IPOH – Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun didakwa dilibas dengan rotan di kepala oleh gurunya menyebabkan kanak-kanak itu trauma dan enggan ke sekolah tadika berhampiran rumahnya di Taman Canning di sini.
Dalam kejadian pada 18 Jun lalu, bapa kanak-kanak, Khoo Kian Heng, 35 terkejut apabila mangsa, Eswin Khoo Mun Jun mengadu sakit di bahagian kepala selepas pulang dari sekolah.
Menurutnya, dia tidak menyangka guru wanita berkenaan tergamak memukul anaknya di bahagian kepala hanya kerana tidak memberi tumpuan dalam kelas.
“Kejadian itu disahkan benar oleh guru berkenaan di hadapan guru besar pada keesokan harinya. Dia mengaku menggunakan rotan untuk memukul kepalanya.
“Saya mengaku anak saya sedikit nakal namun, guru berkenaan tidak patut memukul anak saya di kepala kerana ia mungkin menyebabkan kecederaan lebih serius termasuk menjejaskan saraf otak serta menyebabkan dia bersikap negatif terhadap sekolah.
“Saya tidak kisah anak saya dipukul termasuk di rotan di tangan sekiranya dia nakal tapi bukanlah di kepala,” katanya ketika ditemui selepas membuat aduan di Pusat Khidmat Adun Bercham di sini, semalam.
Kian Heng berkata, guru besar sudah dimaklumkan mengenai kejadian itu namun masih tiada tindakan diambil terhadap guru berkenaan menyebabkan dia membuat satu laporan polis di Balai Polis Kampung Simee di sini, Jumaat lalu.
“Pihak sekolah masih mendiamkan diri sehingga lebih dua minggu dan baru-baru ini pihak sekolah memberitahu bahawa saya tidak mempunyai bukti untuk mengambil tindakan.
“Sebelum itu, surat aduan telah dihantar kepada Jabatan Pelajaran Negeri dan berharap pihak jabatan dapat mengambil tindakan sewajarnya terhadap guru yang disifatkan sebagai melampau terhadap kanak-kanak kecil,” katanya.
Katanya, guru berkenaan masih mengenakan denda terhadap anaknya dengan tidak membenarkan anaknya ke tandas sehingga waktu pelajarannya tamat, kelmarin.
Sementara itu, pihak pengurusan sekolah mengesahkan kejadian itu namun, tidak dapat memberi kenyataan penuh kerana menyerahkan kepada pihak pengurusan tertinggi membuat keputusan.
Katanya, pihak sekolah telah mengarahkan semua guru supaya tidak menggunakan pendekatan kekerasan kepada murid selain memberi amaran sekiranya membuat sebarang kesalahan.
sumber- Sinar
sumber- Sinar
0 comments:
Post a Comment