Pages - Menu

Saturday, November 3, 2012

Hajat bercuti bertukar tragedi

rombongan sekolah kemalangan
Bas terbabas ke bahu jalan
NILAI – Kegembiraan pelajar Sekolah Kebangsaan Petasih, Jelebu untuk bercuti ke Perak sempena cuti persekolahan yang bermula semalam bertukar tragedi selepas bas dinaiki mereka dirempuh sebuah lori di Jalan Batang Benar, Nilai berhampiran stesen Komuter Batang Benar dekat sini, semalam.

Kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu menyebabkan dua murid berusia 11 tahun cedera parah manakala 23 lagi mengalami cedera ringan.

Jurucakap polis berkata, bas terbabit dipercayai dalam perjalanan dari arah Mantin menuju ke Nilai dengan membawa 33 penumpang terdiri daripada murid berusia sembilan hingga 12 tahun termasuk tiga guru pengiring.

“Sejurus tiba di lokasi, sebuah lori membawa muatan batu yang keluar dari sebuah kuari di tempat kejadian tiba-tiba hilang kawalan lalu merempuh bahagian kiri tepi bas.

"Perlanggaran itu menyebabkan bas terbabit terbabas ke bahu jalan manakala lori yang dipandu lelaki berusia 25-an itu terbalik,” katanya.

Menurutnya, kejadian itu mengakibatkan  dua murid mengalami cedera parah kerana tercampak di dalam bas manakala 23 lagi hanya cedera ringan.

Kata jurucakap polis lagi, pemandu lori terbabit hanya mengalami cedera ringan dan kini telah ditahan untuk siasatan lanjut.

“Semua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk mendapatkan rawatan dan dua murid yang cedera parah pula kini dilaporkan stabil," katanya.

Sementara itu, salah seorang mangsa, Nashriq Haikal Rahim, 12, berkata, ketika kejadian dia sedang tidur namun dikejutkan oleh bunyi dentuman yang kuat.

“Saya tidak nampak apa yang berlaku tapi saya rasa macam ada kenderaan lain melanggar bas kami menyebabkan saya terhempap kawan saya yang duduk di sebelah.

“Saya takut sangat dan selepas itu kami diarahkan turun oleh guru. Saya terkejut kerana melihat sebuah lori terbalik di tengah jalan dan baru tahu yang bas kami kemalangan,” katanya.

Manakala Mohd Zamzulkarnain Kudus, 9, berkata, sebelum kejadian, dia sedang bersembang dengan rakannya kerana terlalu seronok untuk bercuti.

Namun katanya, dia dikejutkan dengan bunyi hon sebelum melihat sebuah lori tiba-tiba merempuh bas dinaikinya menyebabkan dia terhantuk di bahagian tingkap bas.

“Saya duduk di bahagian tepi tingkap, jadi saya sempat melihat lori itu meluru ke arah bas kami.

“Kejadian itu menyebabkan bahagian telinga saya cedera, namun saya bersyukur kerana semua rakan saya selamat dan hanya mengalami kecederaan,” katanya.

Ketua Polis Daerah Nilai Superintenden Yusof Awang mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian berkenaan.

sumber- Sinar

Lelaki cedera ditikam di telinga

tikam di telinga
Kesemua mangsa menunjukkan laporan polis dibuat di Balai Polis Slim River. (Gambar kecil) Telinga kiri Tharmaraju yang cedera ditikam.
ULU BERNAM - Gara-gara tidak berpuas hati kerana mendakwa kereta rakan dipecahkan, sekumpulan lelaki bertindak ala samseng dengan membelasah empat lelaki lain dipercayai pelakunya sehingga cedera di telinga, kepala, muka dan badan.

Saudara salah seorang mangsa, S Santhanasamy, 41, berkata, kejadian jam 11.15 malam itu berlaku di Taman Permai, Jalan Ketoyong, Tanjung Malim dekat sini lewat malam 31 Oktober lalu.

“Penjenayah terbabit datang menyerbu rumah di mana empat lelaki ini berkumpul.

“Mereka datang menyerang menggunakan cota kayu, buku lima dan pisau sehingga keempat-empat mangsa cedera,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Menurutnya, tindakan kumpulan terbabit mengakibatkan seorang daripada mangsa dikenali sebagai Tharmaraju cedera di telinga kiri akibat ditikam dengan pisau. Manakala, tiga rakan mangsa yang lain cedera di kepala, muka dan lebam di beberapa bahagian belakang badan.

Santhanasamy berkata, perkara yang menjadi pertikaian itu sebenarnya sudah diselesaikan lebih awal.

Bagaimanapun, katanya seorang mangsa menerima ugutan melalui telefon dipercayai ahli kumpulan terbabit.

“Kita sudah selesaikan masalah ini. Tapi, selepas itu salah seorang mangsa menerima panggilan telefon dengan kata-kata ugutan serta menakutkan mangsa.

“Penjenayah ini mengarahkan mangsa tunggu di rumah tapi beberapa minit selepas itu kumpulan terbabit datang dan terus menyerang mangsa hingga cedera,” katanya.

Menurut Santhanasamy, Tharmaraju yang cedera di telinga terpaksa dikejarkan ke Hospital Slim River untuk menerima rawatan.

Menurutnya, hanya selepas beberapa jam iaitu sekitar jam 5 pagi keesokan harinya, mereka dapat membuat laporan polis dan menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap perbuatan samseng dilakukan kumpulan tersebut.

sumber- Sinar

4 maut nahas kereta dipandu pelajar 14 tahun

kemalangan maut
Sebuah kereta yang terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta lain menyebabkan empat terbunuh di KM38.5 Jalan Air Panas-Kesang, Jasin malam tadi. - Foto Bernama
JASIN - Tindakan pelajar tingkatan dua yang memandu kereta bapanya mengundang padah selepas keretanya merempuh sebuah kereta lain dan menyebabkan dirinya dan tiga yang lain maut dalam nahas jalan raya di kilometer 38.5. Jalan Air Panas-Kesang malam tadi.

Ketua Polis Daerah Jasin, DSP Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata mereka yang maut dalam kejadian 11.15 malam itu ialah pelajar itu, Mohd Hafiz Helmi, 14; pemandu sebuah lagi kereta Mohd Shahir Mat Sahat, 27, serta dua penumpangnya, Hairul Nizam Alias, 34 dan Mohammad Izzuddin Usop, 21.

Beliau berkata kereta yang dipandu Mohd Hafiz dari arah Air Panas ke Kesang dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan merempuh kereta yang dipandu Mohd Shahir yang datang dari arah Kesang ke Air Panas.

keluarga sedih
Bapa kepada seorang mangsa kemalangan maut membabitkan 4 orang di KM38.5 Jalan Air Panas-Kesang, Hellmi Othman tidak dapat menahan kesedihan di bilik mayat Hospital Jasin.
Mohd Shahir dan Mohd Hafiz yang masing-masing tersepit di tempat duduk pemandu meninggal dunia di tempat kejadian, katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Hairul Nizam dan Mohammad Izzuddin meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Jasin, katanya dan menurutnya kesemua mayat dibawa ke hospital yang sama untuk bedah siasat.
  
Katanya tindakan boleh diambil terhadap pemilik kereta yang mengizinkan individu tidak mempunyai lesen menggunakan kenderaannya.

Sementara itu, kakak Mohd Shahir, Nur Shahirah, 32, berkata arwah merancang berkahwin dengan tunangnya pada Jun tahun depan.

Ketika kejadian adiknya itu membawa kereta milik suaminya, katanya ketika ditemui di hospital itu.

Ibu Hairul Nizam, Noriah Md Dim, 62, berkata dia amat terkejut dengan kejadian menimpa anak ketiga dari lima beradik itu bagaimanapun reda dengan ketentuan tersebut.   

"Selalunya makcik baca berita kemalangan menimpa nasib keluarga orang lain tetapi hari ini berlaku kepada makcik," katanya dengan nada sayu dan menurutnya anaknya itu bekerja sebagai pemandu pelancong. 

sumber- Bernama

Pembantu rumah Aznil Nawawi disyaki larikan barang kemas

Aznil Nawawi
Aznil Nawawi
KUALA LUMPUR - Pengacara terkenal Aznil Nawawi kehilangan sejumlah barang kemas yang disyaki dilarikan pembantu rumah dalam kejadian di rumahnya di Taman Yarl, Jalan Klang Lama di sini hari ini.

Aznil dalam laman Twitternya berkata beliau hanya menyedari perkara itu pada 2 petang tadi dan meminta sesiapa yang mengenali pembantu rumah warga Indonesia dikenali sebagai 'Soimah' itu supaya menghubungi balai polis berdekatan.

Beliau turut memuatkan gambar wanita itu di laman sosial berkenaan dan Facebook.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid ketika dihubungi berkata laporan polis mengenai kejadian itu diterima pada 3.15 petang tadi.

Ogos lepas, rumah Aznil dipecah masuk penjenayah yang menyebabkan pengacara itu kerugian kira-kira RM40,000. 

sumber- Bernama

Perancis usir imam warga Tunisia

Mohamed Hammami
Mohamed Hammami
PARIS - Perancis mengusir imam warga Tunisia selepas dikatakan menggesa orang Islam di negara itu berjihad, kelmarin.

Kementerian Dalam Negeri memaklumkan Mohamed Hammami, 77, dihantar pulang ke Tunisia selepas kerajaan mendapati imam tersebut sengaja menyampaikan khutbah yang kononnya berunsur anti-Yahudi dan menggesa hukuman dera dikenakan ke atas golongan wanita.

Dalam satu kenyataan, Hamadi Hammami, anak kepada imam itu menyatakan dia percaya bapanya ditahan oleh Perkhidmatan Risikan Domestik (DCRI) sebelum dihantar ke lapangan terbang.

Januari lalu, bekas Menteri Dalam Negeri Claude Guent menuduh Hammami membuat kenyataan anti-Yahudi dan menggesa wanita yang berzina disebat hingga mati. 

sumber- Middle East Online

Mas Cotek, herba untuk kesihatan keluarga

khasiat mas cotek

"Bahawa Allah telah menurunkan penyakit dan penawar, dan dijadikan kepada setiap penyakit ada penawarnya, berubatlah tetapi jangan berubat dengan benda-benda yang haram."   (Riwayat Abu Daud)

Mas Cotek merupakan sejenis tumbuhan meliar dan menumpang pada pokok hutan dan kawasan perbatuan di pergunungan. Mas Cotek atau dalam bahasa saintifiknya, Ficus deltiodea dan tergolong dalam keluarga Moraceae merupakan tumbuhan yang kini mula mendapat perhatian, khususnya dalam kalangan pengamal perubatan tradisional.

Tumbuhan ini mempunyai khasiat perubatan tersendiri dan dapat merawat pelbagai jenis penyakit. Herba ini terbukti sangat baik untuk kesihatan keluarga jika diamalkan meminum air rebusannya.

Nama Mas Cotek adalah merupakan nama tempatan yang popular di kawasan Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Manakala di negeri Sabah dan Sarawak dan juga Kepulauan Kalimantan, tumbuhan ini dikenali dengan nama 'sempit-sempit'. Selain itu, ada juga suku etnik di Sabah yang menyebutnya sebagai 'agoluran'. Di Indonesia, tanaman ini disebut 'Tabat Barito' dan beberapa nama di daerah lain seperti ara jelatih, ara tunggal, api-api telinga gajah dan api-api telinga kera. Di Afrika pula, ia dikenali sebagai 'Kangkalibang'. Meskipun demikian, nama Mas Cotek merupakan nama yang paling popular dan lebih dikenali jika dibandingkan dengan nama-nama tempatan yang lain.

Nama Mas Cotek diberi kerana bintik-bintik halus berwarna emas (kuning) yang terdapat pada permukaan atas setiap helaian daun tumbuhan ini. Di Malaysia, para saintis telah mengenalpasti bahawa terdapat lebih daripada 80 spesis tumbuhan tergolong di dalam keluarga Ficus deltioidea

Secara tradisi, nama tempatan dan klasifikasi jenis Mas Cotek dilakukan oleh spesies seperti delima sudip, serapat angin, telinga gajah, telinga kera, telinga beruk dan sebagainya. Di Malaysia, spesis serapat angin banyak terdapat di bahagian Pantai Timur Semenanjung, manakala spesis telinga beruk dan telinga gajah pula banyak dijumpai di bahagian Pantai Barat. Selain itu, spesis Delima sudip terdapat di kawasan Tengah dan Selatan Semenanjung, manakala telinga kera banyak terdapat di bahagian Utara Semenanjung. Menurut pengamal perubatan tradisional, Mas Cotek boleh diklasifikasikan kepada dua kategori utama iaitu Mas Cotek jantan dan Mas Cotek Betina .

Perbezaan paling ketara yang dapat dilihat antara spesis Mas Cotek jantan dan spesis Mas Cotek betina adalah dari segi rupa bentuk daunnya. Jenis yang berdaun kecil, tirus, nipis dan ringan lebih dikenali sebagai pokok Mas Cotek jantan. Bahagian belakang daun Mas Cotek jantan terdapat bintik merah. Biasanya, daun-daun ini mempunyai satu titik merah, tetapi ada juga daun yang mempunyai dua atau tiga bintik merah.

Bagi Mas Cotek jenis betina pula, rupa bentuk daunnya adalah lebih besar dan kebanyakan daunnya berbentuk bujur dan bulat serta lebih tebal jika dibanding spesies jantan. Sama seperti daun jantan, daun betina juga memiliki bintik pada bagian belakang daunnya tetapi warna bintiknya hitam. Selain itu, urat daun betina terlihat lebih jelas di bagian permukaan atas daun jika dibandingkan dengan daun jantan. Urat daun Mas Cotek betina menyerupai daun Mas Cotek jantan.

Seperti konsep 'Doctrice of signature', bentuk, warna, rasa dan bau pada setiap bahagian tumbuhan Mas Cotek menggambarkan penggunaan herba itu untuk rawatan penyakit. Emas Cotek digelar penawar segala penyakit wanita. Sangat terkenal dikalangan wanita yang bakal mendirikan rumahtangga atau wanita selepas bersalin. Tanaman herba ini tumbuh subur dikawasan bukit dan pergunungan. Bahkan ada spesies Mas Cotek yang ditemui di kawasan pantai dengan struktur daun lebih tipis berbanding spesies bukit dan pergunungan. Herba ini merupakan tumbuhan yang hidup di alam bebas.

Emas Cotek merupakan pusaka asli wanita dalam warisan perubatan Melayu. Ia diamalkan bagi mengecutkan saluran peranakan dan merapatkan pintu rahim serta mengembalikan rahim pada kedudukan asal serta mengukuhkannya. Disamping itu, dipercayai rebusan daun Emas Cotek juga mampu memecah lemak serta membuang kolestrol berlebihan dalam saluran darah dan mengelakkan pengamal dari sakit kepala (migraine), stroke, juga berkesan untuk menyembuhkan dan memperbaiki kerosakan saraf.

Selain dicampur dengan daun jantan dan betina pelbagai jenis adalah lebih berkesan jika dapat dicampurkan dengan bahagian batang, buah dan akarnya yang dikeringkan. Air rebusan daun, batang, akar, dan buah Emas Cotek terbukti dapat menyembuhkan penyakit pneumonia (radang paru-paru), sakit pinggang, mengurangkan keletihan, dan ia juga mampu meningkatkan keinginan seks bagi pasangan suami isteri. Ia juga dipercayai dapat bertindak balas terhadap rangsangan hormon lelaki untuk meningkatkan daya ketegangan alat kelamin. Daun Emas Cotek boleh dipetik dan dikunyah semasa segar. Selain itu, ia juga boleh dikeringkan agar lebih tahan lama. Bila diperlukan, rebus daun kering tadi dan minum airnya bagi memulihkan tenaga.

Antara khasiat Mas Cotek yang lain adalah:

  • Memperbaiki kerosakan urat saraf
  • Mengetatkan saluran peranakan dan merapatkan pintu rahim bg wanita selepas bersalin
  • Meningkatkan keinginan hubungan suami isteri
  • Membantu mengawal tekanan darah tinggi
  • Merawat penyakit pneumonia
  • Mampu merawat migrain, resdung, diabetes, gout, batu karang, tekanan darah tinggi / rendah
  • Kandungan flavonoid yang tinggi untuk mempertahankan keayuan dan awet muda
  • Mengurangkan tahap kolesterol dalam darah
  • Mengurangkan keletihan dan kelesuan badan
  • Membantu masalah keputihan
  • Melancarkan peredaran haid

sumber- iluvislam

Disorok makhluk halus

KUALA KANGSAR: Walaupun sudah ditemui dua hari lalu dalam belukar kira-kira dua kilometer dari rumahnya, namun kehilangan seorang lelaki warga emas berusia 85 tahun masih menimbulkan tanda tanya penduduk kampung yang mengesyaki kemungkinan mangsa disorok makhluk halus.

disembunyi makhluk halus
TERSELAMAT...Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chenderoh, Datuk Siti Salmah Mat Jusak (kanan) melawat Baharom di Hospital Kuala Kangsar, semalam.
Baharom Mohd Piah yang tidak lagi mampu berjalan dikatakan hilang dari rumahnya di Kampung Temung Hulu, di sini, sebelum ditemui penduduk kampung bersama anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) yang melakukan operasi besar-besaran mencarinya.

Usaha menjejaki mangsa berhasil apabila lelaki warga emas itu ditemui dalam keadaan terbaring kesejukan dan terpinga-pinga di kawasan belukar tidak jauh dari rumah seorang penduduk kampung.

Anehnya, lokasi mangsa ditemui itu sudah beberapa kali digeledah petugas JPAM, namun kelibat mangsa tidak ditemui sebelum ini.

Anak mangsa, Mohd Shabli, 59, berkata bapanya ditemui terbaring di kawasan belukar dengan badan ditutupi daun dan ranting kayu.

sumber- HMetro

Gajah bercakap Korea?

gajah pandai bercakap bahasa Korea

SEOUL - Anda mungkin terkejut apabila diberitahu binatang juga pandai berkata-kata.

Itulah yang berlaku di Zoo Everland di Yongin, Korea Selatan apabila seekor gajah boleh berkata-kata, biarpun belum menguasai kemahiran bercakap sepenuhnya.

Gajah jantan berusia 22 tahun yang dinamakan Koshik itu menggunakan hujung belalai untuk mengeluarkan bunyi seolah-olah seperti suara manusia.

Menurut penyelidik Angela Stoeger dari Universiti Vienna, Koshik pandai berkomunikasi dalam bahasa Korea sejak Ogos 2004 ketika berusia 14 tahun.

Menurut laporan Journal Current Biology, mamalia itu mampu berkomunikasi apabila mendengar arahan, namun ada ketikanya ia 'bercakap' tanpa disuruh.

Stoeger yang merupakan pakar dalam komunikasi gajah berkata, percakapan manusia mempunyai dua aspek penting iaitu nada dan intonasi suara.

"Koshik sangat luar biasa, ia mampu membezakan antara kedua-duanya," katanya.

Antara lima perkataan yang disebut gajah itu ialah annyong (hello), anja (duduk), aniya (tidak), nuo (baring) dan choah (bagus). 

sumber- AGENSI

Bas Melekat belakang lori

TAPAH - Sebuah bas ekspres tanpa penumpang ‘melekat’ di belakang sebuah lori tangki muatan susu getah selepas terbabit dalam kemalangan yang berlaku di Kilometer 307.1 Lebuhraya Utara Selatan (arah Utara) malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 11 malam itu, pemandu lori tangki, S Subramaniam, 40, berkata dia sedang memandu di lorong kanan lebuh raya sebelum dirempuh bas terbabit.

kemalangan bas Tapah
Keadaan bas ekspres dan lori yang rosak teruk akibat kemalangan yang berlaku di Kilometer 307.1 Lebuhraya Utara Selatan (arah Utara), malam kelmarin.
Katanya, akibat rempuhan itu, dia tersentak sehingga melanggar pembahagi besi di tengah lebuh raya sebelum berhenti.

“Selepas dirempuh bas terbabit, saya cuba mengawal stereng bagi mengelakkan lori terbalik dan muatan susu getah tertumpah di atas jalan.

“Berikutan itu, saya secara tidak sengaja turut menyeret bas ekspres berkenaan sejauh 200 meter,” katanya yang memandu lori dari Kluang, Johor menuju ke Kulim, Kedah.

Menurutnya, selepas turun daripada kenderaannya dia mendapati pemandu kedua bas berkenaan yang berusia 40-an mengalami kecederaan serius pada bahagian kaki akibat  kemalangan itu.

Turut telibat dalam kemalangan itu ialah sebuah kereta jenis Proton Waja yang dinaiki warga Nigeria namun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kampar Superintendan Ng Kong Soon berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada lori tangki yang cuba menukar lorong dari kiri ke kanan lebuh raya tersebut.

Menurutnya, rempuhan berlaku akibat bas ekspres yang di belakang tidak sempat mengelak lori tangki tersebut.

“Pada masa sama, sebuah kereta yang dipandu warga Nigeria yang berada di belakang bas tersebut gagal mengelak lalu melanggar belakang kenderaan itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Kong Soon berkata, anggota Bomba dan Penyelamat Tapah yang membantu mengeluarkan mangsa mengalami sedikit kesukaran kerana pintu bas ekspres remuk akibat pelanggaran itu.

“Akhirnya, mangsa yang cedera di kaki kanan itu, berjaya dikeluarkan melalui pintu kecemasan pada bahagian belakang bas dan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk mendapatkan rawatan.

“Pemandu utama bas ekspres yang berusia awal 50-an itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya yang memberitahu sewaktu kejadian jalan sedikit licin akibat hujan.

sumber- Sinar

Kejam! Ibu tikam dua anak 150 kali halau Iblis

NAPERVILLE - Seorang wanita berusia 40 tahun menikam anak lelakinya 100 kali manakala anak perempuan pula 50 kali atas alasan untuk menghalau "iblis" dalam diri kedua-dua kanak-kanak itu.

Elzbieta Plackowska dibawa ke mahkamah semalam dan dikenakan bon.

Pendakwa raya DuPae County, Robert Berlin berkata, "dia memberitahu bahawa dalam diri anak-anaknya ada iblis dan dia cuba mengeluarkan iblis keluar dari badan mereka."

Elzbieta Plackowska
Elzbieta Plackowska
Laporan nbcnews.com memetik polis berkata, Plackowska dengan kejam menikam anak lelakinya, Justin 100 kali dan Olivia Dworakowski 50 kali.

Ketika kejadian, yang berlaku Selasa lalu, wanita itu menjaga kedua-dua kanak-kanak berkenaan di rumah mereka yang terletak di Naperville, kira-kira 50 kilometer ke barat Chicago.

Dia didakwa meminta kedua-dua kanak-kanak itu melutut dan berdoa sebelum menikam mereka, lapor nbcchicago.com.

Malah, dia juga didakwa memberitahu anak lelakinya bahawa dia akan pergi ke syurga.

Menurut pendakwa raya, leher kedua-dua kanak-kanak itu dikelar.

Selepas membunuh, Plackowska telah pergi ke gereja di Naperville tetapi apabila mendapati ia tutup, dia meninggalkan mesej mengatakan telah melakukan sesuatu yang buruk dan memerlukan bantuan.

Dia kemudian telah pergi ke rumah kawannya, di mana anak lelaki sulung tinggal dan memberitahu mereka dia telah dirompak.

Tribune melaporkan bahawa Plackowska memberitahu polis kononnya rumah dia telah dipecah masuk dan penjenayah terbabit melakukan pembunuhan itu.

Kemudian, menurut laporan nbcchicago.com, wanita itu memaklumkan polis bahawa dia menikam anak lelakinya untuk menyinggung suaminya yang tidak menghargai dia.

Plackowska juga berkata bahawa dia membunuh anak perempuan dan dua ekor anjingnya kerana menyaksikan pembunuhan.

sumber- Sinar

Diana Danielle, Farid Kamil selamat diijab kabul

gambar perkahwinan Farid Kamil dan Diana Danielle
Pasangan suami isteri Diana Danielle Danny Beeson dan Farid Kamil Datuk Dr. Zahari.
SETELAH tiga tahun menjalin hubungan cinta, Diana Danielle Danny Beeson, kini sah menjadi isteri kepada Farid Kamil Datuk Dr. Zahari dengan sekali lafaz pada jam 9.12 pagi tadi.

Pasangan sama cantik sama padan itu dinikahkan oleh Pegawai Tabir Agama / Pendaftar Kanan Daerah Gombak, Daim Jajuli dalam suasana penuh romantis di Hotel Flamingo By The Lake Ampang, Ampang.

Farid menyediakan lima dulang hantaran termasuk mas kahwin RM10,000 dan wang hantaran RM10,000 nilai emas, manakala Diana membalas dengan tujuh dulang.

Kira-kira 300 tetamu terdiri daripada ahli keluarga kedua-dua pihak, rakan media dan rakan artis hadir pada majlis perkahwinan penuh bermakna ini.

sumber- Sinar

Bayi bantu ibu bersih lantai

LONDON: Sebuah syarikat memperkenalkan pakaian unik yang membolehkan bayi ‘membantu’ ibu bapa mereka membersihkan rumah ketika mereka merangkak.

Syarikat itu menggabungkan baju bayi dengan pembersih lantai (mop) yang dilekatkan pada bahagian tangan dan kaki.

bayi buat kerja
PENGELUAR menggunakan gentian mikro sebagai bahan mop pada pakaian bayi ini.
Dikenali sebagai Baby Mop, pakaian itu membolehkan lantai rumah digilap ketika bayi terbabit belajar merangkak. Baby Mop dijual pada harga kira-kira RM120 sepasang.

Ia adalah projek laman sesawang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), BetterThanPants.com yang diinspirasi daripada satu iklan di Jepun.

Dalam kenyataan di laman sesawang itu, syarikat terbabit secara bergurau berkata, Baby Mop akan “mendidik bayi anda mengamal etika kerja yang baik sejak kecil” ketika mereka dididik supaya tidak menyepahkan makanan di lantai.

bayi comel tolong ibu
PADA harga RM120, Baby Mop ini boleh membantu ibu.
Menurut laman sesawang BetterThanPants.com, bayi yang menggunakan Baby Mop juga “akan mendapat riadah berfaedah, membakar tenaga dan membentuk otot.” “Amalan itu akan membantu bayi mendapat tidur yang lebih baik,” kata syarikat itu.

Sementara itu, jurucakap BetterThanPants.com, Mike Parker, berkata kira-kira 100 pasang Baby Mop berjaya dijual dalam tempoh hanya sebulan sejak ia diperkenalkan di laman sesawang berkenaan.

“Setakat ini, maklum balas daripada pelanggan sangat positif walaupun ada sedikit e-mel negatif mengenai idea produk itu,” katanya. Bahagian pembersih pada tangan dan kaki Baby Mop diperbuat daripada bahan gentian mikro yang dilekatkan secara langsung. 

sumber- DM

Bakar rumah, 4 kenderaan keluarga bekas kekasih

TAPAH – Gara-gara tidak berpuas hati selepas cintanya ditolak gadis kilang, seorang lelaki bersama empat rakannya bertindak ganas dengan membakar sebuah kereta dan tiga buah motosikal milik ahli keluarga bekas kekasihnya di Highland Park di sini kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 9 malam itu, cermin kereta Proton Persona milik bapa gadis berkenaan dipecah sebelum kenderaan itu dicurahkan minyak petrol dan dibakar.

Bakar rumah
ABDULLAH (dua dari kanan) menyiasat kejadian kereta dan tiga buah motosikal dibakar seorang lelaki kecewa di Highland Park kelmarin.
Turut dikhianati tiga buah motosikal milik keluarga bekas kekasihnya itu.

Salah sebuah motosikal tersebut baru dibeli beberapa bulan lalu.

Semasa kejadian, kereta Persona dan tiga buah motosikal tersebut berada di depan rumah teres setingkat milik mangsa.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tapah, Deputi Superitendan Abdullah Arshad berkata, suspek pertama berusia 22 tahun yang merupakan bekas kekasih pekerja kilang itu diberkas beberapa jam selepas kejadian.

“Gadis berusia 19 tahun itu pernah berpacaran selama dua tahun dengan suspek utama tetapi hubungan mereka terputus enam bulan lalu.

“Pasangan kekasih itu merupakan sepupu dan perpisahan tersebut turut menyebabkan keluarga masing-masing saling bergaduh,” kata beliau pada sidang akhbar di sini.

sumber- Kosmo

Pencuri tidur dicekup tuan rumah

KEMAMAN – Seorang pencuri yang tertidur di atas sofa selepas menikmati sepinggan nasi di dalam sebuah banglo, dicekup oleh pemilik kediaman itu di Jalan Dato, Chukai di sini pagi Selasa lalu.

Lebih mengejutkan, pencuri berusia 35 tahun itu dipercayai membawa sendiri nasi, daging goreng, petai serta pinggan ketika memecah masuk rumah tiga tingkat itu.

tangkap pencuri tidur
FAISAL menunjukkan pinggan dan kuih raya yang dimakan oleh pencuri sebelum dia tertidur di atas sofa di rumahnya di Kemaman semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.15 pagi itu, pemilik rumah, Kamsiah Wan Othman, 59, menyedari kelibat suspek ketika dia ingin mengemas bilik tidurnya sejurus menyediakan sarapan pagi dan solat Subuh.

Anak Kamsiah, Faisal Zainal Nordin, 30, berkata, sebelum keluar dari bilik tidur untuk berwuduk kira-kira pukul 6 pagi, ibunya ternampak tiga buah beg dan bungkusan di laluan keluar dari bilik tidurnya tetapi menyangka ia milik anak-anaknya.

“Setelah selesai menyediakan sarapan dan ingin masuk semula ke bilik, ibu melihat seorang lelaki sedang nyenyak tidur di atas sofa di tingkat dua. Dia kemudian bertanya kepada saya sama ada lelaki tersebut merupakan rakan saya.

“Saya yang terkejut dengan pertanyaan ibu bergegas untuk melihat lelaki itu. Saya kemudian mengejutkannya dan lelaki itu cuba melarikan diri namun berjaya ditangkap selepas kami bergelut,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

sumber- Kosmo

Khasiat Temulawak untuk muka

tips penjagaan muka

Khasiat Temulawak untuk penjagaan muka. Selain dapat menyembuhkan pelbagai jenis penyakit, khasiat temulawak juga boleh dimanfaatkan untuk perkara lain, antaranya adalah untuk kecantikan wajah. Kandungan minyak yang terdapat dalam temulawak dapat melambatkan proses penuaan, menghilangkan bintik-bintik hitam, serta mencegah kedutan.

Khasiat Temulawak untuk wajah

Temulawak dapat memulihkan kesan atau parut Akibat Jerawat dan juga Akibat Penggunaan Produk Kosmetik yang salah. Temulawak juga amat berkesan bagi menghilangkan bintik-bintik hitam yang sering menjadi masalah utama wanita.

Cara menghilangkan jerawat dan juga penjagaan kecantikan muka dengan Khasiat Temulawak:

  • Pilih temulawak yang sudah tua
  • Temulawak yang sudah tua tersebut kemudian dicuci sehingga bersih
  • Kemudiannya dihiris nipis dan dijemur sehingga kering
  • Temulawak yang sudah kering tersebut kemudian direbus dan diambil air rebusannya sebanyak satu gelas
  • Minum airnya sebelum tidur.
  • Untuk mendapatkan kesan yang lebih mujarab, amalkan tips ini selama beberapa hari.

Polis halang 500 ekor kucing dijadikan lauk

XUZHOU - Polis di bandar ini, dalam wilayah Jiangsu, di timur China menghalang sebuah lori yang membawa 500 ekor kucing untuk dijadikan hidangan eksotik di restoran-restoran tempatan, lapor akhbar Telegraph semalam.

Polis mengarahkan lori terlibat supaya berhenti apabila menyedari kenderaan tersebut memiliki nombor plat luar wilayah.

cina makan kucing
SEBAHAGIAN daripada 500 ekor kucing yang dipintas pihak polis di bandar Xuzhou, dalam wilayah Jiangsu di China baru-baru ini.
Mereka kemudian menyoal pemandu lori tentang haiwan yang dibawa selepas terdengar bunyi mengiau dari bawah plastik penutup kargo tersebut.

"Arnab," jawab pemandu tersebut.

Namun, kenderaan itu sebenarnya membawa beratus-ratus ekor kucing yang diletakkan di dalam puluhan sangkar besi.

Sejak beberapa tahun lalu, permintaan daging kucing di selatan China meningkat dengan bekalan haiwan itu diperoleh dari seluruh China.

Daging kucing akan dicampurkan bersama daging ular untuk dimasak sejenis hidangan tempatan istimewa yang digemari penduduk tempatan.

Undang-undang China tidak melarang rakyatnya menjual kucing kerana haiwan itu tidak dianggap sebagai harta benda milik keluarga.

Pencuri kucing biasanya memperoleh bayaran 10 yuan (RM4.90) untuk seekor kucing yang dijual kepada orang tengah.

Berikutan pemandu lori berkenaan tidak melakukan sebarang kesalahan, pihak polis membeli kargo tersebut pada harga 3,500 yuan (RM1,723) selepas berunding selama tiga jam dengan pemandu terlibat. 

sumber- Agensi

Model dikecam bergambar di lokasi kemusnahan Sandy

NEW YORK - Seorang model terkenal Brazil diselar oleh pengguna internet kerana bergambar di beberapa lokasi yang musnah akibat taufan Sandy di sini.

Nana Gouvea, 30, yang dilaporkan pernah menghiasi majalah Playboy memuat naik beberapa keping gambar tersebut di laman Facebook.

Beberapa gambar itu menunjukkan dia bersandar pada sebatang pokok tumbang dan berdiri di atas kereta-kereta yang musnah di sini.

gambar model dengan sami terbakar
GAMBAR pertindihan imej menunjukkan Gouvea menyaksikan peristiwa seorang sami Buddha membakar dirinya di Vietnam pada 1963.
Gambar-gambarnya mencetuskan bantahan pengguna internet malah portal hiburan Gawker.com. mempersendakan model tersebut.

"Bencana alam memberikan peluang baik untuk keluar dan bergambar dengan menampilkan pelbagai aksi dan gaya," kata seorang pengguna internet secara sinis.

Sebuah laman Facebook yang dinamakan Nana Gouvea in Disasters turut mempersendakan model berambut hitam itu.

Laman web itu memaparkan beberapa gambar pertindihan imej yang menunjukkan imej Gouvea dalam beberapa peristiwa tragis seperti kapal Titanic karam dan perbuatan seorang sami Buddha, Thich Quang Duc yang membakar dirinya di Vietnam pada 1963. 

sumber- Agensi

Datuk Bandar New York undang kontroversi

NEW YORK - Datuk Bandar New York, Michael Bloomberg mencetuskan kontroversi apabila mahu meneruskan acara marathon terbesar di dunia yang akan diadakan di kota metropolitan ini esok.

Ramai penduduk kota raya ini berpendapat bahawa keputusan Bloomberg tidak kena pada masanya.

Ia ekoran keputusan itu dibuat ketika pasukan penyelamat memasuki sejumlah kediaman yang ditenggelami air bah untuk mencari mangsa-mangsa terselamat selepas taufan Sandy membadai Pantai Timur Amerika Syarikat (AS).

taufan Sandy
SEBUAH bot dan serpihan lain terdampar di atas landasan kereta api New Jersey Utara di New Jersey selepas taufan Sandy kelmarin.
Angka kematian akibat bencana tersebut itu di sini dan negeri New Jersey kini meningkat kepada lebih 95 orang.

"Jika mereka meneruskan marathon ini saya akan menjerit," kata seorang ahli majlis bandar raya ini, James Oddo dalam akaun Twitternya.

"Kita ada ramai orang yang hilang kediaman dan hilang harapan," tambahnya.

Bagaimanapun, dalam mempertahankan keputusannya, Bloomberg berjanji marathon itu tidak akan menggunakan sebarang sumber atau bantuan yang diperuntukkan kepada mangsa taufan Sandy.

Beliau juga menjangkakan bekalan elektrik di kawasan Manhattan di sini akan dipulihkan esok.

"(Tambahan pula), terdapat banyak perniagaan kecil yang bergantung kepada acara itu. Kita perlukan aktiviti bagi menjana ekonomi," kata Bloomberg dalam satu sidang akhbar Rabu lalu.

Penganjur marathon berkenaan, kelab New York Road Runners memberitahu, acara tersebut akan menjana pendapatan berjumlah AS$340 juta (RM1.03 bilion) kepada kota raya ini.

Kelab itu mengumumkan kelmarin bahawa ia akan mendermakan sekurang-kurangnya AS$1 juta (RM3 juta) bagi membantu mangsa-mangsa taufan Sandy di sini.

Seramai 40,000 pelari dijangka mengambil bahagian dalam acara tersebut.

Sementara itu, kemarahan orang ramai semakin memuncak ekoran angka kematian yang terus meningkat di samping bantuan yang lambat tiba di beberapa kawasan yang paling teruk terjejas.

"Mereka (pihak berkuasa) lupakan kita," kata seorang wanita berusia 42 tahun, Theresa Connor.

Menurutnya, kawasan kejiranannya di Staten Island di sini musnah sama sekali akibat taufan Sandy.

"Bloomberg pula menyatakan kota raya New York berada dalam keadaan baik. Marathon akan diteruskan!" katanya.

Selain kelambatan bantuan, orang ramai juga berasak-asak untuk membeli petrol dengan menyebabkan harga bahan itu melambung tinggi.

Pendakwa Raya Daerah Richard Brown berkata, berlaku beberapa kejadian tidak diingini ekoran situasi tersebut dengan seorang lelaki di sini didakwa kerana mengacukan pistol terhadap seorang pemandu lain selepas lelaki itu cuba memotong barisan untuk membeli petrol.

Sebuah firma pengukur bencana, Eqecat menganggarkan Sandy menyebabkan kerugian yang diinsurans berjumlah AS$20 bilion (RM61 bilion) manakala kerugian ekonomi pula mencecah AS$50 bilion (RM152 bilion).

Taufan Sandy merupakan bencana keempat terburuk di AS di belakang Taufan Katrina pada 2005, serangan 11 September pada 2001 dan Taufan Andrew pada 1992.

sumber- Agensi

iPad mini kurang dapat sambutan

TOKYO - Pelancaran produk terbaharu Apple, iPad mini dilihat kurang mendapat sambutan apabila ia mula dijual di Jepun semalam, dengan penganalisis menyatakan gajet yang mahal itu mungkin terlalu lambat untuk masuk ke pasaran gajet bersaiz tujuh inci.

Dianggarkan seramai 300 orang beratur di luar kedai Apple di sini dan sekurang-kurangnya 20 orang berkhemah di Ginza demi menjadi individu terawal memiliki iPad mini.

awek Jepun Ipad mini
DUA orang gadis menunjukkan iPad mini yang baru mereka beli di sebuah kedai Apple di Tokyo, Jepun.
Situasi sama turut dapat dilihat di beberapa buah negara Asia lain. Di Singapura misalnya, beberapa ratus orang berkampung di luar kedai Apple. Sementara di Hong Kong, kira-kira 30 orang beratur untuk mendapatkan gajet yang telah ditempah secara dalam talian sebelum ini.

Di Sydney, orang ramai tidak beratur panjang sebagaimana ketika iPhone 5 dilancarkan.

Namun begitu, peminat tegar produk Apple menyatakan mereka kagum dengan gajet tersebut. "Ia memang berbeza dengan iPad biasa. Lebih ringan dan sangat nipis. Anda boleh memegangnya dengan sebelah tangan sahaja," kata Ayano.

Ipad mini dilancarkan di berpuluh-puluh buah negara di Asia, Eropah dan Amerika Syarikat semalam.

Sebelum iPad mini dilancarkan, penganalisis menegaskan harga jualan mencecah AS$329 (RM1,004) adalah mahal bagi mereka yang boleh memilih untuk membeli gajet lain seperti Google Nexus atau Amazon Kindle pada harga cuma AS$199 (RM607) seunit. 

sumber- AFP

Gangnam Style kedua tertinggi di YouTube

SEOUL - Populariti penyanyi rap Korea Selatan, Psy terus meningkat apabila lagu Gangnam Style miliknya menjadi muzik video kedua tertinggi ditonton di laman perkongsian video YouTube.

Muzik video tarian kuda itu kini ditonton lebih 620 juta kali di seluruh dunia sejak ia dimuat naik pada Julai lalu.

gangnam style
AKSI Psy ketika membuat persembahan dalam satu rancangan televisyen di Sydney Australia pada 17 Oktober lalu.
Psy atau nama sebenarnya Park Jae-sang, 34, semalam mengenepikan penyanyi terkenal, Jennifer Lopez menerusi muzik video On the Floor.

Lagu hit Lopez, 43, yang dimuat naik sejak Mac tahun lalu itu ditonton lebih 615 juta kali.

Bintang pop remaja, Justin Bieber, 18, pula kekal di tempat pertama apabila muzik video Baby ditonton lebih 790 juta kali di YouTube.

Muzik video Baby dimuat naik di YouTube dua tahun lepas. 

sumber- AFP