Pages - Menu

Sunday, October 7, 2012

Bayi 12 hari selamat di pangkuan ibu

bayi kemalangan
Kelisa yang remuk dilanggar lori kontena, di Cabang Empat Kampung Banggol Chicha, jam 8 pagi semalam. Gambar kecil: Bayi yang terselamat.
PASIR MAS – Seorang bayi berusia 12 hari, terselamat di dalam pangkuan ibunya, selepas mereka terlibat dalam kemalangan di Cabang Empat Kampung Banggol Chicha, jam 8.30 pagi, semalam.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim berkata, bayi yang dipangku ibunya, Siti Aidah Mat Zain, 35, hanya cedera selepas kereta Kelisa yang dinaiki dilanggar lori kontena.

Menurutnya, lori yang dari arah Bayu Lalang ke Kampung Gaung, tidak sempat memberhentikan kenderaan di cabang empat, seterusnya melanggar Kelisa.

“Pemandu Kelisa, Nur Bahiyah Mohamad, 21, tidak mengalami sebarang kecederaan, namun penumpang lain, Abdul Rauf Mohamad, 20; Abdul Ghafar Mohamad, 20; Mohd Amirullah Abbas, 9, dan Aimi Amira Mohd Ali, 9, cedera ringan dan mendapatkan rawatan di Hospital Pasir Mas.

“Bayi berkenaan mengalami kecederaan di bahagian kepala, manakala ibu, Siti Aidah cedera di badan, mendapatkan rawatan di hospital yang sama,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata, saksi yang melihat kejadian diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah, untuk membantu siasatan dan kes ini disiasat di bawah Rule 3 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Nur Bahiyah berkata, mereka dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Pasir Mas, untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut, selepas bayi mengalami masalah kesihatan.

“Saya tidak sempat mengelak, selepas menyedari lori itu tidak memberhentikan kenderaan di Cabang Empat.

Pasukan Bomba dan Penyelamat Pasir Mas
Pasukan Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, mengusung Siti Aidah, selepas tersepit di dalam kereta, akibat kemalangan.
“Disebabkan lori memandu dengan laju, kereta kami diseret hampir 10 meter dari tempat kejadian,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Kanan Bomba II (PBK), Azuhan Ibrahim berkata, mereka menerima panggilan kecemasan pada jam 8.37 pagi, dan bergegas ke tempat kejadian dengan kekuatan tujuh anggota.

“Tiba di tempat kejadian, kita dapati terdapat seorang penumpang tersepit, manakala yang lain berjaya dikeluarkan oleh orang awam.

“Kita berjaya mengeluarkan mangsa di bahagian tempat duduk penumpang, kurang lima minit kemudian,” katanya.

sumber- Sinar

No comments:

Post a Comment