PERLAHAN_LAHAN...penumpang monorel keluar dari gerabak monorel menggunakan tangga dan TTL sambil dipantau Bomba. |
KUALA LUMPUR: “Kami bagaikan berada dalam ketuhar dan sukar bernafas,” kata Mohd Muhaimi Azraie, 15, menceritakan detik cemas dia dan 182 penumpang terperangkap lebih sejam dalam gerabak KL Monorel yang terkandas berhampiran Kompleks Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) Brickfields di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, tiga penumpang termasuk seorang wanita hamil berusia lewat 30-an tercedera dan terpaksa dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini, untuk rawatan susulan kerana sesak nafas serta terkena serpihan kaca.
Menceritakan pengalamannya, Muhaimi berkata, gerabak itu yang dalam perjalanan dari KL Sentral ke pusat bandar raya tiba-tiba terkandas menyebabkan semua penumpang terperangkap.
“Ada beberapa penumpang menjerit apabila monorel terhenti tiba-tiba dan saya dapat rasakan gerabak itu senget.”
“Pada masa itu, saya lihat pemandu monorel itu sibuk memeriksa kerosakan, tapi selepas lebih 20 minit, dia masih gagal membaikinya,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.
Menurutnya, keadaan menjadi semakin buruk apabila ada penumpang menangis dan mengalami sesak nafas malah ada yang pengsan.
“Kami bernasib baik apabila anggota bomba dan penyelamat datang membantu mengeluarkan kami,” katanya.
Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat, Ahmad Zaidi Safuan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 2.19 petang memaklumkan ada mangsa terperangkap dalam gerabak monorel.
Berikutan itu, katanya, sepasukan 47 anggota bomba bersama enam jentera dikejarkan ke tempat kejadian dan tiba kira-kira 10 minit kemudian bagi menjalankan operasi menyelamat.
“Tindakan pertama kami ialah menghantar anggota ke atas untuk memecahkan tingkap gerabak bagi membolehkan udara masuk dan mengurangkan kepanasan.
“Seterusnya, kami menggunakan tangga cakera putar (TTL) untuk menurunkan mangsa dari landasan pada ketinggian kira-kira 25 meter.
“Operasi ini sebagai berjaya kerana tidak mengalami sebarang kesukaran, malah pihak pengurusan monorel turut memberi kerjasama,” katanya.
Katanya, seramai 63 mangsa dikeluarkan anggota bomba, manakala 120 penumpang lagi dipindahkan ke Stesen Monorel Tun Sambanthan yang terletak kira-kira 200 meter dari tempat kejadian oleh Pasukan Kecemasan KL Monorel.
“KL Monorel mempraktikkan segala prosedur kecemasan yang dipelajari dalam latihan bersama kami sebelum ini bagi menghadapi kemungkinan,” katanya.
Katanya, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan, namun tidak menolak kemungkinan ia berpunca dari masalah teknikal.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Bari Wan Abdul Khalid mengesahkan tiga penumpang cedera dan dihantar ke HKL bagi mendapatkan rawatan.
“Dua penumpang cedera terkena serpihan kaca tingkap yang dipecahkan ketika usaha membawa mereka keluar dari gerabak,” katanya.
sumber- HMetro
No comments:
Post a Comment