Pages - Menu

Friday, October 12, 2012

Ibu gantung diri selepas bunuh anak

KAGOSHIMA- Seorang wanita berusia 33 tahun ditemui mati tergantung selepas menikam anaknya yang berusia 9 tahun di rumahnya semalam.

Berdasarkan maklumat polis, wanita yang dikenali sebagai Rika Yamashita, menikam leher anak lelakinya Kosei, sebelum menggantung dirinya pada pagi Rabu. 

Mayat mangsa ditemui sendiri oleh ayah Yamashita ketika menziarahi rumahnya pada waktu tengahari.

Polis mengatakan, Yamashita tinggal bersendirian bersama anak lelakinya dan baru sahaja berpindah ke Kagoshima.

gambar mati tergantung
gambar hiasan
Pengetua sekolah Kosei memberitahu bahawa dia adalah seorang kanak-kanak yang bijak. 

Saudara-mara mangsa pula mengatakan bahawa Yamashita mengalami masalah kemurungan serta terlalu risau tentang masa depan.

Pembunuh kekasih isteri rakyat Malaysia dakwa dirasuk syaitan

MELBOURNE – Seorang lelaki Indonesia yang membunuh kekasih isterinya dengan kejam, mendakwa 'dirasuk syaitan' ketika kejadian.

Hazairin Iskandar, yang didapati bersalah membunuh rakyat Malaysia Mohd Shah Saemin, memberitahu Mahkamah Agung New South Wales hari ini bahawa dia sedar telah melakukan 'satu dosa yang tidak terampun dalam Islam', lapor Australian Associated Press (AAP).

Hazairin turut memohon kemaafan daripada keluarga mangsa yang berasal dari Melaka, pada pendengaran hukuman di depan Hakim David Davies hari ini.

dirasuk hantu
gambar hiasan
Mohd Shah, 43, seorang pemandu di Konsulat Malaysia, meninggal dunia selepas diserang Hazairin dan anak lelaki tertuduh, Andrew di luar pangsapuri mangsa di Leichhardt, Sydney pada malam 21 Feb 2010.
   
Andrew telah dihukum penjara 18 tahun kerana pembabitannya dalam pembunuhan itu.

Hazairin juga memberitahu mahkamah hari ini bahawa dia memaksa anaknya membunuh Mohd Shah.

Peguam James Trevallion kemudian menyoal sama ada Hazairin berbohong untuk menyelamatkan anaknya, yang mengemukakan rayuan terhadap hukuman itu.

Hazairin berkata Andrew, yang gemar bersendirian serta tidak mempunyai rakan, marah kerana melibatkan anaknya itu dalam jenayah tersebut.

"Saya mencium kakinya dan memohon ampun kepadanya," katanya.

Pada perbicaraan kes itu, mahkamah mendengar keterangan bahawa Hazairin menikam Mohd Shah sekurang-kurangnya empat kali pada bahagian atas badan dengan sebilah pisau manakala anaknya membelasah mangsa berulang kali dengan tukul.

Dua beranak itu menyerang Mohd Shah selepas mengetahui isteri Hazairin iaitu Nita Iskander mempunyai hubungan sulit dengan mangsa.

Pendengaran hukuman bersambung esok.

sumber- Bernama

Berenang bersama harimau

Adakah anda berminat untuk berenang bersama harimau? Perkara ini bukanlah mustahil.

Sebuah zoo peribadi di Florida mengenakan bayaran $200 untuk pengunjung yang ingin menghabiskan masa selama setengah jam berenang bersama beberapa ekor anak harimau. Dade City’s Wild Things terletak di luar kawasan Tampa, Florida. Mungkin kerana masih kecil, harimau-harimau ini tidak membahayakan malah ianya manja bersama sesiapa sahaja.

Berenang bersama harimau

Tersilap beri nombor seks

Tallahassee: Gabenor Florida, Rick Scott, dilaporkan tersilap apabila memberi nombor telefon hotline seks kepada penduduk sedangkan mereka meminta maklumat mengenai wabak meningitis kulat yang menyebabkan ramai maut di Amerika Syarikat. 

Pada Selasa lalu, Scott memberi maklumat terkini mengenai wabak itu dalam satu mesyuarat. 

Beliau kemudian mengumumkan nombor talian bebas tol mengenai wabak terbabit untuk memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat mengenai wabak terbabit. Bagaimanapun, beliau memberikan nombor talian hotline seks.

phone sex
gambar hiasan
Pejabat gabenor dimaklumkan perkara itu oleh stesen radio umum di Tampa, WUSF, yang memantau mesyuarat terbabit dan menyiarkan nombor itu di halaman webnya. 

Stesen terbabit berkata, mereka dimaklumkan pendengar nombor terbabit sebenarnya talian telefon dewasa. 

Nombor Hotline Meningitis Kulat Florida adalah 866-523-7339, tetapi Scott tersilap satu nombor. 

sumber- Reuters

Angkasawan jumpa planet berlian

diamond planet

WASHINGTON: Kerlipan bintang bukan satu-satunya berlian di ruang angkasa. Ini kerana pakar sains melaporkan penemuan "planet berlian" bersaiz dua kali ganda Bumi dan lapan kali kadar jisim berlegar berdekatan bintang. 

Penyelidik bidang fizik dan astronomi dari Yale, Nikku Madhusudhan berkata, penemuan berkenaan bermakna bahawa planet berbatu tidak lagi boleh dianggap mempunyai elemen kimia, bahagian dalam, atmosfera atau biologi sama seperti Bumi. 

Planet terbaru itu mula dipantau tahun lalu tetapi penyelidik menganggap bahawa ia sama seperti kimia di Bumi.

Hanya selepas analisis lebih lanjut daripada penyelidik Perancis-Amerika Syarikat mengesahkan planet berkenaan berbeza dengan Bumi. 

sumber- AFP 

4 mak nyah kalah kes guna baju wanita

pondan cantik

Seremban: Empat mak nyah semalam gagal mencabar Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 yang menghalang mereka berpakaian wanita. 

Permohonan semakan kehakiman yang dibuat Muhamad Juzaili Mohd Khamis, 25; Shukor Jani, 26; Wan Fairol Wan Ismail, 28 dan Adam Shazrul Mohd Yusoff, 26, ditolak Mahkamah Tinggi di sini, atas alasan seksyen itu sah. 

Keempat-empat mereka yang bekerja sebagai mak andam memohon Mahkamah Tinggi mengisytiharkan Seksyen 66 enakmen itu tidak mempunyai kesan dan tidak terpakai kepada mereka yang secara psikologi adalah wanita atau mempunyai kecelaruan identiti jantina.

sumber- BH

Maut dihempap pokok

Mohamad Fadil Mohamad
Mohamad Fadil ditemui terperangkap di bawah keratan pokok rambutan yang ditebangnya di Kampung Alor Hijau, Selising. Gambar kecil : Mohamad Fadil
PASIR PUTEH - Seorang penebang pokok menemui ajal selepas ditimpa keratan pokok rambutan yang ditebangnya di Kampung Alor Hijau, Selising dekat sini, malam kelmarin.

Mangsa, Mohamad Fadil Mohamad, 40, dari Kampung Padang Pak Omar di sini, yang dikatakan keluar dari rumah jam 4 petang kelmarin untuk mengambil upah menebang pokok rambutan tua tidak pulang ke rumahnya sehingga pukul 12 malam tadi.

Keadaan itu menyebabkan isteri mangsa, Rosnani Yaakob, 38, meminta pertolongan saudaranya untuk mencari Mohamad Fadil yang keluar rumah tanpa memberitau tujuannya.

Abang Ipar mangsa, Yaakub  Kadir, 53, berkata, dia bersama empat kawan mencarinya di kawasan sekitar dan menjumpai kereta milik Proton Iswara milik mangsa kira-kira jam 12.30 tengah malam.

Yaakob berkata, dia mengesyaki sesuatu yang buruk menimpa Mohamad Fadil apabila berpuluh-puluh panggilan ke telefon bimbit mangsa tidak berjawab.

Mohamad Fadil Mohamad
Mayat Mohamad Fadil terperangkap di bawah keratan pokok rambutan dalam kejadian di Kampung Alor Hijau, Selising malam kelmarin. Gambar kecil: Yaakob Kadir
“Saya menggunakan lampu suluh untuk mencarinya kerana kawasan itu agak gelap dan kami terkejut mendapati dia (Mohamad Fadil) terperangkap di bawah batang pokok rambutan yang ditebangnya dalam keadaan kaku.

“Ketika itu gergaji pemotong berada berham-piran dengannya dan saya kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Selising sementara menunggu anggota Bomba dan Penyelamat tiba untuk mengeluarkan arwah,” katanya.

Yaakob berkata, tempat kejadian tidak jauh daripada rumah orang kampung tetapi kejadian menimpa Mohamad Fadil tidak disedari mungkin disebabkan ketika itu hujan lebat.

Selain mengambil upah menebang pokok, arwah turut mengusahakan nira kelapa di hadapan rumahnya dan sebelum ini, dia dikatakan memberitahu keluarga hasratnya untuk menunaikan ibadat haji.

Mangsa yang mening-galkan seorang balu dan seorang anak lelaki, Mohd Aiman Mohamad fadil, 4, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Jawa, dekat sini jam 11.30 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd Kamal Zainal ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kematian itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Katanya, kejadian itu dipercayai berlaku di antara pukul 4 petang hingga 1.30 pagi dan mangsa mati akibat ditimpa pokok yang ditebang.

“Polis mengesahkan mangsa ditemui di bawah pokok yang di tebangnya sendiri dan pihak bomba membantu mengeluarkan mangsa yang sudah meninggal dunia,” katanya.

Mohd Kamal berkata, hasil siasatan mendapati punca kematian disebabkan kecederaan parah di kepala dan tiada kesan perbuatan jenayah.

sumber- Sinar

Dipukul sebab awek

Mohd Alif Sharif
Romah dan Mohd Alif menunjukkan laporan polis yang dibuat.
ALOR SETAR - Seorang ibu kesal apabila anak bongsunya dipukul rakan sekolah dengan menggunakan kayu cota dengan alasan anaknya mengganggu teman wanita pelajar lelaki itu.

Ibu mangsa, Romah Hashim, 53, berkata, kejadian yang berlaku Ahad lalu di sebuah sekolah agama swasta di Derga diketahui setelah dimaklumkan oleh anaknya, Mohd Alif Sharif, 15, yang menerusi panggilan telefon yang dibuat anaknya.

Mohd Alif yang kini sedang menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) mendakwa dia dipukul pelajar itu di bahagian perut, lengan, kaki dan belakang badan.

Menurutnya, akibat daripada kejadian terbabit anaknya terpaksa menjawab kertas soalan dalam keadaan tidak selesa kerana masih berasa sakit akibat daripada kejadian itu.

“Sewaktu menerima panggilan saya hanya menyangka tiada apa-apa kesan dan hanya bergaduh biasa namun apabila diperiksa saya mendapati terdapat kesan lebam di beberapa bahagian.

“Saya segera memaklumkan pada guru sekolah itu dan kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar,” katanya.

Romah berkata, sebagai ibu dia kesal kerana dengan kejadian yang berlaku kerana kayu cota merupakan barangan larangan yang tidak sepatutnya dibawa oleh pelajar ke sekolah.

Dia berkata, pihak sekolah sepatutnya memeriksa pelajar terlebih dahulu sebelum sesi persekolahan bermula kerana bimbang sekiranya mereka membawa barang larangan sehingga boleh menimbulkan kejadian yang berlaku terhadap anaknya.

Mohd Alif ketika menceritakan kejadian itu berkata, sehari sebelum kejadian dia telah berjumpa dengan rakannya itu di sebuah kafe siber di Simpang Kuala, dekat sini dan remaja itu telah mengugut akan memukulnya di sekolah.

Dia yang langsung tidak mengenali teman wanita rakannya itu tidak menyangka akan dipukul sehingga mengganggu konsentrasinya untuk menjawab peperiksaan.

“Walaupun masih berasa sakit di beberapa bahagian yang dipukul namun saya terpaksa habiskan menjawab kertas soalan.

“Selepas kejadian itu, saya tidak menerima ugutan daripada pelajar berkenaan dan berharap kejadian yang sama tidak berulang,” katanya.

Jurucakap sekolah memaklumkan kes yang berlaku adalah kes terpencil dan telah pun diselesaikan oleh pihak sekolah dengan memanggil kedua-dua pelajar untuk meminta maaf agar tidak mengulangi perbuatan itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asistan Komisioner Adzaman Mohd Jan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu.

Adzaman berkata, kes itu diklasifikasikan sebagai ROA (Refer To Order) yang merujuk semula kepada sekolah.

sumber- Sinar

Honda gesa pulau pengangkutan awam pamer iklan hina Islam

Iklan Pro-Israel

WASHINGTON: Seorang ahli Kongres Amerika Syarikat (AS) semalam menggesa orang ramai memulaukan sistem transit awam di Washington dan bandar raya lain yang menyiarkan iklan ditaja kumpulan pro-Israel.

Melalui iklan itu, orang Islam radikal digelar “tidak bertamadun.” Selain Washington, iklan sama turut dinaikkan di stesen kereta api New York dan bas di San Francisco.

Ia dipasang di ibu negara AS selepas seorang hakim persekutuan memutuskan, sesebuah kumpulan berhak menyatakan pandangan masing-masing. 

Iklan itu menyatakan: “Dalam sebarang perang di antara orang bertamadun dengan tidak bertamadun, sokong orang bertamadun. Sokong Israel. Tewaskan Jihad.” 

Wakil parti Demokrat dari California, Mike Honda, berkata dia menyokong Perlembagaan AS yang menjamin hak bersuara rakyatnya.

“Tetapi hak untuk tidak menyokong pandangan kebencian juga satu hak yang menjadi sebab mengapa saya menggalakkan orang awam memboikot, pengangkutan awam lain yang menyiarkan iklan sama,” katanya. 

sumber- AFP

Vietnam bebas 900 pelacur daripada pusat pemulihan

pelacur vietnam
gambar hiasan
HANOI: Vietnam akan membebaskan kira-kira 900 pekerja seks tahun depan daripada pusat pemulihan wajib di seluruh negara, lapor media kerajaan semalam.

Pelacur berkenaan boleh pulang apabila undang-undang pentadbiran yang baru dikuatkuasakan pada awal Julai tahun depan, menurut akhbar Thanh Nien.

“Ini perubahan besar mengenai bagaimana menangani pelacuran,” kata Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah Sosial kerajaan, Le Duc Hien dipetik sebagai berkata.

“Bagaimanapun, ia tidak bermakna kami secara rasmi mengiktiraf pelacuran,” katanya. 

sumber- AFP

Pemuda temui al-Quran tertua

al-quran tertua

MANAMA: Seorang pemuda Yaman, mendakwa menemui manuskrip tertua al-Quran.

Kitab Suci itu ditemui di dalam sarung kulit di sebuah gua di kawasan pergunungan selatan bandar Dhale di bahagian paling selatan negara ini, lapor laman berita, Aden Gulf News, semalam. 

Ayat “manuskrip ini ditulis tangan pada 200 Hijrah (815 Masehi)” tertulis di muka surat pertama dan ujian awal mendapati manuskrip itu asli, menjadikan ia al-Quran tertua ditemui. 

Menurut laman berita itu, tulisan Arab itu tidak mempunyai titik seperti yang diperkenalkan pada peringkat terkemudian dalam huruf Arab untuk membezakan huruf yang hampir sama.

Pemuda yang tidak didedahkan namanya itu ditawarkan wang yang banyak untuk manuskrip itu, termasuk YR 12 juta (RM171,511), tetapi pemuda itu menolak kerana mahu menyimpannya, kata saudaranya.

Menurutnya, dia berjaya turun ke gua itu dengan menggunakan tali kerana hanya itu saja caranya untuk masuk ke gua itu. 

Laman berita itu berkata, pemuda itu turut menemui sebilah pedang di sebelah al-Quran itu, dipercayai kepunyaan Ali bin Abi Talib, menantu Nabi Muhammad. 

sumber- Arab News

Lelaki kes tercekik sotong dijel seumur hidup

SEOUL: Seorang lelaki semalam dijatuhi hukuman penjara seumur hidup kerana membunuh teman wanitanya.

Kes berkenaan mendapat liputan meluas akhbar dan rakyat negara itu kerana ia membabitkan tuduhan ketidakcekapan polis. 

Polis mulanya percaya wanita berkenaan yang dikenali sebagai Yoon mati kerana tercekit ketika memakan sotong hidup. 

Mahkamah di daerah Incheon, barat Seoul, menjatuhkan hukuman itu ke atas teman lelaki mangsa yang dikenali sebagai Kim dengan menyifatkan perbuatannya sebagai jenayah yang amat kejam.

resepi masakan sotong
gambar hiasan
Kim yang kini berusia 31 tahun, memasuki sebuah motel bersama mangsa pada April 2010 selepas membeli dua sotong hidup dari sebuah restoran tempatan.

Satu sesungut sotong ditemui dalam tekak Yoon. Baik polis mahupun keluarga mangsa mempercayai cerita Kim bahawa teman wanitanya tercekik sotong itu hingga mati. 

Polis bagaimanapun terpaksa membuka kes itu semula selepas program televisyen mendedahkan usaha bapa Yoon untuk menyiasat semula Kim selepas mengetahui anaknya membeli insurans nyawa sejurus sebelum dia mati. 

sumber- AFP

Mati kerana ingin cantik

hospital Hong Kong

HONG KONG: Polis Hong Kong melancarkan siasatan terhadap sebuah pusat kecantikan atas dakwaan membunuh selepas seorang wanita yang mendapatkan rawatan di situ, mati.

Tiga lagi wanita dimasukkan ke hospital selepas menerima rawatan di pusat yang sama. 

Wanita berusia 46 tahun itu mati semalam kerana kejutan septik selepas menjalani rawatan rumit memasukkan darah, dipercayai untuk meningkatkan sistem imunnya. 

“Rawatan itu membabitkan proses ‘mengasing dan memperoses darah yang diambil daripada seseorang dan kemudian memasukkan campuran itu semula kepada pesakit,” kata kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Kesihatan.

Jabatan berkenaan mengenalpasti pusat rawatan itu sebagai sebahagian daripada rangkaian pusat kecantikan DR.

Pemeriksaan terhadap wanita itu yang dimasukkan ke hospital minggu lalu menemui bakteria tahan-antibiotik ganjil di dalam darahnya. 

Setakat ini tidak dapat dipastikan sama ada bakteria itu menjadi punca kematian wanita itu. 

Tiga wanita lain yang turut menjalani proses sama di pusat berkenaan dilapor tenat di hospital. 

Jabatan Kesihatan berkata, lebih 40 orang menerima rawatan seumpama itu di DR yang mempunyai 42 cawangan di seluruh Hong Kong. 

Menurut laporan, wanita berkenaan membayar HK$50,000 (RM19,350) untuk rawatan itu. 

Polis menyifatkan kes itu sebagai serius dan berkata, mereka menyiasat kejadian itu sebagai kes jenayah. 

Kementerian Kesihatan pula berkata, ia akan menubuhkan jawatankuasa khas untuk mengkaji semula peraturan di pusat penjagaan kesihatan swasta. 

“Kami akan menyiasat sama ada berlaku kecuaian dalam kes ini atau mereka melakukan pembunuhan,” kata Ketua Polis Hong Kong, Andy Tsang. 

Kenyataan DR yang dikeluarkan menerusi laman webnya berkata, doktor yang melakukan rawatan itu tidak bekerja dengan syarikat berkenaan. 

sumber- AFP

Profesor terbabit gangguan seksual digantung tugas

pelajar perempuan Thailand
gambar hiasan
BANGKOK: Seorang profesor universiti yang dituduh melakukan gangguan seksual dengan sesetengah kes membabitkan pemerkosaan pelajar wanita sudah digantung kerja.

Empat pelajar semalam memfailkan dakwaan gangguan seksual terhadap Krisada Sukhsamnieng, anggota Fakulti Jabatan Sastera di Universiti Somdet Chao Praya Rajabhat. 

Ekoran aduan itu, lembaga universiti menggantung Krisada dan mula melakukan siasatan.

Jika didapati bersalah, Krisada akan disingkirkan daripada fakulti, kata lembaga universiti. 

Menurut lembaga itu, ia cuba menghubungi suspek yang tidak lagi dilihat sejak mengambil cuti secara tiba-tiba Selasa lalu.

Kira-kira 80 pelajar berhimpun di halaman universiti semalam menuntut peletakan jawatannya.

Mangsa yang berusia 19 dan 22 tahun ditemani seorang daripada anggota fakulti ketika mereka membuat laporan polis.

Mangsa berkata, mereka mahu tindakan undang-undang dikenakan ke atas profesor itu yang setakat ini dapat meloloskan diri. 

sumber- BP

Pakar fengshui, kekasih berebut hartanah

Master Hui Jie

SINGAPURA: Seorang daripada pakar fengshui paling terkenal di republik ini terbabit dalam pertikaian dengan perempuan simpanannya selama 23 tahun di mahkamah ekoran dua hartanah bernilai lebih SG$2.5 juta (RM 6.2 juta).

Lebih dikenali sebagai Master Hui Jie, Goh Chuen Meng, 47, daripada Pertubuhan Fengshui Antarabangsa Hui cuba menghalang Lim Sor Bee, 41, daripada menjual unit kondominium yang didakwa dimilikinya. 

Akhbar harian Shin Min melaporkan, guru fengshui terbabit mendakwa Sor Bee yang juga pengarah syarikat fengshui itu cuba menjual unit kondominium di Telok Kurau yang dimiliki lelaki berkenaan. 

Kedua-dua hartanah itu didaftarkan atas nama Sor Bee.

Goh juga mendakwa, dia membayar hartanah itu tetapi didaftarkan atas nama Sor Bee. 

Wanita terbabit didakwa mencadangkan agar dia melakukan demikian bagi mengelak memasukkan hartanah itu dalam aset perkahwinan yang perlu dibahagikan jika dia bercerai dengan isterinya. 

Bagaimanapun, Sor Bee mendakwa dia sudah membayar RM1.8 juta untuk unit kondominium pada 2007 dan RM4.9 juta untuk rumah teres pada 2010.

Dia turut mendakwa Goh sanggup membantu membayar sebahagian hartanah itu sebagai “tanda cinta” kepadanya demi masa depan wanita itu. 

sumber- Shin Min

Sekolah rendah ketepi bahasa Inggeris

pelajar sekolah Indonesia

JAKARTA: Sebagai sebahagian pindaan kurikulum yang akan berkuat kuasa tahun depan, bahasa Inggeris tidak lagi menjadi subjek yang akan diajar di sekolah rendah di Indonesia, kata Timbalan Menteri Pendidikan dan Kebudayaan, Musliar Kaslim.

Menurutnya pindaan itu bertujuan memberikan lebih banyak masa untuk murid menguasai bahasa Indonesia terlebih dulu sebelum mempelajari bahasa asing.

“Sekolah rendah tidak akan mempunyai pelajaran bahasa Inggeris kerana murid belum lagi belajar untuk memahami bahasa Indonesia,” kata Musliar semalam.

“Malah, sekarang sesetengah murid tadika mengambil kursus bahasa Inggeris. Itu dilarang oleh undang-undang Islam (haram). 

Saya kasihankan kanak-kanak berkenaan,” katanya. 

Dia menegaskan semua sekolah perlu melaksanakan perubahan dalam kurikulum mereka. 

Bagaimanapun, kementerian masih memikirkan sama ada sekolah persendirian akan dibenarkan untuk mengajar bahasa Inggeris kepada pelajar mereka sebagai subjek sampingan. 

“Namun, untuk sekolah awam ia dilarang sama sekali,” katanya sebagaimana dipetik oleh kompas.com. 

Bagi sekolah antarabangsa yang biasanya menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa utamanya, kementerian belum memutuskan apa yang patut dilakukan.

Selain mengetepikan bahasa Inggeris sebagai subjek, kementerian juga merancang untuk mengurangkan subjek sedia ada di sekolah rendah kepada enam iaitu agama, bahasa Indonesia, pendidikan sivik, seni dan kemahiran, pendidikan fizikal dan pengetahuan am. 

Rancangan pengurangan subjek itu, termasuk matemati, sains, pengajian sosial, kandungan tempatan dan pembangunan insan. 

Musliar berkata, sains dan pengajian sosial tidak akan diketepikan langsung daripada kurikulum baru, tetapi akan digabungkan dalam subjek lain seperti bahasa Indonesia. 

sumber- Kompas.com

Budak sambut hari lahir dengan wiski

Sonny Rees

CARDIFF: Seorang budak dibiarkan menyedut separuh gelas wiski menggunakan straw selepas sebuah restoran tersilap menghidangkan arak itu walaupun sepatutnya dia diberi jus buah.

Media semalam melaporkan, Sonny Rees menghabiskan kira-kira 40 peratus alkohol itu tanpa disedari kakitangan restoran Frankie and Benny’s di Swansea. 

Insiden itu berlaku ketika Rees dibawa meraikan hari lahirnya yang kedua. Menurut sumber, kesilapan itu disedari apabila Rees menunjukkan riak wajah serta kelakuan aneh setiap kali menyedut minuman.

Ekoran itu, katanya, ibu Rees, Nina, 34, menghidu serta mencuba minuman berkenaan dan terkejut mendapati ia adalah arak. 

Rees kemudian dibawa ke hospital untuk pemeriksaan. Sementara itu, Nina berkata, dia memesan jus limau dan air kosong untuk anaknya. 

“Rees sempat menyedut kira-kira 10 kali dan saya dapat lihat dia mabuk,” katanya. 

sumber- TS

Scotland Yard tersilap sita kereta anak Raja Ajman

Sheikh Rashid Humaid al-Nuaimi

LONDON: Scotland Yard didakwa memulangkan sebuah kereta Ferrari FF yang dipamerkan di depan pejabat pihak berkuasa itu sebagai peringatan untuk pemandu degil sebaik saja mengetahui pemiliknya.

Kenderaan mewah bernilai £200,000 (RM984,024) itu dipamerkan bagi membuktikan pihak berkuasa tetap menyita kereta yang didapati melakukan kesalahan walau apa pun jenisnya. 

Namun, ia dikembalikan selepas polis menyedari ia dimiliki anak lelaki Sheikh Rashid Humaid al-Nuaimi, anak kepada pemerintah Ajman di Emiriah Arab Bersatu (UAE). 

Insiden itu diketahui ramai selepas Sheikh Rashid bermegah-megah memaklumkannya di Facebook. “Duit Arab memang berkuasa,” katanya. 

Bagaimanapun, jurucakap polis berkata, kereta disita hanya dipulangkan selepas pemiliknya membayar denda dan menyediakan dokumen sebenar. 

“Berhubung kes Ferrari itu, ia telah dituntut pemiliknya” katanya. 

Sheikh Rashid memuat naik gambar Ferrari itu di Facebook bersama catatan: “Ferrari saya disita di London, kemudian mereka mengetahui siapa saya dan kereta itu dikembalikan.” 

Dalam komen pada pos itu, Sheikh Rashid berkata, dia tidak membayar insurans untuk keretanya. 

sumber- DM

Jari berhias jadi identiti unik

ROME: Seorang artis menggunakan kreativitinya mencipta nama menggunakan jari yang dihias bagi membentuk pelbagai wajah orang terkenal.

Berasal dari Bologna, artis yang hanya mahu dikenali dengan nama samaran Dito Von Tease itu menggunakan jarinya bagi memaparkan wajah seperti Dalai Lama, Jesus, Muammar Gaddafi dan Hitler.

seni jari berhias
ANTARA wajah yang pernah digunakan Von Tease ialah (dari kiri) Gaddafi, Hilter serta satu daripada watak filem fiksyen sains popular, Avatar.
Dia memilih nama samaran Dito sempena nama seorang penari, Dita, serta perkataan bahasa Itali il dito (bermaksud jari).

Kata Von Tease, projek “Ditology” itu dilakukan bagi melihat kepada kepekaan terhadap identiti serta bagaimana seseorang menggunakan samaran - terutama apabila mereka meninggalkan “cap jari digital” dalam talian. “Ia bermula tiga tahun lalu ketika saya mencari imej asli sebagai gambar profil di Facebook,” katanya.

Menurut Von Tease, 33, dia memilih jari sebagai pengenalan kerana tidak mahu identitinya terdedah. Katanya di Itali, ada ungkapan agak popular, nascondermi dietro un dito, yang bermaksud “bersembunyi di balik jari.” “Ia adalah kiasan kepada tindakan bersembunyi yang tidak berkesan,” katanya. Von Tease berkata, dia menggunakan kiasan itu untuk menyatakan bahawa, semua manusia cuba menyembunyikan diri di balik imej yang direka sendiri.

Mengenai jarinya, Von Tease berkata, dia menghiasinya untuk memaparkan wajah sesiapa saja, terutama individu terkenal. Dia menukar watak jarinya setiap harian berdasarkan kepada berita dan perkembangan semasa, membabitkan isu sejarah, seni, muzik, televisyen dan politik. Untuk melengkapkan imej itu, Von Tease menukar warna kulit pada jarinya dan menambah gaya rambut, mekap dan ciri khusus yang dikaitkan dengan tokoh yang dipilih.

sumber- DM

Dijel 58 bulan angkara kad kredit

Dewi Susilawaty Suaidi
MASIH TERSENYUM... Dewi Susilawaty (bertudung) dijatuhi hukuman penjara oleh Mahkamah Majistret Kuching semalam atas kesalahan memiliki kad kredit orang lain.
KUCHING – Seorang pembantu tadbir wanita dihukum penjara 58 bulan dan denda RM14,500 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam selepas mengaku salah atas 29 tuduhan memiliki kad kredit pelbagai jenis yang menggunakan nama orang lain.

Tertuduh, Dewi Susilawaty Suaidi, 37, yang bekerja di Kementerian Pembangunan Perindustrian Sarawak (KPP) kelihatan tenang selepas Majistret Maris Agan menjatuhkan hukuman tersebut.

Dewi Susilawaty mengaku memiliki 29 keping kad kredit pelbagai bank atas nama 16 wanita lain pada pukul 4.35 petang, 28 Ogos lalu di Taska Sichomel Alam Sanctuary, No. 4564, Lorong Sumber Alam 2D, Sumber Alam Sanctuary, Jalan Sultan Tengah di sini.

Antara kad kredit tersebut ialah empat kad kredit jenis Mastercard Citibank, Visa UOB, Mastercard Gold HSBC dan Visa Gold HSBC atas nama Nuraina Agnes Abdullah, 27; tiga keping kad kredit bank HSBC, Visa Citibank dan Visa Eon atas nama Suraya Hazemi, 32, serta kad kredit Visa Hong Leong Bank, Visa Citibank dan Mastercard Citibank atas nama Minizam Rosli, 38,

Pendakwaan dijalankan oleh pegawai pendakwa polis, Inspektor Yunus Sahak mengikut Seksyen 37 (1) Ordinan Kesalahan Kecil Sarawak yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara tiga bulan dan denda RM500 bagi setiap tuduhan.

sumber- Kosmo

Bebas tuduhan bunuh harimau

orang asli bebas
DARI KIRI: Yok Rayau, Hassan, Yok Mat dan Yok Kalong gembira selepas dibebaskan daripada tuduhan membunuh seekor harimau di Mahkamah Majistret Tapah semalam.
TAPAH – Penantian empat lelaki Orang Asli suku Semai yang berhadapan tuduhan membunuh seekor harimau belang di Hutan Rezab Tapah dekat sini sejak dua tahun lalu berakhir semalam apabila Mahkamah Majistret di sini membebaskan mereka.

Majistret Fairuz Adiba Ismail membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

Berikutan itu, tertuduh, Yok Rayau Yok Senian, 50, Yok Kalong Bah Papee, 51, Yok Mat Bah Chong, 48, dan Hassan Bah Long, 33, dilepas tanpa perlu membela diri.

Mengikut kertas pertuduhan, keempat-empat lelaki yang bekerja mencari hasil hutan itu didakwa menembak mati seekor harimau belang tempatan menggunakan selaras senapang patah.

Harimau daripada spesies Panthera Tigris itu dilindungi dan disenaraikan di dalam Jadual Satu, Butiran 35, Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972.

sumber- Kosmo

Dua peragut guna pedang dihukum penjara, sebat

peragut
MOHD. HANIFI dan Wan Mohamed Ramzan dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kota Bharu semalam selepas dijatuhi hukuman.
KOTA BHARU – Tindakan kejam dua penganggur yang meragut mangsa tanpa belas kasihan dibalas dengan salah seorang daripadanya dijel 14 tahun enam bulan dengan 20 sebatan manakala rakannya dihukum penjara empat tahun enam bulan dan 10 sebatan di Mahkamah Sesyen di sini semalam.

Hakim Azman Mustapha menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Mohd. Hanifi Hamzah, 25, selepas dia mengaku salah atas tiga tuduhan termasuk dua kesalahan ragut manakala rakannya, Wan Mohamed Ramzan Wan Nawawi, 32, juga mengaku salah atas satu tuduhan serupa, selain mereka turut dihukum atas satu tuduhan menghapuskan barang curi.

Kedua-dua sahabat itu merupakan penjenayah kes cubaan samun terhadap pembantu klinik, Rohairani Abdullah @ Ibrahim, 36, yang tangan kirinya hampir putus ditetak ketika beg tangannya cuba diragut.

sumber- Kosmo

Wanita anggap diri pahlawan silam

Muhdalena Ahmad
MUHDALENA diiring keluar dari Mahkamah Sesyen Putrajaya semalam.
PUTRAJAYA – Muhdalena Ahmad yang didakwa melakukan ugutan jenayah dan memiliki sebilah pedang di pekarangan Jabatan Perdana Menteri (JPM) Julai lalu didapati mengalami masalah kemurungan dan juga gejala psikotik iaitu delusi serta halusinasi.

Malah Muhdalena, 28, dikatakan mengalami dejavu apabila diselubungi mimpi-mimpi buruk dan kejadian pelik di mana tertuduh berasa dirinya seorang pahlawan dari zaman silam yang sedia bertempur pada bila-bila masa.

Demikian hujahan peguam yang mewakili tertuduh, M. Visvanathan pada hari pertama perbicaraan kes itu di Mahkamah Sesyen di sini semalam sebagai sokongan supaya Muhdalena dihantar ke hospital psikiatri Ulu Kinta, Perak untuk pemeriksaan mental.

Hujahnya, laporan itu diperolehi daripada pakar psikiatri, Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental, Hospital Putrajaya, doktor Umi Adzlin Silim yang membuat pemeriksaan awal ke atas ibu kepada dua anak itu.

sumber- Kosmo

Porsche di pusat pameran dilarikan

Porsche Panamera 4
PUSAT pameran Porsche di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur yang diceroboh penjenayah hingga menyebabkan sebuah kereta mewah hilang semalam. Gambar kecil, Mohd. Azri yang dicari polis.
KUALA LUMPUR – Seorang penjenayah yang memasuki sebuah pusat pameran kereta di Jalan Bukit Bintang di sini dengan mudah berjaya melarikan kereta mewah Porsche Panamera 4 bernilai hampir RM1 juta dari premis itu semalam.

Imej rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pusat pameran Porsche itu menunjukkan seorang lelaki berpakaian kemeja putih lengan panjang dan bertopi dengan selamba memasuki premis berkenaan sebaik pusat pameran kereta itu dibuka pada pukul 9 pagi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, suspek itu kemudian naik ke tingkat atas pusat pameran kereta tersebut sebelum menggeledah sebuah meja dan mengambil satu sampul surat berisi kunci sebuah kereta Porsche.

“Lelaki itu kemudian dilihat keluar dari pusat pameran tersebut sambil menekan alat penggera kereta bagi mengetahui di mana kedudukan kereta yang ingin dilarikan.

“Selepas mengetahui lokasi kereta terbabit diparkir, lelaki itu terus memandu keluar sebuah Porsche Panamera warna emas bernilai RM900,000 yang diletak di luar pusat pameran itu,” kata beliau pada sidang akhbar itu di sini.

Menurut Zainuddin, enam buah lagi kereta Porsche pelbagai model lain yang berada di luar pusat pameran tersebut tidak diusik.

Difahamkan semasa kejadian di dalam pusat pameran itu terdapat beberapa buah kereta Porsche lain yang diletakkan di situ.

sumber- Kosmo

Seorang maut bangunan parkir runtuh di Miami

Kolej Miami-Dade
BANGUNAN tempat meletak kenderaan setinggi lima tingkat runtuh di Kolej Miami-Dade, Florida kelmarin.
MIAMI, Amerika Syarikat - Bangunan tempat meletak kenderaan yang masih dalam pembinaan runtuh kelmarin menyebabkan seorang pekerja terbunuh di sini, kata beberapa pegawai.

Menurut mereka, beberapa pekerja lagi cedera dalam kejadian tersebut.

Salah seorang pekerja itu berjaya diselamatkan selepas terperangkap di celah runtuhan.

Jurucakap Jabatan Bomba Miami-Dade, Griselle Marino berkata, pekerja itu diselamatkan selepas dia menggunakan telefon bimbit untuk memberitahu lokasinya kepada anggota pasukan penyelamat.

Bangunan parkir itu setinggi lima tingkat dan terletak di Kolej Miami-Dade.

Tiada pelajar yang berada di kawasan itu ketika kejadian tersebut berlaku pada waktu pagi.

Empat pekerja dihantar ke sebuah hospital termasuk seorang berada dalam keadaan parah.

Tiga lagi pekerja dirawat oleh anggota paramedik.

Punca kejadian masih belum diketahui. 

sumber- Agensi

Jutawan China tawar ganti kereta buatan Jepun milik mangsa rusuhan

kereta buatan China
GUANGBIAO memegang basikal di atas bumbung sebuah kereta buatan China di Nanjing kelmarin.
NANJING - Seorang jutawan China, Chen Guangbiao berjanji untuk menggantikan kereta buatan Jepun milik 43 orang rakyat China.

Sebelum ini kereta milik 43 orang itu dirosakkan oleh sejumlah penunjuk perasaan di negara ini dalam isu tuntutan Kepulauan Senkaku di Laut China Timur.

Kerajaan Jepun memutuskan untuk membeli tiga daripada lima pulau kecil yang membentuk kepulauan itu daripada pemilik persendirian menyebabkan penduduk China berasa marah dan melancarkan tunjuk perasaan pada bulan lalu.

Menurut media negara ini semalam, Guangbiao menunjukkan 43 buah kereta buatan China yang dibelinya pada harga lebih AS$794,000 (RM2.4 juta) di sini pada Rabu lalu.

Jutawan berusia 44 tahun itu menawarkan kereta Geely buatan tempatan bagi menunjukkan perasaan patriotik terhadap negara.

"Saya melancarkan majlis ini (menawarkan kereta buatan China) untuk mengingatkan orang ramai bahawa semangat patriotik sepatutnya dikendalikan dengan rasional, kebijaksanaan dan disiplin," katanya.

Dia mempamerkan kereta yang telah dibelinya itu kepada orang ramai dan pemberita di sini kelmarin.

Menurut perangkaan industri, jualan kereta Jepun merudum ketika terdapat desakan supaya barang buatan negara tersebut diboikot ekoran isu tuntutan kepulauan yang tidak berpenghuni itu.

Guangbiao merupakan salah seorang daripada 400 individu yang kaya di negara ini.

Jumlah kekayaannya dianggarkan sebanyak AS$740 juta (RM2.27 bilion).

Dia memperoleh kekayaan menerusi sebuah syarikat kitar semula di Nanjing. 

sumber- Agensi

Lelaki bakar diri untuk tuntut pampasan di Albania

Lelaki bakar diri
BAJU dan seluar Beko terbakar semasa dia berlari di Tirana pada Isnin lalu.
TIRANA, Albania - Seorang lelaki yang pernah dipenjarakan ketika era pemerintahan komunis, Lirjak Beko membakar tubuhnya di sini pada Isnin lalu.

Beko, 47, mencurahkan minyak petrol ke arah seluar, baju dan tubuhnya sebelum dia menyalakan api.

Beberapa anggota polis dan rakannya kemudian berusaha memadamkan api pada tubuhnya dengan menggunakan sehelai selimut.

Menurut doktor, muka, kaki dan tangannya melecur dan dia berada dalam keadaan kritikal.

Beko melakukan perbuatan itu bagi menuntut pampasan daripada pemerintah selepas dia dipenjarakan pada era pemerintahan komunis.

Albania diperintah komunis dari 1940 hingga 1990.

Sebelum ini seorang lagi tahanan politik, Gjergj Ndreca turut membakar dirinya bagi menuntut pampasan itu. 

sumber- Agensi