Pages - Menu

Monday, September 17, 2012

Remaja mahu letupkan bom ditahan

Abel Daoud

CHICAGO - Seorang remaja Amerika Syarikat (AS) ditahan oleh ejen Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan didakwa di mahkamah selepas dituduh cuba meletupkan sebuah bom kereta di luar sebuah kelab malam di sini, kata pegawai hari ini.

Pejabat Pendakwa Raya AS di Chicago dalam satu kenyataan berkata, Abel Daoud yang tinggal di Hillside, didakwa atas dua tuduhan iaitu cuba menggunakan senjata berbahaya serta cuba memusnahkan bangunan dengan menggunakan bahan letupan.

Menurut afidavit kes, dua ejen FBI yang menyamar, mula menghubungi remaja berkenaan pada bulan Mei lalu dan mereka saling berbalas mesej.

Afidavit menyatakan, dalam beberapa mesejnya, Daoud ada memberitahu tentang rancangannya untuk melancarkan serangan bersama saudara-saudaranya yang boleh dipercayai. 

sumber- AFP

50 ditahan berhubung kematian Duta AS di Libya

50 ditahan berhubung kematian Duta AS di Libya
Pejabat Konsul AS di Benghazi terbakar selepas diserang kelmarin. - Foto ihsan
WASHINGTON - Seramai 50 orang telah ditahan, dipercayai ada kaitan dengan rangkaian al-Qaeda dalam serangan yang membawa kepada kematian Duta Amerika Syarikat (AS) ke Libya, Christopher Stevens dan tiga yang lain di Benghazi, Libya, awal minggu lalu.

Pemimpin Libya, Mohammed Magarief berkata, serangan berpunca daripada penyebaran filem kontroversi anti-Islam dan menghina Nabi Muhammad SAW, Innocence of Muslims sehingga menerima protes daripada umat Islam seluruh dunia.

Magarief, dalam satu wawancara bersama CBS untuk segmen ‘Face of Nation’ berkata, sesetengah mereka yang ditangkap itu bukan warga Libya tetapi mereka telah dikaitkan dengan al-Qaeda, kumpulan militan Islam yang dikatakan melakukan serangan pada 9 September di AS.

Mohammed, yang menjadi presiden perhimpunan kebangsaan selepas disingkirkan merupakan seorang yang berdarah AS berkata, insiden yang berlaku adalah bersandarkan perjuangan Muammar Gaddafi yang menyifatkan orang lain sebagai sekutu atau yang bersimpati.

"Ia pasti dirancang oleh orang asing di mana mereka mungkin telah memasuki negara ini beberapa bulan lalu dan merancang perbuatan jenayah.

“Ada juga di antara mereka berasal dari Mali dan Algeria," katanya lagi.

Beliau berkata, keadaan keselamatan di Libya kekal ‘sukar’ untuk rakyat AS seperti mana juga untuk rakyat Libya sendiri.

AS mahu FBI menyiasat serangan ke atas konsulat itu.

Bagaimanapun, Mohammed berkata, ia masih terlalu awal untuk siasatan dijalankan.

"Adalah lebih baik bagi mereka untuk menjauhkan diri sementara waktu dari kita sehingga kita selesai melakukan apa yang patut,” katanya.

Sementara itu, ujar Mohammed, berdasarkan rakaman video, serangan yang dilakukan tempoh hari agak meragukan seolah-olah telah dirancang dan bukannya spontan seolah-olah cubaan untuk mengulangi serangan 9 September.

sumber- Reuters

Kolam syurga yang tersembunyi

To Sua Ocean Trench

Keindahan alam yang terlalu luar biasa ini ialah To Sua Ocean Trench yang terletak di perkampungan Lotofaga, di Pulau Upolu, Samoa. 

Sebatang tangga telah dipasang bagi membolehkan pelancong masuk ke kolam tersebut dan menyelam dengan kedalaman 30 meter. Terdapat beberapa terowong di dasar kolam ini yang boleh dilawati oleh para pengunjung. Kolam ini juga dikelilingi taman fauna semulajadi yang begitu mengasyikkan.

Pegawai PTD mati lemas ketika jalani latihan

Aldy Hasmi
Gambar mangsa Aldy Hasmi yang dimuat turun dari MyKad.
PEKAN - Seorang Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) di Kementerian Pertahanan mati lemas semasa menjalani latihan di Kem Wataniah Force 136, dekat sini hari ini.
   
Ketua Polis Daerah Pekan Supt Yahya Othman berkata mangsa, Aldy Hasmi Abu Hassan, 35, disahkan meninggal dunia kira-kira 3 petang di Hospital Pekan.
   
Beliau berkata kejadian dipercayai berlaku pada 2.30 petang ketika mangsa dan 243 pegawai yang lain sedang menjalani latihan menyeberangi sungai di sebatang tali air berdekatan Sungai Miang, dekat sini.
   
"Tiba-tiba mangsa terjatuh ke dalam air dan jurulatih kemudian menarik mangsa dari dalam air ke darat lalu terus memberi bantuan pernafasan kecemasan (CPR) sebelum menghantar mangsa ke Hospital Pekan untuk rawatan lanjut.
   
"Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital dan hasil bedah siasat mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat lemas," katanya kepada Bernama di sini malam ini.

Yahya berkata Allahyarham Aldy Hasmi dan peserta kursus yang lain sedang mengikuti latihan di kem tersebut dari 3 hingga 28 Sept ini.
   
Difahamkan mangsa, yang sudah berkahwin dan mempunyai dua anak, sedang mengikuti Diploma Pentadbiran Awam di bawah Institut Tadbiran Awam Negara (Intan).
   
"Mangsa juga telah menjalani ujian perubatan sebelum menjalani latihan tersebut," katanya.
   
Beliau turut dimaklumkan jenazah akan dibawa pulang ke kampung halamannya di Jalan Sultanah, Alor Setar malam ini juga untuk urusan pengebumian.
   
Dalam pada itu, seorang saksi kejadian yang enggan dikenali, berkata dia sempat menyaksikan saat Allahyarham Aldy Hasmi terjatuh ke dalam air ketika latihan itu diadakan.
   
"Ketika dia jatuh, jurulatih memanggilnya tetapi dia tidak menyahut dan dengan segera jurulatih menariknya naik ke darat, tetapi mendapati mulut Aldy Hasmi sudah berbuih," katanya.

Sementara itu di KUALA LUMPUR, Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa mengarahkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Intan menghentikan serta-merta aktiviti lasak melibatkan kursus Diploma Pengurusan Awam bagi bakal Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) serta kursus lain bagi pegawai-pegawai tidak beruniform.
   
Ini, katanya berikutan insiden kematian Aldy Hasmi ketika sedang menjalani latihan wataniah di Pekan, Pahang.
   
Beliau juga mengarahkan JPA dan Intan supaya menyiasat serta mengemukakan laporan berhubung kejadian itu.
   
"Bagi pihak seluruh Perkhidmatan Awam, saya mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham. Saya berdoa semoga rohnya dicucuri rahmat oleh Allah S.W.T dan ditempatkan bersama orang yang beriman," kata Ali melalui laman Facebooknya.

sumber- Bernama

Gunung berapi Gamalama Indonesia meletus

Gamalama

TERNATE (Indonesia): Gunung berapi Gamalama di kepulauan Molucca terletak di timur Indonesia meletus sehingga mengakibatkan debu kelabu tebal di awan. 

Bagaimanapun, tiada laporan kecederaan dan kerosakan harta benda diterima setakat ini. 

Ahli kaji gunung berapi daerah itu, Kristianto, berkata gunung berapi Gamalama yang kembali aktif minggu lalu, meletus dua kali pada hujung minggu lalu sehingga mengakibatkan pelepasan debu setinggi 1 kilometer. 

Kali terakhir Gamalama meletus adalah tahun lalu dan aliran lumpurnya menyebabkan empat penduduk kampung dua minggu kemudian. 

sumber- AP

Disebat angkara cinta terlarang

Remaja berkenaan disebat di khalayak ramai selepas didakwa menjalinkan hubungan sulit.
GHAZNI - Seorang remaja Afghanistan disebat di khalayak umum, manakala kekasihnya didenda AS$1,600 (RM4,824)  selepas didakwa menjalin hubungan sulit.

Ketua Jabatan Hal Ehwal Wanita Wilayah, Shukuria Wali berkata, remaja dikenali sebagai Sabera, 16, kini di bawah jagaan Jabatan Hal Ehwal Wanita, manakala teman lelakinya ditempatkan di bawah pengawasan pihak berkuasa tempatan.

Beliau berkata, remaja itu kini menghadapi gangguan mental dan fizikal sejak disebat pada 9 September lalu di Jaguri.

“Sabera diselubungi dengan kain putih kemudian disebat lalu disaksikan penduduk kampung dan ahli keluarga,” katanya.

Afghanistan merupakan sebuah negara konservatif Islam, di mana wanita belum berkahwin dilarang menjalinkan hubungan dengan lelaki luar serta pergerakan mereka terbatas.

Hukuman di khalayak umum atau sebatan kepada penzina adalah hukuman biasa yang dilaksanakan di bawah pemerintahan rejim Taliban 1996 hingga 2001.

sumber- AFP

Masjid jadi kedai arak

Sheikh Raed Salah
Sheikh Raed Salah
Sheikh Raed Salah. Nama yang paling digeruni rejim Israel. Aktivis dan ahli politik Palestin ini pernah menjadikan dirinya sebagai perisai manusia untuk menghalang orang Yahudi memasuki dan mencemari kesucian Masjid Al-Aqsa.  

Beliau juga pernah dipenjarakan dua tahun oleh Israel kerana keberaniannya berjuang mempertahan tanah air. Sheikh Raed yang berada di Malaysia sejak 4 September lalu, menceritakan situasi sebenar dan penderitaan luar biasa orang Palestin yang bermula sejak 1948, selepas penubuhan negara haram Israel di atas bumi Palestin.

Ikuti sesi soal jawab bersama tokoh hebat ini ketika majlis ramah mesra yang dianjurkan pertubuhan Aman Palestin di Shah Alam, awal bulan ini.

Masjid jadi kedai arak
Seorang lelaki Palestin berdiri berhampiran askar Israel yang mengawal sebuah masjid di Ramallah, Tebing Barat, Jun lalu. - Foto Reuters.
Bagaimana keadaan di Palestin dulu dan sekarang?

Sejak 1940-an, Israel memusnahkan 1,200 masjid dan tempat bersejarah Islam. Kini, hanya 50 masjid masih ada di Tebing Barat. Tetapi Israel mengubah masjid tersebut menjadi kedai arak, pub dan kandang haiwan.

Ada juga yang dijadikan tempat tari menari, synagogue (tempat ibadat Yahudi) dan muzium yang diletakkan patung Yahudi.

Mereka mencabuli kesucian masjid kita! Selain itu, Israel membongkar kubur orang Islam, membuang tulang ke dalam laut kemudian mendirikan rumah serta jalan raya.

Di Tel Aviv, ada taman dan hotel yang cantik, semuanya dibina di atas kubur orang Islam. Kalau ini bukan kezaliman, maka apa lagi? Baru-baru ini kami membuat demonstrasi selepas

Universiti Tel Aviv mengumumkan akan membina bangunan tambahan di atas kubur orang Islam. Saya tanya kepada mereka, tamadun apa yang benarkan kita aniaya orang mati?

Berapa banyak tanah yang masih dimiliki orang Palestin?

Kini, hanya tiga peratus tanah Palestin dimiliki orang Islam, selebihnya dirampas Yahudi dengan bantuan Britain (yang menjajah Palestin sebelum 1948). Ribuan orang Islam Palestin hidup di antara langit dan bumi.

Israel mencabut pokok zaitun kami, dan gunakan pesawat untuk bakar kebun kami. Kalau anda nak tahu, ada sebuah kampung di Naqab, Tebing Barat, yang telah dihancurkan 40 kali oleh Yahudi. Setiap kali dimusnahkan, kami bina semula.

Itulah pendirian orang Palestin, kami tidak akan menyerah kalah.

Bagaimana keadaan Masjid Al-Aqsa sekarang?

Sejak akhir kurun ke-18 lagi, (Perdana Menteri pertama Israel) David Ben Gurion berkata, tiada nilai bagi Israel tanpa Baitulmaqdis, dan tiada nilai bagi Baitulmaqdis tanpa Masjid Al-Aqsa.

Kini Israel mahu umumkan pembahagian Al-Aqsa, satu kepada Palestin, satu kepada Yahudi. Apabila mereka dapat bahagian mereka dengan sokongan dunia antarabangsa, mereka akan runtuhkan Al-Aqsa.

Saya mahu sampaikan tiga mesej penting kepada orang Islam seluruh dunia mengenai Al-Aqsa:

i. Isu Al-Aqsa adalah isu al-Quran. Jika kita baca al-Quran, kita tahu Al-Aqsa perlu dipertahankan.

ii. Isu ini bukan hanya milik Palestin, tetapi semua orang Islam. Tentu kita tidak benarkan orang menceroboh masuk rumah kita, jadi begitulah kita perlu pertahan Al-Aqsa.

iii. Kita tahu Israel ada semua kekuatan tetapi mereka akan kalah. Sejarah menunjukkan setiap penjajahan ke atas Al-Aqsa gagal. Yang kekal adalah orang Palestin, pemilik sebenar tanah itu.

Israel memberitahu dunia Masjid Al-Aqsa dibina di atas tapak kuil paling suci ajaran Yahudi. Apa pendapat anda?

Mengenai dakwaan itu, Israel sendiri telah mengorek terowong selama 40 tahun untuk buktikan kewujudan kuil itu yang kononnya berada di tapak Al-Aqsa, tetapi sampai sekarang mereka tidak temui sebarang bukti.

Ya, cita-cita akhir mereka adalah untuk membina kuil itu (dianggap tempat beribadat paling suci dalam ajaran Yahudi) selepas meruntuhkan Al-Aqsa. Matlamat ini tidak pernah berubah.

Apabila wakil Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) pergi melawat Al-Aqsa, Unesco melaporkan Israel menggali jaringan terowong di bawah Al-Aqsa menggunakan bahan kimia. Tujuan utama adalah untuk runtuhkan Al-Aqsa.

Anda pernah ditahan di penjara Israel. Boleh kongsi pengalaman?

Pada masa ini, Israel sedang penjarakan lebih 500,000 orang Palestin. Ada yang syahid semasa dalam tahanan, ada yang mati ketika disiasat atau akibat sakit. Ada wanita hamil ditahan sehingga melahirkan anak di dalam penjara.

Kanak-kanak yang umurnya kurang 10 tahun juga dipenjarakan. Mana ada penjara di dunia yang menahan kanak-kanak? Hanya Israel yang buat begitu.

Lelaki yang dipenjarakan seumur hidup tidak mungkin dapat berjumpa keluarganya. Mereka hanya akan jumpa anak mereka, apabila anak itu juga dipenjarakan kerana menentang kezaliman Israel.

Revolusi dunia Arab tahun lalu, apa kesannya kepada Palestin?

Apabila orang Arab mendapat pemerintahan yang sah, dipilih oleh rakyat sendiri, ia akan membantu membebaskan Palestin dan Al-Aqsa.

Israel sebolehnya mahu semua diktator ini kekal di bumi Arab supaya mereka boleh mengawal orang Arab daripada memberi bantuan kepada Palestin.

Tetapi kini rakyat Arab telah bebas, dan mereka ini akan mainkan peranan membantu Palestin. Pembebasan Kaherah dan Damsyik adalah jalan kepada pembebasan Palestin.

Bagaimana layanan kerajaan Mesir terhadap Palestin sekarang?

Mohamed Morsi adalah presiden pertama dipilih rakyat dalam sejarah Mesir. Beliau berdepan banyak masalah besar, seperti kemiskinan, pengangguran dan tekanan daripada tentera.

Morsi juga terpaksa berdepan dengan perjanjian lalu yang ditandatangani presiden sebelum ini. Saya percaya beliau boleh lakukan perubahan bukan saja untuk Mesir tetapi dunia Arab kerana dia mempunyai akhlak yang baik serta bijaksana.

Ini tentu sekali akan memberi kesan positif kepada Palestin, terutama wilayah Gaza. Namun buat masa ini, kita perlu beri peluang kepada beliau untuk menyelesaikan lebih banyak masalah besar di negaranya sendiri.

Pendapat mengenai peranan dunia Islam dalam membantu Palestin.

Saya banyak kali ke ibu pejabat Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan cerita mengenai keadaan Palestin, Baitulmaqdis dan Al-Aqsa. Memang OIC mahu menolong dan janji akan tunai kewajipan untuk bantu Al-Aqsa.

Cuma masalahnya, kita belum sampai tahap kesatuan Islam secara rasmi. Semua orang Islam cintakan Al-Aqsa dan mahu bantu, tetapi tiada dasar politik tetap di peringkat antarabangsa dalam kalangan negara Islam untuk sokong isu Palestin.

Tidakkah penyatuan orang Palestin sendiri menjadi kunci kepada penyelesaian konflik ini?

Ya, semua rakyat Palestin mahu Baitulmaqdis, termasuk Al-Aqsa, menjadi ibu negara. Tetapi Israel dan Amerika Syarikat (AS) telah berikan kesan buruk kepada rakyat Palestin.

Mereka ingin gagalkan penyatuan Hamas dan Fatah (dua kumpulan Islam utama di Gaza dan Tebing Barat). Israel beri kata dua kepada Fatah, “sama ada kamu buat perjanjian dengan Hamas, atau kita hentikan perjanjian damai”.

AS dan Eropah pula kata “kamu berdamai dengan Hamas, kami hentikan bantuan”. Ini meletakkan kami dalam keadaan sukar. Apa yang pasti, penyatuan rakyat Palestin hanya akan tercapai apabila Fatah berani menolak tekanan Israel dan AS.

Nasihat anda kepada orang Malaysia.

Saya merasa tenang dan timbul perasaan harapan apabila tiba di Malaysia. Saya mahu kejayaan Malaysia dibawa kepada negara Islam lain dan dijadikan contoh.

Hanya penyatuan umat Islam dapat memberi kekuatan kepada Palestin. Berpeganglah kepada tali ALLAH SWT dan jangan berpecah-belah.

Apabila kita berpecah-belah, kehebatan umat Islam akan hilang dan agenda Zionis akan berleluasa di negara Islam.

sumber- Sinar

Netbook 1Malaysia: Rosak sebelum sempat digunakan

Netbook 1Malaysia: Rosak sebelum sempat digunakan
Mohd Pauzi menunjukkan Netbook 1Malaysia milik anaknya yang terpaksa dibaiki.
TEMERLOH – Entah di mana silapnya, berdozen Netbook 1Malaysia yang diedarkan kepada pelajar di daerah ini terpaksa dihantar ke kedai komputer untuk dibaiki atas pelbagai kerosakan.

Ada antara ibu bapa yang ditemui kecewa kerana hanya sempat menggunakan produk itu dalam tempoh seminggu, malah lebih teruk ada yang mendakwa langsung tidak boleh menggunakannya sejak diterima tiga bulan lalu.

Mohd Pauzi Abdul Ghani, 32, dari Bandar Bera, berkata, dia sedikit terkilan apabila dimaklumkan anaknya, netbook berkenaan langsung tidak boleh digunakan.

Menurutnya, netbook yang diterima anaknya dalam satu majlis pengagihan Jun lalu itu cuba dihidupkan, namun langsung tidak boleh berfungsi.

“Saya sedikit terkilan kerana sudah membeli modem untuk mengakses internet tetapi netbook pula rosak, saya hantar baiki pada 19 Jun lalu dan hari ini baru siap dibaiki,” katanya sewaktu mengambil semula netbooknya di salah sebuah kedai komputer, di sini.

Mohd Pauzi berkata, sebagai bapa penerima, dia tidak menafikan sumbangan kerajaan dalam membantu pelajaran anaknya, tetapi sedikit terkilan apabila produk yang dibekalkan tidak berkualiti.

“Saya takut benda-benda macam ini dimanipulasikan pihak tertentu, mungkin pembekal sendiri tidak mengetahui produk mereka tidak berkualiti, tambahan pula ia diedarkan dalam kuantiti yang banyak dari kilang," katanya.

Mohd Pauzi berkata, dia dimaklumkan memang ramai ibu bapa yang mengeluh mengenai produk itu kerana ada yang baru pakai seminggu sudah rosak.

Sementara itu seorang lagi bapa, Wahid Ahmad Salleh berkata, anaknya juga langsung tidak sempat menggunakan netbook tersebut.

“Anak saya punya pun sama, dapat dalam keadaan sudah rosak, terpaksa hantar ke kedai untuk dibaiki,” katanya.

Sinar Harian yang melakukan tinjauan selama setengah jam semalam turut mendapati dalam tempoh itu tiga pelanggan datang ke kedai semuanya berkaitan netbook yang rosak.

Sinar Harian dimaklumkan kebanyakan ibu bapa menghantar netbook yang rosak pada Jun lalu iaitu selepas menerima pengagihan secara berkelompok di salah sebuah sekolah, di sini.

Menurut pekedai, ada juga ibu bapa yang marahkan mereka sedangkan mereka langsung tidak mengetahui hujung pangkal produk itu.

“Kami hanya bantu orang ramai, kebanyakan netbook yang dihantar mengalami masalah hardisk, motherboard dan screen rosak,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Sains, Teknologi dan Inovasi Pahang, Datuk Mohd Sharkar Shamsudin menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memastikan produk dibekalkan itu berkualiti supaya tidak menyusahkan orang ramai.

“Kita akan usahakan penyelesaian isu ini kerana kita tidak mahu bantuan yang diberikan kerajaan menjadi bebanan pula kepada ibu bapa apabila produk tidak berkualiti,” katanya.

sumber- Sinar

Gadis perkasa cipta rekod baru

Gadis perkasa cipta rekod baru
Priya menarik van seberat 1.3 tan menggunakan rambut.
SUNGAI BULOH – Ketika berusia sembilan tahun, D Shanmuga Priya pernah melakar sejarah tersendiri dengan menarik van seberat 1.3 tan menggunakan rambut sejauh 57.7 meter.

Namun semalam, gadis yang kini berusia 20 tahun itu mengulangi kejayaan sekali lagi apabila berjaya menarik van berat yang sama tanpa henti sejauh 96.4 meter sekali gus memecahkan rekod dibuatnya sendiri 11 tahun lalu dan tercatat di dalam Malaysia Book Of Record.

Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, dia sama sekali tidak menyangka berjaya menarik van sejauh itu sedangkan sasaran awalnya hanya 70 meter.

“Apa yang saya buat ini adalah berdasarkan latihan menarik lori 1.2 tan setiap minggu selama sebulan selain mengamalkan makan hanya buah dan sayuran,” katanya.

Menurutnya, teknik pernafasan juga memainkan peranan penting bagi memastikan dia tidak cepat penat selain mengamalkan petua lain termasuk bersenam setiap hari.

Penuntut Kolej Segi itu berkata, kejayaannya turut didorong oleh keluarga terutama bapanya, G Devendiran, 56.

"Ini adalah hadiah untuk rakyat Malaysia sempena Hari Malaysia yang jatuh pada hari ini (semalam) dan selepas ini saya berhasrat untuk menarik sebuah kapal terbang pula," katanya.

Persembahan sempena Hari Malaysia anjuran Pejabat Dewan Undangan Negeri (Dun) Kota Damansara di Kampung Baru Sungai Buloh itu turut memperlihatkan aksi bapanya  bergantung pada kren setinggi 15 meter menggunakan rambut selama lima minit.

Devendiran sebelum ini pernah menarik kapal seberat 110 tan menggunakan rambut dan van seberat 1.3 tan mengguna cuping telinga 10 tahun lalu.

sumber- Sinar

Mi goreng dawai

Mi goreng dawai
Selera Roziana terbantut selepas mendapati terdapat benda asing dalam mi segera gorengnya. (Gambar kecil) Cebisan dawai berkenaan.
KLANG - Keenakan seorang gadis menikmati mi segera goreng bersama seorang rakan di sebuah restoran di sini terbantut selepas dia menemui cebisan dawai penyental periuk dalam makanan itu, minggu lalu.

Pengadu, Roziana Mohamad, 29, berkata, restoran terbabit memang menjadi pilihannya dan rakan lain untuk menikmati hidangan memandangkan kelazatan makanannya.

“Sebelum ini saya kerap ke restoran itu namun saya hanya menikmati nasi bersama lauk pauk.

“Bagaimanapun kali ini saya dan rakan memesan mi segera untuk mengisi perut dan dalam tempoh kira-kira 14 minit makanan yang dipesan tiba di meja pada malam itu,” katanya.

Tanpa membuang masa, dia terus menjamah dan menikmati hidangan, namun selera tersentap selepas menyedari benda asing  di sebalik dalam mi tersebut.

“Selepas amati secara jelas saya dapati ia cebisan dawai penyental periuk yang termasuk ke dalam mi segera saya.

“Selera saya terhenti serta merta, saya tak nak mati sebab makan mi berulam besi. Saya tak mahu  makan lagi, bimbang boleh membahayakan kesihatan saya,” dakwanya kepada Sinar Harian.

Melihat apa berlaku, rakannya turut memeriksa dalam mi segera goreng dimakan kerana bimbang perkara sama menimpanya.

“Bagaimanapun dia bernasib baik dan atas nasihat rakan, saya memaklumkan kepada pekerja restoran terbabit berkenaan kewujudan benda asing itu.

“Selepas dimaklumkan, pekerjanya dan pemilik restoran memohon maaf dan menggantikan makanan lain.

“Bagaimanapun pada awalnya saya akur namun khuatir insiden sama berulang, pemilik restoran tidak mengenakan sebarang bayaran kepada saya,” katanya.

Apa yang dikesalkan, Roziana berkata, dia khuatir pelanggan lain berdepan situasi yang sama sepertinya.

“Justeru itu, saya harap pemilik restoran dan tukang masak peka dengan perkara tersebut kerana ia membabitkan makanan yang dimakan pelanggan.

“Jika  benda  asing itu masuk ke tubuh pelanggan pastinya  akan berlaku sesuatu yang tidak diingini terhadap kesihatan pelanggan. Jadi perkara ini harus dipandang serius,” katanya yang enggan lagi ke restoran berkenaan.

sumber- Sinar

Foto beruang di Kuantan berjaya dirakam

Foto beruang di Kuantan berjaya dirakam
Beruang yang didakwa sedang berlari ketika dirakam seorang penduduk.
KUANTAN - Kehadiran seekor beruang di kawasan belukar berdekatan perumahan Taman Pandan 2, dekat sini, dipercayai benar-benar wujud selepas seorang penduduk mendakwa berjaya merakam kelibat beruang berkenaan.

Haiwan itu dikatakan keluar pada tengah malam minggu lalu di kawasan sama dan sempat dirakamkan penduduk terbabit sebelum memuat turun rakaman itu di laman sosial Facebook Surau Madinah.

Rakaman selama 47 saat itu memaparkan seekor beruang berlari di atas jalan kawasan perumahan itu sebelum menghilangkan diri dalam belukar berdekatan.

Sebelum ini, beberapa penduduk sudah melihat kelibat beruang itu di lokasi sama dan memaklumkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Walaupun hairan dengan kehadiran beruang terbabit, namun mereka mendakwa tidak mustahil haiwan itu muncul akibat sesat dari habitat asal di hutan berdekatan.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Kamarul Ariffin Mohamad berkata, beliau ada mendengar penemuan beruang tersebut tetapi tidak pernah menyaksikan sendiri kehadiran haiwan itu.

Katanya, selepas melihat rakaman itu, beliau melaporkannya kepada Perhilitan dan menyerahkan sepenuhnya kepada jabatan berkenaan.

“Penduduk di kawasan ini sudah dimaklumkan melalui sistem pesanan ringkas mengenai kehadiran beruang terbabit,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, penduduk juga turut melihat rakaman pergerakan beruang itu pada majlis sempena Hari Raya Aidilfitri beberapa hari selepas kemunculan haiwan itu.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan, Khairiah Mohd Sharif sebelum ini menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri sebaliknya memaklumkan perkara itu kepada jabatan berkenaan.

Katanya, mereka boleh menghubungi jabatan itu di talian careline 1-300-80-1010 bagi memaklumkan semua kes berkaitan hidupan liar.

sumber- Sinar

Aktres Innocence of Muslims telan pil tidur

Aktres Innocence of Muslims telan pil tidur
Gurji bersama Bacile semasa proses rakaman filem itu. (Gambar kanan) Gurji tidak menyangka Bacile memperdayanya sehingga mencetuskan rusuhan berdarah.
AKTRES filem mencetuskan amarah masyarakat Islam dunia, terpaksa menelan pil tidur apabila merasa dikecam dan  tidak selamat selepas protes dan pembunuhan  berlaku berikutan tersiarnya klip video Innocence of Muslims di YouTube sejak seminggu lalu.

Anna Gurji, 21, mendakwa melakonkan watak isteri muda kepada seorang lelaki bernama George, tetapi pengarahnya Nakoula Basseley atau dikenali sebagai Sam Bacile, bertindak menukarnya kepada Muhammad.

"Saya tidak tahu George ditukar kepada Muhammad. Kini saya hanya berkurung di rumah. Saya bimbang masyarakat dunia memusuhi saya kerana filem itu.

"Saya penganut Kristian Katolik, jadi mereka terfikir saya juga menentang Islam.Saya berasa dikhianati Bacile. Saya telah dikenali seluruh dunia dan jujur saya akui berasa malu apabila menonton watak itu," katanya kepadaThe Mail Online.

Gurji berkata, selain beliau barisan pelakon filem itu turut diperbodohkan Bacile yang kononnya tajuk filem berkenaan adalah Desert Warrior  atau  Innocence of Bin Laden selain langsung tidak berkaitan dengan isu keagamaan.

"Saya diberi watak sebagai Hilary. Menurut Bacile, filem itu mengisahkan sebuah komet jatuh di kawasan Timur Tengah, dan perebutan komet berlaku sehingga cetus peperangan untuk merebutnya.

"Filem itu sepatutnya mempunyai banyak kesan khas kerana kami berlakon di hadapan layar hijau. Kos penggambaran rendah, saya hanya dibayar $75 (RM227.73) sehari.

"Saya tidak tahu bagaimana Bacile boleh menukar jalan cerita itu. Mungkin saya bodoh tetapi tiada sesiapa menceritakan hal sebenar.
Tiada seorang pun daripada barisan pelakon terfikir filem ini mempunyai agenda rahsia," katanya mengakui filem itu dirakamkan di California.
    
Bahana Innocence of Muslims

Rusuhan dan protes yang tercetus sejak 11 September lalu dilihat sebagai pengulangan memori insiden serangan di Menara Berkembar di New York, Amerika Syarikat (AS) sekali gus mengilhamkan pengikut anti-Islam dengan menuduh Islam adalah ganas dan jahat.

Jika filem Innocence of Muslims tidak disiarkan, pastinya bangunan Kedutaan AS di Libya tidak dibakar sehingga meragut empat nyawa.

Rentetan itu, pastinya lebih 20 Kedutaan AS di seluruh dunia tidak diserang masyarakat Islam yang berang dengan tindakan Bacile.

Seterusnya, Presiden AS, Barack Obama tentu tidak akan menghantar tenteranya ke Libya dengan satu tujuan iaitu untuk membalas dendam ke atas kematian rakyatnya. Namun, Obama menggunakan alasan mahu bekerjasama bagi menangkap pembunuh dutanya, Christopher Stevens.

Jelas sekali, filem berkenaan telah mencetuskan protes secara besar-besaran dari Maghribi sehingga ke Malaysia. Setakat ini, tujuh terbunuh, ribuan cedera dan rusuhan menular ke Sydney, Australia, semalam.

Semalam, AS terpaksa memanggil balik dutanya di Sudan dan Tunisia selepas mendapat amaran, Al-Qaeda bakal menyerang kerajaan Obama di Arab dan Barat.

Si penghina Nabi disiasat

Masuk hari kelima, protes filem pendek Innocence of Muslims, lelaki Kristian Koptik, Bacile yang berperanan sebagai penerbit dan pengarah filem itu menyerah diri untuk disoal siasat pegawai persekutuan di balai polis Cerritos, Los Angeles, kelmarin.

Bagaimanapun, Bacile, 55, hanya disoal siasat mengenai penglibatan jenayah kewangan yang berpotensi untuk dipenjarakan semula selepas menjalani hukuman penjara selama 21 bulan kerana kesalahan penipuan bank pada tahun 2010.

Jurucakap polis memberitahu, pihak berkuasa tidak melakukan siasatan ke atas projek filem berkenaan dan jika sekalipun ia pencetus keganasan kerana AS tidak mengiktirafnya sebagai jenayah berikutan ia termasuk di dalam akta kebebasan bersuara.

sumber- Sinar

Hadiah bunuh Salman Rushdie RM10 juta

Hadiah bunuh Salman Rushdie RM10 juta
Salman Rushdie
TEHERAN: Akhbar Iran melaporkan sebuah yayasan meningkatkan tawaran hadiah untuk membunuh pengarang warga Britain, Salman Rushdie (gambar) kepada RM9.9 juta daripada RM8.4 juta.

Ia adalah tindak balas terhadap penghinaan ke atas Nabi Muhammad (SAW). 
Laporan akhbar Jomhoori Eslami dan beberapa akhbar lain dilihat merujuk kepada filem anti-Islam, Innocence of Muslims, yang mencetuskan tunjuk perasaan di dunia Islam. 

Menurut laporan itu, Yayasan Khordad 15 akan membayar hadiah itu kepada sesiapa yang melaksanakan fatwa yang dikeluarkan bekas pemimpin Iran, Ayatollah Ruhollah Khomeini pada 1989 ke atas pengarang novel ‘Surah Syaitan’ itu. 

sumber- AFP

Buka kereta guna klip

Buka kereta guna klip

SUBANG JAYA: Kegiatan jenayah seorang ibu beranak empat yang layak digelar ‘Minah Gyver’ kerana kemahirannya membuka kenderaan untuk mencuri barangan di dalamnya sejak empat tahun lalu, berakhir apabila dia dicekup polis.

Wanita berusia 30 tahun itu ditahan ketika cuba mencuri barangan dalam kenderaan jemaah yang menunaikan solat Jumaat di tempat letak kereta sebuah masjid di SS15, di sini, kira-kira jam 2 petang, Jumaat lalu.

Sumber polis berkata, suspek berkemahiran membuka kereta dengan hanya menggunakan klip sebelum mencuri barangan ditinggalkan di dalamnya dan dia juga bergerak sendirian.

sumber- HMetro

Karaoke suram tawar GRO China

Karaoke suram tawar GRO China
Sebahagian GRO China yang ditahan dalam serbuan di Nusa Bestari Jaya, Skudai semalam.
NUSAJAYA – Siapa sangka sebuah premis yang hanya memasang lampu malap menjadi tumpuan orang keluar masuk menjelang waktu malam di Nusa Bestari Jaya, Skudai di sini. Ia rupa-rupanya sebuah pusat karaoke yang turut menyediakan pegawai perhubungan pelanggan (GRO) warga China.

Rahsia keseronokan mengunjungi premis tersebut yang beroperasi sejak dua tahun lalu terbongkar apabila polis Cawangan Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman membuat serbuan pada pukul 4.30 pagi semalam.

Jurucakap polis berkata, pusat karaoke yang beroperasi di tingkat satu dan dua rumah kedai itu bertambah meriah pada hujung minggu apabila premis tersebut membuka operasinya sehingga pukul 7 pagi.

“Pusat karaoke ini merupakan satu-satunya premis yang menjadi tumpuan selepas kesemua pusat hiburan lain di bandar ini ditutup pada pukul 1 pagi.

“Pelangan dari pusat hiburan lain akan menyambung keseronokan di pusat karaoke ini kerana ia beroperasi sehingga awal pagi dan ada kalanya sehingga waktu tengah hari,” kata sumber itu ketika ditemui Kosmo! di sini.

sumber- Kosmo

Maut lepas sambut Hari Malaysia

Isuzu Invader
KEADAAN kenderaan Isuzu Invader yang mengorbankan lima mangsa selepas terbabit dalam kemalangan melibatkan empat buah kenderaan.
KOTA KINABALU - Lima termasuk dua pasangan suami isteri yang dalam perjalanan pulang selepas menghadiri sambutan Hari Malaysia maut dalam kemalangan di Sepanggar berdekatan bangunan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kota Kinabalu di sini malam kelmarin.

Dalam kemalangan pada pukul 12 tengah malam dan melibatkan empat buah kenderaan itu, mangsa yang terbunuh ialah Ramsin @ Taminsin Pahang, 59; isterinya, Siti Runi Tarawi, 55; Asan @ Hassan Jimi, 55; isterinya, Saimah Jamin, 51, dan seorang lagi mangsa, Taripan Tamin, 53.

Kesemua mangsa yang menaiki trak pikap jenis Isuzu Invader itu dikatakan dalam perjalanan pulang ke Beaufort selepas menghadiri satu majlis sambutan Hari Malaysia di Tuaran dekat sini.

sumber- Kosmo

Ariel Peterpan muncul di Malaysia

Ariel Peterpan muncul di Malaysia
PARA peminat memberi sokongan kepada Ariel Peterpan yang mengadakan pertunjukan di KL Live, Kuala Lumpur semalam.
KUALA LUMPUR – Selepas dibebaskan dari penjara Kebon Waru, Bandung, Indonesia hampir dua bulan lalu, vokalis popular Indonesia, Nazriel Irham atau Ariel Peterpan membuat penampilan sulungnya di ibu negara semalam.

Kemunculan vokalis tersebut bersama kumpulan baharunya yang dikenali sebagai Noah adalah bersempena konsert Tentang Bahtera yang sedang mereka jayakan.

Mereka kini dalam siri jelajah ke lima buah negara iaitu Australia, Hong Kong, Malaysia, Singapura dan Indonesia.

Ia juga bertujuan untuk mempromosi nama baharu kumpulan muzik yang dianggotai oleh Ariel itu.

“Kami cuba hadir ke negara ini secepat mungkin dan terpaksa bergegas pergi dengan segera kerana akan membuat persembahan di Singapura malam ini (malam tadi).

“Namun kami akan tetap kembali ke Malaysia setelah Noah tampil dengan lebih banyak lagu pada masa akan datang,” ujar Ariel di hadapan 500 peminat yang hadir untuk menyaksikan persembahan sulung Noah di pusat hiburan KL Live di sini semalam.

sumber- Kosmo

Angelina Jolie lawat kem pelarian Syria di Iraq

Angelina Jolie lawat kem pelarian Syria di Iraq
JOLIE (dua dari kanan) berbual dengan seorang wanita di sebuah kem pelarian Syria di Baghdad kelmarin.
BAGHDAD - Bintang Hollywood, Angelina Jolie menemui Menteri Luar Iraq, Hoshyar Zebari kelmarin untuk membincangkan langkah-langkah penjagaan para pelarian Syria di Iraq.

Menurut Kementerian Luar Iraq, kedua-dua mereka berbincang tentang langkah-langkah yang diambil pemerintah negara ini untuk memastikan kebajikan pelarian Syria.

Menurut Hoshyar, terdapat lebih 20,000 pelarian Syria di negara ini.

Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) menyatakan, bilangan pelarian Syria di negara-negara jiran negara itu melebihi 250,000 orang.

Jolie yang merupakan Utusan Khas UNHCR turut berbual dengan beberapa orang yang mendapat perlindungan di sebuah lokasi yang menempatkan para pelarian Syria di sini.

Sebelum berkunjung ke Iraq, Jolie telah melawat para pelarian Syria di Jordan, Lebanon dan Turki.

Peperangan di Syria yang berlaku sejak Mac tahun lalu telah menyebabkan lebih 20,000 orang terbunuh.

Pertempuran berlaku pada setiap hari antara kumpulan pemberontak yang menentang tentera Syria.

Para pemberontak itu menuntut Presiden Bashar Al-Assad meletakkan jawatan selepas beliau gagal melaksanakan pembaharuan politik dan kebebasan bersuara. 

sumber- Agensi

Pameran cacah tatu tradisional

Pameran cacah tatu tradisional
PAHA kanan Masoe yang ditatu.
WELLINGTON, New Zealand - Satu pameran yang menunjukkan cara penduduk Samoa mencacah tatu diadakan di sebuah galeri di sini pada 5 September lalu.

Pakar tatu Samoa, Su'a Paul Sulu'ape menunjukkan kepakarannya dengan mencacah tatu tradisional terhadap paha kanan Ricky Masoe.

Beberapa lelaki memegang kaki dan tangan Masoe semasa tatu tersebut dilakukan.

Pertunjukan tersebut diadakan di Galeri Bandar Raya Wellington bagi mendedahkan kepada para pengunjung tentang teknik tradisional mencacah tatu. 

sumber- AFP

Pertandingan jari terkuat

Pertandingan jari terkuat
SEORANG pengadil (tengah) melihat jari dua orang peserta yang sedang menarik gelang.
WARNGAU, Jerman - Satu pertandingan bagi mencari pemilik jari paling kuat diadakan di sini semalam.

Pada pertandingan itu, dua peserta menarik gelang dengan menggunakan sebatang jari masing-masing di atas meja sambil disaksikan oleh seorang pengadil.

Peserta yang berjaya menyebabkan lawannya terjatuh dari bangku semasa gelang itu ditarik dengan jari akan menjadi pemenang.

Pertandingan tersebut merupakan sukan tradisi masyarakat luar bandar Jerman.

Sejumlah peserta menyertai pertandingan tersebut.

sumber- Agensi

Wajah sebenar Nakoula disiar di YouTube

Wajah Nakoula disiar di YouTube
GAMBAR yang disiarkan di laman YouTube semalam menunjukkan Nakoula (kiri) duduk bersama Gurji.
LOS ANGELES - Wajah penulis skrip filem yang menghina Nabi Muhammad SAW, Nakoula Basseley Nakoula disiarkan di laman YouTube semalam.

Gambar tersebut menunjukkan dia duduk bersama pelakon Anna Gurji di set filem Innocence of Muslims yang mengaibkan Nabi Muhammad.

Akhbar Mail on Sunday di Britain turut menyiarkan gambar tersebut.

Nakoula dilahirkan di Mesir dan merupakan penganut Kristian Koptik.

Dia yang berusia 55 tahun kini tinggal di California, Amerika Syarikat (AS).

Nakoula pernah mengaku dia membocorkan sebahagian kandungan filem itu di YouTube.

Filem itu telah mencetuskan tunjuk perasaan di kebanyakan negara sejak Rabu lalu sehingga mengakibatkan tujuh orang terbunuh termasuk di Lebanon.

Dalam akhbar itu, Gurji yang memegang peranan sebagai isteri Nabi Muhammad berkata, dia kini bimbang tindak balas terhadapnya ekoran filem tersebut.

Menurutnya, dia ditipu Nakoula kerana pada mulanya diberikan peranan sebagai isteri seorang lelaki bernama George.

Bagaimanapun, katanya, nama George itu ditukar kepada Muhammad.

Dalam perkembangan yang sama, Nakoula kini sedang bersembunyi, kata pihak berkuasa AS.

Menurut laporan agensi berita AP, Nakoula sebelum ini disoal oleh para pegawai runding cara di sebuah pejabat syerif di Cerritos, California kelmarin.

Dia disoal berhubung kes perlanggaran pembebasannya secara bersyarat ekoran menggunakan komputer untuk membocorkan sebahagian kandungan filem tersebut.

Menurut seornag jurucakap syerif, Steve Whitmore, selepas soal siasat itu, dia menaiki sebuah kereta meninggalkan pejabat tersebut.

"Selepas itu, anggota-anggota kami meninggalkan Nakoula di sebuah lokasi yang dirahsiakan.

"Kami tidak tahu ke mana dia pergi," katanya.

Nakoula telah dibebaskan secara bersyarat pada Jun 2011 selepas menjalani hukuman penjara selama 21 bulan.

Dia didapati bersalah menipu bank dengan menggunakan identiti palsu dengan membuka 600 akaun bank.

Berdasarkan syarat pembebasannya, Nakoula tidak dibenarkan untuk menggunakan komputer serta internet selama lima tahun tanpa kebenaran daripada para pegawai perunding cara.

Hakim mungkin mengarahkan dia kembali dipenjarakan kerana melanggar syarat pembebasannya itu. 

sumber- Agensi

Akhbar Ireland minta maaf siar gambar separuh bogel

Akhbar Ireland minta maaf
AKHBAR Daily Star menyiarkan gambar separuh bogel Kate Middleton di Ireland kelmarin.
DUBLIN - Penerbit akhbar Daily Star di Ireland semalam meminta maaf kerana menyiarkan gambar separuh telanjang Kate Middleton yang merupakan isteri pewaris kedua takhta Britain, Putera William.

Akhbar itu kelmarin menyiarkan gambar Kate sedang berjemur tanpa memakai coli di sebuah rumah di Perancis.

Kate kini memakai gelaran Catherine, Duchess of Cambridge selepas berkahwin dengan William.

Gambar tersebut pada mulanya disiarkan majalah Closer di Perancis.

Ia dirakamkan oleh seorang paparazi ketika William dan isterinya itu bercuti di sebuah rumah di negara tersebut.

Pemohonan maaf itu dikemukakan oleh syarikat Independent News & Media (INM) yang menerbitkan akhbar berkenaan.

"Bagi pihak INM, saya menawarkan permohonan maaf saya," kata Ketua Eksekutif INM, Joe Webb.

Beliau berkata, pihaknya akan melancarkan siasatan bagi memastikan kesilapan yang sama tidak berulang.

Permohonan maaf itu dibuat ketika William dan isterinya itu tiba di Kepuluan Solomon semalam selepas pasangan diraja tersebut melawat Malaysia.

Sejumlah besar penduduk meraikan ketibaan mereka di Honiara, ibu kota kepulauan tersebut.

Lawatan itu dilakukan sempena jubli intan pemerintahan nenda William, Ratu Elizabeth II.

William turut memeriksa barisan pasukan polis diraja Solomon.

Pasangan diraja itu juga menghadiri jamuan negara di Rumah Kerajaan di Honiara. 

sumber- Agensi

Badan putus dirempuh kereta api

Badan putus dirempuh kereta api
KEADAAN motosikal ditunggangi dua beradik yang dirempuh kereta api di Jalan Kuala Ketil, Sungai Petani semalam.
SUNGAI PETANI - Seorang gadis yang bekerja di sebuah kilang maut dengan badannya terputus dua manakala kakaknya cedera parah selepas motosikal yang ditungganginya dirempuh kereta api di Jalan Kuala Ketil di sini semalam.

Mangsa yang terbunuh ialah K. Nalini, 18, manakala mangsa yang cedera parah ialah K. Rani, 22.

Sebelum kejadian pada pukul 12.45 tengah malam, adik- beradik yang bekerja di sebuah kilang di Taman Ria Jaya di sini menunggang motosikal untuk pulang ke rumah mereka di Taman Kelisa Ria selepas berkunjung ke rumah rakan di Taman Pekan Baru.

Bagaimanapun, motosikal ditunggangi Nalini dirempuh dan diseret kereta api membawa muatan simen selepas mangsa dikatakan menyelinap di bawah palang penghadang landasan yang sudah ditutup.

sumber- Kosmo