sumber- Sinar
Pages - Menu
▼
Wednesday, September 12, 2012
Mitsubishi Storm hangus dijilat api
sumber- Sinar
Mr. Bean, Hero menyelamatkan nyawa
Rowan Atkinson |
Pelakon British, Rowan Atkinson atau lebih dikenali sebagai Mr. Bean telah menyelamatkan pesawat yang dipenuhi penumpang ketika juruterbangnya pengsan secara mengejut.
Dalam kejadian itu, Mr. Bean sedang dalam perjalanan dari Mombasa ke Nairobi di Kenya bersama keluarganya dengan menaiki pesawat syarikat swasta. Pada ketinggian 4,877 meter, juruterbangannya pengsan serta langsung tidak sedarkan diri.
Walaupun tiada pengalaman dalam pengendalian pesawat, Mr. Bean cuba sedaya upaya untuk menghalang pesawat tersebut dari jatuh terbabas. Dalam masa yang sama, isterinya Sunetra cuba mengejutkan juruterbang tersebut dengan cara menggoncang serta menyimbah air ke mukanya. Mujurlah beberapa minit kemudian juruterbang tersebut tersedar lalu mereka dapat mendarat dengan selamat.
Mr. Bean bersama isterinya |
Shakira disaman bekas kekasih
Shakira |
BOGOTA - Penyanyi terkenal dari Colombia, Shakira disaman bekas kekasih yang juga ejennya ekoran beberapa kontrak tertunggak selepas hubungan mereka berakhir, kata peguam bintang pop itu kelmarin.
Menurut peguam Ezequiel Camerini dalam satu kenyataan, Antonio de la Rua memfailkan saman tersebut pada Julai lalu dan menuntut aset-aset bank dibekukan.
Camerini tanpa memberi butiran lanjut berkata, permohonan Antonio untuk pembekuan aset bank itu ditolak, tetapi kes asas masih berjalan.
Minggu lalu, media Colombia melaporkan Antonio menuntut saman berjumlah AS$250 juta (RM767.55 juta) dan harta sepencarian yang dikongsi mereka selama 11 tahun bersama.
Antonio, 38, merupakan anak bekas Presiden Argentina, Fernando de la Rua yang berkhidmat dari tahun 1999 hingga 2001.
Beberapa hari kemudian, seorang peguam Antonio menafikan terdapat sebarang tindakan saman diambil.
Menurutnya, pasangan tersebut hanya membubarkan sebuah syarikat yang pernah mereka miliki bersama.
Namun, Camerini kelmarin menafikan terdapat sebarang usahasama sedemikian antara Shakira dan Antonio.
Penyanyi berusia 34 tahun itu kini menjalin hubungan dengan bintang bola sepak pasukan Barcelona, Gerard Pique.
Shakira pernah menjadi penyanyi lagu Waka Waka yang menjadi lagu tema pertandingan bola sepak Piala Dunia 2010.
sumber- AFP
Pengarah filem anti-Islam hilangkan diri
Protes ke atash filem terbitan Sam Bacile di Kaherah, Mesir. |
PENGARAH filem berketurunan Israel Amerika, yang menetap di California, mula menyembunyikan diri selepas filem terbarunya, yang didakwa menghina Nabi Muhammad SAW, menerima protes daripada umat Islam seluruh dunia.
Bercakap kepada pemberita di sebuah lokasi yang tidak dinyatakan, penulis dan pengarah, Sam Bacile terus berdegil dengan mengatakan agama Islam seperti satu barah dan menyatakan filemnya itu ialah sebagai satu sentimen provokatif politik dengan tujuan mengutuk ajaran agama Islam.
Berikutan penerbitan filem itu, Duta Amerika ke Libya, Christopher Stevens terbunuh dalam protes berhubung filem keluaran negara itu, semalam.
“Filem ini ialah sebuah filem politik,” kata Bacile.
“Amerika mempunyai banyak duit dan banyak orang berperang di Iraq dan Afghanistan tetapi saya berperang dengan idea,” tambah Bacile.
Bacile yang merupakan seorang ejen hartanah percaya filemnya itu akan dapat menerangkan kepada rakan-rakan seagamanya tentang kekurangan agama Islam kepada mereka.
Menurut Bacile, 56, filem yang memakan masa selama dua jam itu, yang berjudul Innocence of Muslims, melibatkan kos pembikinan sebanyak A$5 juta (RM15.3 juta) serta memperolehi dana daripada 100 bangsa Yahudi.
Penerbitan sebanyak 12 karikatur Nabi Muhammad SAW dalam sebuah akhbar di Denmark pada 2005 turut mencetuskan protes di kebanyakan negara Islam.
Walaupun Bacile berasa kesal dengan insiden pembunuhan itu, dia menyalahkan pihak kedutaan di Libya yang tidak mengetatkan kawalan keselamatan sehingga perkara seperti itu boleh berlaku.
“Saya merasakan sistem keselamatan di sana tidak cukup ketat dan kita patut berbuat sesuatu untuk mengubahnya,” kata Bacile.
Menurut konsultan kepada filem itu, Steve Klein, Bacile berasa risau dengan keselamatan ahli keluarganya yang menetap di Mesir walaupun Bacile enggan mengakuinya.
Menurutnya lagi, Klein berjanji untuk membantu Bacile menerbitkan filem itu tetapi sudah memberi amaran kepadanya dengan berkata, “awak bakal menjadi Theo van Gogh yang seterusnya.”
Van Gogh merupakan seorang pengarah Belanda yang dibunuh ekstremis Islam pada 2004 selepas menerbitkan sebuah filem yang mencemarkan kesucian agama Islam.
“Saya memang sudah jangkakan perkara seperti ini akan berlaku,” kata Klein.
Filem itu dihasilkan dalam tiga bulan pada musim panas tahun lepas, melibatkan seramai 59 pelakon dan 45 krew produksi.
sumber- Sinar
Krisis Syria: Angelina Jolie rayu dunia buka mata
Angelina Jolie ketika melawat kem pelarian di Zaatari, Jordan semalam. |
ZAATARI, Jordan - Pelakon terkenal Hollywood, yang juga Duta Kebajikan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Angelina Jolie berharap statusnya sebagai selebriti dapat membantu rakyat Syria dengan dunia "membuka mata" menyelesaikan krisis pelarian.
Menurutnya, dia sendiri telah menyaksikan serta menyelami situasi yang dilalui kanak-kanak di Syria, di mana kebanyakan daripada mereka kini hidup sebagai yatim piatu dan sebatang kara.
“Seorang budak perempuan sembilan tahun bercerita kepada saya bahawa menjadi pemandangan biasa untuk melihat anggota badan berselerak dan mayat orang mati dibakar, diratah macam ayam oleh binatang di sini,” kata Jolie semasa membuat lawatan ke kem pelarian di Jordan berdekatan dengan sempadan Syria.
Menurut agensi pelarian PBB, setiap hari dianggarkan lebih kurang 2,000 penduduk Syria mati akibat pergolakan politik melanda negara itu sejak 18 bulan yang lalu.
Selain itu, hingga kini, sebanyak 253,000 pelarian Syria dilaporkan mendapat perlindungan dengan hidup dalam kem pelarian dan rumah sementara di negara berdekatan seperti Jordan, Turki, Lebanon dan Iraq.
Menempuh kehidupan di kem pelarian Zaatari, Jordan bukanlah semudah yang disangka, di mana kebanyakan mereka hilang segala harta benda selepas meninggalkan rumah di Syria.
Salah seorang pelarian menceritakan pengalamannya kepada CNN.
Katanya, dia sekeluarga merentasi sempadan dengan bayi yang hanya baru dilahirkan empat hari sebelum itu, dengan semua pakaian dikendong di belakang.
Mereka juga merungut mengenai ketiadaan bekalan minuman dan makanan yang dapat menampung kehidupan pelarian.
Jolie ditemani tentera Jordan membuat lawatan sehari ke sempadan, menyaksikan sendiri pelarian dari Syria bergerak ke Jordan dalam usaha mencari perlindungan.
Aktres yang mempunyai enam orang anak bersama pasangannya, Brad Pitt menyatakan dia berasa sangat tersentuh dengan situasi itu dan tidak dapat membayangkan perkara itu terjadi kepada ibu-ibu dan anak-anak mereka terutamanya.
“Dengan jumlah kanak-kanak yang tidak bersalah menjadi mangsa, seperti ada yang meninggal dunia, cedera parah dan hidup sebatang kara, dengan ibu bapa mereka pula dibunuh, kita harus berbuat sesuatu agar perkara ini akan dapat dibanteras,” kata Jolie.
Jolie sebelum ini telah banyak mengembara ke negara-negara bergolak untuk melihat sendiri kedaifan hidup mereka dan sememangnya terkenal dengan kerja-kerja kemanusiaan sejagat sejajar dengan tugasnya sebagai Duta Kebajikan PBB.
Sementara itu, menurut Menteri Luar Jordan, Nasser Judeh, negaranya sedang membina lebih banyak khemah pelarian untuk menampung pelarian Syria yang kini sudah terlebih muatan di sesetengah khemah pelarian.
Jolie pula menggesa negara-negara lain untuk turut sama membantu pelarian di sini.
“Saya sangat terharu dengan usaha Jordan dan negara sempadannya yang lain dalam usaha menyelamatkan nyawa pelarian Syria. Ini adalah satu perkara murni dan sangat luar biasa.
“Oleh itu, saya menggesa semua pihak menyokong projek ini dan berharap kehidupan penduduk di Syria akan kembali normal seperti dulu semula,” kata Jolie.
sumber- Sinar
Protes filem hina Nabi, Duta AS ke Libya maut
Protes yang diadakan di pejabat konsul Amerika Syarikat semalam. |
TRIPOLI - Duta Amerika Syarikat (AS) ke Libya terbunuh dalam serangan ke atas pejabat konsul negara itu di bandar Benghazi, semalam.
Duta Christopher Stevens merupakan salah seorang daripada empat pegawai AS terbunuh dalam protes berhubung filem keluaran negara, yang didakwa menghina Nabi Muhammad SAW.
Jabatan Negara AS hanya mengesahkan kematian seorang pegawai tetapi tidak mengeluarkan nama lagi.
Selain di Libya, protes juga diadakan di Keduataan AS di Kaherah.
Dalam serangan di Benghazi, seorang lelaki memasuki kawasan pejabat konsul dan melepaskan tembakan, selain membaling bom.
Seorang pegawai Libya berkata, Stevens meninggal dunia disebabkan sesak nafas ekoran serangan itu.
Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton mengesahkan kematian seorang pegawai negara itu premis tersebut.
Tindakan seorang lelaki AS berbangsa Yahudi menghasilkan sebuah filem yang menghina Nabi Muhammad SAW telah mencetuskan kemarahan orang Islam di Libya dan Mesir.
Kumpulan penunjuk perasaan yang berang itu bertindak menggempur Kedutaan AS di Kaherah dan Benghazi pada hari sama sambutan ulang tahun ke-11 serangan 11 September, semalam.
Menurut jurucakap Kementerian Dalam Negeri, protes di bandar timur Libya tersebut bertukar ganas selepas sekumpulan lelaki bersenjata menyerbu masuk ke dalam pejabat konsul dan membakar premis itu.
"Duta AS ke Libya, Christopher Stevens bersama tiga kakitangan dilaporkan turut terkorban manakala dua lagi cedera dalam serangan roket yang disasarkan ke bangunan tersebut," kata Wanis al-Sharef.
Beberapa jam sebelum insiden itu, ratusan penunjuk perasaan ultrakonservatif berarak menuju ke Kedutaan AS di Kaherah dan berhimpun di luar bangunan tersebut sambil melaungkan slogan mengutuk tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menghasilkan filem terbabit.
Bagaimanapun, demontrasi itu juga bertukar menjadi ganas selepas puluhan penunjuk perasaan bertindak luar kawalan dengan memanjat tembok di luar bangunan kedutaan tersebut dan menurunkan bendera kebangsaan AS.
Dalam satu kenyataan, pihak berkuasa memaklumkan tiada tangkapan dibuat kerana protes tersebut dilakukan secara aman dan kumpulan itu dilaporkan bersurai menjelang tengah malam.
Difahamkan, treler filem selama 14 minit berjudul Innocence of Muslims dihasilkan oleh pengarah anti-Islam, Sam Bacile, 52, menerima kecaman banyak pihak terutamanya orang Islam selepas ia dimuat naik ke dalam laman Youtube.
Wall Street Journal melaporkan Bacile turut menerima bantuan berjumlah AS$5 juta (RM15 juta) daripada kira-kira 100 bangsa Yahudi untuk membuat filem yang sengaja memburuk-burukkan sifat Nabi Muhammad SAW.
Penerbitan sebanyak 12 karikatur Nabi Muhammad SAW dalam sebuah akhbar di Denmark pada 2005 turut mencetuskan protes di kebanyakan negara Islam.
sumber- Sinar
Tempat meletak pisau paling ngeri
Satu rekaan yang agak mengerikan dimana tempat untuk meletak pisau ini menjadikan patung seakan manusia sebagai subjek untuk ditikam. Ianya dipanggil Voodoo Knife. Jika perkakasan seperti ini disebar secara meluas, tidak mustahil satu hari nanti seorang suri rumah akan menikam suaminya atau menjadikan anak-anak sebagai mangsa seksaan seperti apa yang dilakukan pada patung tersebut.
Basikal paling letih di dunia
Jika anda mencari basikal paling letih di dunia, inilah jawapannya kerana walau selaju mana kayuhan anda, anda tetap tidak akan sampai ke destinasi. Pelik! Kenapa ada juga manusia yang membuat produk yang langsung tidak berguna seperti ini?
Bela harimau atas bumbung di Thai
Salah seekor harimau yang dibela di atas bumbung sebuah apartmen di wilayah Pathum Thani, kemarin. |
BANGKOK - Pihak berkuasa menahan seorang lelaki yang didakwa membela enam ekor harimau secara tidak sah di kawasan bumbung sebuah apartmen empat tingkat di kawasan kejiranan Pathum Thai, pinggir Bangkok, kelmarin.
Menurut polis, kesemua haiwan mamalia pemakan daging itu termasuk dua anak harimau tersebut dikurung di dalam sebuah sangkar besar.
Pegawai polis, Adtapon Sudsai berkata, pemilik haiwan itu, Surasak Bunthienthong, 28, telah didakwa atas kesalahan memiliki haiwan liar yang dilindungi.
"Hasil siasatan awal kami mendapati, apartmen tersebut dijadikan tempat transit untuk urusan jual beli harimau secara haram di Thailand, di mana spesies tersebut diseludup untuk mendapatkan kulit dan organnya bagi menghasilkan ubat tradisional," katanya.
sumber- Sinar
Indonesia punyai perokok lelaki teramai di dunia
JAKARTA: Indonesia mempunyai perokok lelaki teramai di dunia, di mana dua antara tiga daripada mereka adalah perokok kerana harga rokok yang sangat murah dan iklan rokok terdapat di merata tempat.
Hasil kajian yang didedahkan semalam mendapati, 67 peratus daripada semua lelaki berusia lebih 15 tahun, merokok. Indonesia mendapat tempat kedua di belakang Russia dengan keseluruhan kadar perokok 35 peratus berbanding 39 peratus.
Menteri Kesihatan Indonesia, Nafsiah Mboi berkata, “Kami gagal melindungi rakyat kami.”
Kadar perokok lelaki di negara ini meningkat dari 53 peratus sejak 1995.
“Kami dikalahkan oleh industri tembakau... kami tidak mahu ini. Kami tidak boleh menerimanya kerana tugas kami adalah melindungi orang ramai daripada rokok,” katanya.
Lebih daripada 8,000 orang mengambil bahagian dalam kajian itu tahun lalu, iaitu sebahagian daripada siri kajian global yang dibuat di 15 negara yang mempunyai perokok tegar dan disokong oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS.
sumber- AP
Menteri Jepun gantung diri
Tadahiro Matsushita |
TOKYO: Menteri Perkhidmatan Kewangan Jepun, mati dipercayai membunuh diri dua hari sebelum sebuah majalah tabloid menyiarkan dakwaan lelaki berusia 73 tahun itu mempunyai hubungan sulit dengan seorang perempuan, menurut laporan, semalam.
Tadahiro Matsushita ditemui tergantung di rumahnya di Tokyo, kelmarin, lapor media Mainichi Shimbun. Menurut laporan itu, sepucuk surat dialamatkan kepada isterinya, Perdana Menteri Yoshihiko Noda dan anggota Kabinet lain, turut ditemui.
Seorang wanita dari majalah tabloid Shukan Shincho berkata, edisi Rabu (hari ini) akan melaporkan berita mengenai skandal yang melibatkan Matsushita yang “mempunyai hubungan dengan wanita lain” tetapi enggan menjelaskan dengan lebih lanjut.
Laporan media mengesyorkan majalah itu akan menyiarkan dakwaan Matsushita, yang juga menteri yang bertanggungjawab dalam perubahan dalam perkhidmatan pos, menjalin hubungan dengan wanita lain.
Anggota Kabinet yang lain memberi penghormatan kepada Matsushita semalam dan Menteri Kewangan, Jun Azumi berkata, “Beliau seorang ahli politik veteran dan kualiti kerjanya adalah sangat tinggi.”
Azumi akan menggantikan Matsushita sebagai Menteri Perkhidmatan Kewangan dan Noda akan mengambil alih tugasnya sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam menyelia penswastaan rangkaian pejabat pos, lapor Jiji Press.
sumber- AFP
Polis Brunei memperkosa anak dipenjara 18 tahun, 12 sebatan
BANDAR SERI BEGAWAN: Seorang anggota polis berusia 33 tahun dijatuhkan hukuman penjara 18 tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Sesyen selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan merogol anak perempuannya.
Defendan didapati bersalah melakukan perbuatan itu dalam tiga kejadian berasingan pada 2007, 2010 dan Ogos tahun lalu.
Mahkamah diberitahu insiden pertama terjadi di Berek Polis Seria di Kuala Belait ketika mangsa berusia tujuh tahun.
Kejadian kedua di Berek Polis Lamunin di Tutong ketika mangsa berusia 10 tahun dan kejadian terbaru berlaku di sebuah kediaman di Kampung Penaga di Kuala Belait ketika mangsa berusia 11 tahun.
Kes itu dilaporkan kepada pihak berkuasa sekitar Ogos tahun lalu.
Siasatan dilakukan Defendan pada awalnya menafikan semua tiga pertuduhan dikenakan ke atasnya, termasuk dakwaan liwat.
Dalam perbicaraan itu, pendakwa raya memanggil lapan saksi. Pada 2 Jun lalu Mahkamah Sesyen memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap defendan atas semua tiga pertuduhan rogol, tetapi memutuskan tiada kes prima facie dibuktikan atas tuduhan liwat dikenakan ke atasnya.
sumber- Brunei Times
Terkejut jumpa mayat isteri
Mayat mangsa ditemui terbaring di atas lantai rumahnya. |
KULIM - Seorang suri rumah warga Thailand ditemui mati di ruang tamu rumahnya dalam kejadian di Taman Kenari dekat sini kira-kira jam 11.15 malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, sebelum kejadian, suami mangsa sedang tidur bersama anak perempuan mereka berusia enam tahun di sebuah bilik di rumah berkenaan.
Menurutnya, menyedari mangsa tidak ada bersama mereka, suaminya bangun dan mencari mangsa yang berusia 32 tahun.
"Suaminya terkejut apabila menemui mangsa yang sudah tidak bernyawa di ruang tamu rumah mereka sebelum cuba memberi bantuan rawatan kecemasan kepada mangsa.
"Suami mangsa kemudiannya menghubungi Hospital Kulim untuk mendapatkan bantuan kecemasan bagaimanapun kakitangan ambulans yang tiba di tempat kejadian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia," katanya kepada Sinar Harian.
Ghuzlan berkata, ketika kakitangan ambulans tiba di tempat kejadian, suami mangsa sedang melakukan rawatan kecemasan terhadap mangsa.
Katanya, bagaimanapun rawatan kecemasan yang diberikan terhadap mangsa tidak berjaya dan mangsa dipercayai sudah meninggal dunia.
"Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Kulim untuk bedah siasat.
"Memandangkan polis tidak menemui sebarang perlakuan jenayah terhadap mayat mangsa, kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.
sumber- Sinar
Stok mangsa pemerkosaan dari Facebook
SHAH ALAM - Seorang pekerja sebuah syarikat penghantaran tidak serik walaupun pernah dituduh di mahkamah kerana terbabit dalam kes rogol, dia sekali lagi ditahan selepas dikesan melakukan perbuatan sama terhadap tiga lagi mangsa berusia belasan tahun.
Suspek berusia 20 tahun itu menyasarkan kenalan perempuan yang dikenali menerusi laman sosial facebook sebagai mangsa untuk memuaskan nafsunya.
Suspek bijak menjalinkan hubungan cinta dengan semua mangsanya, sebelum mengumpan mereka untuk ke rumahnya di Kampung Sungai Udang, Klang dan melakukan perbuatan terkutuk itu.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata, suspek itu berjaya ditahan di rumahnya pada 6 September lalu, selepas mangsa terakhir berusia 13 tahun membuat laporan polis.
Beliau berkata, berdasarkan laporan mangsa terbabit, dia mendakwa dirogol suspek kira-kira dua minggu lalu.
"Perkara itu hanya terbongkar selepas keluarga mangsa memaksanya menceritakan kejadian yang berlaku kerana curiga dengan tindakannya yang tidak pulang ke rumah pada hari kejadian.
"Susulan itu, mangsa dan keluarganya membuat laporan polis, sebelum suspek ditahan reman sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana rogol," katanya pada sidang akhbar,
semalam.
Mohamad berkata, semakan mendapati suspek pernah dituduh di mahkamah pada 9 Mac lalu kerana melakukan satu kes rogol, namun dia dibebaskan dengan ikat jamin.
"Dalam tempoh jamin tersebut, suspek melakukan tiga lagi kes rogol membabitkan remaja berusia 13 hingga 16 tahun," katanya.
sumber- Sinar
Misteri kain putih disebalik pokok
Kain putih yang tergantung di tepi pokok menjadi tanda tanya penduduk. |
BALING - Penduduk setempat sekitar kampung di sini terkejut apabila melihat objek seakan-akan lembaga putih pada gambar yang dirakam skuad Sinar Harian yang datang membuat liputan di kampung itu, baru-baru ini.
Lembaga atau kain putih tergantung bersebelahan pokok itu menimbulkan tanda tanya penduduk, kerana kain itu memang tidak pernah berada di situ.
Seorang penduduk yang dikenali sebagai Mat berkata, dia hairan apabila skuad terbabit datang semula ke situ untuk melihat kain putih yang terpapar dalam gambar yang dirakamnya beberapa jam sebelum itu.
“Saya pun lihat gambar dalam kamera itu dan ternyata memang nampak ada kain putih seperti tergantung di pokok itu,” katanya.
Pertemuan pada waktu hampir Maghrib itu mengakibatkan penduduk terus beredar dari kawasan itu kerana mula seram.
“Ada juga penduduk yang pergi periksa, tetapi memang tiada kain di situ, yang ada hanyalah pokok dan semak samun," katanya.
Mat berkata, sehingga hari ini, kain berkenaan masih lagi menjadi tanda tanya penduduk kampung yang berada di kawasan berkenaan.
Gambar kain berkenaan turut disiarkan menerusi blog yang mendakwa lembaga itu adalah langsuir dan ada yang mengatakan ia penunggu hutan.
sumber- Sinar
sumber- Sinar
Gangguan si mabuk
Kedai terbabit tidak mempunyai permit yang membenarkan penjualan arak. |
RAWANG - Bosan dengan sikap pemabuk yang kerap membuat bising dan mengganggu wanita, aduan mengenai gangguan tersebut disalurkan Majlis Perbandaran Selayang (MPS).
Bertindak atas laporan tersebut, sebuah premis arak yang terletak di Rawang Perdana diserbu dan sebanyak 20 kotak minuman keras dirampas.
Penolong Pegawai Penguatkuasa MPS, Megat Ainum Fadzlil Ainul Fadzil berkata, sitaan dibuat atas kesalahan di bawah Undang-undang Kecil Tred Perniagaan dan Perindustrian (MPS) 2007 kerana tiada permit.
“Setelah disiasat, premis tersebut menjual pelbagai arak yang disorokkan di dalam stor khas dan premis tersebut tidak mempunyai Lesen Cukai Arak di bawah Akta Eksias 1976.
“Sitaan itu diharapkan menyelesaikan aduan orang awam yang terganggu disebabkan bunyi bising sehingga mengganggu keluarga,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata, setakat ini aduan diterima hanya membabitkan kawasan berkenaan sahaja selain aduan daripada Ahli Majlis tentang kedai penjualan arak yang beroperasi selama 24 jam.
Bagaimanapun katanya, tiada undang-undang khusus penguatkuasaan membabitkan perkara itu dan hanya undang-undang bersesuaian digunakan untuk sebagai menyelesaikan aduan orang awam.
sumber- Sinar
Kreativiti seni dari pisang
Pisang adalah buah-buahan tropika yang mudah untuk hidup serta tidak bermusim. Buah pisang sememangnya cukup terkenal di seluruh dunia. Seorang artis dari Melbourne, Jun Girl Park telah mengetengahkan buah pisang bagi menghasilkan karyanya. Hasil kreativiti Jun diilhamkan dari ikon Jazz yang sering membuat persembahan di Buena Vista Social Club dan juga perkara-perkara lain yang berasaskan kehidupan.
Tawar benih sawit tukar agama
Pengerusi Jawatankuasa Dakwah, Perpaduan dan NGO Pahang, Datuk Mohd Sahfri Abdul Aziz |
KUANTAN - Masyarakat Orang Asli yang sudah memeluk Islam jadi sasaran gerakan mubaligh Kristian dari luar negara yang dipercayai sudah menyusup masuk ke negara ini sejak beberapa tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Dakwah, Perpaduan dan NGO Pahang, Datuk Mohd Sahfri Abdul Aziz berkata, pihaknya mengesan kegiatan kumpulan itu termasuk taktik mereka yang mengumpan kumpulan sasaran dengan kebendaan.
"Setakat ini, tujuh hingga lapan kampung Orang Asli di negeri ini dikesan sudah dimasuki kumpulan mubaligh dari negara jiran itu yang berusaha mengkristiankan saudara baru Orang Asli," katanya.
Menurutnya, kumpulan dipercayai dari Singapura, Filipina dan Indonesia itu turut menawarkan benih sawit dan getah kepada saudara baru Orang Asli.
Mohd Sahfri berkata, Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) dan Yayasan Pahang sentiasa melakukan usaha berterusan bagi menangani kegiatan itu.
Katanya, selain menggiatkan dakwah di kampung Orang Asli, pihaknya juga menyediakan program khusus menjadikan saudara baru remaja sebagai anak angkat Yayasan Pahang melalui program Petama.
“Di samping menghantar pedakwah ke kampung Orang Asli, kita juga berusaha membawa mereka keluar dari penempatan di pedalaman. Ini kerana faktor geografi dan kemudahan asas yang masih dalam proses menyukarkan usaha dakwah dilakukan,” katanya.
Sementara itu, Senator Orang Asli, Muhammad Olian Abdullah memberi amaran kepada mubaligh Kristian supaya tidak menyebar ajaran agama mereka kepada saudara baru kerana ia secara jelas telah melanggar Perlembagaan Negara ini.
Menurutnya, perbuatan menyebar dakwah agama lain kepada penganut Islam bukan saja melanggar Perlembagaan Negara malah merupakan satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri.
"Pihak berkuasa agama di peringkat negeri perlu mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana mubaligh Kristian yang cuba meracuni pemikiran saudara baru terutama di kawasan penempatan Orang Asli.
“Mubaligh Kristian seharusnya faham, mereka tak boleh sebarkan agama mereka kepada saudara baru Islam kerana ia jelas telah melanggar Perlembagaan Negara dan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Muhammad Olian berkata, bagi mengatasi isu penyebaran dakyah Kristian, agensi kerajaan seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Negeri perlu membuat langkah susulan bagi membendung kegiatan itu daripada terus berleluasa.
“Dalam hal ini, pemantapan akidah saudara baru penting. Saya berharap Jakim dan Jabatan Agama Islam Negeri mainkan peranan pastikan penguasaan iman saudara baru dapat ditingkatkan dari semasa ke semasa.
“Di Pahang misalnya, saya melihat ada tindakan yang dilakukan Muip dengan kerjasama Pejabat Agama Islam Daerah untuk mengatur pelbagai pengisian bagi tujuan pemantapan akidah,” katanya.
Selain itu, katanya, setiap penempatan saudara baru Orang Asli di Pahang juga turut mempunyai penggerak masyarakat Orang Asli dari Jakim yang berperanan memberi penekanan terhadap pendidikan keagamaan kepada golongan saudara baru.
“Bagaimanapun, usaha dakwah ini perlu dipergiatkan lagi termasuk dari segi pemantauan, dan tindakan susulan agar usaha dakwah kepada saudara baru ini tidak hanya dibuat secara bermusim,” katanya.
Muip sebelum ini pernah memberi amaran akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pendakwah agama lain yang cuba menyebarkan fahaman mereka kepada umat Islam.
Timbalan Yang Dipertuanya, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata, melalui enakmen itu, penganut agama lain tidak boleh menyebarkan agama mereka kepada orang Islam.
Menurutnya, penyebaran agama lain kepada penganut Islam adalah satu kesalahan dan menasihatkan pendakwah agama lain tidak menjalankan kegiatan itu di negara ini bagi mengelakkan mereka dikenakan tindakan undang-undang.
“Kegiatan penyebaran agama lain kepada penganut Islam adalah satu kesalahan dan tindakan boleh diambil kepada mana-mana pendakwah agama lain kerana cuba memesongkan akidah umat Islam,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian selepas ditanya berhubung sejauh mana kuasa Muip bagi membendung penularan penyebaran dakwah agama lain di negeri ini yang dipercayai berleluasa terutama di penempatan saudara baru Orang Asli.
Wan Abdul Wahid turut mengakui usaha penyebaran agama lain kepada saudara baru Orang Asli semakin berleluasa di negeri ini dan pihaknya juga memandang serius isu itu agar ia dapat ditangani segera.
“Muip akan pastikan mereka yang sudah memeluk agama Islam terus kekal dengan ajaran Islam dan kita akui terdapat pihak-pihak tertentu yang cuba menggerakkan usaha-usaha penyebaran agama lain terutama kepada saudara baru,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, saudara baru diingatkan supaya terus mengamalkan ajaran Islam serta menolak dakyah mana-mana pihak yang cuba mempengaruhi mereka dengan ajaran agama lain.
Menurutnya, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) juga boleh memantau gerakan memurtadkan saudara baru di penempatan Orang Asli bagi membendung kegiatan itu terus berleluasa pada masa depan.
“Kita minta kerjasama dari Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) serta pendakwah daripada Jakim memperhebatkan usaha penyebaran Islam agar tiada pihak yang cuba mempengaruhi fikiran saudara baru untuk bertukar ke agama lain,” katanya.
sumber- Sinar
Superman 'bantu' pasangan kekasih
NEW YORK - Bekas bintang siri televisyen Lois & Clark: The New Adventures of Superman, Dean Cain mungkin tidak lagi melakonkan watak superhero itu, namun dia tetap dianggap sebagai wira di kalangan peminatnya.
Bekas superhero itu dilaporkan telah menerima permintaan sepasang kekasih bagi menjayakan majlis pertunangan mereka semasa sesi fotografi konvensyen fantasi Komik DC di Atlanta, Georgia, semalam.
Pelakon berusia 46 tahun itu berkata, dia menerima pelawaan daripada peminatnya, Ruby Rinekso dari New York, yang merancang untuk melamar teman wanitanya, Jennifer Haviland.
Katanya, dia bersetuju apabila Rinekso meminta bantuannya untuk memberikan cincin pertunangan kepada Haviland.
Rinekso, 39, telah bercinta dengan Haviland, 33, selama 11 tahun dan memakai kostum Batman dan Batgirl semasa sesi fotografi tersebut.
Rinekso dan tiga rakannya sebelum itu merancang untuk menjemput Cain menghadiri konvensyen berkenaan dan membantu memberikan cincin kepada Haviland, walaupun dia meragui pelakon terkenal itu akan menerima permintaannya.
Namun, keraguan lelaki itu terpadam sama sekali apabila pelakon kelahiran Amerika Syarikat tersebut sudi membantunya dengan membuat kejutan apabila membawa cincin pertunangan kepada Haviland.
"Saya berasa sangat gembira, gementar dan tidak terkata-kata.
"Saya dan Haviland tidak menyangka Cain sanggup membantu melangsungkan pertunangan kami ini," katanya.
sumber- AGENSI
Freeman nafi dakwaan meninggal dunia
FREEMAN sering menjadi mangsa laporan palsu di internet. |
LOS ANGELES - Aktor terkenal Hollywood, Morgan Freeman sekali lagi menjadi mangsa di internet minggu ini apabila khabar angin mengenai kematiannya tersebar di laman sosial Facebook, lapor portal hiburan TheWrap.com kelmarin.
Ia tersebar melalui sebuah akaun Facebook yang kemudian disukai oleh lebih 842,000 individu.
Agensi berita Reuters kelmarin melaporkan laman sosial berkenaan mendakwa Freeman meninggal dunia selepas mengalami masalah arteri.
"Sekitar pukul 5 petang waktu tempatan pada Khamis, aktor kesayangan kita Morgan Freeman meninggal dunia akibat saluran arteri pecah," tulis akaun Facebook berkenaan.
Bagaimanapun, jurucakapnya ketika memberitahu TheWrap.com menafikan berita tersebut selain mengesahkan Freeman masih hidup dan berada dalam keadaan sihat.
Aktor berusia 75 tahun itu pernah memenangi anugerah Oscar pada tahun 2004 menerusi filem Million Dollar Baby.
Dia turut membintangi filem terbaharu Batman, The Dark Knight Rises.
Pada tahun 2010, Freeman pernah menjadi mangsa dalam laman sosial apabila berita dia meninggal dunia di kediamannya tersebar.
Pada awal tahun ini, Freeman juga menjadi sasaran khabar angin yang lebih menjijikkan, apabila laporan media mendakwa dia merancang untuk berkahwin dengan cucu perempuan tirinya, E'Dena Hines.
sumber - Agensi
Simpan kereta curi di hospital
SEBAHAGIAN daripada kereta curi yang ditemui di tempat letak kereta Hospital Tengku Ampuan Rahimah dipamerkan pada sidang akhbar di Klang semalam. |
KLANG – Taktik kumpulan penjenayah yang menjadikan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini sebagai tempat menyembunyikan kereta curi terbongkar selepas polis menemui lima buah kereta curi di kawasan tempat letak kereta di premis itu Sabtu lalu.
Ketika ditemui pada pukul 12 tengah hari itu, salah sebuah kereta terbabit didapati dijadikan tempat untuk suspek menyembunyi enam bilah parang, enam topeng ski, enam sarung tangan getah dan tiga helai jaket disyaki digunakan untuk kegiatan jenayah.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata, pembongkaran bermula apabila polis menjalankan rondaan di hospital itu sejak dua minggu lalu.
Katanya, polis kemudian membuat pemeriksaan selepas curiga apabila mendapati kereta itu tidak beralih di tempat letak kereta terbuka itu selama seminggu.
“Semakan mendapati kereta yang tidak berkunci dan menggunakan nombor pendaftaran palsu itu dicuri di Batu 9 Cheras, Kajang, Bestari Jaya dekat sini dan Nibong Tebal, Pulau Pinang.
“Sebuah kereta Proton Waja pula mengandungi peralatan yang dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Tambahnya, kumpulan terbabit dipercayai menjadikan HTAR sebagai tempat meletakkan kereta curi sebelum dijual atau digunakan untuk melakukan jenayah.
Menurut Mohamad, pihaknya masih belum membuat tangkapan dan masih menyiasat mengapa penjenayah memilih hospital untuk meletakkan kereta curi itu.
Sementara itu, dalam kes berasingan, Mohamad berkata, polis menahan lima pencuri kereta mewah dan merampas 10 paket syabu, sebuah kereta Honda Accord, 11 keping nombor plat kenderaan dan dua rangkai anak kunci kereta Jaguar dan Porsche Ahad lalu.
Tangkapan pertama dilakukan di sebuah hotel di Taman Chi Liung di sini bersama kereta Honda Accord yang dicuri di Pudu, Kuala Lumpur sebelum polis menahan empat lagi termasuk seorang wanita di sekitar Klang.
Kesemua suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
sumber- Kosmo
Dua rakan ditemui lemas
ORANG ramai melihat jenazah dua kanak-kanak yang ditemuilemas di Putatan semalam. |
PUTATAN - Kebimbangan seorang bapa mengenai keselamatan anaknya yang dilaporkan tidak ke sekolah menjadi kenyataan apabila kanak-kanak itu ditemui lemas bersama rakannya ketika mandi-manda di pantai Kuala Laut berhampiran Taman Teluk Villa dekat sini kelmarin.
Mayat Mohammad Nurrabbiyel Ismail dan Sufian Sahide, kedua-duanya berusia sembilan tahun, ditemui pada pukul 6 petang dalam keadaan terapung di tebing berhampiran taman tersebut.
Ketika ditemui, murid Tahun Tiga Sekolah Kebangsaan (SK) Putatan itu lengkap memakai seragam sekolah dan berkasut.
Bapa Nurrabbiyel, Ismail Ahmad, 40, memberitahu, sebelum mayat anaknya ditemui, dia merasa tidak sedap hati apabila dimaklumkan yang anak bongsu daripada enam beradik itu tidak masuk ke kelas ketika dia datang untuk menjemputnya.
"Biasanya, saya yang akan menjemput anak saya setiap kali sesi persekolahan tamat. Saya terus mencarinya di kawasan sekitar sebaik dimaklumkan mengenai Nurrabbiyel yang tidak ke sekolah.
"Berderau darah saya apabila dimaklumkan terdapat kejadian lemas membabitkan kanak-kanak di kawasan taman perumahan dan apabila saya pergi, memang sah ia melibatkan anak saya," ceritanya dalam nada sebak ketika ditemui.
Difahamkan, sebelum kejadian, mangsa telah dilarang mandi di kawasan berkenaan oleh sekumpulan nelayan ekoran cuaca buruk yang menyebabkan laut bergelora.
Sementara itu, saksi kejadian, Abdul Malik Abdul Raup, 40, berkata, mayat dua kanak-kanak itu pada mulanya disangka tunggul oleh sekumpulan remaja yang menemuinya.
"Saya bersama penduduk kampung kemudian pergi ke tempat yang dimaksudkan sebelum mendapati objek yang disangka tunggul itu merupakan mayat kanak-kanak itu," kata guru SK Putatan itu.
sumber- Kosmo
CCTV rakam rompakan kedai emas
GAMBAR CCTV menunjukkan seorang lelaki menunggu di luar kedai emas di Jalan Besar, Sungai Siput pada 3 September lalu untuk memantau keadaan (kiri) manakala imej kanan menunjukkan tiga rakannya yang keluar sambil membawa hasil rompakan. |
IPOH – Siasatan berhubung satu kes rompakan sebuah kedai emas di Jalan Besar, Sungai Siput dekat sini 3 September lalu memasuki episod baharu apabila polis menemui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari salah sebuah premis berhampiran lokasi kejadian.
Rakaman kurang tiga minit tersebut jelas menunjukkan empat lelaki berusia lingkungan 25 hingga 30 tahun dilihat melakukan jenayah tersebut pada pukul 8 pagi, 2 September lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, penelitian pada CCTV itu mendapati tiga lelaki keluar dari kedai emas manakala seorang lagi menunggu di lorong belakang kedai.
Katanya, suspek yang di luar didapati memegang sebuah telefon bimbit dipercayai untuk memantau keadaan sekeliling.
“Polis mengesyaki rompakan itu didalangi individu berpengalaman berikutan modus operandi yang digunakan sangat teliti selain mengetahui susun atur keadaan dalam premis terbabit.
“Terdapat kemungkinan orang dalam turut terlibat kerana penjenayah bagaikan tahu kedudukan CCTV dan menebuk dinding yang menempatkan peti besi menyimpan barangan kemas dengan tepat,” katanya selepas perhimpunan bulanan Polis Perak di sini semalam.
Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mengenali lelaki-lelaki tersebut supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Siput menerusi talian 05-598 2222 atau pegawai penyiasat, Inspektor Mohd. Othman di talian 019-254 9135.
Kosmo! pada 4 September lalu menyiarkan pemilik kedai kedai emas di Jalan Besar, Sungai Siput kerugian ratusan ribu ringgit selepas hampir kesemua barangan kemas di premis berkenaan dilarikan perompak.
sumber- Kosmo
Pelajar tidak dibenar ambil UPSR
MAHADZIR (kiri) membawa pulang anaknya, Muhammad Faiz selepas dilarang menduduki UPSR di SK Taman Bunga Raya (1), Bukit Beruntung, Rawang semalam. |
RAWANG - Seorang pelajar dari Sekolah Kebangsaan Taman Bunga Raya (1) Bukit Beruntung di sini mendakwa telah dilarang daripada menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang bermula semalam kerana dikhuatiri boleh menjejaskan reputasi dan imej sekolah tersebut.
Bapa pelajar berkenaan, Mahadzir Mokhtar, 42, berkata, dia amat terkejut dan kecewa apabila dimaklumkan guru besar sekolah itu bahawa anaknya, Muhammad Faiz, 12, tidak dibenarkan menduduki peperiksaan tersebut.
"Saya telah menghubungi pihak sekolah semalam (kelmarin) untuk bertanyakan status UPSR anak saya dan berkesempatan berbual dengan salah seorang guru dan kemudian disambungkan kepada guru besar terbabit namun jawapan yang diberikannya itu cukup mengejutkan," katanya ketika ditemui di sekolah tersebut semalam.
Tambah Mahadzir, pada hari yang sama, anaknya juga telah menemui guru besar berkenaan dan diberitahu tidak perlu hadir ke sekolah.
Disebabkan sikap guru besar tersebut, anak ketiganya itu katanya, enggan hadir menduduki UPSR meskipun telah beberapa kali dipujuk.
"Perkara ini jelas menafikan hak anak saya menduduki UPSR namun lebih mengecewakan adalah sikap guru besar tersebut yang seolah-olah anak saya sahaja yang akan menjejaskan imej sekolah berkenaan.
"Saya akui Muhammad Faiz kerap tidak hadir ke sekolah kerana menghadapi beberapa masalah termasuk masalah kesihatan namun itu tidak boleh dijadikan alasan melarangnya daripada menduduki UPSR," tegasnya.
Kecewa dengan insiden tersebut, Mahadzir yang juga seorang perunding tuntutan di sebuah firma guaman telah membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Sentosa dan mengemukakan aduan kepada Pejabat Pelajaran Daerah Hulu Selangor.
Sementara itu, Pengarah Pelajaran Selangor, Mahmud Karim ketika dihubungi memberitahu, beliau telah dimaklumkan berkenaan isu tersebut tetapi masih menunggu laporan lanjut mengenainya.
Pada tahun lepas, lima pelajar dari Sekolah Kebangsaan Teluk Sara, Baling, Kedah dilarang menduduki UPSR oleh guru kerana bimbang prestasi sekolah akan terjejas.
Kejadian yang sama turut berlaku di Sekolah Kebangsaan Bandar Bintangor, Sarawak apabila tiga orang pelajar telah dilarang untuk mengambil peperiksaan tersebut.
sumber- Kosmo
Ubat sensual haram dirampas
AHMAD RAZIN (kanan) menunjukkan sebahagian ubat perangsang seks haram dan aksesori seks yang dirampas pada sidang akhbar di Kota Bharu semalam. |
KOTA BHARU - Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan merampas pelbagai ubat perangsang seks haram dan aksesori seks bernilai RM6,330 dalam serbuan di Medan Ilmu, Jalan Dato' Pati di sini Jumaat lalu.
Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr. Ahmad Razin Ahmad Mahir berkata, serbuan melibatkan Pegawai Penguat Kuasa Farmasi dan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) itu dibuat selepas mendapat aduan daripada orang ramai.
Menurut beliau, gerai jualan tersebut dimiliki oleh seorang pesara kerajaan berusia 50-an dan rekod menunjukkan dia merupakan merupakan pesalah tegar dan sudah beberapa kali dikenakan tindakan di atas kesalahan yang sama.
"Kami memandang serius hal ini dan bertindak terhadap aduan yang dibuat oleh orang awam kerana ia memberi imej buruk kepada negeri ini dan masyarakat.
"Ubat-ubatan perangsang seks yang dirampas tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan ada sebahagiannya merupakan ubat terkawal," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Menurut Ahmad Razin, tahun ini sahaja sebanyak empat serbuan telah dibuat bagi mencegah penjualan ubat seks haram antaranya di beberapa lokasi berhampiran Pasaraya Chin Seng, Pasar Borong Wakaf Che Yeh, Tapak Kuliah Pagi Jumaat di Dataran Ilmu dan beberapa lokasi di sekitar Kota Bharu.
Melalui rampasan itu, sejumlah RM39,455 nilai keseluruhan barangan berjaya dirampas.
Katanya, penjual barangan tersebut melakukan kesalahan di bawah Peraturan 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan mereka boleh dihukum di bawah Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952. Jika sabit kesalahan seseorang yang didakwa boleh didenda tidak lebih RM25,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
"Orang ramai perlu tahu bahawa penggunaan ubat-ubatan haram ini boleh mendatangkan kemudaratan terutama yang mengandungi ubat kawalan Sildenafil.
"Pengambilan tanpa kawalan dan nasihat doktor boleh menimbulkan kesan sampingan seperti tekanan darah rendah, sakit otot terutama otot belakang, gangguan pada perut, muntah, gangguan penglihatan, radang pundi kencing dan sesak nafas yang boleh membawa kepada kematian," katanya.
sumber- Kosmo
Maut angkara cinta ditolak
ANAK panah menunjukkan arah Nurul Syafika terjatuh lalu mati di Kondominium PV13, Setapak semalam. |
KUALA LUMPUR - Seorang gadis yang kecewa apabila cintanya tidak dibalas sempat menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) memohon maaf kepada rakan-rakan dan kenalan lelakinya sebelum dia maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 23 di Kondominium PV13, Jalan Genting Klang, Setapak di sini semalam.
Kejadian pukul 4 pagi itu mengakibatkan Nurul Syafika Jamaluddin, 24, maut akibat cedera parah di kepala dan badan. Mangsa dikatakan baru menamatkan pengajian di Universiti Putra Malaysia, Serdang.
Mayat mangsa ditemui oleh seorang penghuni kondominium yang terdengar bunyi seperti objek terjatuh dan sebaik ditinjau, dia terkejut apabila menemui mangsa yang lengkap berpakaian dalam keadaan berlumuran darah di tingkat bawah.
Difahamkan, mangsa menyewa bersama abangnya di Seri Kembangan, Selangor dan datang ke premis itu untuk bertemu dengan teman lelakinya yang menetap di tingkat 23. Mereka berkenalan sejak tiga bulan lalu dan lelaki itu merupakan seorang kerani di sebuah jabatan kerajaan di Putrajaya.
"Ketika kejadian, lelaki berusia 24 tahun tersebut tiada di rumah dan mangsa memasuki rumah berkenaan dengan menggunakan kunci pendua.
"Siasatan awal percaya mangsa terjatuh kerana mempunyai masalah peribadi selepas cintanya ditolak namun motif sebenar kejadian masih disiasat," kata satu sumber ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Sebelum kejadian, mangsa yang berasal dari Muar, Johor dikatakan sempat menghantar SMS kepada abangnya memaklumkan dia akan pulang ke rumah. Mangsa turut menghantar SMS memohon maaf kepada rakan-rakan termasuk kenalan lelakinya itu.
Sementara itu, seorang jiran yang enggan dikenali memberitahu, dia menyedari kejadian itu ketika bangun untuk menunaikan solat dan terdengar bunyi kecoh di luar bangunan.
"Saya tidak pernah nampak dia (mangsa) sebelum ini, tetapi difahamkan dia terjatuh ketika berada di tingkat 23," dakwanya.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.
sumber- Kosmo
Restoran 80 meter di bawah tanah
PARA pelanggan sedang makan malam di restoran Muru Pop Down yang terletak di dalam lombong Tytyri di Lohja, Finland kelmarin. |
LOHJA - Seorang cef pemenang anugerah membuka sebuah restoran baharu yang unik di Finland pada kedalaman 80 meter di bawah tanah.
Menyajikan pelbagai hidangan istimewa seperti ikan salmon masin, daging anak lembu dan siput dimasak bersama epal cincang, restoran itu berada di dalam lombong batu kapur Tytyri di sini, sekitar 60 kilometer ke barat ibu kota Finland, Helsinki.
Harga makan malam merangkumi empat hidangan di restoran Muru Pop Down itu hanya AS$160 (RM497) termasuk kos pengangkutan pergi balik ke lombong itu dari Helsinki.
CEF Niklas Ekblom (kiri) dan pengusaha restoran Timo Linnamaki menyediakan makanan di restoran Muru Pop kelmarin. |
"Saya seronok bekerja di restoran bawah tanah ini kerana anda jauh dari dunia luar, jadi, anda tiada gangguan untuknya memasak," kata cef berkenaan, Timo Linnamaki.
Seorang pengunjung ke restoran tersebut, Olli-Pekka Jantti berkata, makanan yang disediakan amat lazat.
"Saya juga sukakan kelainan apabila makan di restoran ini, anda berada jauh di dalam bumi, anda berasa amat pelik," katanya.
Lombong berkenaan yang berusia 115 tahun memiliki kedalaman 380 meter.
Sebahagian lombong tersebut masih beroperasi dengan kebanyakan galian itu digunakan dalam industri kimia. - AP
Seni Bangku tarikan warga Tokyo
PATUNG saintis legenda Albert Einstein dipamerkan pada pameran Seni Bangku di Tokyo semalam. |
TOKYO, Jepun - Orang ramai terkejut melihat patung selebriti dan watak animasi termasuk pemenang pingat Olimpik London untuk sukan ping pong, Ai Fukuhara dipamerkan di daerah perniagaan Marunouchi di sini.
Sejumlah 20 buah patung diletakkan di atas bangku pada jarak sejauh 1.2 kilometer di daerah perniagaan berkenaan dalam pameran itu yang dikenali sebagai Seni Bangku.
Seorang pengunjung, Yoshimi Murayama mengambil kesempatan untuk duduk di atas bangku di sebelah patung Fukuhara.
"Patung ini bukan 100 peratus menyerupai Fukuhara tetapi saya kini berasa lebih dekat dengan seni," kata Murayama. Pameran berkenaan berlangsung hingga 14 Oktober depan.
Beberapa patung lain yang dipamerkan termasuk wira sains fiksyen, Kamen Rider dan juara sumo, Hakuho.
Pameran itu diadakan sempena ulang tahun ke-10 pembinaan semula bangunan Marunochi yang merupakan pusat perniagaan di sini di samping meraikan pembukaan sejumlah kedai dan restoran di dalam mercu tanda itu.
sumber- Agensi
Majalah ritual menghalau hantu pertama di dunia
EDISI pertama majalah Egzorcysta yang dijual di Poland pada bulan ini. |
WARSAW, Poland - Susulan peningkatan aktiviti menghalau hantu di Poland, paderi-paderi Roman Katholik di sini bergabung tenaga dengan seorang penerbit untuk melancarkan sebuah majalah bulanan pertama di dunia yang memfokuskan secara eksklusif tentang cara menghalau syaitan.
"Peningkatan aktiviti menghalau hantu daripada empat kepada lebih 120 kes dalam tempoh 15 tahun di Poland merupakan petanda (untuk menerbitkan majalah berkenaan)," kata Paderi Aleksander Posacki.
Posacki merupakan seorang profesor dalam bidang falsafah, teologi dan hal ehwal syaitan serta penghalau hantu terkenal di Poland.
Komen itu dikeluarkan sempena majlis pelancaran majalah berkenaan, Egzorcysta, dalam satu sidang media di sini kelmarin.
Menurutnya, isu pertama majalah setebal 62 muka surat itu termasuk artikel bertajuk New Age - the spiritual vacuum cleaner dan Satan is real mula dijual bulan ini pada harga 2.34 euro (RM9.24) senaskhah.
Paderi berkenaan percaya peningkatan rasukan syaitan berpunca daripada perubahan kepercayaan sebahagian masyarakat Poland yang kini lebih berpegang kepada pasaran bebas kapitalisme dan menolak ajaran Katholik.
"Ia secara tak langsung disebabkan perubahan dalam sistem ekonomi. Kapitalisme mencipta lebih peluang untuk melakukan perniagaan merangkumi ilmu hitam. Malah kini, menelek nasib juga dikategorikan sebagai pekerjaan dan dikenakan cukai," kata Posacki kepada AFP.
"Jika orang ramai boleh membuat keuntungan dengan menggunakan elemen ilmu hitam, gangguan rohani turut berkembang," tambahnya.
Posacki yang turut berkhidmat dengan panel pakar penghalau hantu antarabangsa menjelaskan bahawa rasukan merupakan tingkah laku ekstrem yang gagal dirawat melalui kaedah psikologi, psikiatri dan terapi konvensional.
"Rasukan berlaku akibat kejahatan. Mencuri, membunuh dan pelbagai dosa lain," katanya kepada wartawan.
Jelasnya, roh jahat yang merasuk pesakit akan diusir dengan menggunakan panduan mantera yang diluluskan oleh ketua mazhab Roman Katholik, Pope John Paul II.
sumber- AFP