Pages - Menu

Thursday, July 5, 2012

10 serangga paling berbahaya di dunia

Serangga merupakan 60 % daripada populasi fauna yang direkodkan. Kehadiran mereka di bumi sangat unik, kerana mampu berada di mana-mana sahaja. Mereka bukan sekadar penyeri kepada bumi, sebaliknya kehadiran mereka penyumbang kepada perjalanan sistem bumi yang lebih baik, ada bertugas sebagai agen pendebungaan serta survival tumbuhan, ada sebagai salah satu agen penguaraian di samping bakteria. Mereka dikurnaikan oleh dengan sifat serta ciri-ciri unik. Antaranya pelbagai jenis bentuk dan warna.Namun entri ini memfokuskan kepada serangga yang dianggap paling berbahaya kepada manusia. Antara mereka menjadi penyumbang kepada penyebaran wabak penyakit serta mempunyai rekod yang sangat baik di dalam membunuh berjuta-juta manusia di seluruh dunia.


No 10 : Kutu


Serangga ini merupakan parasit yang menjadikan manusia dan haiwan sebagai perumah dan darah mangsa sebagai makanannya. Sangat mudah untuk membiak dan berpindah kepada pemangsa yang lain. Kutu jika tidak dikawal boleh menyebabkan masalah kulit yang ketara.Maslah timbul jika mangsa mengalami reaksi alahan atau alergi pada kulit yang boleh menyebabkan kematian.Kutu boleh menjadi vektor atau pembawa parsit lain, seperti protozoa, virus dan bakteria Namun sekarang dengan pelbagai langkah pencegahan dan rawatan ,masalah akibat kutu sudah dapat di kawal.

No 9 : Semut Api

Permaisuri semut api
Sinonim dengan budaya masyarakat Malaysia. Semuat api adalah salah satu spesies dari 286 spesies semut yang mampu menyengat. Juga dikenali dengan pelbagai gelaran seperti semut Halia, semut api tropika dan semut merah. Mempunyai sengatan yang agak menyakit rasa seperti kulit terbakar. Sengatan semut api memang boleh dirawat di rumah,namun masalah timbul jika berbelas-belas ekor semut api menyengat anda. Sengatan semut api akan berlaku berulang-ulang kali terhadap mangsanya.Sengatan semut api mengandungai alkoloid yang mempunyai kekuatan seperti asid. Rawatan segera perlu bagi mangsa yang mengalami alergi kepada sengatan, terutama jika mangsanya adalah kanak-kanak yang masih kecil.

No 8 : Saifu Ants/ Semut Afrika


lihat sahaja rahangnya yang tajam dan mampu mengoyakkan daging mangsanya

Mempunyai rahang yang kuat dan bergerak di dalam bentuk koloni, sangat ganas, dan mampu menghancurkan musuh atau haiwan lain dengan cepat.Gigitan mereka sangat menyakitkan dengan 2 bekas tusukan rahang yang kuat,sukar untuk menanggalkan rahang tersebut walaupun semut ini sudah mati sekali pun. Berbahaya juga kerana semut ini bergerak di dalam kumpulan besar,sekurang-kurangnya 20 ribu ekor dan memusnahkan apa sahaja serangga atau haiwan yang berada dilaluan mereka, walaupun diet utama semut ini ialah cacing tanah serangga yang besar juga tidak terkecuali.

No 7 : Tebuan/Penyengat

Tebuan Pasir,menyedut cecair dalam badan lalat yang dilumpuhkan

Tebuan Serigala dari Eropah


Penyengat adalah spesies tebuan. Terdapat lebih 100 ribu spesies,turut mempunyai sengatan yang menyakitkan.Di Malaysia Tebuan tanah merupakan antara spesies yang berbahaya, sengatan darinya amat menyakitkan dan perlu di bawa ke hospital untuk rawatan segera, terutama bagi kanak-kanak. Walaupun kecil, sebagaimana tebuan Gergasi Jepun , tebuan ini ,sengatannya boleh menimbulkan reaksi alahan yang serius, serangan di dalam jumlah besar mampu menyebab kematain waupun hanya satu sengatan.

No 6 : Lebah Pembunuh Afrika


Kesilapan dengan membebaskan permaisuri Lebah Afrika dari Tanzania, mencetuskan fenomena ketakutan terhadap lebah ini di USA. Lebah Afrika tidak banyak beza dengan spesies lebah yang lain, namun mereka sangat agresif dan menyerang secara berkumpulan.Jika anda berniat lalu sahaja di hadapan atau dibawah sarang lebah ini,meraka akan memburu anda, bukan seekor tetapi ribuan lebah ini akan menngejar anda dan mampu menyengat anda berulang kali. Inilah yang menimbulkan ketakutan dalam kalangan penduduk Amerika Syarikat,atas sifat agresif lebah ini.Walaupun kematian akibat serangan lebah ini kecil 1-2 orang setahun di USA dan Mexico, ia mash tersenarai sebagai serangga yang berbahaya.

No 5 : Tebuan Gergasi Jepun ( Japanese Giant Hornet/ Asian Gaint Hornet )


Tebuan yang berasal dari Jepun ini merupakan spesies terbesar,mampu mencapai saiz sehingga melebihi 4 cm dan panjang sayap sehingga 6 cm ! Sengatannya mampu membawa venom atau bisa yang sangat menyakitkan bagi keluarga tebuan atau penyengat lain. Mampu menyegat berulang kali. Jumlah kematian di Jepun direkodkan puratanya 40 orang setiap tahun. Venom dari tebuan gergasi ini terlalu menyakitkan dan memerlukan rawatan dari hospital dengan segera, Kematian boleh berlaku , kerana venom atau bisanya boleh mencetuskan anaphylactic shock atau reaksi alahan dan merosakkan tisu badan serta menyerang sistem saraf. 30 tebuan ini mampu memusnahkan satu koloni lebah yang mengandungi 30-40 ribu lebah . Serangan tebuan ini merupakan antara masalah utama penternak lebah madu di Jepun.

No 4 :Labah-labah


Labah-labah Tree Dwelling Funnel Web dari Australia mampu membunuh manusia jika tanpa anti venom peringkat awal.

Labah-labah terkenal kerana gigitannya mampu memberikan kesan kesakitan yang amat kuat kepada manusia. Entri sebelum ini sudah disenaraikan 5 labah-labah paling berbahaya. Antara sudah tentunya Black Widow, Redback, Brazilian Wandering dan sebagainya, Gigitan mereka jika tidak di rawat mampu membunuh manusia

No 3 : Kumbang Kissing (Kissing Bug )


salah satu spesies yang menjadi vektor penyakit Chagas di benua Amerika Latin.

Merupakan serangga penghisap darah. Di kenali dengan pelbagai nama, antaranya ,assasin bug kissing bug, pepijat conenose dan triatomines. Dilengkapi dengan tiub penghisap darah, kissing bug menghisap darah tanpa sebarang rasa sakit. Paling banyak ditemui di Amerika Selatan terutamanya di Brazil serta terdapat juga di Amerika Utara dan sedikit di Arfika ,Australia dan Asia.Mempunyai 300 spesies di seluruh dunia.


Kissing bug biasanya menghisap darah dan dikenal pasti mampu menyebarkan penyakit Chagas. Simpton awal adalah bengkak biasa di muka, diikuti dengan deman, namun jika dibiarkan tanpa rawatan penyakit ini akan merebak dan memusnahkan organ dalam badan manusia seperti jantung.Sukar untuk mendiagnosis penyakit ini pada peringkat awal dan ramai pesakit menderita puluhan tahun jika tidak dirawat dengan segera.

No 2 : Lalat Tsetse


Hanya didapati dibenua Afrika. Lalat ini merupakan serangga penghisap darah.Namun masalah yang paling besar lalat yang mempunyai fizikal seperti lalat rumah ini merupakan vektor atau pembawa penyakit tidur atau pun trypanosomiasis Afrika. Penyakit ini sebenarnya adalah penyakit berkaitan dengan saraf. Pada awalnya penyakit ini berpunca dengan penyebaran protozoa trypanosoma (sejenis parasit ) yang akan menyerangkan sistem saraf, limpa dan otak manusia. Dianggarkan kematian setiap tahun di benua Afrika sekitar 250- 300 ribu ! Walaupun hanya terdapat 3 spesies yang utama lalat ini memang berbahaya kepada manusia. Namun dengan sistem kitaran hidup hanya di benua Afrika menyebabkan ia kurang dikenali di benua lain . Walaupun pelbagai kempen dan usaha dilakukan gigitan lalat ini masih banyak berlaku di benua itu.

No 1 : Nyamuk

Nyamuk Anopheles menyebabkan deman Malaria yang sangat berbahaya
Nyamuk Aedes penyebab demam Denggi yang berbahaya.
Serangga kecil ini merupakan serangga paling berbahaya di dunia. Dengan bentuk fizikal yang kecil ia mampu mencetus wabak yang membunuh jutaan umat manusia saban tahun di seluruh dunia. Anda mungkin kenal dengan penyakit demam denggi, cikungunya, dan Malaria. Nyamuk Anopheles antara paling berbahaya di dunia yang menjadi agen kepada penyakit demam Malaria, di seluruh dunia sejak ianya dikenal pasti sudah membunuh 30 juta manusia di seluruh dunia. Maka tidak hairanlah serangga kecil ini akan terus kekal sebagai serangga pembunuh no 1 di seluruh dunia. Juga sebagai peringatan buat manusia, serangga kecil ini adalah pembunuh senyap paling handal di dunia, walaupun pelbagai kaedah dan cara dilakukan, ianya masih berada di rangking pertama, mengigit dan menghisap darah tanpa kesan atau sakit yang ketara namun membawa wabak pembunuh yang sangat ditakuti.

sumber- lovehijau

Cano Crystals, Sungai 5 Warna di Colombia


Cano Crystals (CaƱo Cristales) yang terletak di hutan simpan Serrania de La Macarena, Colombia diiktiraf sebagai sungai yang tercantik di dunia. Keunikkan sungai ini ialah air sungai ini akan berubah kepada 5 warna untuk satu tempoh antara musim hujan dan musim kemarau. Ia dikenali sebagai River of five colours.

Sebab utama warna air berubah ialah kerana sungai ini dipenuhi pelbagai alga tetapi air sungai ini tetap jernih. Untuk datang ke sini, anda perlu mahir menunggang kuda kerana ia satu-satunya jalan untuk kesini. Wah, hebat sekali kan ciptaan Allah S.W.T


Fakta ringkas:
  • Cano Crystals terletak di hutan simpan Serrania de La Macarena, Colombia. Bagi yang tak tau Colombia tu di mana, ia merupakan negara jiran kepada Venezuela.
  • Biasanya, Cano Crystal adalah sama dgn kebanyakan sungai-sungai lain. Tetapi untuk satu tempoh di antara musim hujan dan musim kemarau, sungai ini akan dipenuhi dengan pelbagai alga yang merubah sungai ini kepada 5 warna.
  • Walaubagaimanapun, air sungai ini tetap jernih dan tidak berkeladak.
  • Jika anda berkeinginan untuk datang ke sini, anda harus datang pada waktu yang tepat iaitu di antara musim hujan dan musim kemarau sahaja.

sumber- Fasihah & v12gether

Misteri anak dikandung hilang

Khadija reda dengan setiap kehilangan bayi-bayi dalam kandungannya. - Gambar hiasan
 SEBAGAI hamba yang mengaku beragama Islam, mempercayai perkara ghaib merupakan bukti keimanan kita kepada kekuasaan Allah.

Justeru, bayangkan perasaan seorang wanita apabila anak dalam kandungan yang ditunggu untuk dilahirkan ke dunia tiba-tiba hilang dalam sekelip mata tanpa mengetahui puncanya.

Mungkin ada orang yang skeptikal dan beranggapan cerita seperti anak diambil orang bunian hanya khayalan semata-mata dan tidak masuk akal.

Namun, itulah yang dialami oleh wanita separuh usia, Khadija (bukan nama sebenar) ,50, apabila anak yang dikandungnya selama lapan bulan hilang secara tiba-tiba bila sampai waktu untuk dilahirkan.

Bercerita lanjut mengenai kejadian yang menimpanya 25 tahun lalu ketika melahirkan bayi keduanya, membuatkan hatinya dilanda perasaan sayu dan sebak.


Khadija berkata, sebelum mengandungkan anak keduanya, dia pernah melahirkan bayi sulung.

"Namun, Allah lebih sayangkan anak tersebut kerana dia meninggal dalam perut akibat lemas ketika usia kandungan memasuki lapan bulan.

"Setahun selepas itu saya mendapat khabar gembira kerana disahkan hamil lagi buat kali kedua.

"Ketika mengandung anak kedua, saya mengalami alahan teruk seperti mengandung anak pertama. Saya turut muntah dan mengidam makanan yang pelik," katanya.

Tambahnya, dalam tempoh mengandung, dia juga beberapa kali pergi membuat pemeriksaan di klinik untuk mengetahui keadaan bayi dalam kandungannya.

"Apabila membuat pemeriksaan, doktor memberitahu kandungan saya tiada masalah dan bayi dalam kandungan selamat dan sihat.

"Semasa usia kandungan semakin meningkat, saya dapat merasai bayi tersebut bergerak-gerak dan saya tidak sabar untuk melihat dia lahir ke dunia," katanya.

Ujarnya, kerana terlalu teruja untuk menimang cahaya mata, dia dan suaminya bersemangat menyediakan kelangkapan untuk anak mereka yang bakal lahir nanti.

"Namun, apabila usia kandungan memasuki lapan bulan saya telah mengalami sakit perut dan tumpah darah serta terpaksa dimasukkan ke hospital lebih awal dari tarikh yang ditetapkan.

"Untuk proses bersalin anak kedua ini, saya perlu menjalani pembedahan kerana kedudukan anak yang songsang.

"Setelah tersedar dari pembedahan, saya terasa seolah dunia gelap seketika apabila doktor yang merawat saya memberitahu tiada bayi yang wujud dalam kandungan walaupun imbasan telah dilakukan," katanya.

Ujarnya, doktor yang merawatnya turut bingung dengan keadaan itu. Selepas beberapa jam dalam bilik pembedahan perutnya kembali kempis seperti asal.

Beliau berkata, dalam tempoh tersebut dia tidak dapat menerima dan mempercayai kejadian yang menimpa dirinya kerana dianggap pelik dan tidak masuk akal.

"Hampir dua bulan saya berada dalam kebingungan dan buntu memikirkan kejadian yang menimpa.

"Dalam tempoh itu, ada kalanya saya menangis dan murung," katanya.

Ujarnya, lama kelamaan dirinya semakin sihat dan dapat menerima keadaan tersebut sebagai dugaan dari Allah.

Namun tiada kuasa untuk melawan takdir Allah kerana selang dua tahun selepas itu Khadija disahkan mengandung.

"Saya berasa gembira dan beryukur kerana diberi peluang untuk mengandung buat kali ketiga," katanya.

Khadija berkata, kandungannya yang ketiga dan keempat juga menghadapi situasi yang sama iaitu hilang ketika kandungan berusia lima dan enam bulan.

Pernah apabila kandungannya yang keempat memasuki usia enam bulan Khadija telah mendapat mimpi yang aneh pada suatu malam.

"Sekitar pukul empat pagi saya telah mendapat mimpi didatangi oleh tiga orang wanita muda yang berbaju putih. Wajah mereka sangat cantik dan bersih.

"Dalam mimpi tersebut, mereka meminta izin untuk mengambil anak saya tinggal bersama-sama mereka.

"Saya telah merayu kepada mereka supaya tidak mengambilnya, tetapi mereka memberitahu akan menjaga dia dengan baik di sebuah tempat yang cantik dan indah," katanya.

Beliau berkata, selepas mendapat mimpi tersebut dia tersedar dan mendapati perutnya telah kempis.

"Ketika itu saya tidak mampu berkata apa-apa, hanya mampu mengejutkan suami dan menangis," katanya.

Tambahnya, kerana ingin mendapat kepastian tentang kejadian yang sering menimpanya, dia menjemput beberapa orang ustaz untuk melihat tapak rumah yang didiami mereka.

"Menurut maklumat yang diberitahu kepada saya, tapak rumah yang kami tinggal ketika itu merupakan kawasan kediaman makhluk halus seperti orang bunian.

"Sebagai hamba Allah yang beriman saya reda dan percaya dengan kejadian yang menimpa diri.

"Sekarang saya bahagia hidup bersama anak angkat yang dipelihara dari kecil sejak 20 tahun lalu," katanya.

sumber- Utusan

Kisah Crocodile Hunter Malaysia

Kisah Crocodile Hunter Malaysia
 Indet (kiri) berdialog dalam bahasa Iban dengan seekor buaya jantan yang digelar ' Bujang Muara' yang mengaku bersalah menganggu penghuni di Rumah Panjang Sungai Anak, Roban.
MALAM Selasa lalu di Rumah Panjang Nanga Sungai Anak, Roban, penulis dan jurufoto Mingguan Malaysia, Amir Hafiz Abd. Rahman mengambil peluang untuk mengorek rahsia daripada seorang pawang buaya, Indet Sanabong walaupun jarum jam tangan menghampiri detik 12 malam.

Bertemankan satu jag kopi 'o' pekat, kami yang turut disertai oleh seorang pemuda Iban, Mohammad Taufiq Abdullah selaku penterjemah, melontarkan pelbagai persoalan kepada Indet, 49, seperti pengalaman menangkap buaya selama 33 tahun dan unsur mistik yang melingkari pemburuan reptilia ganas itu.

Antara yang mencuri perhatian ialah, Indet percaya Bujang Senang yang berwarna putih masih hidup di Sungai Batang Lupar selain mendakwa pernah menangkap anak buaya legenda itu yang kini ditempatkan Taman Buaya Miri.


Indet juga pernah bertugas di taman buaya berkenaan dan antara bidang tugasnya yang paling mencabar ialah memberus kotoran pada belakang buaya.

Bagaimanapun apabila kami menyatakan hasrat untuk menyertai operasi memburu buaya yang meragut nyawa Siah Munsong, 42, keesokannya, dia sambil tersenyum memberitahu, "kamu tunggu di sinilah, nanti saya bawa balik buaya,".

Penolakan itu membuatkan kami semakin ragu-ragu dengan cerita 'kehebatan' Indet malah seorang kenalan yang tahu penulis sedang menemuramahnya turut menghantar SMS bernada sinis "kau percayalah...bomoh auta tu".

Keesokan paginya, sewaktu menikmati sarapan bersama penghuni rumah panjang berkenaan, Juti, 30, anak sulung Indet menepuk bahu Amir Hafiz sebagai isyarat meminta kami mengikut mereka mencari sang bedal.

MengganasSambil menyusuri Sungai Seblak yang keruh airnya menggunakan sebuah perahu berasingan bersama tuai rumah panjang, Embol Asum, 48, yang juga suami mendiang Siah, pelbagai perkara bermain di benak fikiran penulis dan paling utama pastilah tentang keselamatan diri jika buaya mengganas.

Menghampiri pukul 9 pagi, Indet yang menaiki sebuah perahu bersama adiknya, Tinggi, 45 dan Juti serta dua penghuni rumah panjang memberi isyarat terdapat buaya yang telah memakan umpan.

Degupan jantung penulis semakin kencang apabila Amir Hafiz meminta perahu kami menghampiri Indet yang sedang menarik rotan hidup sepanjang 20 meter yang dijadikan tali pancing untuk merakamkan gambar terbaik.

Daripada jarak 15 meter, penulis menyaksikan bagaimana Indet yang dibantu Juti serta Tinggi cukup bersahaja menarik rotan hidup itu tanpa sebarang tentangan daripada buaya yang telah memakan umpan daging anjing.

Sejurus muncung buaya yang menganga timbul di permukaan, kerisauan penulis bertukar menjadi kagum kerana buaya betina itu pasrah menyerah diri tanpa melawan termasuk tidak melibas ekornya.

Sebelum ditarik ke dalam perahu, mulut buaya berkenaan diikat dan dalam masa seminit selepas itu, keempat-empat kakinya sudah diikat ke belakang.

Rezeki kami cukup murah pada pagi itu kerana kira-kira pukul 10.30 pagi, seekor buaya jantan pula berjaya ditumpaskan dan ia juga 'longlai' apabila berhadapan dengan Indet.

Terdetik di fikiran penulis, adakah Indet telah meracun umpannya namun mengikut logik akal, tidak 'tawarkah' racun yang digunakan selepas berendam semalaman di Sungai Seblak yang berarus itu.

Sepasang buaya jantan dan betina dianggar berusia 25 tahun dengan berat badan 80 kilogram (kg) setiap satu itu kemudiannya dibawa ke darat untuk dibunuh oleh Embol dan ibu mendiang Siah, Jaie Isut, 63.

Sebelum buaya dibunuh, Indet dilihat berbicara dengan buaya dalam bahasa Iban. Antara intipati perbualan itu ialah, dia memberitahu buaya berkenaan bahawa manusia tidak berhasrat memulakan persengketaan dan tindakan mereka menangkapnya adalah pilihan terakhir.

MenyelukBeberapa penghuni rumah panjang termasuk penulis juga tidak melepaskan peluang untuk menyeluk tangan kanan ke dalam mulut buaya yang telah mati kerana ia dipercayai mujarab untuk mengubati bayi yang mengalami masalah keputihan dalam mulut.

Indet kemudiannya memotong hujung ekor buaya itu untuk simpanannya dan apabila ditanya kenapa berbuat demikian, dia memberitahu ia bakal menjadi bukti bilangan buaya yang pernah ditumpaskannya.

Diajukan soalan kenapa buaya menjadi 'longlai' di tangannya, Indet menjelaskan ia berlaku kerana buaya tersebut terkena sumpahan yang dikenali sebagai 'puni' oleh masyarakat Iban lantaran pernah mengganggu manusia dan untuk menghilangkan sumpahan itu, ia mesti menyerah diri dengan memakan umpan yang telah dijampinya.

"Sebab itu saya hentikan pemburuan pada hari kedua, saya telah dapat buaya yang 'jahat', buaya-buaya lain biarlah hidup bebas kerana mereka tidak bersalah," katanya sambil menjelaskan tugasnya pada hari itu ibarat seorang polis buaya.

Dalam pada itu, Indet turut berkongsi petua dengan pembaca Mingguan Malaysia bagaimana untuk mengesan kehadiran buaya selain daripada petunjuk kewujudan udang yang terlalu banyak di sesuatu kawasan.

Katanya, petunjuk yang kurang diketahui ialah apabila terdapatnya banyak kera bergayutan pada pokok di tepi sungai sambil membuat bising.

"Kera ini binatang bodoh, apabila nampak buaya dia panggil kawan-kawan dia tengok dan dia tidak sedar bahawa buaya itu mampu 'menyumpit' mereka.

"Sumpitan buaya berlaku apabila ia menyedut air dengan banyak dan meludahnya dalam bentuk bebola air sebesar baldi untuk menembak kera sehingga terjatuh sebelum membahamnya," ujar bapa kepada enam cahaya mata itu.

sumber- Utusan

Lelaki amuk di kedai telefon

Lelaki mengamuk di kedai telefon
CODNER menyembur barangan dalam kedai T-Mobile dengan alat pemadam api.
BANDAR RAYA MANCHESTER: Seorang pelanggan yang berang merosakkan sebuah kedai telefon bimbit di bandar raya ini ketika bertengkar mengenai bayaran balik kontrak telefon bimbit.

Beberapa pelanggan yang terkejut merakam tindakan Jason Codner, 42, dari Salford di telefon bimbit mereka ketika dia merosakkan barangan di dinding dan menyembur alat pemadam api dalam kedai T-Mobile di bandar raya ini.

Rakaman itu yang kemudian muncul dalam YouTube, menunjukkan lelaki pertengahan usia merosakkan ruang pameran kedai ketika pekerja kedai tercengang seakan tidak percaya melihat tindakannya itu. Dengan memakai kemeja dan jeans, Codner mengambil semua stok telefon bimbit dari dinding dan menterbalikkan meja.

Keadaan kacau-bilau itu berterusan selama beberapa minit hingga seorang daripada pekerja kedai membuat panggilan daripada telefon bimbitnya dan pengawal keselamatan pusat beli-belah tiba di kedai itu sejurus kemudian.

Seramai lima pegawai polis bertubuh sasa juga muncul beberapa saat kemudian dan Codner sambil tersenyum memberitahu mereka, dia baik-baik saja. Polis kemudian menahan dan membawanya keluar selepas memberitahu orang ramai supaya meneruskan aktiviti mereka.

Seorang pengguna YouTube berjenaka: “Saya harap dia tidak meremukkan telefon bimbitnya untuk panggilan penting terakhir itu!” Seorang lagi menulis: “Saya rasa dia bertelingkah mengenai elaun panggilannya. Dia menangani T-Mobile dengan gaya Manchester.” Jurucakap T-Mobile yang mempunyai slogan “Hidup Untuk Berkongsi” berkata, syarikat itu sedar dengan rakaman video berkenaan dan sedang menyiasat insiden itu.

Menurutnya, ada tujuh pekerja dan beberapa pelanggan lain di kedai itu ketika insiden, tetapi mereka berjaya melarikan diri tanpa sebarang kecederaan.

“Insiden di kedai itu tentunya menyedihkan pekerja kami.

“Ketika kejadian, semua pelanggan dan pekerja dibawa keluar dari kedai secepat mungkin dan polis dihubungi segera bagi menangani insiden itu.

“Pelanggan berbalah mengenai bayaran balik yang tidak dapat kami berikan kerana jelas ia di luar syarat dan terma dinyatakan.

“Kami masih mentaksirkan kerosakan dan akan membuka semula kedai secepat mungkin. “Kami tentunya akan terus berusaha untuk memastikan keselamatan kepada pekerja dan pelanggan kami kerana ia perkara penting dalam setiap waktu.” Sementara itu, jurucakap Polis Manchester berkata, mereka sedar dengan insiden Sabtu lalu itu dan Codner didakwa atas kerosakan jenayah dan melakukan serangan awam.

sumber-HMetro

Arafat meninggal akibat diracun

Arafat meninggal akibat diracun
Yasser Arafat
BERN - Bekas Presiden Palestin, Yasser Arafat yang meninggal dunia pada 2004 dipercayai berpunca daripada racun polonium-210, menurut laporan makmal di Switzerland dan disiarkan oleh Al-Jazeera, kelmarin.

Ketua Institut Radiasi Fizik, Francois Bochud berkata, kajian itu dijalankan ke atas beberapa sampel biologi yang diperoleh daripada Suha, balu Allahyarham.

"Apa yang boleh kami rumuskan adalah hampir keseluruhan sampel yang diberikan itu mempunyai kesan polonium-210 (bahan radioaktif semula jadi membebaskan sinaran alfa berbahaya pada tahap sangat tinggi," jelasnya.


Menurutnya, jika Suha mahu mendapatkan pengesahan lanjut, mereka perlu menggali semula kubur Allahyarham untuk memperoleh sampel bagi melakukan penyelidikan lebih terperinci.

Difahamkan, jenis racun sama turut digunakan untuk membunuh bekas perisik Rusia, Alexander Litvinenko pada 2006.  

Penerima Hadiah Nobel Keamanan tersebut menghembuskan nafas terakhir pada umur 75 tahun pada 11 November 2004 selepas beberapa minggu dirawat di sebuah hospital di Perancis.

Doktor yang merawat Allahyarham pada masa itu turut gagal mengesan punca kematiannya.

Sebelum ini, pihak berkuasa Palestin pernah mengesyaki pemimpin tersebut diracun oleh rejim Zionis, namun ia tidak disahkan secara rasmi.

Kematian misteri bekas pemimpin Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) tersebut mula diperkatakan semula selepas rundingan damai bersama Israel masih gagal mencapai sebarang persetujuan berikutan sering kali tertangguh akibat helah rejim Zionis.

sumber- Sinar

Lelaki acu pistol ditahan polis

PETALING JAYA - Seorang penganggur yang baru dibebaskan dari penjara Simpang Renggam, ditahan semula awal hari ini selepas mengacukan pistol ke arah seorang anggota polis di Petaling Jaya Selatan 2, di sini.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Yahaya Ramli berkata lelaki berusia 29 tahun itu turut menghentak kepala anggota polis dengan pemegang pistol itu menyebabkan anggota polis berkenaan cedera dan memerlukan lima jahitan.

Beliau berkata dalam kejadian pada pukul 2.05 pagi, lelaki yang dibebaskan April lepas itu pada mulanya ditahan dua anggota polis kerana disyaki memecah sebuah kereta di kawasan berkenaan.

"Semasa ditahan, suspek merampas pistol milik seorang daripada anggota polis itu dan berlaku pergelutan menyebabkan suspek melepaskan satu das tembakan ke bawah tetapi tidak mencederakan sesiapa.

"Suspek kemudian bertindak mengacu pistol ke arah anggota polis berkenaan dan ketika cuba berundur pistol yang dipegang suspek terlepas dan dia terus diberkas," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Yahaya berkata lelaki itu sebelum ini dipenjara mengikut Akta Darurat kerana mengugut dan mendatangkan ketakutan kepada orang awam.

Siasatan mendapati lelaki itu positif dadah jenis methamphetamine dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh, katanya.


sumber - Bernama