Pages - Menu

Tuesday, July 31, 2012

Periuk termahal di dunia! Penghantaran menggunakan kereta mewah Rolls-Royce

periuk termahal di dunia

Changchun: Adakah anda pernah membayangkan untuk membeli periuk dengan harga 3.8 juta yuan (597 306.80 U.S. dollar)? Syarikat pembuatan peralatan memasak dari Jerman, Fissler telah berjaya menghasilkan periuk termahal di dunia. Periuk tersebut dibuat dari bahan-bahan berkualiti yang turut dilapisi emas seberat 738 gram dan 13 butir berlian. Periuk tersebut dijual dengan harga 3,8 juta Yuan.

Pembelinya bukan sahaja akan mendapatkan periuk istimewa tersebut malah diberi peluang untuk makan malam bersama 10 kenalan di restoran Michelin, yang merupakan restoran paling terkenal di Eropah. Periuk ini juga akan dihantar dengan menggunakan kereta mewah Rolls-Royce ke rumah pembelinya.

“Setiap pembeli periuk ini akan mendapatkan layanan istimewa dari kami,” kata Jurucakap Fissler di China.

Periuk tersebut kini dipamerkan di Department Store Zhuo Zhan, daerah Jilin, China, sehingga ada pembeli yang mahu membawanya pulang.

Penceroboh E-mel Pelakon Wendy Wong Minta Wang RM11,000

Wendy Wong
Wendy Wong
PETALING JAYA: Pelakon dan penerbit drama Wendy Wong terkejut apabila ada pihak menceroboh e-melnya bagi memperdayakan orang ramai untuk menuntut wang berjumlah Euro$2,850 (RM11,000).

Wendy atau nama Islamnya Wani Wendy Wong Abdullah pada Selasa berkata, dia menerima panggilan telefon daripada ramai kenalan yang mahu menolong selepas mereka menerima e-mel kononnya dia mengalami masalah di Sepanyol.

“Pagi ini (Selasa) saya dihujani berpuluh-puluh panggilan telefon daripada kenalan saya selepas mereka menerima e-mel kononnya saya memerlukan bantuan apabila dompet dan kad kredit saya tercicir di Sepanyol.

“Sebenarnya, itu adalah helah individu yang berjaya menceroboh akaun e-mel saya untuk memperdayakan orang ramai. Saya berada di Malaysia dan tidak ke luar negara seperti yang dicatat dalam e-mel berkenaan,” katanya kepada mStar Online di sini, Selasa.

mStar Online yang turut menerima e-mel itu yang menggunakan alamat wendywong2200@yahoo.com mendapati, penggodam akaun tersebut telah mengirim pesanan dengan mengatakan Wendy memerlukan wang bagi membayar bil hotel serta tambang untuk pulang ke tanah air.

Inilah mesej palsu yang dikirimkan individu tidak bertanggungjawab selepas berjaya menceroboh akaun e-mel Wendy Wong.
Inilah mesej palsu yang dikirimkan individu tidak bertanggungjawab selepas berjaya menceroboh akaun e-mel Wendy Wong.
Wendy dikatakan menghadapi masalah ketika mengikuti satu program di Sepanyol apabila dompet yang mengandungi wang dan kad kreditnya telah tercicir menyebabkan pasportnya ditahan oleh pihak hotel kerana gagal membuat pembayaran.

Malah mesej dalam e-mel palsu itu turut menyatakan pihak kedutaan Malaysia di Sepanyol tidak dapat mengendalikan kes berkenaan dengan efisien sehinggalah dia memerlukan bantuan rakan-rakan bagi meminjamkannya wang.

Bercerita mengenai hal berkenaan Wendy berkata, kira-kira dua minggu lalu dia telah menghantar komputer ribanya ke sebuah pusat servis di Mid Valley dekat sini.

Katanya, pemilik kedai berkenaan memberitahu komputer tersebut harus diformatkan semula yang antara lain akan menyebabkan data yang disimpan musnah.

“Saya bersetuju untuk format semula dan tinggalkan komputer saya itu selama dua minggu. Apabila saya mahu menuntutnya, saya membawa data yang saya simpan menerusi “external hard disc” untuk dimasukkan dalam komputer itu,” katanya.

Menurut Wendy, sebaik pulang ke rumah dan mahu menggunakan komputer berkenaan, dia mendapati akaun e-mel Yahoo miliknya tidak dapat digunakan apabila kata laluan sudah bertukar.

Berikutan itu Wendy akan membuat laporan polis dan berhasrat mengambil tindakan terhadap individu yang bertanggungjawab menggunakan namanya bagi memperdayakan orang lain.

Pelakon ini juga meminta orang ramai dan mana-mana pihak yang mendapat e-mel berkenaan agar tidak terpedaya kerana ia merupakan taktik pihak tertentu yang mahu mengambil kesempatan atas kedudukannya sebagai seorang artis.

“Saya malu jika orang percaya saya mahu meminta wang. Saya harap semua pihak tidak terpedaya selepas penjelasan saya ini,” ujarnya.

sumber- MStar

Tipu sakit untuk kahwin percuma

DANIELLE dan Chris pada hari perkahwinan mereka.
DANIELLE dan Chris pada hari perkahwinan mereka.
LONDON: Seorang pengantin perempuan ditangkap berhubung dakwaan dia menipu menghidap barah untuk meraih simpati orang ramai bagi membiayai majlis perkahwinannya yang menelan belanja 10,000 (RM50,000).

Danielle Howard, 22, mendapat sokongan chef selebriti, Gordon Ramsay ketika melancarkan kempen memungut derma secara online dengan mendakwa dia bertarung untuk terus hidup.

Kata rakannya, dia langsung tidak mengeluarkan wang ketika berkahwin dengan Chris, 28, apabila derma datang mencurah-curah.

Danielle ditangkap kerana disyaki menipu selepas perasaan syak semakin meningkat di kalangan penderma apabila wanita itu hamil ketika menjalani rawatan barah servikal.

Rakan-rakannya menganjurkan acara kutipan derma untuk Danielle dan menghubungi pengacara televisyen, Holly Willoughby dan Fearne untuk mendapatkan bantuan mereka.

Ramsay memberi sokongannya menerusi Twitter.
Jurugambar, Steve Hobart yang turut membantu menganjurkan beberapa acara berkata: “Kami bertungkus lumus untuk membantunya.”

Satu sumber pula berkata: “Sungguh tidak boleh dipercayai. Orang ramai menyedari ditipu dan mula bercakap mengenainya.”

Danielle berkahwin dengan Chris pada April di Billericay, Essex.

Rakaman video yang menelan belanja tinggi dibuat dan jamuan diadakan selepas lebih 1,500 orang menyertai kempen ‘Berjuang bersama-sama Danielle’ menerusi Facebook dan Twitter.

Beberapa minggu sebelum upacara perkahwinan itu, Danielle muncul dalam akhbar tempatan, merayu bantuan.

Menurutnya, dia ingin berkahwin sebelum rambutnya gugur akibat rawatan barah.

Polis berkata, siasatan masih dijalankan.

sumber- HMetro

Jual nasi dalam bonet kereta

Jual nasi dalam bonet kereta
Anggota penguatkuasa menunjukkan bungkusan minuman yang diletakkan di bahagian bonet kereta. 

Jual nasi dalam bonet kereta
Sayur kacang yang siap dimasak antara barang yang dirampas.
ALOR SETAR- Tanpa rasa segan atau malu, peniaga makanan dan minuman sanggup melanggar syarat waktu perniagaan di bulan Ramadan semata-mata untuk memberi kemudahan kepada kaki ponteng puasa mendapatkan makanan sebelum jam 3 dan waktu berbuka.

Gerai yang berselindung di sebalik kenderaan pacuan empat roda dan ditutup menggunakan kain kanvas di Jalan Gangsa mula menjadi tumpuan kaki ponteng kira-kira dua hari lalu apabila menyediakan nasi, lauk dan minuman kepada pembeli.

Pembantu gerai ketika ditemui berkata, perniagaan yang mula dijalankan pada jam 9.30 pagi dan mula dikunjungi pengunjung sekitar jam 11 pagi itu mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung terutama kaki ponteng puasa.

Dia berkata, kebiasaannya pengunjung yang membeli bungkusan makanan di gerai itu akan berselindung di sebalik topi keledar yang dipakai.

“Nasi berlauk ayam gulai dan ikan kembung goreng dijual dengan harga sekitar RM4 manakala minuman seperti air sirap dijual dengan harga RM1.

“Kebiasaannya saya akan membeli ikan atau bahan lain lalu terus dibawa ke sini dan kami akan memasak sebanyak lima kilogram (kg) beras untuk satu hari,” katanya kepada pemberita pada Ops Ramadan yang dijalankan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) bersama-sama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) dan Pejabat Kesihatan Daerah Kota Setar.

Sinar Harian mendapati biarpun gerai yang menjual lauk seperti ayam dan ikan goreng, sayur kacang panjang dan minuman itu kotor serta dipenuhi lalat namun ia masih mendapat sambutan daripada pengunjung.

Lebih teruk apabila terdapat perangkap tikus yang diletakkan bersebelahan dengan pembakar ikan di bawah kabinet makanan.

Jual dalam kawasan semak

Operasi yang turut dijalankan di kawasan Terminal Bas Shahab Perdana juga mendapati terdapat sebuah kereta jenis Proton Saga yang sedang menunggu pelanggan membeli nasi dan minuman bungkus yang telah disediakan.

Lelaki yang berusia 55 tahun itu meletakkan bungkusan makanan minuman sejuk di dalam plastik hitam dan diletakkan di bahagian bonet sementara menunggu pelanggan.

Lelaki yang menjadikan kawasan tersembunyi berhampiran kawasan semak itu kelihatan tidak senang duduk apabila perniagaannya diserbu penguatkuasa.

Modus operandi bertukar

Sementara itu, Ketua Bahagian Penguatkuasa Bahagian MBAS, Saifullizam Othman berkata, hasil dua hari operasi itu dijalankan sejak kelmarin, sebanyak sepuluh premis telah diserbu.

Saifullizam berkata, tahun ini modus operandi peniaga yang beroperasi sebelum jam 3 petang telah bertukar kepada menjual makanan dan minuman yang siap dibungkus menggunakan kenderaan seperti kereta.

“Sepanjang Ops Ramadan ini dijalankan, kita telah menyerbu 10 lokasi perniagaan yang menjalankan perniagaan makanan dan minuman sebelum jam 3 petang termasuk empat perniagaan yang dijalankan menggunakan kereta.

“Empat lokasi yang menjalankan perniagaan di dalam bonet kereta yang berjaya kita kenal pasti adalah di Mergong, Alor Janggus dan Gunung Keriang,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Saifullizam berkata, peniaga turut memberi kemudahan kepada pelanggan mereka dengan memberikan harga pakej sekitar RM5 untuk nasi berlauk dan minuman.

Dia berkata, operasi yang membabitkan 15 anggota di bawah pasukan khas yang ditubuhkan untuk Ops Ramadan ini akan dijalankan secara berterusan sepanjang bulan Ramadan.

Menurutnya, di bawah Undang-undang Kecil Perlesenan Penjaja dan Gerai MBAS 2012, kompaun sebanyak RM300 dikenakan kepada mereka yang menjalankan perniagaan makanan sebelum jam 3 petang.

“Peniaga boleh mengambil barang mereka semula selepas jam 3 petang dengan membayar kompaun dan kos pengalihan yang bergantung kepada barang yang dirampas.

“Tindakan yang dilakukan ini bukan bertujuan menghukum peniaga malah ia untuk mengelakkan peniaga menjalankan perniagaan di luar waktu yang ditetapkan,” katanya.

sumber- Sinar

Bangkai Haiwan Ganjil Muncul Di Amerika Syarikat

real monsted died

NEW YORK – Bangkai haiwan pelik di pantai New York, Amerika Serikat (AS) menimbulkan tanda tanya. Haiwan ini digelar raksasa kerana tidak diketahui spesisnya.

Pihak berkuasa New York pada awalnya menyangka ianya adalah babi yang dihanyutkan sungai. Tetapi setelah diteliti, haiwan tersebut tidak langsung seperti babi, anjing, mahupun tikus.

Ianya langsung tidak seperti babi kerana sifat fizikalnya mempunyai lima jari.

“Kami terkejut dengan penemuan itu, dan mengambil gambar haiwan tersebut. Saya yakin ia bukanlah seekor babi. Keempat-empat kakinya mempunyai lima jari,” kata Denise Ginley, saksi yang menemui haiwan tersebut sepertimana dipetik dari akhbar Orange, Isnin (30/7/2012).

“Saya rasa ianya adalah tikus raksasa, tetapi tidak mustahil juga jika ia benar-benar raksasa,” tambahnya.

Banyak tanggapan mengenai bangkai haiwan tersebut. Ada juga penduduk yang melihat gambar tersebut membuat andaian bahawa ianya makhluk yang gagal hasil ujikaji pihak kerajaan .

Tetapi pihak berkuasa menafikan ianya hasil eksperimen. Mereka tetap mendakwa bahawa haiwan tersebut adalah babi.

Kartunis Zunar menang kes saman kerajaan

cara melukis kartun

KUALA LUMPURKartunis politik Zulkiflee SM Anwar atau dikenali sebagai Zunar, hari ini menang kes saman ke atas kerajaan dan empat yang lain berhubung tindakan pihak berkuasa merampas 66 buku dan satu lukisannya dua tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Vazeer Alam Mydin Meera membenarkan permohonan Zunar.

Pada 15 Jun tahun lalu, Zunar memfailkan saman sivil ke atas kerajaan Malaysia dan empat defenden berhubung penangkapannya dan rampasan terhadap 66 buku Cartoon-O-Phobia serta sebuah lukisan kolaj pada 2010.

Beliau menamakan pegawai yang menahannya ASP Arikrishna Apparau, pegawai penyiasat ASP Marina Hashim, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar, Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Dipetik oleh The Star hari ini, Zunar berkata, keputusan mahkamah hari ini sebahagian kemenangan bagi kesemua kartunis politik memandangkan Vazeer memutuskan bahawa tindakan menahan buku-buku berkenaan adalah sesuatu yang bercanggah dengan undang-undang, tetapi penahanan Zunar adalah sah pada waktu itu.

sumber- Sinar

Lebih 300 juta bergelap di India

SEJUMLAH penumpang menunggu ketibaan kereta api di sebuah stesen semasa bekalan elektrik terputus sehingga menjejaskan perkhidmatan itu di New Delhi semalam.
SEJUMLAH penumpang menunggu ketibaan kereta api di sebuah stesen semasa bekalan elektrik terputus sehingga menjejaskan perkhidmatan itu di New Delhi semalam.
NEW DELHI - Kegagalan rangkaian penghantaran elektrik menyebabkan lebih 300 juta orang di sini dan di sebahagian besar utara India terpaksa bergelap semalam apabila negara itu mengalami gangguan bekalan tenaga yang terburuk dalam tempoh lebih sedekad.

Bekalan elektrik di sini dan tujuh negeri lain terputus selepas tengah malam dan masih belum pulih pada awal pagi.

Gangguan itu menyebabkan beribu-ribu pekerja terkandas ekoran banyak perkhidmatan tren elektrik di sini terpaksa dibatalkan.

"Saya lewat selama 45 minit untuk ke tempat kerja. Pada mulanya bekalan elektrik terputus sejak pukul 2 pagi dan selepas itu, perkhidmatan tren tergendala selama 13 minit," kata seorang lelaki berusia 32 tahun, Keshav Shah yang berkerja di sebuah firma perisian komputer sekitar 30 kilometer dari sini.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Tenaga, Sushilkumar Shinde tanpa mengulas lanjut menyalahkan satu insiden dekat Agra sebagai punca gangguan elektrik berlaku.

Menurutnya, 60 peratus bekalan elektrik pulih menjelang lewat pagi dengan keseluruhan perkhidmatan kembali seperti biasa pada tengah hari semalam.

Gangguan bekalan elektrik sehingga lapan jam sehari kerap berlaku di sebahagian besar negara itu yang mencetuskan bantahan orang ramai ketika India kini mengalami cuaca paling panas dalam tempoh beberapa tahun. 

sumber- Reuters

Robot dikawal dengan telefon pintar

Kuratas
ANNA duduk di ruang kawalan robot itu.
TOKYO - Syarikat Suidobashi di Jepun mencipta robot setinggi empat meter yang boleh dikawal dengan menggunakan telefon iPhone, lapor akhbar MailOnlone kelmarin.

Ia juga boleh dikawal dengan sebarang telefon bimbit yang mempunyai rangkaian 3G.

Kuratas
ORANG ramai melihat robot Kuratas pada Festival Takjub di Chiba kelmarin.
Robot yang bernama Kuratas itu dijual pada harga AS$1 juta (RM3.16 juta). Bagaimanapun, pergerakan robot itu juga boleh dikawal di ruang kokpit.

Dalam demontrasi pada Festival Takjub di Chiba, kelmarin, seorang wanita yang dikenali sebagai Anna duduk di dalam kokpit itu yang mengandungi peralatan untuk mengawal pergerakan robot tersebut.

Dua jurutera, Wataru Yoshizaki dan Kogoro Kurata terlibat dalam penciptaan robot tersebut sejak 2010. 

sumber- Agensi

Daging ‘harimau menangis’ laris sepanjang bulan Ramadan

daging harimau menangis

KOTA BHARU- Daging lembu yang bercampur lemak tidak tepu atau dikenali sebagai daging ‘harimau menangis’ menjadi rebutan pada bulan puasa memandangkan bahagiannya yang terhad pada seekor lembu.

Peniaga daging, Mohd Rozi Abdullah, 46 berkata, kebanyakan pelanggan di gerainya yang terletak di Pasar Cabang Tiga Pengkalan Chepa, di sini lebih gemar mendapatkan bahagian itu untuk dimasak secara bakar.

“Di Kelantan, daging ini lebih dikenali sebagai ‘daging senonok’ dan ada pula yang memanggilnya ‘daging batang pinang’ yang biasanya dibakar berempah untuk dijadikan lauk dalam nasi kerabu.

“Daging ini bercampur lemak tidak tepu dan ada juga di kalangan pelanggan yang gemar membakar daging ini untuk dicicah dengan air asam,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Mohd Rozi berkata, permintaan daging itu dua kali ganda pada bulan puasa berbanding hari biasa.

Menurutnya, daging tersebut dijual dengan harga RM20 sekilogram dan ia terhad kerana kedudukannya hanya berada dua bahagian pada seekor lembu yang disembelih.

“Daging ini terletak di bahagian celah paha bahagian kaki belakang lembu dan biasanya bagi penggemar daging ini, mereka mendapatkannya seawal jam 8 pagi,” katanya.

Dia yang sebelum ini meniaga ayam di pasar itu (pada hari biasa) mengambil inisiatif meniaga daging lembu ‘harimau menangis’ bagi memenuhi permintaan pelanggan.

Katanya, sejak meniaga daging tersebut bulan ini, ia memberi kepuasan kepadanya dan berhasrat meneruskan perniagaan berkenaan bergantung pada permintaan pembeli.

sumber- Sinar

Jual makanan ikut pintu belakang

Menjual makanan pada yang tidak berpuasa
Noraini (kiri) terkejut ketika aktivitinya menjual makanan dirakam Sinar Harian, semalam.
SUNGAI CHOH - Peniaga sebuah premis perniagaan terkedu melihat lensa kamera Sinar Harian merakam aktivitinya melayan pelanggan Melayu membeli makanan pada waktu siang, semalam.

Itu reaksi Marisol, 47, atau Noraini sebaik melihat wartawan Sinar Harian bersama Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Stesen, Rosli Kahan tiba di kedainya di kawasan industri kecil, Taman Anugerah Suria, di sini.

Dia yang berniaga melalui pintu belakang restoran milik suaminya jelas terkejut dengan kehadiran Sinar Harian dan meminta maaf atas perbuatannya.

“Maaflah, saya tak akan jual lagi. Saya tahu saya salah,” katanya sambil kelihatan serba tidak kena.

Ditanya mengapa berniaga makanan di siang hari, Noraini menjelaskan tujuannya untuk mencari wang membayar sewa kedainya.

Menurutnya, dia terpaksa berniaga walaupun sedar satu kesalahan memandangkan keadaan memaksa ditambah suaminya sakit kencing manis dan darah tinggi.

“Suami saya sakit dia tinggal di rumah saja jadi saya terpaksa berniaga untuk bayar sewa kedai,” katanya yang berasal dari Filipina.

Noraini dibantu dua pekerja warga Myanmar dan menjual makanan pelbagai lauk untuk hidangan semua pelanggan yang kebanyakannya Melayu.

Menurutnya, dia turut berniaga di bazar Ramadan namun pendapatan tidak seberapa kerana hanya menjual martabak.

Tinjauan mendapati rata-rata pelanggan di kedai tersebut adalah pekerja sebuah kilang pengeluar kereta di sini.

Sementara itu, Rosli berkata, setiap tahun apabila tiba Ramadan beliau menasihati peniaga restoran tersebut agar tidak berniaga di siang hari terutama kepada orang Islam.

Bagaimanapun, peniaga terbabit sering ingkar dan tetap berniaga melalui pintu belakang bermula seawal jam 10 pagi hingga 3 petang.

“Tinjauan saya semalam (kelmarin) sekitar jam 1.15 petang, ramai pelanggan yang makan dan membungkus makanan di kedai tersebut.

“Tapi, hari ini (semalam) kurang sebab pelanggan menyedari kehadiran saya bersama wartawan, mereka tidak berani mahu beli,” katanya.

Menurutnya, peniaga terbabit turut memberi isyarat kepada pelanggannya yang berhenti di depan kedainya supaya beredar bagi mengelak perbuatan mereka dirakam.

sumber- Sinar

Ady Putra kena tipu pelaburan internet

alamat terkini suhan movies
Ady Putra
KUALA LUMPUR: “Saya serahkan sepenuhnya kepada polis untuk menyiasat,” kata pelakon popular, Ady Putra, 31.

Pelakon berasal dari Singapura itu yang sering membintangi drama dan filem di negara ini berkata demikian ketika mengulas mengenai kerugian RM19,000 dialaminya kerana ditipu selepas melabur dalam satu pelaburan di Internet.

Menurut Ady, apa yang berlaku suatu yang bersifat peribadi dan dia dinasihatkan polis supaya tidak menceritakan kejadian itu secara terbuka kepada pihak media mahupun peminat.

“Tolong hormati pendirian saya kerana apa yang berlaku sudah menjadi kes polis. Apa yang boleh saya katakan, perkara itu kini menjadi milik kerajaan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Ady yang turut membintangi filem pecah panggung, KL Gangster kini sedang menjalani penggambaran filem Balistik terbitan Suhan Movies & Trading Sdn Bhd di sekitar ibu kota, mengatakan kejadian itu boleh memberikan kesan pada dirinya secara peribadi termasuk karier seni.

sumber- HMetro

Maut lepas koma dibelasah anak

Hospital Umum Sarawak

KUCHING: Seorang warga emas yang bertarung nyawa lebih seminggu selepas koma dipercayai akibat dipukul anak sendiri, disahkan meninggal dunia di hospital, semalam.

Difahamkan, mangsa, 77, dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) dipercayai dipukul seorang anaknya berusia 40-an yang tinggal bersama lelaki berkenaan di rumahnya di Batu Kawa, di sini.

Menurut sumber, sejurus mangsa dimasukkan ke hospital, adik suspek membuat laporan polis mendakwa lelaki itu dipukul abangnya selepas berlaku pertengkaran.

Katanya, adik suspek mendakwa bapa ditolak dan dipukul suspek menyebabkan dia patah tulang rusuk.

“Sebaik menyedari mangsa jatuh dan tidak sedarkan diri, suspek membawa mangsa ke HUS bagi mendapatkan rawatan sebelum ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) sehingga mangsa disahkan meninggal dunia hari ini (semalam).

sumber- HMetro

Manchester City tewaskan Harimau Malaya 3-1

Manchester City tewaskan Harimau Malaya 3-1
Penyerang Manchester City, Carlos Tevez (tengah) cuba melepasi kawalan Azmi Muslim (kiri) ketika aksi persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.
KUALA LUMPUR - Juara Liga Perdana Inggeris 2011/2012 Manchester City FC menyajikan persembahan menghiburkan untuk menumpaskan Malaysia 3-1 dalam aksi persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Kunjungan Manchester City ke Malaysia itu adalah yang pertama dan ia adalah sebahagian daripada Jelajah Musim Panas 2012 pasukan berkenaan.  

Membariskan pemain-pemain hebat seperti Sergio Aguero, Carlos Tevez dan Yaya Toure, aksi pasukan Manchester City ternyata memukau 30,000 penonton dari dalam dan luar negara yang menyaksikan perlawanan tersebut.

Pasukan itu yang juga dikenali sebagai 'The Blue Moon Rising' tidak mengambil masa lama untuk mengkucar-kacirkan barisan pertahanan pasukan Harimau Malaya sebaik pengadil perlawanan Mohd Amirul Izwan Yaacob meniupkan wisel sepak mula perlawanan.

Pasukan pelawat membuka jaringan menerusi kuisan Arguero pada minit ke-17 selepas beliau berjaya mengelecek dua pertahanan Malaysia.

Selepas permainan bersambung, anak buah Roberto Manchini menggandakan asakan dan Tevez berjaya menjaringkan gol kedua Manchester City pada minit ke-47.

Lima minit kemudian, penjaga gol Malaysia Mohd Farizal Marlias sekali lagi diuji apabila Adam Johnson yang menerima umpanan Aguero menyempurnakan gol ketiga Manchester City.

Walaupun berdepan pemain-pemain yang jauh berpengalaman, pasukan Malaysia di bawah bimbingan Datuk K. Rajagobal masih berupaya memberi tentangan kepada pasukan pelawat.

Gol tunggal Harimau Malaya diperoleh tiga minit sebelum permainan tamat menerusi gerakan solo Azamuddin Mohd Akil yang berjaya mengelecek dua pertahanan Manchester City, Pablo Zabaleta dan Kolo Toure.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Sultan Ahmad Shah menyampaikan pingat dan piala kepada kedua-dua pasukan berkenaan.

Senarai Pemain:

    MALAYSIA:
    Mohd Farizal Marlias, (Khairul Fahmi Che Mat), S.Subramaniam (Mohd Faizal Muhammad) , Mohd Bunyamin Umar, Mohamad Adil Zafuan Abdul Razak, Mohamad Azmi Muslim (Mahalli Jasuli), Safiq Rahim (kapten) (Mohd Khyril Muhymeen), Gary Steven Robbat, S.Kunalan (Amiridzwan Taj Tajudin) , Baddrol Bakhtiar (Azamuddin Mohd Akil), Norsharul Idlan Talaha (Ahmad Shakir Mohd Ali), Mohd Safee Mohd Sali (Mohd Shakir Shaari).
    
    MANCHESTER CITY:
    Costel Pantilimon, (Eirik Johansen), Pablo Zabaleta, Aleksandar Kolarov, Stefan Savic, Kolo Toure (Filippo Mancini),Denis Suarez, Dedryck Boyata, Adam Johnson, Yaya Toure (kapten) (Luca Scapuzzi), Abdul Razak Karim (George Evas), Carlos Tevez, Sergio Aguero (Marcos Lopes). 

Pengadil: Mohd Amirul Izwan Yaacob.

sumber- Sinar

Skandal bank Iran: 4 dihukum mati

Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad
Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad
TEHERAN - Empat orang dikenakan hukuman mati atas peranan mereka dalam skandal penyelewengan bank terbesar Iran tahun lalu.

Dua yang lain menerima hukuman penjara seumur hidup manakala 33 lagi akan menjalani hukuman penjara 25 tahun.

Skandal itu melibatkan pemalsuan dokumen, yang digunakan oleh sebuah syarikat pelaburan untuk mendapatkan pnjaman AS$2.6 bilion (RM7.8 bilion).

Seramai 39 orang telah dibicarkan ekoran pembabitan mereka dalam skandal ini.

"Kami sedang menaip hukuman mereka sekarang dan berdasarkan hukuman yang telah dijatuhkan, empat yang tertuduh dalam kes ini dihukum mati," kata jurucakap kehakiman, Gholam-Hossein Mohseni-Ejei kepada agensi berita Iran.

Bagaimanapun nama-nama individu terbabit tidak didedahkan.

sumber- Sinar

Misteri! Sindrom Angguk

GAMBAR fail 20 Februari lalu menunjukkan seorang kanak-kanak menghidap sindrom angguk di Kitgum, Uganda.
GAMBAR fail 20 Februari lalu menunjukkan seorang kanak-kanak menghidap sindrom angguk di Kitgum, Uganda.
KITGUM, Uganda - Lebih 300 remaja di Uganda maut kerana penyakit misteri yang menjangkiti semakin ramai kanak-kanak di utara negara Afrika dan di beberapa kawasan di Sudan Selatan.

Penyakit itu dikenali sebagai sindrom angguk kerana pesakit akan menganggukkan kepala mereka dan berkelakuan seperti diserang sawan.

Penyakit berkenaan turut membantutkan tumbesaran kanak-kanak dan memusnahkan keupayaan kognitif dengan menyebabkan mereka gagal melakukan tugas mudah.

Sebahagian pesakit tidak mengenali ibu bapa mereka.

"Kami melakukan ujian ke atas beberapa kanak-kanak ini dan mendapati keadaan sebahagian mereka tidak berubah manakala sebahagian lain terus merosot tetapi tiada seorang pun yang beransur sembuh," kata Scott Dowell yang merupakan Pengarah Divisyen Pengesanan Penyakit Global dan Tindak Balas Kecemasan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC).

Beberapa pegawai Uganda berkata, sekitar 3,000 kanak-kanak di negara Afrika Timur itu menghidap penyakit berkenaan.

Menurut mereka, setakat ini punca penyakit maut itu tidak dapat dipastikan.

Saintis CDC kini berusaha untuk mengenal pasti mengapa penyakit itu cuma menyerang kanak-kanak berusia antara lima hingga 15 tahun

sumber- AP

4 maut bas sekolah dirempuh kereta api

ORANG ramai melihat sebuah bas sekolah dirempuh kereta api di Kotmehatab, India semalam.
ORANG ramai melihat sebuah bas sekolah dirempuh kereta api di Kotmehatab, India semalam.
KOTMEHATAB, India - Seramai empat pelajar terbunuh dan 19 lagi cedera apabila sebuah bas sekolah dirempuh kereta api di sini semalam.

Ketika kejadian bas tersebut membawa 23 orang pelajar sekolah rendah.

Nahas itu berlaku di sebuah lintasan kereta api di utara India.

Menurut seorang pegawai polis, Suba Singh, kereta api itu bergerak laju daripada biasa ketika ia merempuh bas tersebut.

Beliau berkata, ketika nahas, bas tersebut sedang melintas di lintasan tersebut.

Pelajar yang cedera dihantar ke hospital berdekatan. 

sumber- Agensi

Monday, July 30, 2012

Edar syabu, warga Iran ke tali gantung

warga Iran di hukum gantung
gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Seorang peniaga telefon bimbit warga Iran dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini setelah didapati bersalah mengedar dadah methamphetamine atau syabu seberat 703.8 gram tahun lalu.

Dalam keputusannya, Hakim Kamardin Hashim berkata pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan, dan pembelaan Adel Zarabi, 40, hanyalah penafian semata-mata.

"Hanya satu hukuman diperuntukkan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, dan dengan ini kamu dijatuhkan hukuman gantung sampai mati," kata Kamardin.

Lelaki Iran itu tidak menunjukkan sebarang reaksi sebaik hukuman dijatuhkan.

Adel didakwa mengedar dadah itu di hadapan Sri Putramas 2, Royal Domain Condo, Jalan Putra Mas, Sentul di sini pada kira-kira 8.05 malam, 20 Mac 2011.

Mengikut fakta kes, dia ditahan sepasukan polis ketika berjalan keluar dari kondominium itu dengan menjinjit satu beg plastik, dan cuba melarikan diri apabila polis yang menghampirinya memperkenalkan diri.

Polis menahan Adel berikutan satu pergelutan dan pemeriksaan lanjut menemui dua paket plastik berisi dadah daripada beg yang dibawa Adel.

Tertuduh diwakili peguam Kamarul Hisham Kamaruddin manakala Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib mewakili pihak pendakwaan. 

sumber- Bernama

Polis tahan lelaki dakwa dirinya diculik

menculik diri sendiri
gambar hiasan
JOHOR BAHRU: Polis menahan seorang lelaki yang memeras bapanya dengan mendakwa dirinya telah diculik dan meminta wang tebusan RM3,000, dua minggu lepas.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Zainuddin Yaacob berkata lelaki berumur 25 tahun itu ditahan di sebuah rumah sepasang suami isteri di Taman Cahaya Masai di sini, kurang dari tempoh 24 jam selepas polis menerima laporan daripada bapanya bahawa anaknya telah diculik, 17 Julai lepas.

"Bapa mangsa yang berumur 61 tahun dalam laporannya mengadu menerima satu panggilan telefon pada jam 9.50 malam 17 Julai lepas daripada seorang lelaki yang mendakwa dirinya sebagai Ah Long yang mengatakan anaknya berada dalam tahanan dan meminta wang RM3,000 untuk dilepaskan.

"Hasil siasatan lanjut, polis kemudian pergi ke rumah pasangan suami isteri terbabit lalu menemui anak pengadu yang sedang bersembunyi di rumah itu dan mendapati dia mengadakan-adakan cerita bahawa telah diculik," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Zainuddin berkata polis merampas telefon bimbit yang dipercayai telah digunakan untuk melakukan pemerasan itu dan siasatan lanjut mendapati dia melakukan jenayah itu bagi mendapatkan wang kerana menghadapi masalah hutang.

Beliau berkata lelaki itu yang pernah ditahan bagi membantu siasatan kes kecurian wang di sebuah restoran kini disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan.

Dalam kes lain, Zainuddin berkata pihaknya turut menahan seorang remaja lelaki yang melakukan pemerasan terhadap abang bekas kekasihnya dengan meminta wang RM5,000, Jumaat lepas.

Beliau berkata remaja berumur 17 tahun itu ditahan kira-kira jam 2.05 pagi di kawasan Taman Kim Teng di sini selepas polis menerima satu laporan daripada lelaki berumur 24 tahun yang mengadu menerima satu panggilan telefon di rumahnya di Stulang Laut di sin, kira-kira pukul 12.25 tengah hari, 24 Julai lepas.

"Pengadu menyatakan diminta menyerahkan RM5,000 sekiranya ingin mendapatkan kad memori yang didakwa remaja itu ada menyimpan klip video adik perempuan pengadu. Sekiranya pengadu gagal menyerahkan wang itu, suspek mengugut untuk menyebarkan klip video berkenaan yang boleh menjatuhkan maruah adik pengadu dan keluarganya," katanya.

Zainuddin berkata ekoran penahanan itu, polis merampas satu telefon bimbit pintar bersama kad SIM yang dipercayai boleh membantu siasatan kes tersebut.

Remaja berkenaan tidak mempunyai rekod jenayah dan dia kini ditahan reman empat hari bagi membantu siasatan. 

sumber- Bernama

Wang kertas siri baru boleh digunakan di mesin pembelian tiket LRT, monorel

Wang kertas siri baharu yang dikeluarkan Bank Negara sejak 16 Julai lepas boleh digunakan di mesin-mesin pembelian tiket transit aliran ringan (LRT) dan monorel bagi urusan pembelian token dan penambahan nilai Kad MyRapid

KUALA LUMPUR: Wang kertas siri baharu yang dikeluarkan Bank Negara sejak 16 Julai lepas boleh digunakan di mesin-mesin pembelian tiket transit aliran ringan (LRT) dan monorel bagi urusan pembelian token dan penambahan nilai Kad MyRapid.

Ketua Komunikasi Kumpulan Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) Masnizam Hisham berkata mesin-mesin pembelian tiket itu menerima wang kertas RM50, RM20, RM5 dan RM1 lama dan baharu sejak wang kertas baharu dikeluarkan secara rasmi.

"Begitu juga dengan syiling-syiling baharu. Ia diterima oleh mesin-mesin pembelian tiket kami," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Masnizam berkata Prasarana dibekalkan oleh Bank Negara dengan wang-wang kertas baharu sebelum pengedaran bagi menjalankan ujian terhadap sistem dan persiapan bagi menghadapi urusan berkenaan.

Prasarana, syarikat induk kepada RapidKL, mempunyai 286 mesin pembelian tiket yang ditempatkan di stesen-stesen LRT dan monorel. 

sumber- Bernama

Mata wang pertama dan tertua di dunia

mata wang pertama di dunia

Dikatakan ini adalah mata wang tertua di dunia. Ianya dipercayai mula di gunakan di Sichuan, China pada tahun 1024. Kisah penggunaan mata wang ini bermula dengan kehadiran Marcelino, seorang lelaki asing berbangsa Eropah yang tinggal di China melebihi 20 tahun. Dia membawa cerita yang akhirnya tersebar kepada seluruh masyarakat di sana bahawa, kononnya wang ini diperbuat dari pokok mulbery. Kualiti pokok mulbery pula dikatakan kurang berkualiti pada waktu tersebut. Mungkin ianya dianggap lebih jimat berbanding penggunaan emas dan perak. Bermula pada waktu tersebutlah kertas bercorak mula diberi nilai untuk diniagakan.

Polis sahkan kematian seorang pelajar MTD

Maktab Tentera Diraja (MTD)
gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Polis mengklasifikasikan kematian seorang pelajar Maktab Tentera Diraja (MTD), Sungai Besi di maktab itu hari ini sebagai mati mengejut.

Ketika mengesahkan menerima laporan berhubung kematian seorang pelajar lelaki MTD itu, Ketua Polis Daerah Cheras Mohan Singh Tara Singh berkata siasatan awal ke atas mayat pelajar berusia 16 tahun itu tidak menemui sebarang tanda jenayah atau kecederaan fizikal.

"Siasatan awal polis mendapati tidak ada unsur jenayah dalam kejadian itu dan buat masa ini kes diklasifikasi sebagai mati mengejut," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata bedah siasat oleh Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) juga menunjukkan tiada tanda-tanda perlakuan jenayah berlaku yang membawa kepada kematian pelajar tingkatan empat itu.

"Siasatan lanjut masih dibuat dan polis berharap kematian itu tidak dispekulasikan," katanya. 

sumber- Bernama

Kanibal! Makan otak tujuh dukun

manusia makan daging manusia
Gambar Hiasan
SYDNEY: Polis di kawasan terpencil di Papua New Guinea menahan sekumpulan anggota pengamal kanibal yang dituduh membunuh sekurang-kurangnya tujuh orang, memakan otak mereka mentah-mentah dan membuat sup daripada organ sulit mangsa, lapor akhbar, semalam.

Suspek seramai 29 orang itu adalah sebahagian daripada kumpulan 1,000 orang yang dibentuk untuk melawan dukun sesat dan dilaporkan akhbar The National, mula mengenakan yuran yang tinggi.

Kos bagi dukun untuk mendedahkan punca kematian atau membuang roh jahat biasanya adalah 1,000 kina (RM1,503) dibayar tunai, ditambah dengan seekor babi dan sekampit beras, tetapi sesetengahnya juga menuntut khidmat seks sebagai bayaran. “Ia bertentangan dengan moral dan etika tradisional kami untuk seorang dukun melakukan hubungan seks dengan isteri atau anak perempuan seseorang, kata seorang pemimpin tempatan di Tangi, kawasan pedalaman di wilayah Madang di pantai timur laut negara itu. “Ia menjadi punca utama kekecewaan yang mendorong kepada pembentukan kumpulan untuk memburu dukun seumpamanya.

“Selepas beberapa waktu, apabila mereka dibebaskan untuk menjalankan kegiatan rawatan itu, kami mula berasa letih dan bosan,” katanya.

Terdapat kepercayaan yang meluas dalam ilmu hitam di Papua New Guinea di mana kebanyakan orang tidak dapat menerima keadaan semula jadi menjadi punca kepada nasib malang, penyakit, kemalangan ataupun kematian. Penduduk berazam untuk membalas dendam terhadap dukun yang mengambil kesempatan melalui latihan kuasa ghaib daripada ketua kampung, menggunakan pisau “dijampi’ untuk memburu dan membunuh tujuh orang sejak April lalu, lapor akhbar itu. 

sumber- AFP

Kematian Eksekutif TV9 Akibat Dijerut

Kematian Eksekutif TV9 Akibat Dijerut. Kes Eksekutif Pentadbiran Berita TV9 yang ditemui mati di dalam bilik rumahnya di Damansara Damai, kelmarin.

Polis mengesahkan kematian Nursyaleza Jaafar, 31 tahun akibat dijerut dan beberapa kesan lebam pada tubuh mangsa. Susulan itu, polis menahan suami Allahyarham sebaik pengebumian selesai di Labis, Johor malam tadi.

Nursyaleza Jaafar

Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah, penahanan itu bagi membantu siasatan kes berikutan terdapat unsur jenayah dari hasil bedah siasat yang dilakukan semalam. Suspek berusia 31 tahun ditahan kira-kira jam 10:15 malam tadi di Felda Redong 1, Labis.

Beliau turut mengesahkan, kes kematian Allahyarham Nursyaleza kini disiasat mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Hasil bedah siasat Hospital Sungai Buloh mendapati mangsa meninggal kerana sesak nafas akibat dijerut.

Mayat Syaleza dilaporkan ditemui di dalam bilik tidurnya pada pukul 7 malam, setelah pintu bilik dipecahkan kerana dia tidak membuka pintu apabila dipanggil untuk berbuka puasa.

Polis Tahan Wanita Berhubung Kes Baling Bahan Letupan Ke Sebuah Rumah

bom dibuat dari mercun bola

NIBONG TEBAL - Polis percaya berjaya menyelesaikan kes sebuah rumah di Taman Tang Ling, Simpang Ampat dekat sini dibaling dengan bahan letupan sehingga menyebabkan seekor anak anjing terbunuh selepas menahan seorang wanita Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Supt Shafien Mamat berkata wanita berusia 44 tahun itu ditahan kira-kira 10 pagi di rumahnya di Simpang Ampat.

"Kejadian membaling letupan itu berlaku pada pukul 3.30 pagi ketika mangsa seorang wanita berusia 46 tahun sedang tidur. Kejadian itu menyebabkan anak anjing mangsa yang berada di luar rumah mati," katanya kepada pemberita di sini pada Isnin.

Katanya siasatan forensik mendapati bahan letupan itu diperbuat daripada gumpalan mercun bola yang banyak sehingga menghasilkan percikan api dan bunyi sangat kuat.

Shafien berkata siasatan awal mendapati kejadian itu berpunca daripada kegagalan membayar hutang.

sumber- Bernama

Remaja Curi Duit Tabung Masjid

tabung masjid


DUNGUN – Demi mendapatkan wang cara mudah, seorang remaja sanggup menceroboh tempat ibadat biarpun pada Ramadan sebelum melarikan sejumlah wang hasil derma orang ramai dalam tabung masjid, dekat sini, awal pagi kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 1.20 pagi itu disedari dua remaja 20-an yang secara kebetulan melalui kawasan Masjid Batu Tujuh selepas melihat kelibat dua lelaki bermotosikal dalam keadaan mencurigakan berada di kawasan masjid.

Hasil intipan, seorang daripada penunggang motosikal berkenaan dikatakan masuk ke kawasan masjid lalu cuba mengambil wang kertas dalam tabung dengan mengail menggunakan dawai berserta gula-gula getah.

Selepas berjaya mendapat habuan, suspek keluar dari masjid berkenaan sebelum terserempak dengan remaja yang mengintip kerja jahatnya itu lalu berlaku adegan kejar mengejar sebelum suspek berjaya ditahan.

Suspek, berumur 21 dari Perumahan Kos Rendah Pulau Serai itu bagaimanapun berjaya dicekup lalu mereka menemui semula wang RM20 dipercayai dicuri daripada tabung masjid itu sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan tangkapan tersebut.

Sementara itu, hasil ujian saringan air kencing mendapati remaja terbabit yang kini sedang disiasat polis turut positif dadah jenis methampethamine.

sumber- Sinar

Beri alasan bersahur elak dicekup

ditangkap khalwat pada bulan puasa
Pasangan kekasih yang merupakan rakan sekerja ini ditahan selepas mendapati mereka tiada ikatan sah.
PETALING JAYA – Mahu keluar sahur bersama menjadi alasan kepada sepasang kekasih bagi mengelak daripada dicekup dalam operasi cegah maksiat Ahli Jawatankuasa, Pemuda Masjid Nurul Ehsan serta polis di sebuah hotel bajet di Taman Medan, malam kelmarin.

Pasangan kekasih masing-masing berusia 30 dan 28 tahun itu yang merupakan rakan sekerja itu ditahan selepas pemeriksaan mendapati mereka duduk berdua-duaan di dalam bilik tanpa ikatan sah.

Terdahulu anggota masjid terpaksa menunggu hampir 20 minit sebelum pintu bilik dibuka.

Hasil soal siasat, pasangan itu mengaku menginap di hotel itu jika ada waktu terluang terutama selepas tamat waktu bekerja.

Imam 1 Masjid Nurul Ehsan, Abdul Muin Abdul Hamid berkata, operasi dilakukan berdasarkan maklumat orang ramai yang kurang senang apabila mendapati hotel itu dijadikan lokasi untuk melampiaskan nafsu dan mencemar kesucian Ramadan.

“Operasi ini yang kedua dilakukan di hotel ini berikutan ia menjadi tumpuan pasangan kekasih terutama pada waktu malam,” katanya.

Menurutnya, pihak masjid akan membuat pemantauan di hotel bagi mengelak ia terus menjadi pusat maksiat.

sumber- Sinar

Balas dendam dengan perkosa

ugutan rogol

KUALA LUMPUR: ‘Hidup kau tidak selamat, aku pasti kau mati.’ Itu kandungan nota ditinggalkan dua lelaki selepas menodai seorang wanita berusia awal 20-an di rumahnya di Bandar Teknologi Kajang, di sini.

Dalam kejadian jam 3.30 petang Jumaat lalu, itu, dua lelaki berusia 30-an terbabit dipercayai meninggalkan nota berkenaan untuk ditujukan kepada suami wanita itu yang tiada di rumah. 

Sumber berkata, ketika kejadian mangsa yang bersendirian di rumahnya berada dalam bilik air untuk mandi.

“Mangsa terkejut apabila melihat dua lelaki tidak dikenalinya berada di rumah.
Belum sempat menjerit meminta bantuan jiran, dua lelaki terbabit mengeluarkan senjata lalu mengugut untuk mencederakannya. 

“Bimbang dengan ugutan berkenaan, mangsa mendiamkan diri sebelum kedua-dua tangan dan kaki diikat manakala mulutnya ditutup dengan kain,” katanya. 

sumber- HMetro

Lelaki Rogol Budak 3 Tahun Di Bulan Ramadhan

rogol budak 3 tahun

KLANG: Seorang lelaki layak digelar binatang apabila gagal mengawal nafsunya biarpun di bulan Ramadan apabila merogol dan meliwat seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun dalam kejadian di Kampung Sungai Yadi, di sini, Jumaat lalu. Dalam kejadian itu, mangsa diasuh isteri suspek di rumah mereka sejak dua bulan lalu dan suspek yang berusia 31 tahun mengambil kesempatan melakukan perbuatan terkutuk itu ketika isterinya keluar ke kedai.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata, kejadian itu hanya disedari bapa mangsa jam 8 malam pada hari kejadian selepas dimaklumkan isterinya bahawa mangsa mengadu sakit di kemaluannya. “Mangsa menceritakan kepada bapanya suspek mengajaknya memasuki bilik air menyebabkan bapa mangsa mengesyaki anaknya menjadi mangsa rogol,” katanya. 

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati suspek melakukan perbuatan itu ketika isterinya keluar ke kedai dan ketika di dalam bilik air, mangsa didukung dalam keadaan bogel sebelum dirogol dan diliwat suspek beberapa kali. Katanya, siasatan juga mendapati dalam tempoh mangsa dihantar ke situ suspek hanya melakukan perbuatan itu sekali.

Berikutan itu, suspek yang juga pemandu lori ditahan di rumahnya pada hari sama. Kes disiasat mengikut Seksyen 376/511 dan Seksyen 377c Kanun Keseksaan dan suspek direman hingga 3 Ogos depan bagi membantu siasatan.

Tunang maut, hasrat berkahwin pada hari raya terbantut

tunang maut dalam kemalangan
SITI MUKARAMAH menujukkangambar Abdullah Zawawi.
KOTA BHARU - Hasrat seorang gadis untuk melangsungkan perkahwinan bulan depan tidak kesampaian apabila tunangnya maut dalam kemalangan jalan raya di Jalan Maktab Perguruan, Pengkalan Chepa di sini semalam.

Siti Mukaramah Lajim, 19, dari Jalan Pantai Cahaya Bulan di sini dijadual melangsungkan perkahwinan dengan Abdullah Zawawi Abdullah Fauzi, 25, pada hari raya kedua nanti.

Kemalangan berlaku apabila kereta Perodua Viva dipandu Abdullah Zawawi yang merupakan seorang kerani bertembung dengan sebuah treler dari arah bertentangan ketika dia dalam perjalanan ke tempat kerja di Pusat Boling Pasar Raya Billion di sini pada pukul 9.30 pagi.

Siti Mukaramah yang membantu ibu bapanya menjual ikan di Pasar Gok Kapor, dekat sini berkata, kali terakhir dia menemui tunangnya kelmarin di rumahnya bagi menyerahkan borang perkahwinan untuk diproses pihak berkuasa agama.

Katanya, semua persediaan untuk majlis perkahwinan itu telah siap diatur dan kad jemputan telah diedar.

"Apa boleh buat, saya reda dengan pemergiannya," cerita Siti Mukaramah.

sumber- Kosmo

Banyak kerusi kosong di Sukan Olimpik

gambar paling menarik Olimpik London 2012
SEORANG lelaki duduk di sebuah kawasan yang tiada penonton pada permulaan pertandingan berenang di Pusat Akuatik, London kelmarin.
LONDON - Penganjur Sukan Olimpik London melakukan siasatan selepas banyak kerusi penonton didapati kosong semasa beberapa pertandingan sukan berlangsung kelmarin.

Setiausaha Kebudayaan Britain, Jeremy Hunt menyatakan beliau berasa amat kecewa dengan sejumlah kerusi kosong tanpa penonton pada hari pertama sukan itu.

Menurutnya, Jawatankuasa Penganjuran Sukan Olimpik London akan melakukan siasatan itu bagi mencari punca yang menyebabkan ketiadaan penonton yang ramai.

Olimpik London tiada sambutan
KERUSI penonton kosong pada perlawanan tenis wanita antara Caroline Wozniacki dari Denmark dengan Anne Keothavong dari Britain di London kelmarin.
Imej-imej yang disiarkan di televisyen menunjukkan sejumlah besar kerusi di beberapa lokasi pertandingan tidak diduduki penonton.

Menteri Sukan Britain, Hugh Robertson berkata, beliau terkejut kerana penonton tidak memenuhi tempat duduk.

Kira-kira suku daripada 928,000 tiket gagal dijual pada Mei lalu termasuk untuk pertandingan bola tampar pantai dan tinju.

Namun, pada awal Jun lalu, sebanyak tujuh juta daripada 8.8 juta tiket telah dijual.

Sukan Olimpik London dibuka secara rasmi pada Jumaat lalu. 

sumber- Reuters

Buat senjata di tepi sawah padi

cara membuat senjata api
SEORANG pekerja memeriksa selaras senjata api di kilang Shooters Arms Manufacturing di bandar Cebu pada 7 Julai lalu.
BANDAR MANDAUE - Permintaan senjata api semakin meningkat ekoran pilihan raya pertengahan penggal akan berlangsung pada 2013 di Filipina.

Seorang pembuat senjata di bandar Danao yang hanya mahu dikenali sebagai Remo, 33, berkata, dia sukar untuk memenuhi permintaan pelanggan yang remai menempah senjata api.

"Kami mempunyai kesukaran untuk memenuhi tempahan kerana pada kebiasaannya masa selama dua minggu diperlukan untuk menyiapkan sepucuk pistol .45 calibre walaupun jika saya bekerja 16 jam sehari," katanya.

Bunyi muzik yang kuat bergema di bengkel Remo yang terletak di pinggir anak sungai yang kering, tersembunyi daripada pandangan mata disebabkan rimbunan pokok buluh.

kilang membuat senjata api
BEBERAPA orang bekerja di sebuah kilang senjata haram di Danao pada 8 Julai lalu.
Ketika ini, semua pengawal peribadi di Filipina membawa senjata api sama ada pistol atau senapang patah.

Senjata api merupakan fenomena biasa yang boleh dilihat di pasar raya, pejabat pemerintah, bank, restoran dan sekolah.

Senjata api haram di negara ini hanya dibawa oleh anggota-anggota kumpulan penjenayah, kumpulan pemisah Islam dan komunis.

Ia turut dibawa oleh ahli politik yang mempunyai askar-askar peribadi.

menguji senjata api
SELARAS senjata api diuji di sebuah kilang haram di Danao pada 8 Julai lalu.
Seorang bekas pemilik kilang senjata haram, Elmer Genzon, kini bekerja di kilang pembuat senjata yang telah didaftarkan, Shooters Arms Manufacturing, 25 kilometer dari sini.

"Kami tidak lagi bimbang tentang serbuan polis dan kami mempunyai pendapatan yang stabil, ditambah sedikit kekayaan dan manfaat sosial," katanya yang berusia 33 tahun.

Senjata-senjata itu ada yang dieksport ke Amerika Syarikat, Australia, Itali dan Thailand.

Pemilik sebuah kilang itu, Romulo de Leon III merupakan generasi kedua penjual senjata api.

Kilangnya kini mengeluarkan kira-kira 20,000 senjata api setahun.

Dia mahu mengembangkan perniagaannya ke Eropah Timur dan Amerika Selatan.

sumber- Reuters

Dilarang berkahwin kerana berkulit hitam

dilarang berkahwin

WASHINGTON - Satu pasangan Mississippi berasa terkejut kerana seorang pastor di sebuah gereja menyatakan bahawa mereka tidak dapat berkahwin kerana berkulit hitam.

Pastor itu, Stan Weatherford memberitahu, saluran televisyen ABC kelmarin bahawa tiada upacara perkahwinan pasangan berkulit hitam di gereja berkenaan di Crystal Springs, Mississippi sejak ia dibuka pada 1883.

Weatherford yang berkulit putih berkata, beliau menawarkan pasangan tersebut berkahwin di gereja lain yang dikunjungi penduduk berkulit hitam.

Beberapa penduduk terkejut dengan tindakan pastor tersebut.

sumber- AFP

Guna wang derma untuk tiba di London

kayuh beca di London
GUANMING mengayuh beca roda tiganya di Chinatown, London kelmarin.
LONDON - Seorang petani dari wilayah Jiangsu, China, Chen Guanming menggunakan wang derma bagi membiayai kayuhannya selama dua tahun ke London untuk menyaksikan Sukan Olimpik.

Guanming, 57, berkata, rakan-rakan dan orang ramai yang bersimpati dengannya terutama komuniti Cina telah menderma wang kepadanya untuk membiayai perjalanan tersebut.

Dia tiba di London dengan menaiki feri dari Perancis pada 6 Julai lalu.

Guanming memulakan perjalanannya sejauh 60,000 kilometer itu pada April 2010 dari kampungnya di wilayah Jiangsu.

Sebanyak 16 buah negara telah dilaluinya sepanjang perjalanannya itu.

Guanming berkata, dia tidak pernah ke luar negara sebelum memulakan perjalanan ke London.

"Saya datang untuk memberi sokongan kepada peserta dari seluruh dunia yang menyertai pertandingan sukan," katanya.

Guanming juga sempat mencari tiket untuk menyaksikan majlis pembukaan sukan tersebut.

Beca roda tiga miliknya dipenuhi dengan barang-barangnya.

Terdapat gambar yang menunjukkan dia berada di Menara Berkembar Petronas di Kuala Lumpur dan Menara Eiffel di Paris.

Guanming menyatakan dia teruja untuk datang ke sini selepas majlis penutup Sukan Olimpik di Beijing, China pada 2008.

Pengalaman paling buruknya ialah semasa mengembara ketika banjir melanda Thailand.

Menurutnya, dia juga terperangkap dengan cuaca sejuk di Turki.

Seorang broker Britain, John Beeston yang boleh bercakap bahasa Mandarin berkata, dia menemui Guanming yang sesat di bandar raya ini pada 9 Julai lalu.

Dia juga berusaha menbantu Guanming untuk mendapatkan tiket bagi menyaksikan majlis perasmian sukan tersebut.

Antara negara yang pernah dilaluinya dengan beca tersebut ialah Vietnam, Pakistan dan Itali.

"Saya berasa gembira kerana dapat datang ke London," katanya.

Dalam tempoh sebulan atau dua lagi, dia merancang untuk menaiki kapal ke Amerika Syarikat, Kanada dan Brazil. 

sumber- Agensi

Buta akibat letupan mercun bola

mangsa letupan mercun
MOHD. Sohibollah kini berhadapan dengan masa depan suram selepas mata kirinya dikhuatiri buta akibat letupan mercun bola.
ALOR SETAR – Seorang pemuda bersama anak jirannya yang berusia lapan tahun terpaksa dirawat di hospital malam kelmarin selepas sumbu mercun yang dipasang jatuh ke dalam bungkusan 40 biji mercun bola sebelum berlaku letupan kuat di Kampung Kuala Kangkong di sini.

Dalam kejadian pada pukul 7 malam kelmarin, pekerja syarikat percetakan, Mohd. Sohibollah Saad, 27, buta mata kiri akibat letupan tersebut sementara jirannya, Tuah Mohd. Hafiz Mohd. Razli cedera di muka dan beberapa anggota badan.

Kejadian tersebut berlaku di hadapan rumah Mohd. Sohibollah di Kampung Kuala Kangkong.

Kedua-dua mangsa yang dibawa ke sebuah klinik berdekatan kemudian dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini dengan ambulans berikutan kecederaan mereka serius.

mangsa letupan mercun
Tuah Mohd. Hafiz
Mohd. Sohibollah terpaksa menjalani pembedahan mata kiri dan kini dilaporkan stabil. Bagi Tuah pula, nasib kanak-kanak itu lebih baik apabila dia dibenarkan pulang selepas diberi rawatan.

Mohd. Sohibollah menceritakan, kejadian berlaku ketika dia bermain mercun bola di depan rumahnya selepas membelinya di bazar Ramadan di Tandop di sini.

“Pada mulanya saya bermain seorang diri tetapi anak jiran (Tuah) datang dan minta nyalakan api pada satu mercun bola yang dipegangnya.

mercun bola
WALAUPUN berbahaya, mercun bola tetap digemari kerana bunyi serta kuasa letupan yang kuat. - Gambar hiasan
“Ketika sumbu mercun dicucuh tiba-tiba ada api terpercik dan terjatuh ke dalam bungkusan 40 biji mercun bola sebelum meletup serentak,” katanya semasa ditemui di HSB di sini.

Sebaik letupan berlaku, Mohd. Sohibollah berasa sakit pada mata kiri dan penglihatannya menjadi kabur.

“Saya nampak anak jiran itu tercampak beberapa meter dan pengsan. Saya meminta pertolongan jiran untuk menghantar kami ke klinik,” ujarnya.

Katanya, doktor yang merawatnya sudah membayangkan dia mungkin hilang penglihatan mata kiri.

Sementara itu, Pengarah HSB, Datuk Dr. Juita Ghazalie memberitahu, Mohd. Sohibollah dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan mata kiri serta perlu menjalani rawatan lanjut di wad mata HSB.

“Tuah pula cedera pada mata, muka dan paha kanan dan hanya mendapatkan rawatan pesakit luar,” tambah beliau.

sumber- Kosmo

Azarbaijan Pindah Solat Jumaat ke Hari Sabtu

solat Jumaat pada hari Sabtu

Jawatankuasa Kebangsaan Bahagian Urusan Agama Republik Azarbaijan memerintahkan kepada para khatib masjid di seluruh negara itu untuk melaksanakan solat Jumaat pada hari Sabtu. Arahan itu dikeluarkan pada 30 Jun yang lalu.

Alasan pemindahan tersebut kerana dinilai mengganggu jam kerja, di mana hari Jumaat di Azarbaijan adalah hari kerja rasmi negara itu.

Menurut pemerintah Azarbaijan, pemindahan solat Jumaat ke hari Sabtu diharapkan dapat mengurangkan beban para pegawai dan pekerja pemerintah.

Menanggapi alasan pemerintah, khatib Masjid Masyhadi Dodosh, H Shahin Hasanali mengatakan, pemindahan tersebut dinilai sebagai sebuah sentimen politik semata-mata.

“Pemerintah risau solat Jumaat menjadi medan pendidikan politik yang boleh menggugat kewibawaan pemerintah. Solat Jumaat tidak boleh dipindahkan hari sesuka hati,” ujarnya.

Republik Azarbaijan adalah negara kecil yang majoriti penduduknya beragama Islam. Dilaporkan, jumlah komuniti muslim di sana mencapai 90% dari jumlah keseluruhan penduduknya.

Kedekatan regim yang berkuasa dengan Israel, menyebabkan dasar-dasar pemerintah cenderung anti Islam. Sehingga kini, warga muslim Azarbaijan masih memperjuangkan hak-hak kaum muslimah untuk memakai tudung.

sumber- exelroze

Sunday, July 29, 2012

Juruterbang Singapura Terbunuh Pesawat Ringan Terhempas

Pesawat ringan terhempas, juruterbang maut

PONTIAN, 29 Julai- Seorang juruterbang warga Singapura terbunuh selepas pesawat ringan jenis Cessna yang dipandunya terhempas di sebuah kebun sawit di Kampung Parit Puasa, Ayer Baloi di sini Ahad.

Timbalan Ketua Polis Daerah Pontian DSP Tan Moh Chuan berkata polis menerima panggilan mengenai kejadian pada 2.10 petang. Mangsa dikenali sebagai Samuel Ling Shi Min, 24, dan mayatnya dibawa ke Hospital Pontian untuk bedah siasat.

Tan berkata pihaknya menyerahkan kepada Jabatan Penerbangan Awam untuk siasatan lanjut.

Pesawat ringan terhempas, juruterbang maut

Seorang saksi Mohd Shafian Buang, 15, berkata dia terlihat pesawat ringan itu berpusing-pusing di udara sebelum terhempas di kebun sawit yang terletak 100 meter dari depan rumahnya.

"Saya sedang menyapu sampah bila terlihat pesawat tu berpusing-pusing sebelum jatuh ke dalam kebun," katanya.

Mohd Shafian kemudiannya meluru ke tempat kejadian bersama beberapa jiran tetapi tidak berani mendekati pesawat tersebut kerana tercium bau minyak dan dikhuatiri meletup.

Dia kemudiannya memaklumkan kejadian itu kepada bapa saudaranya yang segera menghubungi polis.

sumber- Bernama

Pakaian ala tentera kontinjen AS langgar semangat Olimpik?

Pakaian ala tentera kontinjen AS 'langgar' semangat Olimpik?
Direka bentuk oleh Ralph Lauren, kontinjen Amerika Syarikat Sukan Olimpik 2012 London mengenakan pakaian seragam ala tentera. - Foto ihsan CNN
KETIKA rakyat seluruh dunia mengikuti majlis perasmian Olimpik 2012 dari London kelmarin, program TV biasa ditangguhkan siasaran untuk memberi laluan kepada temasya empat tahun itu.

Di sebalik tumpuan berhubung kontroversi pakaian seragam pasukan Amerika Syarikat (AS) "Buatan China", tidak banyak ditulis berkenaan dengan soal reka bentuk.

Pun begitu, jika merenung pakaian seragam yang terbaik dan terburuk dikenakan oleh setiap kontinjen yang mengambil bahagian dalam Sukan Olimpik 2012, yang sedang berlangsung di London, soal reka bentuk akan menjadi daya tarikan untuk dihalusi.

Lazimnya, kebanyakan negara tidak mengenakan pakaian seragam ketika Sukan Olimpik. Dalam soal ini, AS tidak mengambil pendekatan kohesif sehingga 1920.

Bagaimanapun pada hari ini, dengan fokus khalayak dari seluruh dunia dan pasaran juga memainkan peranan penting, penggunaan pakaian seragam oleh setiap kontinjen diambil kira sebagai simbol imej negara yang menyertai temasya empat tahun ini.

Warna, paten dan garisan yang dipilih menggambarkan identiti sesebuah negara. Pereka bentuk AS, sebagai contoh, kerap kali menggunakan topi koboi warna putih dalam himpunan mereka.

Direka bentuk oleh Ralph Lauren, kontinjen AS Olimpik 2012 menggunakan pakaian yang menggambarkan pakaian seragam tentera - dengan jelas menarik pakaian seragam digunakan oleh tentera darat dan laut.

Adakah langkah menggenakan stail tentera menjadi satu isu besar?

Kebanyakan pakaian seragam Olimpik yang kita lihat sekarang bersandarkan kepada aspek agama atau elemen ketenteraan.

Pakaian ketenteraan merupakan simbol kebolehpercayaan, disiplin dan kepahlawanan dimana ia sebagai satu cara kerajaan untuk mengawal pasukannya.

Kita tahu bahawa atlet bukan perwira sebenar. Bagaimanapun pakaian membawa mesej yang kuat.

Pereka fesyen berhujah bahawa ciri-ciri ketenteraan dalam pakaian memang menjadi satu masalah.

Mengambil kira peruntukan AS dalam bidang ketenteraan lebih besar berbanding gabungan 10 negara. sesetengah negara berpandangan bahawa keputusan mengenakan pakaian seragam tentera menggambarkan keputusan tidak bijak atau bongkak.

Sama ada kita selesa atau tidak, pakaian seragam kontinjen AS di London sekurang-kurangnya menggambarkan topi putih koboi.

Pun begitu masih ada pilihan.

Melihat pada sejarah, separuh daripada pakaian seragam majlis perasmian AS melibatkan semangat pakaian sukan termasuk pada 2004 dan 2008.
Kemungkinan sudah sampai masa kita lebih kreatif.

Bagaimana jika kita minta Betsey Johnson mereka bentuk pakaian seragam untuk kontinjen AS menyertai Sukan Olimpik 2016?

sumber- CNN, Sinar