Pages - Menu

Tuesday, August 14, 2012

Mesin santan dua dalam satu

MESIN MEMARUT KELAPA DAN MEMERAH SANTAN YANG DIHASILKAN unimap.
MESIN MEMARUT KELAPA DAN MEMERAH SANTAN YANG DIHASILKAN unimap. 
Pembangunan mesin pintar atau automatik bukan lagi industri baru di negara ini. Dengan perkembangan ini ia membantu industri kecil dan sederhana (IKS) di negara ini melangkau ke tahap lebih tinggi. Seterusnya mendorong kepada pembangunan teknologi industri kampung atau indigenous technology .

Pelbagai pihak sama ada individu atau agensi kerajaan berlumba-lumba mencipta mesin yang dapat membantu pengusaha industri luar bandar.

Satu daripada mesin yang paling popular pada musim perayaan selain mesin membuat kuih ialah memarut atau memerah santan secara automatik.

Terbaru, sekumpulan penyelidik Universiti Malaysia Perlis (UniMap) memulakan penyelidikan pada tahun 2009 untuk membangunkan satu mesin dua dalam satu untuk mengeluarkan santan kelapa.

Mesin yang dibangunkan dengan menggunakan keluli tahan karat sebagai memenuhi syarat asas mesin berkaitan makanan merupakan mesin separa automatik untuk memenuhi keperluan pengusaha IKS.

Menurut ketua kumpulan penyelidik, Azmi Harun, mesin itu direka khas untuk memarut dan memerah isi kelapa secara berkesan.

Katanya, ia sangat berguna bagi mendapatkan santan secara maksimum dengan meningkatkan hasil dalam tempoh yang singkat.

''Konsep mesin ialah gabungan memarut dan memerah santan dalam masa singkat berbandng penggunaan mesin memarut dan memerah secara berasingan,'' katanya.

Mesin dua dalam satu sangat sesuai bagi pengusaha kerana ia meningkatkan produktiviti pengeluaran santan dalam tempoh yang singkat.

Ketika ini kata Azmi, kaedah konvensional membolehkan pengguna menghasilkan santan menggunakan kaedah memarut dan memerah secara berasingan.

''Kaedah ini memerlukan masa yang panjang jika ingin menghasilkan dalam kuantiti yang banyak," katanya.
Selain itu, kata beliau mereka perlu melakukan dua kerja dalam satu masa itu memarut dan kemudiannya memerah santan.

Sudah tentu ia membazir masa dan ada kemungkinan terdedah kepada kekotoran ketika pengendalian dilakukan.

Azmi memberitahu, dengan menggunakan kombinasi kerja dua dalam satu tentunya menjimatkan masa dan penghasilan lebih pantas dalam tempoh sejam.

Ini dibuktikan dengan ujian dan analisis kerja dijalankan oleh mereka selepas pembangunan badan mesin itu disempurnakan.

Kajian yang dijalankan oleh kumpulannya juga membabitkan perbandingan antara kaedah konvensional yang ada di pasaran dan penggunaan mesin tersebut.

Hasilnya didapati sebanyak 30 kilogram (kg) santan dapat dihasilkan dalam tempoh sejam menggunakan mesin dua dalam satu itu berbanding antara 20 dan 25 kg pengguna kaedah konvensional pada tempoh masa yang sama.

Mesin yang direka menggunakan tali sawat (belt) yang dipasang kepada alat memarut dan skru memerah.

Hanya satu motor elektrik digunakan yang membabitkan satu fasa motor berkuasa 1.5 kuasa kuda dengan kelajuan 1,420 rpm serta penggunaan voltan 240v, 7.3 ampere yang digunakan untuk memindahkan kuasa menggerakkan tali sawat.

Mesin beroperasi menggunakan satu suis untuk bekalan kuasa kepada motor yang diletakkan di bawah mesin.

Kuasa dipindahkan dari motor elektrik kepada kedua-dua alat memarut dan memerah dengan tali sawat jenis V.

Dua tali sawat digunakan iaitu satu daripada motor untuk memusingkan gear yang bersambung dengan skru pemerah dan satu lagi tali sawat dari motor kepada alat pemarut pada bahagian atas mesin.

Fungsi gear berpusing ialah untuk mengurangkan rpm motor elektrik dan mengoperasikan skru pemerah pada bahagian tengah mesin berkenaan.

Mesin juga boleh digunakan secara berasingan sama ada menggunakan pemerah atau pemarut.

Mekanismanya ialah mengubahsuai takal secara manual sama ada menarik atau menolak.

Mekanisme ini direka berdasarkan masalah jika pengguna menggunakan pemarut tetapi masih perlu menghasilkan santan menggunakan alat pemerah.

Mesin perlu dihentikan operasinya sebelum menolak atau menarik takal yang terletak pada motor elektrik secara manual bagi tujuaan mengasingkan operasi kedua-dua fungsi mesin.

Bila memulakan operasi mesin, hanya pemerah sahaja yang akan bergerak manakala pemarut kekal statik.

Sementara itu menurut Azmi, meskipun belum ada di di pasaran, mereka yang berminat boleh menghubunginya untuk berbincang mengenai pembangunan mesin. Tempoh dua minggu diperlukan untuk menyiapkan mesin berkenaan.

''Kumpulan kami masih melakukan penyelidikan ke atas mesin ini bagi tujuan penambahbaikkan. Tetapi sekiranya ada keperluan dari segi saiz kami perlu perbagaikan saiz.

sumber- Utusan

No comments:

Post a Comment