WASHINGTON: Satu operasi polis antarabangsa membanteras aktiviti pornografi kanak-kanak membawa kepada penahanan 245 orang dan berjaya menyelamatkan 123 kanak-kanak kebanyakannya di Amerika Syarikat (AS), kata agensi keselamatan negara itu semalam.
Pengarah Penguatkuasaan Imigresen Dan Kastam AS, John Morton, berkata 23 suspek ditahan di enam negara berasingan.
“Bagaimanapun, saya tidak boleh mendedahkan identiti negara terbabit atas alasan operasi yang sangat sensitif,” katanya. Menurut Morton, 13 daripada kanak-kanak yang diselamatkan itu ditemui di luar AS sepanjang Operasi Bunga Matahari selama lima minggu bermula 1 November tahun lalu.
Katanya, operasi berkenaan dijalankan bagi mengenal pasti individu yang memiliki, memperdagangkan atau menghasilkan bahan lucah membabitkan kanak-kanak. “Antara kanak-kanak yang diselamatkan, 45 orang berusia bawah 12 tahun, termasuk tiga daripadanya belum mencapai usia tiga tahun,” katanya.
Kata Morton, 70 daripada mangsa adalah perempuan dan 43 lelaki.
Daripada jumlah itu, katanya, 23 orang dianggap mencapai usia dewasa.
Operasi itu dinamakan Bunga Matahari sebagai mengenang ulang tahun pertama siasatan polis Denmark terhadap seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang merancang untuk merogol budak berusia 11 tahun.
Siasatan itu bermula setahun lalu selepas polis mengesan rancangan remaja terbabit di Internet. Suspek berjaya ditahan hasil penelitian sekeping gambar dimuat naik menunjukkan papan tanda sebuah lebuh raya yang memaparkan sekuntum bunga matahari. Penemuan itu membolehkan polis mengesan alamat suspek dan menyelamatkan budak perempuan berkenaan.
sumber- AFP
No comments:
Post a Comment