Keadaan lori yang membawa muatan baja buahan terbakar di Kilometer 207.9 Lebuhraya Utara Selatan, lewat petang kelmarin. |
ALOR GAJAH - Jeritan seorang penumpang kereta menyedarkan seorang pemandu lori bahawa kenderaan dipandunya sedang terbakar.
Kejadian berlaku kira-kira 6.45 petang kelmarin di Kilometer 207.9 Lebuhraya Utara - Selatan, di sini.
Pemandu lori, Zairi Abd Manaf, 31, berkata, dia dalam perjalanan ke Labis, Johor dengan membawa muatan baja buahan dari Klang, Selangor.
Menurut Zairi, ketika kejadian, dia memandu seorangan di laluan kiri dan tidak menyedari bahagian tayar belakang lorinya sedang terbakar.
“Tiba-tiba sebuah kereta memintas lori saya dengan laju dan bergerak seiring. Penumpang kereta menjerit memberitahu tayar belakang saya sudah terbakar dan dia meminta saya berhenti segera,” katanya.
Menurutnya, dia yang bimbang kerana laluan berkenaan terlalu gelap pada mulanya merancang untuk berhenti beberapa ratus meter lagi di hadapan, namun membatalkan hasratnya.
“Tanpa fikir apa-apa saya terus berhentikan lori dan turun segera untuk melihat. Saya terkejut mendapati api marak sudah membakar tayar bahagian belakang sebelah kanan, termasuk muatan yang dibawa.
“Saya jauhkan diri dari kenderaan kerana bimbang api merebak ke depan sebelum mendapatkan bantuan kecemasan," katanya.
Katanya, dia bernasib baik kerana jeritan penumpang kereta berkenaan membolehkan dia bertindak cepat.
Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah, Hairudin Atan berkata, seramai 14 anggota membabitkan dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah dan Ayer Keroh tiba ke tempat kejadian untuk memadamkan kebakaran.
sumber- Sinar
No comments:
Post a Comment