Pages - Menu

Wednesday, October 17, 2012

Trak sangkut pada struktur jambatan

Trak sangkut

LANZHOU: Ketinggian kabin trak ini ialah 3.5 meter sementara saluran paip air dibina sehingga 4.5 meter dari aras tanah.

Secara logiknya, tidak akan ada masalah untuk trak itu melalui jalan raya di bandar Lanzhou, tengah China.

Bagaimanapun, pemandunya mungkin tidak mengambil kira ketinggian trelernya. 

Berikutan kecuaiannya itu, lorinya terangkat apabila dia terlanggar struktur sokongan jambatan di bawah saluran paip air itu. 

Mujur saluran paip itu tidak patah dalam kemalangan yang berlaku semalam. Lanzhou ialah bandar raya perindustrian, pusat kilang tekstil, kilang pemprosesan getah dan minyak serta loji baja. 

Kira-kira lima juta orang mendiami bandar ini. 

sumber- DM

Ditimpa objek dari Langit

SENTUL – Tindakan sesetengah penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang gemar membuang objek dari tingkat atas membawa musibah kepada penduduk sebuah flat berhampiran apabila saban hari banyak kenderaan dilaporkan terjejas akibat insiden tidak bertanggungjawab itu.

Kejadian yang sering kali berlaku di Flat Sentul Utara itu berpunca daripada objek yang dibaling dari kawasan kediaman PPR Sri Kelantan yang terletak hanya beberapa meter bersebelahan

Penduduk Flat Sentul Utara, Mohd Zaharil, 47, berkata, kebanyakan kereta yang diletakkan terlalu hampir dengan bangunan PPR tersebut akan pecah cerminnya.

cermin kereta pecah
Dominic (dua, kanan) melihat keadaan cermin kereta milik penduduk Flat Sentul Utara yang pecah akibat balingan objek dari blok PPR berhampiran.
“Mereka baling batu atau objek hingga kadangkala turut membahayakan nyawa kami yang lalu–lalang berhampiran blok PPR itu,” katanya.

Menurutnya, pernah sekali seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun nyaris terkena topi keledar yang sengaja dibuang dari tingkat atas PPR berkenaan yang jatuh hanya beberapa meter darinya.

Manakala Azim Johari, 34, berkata, penduduk yang pernah menjadi mangsa tidak lagi meletakkan kenderaan mereka berhampiran bangunan PPR itu.

“Lazimnya mereka yang tidak tahu termasuk kereta pelawat akan menjadi sasaran balingan objek dan sama ada sengaja atau tidak, ada sampah turut dicampakkan begitu sahaja,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pemuda Gerakan, Dr Dominic Lau yang turun padang melawat ke kawasan itu kelmarin berkata, masalah dihadapi penduduk Flat Sentul Utara akan dapat diselesaikan melalui pertemuan bersama wakil penduduk di PPR Sri Kelantan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Kita akan selesaikan masalah ini kerana keadaan semakin meruncing malah beberapa perkara juga akan diberi perhatian termasuk cadangan mahu mengadakan sistem kawalan keselamatan di Flat Sentul Utara bagi mengelak kejadian pecah kereta oleh pihak luar yang menceroboh masuk ke dalam kawasan flat ini,” katanya.

Selain itu, beberapa perkara perlu diberi perhatian oleh DBKL termasuk mengadakan garisan kuning bagi memberi amaran kepada kenderaan supaya tidak membuat pusingan U di lampu isyarat di jalan utama di hadapan flat berkenaan bagi mengelak kesesakan teruk.

sumber- Sinar

Mayat reput di ruang tamu

GEORGETOWN - Bau dari sebuah rumah papan di Hong Seng Estate, Tanjung Tokong yang menimbulkan tanda tanya kepada penghuni di situ sejak enam hari lalu, akhirnya terjawab dengan penemuan mayat seorang wanita warga emas.

Mayat Ch’ng Sooi Inn, 51, ditemui dalam keadaan bogel dan terlentang di ruang tamu rumahnya kira-kira jam 8.30 malam kelmarin.

Anggota polis terpaksa memecah masuk pintu kediaman wanita itu dan menemui kad rawatan psikiatri, preskripsi ubat sakit jantung dan kencing manis.

Seorang jiran wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Lim berkata mangsa dilihat kali terakhir di laman rumahnya Rabu minggu lalu.

foto mayat ngeri
Anggota polis mengeluarkan mayat mangsa dari dalam rumah untuk dihantar ke HPP.
“Setakat yang kita tahu, dia mempunyai seorang anak perempuan dan adik tetapi jarang dikunjungi ahli keluarga,” katanya.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng, ketika dihubungi berkata siasatan awal mendapati mangsa mungkin mati sejak beberapa hari lalu berdasarkan keadaan mayatnya yang sudah berbau dan reput.

“Setakat ini, kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan tiada unsur jenayah.

“Mayatnya dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat,” katanya.

sumber- Sinar

Ibu anak 6 kena tangkap basah

KULIM - Seorang wanita beranak enam berusia 36 tahun ditahan bersama pasangannya di dalam sebuah van pekerja yang diletakkan di tempat gelap dan dalam keadaan enjin dimatikan di belakang sebuah stesen minyak di kawasan Taman Selasih Zon Dua, kira-kira jam 9 malam kelmarin.

Ketua Skim Rondaan Sukarela (SRS) Komuniti, Rizal Md Saad berkata, dia bersama anggota polis dan ahli SRS pergi ke tempat kejadian selepas menerima aduan penduduk.

Menurutnya, ketika pemeriksaan, polis mendapati pasangan lelaki yang bekerja sebagai pemandu van berusia 26 tahun dan masih bujang berbaring di kerusi pemandu, manakala pasangannya duduk di kerusi penumpang.

Ibu anak 6 kena tangkap basah
gambar hiasan
“Selain itu terdapat kesan lebam di leher pasangan perempuan, manakala tudungnya sudah dibuka. Pemeriksaan mendapati kedua-dua bukan mahram.

“Pasangan terbabit memberikan pelbagai alasan elak ditahan dan mereka dibawa ke Balai Polis Kulim untuk siasatan lanjut,” katanya.

Kedua-dua pasangan itu kemudiannya diserahkan kepada pegawai penguat kuasa Pejabat Agama Islam Daerah Kulim (PADK) untuk tindakan lanjut.  

Rizal berkata, sehingga hari ini, ramai pasangan kekasih yang menjadikan stesen minyak itu sebagai tempat melakukan perbuatan maksiat.

“Kami tidak akan berkompromi atau menanggung dosa mereka terlibat, sekiranya tidak mengambil tindakan terhadap mana-mana pasangan yang melakukan maksiat di kawasan taman perumahan kami.

“Saya menasihatkan mereka supaya jangan melakukan perbuatan terkutuk itu di sini dan mencemarkan imej penduduk Taman Selasih,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya mereka merasakan alam percintaan mereka itu tidak dapat dikawal lagi, beliau menasihatkan mereka agar segera bernikah.

“Dengan cara ini mereka dapat mencegah diri dari melakukan perbuatan mungkar,” katanya.

sumber- Sinar

Lukisan Picasso dicuri di muzium Belanda

lukisan dicuri

THE HAGUE - Sebanyak tujuh lukisan karya beberapa pelukis agung termasuk Pablo Picasso, Claude Monet, Henri Matisse dan Paul Gauguin dilaporkan dicuri di Muzium Kunsthal, semalam.

Menurut polis, kejadian itu dikesan selepas alat penggera berbunyi, namun pencuri berkenaan berjaya melarikan diri sebaik sahaja polis tiba di muzium terbabit.

"Polis kini menjalankan siasatan berhubung kejadian tersebut," katanya. 

sumber- AFP

Tiga mayat reput dalam rumah

Tiga mayat reput dalam rumah

Tokyo: Polis Jepun menemui tiga mayat reput di sebuah rumah dan menjangka lebih banyak mayat ditemui ketika menyiasat kes tujuh orang hilang.

Operasi besar-besaran dilakukan selepas dua mayat wanita ditemui dalam keadaan bogel di sebuah rumah di daerah Hyogo, barat Jepun, minggu lalu.

Satu lagi mayat ditarik keluar daripada bawah kediaman itu lewat kelmarin. Bagaimanapun, pihak polis masih tidak dapat mengenal pasti identiti mangsa kerana keadaannya yang teruk, kata polis Hyogo.

Buang dalam tong konkrit 

Pihak polis dilaporkan melakukan siasatan membabitkan seorang wanita berusia 64 tahun, Miyoko Sumida, yang sudah didapati bersalah atas dakwaan memukul hingga mati seorang wanita berusia 66 tahun dan membuang mayatnya dalam tong berisi konkrit, tahun lalu.

“Rumah itu yang kosong hampir 10 tahun sebelum ini menjadi tempat kediaman seorang saudara Sumida.
Suspek pembunuhan

Dalam kes kehilangan tujuh orang itu, kesemua mereka mempunyai kaitan tertentu dengan Sumida yang menjadi suspek pembunuh, lapor media tempatan.

Polis memberitahu, mayat pertama yang ditemui dipercayai seorang wanita berusia dalam lingkungan 60-an atau lebih tua, manakala mayat kedua adalah seorang wanita berusia 20-an atau 30-an.

Kedua-dua mayat ditemui dalam keadaan tidak memakai seurat benang dan reput sementara mayat ketiga bakal dibedah siasat, lapor Jiji Press.

Jurucakap polis berkata, penyiasat akan terus berada dalam rumah itu bagi mencari lebih banyak mayat.

Sumber polis berkata, satu keluarga enam anggota membabitkan pasangan suami isteri, dua anak lelaki dan dua perempuan menginap di rumah itu.

Pada 2001, anak lelaki tertua mereka berusia, 69 tahun, yang juga tukang cuci sebuah sekolah rendah di Amagasaki, mula mengenali Sumida yang sudah berkahwin.
Keluarga itu tiada masalah dengan Sumida.

Selepas berhenti kerja pada 2002 atas nasihat Sumida, anak lelaki keluarga itu pindah ke pangsapuri Sumida sebelum hilang pada 2003.

sumber- AFP

Kau silap orang kalau nak ragut

MELAKA - “Kau silap orang lah kalau nak ragut,” kata seorang remaja perempuan yang berang selepas  berjaya menangkap seorang lelaki yang meragut begnya di Telok Emas, di sini, malam kelmarin.

Peragut yang salah sasaran bukan sahaja tidak dapat menikmati RM2 hasil aktiviti jenayahnya, malah lebih malang dia turut ‘diganyang’ mangsa berusia 19 tahun.

Mangsa nekad mengejar lelaki terbabit selepas mengejarnya sejauh kira-kira dua kilometer dengan menunggang motosikalnya.

Sinar Harian difahamkan, penduduk kampung berhampiran turut membantu mangsa menghalang suspek berumur 21 tahun itu melarikan diri sebelum menghubungi pihak polis.

mangsa ragut
Mangsa nekad mengejar peragut walaupun beg yang dilarikan hanya berisi RM2.
Sementara itu, mangsa ketika ditemui berkata, dia yang mengesyaki sesuatu terus menghafal nombor pendaftaran motosikal  suspek sebaik sahaja suspek menutup lampu hadapan motosikalnya ketika di persimpangan lampu isyarat Kandang/Alai.

“Saya meneruskan perjalanan dan tidak sedar bila dia menghampiri kerana laluan di situ gelap. Tiba-tiba dia ragut beg saya hingga menyebabkan telefon bimbit saya dalam jaket yang pakai turut terjatuh.

“Tanpa berfikir panjang, apatah lagi keselamatan diri, saya terus kejar lelaki terbabit yang melarikan beg saya memasuki simpang ke Taman Seri Emas,” katanya.

Menurut anak sulung daripada tiga beradik ini, suspek jatuh terpelanting dari motosikal selepas cuba menendang motosikalnya.

“Dia cuba tendang motosikal saya tetapi saya dapat elak, malah saya sempat baling air minuman yang saya bawa balik dari tempat kerja. Selepas itu dia jatuh di sebelah longkang.

“Mula-mula saya ingat dia sudah mati sebab dia langsung tak bergerak tetapi seorang pakcik memeriksanya berkata dia masih hidup. Saya tidak dapat kawal diri lalu memukulnya.

“Ketika itu juga saya berkata ‘Kau silap orang lah kalau nak ragut. Kau buat macam ni seolah-olah kau hina perempuan. Kalau perempuan lain mungkin boleh jerit macam tu sahaja tapi dengan aku, aku kejar sampai lubang cacing,” katanya.

Menurutnya, dia yang masih trauma bagaimanapun menguatkan semangat untuk ke tempat kerja keesokan hari apabila disuruh ibunya dan menasihatkan supaya wanita lain berhati-hati serta tidak cuai sepertinya.

“Jangan letak beg dalam raga motosikal kerana memudahkan peragut mencapainya," katanya.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abdul Rahman berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 12 tengah malam.

Menurutnya, mangsa yang bekerja di sebuah restoran makanan segera di Melaka Raya menunggang motosikal sendirian, dalam perjalanan balik ke rumahnya di Serkam, Jasin.

Katanya, sebelum kejadian, mangsa menyedari suspek memadamkan lampu motosikal jenis Yamaha ditunggangnya ketika mereka berada di persimpangan lampu isyarat Alai/Kandang sebelum meneruskan perjalanan.

“Namun apabila sampai di laluan berbukit di hadapan sebuah sekolah agama, suspek meragut beg mangsa yang diletakkan dalam raga motosikal mangsa jenis Honda EX5.

“Mangsa yang berang mengejar suspek hingga ke Telok Emas sebelum suspek terjatuh sendiri ketika cuba menendang motosikal mangsa apabila tiba di laluan mati di Jalan Seri Emas Utama,” katanya di sini, semalam.

Salehhudin berkata, mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Kandang, sementara suspek yang cedera seluruh anggota badan dihantar ke Hospital Melaka.

“Selain motosikal suspek, beg mangsa mengandungi RM2 dijadikan barang kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan, “ katanya.

sumber- Sinar

Tak sempat jumpa ibu

KLANG- Hasrat seorang penunggang motosikal menemui ibunya tidak kesampaian apabila mangsa maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kenderaan lain di Kilometer (KM) 15.3, Lebuhraya Baru Selat Klang dari arah Shah Alam, di sini semalam.

Dalam kejadian sekitar jam 3 petang itu, Abdul Rahman Mohd Zain, 41, yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss mengalami kecederaan di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, Asisten Komisioner Zawary Mahadi berkata, mangsa dipercayai dalam perjalanan dari Sungai Besar menghala ke Seksyen 20, Shah Alam dipercayai untuk menemui ibunya yang tinggal di situ bersama kakaknya.

eksiden Klang
Mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian, petang semalam.
“Mangsa yang bekerja sendiri itu dipercayai kerap berulang-alik dari Sungai Besar ke Shah Alam bagi melawat ibunya.

“Bagaimanapun dalam perjalanan ke sana semalam, motosikal mangsa dipercayai bergesel dengan sebuah treler berdasarkan kesan calar pada motosikal mangsa.

“Mangsa dipercayai tercampak ke jalan raya dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Bilik Mayat, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk bedah siasat.

Zawary berkata, pihaknya meminta saksi kejadian menghubungi Balai Trafik Klang Utara atau Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Zaini Abdullah di talian 03-32902222 bagi membantu siasatan.

sumber- Sinar

Wolverine Gangnam Style

Watak superhero yang dikenali ramai iaitu Wolverine dari filem X-men tidak terkecuali terkena tempias gangnam style. Gambar ini diambil ketika artis Korea terkenal, Psy menziarahi set penggambaran The Wolverine. Hugh Jackman yang memegang watak sebagai Wolverine menarikan tarian kuda bersama Psy dengan kedua-dua mereka mengenakan cakar besi. Filem The Wolverine dijangkakan akan mula ditayang pada Julai 2013.

Wolverine Gangnam Style

Rogol budak 12 tahun

TEMERLOH - Seorang buruh warga Indonesia dihukum penjara 12 tahun dan empat sebatan selepas mengaku bersalah merogol pelajar berumur 12 tahun tujuh bulan pada 18 Julai lalu.

Hukuman dijatuhkan Hakim Mahkamah Sesyen Temerloh, Dasuki Ali, selepas tertuduh dikenali dengan nama Kabit, 37, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca ke atasnya, semalam.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah pekerja di alamat nombor 27 D-1, Ladang Bukit Senorong, Kemayan, Bera, sekitar jam 11 pagi hingga 1.30 tengah hari pada 18 Julai lalu.

Dasuki memutuskan tertuduh dihukum 12 tahun penjara dan empat sebatan bermula dari tarikh dia ditangkap pada 19 Julai lalu.

Rogol budak 12 tahun
Tertuduh dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Temerloh, semalam, sebaik dijatuhi hukuman kerana merogol
Berdasarkan fakta kes, ibu mangsa menerima panggilan daripada guru bahawa anaknya tidak hadir ke sekolah selama empat hari.

Selepas siasatan mendapati, anaknya berada di rumah tertuduh pada hari kejadian dan ibu mangsa mengesyaki sesuatu berlaku sebelum bertindak membuat laporan polis.

Laporan perubatan mengesahkan ada kesan koyakkan baru dan lama pada kemaluan mangsa dan mangsa turut disahkan mengandung 11 minggu.

Tertuduh disiasat di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan kerana merogol dan pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hajar Mustafa.

sumber- Sinar

Mayat bengkak di rumah sewa

KAMPUNG RAJA - Seorang buruh binaan warga Indonesia ditemui mati terbaring di atas tilam di rumah sewanya di Kampung Pekan Sehari Tembila di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, mayat Wedy, 27, yang berasal dari Tulungagung, Jawa Timur, Indonesia itu ditemui dalam keadaan memakai seluar dalam bilik tidur pada jam 6.30 petang.

Menurutnya, kejadian disedari jiran mangsa apabila terhidu bau busuk sebelum memaklumkan kepada pemilik rumah yang kemudiannya memberitahu majikan buruh berkenaan.

“Majikan berkenaan membuat laporan polis dan siasatan pihak polis menemui satu mayat lelaki dalam keadaan berbaring dalam sebuah bilik di rumah itu.

Mayat bengkak di rumah sewa
Anggota polis mengeluarkan mayat warga Indonesia yang ditemui mati terbaring dalam rumah untuk dihantar ke Hospital Besut
“Keadaan mayat sudah berbau dan hampir bengkak kerana lelaki itu dipercayai meninggal dunia dalam tempoh dua hari sebelum mayatnya ditemui,” katanya.

Kamaruddin berkata, siasatan awal mendapati lelaki yang tinggal seorang diri itu dipercayai meninggal dunia akibat serangan jantung.

“Siasatan pihak kami juga mendapati tidak unsur jenayah ditemui pada mayat berkenaan kerana tiada sebarang kecederaan pada mangsa.

“Barang berharga milik mangsa juga tidak hilang termasuk pintu rumah dan biliknya berkunci,” katanya.

Kamaruddin berkata, mangsa menyewa di rumah itu sejak lima bulan lalu dan kali terakhir ditemui ketika dia minum di warung berdekatan, dua hari sebelum mayatnya ditemui.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Besut untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

sumber- Sinar

Belasah awek sendiri

Belasah awek sendiri

SEREMBAN: Akibat menolak cinta, seorang gadis dibelasah teman lelakinya hingga pengsan selain cedera di bibir menyebabkan dia terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS), di sini, kelmarin.

Lebih teruk, mangsa, M Yashini, 18, yang menuntut di sebuah kolej swasta di ibu negara, dibelasah di depan saudara-mara serta rakan suspek di rumahnya di Taman Limau Emas, Rasah, di sini. 

Yashini berkata, sebelum kejadian kira-kira jam 5.30 petang kelmarin, dia menemui teman lelakinya itu di Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Seremban, sejurus tiba dari Kuala Lumpur, kira-kira jam 4.30 petang.

awek India
BUKTI...Yashini (kiri) dan Shantini menunjukkan laporan polis yang dibuat selepas menjadi mangsa belasahan.
“Ketika itu saya cuba menjelaskan tidak mahu lagi berkawan dengannya menyebabkan dia berang dan bertindak kasar.

“Saya terus pulang, namun dia mengekori sehingga ke rumah dan berlaku pertengkaran serius antara kami. Tiba-tiba dia memukul saya dengan objek keras menyebabkan cedera di bibir dan kepala serta tidak sedarkan diri.

sumber- HMetro

Lelaki mabuk amuk, cermin 17 kereta pecah

BALAKONG - Lebih 17 penduduk Taman Sri Timah terpaksa menanggung kerugian lebih RM20,000 apabila cermin kenderaan mereka yang diletakkan di lorong 1/11 dan 1/12 taman berkenaan dipecahkan.

Seorang mangsa, Ganeswaren berkata, dia menyedari kejadian tersebut kira-kira jam 2.40 pagi apabila terdengar bunyi kuat seolah-olah bunyi tembakan di luar rumahnya.

Menurutnya, dia ternampak seorang lelaki memegang besi memecahkan cermin keretanya di hadapan rumah dan juga kenderaan lain di sepanjang jalan utama.

“Saya keluar rumah untuk menghalang namun belum sempat berbuat apa-apa lelaki berkenaan dipercayai dalam pengaruh alkohol melarikan diri menaiki sebuah motosikal dengan rakannya,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Impian Ehsan sebelum ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang,” katanya.

Lelaki mabuk amuk, cermin 17 kereta pecah
Sebahagian penduduk menunjukkan laporan polis dan kenderaan mereka yang dipecahkan lelaki mabuk dalam satu kejadian, pagi semalam.
Sementara itu, Ahli Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Eddie Ng Tien Chee berkata, dia menerima aduan daripada penduduk pagi semalam sebelum bergegas ke tempat kejadian kira-kira jam 8 pagi.

“Menurut mangsa, keseluruhan kerugian yang terpaksa ditanggung mereka sekitar RM20,000 bagi menggantikan tingkap dan cermin yang dipecahkan," katanya.

Eddie berkata, dia dimaklumkan penduduk laporan polis telah dilakukan dan dimaklumkan bahawa suspek ditangkap namun tidak boleh dituduh di mahkamah berikutan tiada ugutan mahupun kecederaan dilakukan oleh suspek.

“Saya berharap polis akan melihat isu ini secara lebih serius agar pihak yang melakukan kesalahan ini dikenakan hukuman setimpal,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tersebut dan suspek telah ditahan untuk siasatan.

sumber- Sinar

Abu mayat disangka emas

BALING - Sekumpulan penagih dadah nekad memecahkan kira-kira 50 bekas abu mayat yang disangka mempunyai barangan berharga seakan-akan emas di Tanah Perkuburan Siam Jalan Kampung Banggol Wan Mat, Baling, kelmarin.

Kejadian yang dipercayai dilakukan sebelah petang itu disedari beberapa penduduk setempat yang kebetulan berada di situ, namun mereka gagal memberkas kumpulan terbabit.

Suphang Samdinge, 50, dari Kampung Seberang Wat berkata, dia terkejut setelah dimaklumkan abu mayat milik keluarganya sejak puluhan tahun dulu turut dipecahkan.

abu mayat
Seorang penduduk melihat abu mayat yang berselerak dalam kejadian itu.
“Saya kesal kerana mereka (penagih) sanggup memecahkan abu mayat untuk mencari barangan berharga. Kami tidak pernah meletakkan sebarang barangan berharga dalam bekas ini. Ia hanya mengandungi abu mayat semata-mata,” katanya semalam.

Menurutnya, kejadian itu turut mengakibatkan abu mayat berselerak dan bercampur dengan abu mayat dari ahli keluarga yang lain.

“Secara tidak langsung menyukarkan kami untuk mengasingkan semula abu mayat ini.

Tiada apa yang dapat dilakukan melainkan berharap kumpulan ini mendapat balasan yang setimpal,” katanya semalam.

Selain itu, kumpulan penagih terbabit turut mencuri pagar besi di kawasan perkuburan itu, cermin tingkap termasuk pagar besi simpanan abu mayat.

“Kejadian curi besi ini lama berlaku.

Namun, kami tidak hiraukan. Tetapi kesal bila mereka pecahkan abu mayat keluarga kami,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Cham Chai Che Rin, 30, dari Kampung Simpang Empat berkata, setiap malam pasti ada yang menagih di kawasan itu.

Menurutnya, alat menghisap dadah pun masih berada di tanah perkuburan ini.

“Penduduk setempat pun tidak berani datang ke kawasan ini pada waktu malam,” katanya.

Menurutnya, penduduk pernah cuba menghalau kumpulan penagih itu tetapi mereka melarikan diri dan akan datang pada keesokannya harinya.

“Penduduk tidak boleh buat apa. Tempat ini sunyi pada waktu malam. Siapa yang berani datang ke sini. Jadi, memang menjadi tumpuan penagih untuk lepaskan gian mereka,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu, Cham Chai turut berharap pihak berkuasa dapat memantau masalah itu bagi mengelakkan perkara yang sama berlaku di kawasan lain.

“Penduduk setempat sedia bekerjasama dengan semua pihak untuk memastikan masalah itu tidak terus berulang mahupun terjadi di kawasan lain,” katanya.

sumber- Sinar

Cerpen lucah telefon bimbit

cerita lucah

IPOH: Kecanggihan aplikasi di dalam telefon bimbit masa kini disalahgunakan segelintir remaja untuk membaca cerpen lucah lengkap bergambar dari Indonesia dengan bayaran langganan RM17 seminggu.

Mendedahkan aktiviti tidak bermoral itu, seorang pelajar dikenali sebagai Rosli, 15, berkata, dia dan ramai rakan kini seronok, malah ada yang mula ketagih membaca cerpen lucah dari negara jiran itu. 

Menurutnya, ada ratusan cerpen lucah boleh dilayari dan dibaca dengan mudah menerusi skrin telefon bimbit yang setiap satu turut memaparkan gambar pornografi wanita dari negara berkenaan.

“Dengan bayaran Internet RM17 seminggu, tidak sukar untuk memasuki laman web menawarkan bahan bacaan lucah itu kerana pautannya boleh dicapai dengan perkataan tertentu.

“Walaupun kebanyakan laman web lucah tempatan sudah disekat, kami masih boleh menikmati cerita lucah dari Indonesia dengan menggunakan perkataan tertentu menggunakan bahasa Indonesia,” katanya.

sumber- HMetro

Lagenda Hantu Siam: Nang Nak

Nang Nak

Nak merupakan isteri yang setia kepada seorang askar yang meninggal dunia ketika melahirkan anak manakala pada waktu itu suaminya berada jauh sedang melawan tentera Burma. Suaminya, Nai Mak cedera parah tetapi masih dapat bertahan dengan jagaan Sami Mulia Somdet Tho, yang merawatnya dengan herba dan tangkal suci 'Pali'. 

Beberapa lama kemudian, Nai Mak kembali ke kampungnya di Pra Khanong (kini sebahagian daripadanya adalah Bangkok) untuk meneruskan kehidupan bersama isteri kesayangannya. Nai Mak tidak sedar bahawa isterinya, Nang Nak telah menjadi hantu kerana rohnya tidak mahu dilahirkan semula dan masih setia menunggu kembalinya Nai Mak. Nang Nak menggunakan kuasanya dengan mencipta ilusi bahawa dia dan bayinya masih hidup. 

Hanya Nai Mak terkena ilusi tersebut dan meneruskan kehidupan bersama hantu isterinya. Penduduk kampung tahu tentang kematian Nang Nak, tetapi hanya berdiam diri kerana hantu Nang Nak akan membunuh sesiapa yang cuba untuk memberitahu cerita sebenar kepada Nai Mak. Nang Nak sanggup membunuh sesiapa sahaja yang cuba untuk memisahkannya dengan suaminya termasuklah bidan yang sebelum ini cuba menyelamatkannya. 

Bomoh yang cuba menghalau kemarahan Nang Nak dengan mantera suci langsung tidak berjaya malah turut meninggal dunia. Nang Nak meninggalkan tanda amaran pada siling dan dinding kuil sehinggakan sami-sami yang kuat ilmu juga menjadi takut. Akhirnya, Nai Mak sedar bahawa isterinya bukan lagi manusia. Ketika itu, Nang Nak sedang menyediakan Somtam. Buah limau yang dipegang Nang Nak terjatuh ke bawah rumah. Nai Mak terlihat Nang Nak hanya memanjangkan tangannya tanpa perlu berjalan menuruni anak tangga bagi mengambil buah limau tersebut.

Menyedari rahsianya terbongkar, Nang Nak mengamuk di sekitar kampung dengan memusnahkan ternakan dan apa sahaja yang berada disitu. Nai Mak ketakutan dan berlari mendapatkan perlindungan di Kuil Mahabhute. Disitulah Nai Mak mendapatkan rawatan ketika cedera akibat peperangan dan bertemu dengan Sami Mulia Somdet Tho. Sesungguhnya sami tersebut tahu cara menangani masalah ini.

Somdet bersama pembantunya duduk di hadapan kubur Nang Nak yang telah digali semula. Dia menyeru kemunculan Nang Nak dengan membacakan beberapa rangkap mantera. Setelah beberapa lama, Somdet menyuruh Mak dan Nak berpelukan untuk kali terakhir. Keadaan menjadi pilu kerana mereka saling menangis dan menyatakan cinta sesama mereka. Kemudiannya Somdet membaca mantera terakhir dan memahat serpihan tengkorak di dahi mayat Nang Nak. Hantu Nang Nak kemudiannya terus lenyap.

Mak membakar mayat isterinya mengikut upacara Buddha. Dari kesedihannya, Mak merantau jauh dengan mendayung sampan. Serpihan tengkorak Nang Nak yang ditulis beberapa mantera dibawa Somdet sebagai kepala tali pinggang. Hari ini, serpihan tengkorak tersebut telah hilang dan mungkin berada di mana-mana.

Polis cedera dirempuh Camry

KAJANG – Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal cedera akibat dirempuh sebuah kereta Toyota Camry yang disamun bagi mengelak sekatan polis di Batu 10, Lebuh Raya Cheras-Kajang di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab berkata, dalam kejadian pada pukul 4.45 pagi, Lans Koperal Rozaili Hamid, 28, cedera di kepala, dahi, bahu dan rusuk kiri.

Bagaimanapun, selepas dirawat di Hospital Kajang Rozaili kemudian dibenarkan keluar dari hospital pada pukul 8.30 pagi pada hari sama. Akibat kecederaan itu Rozaili terpaksa menerima lapan jahitan di bahagian atas kepala sebelah kiri.

Toyota Estima Toyota Camry untuk dijual
Toyota Estima (kanan) dan kereta Toyota Camry (kiri) yang ditemui semula ditinggalkan penjenayah di Taman Orkid, Kajang.
Menurut beliau, sekatan jalan itu dilakukan sebaik polis menerima maklumat daripada seorang ejen hartanah wanita yang mendakwa kenderaan Toyota Estima miliknya disamun di rumahnya di Sungai Long di sini.

Kejadian tersebut didakwa dilakukan tiga lelaki yang menaiki sebuah kereta Toyota Camry.

Sebelum Toyota Estima itu dilarikan, penjenayah dikatakan memecah masuk rumah ejen hartanah itu dan mengambil kunci kenderaan tersebut.

Toyota Estima yang berada di dalam kawasan rumah pemiliknya kemudian dipandu secara mengundur sebelum pintu pagar rumah mangsa dirempuh dan kenderaan itu dilarikan.

Ab. Rashid memberitahu, bertindak atas maklumat itu, polis kemudian mengerahkan tujuh anggotanya mengadakan sekatan jalan di Batu 10 bagi mengesan kenderaan milik wanita itu.

Kata beliau, selepas kira-kira 25 minit kemudian Toyota Estima tersebut muncul dengan dipandu laju oleh seorang lelaki.

Kenderaan tersebut terus memotong ke lorong sebelah kanan lalu merempuh papan tanda sekatan polis.

Selepas rempuhan itu, kenderaan tersebut tidak berhenti malah terus dipandu laju menghala ke ibu negara.

“Tidak berhenti di situ, kereta Toyota Camry dinaiki dua lelaki yang mengekori Toyota Estima tersebut turut tidak berhenti malah merempuh Rozaili,” kata beliau.

Rozaili ketika itu tidak sempat mengelak kerana leka membuat pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan lain.

Pelacur pikat pelanggan guna sende

BETONG (Selatan Thailand) – Keghairahan lelaki Malaysia terhadap layanan hebat pelacur Betong sehingga mereka sanggup berhabis duit untuk mendapatkan khidmat wanita terbabit rupa-rupanya tersirat rahsia di sebaliknya.

Sebelum diulit para pelacur atau dikenali juga sebagai ‘Darling Betong’ itu, lelaki terbabit terlebih dulu dikatakan terkena ilmu guna-guna atau sende (dalam bahasa Siam) yang dipakai pelacur terbabit untuk menarik perhatian para pelanggan.

Sama ada menerusi minuman yang diberi, hembusan atau sebutan nama, lelaki yang menjadi mangsa akan terus mendekati wanita tersebut tanpa membuat sebarang rundingan harga.

pelacur siam
GADIS-GADIS yang menjadi pelacur di Betong, Thailand dikatakan menggunakan 'sende' untuk memikat pelanggan.
Difahamkan, kegiatan itu sering dilakukan pelacur bukan beragama Islam yang berasal dari Chiangmai dan Chengrai manakala mangsa pula terdiri daripada lelaki beragama Islam atau berketurunan India.

Dakwa seorang penduduk di situ yang hanya dikenali sebagai Nas, 23, perbuatan seumpama itu telah digunakan sejak dahulu lagi oleh sebilangan wanita yang bekerja sebagai pelacur di pusat hiburan dan hotel-hotel murah di pekan berkenaan.

Menurutnya, ilmu guna-guna yang dipakai mereka adalah bagi memikat lelaki Malaysia yang datang berseorangan ataupun berkumpulan tanpa mengira usia dan warna kulit.

sumber- Kosmo

Penjaga mati dipijak gajah

TOKYO: Seekor gajah memijak penjaganya hingga mati di sebuah zoo di sini, semalam.

Kejadian berlaku ketika penjaga itu, Inthavong Khamphone, warga Laos, cuba menghalang haiwan berkenaan menyerang anak yang baru dilahirkannya.

gambar gajah
gambar hiasan
Inthavong mengawasi gajah itu bersama pekerja lain di Taman Safari Fuji selepas gajah itu melahirkan anaknya Ahad lalu. 

“Inthavong memasuki kandang bersama pekerja lain kerana gajah itu mula menyerang anaknya,” kata polis. 

sumber- AFP

Waris Raja Richard III tunggu keputusan ujian DNA

LONDON - Sekumpulan ahli arkeologi kini menunggu dengan penuh debaran hasil keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang akan menentukan sama ada rangka tulang yang ditemui di dalam lubang di sebuah tempat meletak kereta di Leicester milik bekas pemerintah England, Raja Richard III.

Baginda mangkat pada 1485 semasa menyertai pertempuran menentang tentera Henry Tudor yang kemudian menggantikannya sebagai Raja Henry VII.

Generasi ke-17 anak saudara raja berkenaan, Michael Ibsen, 55, turut menunggu dengan penuh debaran keputusan tersebut kerana dia terlibat dalam ujian itu.

Ibsen yang dilahirkan di Kanada dan berpindah ke London 27 tahun lalu berkata, kekecewaan pastinya akan berlaku jika keputusan ujian tersebut tidak sepadan.

King Richard III
GAMBAR fail menunjukkan dua lelaki yang memakai kostum askar pada zaman pertengahan berdiri di lokasi tempat rangka tulang dipercayai milik Raja Richard III ditemui di Leicester pada 12 September lalu.
Beliau yang kini bekerja sebagai tukang kayu berharap jika identiti tulang itu sah milik Raja Richard, ia akan membantu memulihkan reputasi baginda.

Sebelum ini, raja itu pernah digambarkan oleh dramatis terkenal, mendiang William Shakespeare sebagai seorang yang suka dengan kuasa dan pernah membunuh dua anak saudaranya bagi membolehkan baginda menjadi pemerintah.

Pendedahan tentang penemuan rangka tulang itu disiarkan media pada September lalu.

Beberapa saintis menyatakan bahawa rangka tulang itu mempunyai kesan kecederaan di tengkorak dan tulang belakang.

Keputusan ujian DNA itu akan diketahui pada Disember depan.

Rangka tulang tersebut ditemui oleh pasukan arkeologi Universiti Leicester.

Beberapa pakar sebelum ini berpendapat bahawa mayat raja tersebut dikebumikan di sebuah gereja di Leicester selepas baginda terbunuh dalam pertempuran itu.

Bagaimanapun, terdapat cerita yang disebarkan pada abad ke-17 bahawa makam raja tersebut digali dan rangka tulangnya dibuang ke sungai. 

sumber- Agensi