Pages - Menu

Thursday, June 28, 2012

Pengedar dadah warga Singapura mati ditembak

ANGGOTA polis menjalankan siasatan di tempat Teck Huat mati 
ditembak dari jarak dekat di Pangsapuri Tebrau Resident, Taman Desa Tebrau, Johor Bahru kelmarin.

JOHOR BAHRU - Pertelingkahan untuk berebut kawasan bagi mengedar dadah disyaki punca seorang lelaki Singapura mati ditembak oleh pesaingnya dari jarak dekat dalam kejadian di Blok E, Pangsapuri Tebrau Resident, Taman Desa Tebrau, di sini kelmarin.

Kejadian pukul 9.45 malam itu menyebabkan Koh Teck Huat, 40, mati di tempat kejadian akibat terkena dua das tembakan termasuk satu di muka.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob berkata, kejadian berlaku apabila mangsa yang sedang menuju ke keretanya didatangi suspek yang menaiki sebuah kenderaan menggunakan nombor pendaftaran Singapura.

"Suspek kemudian terus melepaskan beberapa das tembakan ke arah mangsa sebelum melarikan diri. Pemeriksaan pada badan mangsa menemui sebuah beg sandang mengandungi pelbagai jenis dadah.

"Kita kemudian memeriksa pula rumah mangsa di situ dan menemui pelbagai pil dan ketulan dipercayai dadah. Kita turut menahan teman wanita mangsa berusia 30-an yang menetap di rumah mangsa bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya ketika dihubungi semalam.

sumber-Kosmo

Sampel darah kera belaan diambil

SABRI (dua dari kanan) mengambil sampel darah seekor kera peliharaan sambil dibantu kakitangan Perhilitan Jeli di Kampung Bukit Ipoh, Jeli kelmarin.

JELI - Bagi memastikan kera peliharaan penduduk bebas daripada kuman parasit malaria berjangkit, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mengambil sampel darah 50 ekor haiwan tersebut di Kampung Bukit Ipoh di sini kelmarin.

Operasi itu dijalankan bersama Jabatan Veterinar dan Kementerian Kesihatan.

Kuman parasit malaria yang dibawa oleh kera boleh menyebabkan kematian manusia.

Ia berlaku apabila nyamuk yang menggigit binatang pembawa kuman parasit kemudian hinggap dan menggigit manusia.

Ketua Perhilitan Daerah Jeli, Mohd. Ismail Awang berkata, sebelum ini, pihaknya telah diarahkan oleh Perhilitan Negeri Kelantan supaya melupuskan semua spesies kera liar yang berada di dalam hutan kerana dikesan membawa penyakit malaria.

"Jadi, operasi hari ini (semalam) pula adalah untuk memastikan tidak ada kera-kera peliharaan yang dijangkiti penyakit ini.

"Dalam operasi bersama ini, tugas Perhilitan ialah memegang kera-kera berkenaan supaya sampel darahnya boleh diambil oleh pegawai dari Kementerian Kesihatan sebelum diberikan kepada Jabatan Veterinar untuk menilai sampel darah tersebut," katanya kepada Kosmo! ketika ditemui dalam operasi tersebut.

sumber-Kosmo

Sang Bedal lain termakan jerat

SANG BEDAL yang berjaya ditangkap dibawa ke rumah panjang bagi membolehkan Embol membunuhnya.



SARATOK – Peribahasa tidak dapat rotan akar pun berguna mungkin sesuai untuk menggambarkan nasib seorang tuai Rumah Panjang Nanga Sungai Anak, Embol Asum, apabila hasratnya untuk membalas dendam membunuh sang bedal bergelar Bujang Sebelak tidak kesampaian semalam.

Sebaliknya, Embol, 48, hanya dapat membunuh dua ‘orang kanan’ buaya tersebut yang dapat ditangkap selepas termakan umpan dipasang oleh pawang buaya tersohor di sini, Indet Sanabong, 49, di Sungai Anak dekat Pekan Kecil Roban di sini.

Difahamkan, buaya pertama merupakan buaya betina bergelar Dara Nanga berukuran 2.6 meter yang ditangkap pada pukul 9 pagi, kira-kira satu kilometer dari Kuala Sungai Anak manakala seekor lagi buaya jantan bergelar Bujang Muara sepanjang 1.6 meter ditangkap satu jam setengah kemudian.

Embol merupakan suami Siah Munsong, 42, yang mati selepas diserang seekor buaya berukuran lima meter panjang serta ukur lilit badan sebesar tong drum pada 19 Jun lalu. Buaya itu buta mata kirinya.

sumber-Kosmo

Sotong pilih nama Cora

SEEKOR sotong kurita gergasi memilih bola yang mengandungi Cora 
sebagai namanya di akuarium Zoo Akron di Akron kelmarin.



AKRON, Ohio - Seekor sotong kurita gergasi yang menjadi daya tarikan pada pameran terumbu karang di Zoo Akron di sini memilih Cora sebagai namanya kelmarin.

Haiwan itu menarik keluar seekor udang daripada bola yang mengandungi nama Cora di dalam akuarium sotong tersebut.

Sotong tersebut memegang bola itu dengan sesungutnya.

Haiwan tersebut tidak mengeluarkan udang daripada dua lagi bola yang mengandungi nama Octavia dan Scarlet.

Satu senarai mengandungi 2,000 nama diterima pihak Zoo Akron dalam pertandingan menamakan haiwan berkenaan sebelum ini.

Namun, hanya tiga nama itu disenarai pendek.

Sotong betina itu seberat 9 kilogram dengan panjang 1.2 meter itu.

sumber-Kosmo

Mengajar cara mencari emas di sungai

cara mendulang emas

FOZ DO COBRAO, Portugal - Seorang warga emas berusia 85 tahun, Manuel Goncalves mengajar kanak-kanak dan golongan muda cara untuk mencari emas di sebatang sungai di sini.

Goncalves menunjukkan kepada mereka cara mendulang emas dengan betul di sungai tersebut.

Dia pernah mencari emas melalui kaedah itu pada tahun 1950-an.

Goncalves mengajar mereka cara untuk mengenal pasti batu kecil yang mengandungi emas semasa mendulang di sungai tersebut.

sumber-Kosmo

Kumpulan senaman diarah jangan ketawa kuat

GAMBAR fail pada 22 Jun lalu menunjukkan ahli-ahli Persatuan Joging Sheetal melakukan senaman yoga ketawa di tepi tasik Sheetal Talao, Mumbai.

MUMBAI - Sebuah mahkamah di India memerintahkan sebuah kumpulan senaman ketawa supaya berhenti gelak dengan kuat selepas seorang penduduk setempat mengadu mengalami "penderaan mental".

Sejak arahan tersebut dikeluarkan susulan satu perbicaraan pada minggu lalu, ahli-ahli kumpulan senaman ketawa itu cuba sedaya upaya untuk memperlahankan bunyi ketawa mereka.

Sesi senaman ketawa tersebut diadakan di pinggir bandar raya ini.

Presiden kumpulan itu, Sadanand Ghate berkata, beliau cuba menerangkan kepada polis bahawa ahli-ahlinya mahukan suasana damai dan bukan bertujuan untuk mengganggu ketenteraman awam.

Namun, polis telah mengarahkan kumpulan tersebut supaya mengurangkan bunyi bising selepas perbicaraan kes itu diadakan pada 18 Jun lalu.

Seorang doktor, Madan Kataria mendakwa telah menunuhkan kelab yoga pertama di Mumbai pada pertengahan tahun 1990-an.

Beliau menubuhkan kelab tersebut berdasarkan tanggapan bahawa ketawa boleh memberi manfaat psikologi.

Menurut laman webnya, terdapat lebih 6,000 kelab ketawa di seluruh dunia.

sumber-Kosmo

Misteri kubur dekat pejabat PM Timor Leste

SALAH satu rangka manusia yang ditemui dekat pejabat Perdana Menteri Timor Leste di Dili pada minggu lalu.


DILI - Polis di Timor Leste menemui sebuah kubur yang mengandungi rangka tulang 52 orang dekat pejabat Perdana Menteri, Xanana Gusmao, kata seorang pegawai semalam.

Beberapa pekerja pembinaan menemui kubur tersebut pada minggu lalu sebelum mereka menghubungi polis.

Pada tahun 1975, Tentera Indonesia menceroboh Timor Leste yang merupakan bekas jajahan Portugal itu.

Timor Leste yang ketika itu dikenali sebagai Timor Timur diduduki selama 24 tahun oleh Indonesia.

Dianggarkan seramai 183,000 orang terbunuh akibat pencerobohan itu.

Ketua Perkhidmatan Siasatan Jenayah Timor Leste, Calisto Gonzaga menyatakan rangka itu terlalu besar dan tidak mungkin ia milik penduduk Timor Leste.

"Kami melihat tengkorak dan ia amat besar dan sebilangan tulang amat panjang. Saya berpendapat rangka itu bukan (milik) penduduk Timor Leste," katanya.

Menurutnya, kedudukan rangka itu memberi petunjuk bahawa si mati mungkin dibunuh.

Gonzaga berkata, polis akan menunggu laporan seorang pakar dari Australia yang akan tiba pada Julai depan sebelum membuat sebarang penyiasatan.

Seorang profesor dari Australia, Damien Kingsbury menyatakan, tulang-tulang itu mungkin milik penduduk berketurunan Cina.

"Penduduk Cina masih berada di Timor Leste semasa Indonesia menceroboh pada tahun 1975.

"Mereka mungkin menjadi sasaran serangan tentera Indonesia pada masa itu," katanya.

sumber-Kosmo

Langkah Facebook tukar butiran e-mel dikecam hebat

facebook 

WASHINGTON - Laman sosial Facebook sekali lagi membuat perubahan tanpa mengumumkan perkara itu kepada 900 juta penggunanya, sekali gus mencetuskan kritikan dan kecaman daripada penggunanya semalam.

Syarikat itu berkata ia berbuat demikian agar butiran para pengguna "konsisten" dengan identiti lamannya.

Facebook didakwa sewenang-wenangnya menukar alamat e-mel peribadi pengguna berakhir dengan '...@facebook.com'.

Dalam satu kenyataan, laman sosial tersebut mendakwa tujuan mereka melakukan perubahan itu adalah untuk melindungi identiti dan keselamatan pengguna iaitu dengan tidak memaparkan alamat e-mel peribadi mereka.

"Seperti yang telah kami umumkan April lalu, Facebook kini sedang mengemas kini alamat pengguna bagi memastikan kesemuanya konsisten," kata jurucakap syarikat itu.

Banyak pihak turut mengkritik pembaharuan yang dilakukan oleh Facebook sejak akhir-akhir ini termasuk penggunaan 'timeline' yang didakwa menjadikan status lama atau aktiviti pada masa lalu mudah diakses pengguna lain.

Facebook memberitahu CNN yang perkara itu mula dikuatkuasakan sejak beberapa minggu lalu tetapi ramai pengguna tidak menyedarinya sehingga sebahagian besar mula bercerita melalui blog masing-masing semalam.

Menerusi Twitter, wartawan teknologi bebas, Ron Miller berkata, “jika bencikan pengguna, Facebook secara tidak langsung memaksa pengguna menggunakan sistem e-mel mereka. Adakah benar?”

Pemblog, Gervase Markham berkata, "Facebook secara senyap menggodam akaun Facebook pengguna dan menyulitkan orang lain untuk berhubung melalui e-mel sebenar saya."

"Ini dikenali sebagai Manusia Melalui Serangan Senyap (MITM)," katanya.

Beliau merujuk perkembangan iti sebagai taktik penggodam bagi memintas mesej elektronik dan Facebook sendiri seolah-olah terkejut dengannya.

“Kami gagal secara asasnya untuk menunjukkan alamat Facebook anda kerana dengan cara ini, ia cuma untuk memastikan ia konsisten bagi semua pengguna,” kata Pengurus Komunikasi Facebook, Meredith Chin.

Beliau mengulangi perkataan "konsisten" beberapa kali dalam usaha untuk menjelaskan rasional Facebook membawa perubahan itu.

Ia merupakan proses yang baru selepas profil pengguna diubah kepada “timeline”, yang memudahkan para pengguna mengemas kini dan menukar tetapan peribadi mereka menggunakan Facebook dan langkah mewujudkan e-mel ini adalah proses yang sama.

Pengguna tetap boleh menunjukkan alamat e-mel peribadi mereka tetapi tanpa mereka sedari akan ditambah dengan akhiran @facebook.com.

Chin mengesahkan yang perkara ini tidak akan menjejaskan pengguna Facebook.

Ini bermakna ramai pengguna akan mula mendapat mesej e-mel pada akaun "...@facebook.com" mereka.

Chin tidak dapat menghuraikan mengapa Facebook tidak berkomunikasi berhubung langkah itu sebelum ia dilaksanakan.

Pengguna yang mahu menghentikan alamat the@facebook.com daripada muncul pada profil mereka, boleh mengemas kini bahagian "Maklumat Hubungan".

Tambah Chin, Facebook boleh memberitahu dan meyakinkan para pengguna jika masih terdapat lagi kekeliruan mengenai perkara itu.

sumber-Sinar

Hantu Tanpa Kepala di Kulim


Ada dalam kalangan kita menolak kewujudan alam misteri dan mistik. Tidak kurang yang menyatakan ia hanya tahyul dan tidak seharusnya dipercayai. 

Bagi penduduk Terap Daerah Kulim Kedah, penemuan mayat tiga beradik tanpa kepala beberapa tahun lalu, meninggalkan kesan kepada mereka apabila jelmaan lembaga tanpa kepala sering ditemui berdiri di tepi jalan apabila menjelang waktu tengah malam terutama ketika waktu hujan. 

Ada juga penduduk kampung yang pernah melihat lembaga itu pada waktu pagi, terutama yang bekerja di ladang getah. Seorang Penoreh Getah, En.Abu Hassan Ismail yang tinggal di Terap sejak 54 tahun lalu berkata, hanya mereka yang pernah bertemu dengan lembaga itu sahaja akan mempercayai kewujudannya. Menurutnya, sehingga kini, ramai penduduk sudah melihat sendiri dan ada antara mereka yang sampai demam kerana terkejut. 



"Sekitar tahun 2007 dan 2008, penduduk kawasan ini digemparkan dengan penemuan mayat tiga beradik tanpa kepala di dalam kawasan ladang getah. Mereka dipercayai dibunuh di tempat lain dan mayat mereka dibuang disini" 

"Selepas kejadian itu berlaku, ada penduduk kampung, terutama penoreh getah yang keluar bekerja seawal jam 4 pagi, ternampak lembaga tanpa kepala berdiri di tepi pagar kawasan ladang atau di tepi jalan. Sejak itu laluan dari Terap ke Sungai Tengas dikatakan berpuaka" kata En.Abu Hassan 

Sementara itu, seorang penggemar burung yang sering masuk ke kawasan hutan berdekatan berkata, dia turut menemui lembaga itu kira-kira jam 12 tengah hari. Ketika sedang leka mengunggu, dengan tiba-tiba burung yang dijadikan umpan bertukar menjadi liar. 

Sedang dalam kehairanan itu, dia merasa seram sejuk dan seakan ada orang sedang memerhati. Apabila dia menoleh ke belakang, lembaga tidak berkepala itu telah ada di belakangnya. 

Selain itu, kawasan misteri berkenaan juga sering berlaku kemalangan. Penunggang motosikal, pemandu kereta, bahkan pemandu lori treler juga dilaporkan sering terbabas kerana cuba mengelak daripada lembaga tidak berkepala yang sedang melintas jalan. 

Anggota-anggota polis dari Pondok Polis Terap yang sering membuat rondaan juga menyatakan yang kawasan berkenaan amat menyeramkan terutama apabila tiba di puncak bukit. 


sumber : kedah2u.com

Bukti Kebenaran Seksa Kubur : Peringatan daripada Allah swt

bukti seksaan kubur

Gambar di atas merupakan mayat seorang pemuda lelaki berumur 18 tahun yang meninggal dunia di salah sebuah hospital di Oman. Mayat ini digali semula daripada kuburnya selepas 3 jam dikebumikan di atas permintaan bapanya. Pemuda ini dikebumikan secara Islam dan pada hari yang sama beliau disahkan meninggal dunia oleh para doktor. Walaubagaimanapun, timbul keraguan pada bapanya tentang kesahihan punca kematian anaknya dan ingin membuat pengesahan semula. 

bukti seksaan kubur

Sanak saudara dan rakan-rakannya terkejut setelah melihat mayat pemuda ini. Pemuda ini kelihatan berubah sepenuhnya dalam tempoh hanya selepas tiga jam dikebumikan. Kulitnya bertukar menjadi kelabu seperti orang yang sangat tua, beserta beberapa kesan penderaan dan pukulan, dengan tulang-tulang tangan dan kaki yang telah patah, tulang-tulang rusuknya pecah dan menekan ke arah dalam badannya. Keseluruhan tubuh dan mukanya telah cedera. Matanya yang terbuka menggambarkan ketakutan dan kesakitan yang amat sangat. Kesan-kesan darah pada mayatnya menunjukkan seolah-olah beliau baru menjalani beberapa siksaan. 

bukti seksaan kubur

Setelah merujuk mayat pemuda itu kepada beberapa orang saintis Islam, mereka bersetuju bahawa kaitan yang terdekat tentang kejadian ini adalah tentang seksaan kubur yang dijanjikan oleh Allah swt yang telah diingatkan melalui hadis-hadis Rasulullah saw. Bapanya yang juga terkejut dengan kejadian itu mengakui bahawa anaknya berakhlak buruk, meninggalkan solat, menjalani kehidupan sosial yang bebas dan melakukan pelbagai jenis dosa. Setiap manusia yang mati pasti akan menjalani soal jawab di dalam kubur kecuali mereka yang Syahid pada jalan Allah swt seperti terkorban ketika menegakkan agama Islam. Ini merupakan ujian awal yang akan dilalui oleh setiap manusia sebelum Hari Kiamat. 


Dalam Hadis Rasulullah saw : 
Selepas kematian, roh seseorang yang mati akan kembali kepada tubuhnya dan dua malaikat akan muncul, Mungkar dan Nangkir, dan akan bertanya "Siapa Tuhan kamu ?" dan dia akan menjawab “Allah tuhan aku”. Kemudian mereka bertanya padanya “Apa agama kamu ?” dia akan menjawab “Islam agama aku” Kemudian mereka bertanya padanya “Siapa yang diutuskan kepada kamu ?” dia akan menjawab “Rasulullah saw diutuskan kepada aku” Kemudian mereka bertanya padanya “Bagaimana kamu tahu ?” dia akan menjawab “Aku membaca kalam Allah (Al-Quran) dan mempercayainya” Kemudian akan kedengaran suara dari Syurga mengatakan “ Hambaku telah bercakap benar, baringkan dia di atas katil daripada Syurga dan bukakan pintu Syurga untuknya” Kemudian dia akan mendapat kebahagiaan dan mula merasai kenikmatan dari Syurga, dan kuburnya akan diluaskan seluas mata memandang. 

Rasulullah saw bersabda tentang manusia yang berdosa. Selepas proses kematian selesai, rohnya akan kembali kepada tubuhnya dan dua malaikat akan muncul, Mungkar dan Nangkir, dan akan bertanya "Siapa Tuhan kamu ?" dan dia akan menjawab “Aku tidak tahu” Kemudian mereka bertanya padanya “Apa agama kamu ?” dia akan menjawab “Aku tidak tahu” Kemudian mereka bertanya padanya “Siapa yang diutuskan kepada kamu ?” dia akan menjawab “Aku tidak tahu” Kemudian akan kedengaran suara dari langit mengatakan “ Hambaku telah berdusta, masukkan dia ke dalam kotak yang diperbuat daripada api dan bukakan pintu Neraka untuknya” Kemudian dia akan merasa bahang daripada api neraka dan kuburnya akan sempitkan sehingga bersilang tulang-tulang rusuknya. 

Dalam Hadis juga dinyatakan, bahawa malaikat dengan kejamnya akan menghukum orang-orang yang berdosa semasa ujian di dalam kubur dan siksaannya sangat menakutkan. Juga dimaklumkan bahawa Rasulullah saw memohon kepada Allah swt agar dilindungi daripada siksaan kubur dan menyuruh umatnya juga berbuat demikian. 

Peristiwa pemuda berumur 18 tahun ini adalah sebagai peringatan kepada sesiapa yang mempercayainya dan hanyalah sebagai satu lagi cerita dongeng kepada sesiapa yang pintu hatinya ditutup oleh Allah swt. Mereka ini melihat tetapi tidak nampak, memasang telinga tetapi tidak dengar.

sumber : kedah2u.com

Lorong Puaka di Taman Selasih, Kulim


Taman Selasih, Daerah Kulim, Kedah darul Aman - Tiada siapa yang menyangka bahawa kebanyakan kawasan taman perumahan di sini adalah merupakan hutan 'tempat jin bertendang' dan menjadi tempat persembunyian komunis.

Bagi penduduk asal di sini yang berusia 60 hingga 70 tahun, mereka tidak menafikan bahawa sekitar tahun 40-an, banyak 'benda' telah ditanam di tengah hutan bagi tujuan perubatan dan menghalau makhluk halus yang merasuk.

Jalan pintas yang menghubungkan Taman Saga ke Taman Rhu adalah laluan yaang masih digunakan sehingga kini. Beberapa orang saksi telah mendakwa yang mereka pernah ternampak lembaga putih sedang terbang atau bertenggek di atas dahan pokok di sepanjang jalan tersebut.

Salah seorang di antara mereka adalah En.Hirmin Osman, seorang ahli Skuad Rondaan Sukarela (SRS) Taman Selasih. Beliau tersua dengan lembaga putih itu sekitar jam 3.30 pagi semasa membuat rondaan pencegahan jenayah dan lembaga itu dilihat sedang terbang seiringan dengannya dalam anggaran jarak lapan meter sahaja.

Kata En.Hirmin, "Ketika itu, saya hanya mendiamkan diri dan terus menunggang motosikal sehingga tiba di Taman Rhu dan seterusnya menggunakan jalan lain untuk ke Taman Selasih. Apabila tiba di rumah, badan saya terasa panas seperti hendak demam. Saya memang nampak lembaga putih itu terbang dengan jelas"

Seorang lagi saksi yang ditemuramah adalah Mr.Ravindran Rao, seorang pekerja industri. Semasa beliau pulang lewat daripada tempat kerja, beliau terasa motosikal yang ditunggangnya agak berat, tetapi beliau terus menunggang tanpa sebarang prasangka buruk. Baginya, mungkin motosikalnya yang bermasalah.

Kemudian, dengan tiba-tiba motosikalnya terasa kembali ringan seperti biasa disertai dengan deruan angin dibelakangnya seperti sesuatu bergerak dengan pantas dari tempat duduk belakang. Beliau ternampak kelibat sesuatu sedang terbang ke atas dan terus mendongak.

Setelah diperhatikan dengan teliti, kelihatan satu lembaga putih di atas dahan pokok. Beliau tidak dapat mengawal motosikalnya lalu terjatuh bersama motosikalnya kerana ketakutan.

Terang beliau, "Keanehan yang sering diperkatakan oleh penduduk setempat tentang lorong puaka itu memang benar-benar berlaku dan saya sendiri telah mengalaminya. Pada hari kejadian, saya balik lewat kerana bekerja lebih masa. Jika menggunakan jalan biasa, saya akan lebih lewat lagi tiba di rumah. Oleh itu, saya menggunakan lorong puaka tersebut sebagai jalan pintas"

"Selepas kemalangan itu, saya tidak sedarkan diri dan selepas itu baru saya bertanya kepada keluarga. Mereka menyatakan yang saya berkelakuan aneh seperti ketawa seorang diri dan makan dengan gelojoh. Mereka kemudiannya mendapatkan bantuan daripada pengamal perubatan tradisional India untuk memulihkan saya"

sumber-CelapakIT

15 minit lawan kudrat mak nyah

KOTA KINABALU: Dua anggota polis dan seorang penguat kuasa Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) terpaksa berhempas pulas hampir 15 minit sebelum dapat menyaingi kudrat seorang mak nyah yang cuba meloloskan diri, dalam Operasi Bersepadu di Kompleks Asia City, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 2 pagi itu, pondan terbabit yang berusia 22 tahun bersama seorang rakannya dihampiri dua anggota polis yang ingin menyoal siasatnya ketika menunggu pelanggan di tempat parkir kenderaan berhampiran kawasan itu.

Sebaik dihampiri polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu itu, mak nyah terbabit cuba melarikan diri dan mula bertindak agresif dengan meronta-ronta apabila hendak ditahan.

Biarpun cuba ditenangkan, mak nyah tetap berkeras dan masih cuba melarikan diri sehingga berlaku pergelutan dengan dua anggota polis yang cuba menahannya.



Insiden tarik menarik, pergelutan itu berlarutan hingga ke tengah jalan raya berhampiran Kompleks Asia City.


sumber-HMetro

Cabul rakan dalam tandas

GOMBAK: Sepuluh pelajar lelaki tingkatan dua bertindak rakus apabila menceroboh tandas wanita sekolah mereka, dekat sini sebelum mencabul dua rakan sekelas secara bergilir-gilir, selain mengugut akan merogol mangsa jika menceritakan kejadian itu kepada orang lain.

Walaupun kedua-dua mangsa berusia 14 tahun sudah mengunci pintu tandas dan bersembunyi di dalamnya, kumpulan pelajar ganas terbabit nekad memanjat dinding tandas sebelum masuk dan mencabul mangsa.

Kejadian itu berlaku kira-kira jam 6 petang 19 Jun lalu, namun ia tidak berakhir di situ saja kerana selepas itu mereka terus mengganggu kedua-dua mangsa malah turut diugut supaya tidak membocorkan rahsia perbuatan mereka atau akan dirogol.

Tidak tahan dengan gangguan dan ugutan yang diterima, seorang daripada mangsa nekad membuat laporan di Balai Polis Rawang, kelmarin.



Menurut sumber, sebelum kejadian kedua-dua mangsa masuk ke dalam tandas sekolah mereka sebelum terdengar bunyi bising di luar.


sumber-HMetro