Lancashire: Seorang wira perang yang hilang kedua-dua kaki dan tangan kanannya akibat satu letupan bom di Afghanistan meraikan kejayaan selepas lulus ujian memandu dalam cubaan kali pertama.
Dave Watson, 26, berdepan dengan kematian apabila terpijak jerangkap samar ketika meronda.
Bagaimanapun, minggu ini, bekas askar itu menanggalkan plat ‘L’ nya setelah lulus ujian itu dengan melakukan hanya tiga kesalahan kecil.
Watson dari Walton-le-Dale, Lancashire, menjalani 38 latihan praktikal dalam masa tiga bulan dengan kereta Range Rover Sport diubahsuai dan kini memiliki lesen memandu penuh.
“Saya boleh ke mana-mana saya ingini dan saya boleh lebih berdikari,” katanya.
Kereta yang diubahsuai itu mempunyai kotak istimewa pada tempat duduk pemandu, tempat Watson meletakkan tangan kanannya.
Dia menolak untuk membrek dan menarik ke belakang untuk menggerakkan keretanya. Terdapat juga hendal kecil pada roda kemudi yang turut mempunyai butang penunjuk, pengelap cermin depan dan lampu.
Watson yang ketika ini menanti untuk menjalani satu lagi pembedahan, perlu mempunyai orang di sebelahnya ketika memandu. Tetapi, selepas pembedahan terakhir itu, dia boleh memandu bersendirian.
Menurutnya, dia mengambil masa yang singkat untuk mahir memandu dalam keadaan cacat.
“Saya adalah antara mereka. Saya tidak bagus dengan duduk di situ dan membaca tetapi saya boleh melakukan secara praktikal. “Saya terus keluar sebaik kembali daripada menjalani ujian dan menyelesaikan hal berkait dengan Insurans. Saya memandu ke rumah nenek saya, membawa adik saya, rakannya dan kemudian ke rumah seorang rakan untuk menziarahnya sebelum dia berlepas ke Australia,” katanya.
sumber- Daily Mail