Pages - Menu

Wednesday, November 7, 2012

RM40,000 lesap, RM3,000 Disedut

SHAH ALAM: Terpedaya dengan janji bakal memperoleh keuntungan RM320,000, seorang usahawan wanita dari Seksyen 7, di sini, mendakwa ditipu dan dipukau sekumpulan lelaki mengakibatkan kerugian RM40,000, Ogos lalu.

Tidak cukup setakat itu, ahli perniagaan terbabit, Azizah Che Meh, 29, berdepan pula kehilangan wang kutipan perniagaan lebih RM3,000 dipercayai ‘disedut’ menggunakan sihir selepas kejadian itu hingga dia trauma dan terpaksa mendapatkan bantuan pengamal perubatan Islam.

ilmu pukau
gambar hiasan
Azizah ketika ditemui berkata, semua masalah itu berpunca apabila tiga lelaki menghubunginya pada 28 Ogos lalu yang kononnya mahu mendapatkan perkhidmatan katering syarikatnya bagi satu majlis membabitkan kos ratusan ribu ringgit.

“Seorang daripada mereka yang dikenali sebagai Alias datang berjumpa saya di sebuah restoran di Padang Jawa, di sini dan pada pertemuan itu, Alias bersama dua rakannya itu pada mulanya berbincang mengenai perkhidmatan katering itu.

“Selepas itu mereka mula bercerita mengenai penjualan tanah di Meru, Klang yang didakwa boleh mendatangkan keuntungan. Alias meminta saya menjadi ejen kerana tanah itu akan dibeli seorang yang dikenali sebagai Datuk Syed yang bersedia membayar RM920,000 dan mereka akan memperoleh keuntungan RM320,000,” katanya.

Azizah yang memiliki tiga restoran di Seksyen 7, Padang Jawa dan TTDI Jaya, di sini, berkata, pada pertemuan kali kedua di Subang Jaya, dia menyerahkan RM40,000 kepada seorang lelaki didakwa menantu pemilik tanah berkenaan selepas dipujuk Alias.

Menurutnya, dia kemudian diberikan satu dokumen surat kuasa bagi urusan penjualan tanah itu manakala Alias pula meyakinkannya sebahagian lagi wang yang perlu dibayar kepada pemilik asal tanah sudah dijelaskannya.

Katanya, dia langsung tidak merasa apa-apa, tetapi hanya keesokannya selepas Subuh, baru dia berasa tidak sedap hati dan membuat pemeriksaan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Selepas diperiksa, dua nama dalam surat kuasa itu memang wujud, tetapi nombor kad pengenalan palsu. Lebih menyedihkan, pemeriksaan terhadap tiga nombor telefon yang menghubungi saya juga semuanya menggunakan kad pengenalan palsu,” katanya yang turut membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, baru-baru ini.

sumber- HMetro

Hilang sebulan dah dapat bayi

awek SPM lahir bayi perempuan

ALOR GAJAH: Luluh hati seorang ibu apabila anak gadisnya yang hilang dari rumah awal Oktober lalu dan sepatutnya menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula kelmarin, sudah melahirkan seorang bayi perempuan ketika ditemui malam kelmarin.

Menurut sumber, pelajar berusia 17 tahun itu dilaporkan keluar dari rumah keluarganya, di sini bersama teman lelaki ketika ahli keluarganya tiada di rumah dan kehilangannya disedari sejurus ibunya pulang kira-kira jam 7 malam.

“Sejak hari kejadian, ibunya gagal menjejak gadis itu namun malam tadi (kelmarin) selepas kira-kira sebulan, wanita itu menerima panggilan telefon daripada remaja terbabit yang memberitahu dia berada di sebuah rumah sewa di Johor.

“Gadis itu juga memaklumkan sejak keluar dari rumah keluarganya, dia tinggal di rumah itu bersama teman lelakinya berusia 37 tahun yang dikenalinya melalui laman sosial di Internet,” katanya.

Menurutnya, keluarga gadis itu segera ke alamat diberikan namun sebaik tiba di situ, mereka terkejut apabila mendapati pelajar berkenaan sedang menggendong seorang bayi perempuan.

sumber- HMetro

Anggota tentera hilang ditemui mati di kawasan paya

SELAMA –Seorang anggota tentera berpangkat koperal yang dipercayai hilang ketika menjalani latihan penerjunan di Redang Panjang, Kubu Gajah, sejak Isnin lalu ditemui mati, hari ini.

Mayat Supain Gane, 37, yang hilang ketika menjalani latihan penerjunan bebas Ex Tiger Warrior siri pertama di kawasan itu ditemui pasukan mencari dan menyelamat kira-kira jam 4.30 petang.

Pemangku Ketua Polis Daerah Selama, Asisten Superintendan Abd Ghani Zainun berkata, mangsa ditemui terdampar di kawasan paya di sebuah kebun getah kira-kira 0.5 kilometer dari lokasi pusat menyelamat di Ladang Holyroad Rhona.

Supain Gane
Supain Gane
Menurutnya, ketika kejadian, payung terjun yang digunakan mangsa dipercayai gagal berfungsi.

“Keadaan itu menyebabkan alat berkenaan terbelit di bahagian badan mangsa, bagaimanapun kita masih menunggu laporan bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Selama untuk bedah siasat.

Dengan penemuan itu katanya, operasi mencari dan menyelamat yang disertai 117 anggota dihentikan serta-merta pada jam 5.30 petang.

Mengulas lanjut, Abd Ghani berkata, mangsa berasal Tamparuli, Sabah, yang bertugas di cawangan Komando Pusat Latihan Peperangan Khusus Tentera Darat itu menjalani latihan penerjunan mengguna pesawat udara CN 235 dengan ketinggian 2,333 meter di kawasan berkenaan bersama 24 anggota lain.

Menurutnya, kehilangan mangsa hanya disedari setelah 23 anggota lain selesai melapor diri kepada Pegawai Latihan Khusus Ketua Ronda sebaik selesai membuat terjunan.

“Gerakan mencari dan menyelamat dilakukan Isnin lalu kira-kira jam 1.45 petang, sebaik menerima laporan kehilangan mangsa,operasi terpaksa ditamatkan pada jam 7.30 petang akibat keadaan cuaca sebelum disambung pagi tadi,” katanya.

Selain polis, jabatan dan agensi yang terlibat dalam operasi sejak Selasa lalu ialah bomba, Ikatan Relawan Rakyat (Rela), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan penduduk kampung.

Mangsa dari Pusat Latihan Peperangan Khusus Tentera Darat Kem Sungai Udang, Melaka telah berkhidmat bersama pasukan tentera sejak 1997.

sumber- Sinar

Mayat dalam kolam buaya

MANILA: Mayat seorang lelaki yang hampir separuh badan dibaham buaya air masin ditemui di ladang ternak haiwan reptilia itu semalam.

Pegawai polis Lowell Neniza berkata, pekerja ladang itu menemui mayat mangsa berusia 57 tahun di dalam kolam buaya yang boleh membesar sehingga 4.3 meter. 

Lowell berkata, pihak berkuasa tidak tahu bagaimana mangsa, seorang penganggur bernama Sorbelo Sajona dapat masuk ke ladang persendirian itu. 

buaya makan orang
gambar hiasan
Tiada tanda lain ditubuh mangsa dan pihak polis masih belum dapat memastikan secara rasmi sama ada mangsa maut akibat dibaham buaya, katanya.

“Tiada bukti perbuatan khianat, tetapi pengawal keselamatan di ladang itu memberitahu kami, mereka tidak tahu bagaimana mangsa masuk ke kolam,” katanya.

Sorbelo tinggal di sebuah kampung terletak kira-kira lima kilometer dari ladang ternakan buaya itu. 

Kali terakhir dia dilihat sehari sebelum kejadian itu dalam keadaan mabuk di kawasan perkuburan tempatan, melawat kubur saudara maranya seperti penduduk lain sempena Hari Memperingati Santo. 

Terdapat 2,800 ekor buaya air masin di ladang itu yang mengeksport kulit dan daging buaya ke restoran tempatan. Ia terletak di pekan pedalaman Santo Tomas, di selatan Mindanao.

sumber- MT

Tatu jadikan mereka kebal

tatu kebal

BANGKOK: Seorang pelukis tatu “ahli sihir” ditahan selepas beberapa pergaduhan berlaku melibatkan pengikutnya kerana mereka percaya tatu itu dapat menjadikan mereka kebal, kata polis semalam.

Ketua Polis tempatan, Major Jeneral Kanisorn Noinard berkata, Boonyong Luangjumpol ditahan kerana menyimpan senjata api selepas anggota polis menyerbu rumahnya disebabkan beberapa siri pergaduhan yang berlaku di wilayah Kalasin. 

sumber- Bangkok Post 

Tembak mati rakan disangka babi hutan

BANGKOK: Seorang lelaki mabuk dikatakan tertembak rakannya hingga mati kerana menyangka dia seekor babi hutan ketika pulang dalam gelap selepas mencari ketam di utara wilayah Phayao.

Puan Maneewan ditembak di perut oleh rakannya,Somkuan Promson, 48. 

Somkuan memberitahu polis mereka berdua mabuk ketika keluar mencari ketam. 

gambar babi hutan
gambar hiasan
Katanya dia mencari rakannya itu apabila terlihat sesuatu yang disangka babi hutan dan menembak dengan senapang patah secara tidak sengaja.

Somkuan berkata, dia mengheret rakannya itu dan cuba memberi pertolongan cemas tetapi sudah terlambat.

Somkuan didakwa membunuh, membawa senjata api di tempat awam tanpa sebab munasabah dan menyimpan senjata dan peluru secara haram. 

sumber- BP 

Bayi ditemui depan rumah

kes buang bayi
JPAM memberi rawatan awal kepada bayi yang ditemui di hadapan sebuah rumah di Jalan Teratai, Raja Uda, Butterworth, pagi kelmarin.
Butterworth - Seorang bayi lelaki yang sihat dan cukup sifat ditemui ditinggalkan di hadapan rumah pasangan suami isteri berketurunan Cina, di Jalan Teratai, Raja Uda di sini, awal pagi kelmarin.

Bayi lelaki itu ditemui pembantu rumah pasangan keluarga berkenaan sewaktu dia keluar untuk menyapu sampah di halaman rumah pada jam 5.30 pagi.

Terkejut dengan penemuan itu, dia kemudian memaklumkan majikannya yang kemudian menghubungi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) cawangan Butterworth dan polis.

Dipercayai, bayi berkulit cerah itu baru dilahirkan antara tiga dan empat jam sebelum ditemui berdasarkan kesan tali pusatnya yang masih baru dan berdarah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pada jam 6.30 pagi sebelum menghantar anggota ke tempat kejadian.

Beliau berkata, ketika ditemui bayi itu dibalut dengan kain pelikat serta tidak menangis dan dalam keadaan sihat.

“Bayi itu dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk pemeriksaan sebelum dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan usaha mencari individu yang membuang bayi itu giat dijalankan,” katanya.

sumber- Sinar

Cebisan otak bertaburan

kemalangan ngeri
Mayat Mohd Nordin yang terbaring di atas jalan ditutup sebelum dibawa ke Unit Forensik, Hospital Kemaman.
KEMAMAN – Dua lelaki maut, sementara seorang lagi cedera dalam dua kemalangan berasingan melibatkan kereta, van dan motosikal di Geliga, Chukai dan Perasing Jaya, Air
Putih, lewat petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam di Kilometer 157.8 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, berdekatan Taman Intan Geliga Besar, Mohd Nordin Mustaffa, 62, maut serta-merta di tempat kejadian setelah kepalanya pecah menyebabkan sedikit cebisan otak bertaburan atas jalan.

Sementara seorang penunggang motosikal, Suhaimi Ibrahim, 22, mengalami kecederaan.

Lebih memilukan, kemalangan itu berlaku hanya beberapa meter di hadapan rumah mangsa yang bekerja sebagai pemandu lori ketika mangsa berjalan kaki mahu menyeberang jalan sebelum dirempuh sebuah Proton Wira.

Mangsa tercampak ke kiri jalan dan diseret sejauh 11 meter oleh sebuah van yang tidak sempat mengelak.

Suhaimi yang ditemui di tempat kejadian berkata, ketika nahas, dia yang dalam perjalanan dari arah Chukai ke Gebeng, Kuantan dan berada di belakang Proton Wira cuba mengelak selepas kereta terbabit membrek mengejut namun tetap terkena mangsa.

“Apabila saya cuba elak kereta, motosikal saya pula bergesel dengan sebuah van di belakang menyebabkan saya terjatuh atas jalan dan mengalami luka di tangan dan kaki,” katanya yang menetap di Bandar Seri Bandi, Kijal dan bekerja sebagai buruh.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, mangsa dihantar ke Unit Forensik, Hospital Kemaman untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga kira-kira jam 10 malam.

“Setakat ini pemandu van tampil membuat laporan namun pemandu kereta masih lagi belum berbuat demikian.

"Kita minta pemandu berkenaan membuat laporan. Saksi kejadian juga diharap dapat menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik menerusi talian 0199517344 untuk membantu siasatan kes,” katanya.

Sementara itu, dalam satu lagi kemalangan, seorang buruh binaan di projek Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) warga Bangladesh, Masum, 35, meninggal dunia di tempat kejadian di Kilometer 175.3 Jalan Jerangau-Jabor, dekat simpang tiga Perasing Jaya.

Difahamkan mangsa menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar untuk ke kedai membeli makanan sebelum dilanggar sebuah kereta jenis Honda Accord ketika mahu menyeberang jalan selepas keluar dari simpang Kuari Bukit Ketam.

Che Suza berkata, kereta terbabit dinaiki tiga beranak yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kuala Terengganu dan ketika tiba di lokasi kejadian, tidak sempat mengelak kerana motosikal keluar dari simpang secara tiba-tiba.

Menurutnya, mangsa bersama motosikal tercampak atas jalan, manakala kereta terbabit nyaris masuk ke laluan bertentangan dan tiga beranak berkenaan tidak cedera.

sumber- Sinar

Jari manis kanak-kanak putus

BACHOK - Seorang kanak-kanak kudung jari manis kirinya, selepas dihempap replika cendawan ketika bercuti di sebuah pantai minggu lalu.

Jari Wan Annaz Wan Azhar, 5, terputus dan remuk selepas tertusuk serpihan simen replika cendawan itu.

Tiba-tiba replika runtuh

Bapanya, Wan Azhar Wan Ahamad, 31, berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 5 petang pada 29 Oktober lalu, ketika dia sekeluarga sedang berkelah di bawah replika cendawan.

jari terputus
Serpihan jari yang tidak dapat dicantumkan.
“Ketika itu kami sedang berkelah dan anak berdiri di belakang saya. Tiba-tiba replika cendawan yang berdekatan anak, runtuh menimpanya.

“Saya panik dan mengalihkan semua runtuhan yang menutupi seluruh badannya. Kemudian saya segera membawanya ke Klinik Kesihatan Bachok.

jari putus
Keadaan tangan Wan Annaz sejurus selepas kejadian dihempap replika cendawan.
“Apabila pemeriksaan dilakukan, baru kami mengetahui jarinya putus dan saya bergegas ke tempat runtuhan untuk mencari serpihan jari tersebut, dengan harapan dapat dicantumkan semula,” katanya kepada Sinar Harian.

Jari tak dapat disambung

Dia berkata, anaknya dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk rawatan lanjut.

Malangnya, jari itu tidak dapat dicantumkan kerana keadaannya yang teruk.

Wan Annaz dirawat selama empat hari sebelum dibenarkan pulang.

“Kami tidak sangka tragedi ini berlaku ketika kami pulang bercuti sempena Aidiladha.

“Pihak berkenaan seharusnya bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku. Saya perhatikan besi replika itu terlalu kecil sebagai asas. Beberapa replika lain juga didapati sudah retak dan usang,” katanya.

Pihak perlu buat pemantauan

Menurutnya, pihak berkenaan perlu membuat pemantauan untuk memastikan segala kemudahan dan replika di kawasan rekreasi itu selamat untuk pengunjung.

Akibat kejadian itu dia yang bekerja di Sungai Buloh terpaksa menyambung cuti bagi menyelesaikan rawatan anaknya.

Dia juga merancang untuk bertemu pihak berkaitan, berbincang mengenai tragedi yang menimpa anaknya dalam masa terdekat.

sumber- Sinar

Kereta misteri tepi sungai

MALIM - Penemuan sebuah kereta di tebing tali air Sungai Malim, di sini menimbulkan tanda tanya apabila kenderaan tersebut ditinggalkan dalam keadaan kedua-dua pintu hadapan terbuka, sementara kuncinya masih tidak terusik.

Kereta jenis Proton Iswara itu juga terjungkit sedikit di bahagian belakang sehingga menimbulkan kecurigaan seorang lelaki, Wan Sulaiman Wan Zaid, 29, yang melalui kawasan tersebut, lalu menghampiri kereta berkenaan kira-kira 7 pagi, semalam.

kereta misteri
Unit Anjing Pengesan (K-9) turut digunakan bagi mengesan mangsa.
Bimbang mungkin ada sesuatu yang buruk berlaku, Wan Sulaiman cuba mencari maklumat dengan menghubungi pemilik kenderaan sebelum bertindak memaklumkan perkara tersebut kepada seorang penjaga Empangan Sungai Malim di kawasan berdekatan, lalu menghubungi polis.

“Saya bekerja di pasar borong dalam perjalanan menghala ke Malim melalui jalan pintas ini seperti biasa, sebelum melihat kereta yang terbuka kedua-dua pintu hadapan.

“Saya syak sesuatu dan mengampiri kereta berkenaan. Tetapi kunci kereta masih ada dan terdapat sebelah selipar berhampiran kereta,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di lokasi berkenaan, semalam.

Wan sulaiman berkata, dia kemudian membuka bahagian simpanan barang di belakang bagi mencari maklumat untuk menghubungi pemilik kereta itu.

“Selepas tidak menemui apa-apa, saya memaklumkan hal ini kepada seorang lelaki yang juga penjaga empangan berhampiran," katanya.

Sinar Harian difahamkan, sepasukan anggota polis kemudian tiba dan menemui sebuah buku sekolah yang tertera alamat dan nama seorang perempuan.

Berikutan penemuan buku sekolah itu, polis mendapat maklumat kenderaan berkenaan adalah milik Abd Ghani Abdullah, 52, yang tinggal di Taman Rambai Utama, dekat sini.

Sementara itu, isteri Abd Ghani, Asiah Abdullah, 48, ketika ditemui berkata, dia terkejut apabila polis datang ke rumahnya, kira-kira 9 pagi semalam.

Menurut Asiah, suaminya yang merupakan pekerja kontrak keluar rumah kira-kira 6.45 petang kelmarin untuk memancing bersama rakannya dikenali sebagai Arab.

"Suami saya sebelum ini memang tidak minat memancing. Tetapi tiba-tiba memberitahu saya dia mahu memancing bersama rakan lamanya, si Arab menggunakan pancing milik saya.

“Tapi dia tidak beritahu sungai mana dia mahu pergi cuma  membawa peralatan lain dengan memakai seluar jeans hitam dan baju ungu selepas sempat minum petang,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, bermula 7 malam kelmarin sehingga enam pagi semalam, dia cuba menghubungi suaminya, namun gagal.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Lokman Hakim Sulaiman berkata, seramai lapan anggota dari Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dikerah untuk melakukan operasi mencari yang bermula kira-kira 11.40 pagi semalam.

“Operasi ini turut membabitkan 36 anggota termasuk pasukan polis dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) ,” katanya.

Lokman berkata, selain melakukan operasi menyelamat, pihaknya juga turut menyiasat sama ada mangsa benar-benar terjatuh ke dalam tali air atau sebaliknya, ekoran keadaan kereta yang mencurigakan disyaki berkaitan jenayah.

“Bagaimanapun, operasi mencari ditunda pada jam 3.35 petang sehingga mendapat keputusan pihak polis berhubung siasatan lanjut mereka,” katanya.

sumber- Sinar

Lanyak sampai koma

pencuri dibelasah polis

KUCHING: Dua pegawai Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching, di sini, direman tiga hari bermula semalam kerana disyaki membelasah seorang tahanan sehingga koma dan terpaksa menjalani pembedahan berikutan mengalami pendarahan otak.

suspek direman
TUTUP...suspek dikawal ketat memasuki kereta selepas direman.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap anggota atau pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang melakukan kesalahan dan memberi jaminan kes itu akan disiasat secara terperinci.

koma kena belasah
PARAH...mangsa koma dibelasah.
“Polis tidak akan menyembunyikan sebarang kesalahan dilakukan anggota dan pegawai, bahkan mereka akan didakwa seperti orang awam,” katanya sambil menjelaskan kes itu disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Menurutnya, tahanan terbabit mengalami pendarahan dalam otak dipercayai ditumbuk pegawai polis berkenaan yang berang ketika proses soal siasat, Ahad lalu.

Majistret Zulhairil Sulaiman membenarkan kedua-dua pegawai berpangkat inspektor itu direman tiga hari bermula semalam untuk membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

sumber- HMetro

Komputer riba punca tak subur

LONDON: Sepasang suami isteri yang berusaha mendapatkan anak terkejut apabila doktor berkata, kegagalan mereka berpunca daripada komputer riba.

Scott Reed dimaklumkan bahawa dengan meletakkan komputer pada ribanya menyebabkan haba merosakkan spermanya. 
Kesannya, juruelektrik berusia 30 tahun dan isteri, Laura, juga 30, sukar untuk memperoleh anak. 

Berikutan itu, Scott menggunakan komputer ribanya di meja dan tiga bulan kemudian, isterinya hamil anak perempuan mereka, Taryn.

laptop punca tidak subur

Laura berkata: Saya tidak pernah dengar perkara ini berlaku sebelum ini.

Apabila diberitahu mengenainya oleh doktor, ia satu kejutan besar. 

“Scott biasanya menggunakan komputer ribanya sebelah petang selama beberapa jam dan menutupnya ketika kami menonton televisyen. 

“Dia akan gunakannya untuk tugasnya dan perkara lain seperti Facebook. 

“Kami langsung tidak terfikir ia akan menjejaskan spermanya.” 

Pasangan dari Clanfield, Hampshire itu mengunjungi doktor mereka selepas Laura gagal hamil walaupun selepas berusaha selama enam bulan. 

Pada mulanya, doktor menyangka kesuburan Reed dikatakan terjejas akibat beguk yang dialaminya ketika berusia 21 tahun. 

Bagaimanapun, pemeriksaan mendapati dia menghasilkan jumlah sperma yang sihat tetapi rosak akibat terkena haba. 

Menerusi mikroskop, ia dapat melihat ekor sperma bergulung pada kepalanya, bermakna ia tidak boleh berenang cepat ke arah telur. 

Masalah itu adalah perkara biasa dihadapi tukang masak yang bekerja dalam persekitaran yang panas. 

“Selepas bertanya sama ada saya tukang masak, soalan berikutnya ialah ‘adakah anda menggunakan komputer riba? “Saya menggunakannya setiap hari dan tidak pernah terbayang kesannya,” kata Scott. 

sumber- DM

Kalendar porno untuk promosi keranda dikecam

WARSAW: Sebuah syarikat membuat keranda di sini mencetuskan kemarahan pihak gereja apabila cuba meningkatkan perniagaan dengan kalendar yang mempamerkan wanita separuh bogel di sebelah keranda buatannya.

Satu imej daripada kalendar edisi 2013 menunjukkan model yang hanya berseluar dalam kecil bersandar pada keranda dengan seekor ular melilit lehernya. Satu lagi gambar menunjukkan seorang wanita memakai korset menarik jantung lelaki yang terbaring di dalam keranda.

kalender 2013 lucah

“Anak saya mendapat ilham untuk menerbitkan kalendar syarikat yang menunjukkan sesuatu yang kurang serious, berwarna-warni, mempamerkan kejelitaan gadis Poland dan kecantikan keranda kami. “Kami ingin menunjukkan bahawa keranda bukanlah simbol keagamaan. Mengapa orang ramai perlu takut dengan keranda dan bukan perniagaan pakaian, kosmetik atau barang kemas?” kata pemilik syarikat, Zbigniew Lindner.

Selain menjadi publisiti syarikat, kalendar itu juga ialah untuk dijadikan sumber pendapatan.

Sesiapa yang memesannya akan menerima hadiah pemegang kunci berbentuk keranda.

Gereja Katolik mengecam syarikat berkenaan dengan menyifatkan kalendar itu sebagai tidak sesuai.

Seorang jurucakap gereja berkata, kematian manusia perlu dipenuhi kemuraman, bukan dicampur dengan seks.

Gereja Katolik dan ajaran agama itu menjadi ikutan rakyat Poland sejak sekian lama. Bagaimanapun, perubahan dalam kehidupan masyarakat mencabar kepercayaan terhadap agama itu. 

sumber- AFP

Ular sawa dilayan bagai Anak Kandung

KUCHING - Siapa sangka ular sawa yang sinonim dengan kelicikan dan ganasnya boleh menjadi begitu manja dan bebas bermain di dalam rumah seorang kontraktor, Phang Joon Siong sejak 22 tahun lalu.

Pasti ramai yang kehairanan apabila melihat Joon Siong yang berusia 52 tahun sibuk melayan seekor ular sawa jantan sepanjang tujuh meter dengan berat mencecah 80 kilogram.

bela ular sawa
PHANG CHIA TAK, anak kepada Joon Siong, bermain dengan ular di rumahnya di Stutong Baru, Kuching semalam.
Paling pelik, rasa sayangnya terhadap reptilia itu memang tiada batas apabila dia menganggap ular sawa yang dinamakan sebagai Sako atau bermaksud 'abang kandung' itu sebagai anak kandung sendiri.

Joon Siong ketika ditemui Kosmo! berkata, pada awalnya, dia enggan menerima Sako daripada seorang rakannya pada tahun 1990 kerana geli menyentuh ular itu.

Namun, ekoran rasa cintanya terhadap haiwan sejak kecil membuatkan dirinya memahami haiwan itu dan melayan reptilia tersebut dengan begitu manja.

sumber- Kosmo

Maut kena sengat ikan pari

MUAR - Seorang nelayan meninggal dunia selepas koma selama dua hari apabila terkena sengat ikan pari pada tangan kanannya ketika hendak mengeluarkan haiwan tersebut yang tersangkut pada jaring Sabtu lalu.

Pesara tentera, Rashid Arshad, 55, disahkan meninggal dunia pada pukul 9.30 pagi di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini semalam.

sengat ikan pari
SENGAT ikan pari sangat berbahaya hingga boleh membawa maut jika terkena.
Mengimbau semula kejadian itu, isteri mangsa, Rashidah Ali, 48, memberitahu, kejadian berlaku pada pukul 5 pagi Sabtu lalu apabila suaminya turun ke laut dan memasang sebanyak 60 jaring untuk menangkap ikan bersama seorang rakan sejam sebelum itu.

Katanya, semasa menarik dua jaring terakhir, suaminya cuba mengeluarkan seekor ikan pari yang tersangkut namun tanpa diduga, tangan kanan suaminya telah terkena sengat.

sumber- Kosmo

Kumpulan anak muda perkenal parkour di Gaza

KHAN YUNIS, Palestin - Sukan ekstrem parkour yang menggabungkan kombinasi berlari, melompat dan gimnastik diperkenalkan sekumpulan anak muda di Genting Gaza.

Sebuah kumpulan yang dianggotai 12 lelaki berusia dalam lingkungan 20-an membuat demonstrasi sukan tersebut di Hospital Nasser, Genting Gaza baru-baru ini.

Sejumlah penonton termasuk pesakit dan doktor melihat aksi kumpulan anak muda itu.

parkour Gaza
TIGA pemuda melompat semasa menunjukkan kemahiran parkour yang dimiliki mereka di Khan Yunis, Gaza pada7 Oktober lalu.
"Dia seperti Superman," kata seorang penduduk yang melihat seorang anggota kumpulan itu, Mohammed Jakhbir berlari ke arah dinding dan membuat lompatan.

Seorang pemuda, Jihad Abu Sultan, 24, berkata, dia menyertai kumpulan itu empat tahun lalu selepas melihat klip video Mohammed di laman YouTube.

"Saya kagum dengan parkour terutamanya ketika melibatkan aksi lompatan," katanya yang mempunyai latar belakang seni mempertahankan diri kungfu.

Anggota-anggota kumpulan itu melakukan latihan di kem pelarian Palestin di sini.

Parkour diperkenalkan oleh kumpulan Yamakasi di Perancis pada 1980-an. 

sumber- Agensi

Doktor didakwa cabul budak

JOHOR BAHRU – Seorang doktor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini semalam atas dua pertuduhan melakukan kelucahan melampau terhadap seorang kanak-kanak berusia 12 tahun bulan lalu.

Bagi pertuduhan pertama, Navin Harris George, 40, didakwa melakukan kelucahan melampau ke atas mangsa pada 20 Oktober lalu di antara pukul 2.30 petang hingga 5 petang.

Poliklinik Navin
DI klinik inilah Harris George dikatakan telah mencabul seorang kanak-kanak lelaki pada 20 Oktober lalu.
Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di Poliklinik Navin, Taman Bukit Indah, Nusajaya di sini.

Dalam pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa sengaja merangsang mangsa ketika dalam perjalanan menuju ke Poliklinik Navin pada tarikh dan waktu yang sama semasa menaiki sebuah kereta jenis Perodua Kelisa.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Afif Ali mengikut Seksyen 377E Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

sumber- Kosmo

Pilihan raya AS bermula

WASHINGTON - Penduduk di Kampung Dixville Notch di negeri New Hampshire menjadi pengundi terawal dalam pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS) semalam.

Keputusan undian di kampung itu menunjukkan Presiden AS, Barack Obama daripada parti Demokrat memperoleh lima undi.

Pencabar Obama, Mitt Romney daripada parti Republikan juga memperoleh jumlah undi yang sama di kampung itu yang terletak kira-kira 30 kilometer dari sempadan Kanada.

Seramai sepuluh orang mengundi di kampung berkenaan.

pilihanraya Presiden Amerika
ROMNEY (kiri) dan isterinya mengundi di sebuah pusat pengundian di Belmont, Massachusetts semalam.
Ia merupakan keputusan seri yang diperoleh calon presiden AS dalam tempoh 50 tahun di kampung berkenaan.

Jumlah undi itu dibuka selepas pusat pengundian dibuka dan ditutup dalam tempoh 43 saat.

Pada pilihan raya kali ini, Obama bertanding bagi mengekalkan jawatannya buat kali kedua manakala Romney yang merupakan bekas gabenor Massachusetts bertanding buat kali pertama.

Pemenang pilihan raya itu perlu memperoleh 270 daripada 538 undi pemilih.

Undi pemilih itu diperoleh menerusi jumlah negeri yang dimenangi setiap calon presiden AS pada pilihan raya tersebut.

Sementara itu, di pekan Hart's Location, Daerah Carroll, New Hampshire, keputusan undian menunjukkan Obama memperoleh 23 undi manakala Romney mendapat sembilan undi.

Seorang calon presiden dari Libertarian, Gary Johnson memperoleh satu undi.

Tempoh lima minit dan 42 saat diperlukan untuk 32 orang membuat pengundian di pekan tersebut.

Keputusan pilihan raya itu dijangka diketahui dalam tempoh beberapa hari lagi.

Obama dilaporkan akan menunggu keputusan pilihan raya tersebut di rumahnya di Chicago, Illinois.

Pada pilihan raya 2008, Obama menewaskan Senator John McCain daripada parti Republikan.

Menurut laporan media, terdapat barisan panjang pengundi di serata AS.

Media tempatan menunjukkan para pengundi beratur panjang di negeri Florida dan Virginia.

Pengundi di pinggir Washington dilaporkan menunggu selama beberapa jam sebelum mereka dapat mengundi.

Situasi yang sama turut berlaku di Columbus, Ohio apabila pengundi dilaporkan menunggu lebih sejam untuk membuat pengundian. 

sumber- Agensi

Burung emu diternak di India

NEW DELHI - Terdapat lebih 1,500 ladang burung emu di India.Burung itu diternak kerana daging haiwan tersebut mempunyai kandungan lemak yang rendah dan ia boleh dijual untuk memperoleh pendapatan.

Lemak haiwan emu juga boleh digunakan untuk menghasilkan minyak untuk pembuatan alat solek dan dijadikan diet tambahan.

burung emu
SEORANG pekerja membuka pintu ladang burung emu di Kampung Vasna-Rathod, 40 kilometer dari Ahmedabad, India pada Khamis lalu.
Bulu haiwan tersebut juga boleh digunakan untuk membuat kasut dan dompet.

Haiwan yang berasal dari Australia itu tidak boleh terbang dan ia kelihatan seperti burung unta. 

sumber- Agensi

Korea Selatan beri anugerah kepada Psy

SEOUL - Korea Selatan memberi anugerah tertinggi kebudayaan kepada penyanyi rap terkenal, Psy kerana kejayaannya menerusi lagu Gangnam Style.

Kementerian Kebudayaan negara ini mengumumkan semalam bahawa penyanyi berusia 34 tahun itu akan menerima anugerah Penghargaan Kebudayaan Okgwan.

Anugerah tersebut diberikan kepada individu yang berjasa besar dalam bidang seni.

Paris Gangnam Style
PSY (tengah) menari tarian kuda di depan penonton di Dataran Trocadero, Paris kelmarin.
“Psy dipilih bukan kerana dia telah lama menjadi artis tetapi juga disebabkannya memperkenalkan Gangnam secara meluas serta meningkatkan minat dunia kepada Korea Selatan,” kata seorang pegawai di kementerian berkenaan.

Gangnam merupakan sebuah daerah yang menempatkan pusat beli-belah dan hiburan.

Populariti Psy meningkat apabila muzik video Gangnam Style mencatatkan tontonan yang kedua tertinggi di YouTube.

Muzik video yang menunjukkan dia menari tarian kuda itu kini ditonton lebih 654 juta kali sejak dimuat naik di YouTube pada Julai lalu.

Tempat pertama menjadi milik penyanyi remaja terkenal, Justin Bieber menerusi muzik video yang mencatatkan 796,445,212 tontonan.

Sementara itu, portal berita examiner.com melaporkan, kira-kira 20,000 penonton menyaksikan persembahan Psy di Paris, Perancis.

Penonton di Dataran Trocadero itu turut menyertai Psy menari tarian kuda.

sumber- Agensi

Ecuador rancang bina menara tertinggi dunia

QUITO - Ecuador merancang membina sebuah menara setinggi 1.6 kilometer sekali gus menjadi bangunan tertinggi di dunia.

Timbalan Gabenor Quito, Marcela Costales berkata, selain menarik ramai pelancong, menara itu akan menjadi simbol penghormatan kepada budaya penduduk pribumi, Quitu-Cara.

Menara tersebut dilaporkan menelan kos AS$200 juta (RM612.3 juta) untuk dibangunkan.

Burj Khalifa
BANGUNAN Burj Khalifa di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu.
Costales berkata, beberapa pelabur asing dari Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah serta Qatar telah melawat Ecuador dan berminat untuk melabur dalam pembinaan itu.

Sehingga kini, Burj Khalifa di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu diiktiraf sebagai bangunan tertinggi dunia dengan ketinggian 828 meter.

Sementara itu, pendokong utama pembinaan menara yang termasuk dalam Quito ialah gabenor wilayah Pichincha, Gustavo Baroja.

Katanya, pembinaan bangunan paling tinggi itu akan dinamakan sebagai Menara Matahari.

"Kami mahu ia menjadi satu ikon global yang mencerminkan siapa diri kami," kata Baroja. 

sumber- AFP