Untuk mendapatkan postur ideal ketika perarakan tentera, sepasang jarum dilekatkan pada kolar setiap dari mereka. Dengan cara ini, mereka tidak akan menjatuhkan kepala sewenang-wenangnya. Cara ini mungkin agak keterlaluan namun ianya tidaklah mendatangkan kecederaan serius. Adakah cara ini wajar dipraktikkan untuk pelajar di perhimpunan sekolah?
Pages - Menu
▼
Tuesday, September 18, 2012
Bilik serendah RM0.05 sen di Tune Hotels
Tune Hotels |
KUALA LUMPUR - Tune Hotels meraikan ulang tahun kelimanya dengan tawaran jualan bilik daripada serendah RM0.05 sen, 5,000 Rupiah Indonesia, lima Baht Thai, lima Peso Filipina dan 25 Pound British semalam.
Tempahan dibuka mulai hari ini hingga 26 Sept bagi tempoh penginapan dari 1 Jun hingga 30 Sept, 2013.
Mark Lankester, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tune Hotels berkata:“Semasa kami melancarkan kali pertama jenama Tune Hotel, pada 2007, hasrat kami adalah untuk mewujudkan platform bagi tetamu untuk menginap di seluruh dunia pada harga mampu milik dan menikmati pengalaman hebat yang konsisten di mana sahaja mereka pergi.
"Kini, di tahun kelima operasi kami, kami telah berada di lima negara - Malaysia, Indonesia, Filipina, Thailand dan UK, dengan 25 hotel dan ia memberi prospek baik kepada objektif kami," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata keupayaan untuk melancong dan peluang mendapatkan tempat penginapan mampu milik di destinasi utama seperti Bali, London, Bangkok, Jakarta, Manila dan Kuala Lumpur kini menjadi satu realiti.
Tune Hotels akan mengembangkan lagi operasi ke destinasi baharu dalam tempoh beberapa bulan akan datang iaitu di Edinburgh Scotland, Ahmedabad India, Melbourne Australia dan banyak lagi tempat di rantau Asean, katanya.
Jenama Tune Hotel melonjak naik sejak 2007 di tengah-tengah landskap perjalanan dinamik internet global dengan mengguna pakai sistem tempahan dalam talian berasaskan web, menggalakkan pelanggan merancang terlebih dahulu dan menempah lebih awal bagi menikmati kadar bilik pada harga rendah dan fleksibiliti untuk menyesuaikan kemudahan penginapan mereka semasa menginap.
sumber- Bernama
Apple cipta rekod, 2 juta iPhone 5 ditempah
Syarikat telekomunikasi gergasi Apple |
SAN FRANCISCO - Apple Inc telah menerima dua juta tempahan dalam tempoh 24 jam untuk model iPhone 5 yang diperkenalkan 12 September lalu.
Ia tidak menjangka akan mendapat sambutan hangat daripada orang ramai, perkembangan yang menaikkan harga sahamnya.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Apple, pratempahan yang diterima telah melebihi bekalan yang ada.
Namun ia akan sampai kepada pelanggan Jumaat seperti yang telah dirancang.
Kebanyakkanya tidak akan menerima iPhone 5 sehingga Oktober.
Ia bukan sesuatu yang luar biasa untuk produk Apple habis dijual pada hari pertama, namun kali ini, telah meningkat sekali ganda.
Apple akan melakukan penghantaran iPhone 5 sebelum 21 September di Amerika Syarikat (AS) dan beberapa pasaran utama Eropah seperti Perancis, Jerman, dan United Kingdom.
Kemudian, telefon terbabit akan berada dalam pasaran di 22 negara pada 28 September.
sumber- Sinar
Kereta 'terbang' rempuh rumah
LAKARAN artis menunjukkan bagaimana kemalangan berlaku. |
LONDON: Satu kemalangan membabitkan dua kenderaan bukan saja mencemaskan orang ramai, malah turut menyebabkan mereka kehairanan.
Dalam kejadian awal pagi semalam itu, sebuah kereta Lexus berwarna perak melayang sebelum merempuh dinding bilik tidur sebuah rumah di tingkat satu yang terletak kira-kira 24 meter dari situ.
Menurut saksi, sebelum itu, pemandu kereta Lexus berkenaan terbabas sebelum merempuh sebuah kereta lain yang diletakkan di kawasan sama.
Katanya, pelanggaran itu menyebabkan kereta terbabit melambung dan melayang merempuh rumah berkenaan.
JURUTERA memeriksa struktur rumah selepas dirempuh. |
Rempuhan itu menyebabkan dinding tingkat atas rumah berkenaan berlubang. “Penghuni rumah itu sedang tidur apabila kereta berkenaan merempuh bangunan mereka kira-kira jam 3 pagi,” katanya.
Bagaimanapun, pasangan suami isteri serta dua anak mereka yang ada di situ ketika kejadian tidak mengalami sebarang kecederaan.
Pemandu kereta Lexus itu pula, katanya, hanya mengalami kecederaan ringan.
“Dua lelaki yang jadi penumpang juga dihantar ke hospital kerana kecederaan ringan,” katanya.
Sementara itu, jurucakap polis Epsom di Surrey berkata, selain bilik tidur utama, bilik air di sebelahnya juga rosak.
“Lima kereta, satu peti surat dan pagar juga rosak,” katanya. Seorang jurutera struktur menyiasat tempat kejadian bagi memastikan bangunan itu selamat ketika polis menjalankan siasatan bagi mengetahui bagaimana ia boleh berlaku.
sumber- TS
Aksi dalam tandas diperhati umum
NEW YORK: Ketika pelawat sebuah hotel eksklusif di New York boleh menikmati pemandangan indah dari tandas di tingkat 18 bangunan itu, keadaan yang sama tidak dirasai orang lain yang ada di sekitar kawasan berkenaan.
Pelanggan Kelab Boom Boom Boom di Hotel Standard di Manhattan dapat melihat ke luar melalui kaca yang menjadi lantai, dinding dan siling di tandasnya.
Pada masa sama, kaca itu juga membolehkan orang lain melihat aksi mereka di tandas.
Keadaan itu membimbangkan sesetengah pengguna tandas kerana tiada sebarang notis diletakkan mengenai situasi berkenaan.
Keadaan itu membimbangkan sesetengah pengguna tandas kerana tiada sebarang notis diletakkan mengenai situasi berkenaan.
Lebih memalukan, sesetengah aksi mereka turut dirakam orang tidak dikenali yang melihat mereka dari bawah. Pelancong dari Melbourne, Australia, David Langdon, 55, berkata melihat ke luar dari tandas itu memang menyeronokkan.
“Tetapi pemandangan di dalam tandas amat menakutkan,” katanya.
Menurut Langdon, dia melihat pejalan kaki melambai ke arahnya dari bawah.
Menurut Langdon, dia melihat pejalan kaki melambai ke arahnya dari bawah.
Katanya, keadaan itu bukan sesuatu yang diharapkan apabila seseorang membuang air.
Deretan mangkuk tandas pada dinding bilik itu dibina berhampiran dengan tingkap kaca dan ia membolehkan orang lain melihat setiap pergerakan yang ada di situ.
Pemilik premis itu juga tidak memasang langsir atau bidai bagi melindungi pengguna tandas berkenaan. Menurut sumber, hotel berkenaan memang popular di kalangan selebriti.
Antara bintang yang pernah menggunakan tandas itu ialah Leonardo DiCaprio dan Cameron Diaz.
Walaupun ada yang menyuarakan rasa tidak puas hati, sesetengah pengguna lain tidak keberatan aksi mereka dalam tandas menjadi tontonan.
Malah, ada antara mereka sempat melambai ke arah orang lain yang melihatnya dari bawah.
Pengurus hotel berkenaan pula enggan memberikan sebarang komen ketika dihubungi media.
sumber- DM
Nelayan mati lemas tergelincir dari bot
Orang ramai mengerumuni lokasi kejadian untuk melihat kerja mencari dan menyelamat oleh Unit Selam Skuba Jabatan Bomba dan Penyelamat dalam satu kejadian lemas petang kelmarin. |
KUALA TERENGGANU - Seorang nelayan warga Thailand mati lemas selepas tergelincir dari sebuah bot dalam satu kejadian di Pelabuhan Perikanan Chendering, di sini, petang kelmarin.
Mayat mangsa, Ma Esor, 38, berasal dari Narathiwat berjaya ditemui oleh Unit Selam Skuba Jabatan Bomba dan Penyelamat berhampiran lokasi mangsa dilaporkan terjatuh kira-kira jam 7.30 malam.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin berkata, kejadian dipercayai berlaku semasa mangsa bersama rakannya sibuk memunggah pukat sebelum tergelincir lalu jatuh.
“Kami menerima maklumat kira-kira jam 5.30 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian bersama pasukan bomba dan penyelamat untuk memulakan kerja mencari mangsa.
“Dengan kecekapan dan kepantasan Unit Selam Skuba Jabatan Bomba dan Penyelamat, kita mengambil masa lebih kurang hampir dua jam mencari mangsa walaupun dalam cuaca hujan yang agak lebat,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.
Zamri berkata, mayat mangsa ditemui tidak jauh dari lokasi kejadian sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bedah siasat.
“Hasil bedah siasat mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat lemas dan kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut serta tiada sebarang unsur jenayah.
“Mayat mangsa telah diserahkan kepada majikannya untuk urusan pengebumian dan kami difahamkan mangsa mungkin tidak dihantar balik ke negara asalnya, Thailand,” katanya.
sumber- Sinar
Letupan dari petrol tumpah
Song Cheng bersama penduduk di lokasi kejadian. |
JOHOR BAHRU – Tindakan dua jiran dari rumah pangsa Bandar Selesa Jaya, dekat sini, untuk membakar longgokan sisa pepejal di tempat pembuangan sampah membawa padah apabila berlaku letupan kecil yang mencederakan salah seorang daripada mereka.
Kejadian sekitar jam 7.30 petang kelmarin itu berlaku apabila minyak petrol yang digunakan untuk membakar sisa pepejal terbabit terlepas dari genggaman seterusnya terjatuh ke dalam corong saluran pembuangan sampah seterusnya menghasilkan api marak dan letupan sehingga menggemparkan penduduk Blok 6 rumah pangsa itu.
Letupan itu juga menyebabkan salah seorang daripada jiran terbabit, A Rahim Arshad, 59, terjatuh dari tangga dan menyebabkannya mengalami kecederaan pada tangan serta kaki selain dadanya dihempap serpihan dinding batu yang pecah kerana kejadian berkenaan.
Menceritakan detik cemas itu, Mohd Addie Mohd Kamal, 37, berkata, dia bersama Rahim sepakat untuk membersihkan longgokan sampai yang sudah terbiar tanpa dikutip oleh pihak bertanggungjawab sejak Julai lalu.
Menurutnya, oleh sebab terlalu banyak sampah yang kian menimbun saban hari, mereka berhasrat untuk membakar sahaja sisa pepejal itu sebagai jalan mudah melupuskan semua sampah berkenaan.
“Kami mula melakukan kerja pembersihan di tempat pembuangan sampah sekitar jam 4.30 petang dan tidak melibatkan jiran-jiran yang lain di bangunan blok ini. Inisiatif untuk membersihkan sampah yang semakin menimbun ini adalah untuk mengelakkan daripada sebarnya wabak penyakit berjangkit seperti taun atau denggi.
“Segalanya dilakukan dengan perancangan rapi dan kami bakar sampah dari tingkat ke tingkat bangunan. Bagaimanapun, ketika sedang meninjau keadaan corong saluran pembuangan sampah, botol berisi minyak petrol di tangan Rahim terjatuh sekali gus menyebabkan api marak secara tiba-tiba diikuti letupan kecil.
“Ketika saya segera ke tingkat tiga untuk melihat keadaan Rahim, saya melihat dia sudah terbaring dengan kesan cedera selain dadanya dihempap serpihan dinding batu bangunan. Bimbang dengan keselamatannya, saya segera membawanya ke hospital kerajaan bagi mendapatkan rawatan kecemasan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Rinting, Chia Song Cheng yang meninjau lokasi kejadian, di sini, semalam.
A Rahim menunjukkan kakinya yang cedera. |
Mohd Addie berkata, dia berasa lega apabila doktor mengesahkan Rahim tidak mengalami sebarang kecederaan serius, namun berasa bertanggungjawab ke atas keselamatan jirannya itu dan penduduk lain yang terkejut dengan kejadian berkenaan.
“Mungkin ada hikmah yang berlaku. Kami di sini, sepatutnya bekerjasama membersihkan sisa pepejal yang dibuang ke dalam tong disediakan sekali gus tidak menggunakan lagi corong saluran dan tempat pembuangan sampah ini.
“Mujurlah tiada kemalangan jiwa yang berlaku dan saya berasa lega apabila diberitahu Rahim tidak mengalami kecederaan serius,” katanya.
Bagi Rahim, kejadian yang berlaku sehingga menyebabkan dia terpaksa menerima tiga jahitan di tangan dan lapan jahitan di kaki menjadi pengalaman pahit sukar dilupakannya.
“Ketika api marah dan letupan berlaku, saya melambung dan jatuh berguling dari tingkat empat ke tingkat tiga bangunan. Lebih malang, serpihan batu bangunan yang menutup corong saluran pembuangan sampah ini menghempap dada selain beberapa kecederaan kerana kejadian ini.
“Tiada apa yang bermain dalam fikiran saya kecuali nekad menolak serpihan batu di dada dan menyelamatkan diri,” katanya.
Sementara itu, Song Cheng berkata, selaku wakil rakyat kawasan, dia akan membantu dengan mengeluarkan perbelanjaan bagi menutup corong saluran berkenaan bagi mengelakkan ia terus digunakan oleh penduduk.
“Saya mahu penduduk di rumah pangsa ini menggunakan tong sampah yang disediakan. Corong saluran yang menghubungkan tempat pembuangan sampah ini akan ditutup.
“Mengenai apa yang berlaku, mereka (Mohd Addie dan Rahim) bertindak betul mahu membersihkan sampah yang berlonggok dan saya tidak marah mereka. Bagaimanapun cara diambil salah sehingga membahayakan keselamatan diri,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai masalah longgokan sampah, beliau berkata, tanggungjawab mengutip sampah kini di bawah tanggungjawab Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) dan bukannya SWM Environment Sdn Bhd (SWM).
“Dulu memang SWM yang bertanggungjawab mengutip sampah di rumah pangsa ini, namun mereka kini hanya akan kutip sampah di dalam tong yang mereka sediakan sahaja. Oleh itu, jika penduduk buang di tempat pembuangan sampah, maka masalah longgokan ini akan berlaku.
“Saya meminta kerjasama penduduk supaya membuang sampah di dalam tong sampah yang disediakan. Janganlah mengambil mudah sahaja sehingga kelak menyusahkan diri,” katanya.
sumber- Sinar
Maut di tangan rakan
Mayat Myo Thu dijumpai terlentang di belakang kilang tersebut selepas ditikam oleh rakan senegaranya. |
TANJUNG RAMBUTAN – Seorang lelaki warga Myanmar maut ditikam oleh rakan senegaranya menggunakan sebilah pisau dalam pergaduhan di sebuah kilang batu di Jalan Bercham, di sini, malam semalam.
Dalam kejadian pada kira-kira jam 10.30 malam itu, mangsa, Myo Thu, 30an ditikam di bahagian dada sebelah kiri selepas berlaku salah faham.
Difahamkan sebelum kejadian, mangsa bersama tiga rakannya sedang makan dan minum arak di kilang itu sebelum didatangi tiga lelaki lain yang dipercayai sebagai rakan mangsa.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim berkata, ketika ditemui, mayat berada dalam keadaan berlumuran darah dan terlentang.
“Mangsa bersama enam rakan termasuk tiga suspek dilaporkan makan dan minum di kilang tersebut pada jam 10 malam.
“Pertengkaran berlaku dan salah seorang suspek telah mengeluarkan pisau dan menikam mangsa,” katanya kepada Sinar Harian di sini, hari ini.
Sehubungan itu, tiga rakan mangsa telah ditahan bagi membantu siasatan, manakala baki tiga lagi kawan mangsa telah melarikan diri.
“Siasatan awal mendapati mangsa tidak mempunyai dokumen pengenalan diri selain mempunyai slip pendaftaran pendatang tanpa izin (Pati).
“Unit anjing pengesan dikejarkan ke tempat kejadian. Dipercayai, suspek mengenali mangsa dan usaha mengesan ketiga-tiga mereka sedang dilaksanakan,” katanya.
Menurut Mohd Dzuraidi, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
sumber- Sinar
sumber- Sinar
Suspek larikan 43 komputer riba 1Malaysia dicekup
MIRI: Dua lelaki dipercayai terbabit melarikan 43 komputer riba 1Malaysia dan pelbagai barangan berharga dari rumah Timbalan Menteri, Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Datuk Jacob Dungau Sagan, di sini, ditahan polis, semalam.
Kedua-dua suspek masing-masing berusia 26 dan 40-an itu ditahan dalam dua serbuan berasingan di rumah di Taman Holiday Park dan Grand Park, antara jam 3 hingga 5.30 pagi.
Sumber berkata, penahanan suspek pertama membolehkan polis menemui seunit komputer riba 1Malaysia, projektor, seutas jam tangan yang diletakkan di bilik tidur lelaki itu.
Katanya, suspek yang sedang tidur terkejut dengan kehadiran polis dan cuba melawan, tetapi dapat ditahan sebelum dibawa ke balai untuk siasatan lanjut.
“Siasatan awal terhadap suspek membawa kepada penangkapan seorang lagi rakannya dipercayai menjadi dalang merancang kegiatan memecah masuk rumah timbalan menteri berkenaan.
“Setakat ini, seorang suspek mengaku terbabit dalam kes itu sebelum menjual barangan dicuri kepada pelanggan pada harga serendah RM250 seunit.
“Kami juga menjangka akan mendapat semula sekurang-kurang lima hingga 10 komputer riba 1Malaysia yang dicuri dan dijual kepada beberapa pelanggan termasuk sebuah syarikat kewangan berlesen dalam tempoh terdekat,” katanya.
Katanya, siasatan juga mendapati, seorang suspek adalah penjenayah tegar dan mempunyai rekod kesalahan lampau kerana giat melakukan pecah rumah di sekitar bandar ini sejak beberapa tahun lalu.
Difahamkan, sebelum ini, setiausaha timbalan menteri berkenaan membuat laporan polis selepas menyedari rumah di Jalan Lim Chee Hian, dipecah masuk ketika membuat pemeriksaan, pada jam 3 petang, 4 September lalu.
sumber- HMetro
Gadis syaitan campak bayi direman
PEKERJA kilang yang direman dibawa keluar dari Mahkamah MajistretPetaling Jaya semalam bagi membantu siasatan kes mencampak bayi. |
PETALING JAYA - Seorang ibu muda yang dipercayai tergamak mencampak bayinya hidup-hidup dari tingkat 3 Blok 1, Flat Desa Mentari di sini sebaik sahaja anaknya selamat dilahirkan direman sehingga Isnin ini bagi membantu siasatan kes perbuatan kejam itu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Mahkamah Petaling Jaya, Suraya Syawal pada pukul 11.30 pagi semalam.
"Mahkamah membenarkan suspek direman tujuh hari bermula hari ini (semalam) untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," kata beliau ketika dihubungi Kosmo!.
Menurut beliau, laporan bedah siasat ke atas mayat bayi yang cukup sifat itu mengesahkan mangsa mati akibat mengalami kecederaan serius di kepala.
"Bayi itu mengalami kecederaan teruk di kepala selepas dicampak dari tempat tinggi sebelum terhempas ke bawah," kata beliau.
Arjunaidi memberitahu, suspek yang berusia 20 tahun dan belum berkahwin itu melahirkan bayinya secara sendirian ketika dia berada seorang diri di rumah keluarganya.
Difahamkan bayi yang cukup bulan itu merupakan anak hasil hubungan suspek yang bekerja di sebuah kilang dengan teman lelakinya. Bagaimanapun, keluarga suspek tidak menyedari gadis itu mengandung.
Polis setakat ini tidak menyiasat atau menahan kekasih suspek kerana belum ada keperluan dengan kes bunuh yang dihadapi suspek wanita itu.
Suspek yang memakai baju T warna hitam, bertudung, berjaket merah jambu, berkain sarung batik, berstoking dan berselipar kelihatan bersahaja ketika diperintahkan ditahan reman oleh majistret.
Wanita itu yang tidak ditemani ahli keluarga ketika dibawa ke mahkamah masih dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya.
Semalam akhbar melaporkan, seorang bayi perempuan ditemui mati dipercayai dicampak dari tingkat tiga flat Desa Mentari di sini.
Polis yang memeriksa mayat bayi itu kemudian menahan seorang gadis yang kelihatan lemah selepas dipercayai baru lepas bersalin di tingkat tiga blok 1 di rumah flat itu.
Ketika ditemui, bayi yang masih bertali pusat itu sudah tidak bernyawa lagi.
sumber- Kosmo
Remaja OKU gagal bunuh diri
BULATAN menunjukkan tempat seorang remaja lelaki membaling kipas dan bingkai gambar (gambar kecil) sebelum dia mengugut untuk terjun dalam kejadian di Jalan Song, Kuching semalam. |
KUCHING - Seorang remaja lelaki orang kelainan upaya (OKU) mengamuk dengan membaling kipas angin dan bingkai gambar dari tingkat tiga sebuah bangunan rumah kedai hingga merosakkan cermin sebuah kereta sebelum mengugut untuk terjun dalam kejadian di Jalan Song di sini semalam.
Bagaimanapun, tindakan polis yang dapat memujuk mangsa selepas berbual-bual selama satu jam dapat menyelamatkan remaja yang menghidap sindrom down berusia 19 tahun tersebut daripada berbuat demikian.
Kejadian pukul 9 pagi itu berlaku apabila remaja berkenaan dilihat berdiri di tingkap rumahnya yang terletak di tingkat tiga bangunan tersebut sebelum dia mula 'meragam'.
Jiran yang enggan dikenali memberitahu, remaja tersebut kemudian membaling kipas angin serta bingkai gambar ke bawah sebelum mengugut untuk terjun melalui tingkap rumahnya itu.
"Saya terkejut apabila terdengar bunyi barangan jatuh hingga merosakkan cermin depan sebuah kereta yang diletakkan di bawah.
"Makin lama makin banyak barang dibuang dan apabila ditinjau, saya lihat remaja itu menjerit-jerit mengugut untuk terjun manakala kipas dan beberapa bingkai gambar dibuang," ceritanya.
sumber- Kosmo
Ngeri! Kepala pecah digilis empat kereta
ORANG ramai melihat anggota polis membungkus mayat Mohd. Rafiezudin yang terlibat dalam kemalangan di Kampung Saujana, Setiu kelmarin. |
SETIU – Seorang pemuda terkilan apabila gagal menyelamatkan seorang pengawal keselamatan yang tercampak ke atas jalan raya sebelum lelaki itu maut selepas dilanggar dan digilis empat buah kenderaan dalam kemalangan di Kampung Saujana dekat sini kelmarin.
Kejadian pukul 10 malam itu menyebabkan Mohd. Rafiezudin Razali, (gambar kecil) 20, maut selepas mengalami kecederaan parah dengan otaknya bersepai manakala sebahagian kepalanya pecah. Seluruh badannya juga mengalami kecederaan parah.
Difahamkan, mangsa dalam perjalanan ke sebuah kedai runcit di Kampung Beris Tok Ku yang terletak kira-kira 50 meter dari rumahnya.
Saksi kejadian, Fathul Ammar Amsyar Hasbullah, 17, memberitahu, sebelum kejadian, dia yang menaiki sebuah kereta bersama dua rakannya berada di belakang motosikal yang ditunggang mangsa.
Katanya, mangsa kemudian tercampak ke tengah jalan selepas melanggar sebuah motosikal yang diletakkan di tepi jalan.
“Sebaik melihat mangsa tercampak, saya terus berhenti untuk membantunya selepas melihatnya mengerang kesakitan sambil memegang kepala.
“Namun, belum sempat saya bertindak, badan mangsa dirempuh dua buah kereta, masing-masing Perodua Viva dan Proton Saga dari arah Besut menyebabkan mangsa terseret sejauh kira-kira 10 meter,” ceritanya yang kesal tidak dapat membantu mangsa.
sumber- Kosmo
sumber- Kosmo
Bomoh berahi ranjang ditangkap
KIRI: Anggota JHEAINS menahan bomoh yang disyaki memperdayakan mangsa dengan amalan nikah batin di sebuah rumah di Kampung LBJ, Labu, Seremban semalam. |
SEREMBAN – Taktik seorang bomoh memperdaya pesakitnya yang terdiri daripada golongan wanita untuk melakukan hubungan seks dengan alasan perubatan akhirnya memakan diri apabila dia ditahan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) di sebuah rumah di Kampung LBJ, Labu di sini semalam.
Sebelum melakukan hubungan seks dengan pesakitnya, lelaki berusia 48 tahun itu turut mengadakan upacara nikah batin dengan wanita berkenaan.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS, Husaini Mustafa berkata, lelaki terbabit ditahan kira-kira pukul 12.30 tengah hari di dalam sebuah bilik di rumah berkenaan ketika merawat seorang wanita berusia 23 tahun.
Katanya, ketika ditahan, lelaki berkenaan hanya berseluar dalam manakala wanita terbabit masih berpakaian lengkap.
“Serbuan itu dilakukan selepas kita menerima aduan daripada orang ramai dan risikan pegawai JHEAINS selama seminggu.
“Hasil daripada serbuan itu, kita menahan lelaki terbabit kerana disyaki mengamal nikah batin sebelum melakukan hubungan seks dengan pesakitnya dengan alasan untuk merawat wanita berkenaan,” katanya di sini semalam.
Beliau memberitahu, lelaki yang tinggal di Kuala Lumpur itu datang ke rumah terbabit untuk merawat seorang wanita yang menghadapi masalah mendapatkan anak.
“Kita dapati lelaki ini menggunakan ayat-ayat suci al-Quran untuk memperdaya mangsa melakukan hubungan seks dengannya dengan alasan salah satu cara untuk mengubati penyakit.
“Sebelum melakukan hubungan seks lelaki ini akan mengadakan upacara nikah batin dengan bayaran mas kahwin RM200 dengan alasan untuk menghalalkan hubungan tersebut,” jelasnya.
Menurutnya, dalam serbuan itu, pihaknya turut merampas beberapa buah kitab perubatan termasuk satu kitab suci al-Quran yang digunakan lelaki berkenaan ketika upacara nikah batin.
“Kita percaya lelaki ini sudah aktif di beberapa negeri sejak beberapa bulan yang lalu namun tiada mangsa yang tampil membuat aduan,” katanya.
Katanya, lelaki itu yang bekerja sendiri dan sudah berkeluarga kini ditahan untuk siasatan lanjut.
Tambahnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 49 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan kerana mencela agama Islam, Seksyen 50 kerana menggunakan ayat-ayat al-Quran secara salah dan Seksyen 77 kerana memikat dan melarikan wanita untuk tujuan seks.
Bagi setiap seksyen, tertuduh boleh dikenakan denda RM5,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
sumber- Kosmo
Mayat wanita bogel terapung di sungai
Anggota polis dan bomba mengusung mayat wanita yang ditemui di Sungai Moyog di Kampung Kodudungan, Jalan Terawih, Penampang semalam. |
PENAMPANG - Seorang pemuda yang melintasi tepi Sungai Moyog berhampiran Kampung Kodudungan, Jalan Terawih dekat sini semalam terkejut melihat satu mayat wanita berbogel terapung di sungai tersebut.
Semasa ditemui pada pukul 10 pagi, mayat wanita berusia 20-an yang terapung tersebut tersangkut pada satu dahan pokok di tepi sungai berkenaan.
Sungai Moyog menjadi tumpuan kaki pancing dan penemuan mayat itu menggemparkan orang ramai yang berada di situ.
Seorang saksi yang enggan dikenali berkata, mayat wanita itu yang dipercayai sudah mati beberapa hari lalu mungkin dihanyutkan arus dari kawasan lain.
"Ini kali pertama kami menemui mayat di sungai ini dan perkara tersebut mengejutkan kami semua," katanya di sini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Ratan Kumar Singh berkata, polis menunggu laporan bedah siasat mayat mangsa bagi mengetahui punca kematiannya.
Identiti mangsa juga belum diketahui.
Menurut beliau, polis buat masa ini mengklasifikasikan kematian mangsa sebagai kematian mengejut.
sumber- Kosmo
Hantu penanggal ditangkap
Gambar hantu penanggal ini dikatakan ditangkap di Kuala Kangsar, Perak. Hantu Penanggal turut dikenali sebagai hantu botol kerana cara ia mengeluarkan kepala dari tubuh sama seperti membuka penutup botol. Penanggal dikatakan menggunakan jasad pemilik sebagai perantara dengan bantuan jin ataupun saka. Hantu ini sering dijumpai di kawasan sawah padi kerana gemar memakan katak, malah ianya adalah hantu yang paling ditakuti ketika seseorang hendak bersalin kerana turut menggemari darah ibu yang baru melahirkan anak. Ianya mengeluarkan cahaya terang benderang ketika terbang. Penanggal bukan sahaja berkeliaran di semenanjung tanah air, malah turut digeruni di Indonesia dan juga Thailand. Kesahihan gambar ini tidak dapat dipastikan dan menjadi perbualan hangat di media sosial.
William, Kate naik perahu perang
WILLIAM (berbaju merah) menaiki sebuah perahu perang di Tavanipupu, Kepulauan Solomon semalam. |
HONIARA - Pewaris kedua takhta Britain, Putera William dan isterinya, Kate Middleton menaiki sebuah perahu perang di Tavanipupu, Kepulauan Solomon semalam.
Pasangan diraja itu diraikan ribuan penduduk yang menunggu kedatangan mereka.
William dan isterinya itu tiba di sini kelmarin selepas melakukan lawatan ke Malaysia dan Singapura.
Kate memakai gelaran Catherine selepas berkahwin dengan William pada 29 April tahun lalu.
Lawatan itu diteruskan walaupun terdapat laporan berita bahawa majalah Chi di Itali telah menyiarkan gambar separuh bogel Kate.
Edisi khas majalah itu kelmarin menyiarkan 18 gambar yang dirakamkan paparazi yang menunjukkan Kate dan William berjemur di sebuah rumah di Perancis.
KATE dan William berbual dengan seorang lelaki di sebuah kampung budaya di Honiara semalam. |
Para peguam pasangan diraja itu telah memfailkan aduan di sebuah mahkamah di Perancis ekoran sebuah lagi majalah, Closer menyiarkan gambar payu dara Kate.
Kate dan William menuntut ganti rugi kerana mendakwa majalah tersebut menceroboh kehidupan peribadi mereka apabila gambar berkenaan dirakamkan.
Bagaimanapun, gambar bogel tersebut tidak menjejaskan lawatan pasangan diraja itu.
Kate dan William turut melawat sebuah kampung budaya di sini.
Kelmarin pada satu majlis William berkata: "Tanah ini adalah yang paling indah dan penduduk di Kepulauan Solomon merupakan antara yang paling ramah serta baik."
Ketika berucap, William memakai baju batik.
Lawatan diraja itu diadakan sempena sambutan ulang tahun pemerintahan nenda William, Ratu Elizabeth II kali ke-60.
sumber- Agensi
70 ekor cacing tanah dikahwinkan
TAIPEI - Sejumlah 70 cacing tanah dikahwinkan pada majlis perkahwinan besar-besaran di selatan Taiwan dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran mengenai alam sekitar dan masalah hakisan tanah, kata pihak penganjur semalam.
Semua cacing tanah itu tiba di Taman Takang di bandar Tainan kelmarin.
Persatuan Pembangunan Komuniti Takang yang menganjurkan perkahwinan tersebut menyatakan, haiwan itu tiba dengan menaiki sebuah kereta yang dihias kain merah untuk disatukan dengan tanah-tanih di taman berkenaan.
"Upacara perkahwinan ini dilakukan menurut budaya tradisional Taiwan," kata ketua kumpulan persatuan itu, Huang Sen-nan.
"Kami mahu meningkatkan kesedaran orang awam berhubung keperluan untuk melindungi tanah tempat kita tinggal," katanya.
Hakisan tanah yang menyebabkan tanah runtuh apabila ribut taufan melanda merupakan antara masalah alam sekitar utama di Taiwan.
Kehadiran cacing tanah itu dapat membantu menghalang hakisan dengan meningkatkan struktur dan aliran air dalam tanah.
sumber- AFP
Polis rampas kokain bernilai RM9.13j selepas berbalas tembakan dengan penyeludup
SEORANG anggota polis mengawalsejumlah bungkusan kokain yang dirampas untuk dipamerkan kepada pemberitadi Riohacha, Colombia kelmarin. |
RIOHACHA, Colombia - Polis merampas sebanyak 1,825 kilogram dadah kokain di negara ini, kata beberapa pegawai kelmarin.
Serbuan itu dilakukan anggota-anggota unit penguatkuasaan dadah polis.
Kokain yang dirampas itu dianggarkan bernilai AS$3 juta (RM9.13 juta) milik kumpulan penyeludupan dadah, Los Urabenos.
Kokain itu diangkut menggunakan sebuah trak.
Bagaimanapun, beberapa orang yang menaiki trak itu melarikan diri selepas mereka berbalas tembakan dengan polis di sebatang jalan raya dekat bandar Dibulla.
sumber- Agensi
Pemimpin Zimbabwe temui cinta sebenar
TSVANGIRAI memegang tangan isterinya pada majlis perkahwinannya di sebuah stadium di Harare pada Sabtu lalu. |
HARARE - Perdana Menteri Zimbabwe, Morgan Tsvangirai menyatakan, beliau telah menemui wanita yang sesuai untuk dijadikan isteri.
Beliau yang berusia 60 tahun berkahwin dengan tunangnya, Elizabeth Macheka yang berumur 35 tahun pada Sabtu lalu.
Ketika bercakap kepada para tetamu, beliau menyatakan selepas mengadakan temu janji dengan beberapa wanita, akhirnya beliau mendapati Macheka sesuai untuk dijadikan isteri.
Majlis perkahwinan itu diadakan di sebuah stadium di sini yang dihadiri kira-kira 2,000 orang.
Pada tahun lalu, Tsvangirai menceraikan Locar-dia Karimatsenga selepas 12 hari mereka berkahwin pada satu upacara perkahwinan tradisional.
Sebuah mahkamah pada Jumaat lalu bagaimanapun memutuskan bahawa Tsvangirai masih menjadi suami yang sah kepada Karimatsenga menyebabkan beliau mungkin didakwa kerana melakukan poligami berdasarkan undang-undang negara tersebut.
Bagaimanapun, undang-undang suku kaum membenarkan lelaki mengamalkan poligami.
Tsvangirai melangsungkan perkahwinan itu berdasarkan undang-undang suku kaum yang membenarkan lelaki berkahwin lebih daripada seorang wanita.
sumber- Agensi
Hari tanpa kereta di Brussels
BEBERAPA orang mengayuh basikal di sebatang jalan raya di Brussels kelmarin. |
BRUSSELS, Belgium - Beberapa batang jalan raya di bandar raya ini tidak dilalui sebuah kenderaan pun sempena Hari Bebas Kereta kelmarin.
Sejumlah orang berjalan, berbasikal, menunggang skuter dan memakai kasut roda semasa mereka melalui jalan tersebut.
Ia diadakan bagi menggalakkan orang ramai tidak menggunakan kereta ketika berada di kawasan bandar.
sumber- Agensi
Dua firma Jepun tutup operasi
DUA penunjuk perasaan merosakkan sebuah pasar raya Jepun di Shenzhen, selatan China kelmarin. |
BEIJING - Sekurang-kurangnya dua firma utama Jepun menggantung operasinya di China ekoran peningkatan protes anti-Jepun pada hujung minggu lalu, kata kedua-dua syarikat berkenaan semalam.
Kakitangan kilang Canon Inc. di bandar Zhoushan, dalam wilayah Guangdong di selatan China diberikan cuti dua hari bermula semalam selepas berlaku tunjuk perasaan yang berlaku di berpuluh-puluh buah bandar di negara berkenaan berhubung pembelian tiga kepulauan kecil oleh kerajaan Jepun.
Pulau-pulau berkenaan turut dituntut oleh Beijing.
"Notis yang diterima menyatakan kami diberikan dua hari cuti dan akan mula bekerja pada 19 September ini," kata seorang kakitangan kilang Canon.
Menurutnya, cuti tersebut diberikan "kerana hal ehwal dalaman" pihak pengurusan kilang tersebut.
Seorang kakitangan kilang firma Panasonic Corp. di bandar Zuhai yang terletak berdekatan Zhoushan pula memberitahu bahawa mereka diberikan cuti sehingga esok.
Pekerja Panasonic itu yang dikenali sebagai Liao menyatakan beberapa pekerja kilang berkenaan melancarkan mogok berhubung pemilikan tiga kepulauan kecil tersebut.
SEORANG penunjuk perasaan mengibarkan bendera China di depan Kedutaan Jepun di Beijing semalam. |
Gugusan pulau berkenaan dikenali sebagai Diaoyu di China dan Senkaku di Jepun.
"Sekitar 12 pekerja China melancarkan mogok kerana isu kepulauan Diaoyu," kata Liao.
"Anda tahu, kami marah berhubung isu ini (pembelian kepulauan berkenaan oleh kerajaan Jepun," tambahnya.
Media Jepun pula melaporkan Canon menggantung operasinya di dua kilang lain di China semalam.
Media negara berkenaan menyatakan, peruncit Jepun, Muji telah menggantung jualan di beberapa kedainya di sini manakala beberapa kedai dan restoran berkaitan Jepun di bandar raya ini turut ditutup semalam.
Serangan ke atas beberapa kereta buatan Jepun dan kedai serta restoran berkaitan Jepun turut dilaporkan di sini dan beberapa bandar raya lain pada hujung minggu lalu.
Dalam usaha mengawal bantahan tersebut, polis dan media China semalam menggesa penunjuk perasaan supaya bertindak secara rasional dan mematuhi undang-undang serta mengelak daripada menyerang hartanah dan rakyat Jepun.
sumber- dpa
sumber- dpa