Mumbai: Seorang wanita lasak yang dilanggar sebuah trak ketika dia menunggang skuter mengejutkan orang ramai apabila dia bangun semula dan mengejar pemandu trak berkenaan.
Rakaman video pengawasan menunjukkan wanita itu dilanggar pemandu terbabit yang tidak menyedari wanita itu ada di depan trak berkenaan di satu simpang yang sibuk. Video itu merakam wanita berkenaan membelok ke lorong bersebelahan di depan sebuah kenderaan yang besar di Nagpur, sebuah bandar di negeri Maharashtra, kira-kira 525 batu dari Mumbai.
Pemandu trak tidak memperlahankan kenderaannya apabila wanita itu dan skuternya terperangkap di bawah tayar hadapan kiri trak. Pemandu itu terus memandu menyeret wanita berkenaan dan skuternya sambil melintasi jalan yang sibuk. Mangsa yang hanya berpakaian sari dan topi keledar bernasib baik kerana skuternya melindunginya daripada digilis trak itu. Apa yang cukup mengejutkan ialah wanita itu bangun dan terus mengejar trak terbabit yang masih menyeret skuter miliknya.
Video menunjukkan seorang lelaki mengekori wanita itu, mungkin cuba untuk membantu atau memaki hamun pemandu trak berkenaan. Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia, India mencatat lebih 130,000 kematian akibat kemalangan jalan raya setiap tahun.
Menurut rekod, 14 kematian akibat kemalangan jalan raya berlaku setiap jam di negara itu, kadar paling tinggi di dunia. Kebanyakan kemalangan jalan raya di India membabitkan pemanduan secara laju, memandu dalam keadaan mabuk dan pemakaian topi keledar secara tidak betul, tidak memakai tali pinggang keledar dan tidak memasang kerusi bayi dalam kenderaan. Trak dan kenderaan dua roda menyumbang kepada lebih 40 peratus kematian.
sumber- Agensi
No comments:
Post a Comment