Pages - Menu

Friday, September 28, 2012

Kanak-kanak 4 tahun rentung

gambar api

IPOH - Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun rentung dalam kebakaran di sebuah rumah di Kampung Lintah Tiong, Slim Village, Slim River hari ini.

Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Slim River, Md Zin Mohd Saaidin berkata, Muhammad Shahrizal Abdullah ditemui rentung di ruang tamu selepas anggota bomba selesai memadamkan kebakaran.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Slim River untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi hari ini.

Md Zin berkata, kejadian berlaku pada pukul 2.30 petang dan ketika itu mangsa berada di ruang tamu seorang diri.

Ibunya Norlia Zakaria, 51, dan lima lagi adik-beradiknya berada di bahagian dapur dan sempat menyelamatkan diri ketika api pantas merebak.

Beliau berkata, seramai 11 anggota bomba dua jentera dikejarkan ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan.

Punca kejadian dan jumlah kerugian belum diketahui. 

sumber- Bernama

Nasib ibu, 7 anak penagih

bahaya dadah

KERIAN: Hancur luluh hati seorang ibu apabila mendapat tahu semua tujuh anaknya adalah penagih dadah tegar hingga menyebabkan dia dicaci masyarakat yang menuduhnya tidak pandai mendidik anak.

Wanita malang itu, Zawiyah Osman, 68, berkata, aktiviti tujuh anaknya yang terbabit dalam penyalahgunaan dadah cukup menyedihkan, namun dia tidak mampu berbuat apa-apa selain menasihati anak-anaknya itu.

Lebih menyedihkan apabila empat dari tujuh anaknya itu meninggal dunia satu persatu kesan pengambilan dadah secara berlebihan.

“Saya tidak segan berkongsi pengalaman duka dialami kerana inilah takdir dalam hidup saya. Berat mata memandang, berat lagi bebanan jiwa yang saya tanggung selama ini.

“Walaupun semua anak mak cik penagih dadah, naluri keibuan dan kasih sayang saya kepada anak tidak pernah luntur. Mak cik tetap mengambil berat dan menjaga mereka,” katanya ketika ditemui pada sesi rawatan dan pemulihan penagih dadah anjuran Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Pada sesi itu, Zawiyah membawa seorang anaknya, Fauzi, 30-an, untuk mendapatkan rawatan pemulihan daripada pihak AADK.

Dia yang juga seorang ibu tunggal mendakwa anaknya tidak pernah menyusahkan atau mencuri barang berharga miliknya walaupun bergelar penagih dadah.


“Walaupun mereka penagih tegar, semua mereka tidak pernah menyusahkan saya atau penduduk kampung.

“Mak cik tidak pernah berhenti menasihati mereka untuk berubah dan kembali menjadi manusia normal. Malangnya hati mereka tidak terbuka untuk kembali ke pangkal jalan sebelum ini,” katanya.

Dia mendakwa terpaksa mengorbankan segala yang dimiliki demi menjaga anaknya terutama membabitkan kos rawatan pemulihan supaya anaknya menjadi insan berguna.

“Namun, hajat mak cik tidak kesampaian apabila empat anak mak cik meninggal dunia satu persatu akibat bahana dadah. “Bagaimanapun, mak cik bersyukur kerana masih ada tiga lagi anak yang sedang menjalani rawatan pemulihan dadah. Makcik harap mereka dapat berubah dan tidak mengulangi kesilapan lalu,” katanya.

Sementara itu, Fauzi yang ditemui berkata, dia menyesal dengan penagihan dilakukan itu dan mendakwa ia berpunca daripada hasutan rakan yang juga penagih dadah.

Dia yang baru melangsungkan perkahwinan lima bulan lalu berhasrat untuk berubah demi ibu dan isteri tercinta.

“Saya sudah muak menjadi penagih dadah dan mahu kembali ke pangkal jalan. Hanya ini saja cara saya membalas jasa dan kesabaran ibu selama ini,” katanya.

sumber- HMetro

Wanita warga emas kritikal lengan dibaham dalam tali air

buaya di Amerika

LEESBURG: Pihak berkuasa Florida berkata, seekor buaya membaham hingga putus lengan seorang wanita warga emas, semalam.

Jurucakap Suruhanjaya Pemuliharaan Perikanan dan Hidupan Liar Florida berkata, wanita terbabit dalam keadaan kritikal. Pejabat Sheriff pula menyatakan, mangsa ialah Carol Hough, 84.

Jiran Carol, Delmas Zickefoose, berkata wanita warga emas itu terjatuh ke sebatang terusan sedalam kira-kira 1.2 meter yang ada di belakang rumah bergeraknya. 

Tidak dapat dipastikan bagaimana Carol terjatuh. 

Buaya itu kemudian dibunuh pihak berkuasa bagi mengelak ia melakukan serangan lagi. Bagaimanapun, cebisan lengan Carol tidak ditemui di perut bangkai buaya berkenaan. Penduduk setempat berkata, memang banyak buaya hidup di kawasan berkenaan.

Julai lalu, seorang remaja lelaki putus tangannya apabila diserang buaya di kawasan itu, manakala seorang kapten bot udara turut mengalami nasib sama ketika memberi makan haiwan liar berkenaan, Jun lalu. 

sumber- AP

Pura-pura sakit untuk tipu rakan, saudara

Lori Stilley

MOUNT HOLLY (New Jersey): Seorang wanita memperdaya sanak saudaranya untuk mendapatkan wang tunai, makanan serta majlis kahwin dengan mendakwa dia menghidap barah pundi kencing.

Lori Stilley, 40, dituduh mencuri dengan menipu. 

Nenurut pegawai, pada Februari 2011, Lori yang berasal dari New Jersey, memberitahu mereka yang rapat dengannya dan memuatnaikkannya dalam Facebook bahawa dia menghidap barah dan keadaannya semakin teruk. 

Pihak berkuasa berkata, rakan dan sanak saudaranya mengumpulkan lebih AS$10,000 0RM30,000), wang yang diperlukannya untuk menjalani rawatan kerana dia tidak mempunyai insurans perubatan.

Mereka juga menganjur dan membiayai majlis perkahwinan beliau dan makanan yang dipesannya.

Rakan dan sanak saudaranya bagaimanapun mengesyaki dia menipu pada November 2011 selepas dia berkata dalam laman Facebook yang dia semakin sihat. 

Pendakwa raya menyifatkan penipuan itu sebagai ‘amat kejam.’ Lori dibebaskan dengan ikat jamin AS$25,000 (RM75,000). 

sumber- AP

Wanita hamil 8 bulan maut

proton wira biru
Keadaan kereta Wira dipandu Mohd Romdan.
BENTONG – Hasrat pasangan suami isteri untuk menimang cahaya mata sulung tidak kesampaian apabila mereka terbabit dalam kemalangan di Kilometer 9.5 Jalan Baru Bentong-Raub, kira-kira jam 9 malam kelmarin.

Ketika itu, Jefri Khusairi, 28, bersama isterinya, Norazila Amira Radzuan, 24, yang mengandung lapan bulan dalam perjalanan balik dari rumah keluarga mereka di Kampung Lebu ke Kuala Lumpur menaiki kereta jenis Persona.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Aziz Salleh berkata, setibanya di tempat kejadian, sebuah kereta Wira dipandu anggota tentera, Mohd Romdan Ideris, 25, dari arah Bentong ke Raub dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke kanan jalan.

Menurutnya, kereta Wira itu dipercayai berpusing sebelum bertembung dengan kereta dinaiki pasangan suami isteri tersebut.

Norazila Amira Radzuan
Jenazah Norazila Amira dibawa keluar dari bilik mayat Hospital Bentong untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lebu.
“Mohd Romdan yang memandu seorang diri, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala. Manakala, Norazila Amira pula disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Bentong bersama kandungannya.

"Jefri pula cedera parah dan kini menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh,” katanya.

Abdul Aziz berkata, mayat kedua-dua mangsa dituntut keluarga masing-masing tengah hari semalam untuk dikebumikan.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

sumber- Sinar

Pelajar maut dirempuh guru

motosikal EX-5
Keadaan motosikal mangsa setelah bertembung dengan Toyota Innova, semalam
SABAK BERNAM - Seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Bedena menemui ajal setelah motosikal yang ditunggangnya bertembung kenderaan dipandu seorang guru, di Jalan Lama Kuala Selangor, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohamad berkata, dalam kejadian kira-kira jam 7.10 pagi itu, mangsa yang menunggang motosikal EX-5 dalam perjalanan ke sekolah, di Sungai Besar.

"Pemandu kereta Toyota Innova dari arah bertentangan menuju Simpang Lima gagal mengelak lalu merempuh motosikal mangsa yang secara tiba-tiba masuk ke laluannya.

"Mangsa, Muhammad Fiqri Mohd Kassim, 17, maut serta merta di tempat kejadian dipercayai cedera parah di kepala kerana hentakan di cermin hadapan kereta," katanya.

Menurut Mushar, pemandu yang bertugas di Sekolah Menengah Simpang Lima difahamkan dalam perjalanan ke tempat kerja sebelum merempuh motosikal ditunggang mangsa.

"Pemandunya tidak mengalami sebarang kecederaan dan tampil membuat laporan sejurus kejadian tersebut.

Bagaimanapun, kita masih belum menerima laporan daripada keluarga mangsa yang maut. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) untuk bedah siasat," katanya.

Sementara itu, guru berkenaan, Huwaibatul Aslamiah Khodari,34, berkata, dia dalam perjalanan ke sekolah terkejut apabila motosikal berkenaan memasuki laluannya secara tiba-tiba.

"saya cuba mengelak namun tidak sempat kerana jarak motosikal berkenaan begitu hampir menyebabkan kami bertembung," katanya.

"Saya bersyukur kerana terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan sebaliknya hanya bahagian hadapan kereta sahaja yang rosak," katanya.

sumber- Sinar

Cinta hingga ke mati, gantung diri selepas isteri meninggal

Stewart Timms and Valerie
TIMMS dan isteri, Valerie.
GLOUCHERSTER: Seorang lelaki pekak dan buta bertindak menggantung diri selepas kematian isterinya akibat sakit jantung.

Seorang koroner diberitahu, Stewart Timms, 63, dan isteri, Valerie, 68, yang bisu dan pekak, adalah pasangan dedikasi yang sentiasa hidup saling bantu-membantu.

Tetapi selepas Valerie meninggal dunia di rumah mereka di Andoversford, Gloucestershire, suaminya menggantung diri, beberapa meter dari mayatnya, kata Timbalan Koroner Gloucestershire, David Dooley.

Dooley merumuskan, Timms, pembuat kabinet, membunuh diri dan isterinya, mati akibat penyakit biasa.

Pasangan itu mempunyai dua anak dan lapan cucu. Mayat mereka, kedua-duanya berpakaian tidur, ditemui 16 Jun lalu oleh anak mereka, Emma Scott yang datang untuk menziarah.

Mereka dilihat bersama dua atau tiga hari sebelum penemuan itu.

Stewart Timms and Valerie
PASANGAN itu ketika muda.
Dalam kenyataannya, Emma berkata, ibu bapanya berkahwin selama 38 tahun.

“Mereka amat menyanyangi satu sama lain. Mereka jarang bertengkar. Menjelang kematian mereka, ibu bapa saya tidak pernah bertengkar. Mereka sentiasa bantu satu sama lain,” katanya.

Menurut Emma, bapanya pernah cuba menggantung diri 24 tahun lalu selepas diberitahu dia akan buta. Bagaimanapun, Timms tidak bercakap apa-apa baru-baru ini atau sebelum kematiannya.

Katanya, apabila tiba di rumah ibu bapanya, tidak ada orang yang menjawab ketukannya pada pintu rumah, menyebabkan dia cuba masuk menerusi pintu belakang, tetapi ia berkunci.

Dia melihat anjing bapanya, Arnie dan menyedari ada sesuatu yang tidak kena selepas ternampak kesan najis di lantai.

Dia meminta bantuan jiran pasangan itu, Adrian Stoner yang memanjat rumah berkenaan.

Stoner kembali dan memberitahu bapanya menggantung diri.

“Saya seterusnya diberitahu, ibu saya juga sudah ditemui dan disahkan mati,” kata Emma.

Dia yakin kematian ibu bapanya tidak berkait dan mereka tidak membantu satu sama lain untuk membunuh diri. 

sumber- DM

Pemburu tangkap buaya 300 kilogram

buaya besar ditangkap

JACKSON (Mississippi): Sekumpulan pemburu terpaksa ‘bertarung’ kira-kira satu setengah jam sebelum menewaskan seekor buaya seberat 317 kilogram di Delta Mississippi, semalam.

Ia dianggap buaya paling besar pernah ditangkap di Mississippi. Delta Mississippi menempatkan kawasan pemburuan yang luas, tapak pembalakan, perladangan dan pusat pengurusan hidupan liar. Seorang daripada pemburu terbabit, Tom Grant, berkata buaya itu ditangkap di sebuah kawasan pemburuan persendirian.

Katanya, mereka memasang kail berhampiran daerah Fitler in Issaquena.

“Ketika di awal umpan kami mengena, kami tahu ia buaya besar, tetapi kami tidak tahu sebesar mana reptilia itu,” katanya. Semakan Jabatan Hidupan Liar, Perikanan dan Taman Mississippi mengesahkan ia adalah buaya terbesar ditangkap di negeri itu.

Sebelum ini rekod dipegang seekor buaya seberat 313 kilogram. 

sumber- AP

Brunei wajibkan kanak-kanak ke tadika, sekolah agama

kanak-kanak Islam

BANDAR SERI BEGAWAN: Setiap kanak-kanak Islam, berusia antara tujuh dan 15 tahun dan tinggal di Brunei Darussalam, diwajibkan dihantar ke sekolah tadika dan sekolah rendah agama.

Ia sebahagian daripada Peraturan wajib Pendidikan Islam 2012 yang ditekankan oleh Sultan Brunei dalam ucapannya pada sambutan Hari Guru, baru-baru ini. Peraturan itu akan dilaksanakan bermula 1 Januari, tahun depan. 
Ia turut menekankan kewajipan pendidikan agama untuk kanak-kanak yang lahir pada atau selepas 1 Januari 2006, dan sekurang-kurangnya seorang dari ibu atau bapa adalah rakyat atau penduduk tetap negara ini. 

Perkara ini didedahkan semalam oleh Menteri Hal Ehwal Agama, Pengiran Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Pengiran Haji Abdul Rahman.

Perintah itu turut membawa maksud semua kanak-kanak perlu memenuhi syarat untuk masuk ke tadika atau sekolah rendah agama. Pendidikan agama bermaksud, menurut ajaran Ahli Sunnah Wal Jama’ah.

Peraturan itu juga menggariskan tanggungjawab wajib ibu bapa untuk mendaftarkan anak mereka di sekolah agama pada 1 Januari untuk penggal sekolah dan memastikan kanak-kanak itu boleh terus bersekolah sepanjang tempoh pendidikan agama itu. 

Ibu bapa yang gagal berbuat demikian dianggap melakukan kesalahan dan sekiranya didapati bersalah boleh dikenakan denda tidak melebihi BND$5,000 (RM12,514) atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali. 

Kanak-kanak perlu menghadiri sekolah agama untuk tujuh atau lapan tahun. 

Mohamad berkata, kementerian bersedia melaksanakan perintah itu dan memerlukan kerjasama dan komitmen penuh daripada semua pihak untuk program itu berjaya. 

Katanya, ia juga selaras dengan falsafah negara iaitu Kesultanan Melayu Islam. 

sumber- Brunei Times

Lesbian ketawakan RM200 juta tawaran bapa

Gigi Chao
Gigi Chao
HONG KONG: Anak perempuan bilionair play- boy yang didakwa lesbian, mentertawakan tindakan bapanya menawarkan hampir RM200 juta kepada mana-mana lelaki yang boleh mengembalikannya menjadi wanita tulen.

Cecil Chao Sze-tsung, antara orang paling kaya di Hong Kong menawarkan hadiah itu selepas anaknya, Gigi berkahwin dengan teman wanitanya, Seab Eav di Perancis. 

Taikun hartanah itu yang tidak dapat menerima perkahwinan sesama jenis itu berikrar akan membayar kepada mana-mana lelaki yang boleh berkahwin dengan Gigi dalam satu majlis tradisional. 

Bagaimanapun, anak perempuannya yang berusia 33 tahun itu dan lulusan Universiti Manchester menganggap tawaran HKD500 juta (RM200 juta) itu sebagai ‘agak menarik.’

Dia memberitahu akhbar South China Morning Post: “Ada ketikanya orang enggan menerima apa yang diberitahukan kepadanya.

“Dia (Chao) mempunyai tafsiran menarik mengenai saya.” 

Gigi enggan mengesahkan laporan mengenai perkahwinannya pada 4 April lalu dengan berkata: “Saya tidak takut untuk mengaku sesuatu. Tetapi saya mahu menghormati ibu bapa saya. Biarkan masa menjadi saksi,” katanya. 

Bapanya yang mendakwa mempunyai 10,000 teman wanita, menafikan laporan mengenai perkahwinan sesama jenis Gigi dan menegaskan anaknya masih bujang. 

“Saya tidak kisah lelaki itu kaya atau miskin. Paling penting hatinya baik,” kata Chao mengenai calon ideal untuk menjadi suami anaknya. 

“Gigi wanita yang baik, berbakat dan cantik. Dia menghormati ibu bapanya dan pemurah serta melakukan tugas sukarela,” katanya kepada South China Morning Post. 

Perkahwinan sesama jenis tidak diiktiraf di Hong Kong. 

Menurut laporan, Chao bertengkar dengan Gigi minggu lalu selepas Gigi mengumumkan pada satu majlis di Beijing bahawa dia sudah berkahwin dengan kekasihnya, Seab Eav, lima bulan lalu. 

Chao yang sering muncul di majlis sosial di Beijing dan majalah selebriti, tidak pernah berkahwin. 

Selain wang berkenaan, dia juga berjanji untuk membantu bakal menantunya memulakan perniagaan. 

sumber- DM

Mayat pelombong gagal dikeluarkan

Mayat pelombong gagal dikeluarkan
BEBERAPA ahli keluarga Sze Chun tidak dapat menahan kesedihan selepas mayatnya gagal dibawa keluar di Gunung Tabai, Bau semalam.
KUCHING – Misi mengeluarkan mayat pelombong emas haram yang mati dihempap dua bongkah batu sebesar kereta Perodua Kancil di kaki Gunung Tabai dekat sini awal pagi kelmarin, dihentikan terus petang semalam atas faktor keselamatan.

Ia ekoran operasi semakin rumit selepas berlakunya runtuhan baharu bongkah batu dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Bau, Deputi Superintendan Mohd. Sabri Zainol berkata, operasi selama dua hari tersebut dihentikan kira-kira pukul 4 petang kerana masih banyak lagi bongkah batu yang tidak dapat dialihkan.

Menurutnya, disebabkan struktur terowong tersebut tidak stabil dan diburukkan lagi dengan runtuhan terbaharu, misi mengeluarkan mayat mangsa, Lee Sze Chun, 37, di kaki gunung tersebut terpaksa ditamatkan serta-merta.

“Pasukan menyelamat terpaksa dikeluarkan dari terowong terbabit selepas berlaku runtuhan kerana kita tidak mahu berlakunya kehilangan nyawa membabitkan anggota penyelamat.

“Pada masa yang sama, saya mewakili pasukan mencari dan menyelamat memohon maaf kepada ahli keluarga mangsa kerana gagal membawa keluar mayat Sze Chun.

“Bukan kita tidak mampu menggalas tugas itu tetapi kita juga perlu memikirkan keselamatan anggota penyelamat,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian dekat sini semalam.

sumber- Kosmo

Peniaga rentung di dalam Innova

Toyota Innova
KEADAAN Toyota Innova milik Yan Seng yang hangus selepas melanggar pokok di Lebuh AMJ berhampiran Cheng semalam
MELAKA – Hajat seorang lelaki mahu membuka perniagaan menjual alat penggera dan kamera litar tertutup (CCTV) di Taman Melaka Perdana, Alor Gajah pada Sabtu ini tidak kesampaian apabila dia mati rentung selepas kenderaan Toyota Innova yang dipandunya melanggar pokok di Lebuh AMJ berhampiran Cheng di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 4.45 pagi itu, Chan Yan Seng (gambar kecil), 32, mati di tempat lokasi apabila kenderaan yang dipandunya hangus terbakar manakala mangsa tidak sempat menyelamatkan diri.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd. Rahman berkata, semasa kejadian, Yan Seng memandu seorang diri dari arah Cheng Perdana menuju ke Alor Gajah.

“Ketika tiba di tempat kejadian, kenderaan tersebut terbabas ke bahu jalan dan melanggar sebatang pokok menyebabkan kenderaan itu terbakar dan mangsa yang tersepit rentung,” kata beliau ketika dihubungi di sini.

Menurut beliau, mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat.

sumber- Kosmo

1,000 jemaah haji wanita Nigeria terkandas di Jeddah

jemaah haji wanita
SEKUMPULAN jemaah haji wanita meninggalkan balai ketibaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Mallam Aminu Kano sebaik sahaja mereka tiba dari Jeddah pada Rabu. Mereka tidak dibenarkan memasuki Mekah kerana tidak ditemani oleh mahram.
ABUJA - Kerajaan Arab Saudi telah menolak kemasukan lebih 1,000 jemaah haji wanita dari negara ini kerana tidak ditemani oleh lelaki atau mahram masing-masing, kata beberapa pegawai Nigeria kelmarin.

Semua wanita itu mulai tiba di lapangan terbang antarabangsa Jeddah, Arab Saudi Ahad lalu jelas satu laporan yang dikumpul oleh Suruhanjaya Haji Kebangsaan Nigeria yang mengawal selia jemaah haji Nigeria ke Mekah.

"Apabila ditanya oleh pegawai Suruhanjaya Haji Kebangsaan, mereka diberitahu bahawa jemaah haji itu ditahan kerana tiada mahram," kata laporan yang diserahkan kepada wakil jawatankuasa hal ehwal luar Nigeria.

Kira-kira 171 jemaah haji wanita itu pulang ke Nigeria menerusi satu penerbangan kelmarin.

"Mereka tidak diusir, sebaliknya dihantar pulang oleh Suruhanjaya Haji Kebangsaan kerana malu dengan pihak berkuasa Arab Saudi," kata jurucakap suruhanjaya, Umar Bala kepada agensi berita AFP.

Satu perbincangan dua hala sedang dijalankan di antara para pegawai kedua-dua negara bagi menyelesaikan isu itu, tambah beliau.

Katanya, seramai 1,000 jemaah haji wanita masih terkandas di lapangan terbang sama. 

sumber- AFP

Wanita Nepal bersuami dua

Wanita Nepal bersuami dua
GAMBAR pada 18 September menunjukkan Pasang (kiri) bersama abangnya, Mingmar Lama yang berkongsi seorang isteri bersama dua anak mereka. - AFP
UPPER DOLPA, Nepal – Apabila Tashi Sangmo berusia 17 tahun, gadis itu mengahwini jirannya yang berumur 14 tahun dan adik lelakinya di sebuah kampung di pedalaman banjaran Himalaya di Nepal.

Pada zaman dahulu, anak-anak lelaki dalam hampir setiap keluarga di rantau ini akan berkongsi seorang wanita sebagai isteri.

Dikenali sebagai poliandri, amalan tersebut semakin terpinggir setelah masyarakat Nepal terdedah kepada budaya kehidupan moden.

Namun, beberapa buah perkampungan terpencil di Himalaya masih mengamalkan budaya bersuami lebih daripada satu itu.

“Budaya ini memudahkan hidup wanita kerana segala harta kekal dalam satu keluarga. Tiada pembahagian kekayaan dalam kalangan isteri seperti amalan poligami,” kata Sangmo.

“Semua pendapatan dikawal oleh saya. Mereka (suami-suaminya) pula bertanggungjawab mencari nafkah untuk keluarga ini,” tambahnya.

Apabila Sangmo berkahwin dengan Mingmar Lama 14 tahun lalu, kedua-duanya faham bahawa adik lelaki suaminya, Pasang akan menyertai rumah tangga mereka kelak.

Ketika itu, Pasang baru berusia 11 tahun.

Keluarga berkenaan kini memiliki tiga anak lelaki dengan masing-masing berusia lapan, enam dan empat tahun.

“Saya mahu berkongsi ikatan perkahwinan ini bersama abang saya kerana hidup kami akan menjadi lebih mudah,” kata Pasang, 25, di rumah mereka yang terletak di kampung Simen pada ketinggian 4,000 meter dari aras laut.

Masyarakat terpencil di rantau ini mengamalkan poliandri bagi mengelakkan sesebuah keluarga membahagi-bahagikan harta mereka.

Perasaan cemburu pula tidak wujud dalam kalangan mereka.

“Saya tidak cemburu berkongsi isteri dengan abang saya. Jika saya cemburu, pastinya saya

akan mengahwini wanita lain,”

kata seorang lagi pemuda

yang mengamalkan budaya poliandri yang dikenali sebagai Pema.

Dia dan abangnya, Karma dengan rela hati berkongsi seorang isteri berusia 30 tahun, Shitar Dorje.

Keluarga poliandri biasanya bersikap tidak kisah berhubung isu bapa kandung dengan anak-anak mereka memanggil kedua-dua bapa dan bapa saudara sebagai “ayah”.

Rantau terpencil ini terletak sekitar 500 kilometer dari ibu negara Nepal, Kathmandu.

sumber- AFP

Penyelam tanda ikan jerung paus di Galapagos

ikan paus jerung
SEEKOR ikan jerung paus dilihat di Kepulauan Galapagos pada 11 September lalu. - REUTERS
KEPULAUAN GALAPAGOS, Equador – Pihak Taman Negara Galapagos, Yayasan Charles Darwin dan Universiti California melaksanakan operasi penandaan ikan paus jerung di sekitar kepulauan ini.

Beberapa penyelam daripada tiga organisasi tersebut melekatkan penanda elektronik ke sirip spesies ikan terbesar di dunia itu.

Penanda elektronik tersebut dihubungkan dengan sebuah satelit bagi memudahkan lokasi ikan tersebut dikesan.

Projek berkenaan bertujuan untuk memudahkan saintis-saintis memahami proses migrasi spesies itu secara lebih mendalam pada peringkat tempatan, serantau dan global.

Kepulauan Galapagos yang merupakan milik Equador terletak di Lautan Pasifik timur, sekitar 972 kilometer ke barat pantai negara berkenaan di rantau Amerika Selatan. 

sumber- Agensi

Isteri Justin Bieber meninggal dunia

Avalanna Routh
GAMBAR milik Institut Kanser Dana-Farber menunjukkan Avalanna Routh sedang dirawat di hospital berkenaan di Boston, Amerika Syarikat pada 15 Jun 2010.
WASHINGTON - Bintang pop remaja, Justin Bieber kelmarin berkabung selepas mendengar berita kematian pesakit kanser berusia enam tahun yang pernah menjadi isteri olok-oloknya, Avalanna Routh.

"Seorang yang mempunyai semangat tinggi dan saya kenali sudah tiada. Bersemadi dengan tenang Avalanna. Saya sayang kamu," kata Bieber di laman Twitternya.

Penyanyi berusia 18 tahun itu menulis mesej berkenaan selepas keluarga Routh mengumumkan berita kematian Avalanna di laman blog mikro Twitter.

Routh yang berasal dari Merrimac, Massachusetts menghidap penyakit ketumbuhan di bahagian otak yang digelar AT/RT semasa berusia sembilan bulan.

AT/RT merupakan gangguan otak yang jarang berlaku dan biasanya akan menyebabkan kematian penghidapnya dalam tempoh setahun.

Pada Ogos 2011, Institut Kanser Dana-Farber di Boston mengadakan majlis perkahwinan olok-olok antara dia dan Bieber.

Bieberpernah menjemput Routh yang juga peminat tegarnya ke New York untuk menyambut Hari Kekasih bersama-sama.

Hanya sekitar 30 kes baharu AT/RT disahkan di Amerika Syarikat setiap tahun. Peluang pesakit yang menghidapnya untuk terus hidup cuma sepuluh peratus. 

sumber- AFP