Proton Iswara dan Toyota Avanza yang remuk. Gambar kecil: Othman |
JEMPOL - Tiga rakan sekampung yang sedang dalam perjalanan pulang ke rumah terbabit dalam kemalangan di Kilometer 5 Jalan Bahau - Rompin, di sini, kelmarin, menyebabkan seorang daripada mereka maut.
Dalam kejadian kira-kira 1.30 pagi itu, kereta jenis Proton Iswara dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lagi kereta jenis Toyota Avanza, ketika tiga rakan itu hendak pulang ke Felda Jelai, Tampin.
Ketua Polis daerah, Superintendan Hamzah Alias berkata, mangsa yang maut adalah pemandu kereta, Othman Nayan, 58, dan penumpang hadapan, Yatim Majon, 59.
Katanya, kedua-duanya maut di tempat kejadian.
“Manakala seorang lagi penumpang duduk di belakang, Zainudin Abdullah, berusia sekitar 50-an, cedera parah dan kini berada di Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban," katanya.
Menurutnya, kedua-dua mangsa maut akibat tersepit dan berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba dan penyelamat.
“Siasatan awal mendapati Toyota Avanza berkenaan yang datang dari arah Rompin - Bahau dinaiki sebuah keluarga, hilang kawalan,” katanya kepada Sinar Harian ketika mengesahkan kejadian berkenaan, semalam.
Hamzah berkata, pelanggaran kuat menyebabkan Proton Iswara terbabas ke bahu jalan, manakala Toyota Avanza tersasar dari laluan asalnya.
“Keluarga yang menaiki Toyota Avanza itu selamat dan kini dirawat di Hospital Jempol serta Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah," katanya.
Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Jempol untuk bedah siasat dan dituntut keluarga masing-masing pada hari sama.
Katanya, kes disiasat di bawah seksyen 41 (1) Akta pegangkutan jalan (APJ) 1987.
"Polis juga meminta saksi kejadian untuk tampil ke Balai Polis berhampiran bagi membantu siasatan, atau hubungi Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) di talian 06-4582222," katanya.
sumber- Sinar
No comments:
Post a Comment