bersempena tradisi mereka memakai baju merah setiap hari. Lebih 100 wanita berambut panjang dikatakan berada di sini. Purata kepanjangan rambut mereka adalah 5.5 kaki dan rambut paling panjang mencecah 6.8 kaki.
Pages - Menu
▼
Friday, August 10, 2012
Hantu nenek yang telah meninggal dunia berada di dalam gambar
Seorang gadis dari Amerika Syarikat secara tidak sengaja menemui wajah neneknya di dalam foto ketika mengambil gambar anak saudaranya dengan menggunakan kamera handphone pada Ogos 2009.
Neneknya telah meninggal dunia pada tahun 1990. Gambar itu telah diuji kebenarannya dan terbukti tidak ada kepalsuan dalam gambar tersebut. Tiada sesiapa yang boleh menjelaskan bagaimana wajah neneknya muncul dalam gambar itu.
Masjid Ais Pertama Di Dunia
Gereja ais yang telah dibina sebelum ini |
Sebuah masjid yang diperbuat daripada ais akan dibina berhampiran Ice Hotel, Jukkasjarvi, utara Sweden. Menurut perancangan, kedudukan masjid tersebut akan dibina berdekatan dengan bangunan gereja ais yang telah dibangunkan sebelum ini.
Ketua CEO Ice Hotel, Yngve Bergqvist, mengatakan perancangan pembangunan masjid ais wujud daripada kebebasan beragama di Jukkasjarvi.
“Pembangunan gereja ais telah menarik minat pengunjung untuk datang. Malah 150 pasangan memutuskan untuk berkahwin di gereja ini,” katanya seperti dipetik dalam thelocal.com.
Bergqvist akan memastikan pembangunan masjid bukan semata-mata untuk kepentingan komersil melainkan untuk meningkatkan penyampaian maklumat mengenai Islam. “Pengunjung bakal datang dari pelbagai negara. Kami fikir lebih baik jika dapat membangunkan masjid setelah pembinaan gereja dilakukansebelum ini,” katanya.
Bergqvist mengharapkan bagunan masjid ais ini akan siap sepenuhnya tahun ini.
Imam Mahmoud Aldebe berharap pembinaan masjid ais dapat memberikan kesan berupa pemahaman yang sebenar mengenai Islam. Kerana, sebahagian pengetahuan masyarakat Sweden mengenai Islam terlalu sedikit. “Idea ini tidaklah terlalu kontroversi. Harapannya, tentu memudahkan kami (komuniti Muslim) untuk berdialog dengan masyarakat Sweden,” katanya.
Aldebe mengatakan tiada masalah mengenai kedudukan masjid berada berhampiran dengan gereja. Baginya, dengan kedudukan masjid berhampiran gereja akan memudahkan dialog antara budaya dan agama. “Mungkin imam yang bertugas akan memberitahu kepada tetamu mengenai Islam." katanya lagi.
sumber- Berita-Saya
Whisky halal pertama di dunia
Arkay, bebas alcohol |
Sebelum ini Malaysia digemparkan dengan minuman Beer Halal yang dikatakan mempunyai kandungan alkohol. Kini satu lagi produk baru minuman seperti itu mula dijual dipasaran dunia bermula 1 Disember lepas.
Whisky Halal yang diberi nama 'Arkay' dibuat khas untuk mereka yang berkeinginan untuk merasa minuman Whisky tetapi tidak mahu melanggar batas-batas agama. Arkay juga di mempunyai bermacam jenis perisa seperti minuman Whisky beralkohol. Minuman ini mendapat kelulusan permakanan Eropah dan US Food
sumber- bom321
Wang kertas baru habis
KUALA LUMPUR: Dengan tidak sampai 10 hari lagi Aidilfitri menjelang tiba, ramai umat Islam di sini kini sukar mendapatkan wang kertas baharu.
Selepas mula mengedar wang kertas baharu minggu lalu, kebanyakan bank sudah kehabisan minggu ini.
Tinjauan di ibu kota mendapati kebanyakan bank kehabisan wang kertas RM5 dan RM20 sejak semalam dan malah, ada bank yang langsung kehabisan semua wang kertas baharu.
Pengurus sebuah bank di Kampung Baru berkata, cawangan beliau kehabisan semua wang kertas baharu sejak semalam dan mendakwa, tahun ini, cawangan bank itu mendapat kurang wang kertas baharu berbanding tahun lalu.
“Kami tak dapat banyak tahun ini, kami mula benarkan pelanggan menukar wang kertas baharu minggu lalu dan semalam, kami kehabisan semua stok,” katanya. Pengurus sebuah bank di Kelana Jaya pula berkata, cawangan beliau mula menawarkan wang kertas baharu minggu lalu dan habis semuanya dua hari lalu.
“Kami mula minggu lalu dan yang paling popular ialah wang kertas baharu RM5, kami kehabisan dua hari lalu. Kini tinggal wang kertas RM1, RM10 dan RM100,” katanya.
Sementara itu, pelanggan di dua bank di Kampung Baru mendakwa sebelum ini mereka tidak dibenar menukar wang kertas, tetapi apabila mereka ingin berbuat demikian hari ini, bank menyatakan wang kertas baharu sudah habis. Ahmad Sani Abdullah, 47, berkata, beliau datang dari Shah Alam untuk mendapatkan wang kertas RM5 dan RM20, tetapi tidak berhasil.
“Saya memandu dari Shah Alam dan singgah di semua tempat yang saya tahu ada bank, saya rasa cawangan di Kampung Baru adalah bank ke-10 yang saya singgah, tapi masih tidak mendapat wang RM5 atau RM20,” katanya.
Selebriti, Kartini Kamalul Ariffin adalah antara pelanggan yang belum berjaya mendapat wang kertas baharu untuk hari raya.
“Saya sibuk dengan beberapa hal dan terlanjur datang ke sini, saya rasa elok tukar wang sikit. Tetapi, wang kertas baharu sudah habis,” katanya.
sumber- Bernama
Jual nasi seawal 10 pagi di bulan Ramadhan
Pelajar sekolah turut kelihatan membeli makanan seawal jam 10 pagi. |
TAMAN KERAMAT – Tindakan segelintir peniaga di AU3, di sini yang menjual makanan seawal jam 10 pagi menimbulkan kecurigaan penduduk setempat apabila ramai pembeli beragama Islam datang membeli.
Melalui aduan orang ramai, tinjauan Sinar Harian mendapati tiga gerai nasi berlauk menjalankan perniagaan sekitar jam 10 pagi.
Bagaimanapun, aktiviti tersebut mengundang curiga dan ketidakpuasan hati penduduk setempat yang mahukan pihak berkuasa agama menyiasat.
Pengerusi Surau Al- Ehsaniah AU3, Aziz Jaafar berkata, isu peniaga ini sudah berlarutan beberapa tahun setiap kali Ramadan dan penduduk tidak mahu bersubahat sekiranya perniagaan tersebut akan menjurus kepada perbuatan yang dilarang ketika umat Islam melakukan ibadah puasa.
“Penduduk tidak pernah mempertikaikan atau melarang peniaga mencari punca rezeki tetapi waktu mereka berniaga pada bulan Ramadan ini boleh dipersoalkan kerana boleh mengundang pelbagai andaian dan persepsi negatif.
“Pihak berkuasa agama tempatan diharap dapat menyiasat perkara ini kerana selain waktu perniagaan yang terlalu awal, perniagaan ini berkemungkinan boleh mencemarkan kesucian Ramadan sekiranya perniagaan ini menjurus kepada menggalakkan umat Islam untuk tidak berpuasa,” katanya.
Penduduk yang mahu dikenali sebagai Suzieyana berkata, tindakan peniaga ini boleh mencemarkan kebaikan Ramadan sekiranya ada pembeli yang tidak berpuasa mengambil kesempatan.
“Adalah sesuatu yang tidak rasional dan menimbulkan kemusykilan apabila pembeli membeli makanan nasi berlauk seawal 11 pagi sedangkan waktu berbuka puasa masih lambat.
“Dalam pengetahuan saya, pada bulan Ramadan, peniaga hanya boleh berniaga selepas jam 3 petang dan difahamkan pihak berkuasa boleh mengambil tindakan terhadap mereka yang berniaga awal.
“Bagaimanapun, peniaga ini seolah-olah kebal menjalankan perniagaan setelah bertahun-tahun menjalankan perniagaan tanpa sebarang tindakan oleh pihak berkuasa setiap kali Ramadan,” katanya.
sumber- Sinar
Mualaf palsu ikut solat jemaah
Tempat kejadian Masjid Sultanah Aminah Tanjung Radin |
PENDANG – Kira-kira 30 jemaah tidak menyangka diri mereka ditipu dengan memberi sumbangan kepada dua lelaki yang menyamar sebagai mualaf ketika menunaikan solat Tarawih di Masjid Sultanah Aminah Tanjung Radin dekat sini, malam kelmarin.
Difahamkan, anak-anak kariah ternampak dua lelaki itu ketika majlis berbuka puasa yang dianjurkan kariah masjid terbabit, namun tidak menghiraukan mereka.
Mohd Tarmizi Awang, 32, berkata, selepas berbuka puasa dua lelaki bercermin mata sama itu masuk ke dalam masjid bersama anak kariah lain bagi menunaikan solat Maghrib, Isyak dan Tarawih.
Menurutnya, selepas solat imam masjid mengumumkan kepada jemaah bahawa dua lelaki itu adalah mualaf yang ingin memohon sumbangan peribadi untuk kos pembelajaran agama di Pondok Pasir Puteh Kelantan.
“Saya mensyaki dua lelaki itu adalah penipu dan menyamar sebagai mualaf bagi mendapatkan sumbangan.
“Seorangnya daripadanya lingkungan umur 40-an berpakaian baju T dan seluar jeans dan kopiah hitam, manakala seorang lagi lingkungan umur 50-an memakai kemeja berseluar jeans dan berkopiah,” katanya.
Menurutnya, disebabkan perasaan curiga yang kuat terhadap dua lelaki itu menyebabkan dia segera menghampiri mereka selepas solat Tarawih dan tazkirah Nuzul al-Quran bagi mendapatkan kepastian.
“Difahamkan mereka datang dari Melaka untuk memohon sumbangan. Ditanya mengapa datang ke Kedah, sedangkan negeri itu mempunyai banyak masjid dan lelaki itu berkata, kenapa tanya macam-macam sedangkan jemaah lain mudah sahaja bagi sumbangan.
“Mereka juga berkata datang ke Kedah untuk membuka kedai telefon bimbit memandangkan di Melaka sudah mempunyai sebuah kedai menyebabkan saya terkejut. Saya terus meminta mereka menunjukkan kad pengenalan, namun mereka enggan sehingga saya membawanya kepada beberapa jemaah lain dan bilal masjid,” katanya.
Mohd Tarmizi berkata, dia membawa dua lelaki itu bertemu dengan bilal masjid terbabit agar dapat menunjukkan kad pengenalan namun setelah didesak, lelaki itu mengeluarkan sekeping kad keras yang hanya tertulis Yasin sahaja.
“Selepas didesak lagi, mereka berdua beredar dalam keadaan tergopoh-gapah dengan menaiki sebuah kereta perodua Kancil.
“Saya kesal kerana kebanyakan jemaah sudah memberi sumbangan yang banyak dan ada yang memberi RM10, RM20 dan RM50,” katanya.
Sementara itu, bilal masjid terbabit, Ali Muhammad, 65, berkata, dia tidak menyangka perkara itu berlaku dan kejadian itu mencemarkan institusi masjid, kerana mereka berani masuk dan menipu orang Islam ketika menunaikan solat.
“Tidak menyangka ada orang akan menipu dengan masuk dalam masjid dan turut sama menunaikan solat berjemaah,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Agama Daerah Pendang, Syeikh Ahmad Shukri Muhamed berkata, Pejabat Agama Kedah mengeluarkan arahan yang dipanjangkan kepada masjid supaya tidak mengutip derma kepada orang ramai sewenang-wenangnya, namun begitu pejabat agama tidak mempunyai hak untuk menghalang orang ramai bersedekah lebih-lebih lagi pada bulan ini.
“Dinasihatkan agar orang ramai lebih berhati-hati dan siasat latar belakang sekiranya peminta sumbangan ini tidak diberi kebenaran daripada pihak berwajib.
“Perbuatan ini bukan sahaja berlaku di daerah ini, tetapi difahamkan berlaku di beberapa negeri lain dengan menggunakan alasan yang sama iaitu ingin mendalami ilmu agama di Kelantan,” katanya.
sumber- Sinar
Sekeluarga jadi penderma organ
Semua ahli keluarga Ruslan yang mendaftar sebagai penderma organ menunjukkan kad ikrar penderma organ milik mereka. |
TEMERLOH - Jika pasangan suami isteri diduga dengan kematian anak pasti mereka akan meratap sedih dengan pemergian insan tercinta.
Namun berlainan pula bagi Ruslan Awang, 53, kerana dua anak lelakinya yang kembali ke Rahmatullah membanggakan mereka sekeluarga kerana menjadi penderma organ untuk membantu mereka memerlukan.
Menurutnya, kematian anak memang menyedihkan. Tetapi mereka perlu kuat dan menganggap anak itu sebagai pinjaman daripada ALLAH agar tidak berasa sedih dengan pemergian mereka.
Katanya, mereka sekeluarga kini merupakan pengikrar derma organ kerana sedar bahawa organ itu boleh dimanfaatkan orang lain.
“Saya mula menjadi penderma organ pada 1992. Kisahnya bermula apabila saya membaca artikel dalam akhbar di mana seorang bayi yang menghidap penyakit kronik, tetapi saya sudah lupa penyakit yang dihidapi.
Bayi itu memerlukan bantuansama ada organ atau darah daripada orang ramai.
“Saya terbuka hati untuk membantu bayi itu dan apabila sampai di hospital berdekatan saya membatalkan niat itu. Namun selepas beberapa hari saya pergi ke Kuala Lumpur untuk mendaftar sebagai penderma organ,” katanya.
Ruslan berkata, ketika itu dia bersama isterinya, Simuntina Sinos dan dua anaknya yang masih kecil berusia empat dan dua tahun mendaftar sebagai penderma.
Menurutnya, ketika itu dia merahsiakan perkara tersebut daripada pengetahuan ahli keluarga lain.
“Rahsia itu hanya diketahui apabila anak sulung saya, Mohammad Rasyidin ketika itu berusia 18 tahun meninggal dunia dalam kemalangan pada Oktober 2007.
“Apabila mengetahui perkara itu mereka menentang dengan alasan salah di sisi agama. Saya faham perasaanmereka ketika itu, namun saya terpaksa menghubungi salah seorang doktor di Kuala Lumpur untuk datang bagi menerangkan kedudukan sebenar kepada ahli keluarga yang lain.
“Setelah berbincang mereka faham bersetuju mendermakan semua organ arwah anak saya itu kecuali mata,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), dekat sini.
Dugaan keluarga Ruslan tidak terhenti di situ apabila dia diuji dengan kematian seorang anak keempatnya, Lukmanul Hakim, 17, yang terlibat kemalangan ketika dalam perjalanan pergi ke sekolah, pagi semalam.
Menurutnya, apabila anaknya selamat dilahirkan, dia terus mendaftarkan anaknya itu sebagai penderma organ dan kini anak bongsunya gembira menjadi penderma organ.
“Ketika arwah anak sulung saya berusia 12 tahun, saya memberitahunya bahawa dia telah didaftar sebagai penderma organ. Apa yang membanggakan saya apabila dia gembira dan rela menjadi penderma.
“Kami sekeluarga seramai lapan orang sudah menjadi penderma organ. Selain itu, adik-beradik dan anak saudara saya juga sudah mendaftar sebagai penderma organ. Kini kami berjumlah 15 orang.
“Bukan itu sahaja, malah seramai 12 orang penduduk di kampung saya turut mempunyai kesedaran sama untuk menjadi penderma organ,” katanya.
Ruslan berkata, dia teringin berjumpa dengan mereka yang menerima organ daripada anaknya itu dan apabila doktor memberitahu mereka kini sudah sihat saya berasa gembira kerana dapat memanfaatkan organ yang dianugerahkan ALLAH itu.
Dalam hal ini, Ruslan mengingatkan orang ramai supaya tidak menjadikan agama sebagai alasan atau penghalang untuk tidak menderma organ, sebaliknya pandanglah dalam konteks lebih luas.
“Mereka beranggapan apabila menderma organ bimbang akan bangkit pada hari kiamat dalam keadaan tidak sempurna. Itu merupakan pemikiran sempit kerana kita semua adalah ciptaan ALLAH.
“Jika kita memberikan organ pada mereka memerlukan pastinya kita turut mendapat ‘saham’ atau pahala sehingga penerima organ itu meninggal dunia,” katanya.
Ruslan berkata, dia tampil untuk memberikan penerangan ini bukan untuk mencari publisiti, tetapi mahu menyedarkan masyarakat untuk menjadi penderma organ.
sumber- Sinar
Jepun tarik balik gelas McDonald
Gelas percuma McDonald ini didakwa menyebabkan 78 pelanggan di Jepun cedera. |
TOKYO - Restoran makanan segera terkenal, McDonald yang beroperasi di Jepun, kelmarin menarik balik gelas percuma bertemakan Sukan Olimpik London 2012 selepas menerima 130 aduan daripada pelanggan.
Jurucakap McDonald, Kazuyuki Hagiwara berkata, mereka turut menerima 78 aduan pelanggan cedera.
"Kebanyakan pengguna mengalami luka kerana gelas sumbing. Kami mendapati kesilapan semasa prosedur pembuatan gelas tersebut menjadi punca insiden ini berlaku," katanya.
Difahamkan, enam juta gelas percuma itu telah diberikan kepada pelanggan sejak Jun lalu.
sumber- Sinar
Guna pelajar kutip derma sampai pukul 3 pagi
KAKITANGAN JAIS menahan seorang remaja (dua dari kiri) dalam Operasi Pemungut Khairat Tanpa Kebenaran di sebuah stesen minyak di Batu Tiga, Shah Alam semalam. |
Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasaan Jais, Hardi Mohamad Sadali berkata, aktiviti sindiket mengutip derma itu terbongkar selepas lapan individu termasuk tiga rakyat asing ditahan dalam operasi kutipan derma tanpa kebenaran di Seksyen 9, 11, 17, 18 dan 19 di sini semalam.
Beliau berkata, mereka yang ditahan berumur antara 16 dan 50 tahun kerana didapati menjalankan aktiviti mengutip derma tanpa kebenaran jais dan di kawasan yang tidak dibenarkan.
sumber- Kosmo
Bakal pengantin maut rempuh tembok jalan
KEADAAN kereta Soon Hup yang remuk teruk selepas melanggar tembok batu dan tiang lampu di Parit Pulai, Jalan Abdul Rahman, Muar kelmarin. Gambar kecil, Chia Soon Hup. |
MUAR – Seorang pemborong otak-otak terpaksa menahan kesakitan selama 20 minit akibat tersepit sebelum maut selepas kereta yang dipandunya merempuh tembok jalan dan tiang lampu di Parit Pulai, Jalan Abdul Rahman di sini kelmarin.
Dalam kejadian pukul 10.30 malam itu, Chia Soon Hup, 31, yang berasal dari Jalan Jabbar, Parit Jawa dekat sini disahkan mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.
Ketika kejadian, mangsa yang dalam perjalanan ke Muar dikatakan hilang kawalan menyebabkan kereta Toyota yang dipandunya masuk ke laluan bertentangan sebelum merempuh tembok jalan dan tiang lampu.
Ekoran rempuhan itu, kenderaan mangsa remuk teruk dan Soon Hup tersepit di tempat duduk pemandu.
Pegawai Operasi Kanan I, Jabatan Bomba dan Penyelamat Muar, Ismail Mahmud berkata, pihaknya mengambil masa selama 20 minit untuk mengeluarkan mangsa yang cedera parah di kepala akibat terhantuk pada stereng.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi.
Dalam pada itu, seorang saksi yang mahu dikenali sebagai Ang, 50-an, memberitahu, sebelum kejadian, penduduk setempat mendengar bunyi dua dentuman kuat yang pada mulanya disangka bunyi guruh.
sumber- Kosmo
Seluar jeans termahal di dunia
Seluar denim asalnya adalah untuk para pekerja pada zaman dahulu namun ia telah menjadi fesyen zaman moden dan menjadi simbol status. Pada awal tahun 2000, seluar jeans yang mahal harganya mula kembali ke dalam dunia fesyen dengan jenama seperti APO Jeans , Chip dan Pepper, Paper Denim & Cloth, Seven For All Mankind, True Religionn dan banyak jenama lain berharga $ 200 atau lebih bagi setiap helai jeans.
The Guinness Book of Records telah menyenaraikan sepasang seluar jeans Gucci Genius yang mempunyai bulu yang unik, manik, koyakan menarik dan butang sebagai jeans yang paling mahal iaitu $ 3,134 dan Forbes juga mempamerkan seluar jeans Escada's Swarovski yang diselaputi kristal dan dijual pada harga AS $ 10,000.
Syarikat Levi Strauss telah membida sebanyak $ 46,532 untuk membeli sehelai jeans dari jenama mereka sendiri di laman eBay.. Walau bagaimanapun, seluar jeans lama yang paling mahal adalah sehelai seluar jeans 501 yang dihasilkan pada tahun 1880-an dan dibeli oleh seorang pengumpul jeans dari Jepun pada tahun 2005 dengan harga $ 60,000.
Dussault Apparel’s Trashed Denim $250,000 |
Namun tiada apa yang dapat menandingi seluar jeans dari Dussault Apparel's Trashed Denim yang sangat mewah. Seluar jeans ini adalah buatan tangan menggunakan proses khas yang mana seluar ini dibasuh 13 kali, diwarna dengan dye dan dilukis corak. Proses ini dijalankan di antara setiap kali basuhan supaya ia dapat menambah keunikan kepada seluar jeans itu.
Cuba anda teka berapakah harga bagi seluar jeans paling mahal di dunia? Dussault Apparel's Trashed Denim dijual pada harga $ 250.000 dan seluar ini boleh dibeli di kedai Dussault di Los Angeles atau Kustom di New York City.
sumber- kakionline
sumber- kakionline
Tangan robotik dikawal dengan minda
NEW YORK - Seorang wanita lumpuh dari negeri Massachusetts, Cathy Hutchinson mengawal pergerakan sebuah tangan robotik dengan menggunakan mindanya.
Teknologi terbaharu itu dapat membantu memudahkan kehidupan harian Hutchinson yang lumpuh seluruh badan sejak 15 tahun lalu.
Wanita itu mengarahkan tangan robotik tersebut untuk melakukan pelbagai tugas seperti mengangkat sebotol air kopi dan meletakkan minuman itu ke dalam mulutnya.
Inovasi tersebut disiarkan jurnal Nature di Internet.
Ia dihasilkan oleh beberapa saintis Universiti Brown, Pusat Perubatan Providence VA di Pulau Rhode, Sekolah Perubatan Harvard dan beberapa tempat lain.
Tangan robotik tersebut dikawal dengan bantuan cip sebesar sebiji pil yang ditanam ke dalam otak manusia.
Ia menerima input aktiviti elektrik sel otak apabila individu berkenaan berimaginasi dia sedang menggerakkan tangannya.
Cip berkenaan kemudian menghantar isyarat tersebut ke sebuah komputer yang kemudian menggerakkan tangan robotik itu.
KOMBINASI gambar yang disiarkan menunjukkan Hutchinson menggerakkan tangan robotik dengan menggunakan mindanya. |
Kamera Leica termahal di dunia
kamera Leica siri O |
VIENNA, Austria – Sebuah kamera prototaip Leica buatan 1923 dijual pada harga 2.16 juta euro (RM8.57 juta) dalam satu lelongan di sini sekali gus mencatat rekod baharu kamera paling mahal di dunia.
Kamera prototaip Leica siri O berkenaan dibeli oleh seorang pembida misteri.
Cuma 25 buah kamera siri O dihasilkan bagi menguji pasaran kamera lensa 35 milimeter sebelum pengeluaran secara besar-besaran dibuat pada 1925.
Rekod sebelum ini dicatat pada tahun lalu juga oleh sebuah kamera siri O.
Kamera berkenaan dijual pada harga 1.32 juta euro (RM4.05 juta) manakala lelongan pertama kamera siri O pada 2007 cuma meraih 336,000 euro (RM1.03 juta).
Tipu sampai muflis
KESAL...Zali (kanan) dan Amri menunjukkan cek transaksi pindahan wang yang dibuat. |
KOTA BHARU: Umurnya sudah mencecah 61 tahun dan perwatakannya lembut serta meyakinkan, namun itu semua hanya topeng untuk memperdaya ramai ahli perniagaan di seluruh Malaysia menyebabkan dia kini diburu polis selepas disyaki terbabit dalam penipuan pelaburan bernilai lebih RM10 juta.
Dikesan aktif melakukan penipuan sejak beberapa tahun lalu, wanita itu yang dikenali sebagai Ramalah Mohd Nor, 61, dipercayai menipu sekurang-kurangnya 10 individu dan ada di antara mangsanya kerugian sehingga RM2 juta.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kelantan, Superintendan Mohamed Zulmazi Che Daud berkata, suspek dikenal pasti aktif menipu golongan profesional untuk melabur dalam sektor hartanah sehingga ada mangsanya diisytiharkan muflis selepas rumah atau tanah yang mereka cagar tergadai.
“Kami mendedahkan gambar suspek yang kini diburu selepas terbabit dalam kes penipuan lebih RM10 juta. Orang ramai yang mengenali suspek boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di talian 09-7455622,” katanya di sini, semalam.
sumber- HMetro
Misteri diganggu 12 hantu
VANESSA di rumah yang dikatakan berhantu. |
ESSEX: Seorang wanita terpaksa meninggalkan rumah impiannya bersama-sama bayinya selepas diganggu 12 hantu di dalam rumah itu.
Vanessa Mitchell, 37, menceritakan bagaimana dia berdepan dengan hantu itu beberapa minggu selepas berpindah ke rumah berkenaan.
Antaranya, memukulnya dari belakang, menarik rambutnya dan cuba menolak tetamunya di tangga.
Hantu itu juga mengalihkan objek di sekitar rumah, menggoncang tombol pintu dan membuka paip air.
Kemudian mereka membuat percikan darah timbul di ruang tamu.
Kejadian terakhir yang menakutkan Vanessa ialah selepas dia melahirkan anaknya. Ketika anaknya Jesse berusia empat bulan, Vannessa berkata, dia melihat ‘hantu jantan’ berdiri di atas buai bayi itu.
Vanessa, yang bertahan tiga tahun tinggal di rumah itu berkata, dia menemui sekurang-kurangnya 12 hantu.
“Selaku ibu tinggal, saya tidak sanggup untuk terus-menerus tinggal dengan hantu di rumah itu.” Dia masih berhutang sebanyak $147,000 (RM735,000) untuk rumah berkenaan yang sebelum ini menjadi penjara untuk tukang sihir di St Osyth, Essex.
Dalam usaha untuk mendapatkan pendapatan bagi membiaya kehidupannya, Vanessa bercadang membuka rumah itu untuk dijadikan ‘pelancongan hantu.’ Pakar, Chris Palmer, 36, ketika bercakap mengenai bangunan berusia 500 tahun itu berkata: “Ia mempunyai suasana paling negatif pernah saya temui.”
sumber- Agensi
Pekan terkecil di AS dilelong
Pekan Buford seluas 1.6 hektar, pekan terkecil di Amerika dilelong pada harga AS$900,000 |
SALMON 6 April - Sebuah pekan terkecil di Amerika Syarikat (AS) dijual pada harga AS$900,000 (RM2.7 juta) kepada seorang pembeli dari Vietnam selepas 11 minit dilelong dalam internet.
Pekan Buford, terletak di tenggara Wyoming antara Cheyenne dan Laramie, hanya mempunyai seorang penduduk, telah menarik minat ramai pembida daripada 46 negara semasa ia mula dilelong.
Firma jualan lelong di Oklahoma, Williams & Williams berkata, pembeli tersebut yang dirahsiakan namanya, berlepas dari Vietnam ke Wyoming untuk membeli pekan terbabit yang mempunyai kawasan seluas 1.6 hektar dan turut mempunyai kemudahan kedai, stesen minyak dan rumah.
Memiliki harta di AS merupakan impian saya, kata pembeli terbabit dalam satu kenyataan.
Satu-satunya penduduk di pekan itu, Don Sammos, berpindah bersama isterinya, Terry ke Buford dari Los Angeles pada 1980.
Pada 1992, enam tahun selepas kematian isterinya, Sammons membeli pekan terbabit dan menukar nama pekan berkenaan, Interstate 80 kepada Buford, sempena nama pegawai tentera Perang Saudara AS, Jeneral John Buford.
Lelaki berusia 61 tahun itu memutuskan untuk menjual pekan tersebut kerana mahu berpindah dekat rumah anak lelakinya di Colorado.
Keluarga saya tiada lagi di sini. Tujuan saya berpindah ke sini telah selesai dan kini saya mahu mencuba cabaran lain, katanya.
sumber- Reuters
5,000 tiang sokong jambatan terpanjang di dunia
JAMBATAN Teluk Jiaozhou dibuka kepada kenderaan awam pada 30 Jun lalu. |
SEPANJANG 42 kilometer (km), Jambatan Teluk Jiaozhou yang merupakan jambatan terpanjang di dunia mempunyai empat lorong dan menghubungkan dua daerah dalam Wilayah Shandong iaitu bandar pelabuhan Qingdao dan pulau pesisiran Huangdao.
Perjalanan di antara kedua-dua tempat itu sekarang 30km lebih pendek dan mengurangkan separuh masa perjalanan selama 40 minit sebelum ini. Ia menelan kos AS$2.3 bilion (RM7 bilion) dan mengambil masa empat tahun untuk disiapkan.
Jambatan itu yang disokong oleh 5,000 batang tiang. Menurut Guinness World Records, rekod jambatan atas air terpanjang sebelum ini dipegang oleh Tasik Pontchartrain Causeway di Louisiana, Amerika Syarikat namun jambatan China ini lebih panjang empat kilometer.
Selain tren laju, China juga terkenal dengan teknologi pembinaan jambatan. Malaysia sendiri menggunakan kepakaran dari negara itu dalam projek Jambatan Kedua Pulau Pinang.
Jambatan sepanjang 23.5 kilometer itu merupakan yang terpanjang di Asia Tenggara, menghubungkan Batu Maung di bahagian pulau dan Batu Kawan di bahagian tanah besar. Ia dilaksanakan secara usahasama antara China Harbour Engineering Company Ltd. (CHEC) dan UEM Builders Bhd.
Kos pembinaan jambatan tersebut ialah sebanyak RM3 bilion.
Projek yang telah memulakan pembinaan pada tahun 2008 dijangka siap sepenuhnya pada November 2013.
CHEC merupakan syarikat Fortune 500 yang diketahui terlibat dalam beberapa projek pembinaan jambatan terpanjang di dunia.
Syarikat tersebut sebelum ini diberi kepercayaan membina jambatan kabel terpanjang dunia yang menghubungkan Suzhou dan Nanpong di China.
Ia terlibat dalam 21 projek di Malaysia sejak tahun 1990-an termasuk kerja tebus guna dan perlindungan pantai di Sutera Harbour Resort di Kota Kinabalu, Sabah dan kerja tebus guna tanah di Pelabuhan Barat, Klang, Selangor.
sumber- Kosmo
Stewie kucing terpanjang di dunia
GAMBAR menunjukkan Stewie yang sepanjang 1.23 meter. |
Rekod kucing terpanjang sebelum ini adalah 1.21 meter.
Pemilik Stewie, Robin Hendrickson dan Erik Brandsness dari Reno, Nevada, memberitahu, ramai orang terpegun dengan kepanjangan kucing itu.
sumber- AP
2 lelaki Nigeria diberkas kes dadah
KUALA LUMPUR - Dua lelaki warga Nigeria yang disyaki pengedar dadah ditahan di dalam sebuah kereta di Taman Puchong Utama, Puchong, Selangor selepas polis menerima maklumat orang awam Isnin lepas.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata kedua-dua suspek berumur dalam lingkungan 30 hingga 32 tahun ditahan dalam kereta jenis Proton Saga, dipercayai cuba melarikan diri apabila polis menahan mereka setelah kunci kereta milik suspek dirampas.
"Bahagian Narkotik Subang Jaya, menerima maklumat pada 8.15 malam dan segera bertindak ke tempat kejadian dan hasil siasatan lanjut polis mendapati terdapat sebuah beg laptop berwarna hitam diletakkan di atas brek tangan dan didapati dalam beg tersebut terdapat dua beg plastik berlabel ”crystal” yang dipercayai syabu.
"Nilai rampasan 1,971.5 gram dianggarkan berjumlah kira-kira RM200,000,” katanya pada sidang media selepas majlis berbuka puasa di Ibu Pejabat Polis Subang Jaya.
Polis juga turut merampas sebuah lagi beg plastik kecil dipercayai mengandungi syabu pada salah seorang suspek dan satu pemetik api berbentuk pistol yang telah disorok pada stokinnya.
sumber- Bernama
Kawah di Marikh mirip Gurun Mojave di AS
PEMANDANGAN di permukaan planet Marikh yang dirakamkan kenderaan Curiosity kelihatan seperti Gurun Mojave, California. |
PASADENA - Kawah Gale di planet Marikh yang menjadi tempat kenderaan robotik Curiosity mendarat kelihatan mirip Gurun Mojave, California di Amerika Syarikat (AS), menurut seorang ketua saintis semalam.
"Pandangan pertama yang anda akan dapati adalah bagaimana ia kelihatan seperti Bumi," kata Ketua Saintis Institut Teknologi California, John Grotzinger.
Gambar di kawah itu dirakamkan oleh Curiosity selepas ia mendarat pada Ahad lalu.
Kenderaan robotik itu dalam misi yang dihantar Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) untuk mengesan kehidupan di planet tersebut.
NASA mendedahkan imej gambar yang dirakamkan Curiosity di kawah tersebut kelmarin.
"Ia menjadikan anda berasa seperti berada di tanah air," kata Grotzinger.
"Kita memerhatikan sebuah tempat yang dirasakan amat selesa.
"Marikh, pastinya amat berbeza dengan Bumi. Gurunnya yang dingin kerap dihujani radiasi," tambah Grotzinger.
Kenderaan robotik itu menjelajah sejauh 566 juta kilometer ke Marikh dari Bumi untuk misi penerokaan selama dua tahun.
Kos misi itu ialah AS$2.5 bilion (RM7.76 bilion).
sumber- Agensi
sumber- Agensi
Bekas imam didakwa abai kanak-kanak
SEORANG lelaki berdiri di pintu sebuah rumah pengikut ajaran Faizrakhman di pinggir Kazan kelmarin. |
MOSCOW - Seorang lelaki Muslim yang berusia 83 tahun, Faizrakhman Satarov didakwa melakukan pengabaian ke atas kanak-kanak, kata seorang timbalan pendakwa raya di Kazan, Tusia, Irina Petrova kelmarin.
Faizrakhman yang merupakan bekas imam di wilayah Bashkortostan mengarahkan 70 pengikutnya tinggal di dalam bilik bawah tanah hampir sedekad di pinggir Kazan.
Polis menyerbu bilik bawah tanah itu pada minggu lalu ketika melakukan siasatan tentang pembunuhan seorang timbalan mufti Tatarstan, Valiulla Yakupov.
Bilik bawah tanah itu terdapat di bawah bangunan setinggi tiga tingkat.
Faizrakhman dituduh mengabaikan kebajikan kanak-kanak kerana terdapat beberapa kanak-kanak ditemui turut hidup di bilik bawah tanah itu.
Bekas imam itu mendakwa dirinya sebagai nabi.
Kanak-kanak itu hidup tanpa menikmati cahaya matahari sehingga mereka dibebaskan oleh polis.
sumber- Agensi
Weirschke kekal gelaran penaip mesej terpantas
WEIRSCHKE (kiri) mengangkat tangan selepas diumumkan sebagai pemenang menaip khidmat pesanan ringkas paling pantas di New York kelmarin. |
NEW YORK - Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun, Austin Weirschke dari Wisconsin, Amerika Syarikat (AS) mengekalkan kejuaraan dengan memenangi pertandingan menaip khidmat pesanan ringkas paling pantas di negara ini.
Weirschke menang selepas dia bertarung dalam lapan pusingan di New York Times Square di sini kelmarin.
Dia memenangi hadiah wang tunai berjumlah AS$50,00 (RM154,966) dalam pertandingan anjuran syarikat pembuat telefon, LG Electronics.
Seramai 11 orang peserta dari AS bersaing dalam pertandingan tersebut.
Kesemua peserta pertandingan menggunakan jenis telefon bimbit yang sama iaitu LG Optimus Zip dengan papan kekunci QWERTY.
Pertandingan itu menguji tiga tahap kecekapan peserta itu; kelajuan, ketepatan dan ketangkasan.
Para peserta juga dikehendaki menaip ayat dengan mata ditutup.
"Ia (kejayaannya) seolah-olah tidak dapat dipercayai," kata Weirschke.
Remaja itu berlatih menghantar hampir 500 mesej sehari kepada rakan-rakannya.
Tempat kedua dimenangi oleh Kent Augustine yang berusia 16 tahun dari bandar raya ini.
Menurutnya, dia berasa sedikit kecewa kerana menduduki tempat kedua.
Bagaimanapun, dia menduduki tempat kedua dengan memperoleh wang tunai sebanyak AS$10,000 (RM31,049).
Augustine berkata, dia akan bertanding lagi pada tahun depan.
sumber- Agensi
Jet-jet Syria serang kampung
SEBUAH jet tentera Syria melancarkan serangan roket di Kampung Tel Rafat semalam. |
DAMSYIK - Seorang wartawan agensi berita Reuters menceritakan detik-detik sebuah jet tentera Syria membedil Kampung Tel Rifaat di sini.
Jet tersebut melancarkan serangan roket dan terbang pada ketinggian yang rendah.
Wartawan agensi berita itu melihat jet tersebut membuat banyak pusingan di ruang udara kampung tersebut yang didiami beberapa ribu penduduk.
Kampung tersebut terletak 35 kilometer ke utara bandar Aleppo.
Jet tersebut melepaskan tembakan dan melancarkan serangan peluru berpandu.
Penduduk kampung itu panik dan sebahagian mereka cuba untuk melarikan diri dengan menunggang motosikal.
Beberapa penduduk lagi berlindung di dalam kenderaan roda tiga.
Letupan kemudian kedengaran manakala sebuah trak yang mempunyai 12 tayar terbakar.
Seramai enam orang kanak-kanak dan seorang wanita yang menangis berlari meninggalkan rumah mereka.
Seorang wanita kelihatan memegang kitab al-Quran di kepala, menciumnya dan beberapa wanita lain mengetuk kepala mereka dengan tangan.
Seorang pejuang yang menentang kepimpinan Presiden Bashar Al-Assad, Abu Hassan menyatakan jet-jet tersebut menjadikan pangkalan pemberontak sebagai sasaran serangan.
"Setakat ini empat daripada pangkalan kami terkena bedilan," katanya.
Tentera-tentera yang setia kepada Bashar berdepan dengan para pemberontak yang bersembunyi di dalam rumah ladang,
Walaupun, para juruterbang tentera Syria dilihat mengetahui lokasi pangkalan pemberontak, mereka kerap kali melakukan serangan secara sembarangan.
Lembu-lembu berlari dan melompat semasa letupan kedengaran di padang manakala beberapa anggota sebuah keluarga berselindung di bawah pokok zaitun.
Sementara itu, Bashar menamakan seorang Perdana Menteri baharu semalam bagi menggantikan Riad Hijab yang berpaling tadah.
Perkembangan tersebut berlaku ketika tentera Bashar membedil kedudukan pemberontak di sebuah daerah strategik di sini.
Bashar melantik Wael Al-Halki yang merupakan pengikut fahaman Sunah dari wilayah Deraa, selatan Syria untuk menjadi perdana menteri selepas Riad melarikan diri pada Isnin lalu.
Dalam perkembangan berkaitan sekurang-kurangnya 78 orang terbunuh dalam keganasan di seluruh Syria semalam, kata Kumpulan Pemerhati Syria Bagi Hak Asasi Manusia.
Menurut pertubuhan itu angka kematian itu melibatkan 35 orang awam, 25 askar dan 18 anggota pemberontak yang dikenali sebagai Tentera Pembebasan Syria.
Kebangkitan rakyat menentang Bashar bermula pada Mac tahun lalu.
Lebih 19,000 orang dilaporkan telah terbunuh ekoran pertempuran antara kumpulan pemberontak dengan tentera Syria.
sumber- Agensi