Perkuburan haiwan peliharaan ini terletak di Hyde Park, Central London. Ketika era Victory, orang-orang kaya di London akan mengebumikan haiwan peliharaan mereka di sini. Kubur ini telah wujud sekitar tahun 1880-an dan pada tahun 1915, tiada lagi ruang untuk haiwan dikebumikan. Keseluruhan kawasan ini berpagar dan tidak dibuka kepada pelawat.
Pages - Menu
▼
Wednesday, December 19, 2012
Roda Ferris menggunakan tenaga manusia
Roda Ferris sering menjadi tarikan apabila berkunjung ke funfair, karnival mahupun taman tema. Kebiasaannya peralatan mekanikal ini dijanakan dengan tenaga elektrik dan kos penyelenggaraannya juga agak tinggi.
Berbeza ceritanya di India. Roda Ferris di sana menggunakan tenaga manusia sepenuhnya. Konsepnya sama seperti hamster peliharaan yang dibiarkan berlari dalam roda pusingan. Apa yang menguntungkan ialah, pengusaha permainan ini tidak perlu risau jika terputusnya bekalan elektrik. Tambahan pula tenaga pekerja di sana adalah jauh lebih murah.
Tetapi apa yang merisaukan ialah tahap keselamatan para pekerja di mana mereka berisiko untuk terjatuh atau tersepit diantara besi penyambung. Mujurlah Roda Ferris yang dibina ini tidak terlalu tinggi dan kebiasaannya adalah kira-kira setinggi bangunan 2 tingkat.
Peralatan pembinaannya pula bukanlah 100% besi. Ada sesetengah Roda Ferris yang dibangunkan dengan sebahagian tiangnya disambungkan menggunakan kayu. Tidak pasti sama ada kayu tersebut kukuh ataupun tidak. Boleh dikatakan ianya turut membahayakan penumpang.
Mayat wanita terdampar tepi pantai
KLEBANG - Mayat seorang wanita tanpa sebarang identiti ditemui terdampar di tepi pantai berhampiran kawasan Dataran 1Malaysia, Klebang, di sini oleh seorang pengawal keselamatan ketika sedang melakukan tugas rondaan, pagi semalam.
Mayat wanita tanpa identiti yang ditemui terdampar di tepi pantai. |
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan dan Operasi) Melaka, Superintendan R Gunarajan berkata, mayat berkenaan ditemui pengawal keselamatan terbabit kira-kira 10.30 pagi dalam keadaan lengkap berpakaian.
Beliau berkata, setakat ini polis masih menyiasat mengenai kejadian itu dan identiti mangsa sama ada mangsa seorang warga negara asing atau sebaliknya.
“Setakat ini kita belum dapat mengesahkan punca kematian dan mayat akan dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat.
“Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan kita percaya mayat ini hanyut dan terdampar di tepi pantai.
“Setakat ini belum dapat pastikan bangsa mayat terbabit dan ketika ditemui, mangsa memakai seluar jeans dan berbaju lengan panjang. Tingginya lebih kurang 5 kaki 2 inci,” katanya.
Gunarajan turut meminta orang ramai yang kehilangan ahli keluarga supaya menghubungi polis.
sumber- Sinar
Lelaki india maut kepala ditembak
PUCHONG – Belum sempat menghabiskan teh tarik yang dipesannya, seorang tukang tarik kenderaan cedera ditembak dengan jarak dekat di bahagian belakang kepala di sebuah restoran di Persiaran Puchong Permai 2, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, mangsa dikenali sebagai M Subramaniam, 29, dikatakan duduk minum dengan bapa saudara dan abang iparnya di sebuah meja dalam restoran berkenaan.
Keadaan mangsa selepas ditembak seorang lelaki di dalam sebuah restoran di Puchong Permai, semalam. |
Tidak sampai beberapa minit selepas mangsa duduk di kedai yang sering dikunjunginya itu, seorang lelaki kemudian dikatakan terus meluru ke arahnya mengacu pistol dan terus melepaskan satu das tembakan.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, tembakan mengenai belakang bahagian kepala mangsa menyebabkannya terus terjatuh ke permukaan lantai.
Melihat keadaan mencemaskan itu, beliau berkata, orang ramai yang kebetulan berada di dalam restoran menghubungi ambulans dan polis untuk memaklumkan kejadian.
“Selepas menembak mangsa, suspek berbadan gempal yang memakai topi keledar berpenutup penuh itu terus melarikan diri dengan sebuah motosikal dipercayai ditungggangi rakannya.
“Siasatan di tempat kejadian tidak menjumpai kelongsong peluru, anak peluru dan senjata yang digunakan suspek. Semakan juga mendapati tiada kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di restoran berkenaan,” katanya.
Menurutnya, mangsa masih tidak sedarkan diri dan masih dirawat di Wad Kritikal Jabatan Kecemasan Hospital Serdang.
Beliau berkata, semakan dibuat mendapati mangsa tidak mempunyai rekod jenayah.
"Polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian berlaku serta mengesan suspek yang terlibat.
“Siasatan lanjut masih diteruskan dibawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat digesa menghubungi pegawai penyiasat kes di talian 03-56332222," katanya.
Sementara itu, saksi kejadian yang berniaga kurang 100 meter dari lokasi itu berkata, dia dikejutkan dengan bunyi letupan seperti mercun di dalam restoran terbabit.
Katanya, apabila menoleh ke arah restoran, dia mendapati seorang lelaki yang sebelum itu duduk di atas kerusi tumbang ke lantai dengan keadaan kepala berlumuran darah.
“Individu yang menembaknya kemudian berjalan dengan selamba ke arah sebuah motosikal dan terus melarikan diri,” katanya.
sumber- Sinar
Telefon kawal tandas
TOKYO - Pernahkah anda berdepan masalah terlupa untuk mengepam tandas selepas selesai menunaikan hajat atau terlupa menutup penutup tandas anda?
Kini anda tidak perlu khuatir lagi dengan masalah tersebut kerana sebuah syarikat teknologi Jepun mencipta tandas yang boleh dipam menggunakan telefon pintar.
Sebelum ini, syarikat Jepun hanya tampil dengan ciptaan tandas yang mempunyai fungsi tempat duduk yang boleh dipanaskan, alat pemain muzik, sistem pembasuh dan pengering automatik.
Namun, firma teknologi Lixil menghasilkan tandas berteknologi lebih tinggi, dikenali sebagai Satis G, dengan tandas tersebut boleh dikawal melalui aplikasi telefon pintar My Satis yang juga boleh mengesan tahap kesihatan pengguna.
Satis G yang akan dipasarkan pada musim panas tahun depan, menggunakan rangkaian Bluetooth untuk dihubungkan pada aplikasi telefon pintar.
Aplikasi My Satis yang boleh didapati untuk pengguna Android dan iPhone, mampu mengawal kesemua fungsi tandas, malah boleh memainkan muzik melalui pembesar suara yang dibina pada tandas berkenaan.
Antara fungsi yang boleh dikawal termasuk mengepam, membuka dan membuka penutup tandas serta mengawal penyembur pewangi tandas.
Sistem aplikasi tersebut juga boleh merekod penggunaan air dan elektrik serta mempunyai fungsi kesihatan yang dilengkapi diari yang mencatatkan kekerapan pengguna menggunakan tandas.
sumber- AGENSI
Warga Jepun diiktiraf individu tertua di dunia
TOKYO: Rekod Dunia Guinness mengiktiraf lelaki berusia 115 tahun dari wilayah Kyoto, barat Jepun sebagai orang paling tua di dunia, lapor media tempatan, Nippon Hoso Kyokai semalam.
Pengiktirafan terhadap Jiroemon Kimura dibuat selepas kematian orang paling tua di dunia, Dina Manfredini, 115, dari Amerika Syarikat, meninggal dunia di Iowa pagi kelmarin, kurang dua minggu selepas dinobatkan dengan gelaran itu.
Datuk Bandar Kyoto, Yasushi Nakayama ketika mengesahkan status Kimura menggelarnya ‘kebanggaan bandar kami’.
Kimura, bekas kakitangan pos mempunyai 14 cucu, 25 piut dan kini menetap bersama keluarga anaknya.
sumber- AFP
Wanita maut selepas terima paru-paru perokok
LONDON: Seorang wanita berusia 27 tahun yang mengidap kelainan kelenjar sekresi fibriosis sistik meninggal dunia setelah mendapat paru-paru daripada seorang penderma perokok tegar.
Jennifer Wederell dari Hawkwell, Essex, meninggal di kediamannya Ogos lalu, 16 hari selepas menjalani transplan di Hospital Harefield, London.
Hospital berkenaan meminta maaf kerana tidak memberi pilihan kepada Jennifer untuk menolak transplan itu.
Jennifer didiagnosis menghidap fibriosis sistis sejak berusia dua tahun dan setelah mencapai usia 20-an, dia perlu bernafas dengan bantuan oksigen 24 jam sehari.
Jennifer telah mendaftar sebagai penerima transplan paru-paru sejak 18 bulan lalu dan pada April tahun lalu, dia diberitahu bahawa ada penderma yang sesuai. Grannel berkata, keluarganya sentiasa menunggu hari itu sejak bertahun lamanya dan menjangka transplan yang dijalani Jennifer akan berjalan lancar.
Jennifer berkahwin dengan lelaki idamannya, David Wederell pada September tahun lalu tetapi Februari lalu, kanser dikesan di paru-parunya. Grannel mendakwa anaknya mati akibat kelalaian pihak hospital.
“Pihak hospital tidak pernah menyatakan bahawa paru-paru yang digunakan dalam transplan itu adalah milik seorang perokok tegar,” katanya.
sumber- Agensi
Makan mayat rakan untuk hidup
MOSCOW: Dua rakyat Russia yang diselamatkan bulan lalu selepas empat bulan hilang di hutan di timur jauh di negara itu memakan mayat rakan mereka untuk terus hidup, lapor akhbar Isnin lalu.
“Ketika disoal siasat, seorang daripada saksi memberi keterangan kanibalisme memang berlaku,” kata sumber penyiasatan itu kepada akhbar harian Komsomolskaya Pranda. “Ia bukan pembunuhan.
“Mereka memakan mangsa selepas dia mati akibat tidak dapat bertahan dengan keadaan dilaluinya,” katanya. Laman web berita Yakutia, NVPress.ru turut memetik kenyataan penyiasat tempatan yang berkata, nelayan bernama Alexander Abdullayev mengakui dia dan seorang lagi rakan yang terselamat, Alexei Gorulenko memakan mayat Andrei Kurochkin. “Menurut Abdullayev, Kurochkin mati akibat kesejukan. Dia dan Gorulenko memakan mayat Kurochkin selama beberapa linggu, lapor NVPress.ru.
sumber- Agensi
sumber- Agensi
Ikan air tawar boleh Berjalan ditemui di Vietnam
HANOI - Beberapa saintis mengenal pasti sebanyak 129 spesies baharu di kawasan Mekong Besar termasuk ikan air tawar seperti keli yang boleh 'berjalan' di darat, kata Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) semalam.
Maklumat tersebut terdapat di dalam laporan baharu WWF yang memperincikan penemuan pada 2011 itu.
IKAN kecil yang berukuran antara 15 milimeter (mm) hingga 20mm ditemui di Surat Thani, selatan Thailand baru-baru ini. |
Ikan air tawar itu hidup di beberapa batang sungai di Pulau Phu Quoc, dekat Delta Mekong, dalam wilayah Kien Giang di Vietnam.
Dikenali dengan nama saintifik, Clarias gracilentus, spesies itu mempunyai kebolehan menggunakan sirip-siripnya untuk berdiri tegak dengan haiwan tersebut menggoyang-goyangkan badannya untuk bergerak ke hadapan seperti seekor ular.
Antara spesies baharu yang unik di kawasan berkenaan termasuk ikan terkecil baharu yang berukuran antara 15 milimeter (mm) hingga 20mm panjang dan katak yang boleh 'menyanyi' di utara Vietnam.
Ikan kecil itu ditemui di Surat Thani, selatan Thailand.
sumber- Agensi
Penduduk kampung pindahkan kubur dari atas bukit
TAIYUAN - Beberapa penduduk kampung bertindak memindahkan sebuah kubur yang terletak di atas sebuah bukit setinggi 10 meter di sebuah kawasan pembinaan sebuah bangunan kediaman di sini semalam.
Kubur tersebut terletak di atas bukit berkenaan tujuh bulan selepas kerja-kerja pembinaan bangunan berkenaan bermula.
SEKUMPULAN orang termasuk penduduk kampung menyaksikan sebuah kubur di atas bukit di kawasan pembinaan sebuah bangunan di Taiyuan semalam. |
Keluarga si mati dengan bantuan beberapa penduduk kampung memindahkan kubur berkenaan di sebuah lokasi yang tidak didedahkan.
Sebelum ini pihak media membuat spekulasi keluarga si mati bakal memperoleh pampasan sebanyak AS$160,400 (RM489,485).
Terdapat juga laporan media yang menyatakan, keluarga si mati menunggu tarikh yang dianggap bertuah untuk memindahkan kubur berkenaan.
sumber- Agensi
Saintis selesai kes kematian firaun
PARIS - Seorang pembunuh upahan mengelar leher seorang firaun agung terakhir Mesir ketika kemuncak konflik perebutan takhta, kata beberapa saintis kelmarin dalam satu laporan berhubung pembunuhan berusia 3,000 tahun itu.
Mereka berkata, teknologi forensik mendapati Firaun Ramses III menemui ajal di tangan seorang atau beberapa orang pembunuh yang dihantar oleh isteri dan anak lelakinya.
IMEJ yang tidak bertarikh menunjukkan beberapa saintis Institut Akademi Bozen/Bolzano Eropah membuat penyelidikan mumia Ramses III di sebuah makmal di Kaherah, Mesir. Artikel |
Menurut mereka, anak lelaki Ramses III dipaksa membunuh diri selepas komplot itu berakhir.
Imej tomografi berkomputer (CT) mumia Ramses III menunjukkan salur udara dan beberapa arteri utama firaun berkenaan telah dikelar dengan menyebabkan luka selebar 70 milimeter dan hampir mengenai tulang belakangnya.
Luka tersebut menyebabkan kecederaan pada tisu leher depan firaun itu.
"Saya hampir tiada kesangsian langsung bahawa Ramses III mati kerana lehernya dikelar," kata seorang ahli palaeopatologi Institut Akademi Bozen/Bolzano (EURAC) yang mengkaji mumia dan lelaki ais, Albert Zink.
"Luka itu sangat dalam dan agak besar, kecederaan tersebut hampir mengenai tulang belakang. Ia luka yang boleh mengundang maut," tambahnya.
Ramses III yang memerintah dari sekitar 1188 hingga 1155 Sebelum Masihi (SM) disebut dalam beberapa surat kuno sebagai Dewa Besar dan seorang ketua tentera yang melindungi Mesir daripada diceroboh pihak asing.
Baginda mati ketika berusia sekitar 65 tahun tetapi punca kematiannya sebelum ini masih kabur.
Beberapa bahan bukti insiden tersebut terletak dalam surat kuno dikenali sebagai Papirus Kehakiman Turin.
Dokumen itu merekodkan empat perbicaraan berhubung dalang-dalang di sebalik komplot pembunuhan Ramses III yang antara lain melibatkan isteri mudanya, Tiy dan anak lelaki mereka, Putera Pentawere.
Setelah setahun mengkaji mumia Ramses III, Zink dan beberapa pakar dari Mesir, Itali dan Jerman mendapati luka di leher firaun berkenaan selama ini tersembunyi di sebalik kain balutan mumia.
sumber- AFP