Pages - Menu

Sunday, July 22, 2012

Pistol Tercanggih Di Dunia


Baru-baru ini Syarikat Armatix dari Jerman telah mengeluarkan sebuah senjata canggih berteknologi tinggi yang dapat mengenali penggunanya. Senjata ini berupa pistol atau handgun yang hanya akan aktif jika digunakan bersama sebuah jam tangan khas. 


Senjata ini mempunyai indikator yang akan memberikan informasi sama ada senjata itu sedang berada dalam keadaan aktif ataupun tidak. Indikator itu akan berwarna hijau jika aktif, dan merah jika tidak aktif.

Senjata ini di pamerkan di Sands Convention Center di Las Vegas dan dijual secara terbuka dengan harga 7000 euro atau RM 28700 sebuah.

sumber- woamu.mangaku

Telefon Bimbit Termahal Di Dunia


Ianya tidak lebih dari sekadar sebuah telefon bimbit asas sahaja. Tiada enjin carian Internet Google mahupun kamera tetapi harga telefon bimbit jenama Æsir YB1 jauh lebih mahal berbanding telefon pintar iaitu mencecah £6,400 (RM31,675).

Menampilkan reka bentuk mudah dan ringkas, gajet buatan Denmark itu begitu diminati oleh golongan kaya dan merupakan gajet prestij mereka.


YB1 yang didatangkan dengan skrin kaca batu nilam, cuma dilengkapi fungsi asas telefon bimbit iaitu kemudahan panggilan dan mesej khidmat pesanan ringkas (SMS).

Namun Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu berkata, YB1 mahal kerana ia dibuat dengan menggunakan bahan-bahan untuk menghasilkan jam tangan mewah.


"Orang kaya tidak perlukan telefon pintar seperti iPhone, mereka mengupah staf untuk mengendalikan jadual, menghantar e-mel atau mengemas kini Facebook," katanya.

sumber- Kosmo

Dua Lelaki Ditahan Bersama 500 Paket Air Ketum


KULIM – Dua lelaki seorang daripadanya warga emas ditahan polis bersama 505 paket plastik berisi air ketum, daun ketum kering dan alat memproses minuman tersebut dalam operasi di dua lokasi di Kampung Sidam Kanan, Padang Serai, dekat sini, petang Isnin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim DSP Chin Soo Song berkata dalam operasi di lokasi pertama, kira-kira pukul 5.30 petang, sepasukan polis diketuai Insp Mohd Amin Yohan Rose menahan seorang suspek berusia 45 tahun.

Katanya dalam operasi di rumah tidak bernombor itu, pihaknya merampas 100 paket plastik berisi cecair daun ketum berjumlah 50,000 ml isipadu dan 1,500 gram daun ketum kering bersama peralatan memproses iaitu periuk besar, tong dan dapur gas.

“Dalam serbuan kedua di satu lokasi terletak kira-kira 200 meter dari lokasi pertama seorang lelaki warga emas berusia 65 tahun ditahan dalam sebuah rumah dan merampas sebanyak 405 paket plastik berisi cecair air ketum berjumlah 202,500 ml isi padu bersama peralatan memproses,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim di sini, Selasa. Katanya polis yakin kedua-dua suspek yang ditahan tidak mempunyai hubungan antara satu dengan yang lain.

Harga pasaran air ketum berkenaan adalah antara RM5 hingga RM7 sepaket plastik.

Chin berkata kedua-dua suspek kini ditahan reman sehingga minggu depan dan mereka disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara selama empat tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali. 

sumber- Bernama

Hari pertama Ramadan dicemari

Hari pertama Ramadan dicemari
Lelaki bertopi keledar merah (dalam bulatan) dipercayai baru selesai keluar dari restoran berkenaan.
GEORGETOWN – Hari pertama Ramadan sudah pun dicemari dengan perbuatan segelintir umat Islam yang dilihat membeli makanan di beberapa restoran di sini, semalam, walaupun waktu untuk berbuka masih terlalu awal.

Tinjauan Sinar Harian mendapati tindakan seorang lelaki membeli makanan dan minuman di restoran tersebut tanpa segan silu boleh menjatuhkan imej agama Islam.

Lelaki berusia lingkungan 40-an tersebut dalam keadaan selamba memilih sajian di sebuah kedai sebagai hidangan tengah hari.

Selain itu, beberapa buah restoran turut beroperasi seperti hari kebiasaan dan yang lebih menyedihkan ialah kebanyakan pembeli adalah orang Islam.

Pekerja swasta, Mad Shukri, 44, berkata individu ini perlu ditangkap dan denda setimpal untuk beri kesedaran bahawa perbuatan itu dimurkai ALLAH.

“Jangan berkompromi dengan kesalahan ini kerana jika tidak dibendung ia akan menjadi rutin tahunan dan mencemarkan bulan yang mulia ini,” katanya pada Sinar Harian.

Berbeza rakannya, pekerja swasta Nor Azli Mohd Nor, 36, berpendapat, Ramadan memang biasa dikaitkan dengan 'plastik hitam' yang menjadi pelindung makanan dibeli.

"Pemilik premis tidak semestinya mensasarkan jualan kepada orang Islam dan mereka juga tidak melanggar peraturan sekiranya beroperasi selepas jam 3 petang," katanya.

Sementara itu, pekerja swasta, Rosli Mohd Saad, 47, berkata, individu terlibat mungkin ada alasan tertentu.

"Apa pun, jika mereka melakukannya secara terbuka, mereka patut malu dengan perbuatan itu," katanya.

sumber- Sinar

Misteri kulit buku dari kulit manusia

Kulit buku ini diperbuat daripada kulit manusia yang di lapah dari seorang hamba abdi yang meninggal dunia semasa zaman Revolusi Perancis.


Pemilik asalnya adalah seorang bangsawan dari Perancis . Beliau sangat berbesar hati untuk mendermakan buku ini kepada perpustakaan di Kota Leeds, UK kerana tidak tahan mengalami gangguan aneh hampir setiap malam. Bangsawan Perancis itu sering terdengar suara kesakitan meminta tolong dan pelbagai gangguan pelik serta menakutkan. Motif mengapa kulit buku tersebut diperbuat dari kulit manusia masih menjadi misteri. Mungkin untuk memberi ketahanan terhadap buku tersebut atau pemilik sengaja melakukan penyeksaan. Tidak mustahil juga jika pemilik buku tersebut mahukan sesuatu kelainan berbanding buku-buku yang lain.

Barang kemas ditemui semula

INI DIA...pegawai polis menunjukkan antara barangan kemas yang ditemui semula.
INI DIA...pegawai polis menunjukkan antara barangan kemas yang ditemui semula.
SHAH ALAM: Gara-gara leka ketika berurusan di kaunter, seorang pengurus syarikat barang kemas di Hong Kong menerima padah apabila sebuah beg miliknya berisi barang kemas bernilai RM2 juta dilarikan perompak, dipercayai sindiket rompakan barang kemas antarabangsa, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Rabu lalu.

Dalam kejadian jam 6.30 petang, pengurus wanita warga Hong Kong berusia 53 tahun itu baru tiba di negara ini untuk menghadiri pameran barang kemas di Kuala Lumpur, Khamis lalu, sebelum sebuah beg yang diletakkan dalam troli dilarikan penjenayah ketika dia sibuk berurusan di kaunter di KLIA.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, susulan laporan dibuat mangsa serta pemantauan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) di KLIA, polis menyerbu sebuah kondominium di Jalan Semantan, Kuala Lumpur, petang kelmarin, dan menahan tujuh warga asing yang disyaki terbabit dalam kejadian itu.

Katanya, mereka yang ditahan adalah empat lelaki dan tiga wanita berusia 25 hingga 48 tahun iaitu tiga warga Costa Rica, seorang Mexico dan seorang Uganda serta dua anak beranak warga Colombia berusia 48 dan 29 tahun.

Dalam serbuan jam 2.25 petang, polis menemui semula 309 barang kemas pelbagai jenis yang dicuri daripada mangsa, selain merampas empat telefon bimbit dan sebuah kereta Perodua Myvi yang disewa suspek.

sumber- HMetro

Pemilik kedai motosikal rugi RM43,000

Pemilik kedai motosikal rugi RM43,000
Polis mengumpul bukti bagi membantu siasatan kes rompakan sebuah kedai motosikal di Taman Sri Muda, Seksyen 25, semalam.
SHAH ALAM - Pemilik sebuah kedai motosikal kerugian kira-kira RM43,000, apabila bukan sahaja wang tunai hasil keuntungan dirompak, malah beberapa aksesori di premisnya turut dilarikan dalam kejadian di Jalan 25/41, Taman Sri Muda, Seksyen 25, di sini, kelmarin.

Kejadian itu bagaimanapun hanya disedari pemilik premis ketika hendak memulakan operasi perniagaan kira-kira jam 9 pagi, semalam.

Timbalan Ketua Polis daerah Shah Alam, Superintendan Mazlan Othman berkata, setelah membuka kedai, pemilik terbabit terus mengeluarkan motosikalnya untuk disusun di bahagian luar premis.

Menurutnya, kejadian hanya disedari pemilik terbabit, selepas topi keledar serta baju hujan di atas rak dalam kedai didapati berkurangan.

Katanya, almari besi premis turut dipecahkan dan wang tunai hasil kutipan sebanyak RM10,000 yang disimpan di situ lesap.

"Wang berjumlah RM5,000 di dalam mesin tunai juga hilang. "Perompak melarikan 30 helai baju hujan, lima topi keledar serta cakera padat (CD) rakaman dari kamera litar tertutup (CCTV) premis," katanya.

Mazlan berkata, nilai kerugian termasuk kerosakan keseluruhan dianggarkan sebanyak RM43,000.

Katanya, beberapa kesan cap jari dijumpai dan sampel itu sudah dihantar ke jabatan kimia untuk dikenal pasti identiti pemiliknya.

Beliau berkata, tiada sebarang kesan pecah masuk ditemui dan pihaknya tidak menolak, kejadian ada kaitandengan orang dalam.

"Bagaimanapun terdapat juga kemungkinan perompak itu adalah individu tertentu yang menyorok atau bersembunyi di dalam kedai tanpa disedari pemilik premis," katanya.

Menurutnya, perompak dipercayai melarikan diri melalui pintu belakang berdasarkan kesan potong pada mangga di sebelah dalam pintu premis.

sumber- Sinar

Tukang jahit tersohor

Tukang jahit tersohor
Mohd Zaki tekun menjahit bagi menyiapkan tempahan baju Melayu untuk digayakan pelanggan di Aidilfitri ketika ditemui di kedainya di di tingkat atas Pasar Besar Kuala Berang, semalam.
KUALA BERANG - Biarpun kudratnya kian terbatas, namun seorang datuk empat cucu di sini tetap memerah keringat dan bersengkang mata saban tahun mengambil upah menjahit baju Melayu untuk digayakan pelanggannya di pagi Aidilfitri.

Menurut Mohd Zaki Mohamad, 68, walaupun sudah lebih 40 tahun benang dan jarum menjadi teman setianya, dia tidak pernah merasa jemu mengambil upah menjahit apatah lagi rezeki tukang jahit sepertinya pasti akan meningkat berbanding bulan biasa menjelang hari raya.

Mengimbau nostalgia lalu, warga emas yang tinggal di Rumah Murah Jalan Pusara, Kuala Berang ini mengakui dia mula mengenali dunia jahitan ketika mengikuti kursus di Pusat Latihan Belia, Dusun Tua sekitar 1960-an lalu dan minatnya mulai timbul sehinggalah kini.

“Walaupun menjahit sinonim dengan wanita, tetapi ia bukan halangan untuk pakcik meminati bidang ini. Asalnya, pakcik berada di pusat latihan tersebut untuk jalani latihan kawad namun ketika itu pelatih turut diajar menjahit sarung bantal dan kelambu.

“Lama-kelamaan minat itu semakin timbul, malah pakcik juga menjalani praktikal di beberapa kedai sekitar Kuala Lumpur. Sekitar akhir 1970-an, pakcik membuka sebuah kedai jahit di Kuala Berang ini dengan kadar sewa ketika itu RM30 sebulan," katanya.

Katanya, tapak asal kedai yang disewa ketika itu adalah Bangunan Umno Bahagian Hulu Terengganu kini dan kedai sekarang ini adalah yang keempat.

"Sedar tak sedar, sudah lebih 40 tahun pakcik mengambil upah menjahit baju Melayu ini dan syukurlah ia memberikan pakcik sumber rezeki.

“Walaupun pendapatan tidak menentu, tetapi cukuplah untuk belanja pada hari raya. Pelanggan membuat tempahan baju raya seawal Mei lalu lagi, bulan puasa hanya digunakan untuk menyiapkan baju Melayu ditempah dan pakcik tidak lagi mengambil tempahan baru,” katanya ketika ditemui di kedainya di tingkat atas Pasar Besar Kuala Berang, di sini, semalam.

Tidak hairanlah nama pakcik Zaki meniti di bibir penduduk sekitar setiap kali tiba musim perayaan, kemahiran dan pengalaman yang dimiliki dalam jahitan baju Melayu tidak boleh dipertikaikan.

Kata suami kepada Limah Sulong, 61 ini, walaupun tempahan menjelang Aidilfitri masih ada, namun dia tidak dapat menerimanya kerana khuatir tidak dapat siapkan tempahan apatah lagi dengan kudratnya yang kian terbatas.

“Pakcik mengambil tempahan pelanggan mengikut kemampuan, untuk baju Melayu sahaja, kini sudah lebih 50 pasang ditempah. Kadar bayaran antara RM80 hingga RM90 sepasang. Jika tidak sempat di kedai pakcik akan menyambungnya di rumah, bimbang pelanggan tidak dapat pakai baju raya nanti.

“Pakcik bersyukur kerana masih dikurniakan penglihatan yang baik untuk menjahit. Sehari tidak menjahit, dirasakan ada sesuatu yang kurang dan pastinya pakcik tidak akan berhenti menjahit selagi terdaya,” katanya.

sumber- Sinar

Siapakah Lelaki Misteri di Kaca TV Itu?

Seorang lelaki tempatan, Paul Yarrow menjadi topik sensasi di Internet selepas dia kerap muncul di belakang wartawan penyiaran yang membuat lintas langsung siaran berita televisyen di sekitar London sejak setahun lalu, lapor sebuah akhbar semalam.


Dia yang berasal dari Bermondsey di selatan London dan pernah berkhidmat sebagai pengiring keselamatan Kementerian Pertahanan tampil dengan berpakaian baju sejuk tanpa kolar berwarna cerah.


Sebuah laman web fidgetwith.com menyenaraikan kemunculan Yarrow di beberapa lokasi berbeza termasuk ketika siaran langsung mengenai protes kapal bantuan kemanusiaan Gaza di sini pada 31 Mei lalu melalui stesen Perbadanan Penyiaran British.


Pada 16 Julai lalu, Yarrow kelihatan berdiri dan memandang ke arah kamera dan memegang sebuah telefon bimbit seperti sedang berbual di sini.


sumber- Melayu Kini

10 kereta terkecil di dunia

1. ElBil Norge Buddy Cab

ElBil merupakan kereta elektrik Norwegia. Ini merupakan model generasi keenam yang disebut Kewet. ElBil mula dicipta pada tahun 1991. Selama lima generasi pertama, lebih dari 1000 kenderaan elektrik yang dihasilkan dan dijual di 18 buah negara.


Lumeneo Smera
2. Lumeneo Smera

Seorang warga Perancis telah berjaya mencipta kereta elektrik Lumeneo Smera dan  akhirnya dilancarkan pada bulan Mei . Mereka membelanjakan hampir RM100 ribu untuk setiap unit. Pada masa ini ia hanya dijual di Perancis, tetapi masih dipertimbangkan untuk dipasarkan di seluruh Eropah dalam masa terdekat.


Tango
3. Tango

Tango memiliki dua motor elektrik yang membolehkan ia bergerak dengan kelajuan 100 kilometer per jam dalam masa kurang dari empat saat.


Reva G-Wiz
4. Reva G-Wiz

G-Wiz merupakan kereta bandar yang dibuat oleh Reva Electric Car Company di Bangalore, India. Kereta ini terdapat di England.


Smart Fortwo
5. Smart Fortwo

Smart Fortwo mengungguli debutnya pada tahun 1998. Sepuluh tahun kemudian, model yang menggunakan konsep elektrik diumumkan iaitu, Ed Fortwo. Fortwo tidak hanya dijual di Eropah, tetapi juga terdapat di Amerika Syarikat.


Kandi Coco
6. Kandi Coco

Kandi Coco adalah istimewa untuk penduduk Oklahoma, AS, dengan harga yang murah. Ianya adalah dibawah tanggungan subsidi kerajaan tempatan. Kereta elektrik dua penumpang ini dilancarkan pada 2009.


Daihatsu Copen
7. Daihatsu Copen

Daihatsu Copen adalah kereta dua tempat duduk yang hanya terdapat di Jepun dan Eropah. Ciptaan asal dari Jepun ini sudah dipromosikan sejak 2001.


Think City
8. Think City

Pengeluar kereta Norwegia merancang untuk membuat kereta yang menggunakan 100% tenaga elektrik, seperti projek di Amerika Syarikat. Namun, setelah dikeluarkan pertama kalinya pada tahun 2009, pengeluar kereta ini terpaksa menghentikan pengeluarannya dengan alasan kesulitan modal.


Bollore BlueCar
9. Bollore BlueCar

Kereta ini hanya terdapat di Perancis. BlueCar adalah kenderaan elektrik yang menawarkan kelajuan maksimum 135 kilometer per jam dan boleh berjalan sejauh 250 kilometer. BlueCar memerlukan enam jam untuk mengecas bateri sepenuhnya.


Ford KA
10. Ford KA

Ford memperkenalkan KA pertama kalinya pada 1996, dan mereka menganggap itu adalah sebagai hari Volkswagen Beetle moden. Penjualan kereta ini sangat laris di Britain dan bukan di Amerika Syarikat walaupun ianya negara asal kereta ini . 

Datuk ditahan ponteng puasa

warga emas tidak puasa
Penguatkuasa Jaim menyoal tiga lelaki beragama Islam yang sedang menikmati sarapan pagi di sebuah kedai kopi di Bukit Rambai, semalam.
BANDARAYA MELAKA – Hari pertama bulan Ramadan dicemari dengan tingkah laku warga emas beragama Islam tanpa segan silu menikmati sarapan pagi di sebuah kedai makan bukan Islam.

Tanpa menghiraukan orang ramai yang lalu lalang, warga emas terbabit dengan selamba menghirup hidangan kopi panas sambil menikmati roti bakar.

Bagaimanapun, perbuatan mereka itu dikesan anggota Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) yang bertindak menyerbu kedai makan berkenaan, pagi semalam.

“Saya mengaku saya makan tadi,” kata warga emas berusia 65 tahun itu sebaik saja menyedari kehadiran anggota penguat kuasa.

Ketua Penguatkuasa Jaim, Rahimin Bani berkata, warga emas berkenaan merupakan seorang daripada lima yang dicekup kerana makan di khalayak ramai di bulan puasa.

"Kesemua mereka berusia 40 hingga 65 tahun itu, termasuk tiga daripadanya sudah bergelar warga emas, di tahan di kawasan 'panas' tempat tumpuan mereka yang ponteng puasa.

"Lebih mengejutkan, ada antara warga emas berkenaan sudah pun bergelar datuk kepada sembilan orang cucu," katanya kepada pemberita ketika mengikuti operasi berkenaan, semalam.

Rahimin turut melahirkan rasa kecewa kerana masih ada pengusaha kedai makan Islam yang beroperasi di siang hari, sekali gus memberi ruang kepada mereka yang tidak berpuasa.

“Tindakan peniaga ini mencemarkan imej umat Islam sendiri. Sepatutnya mereka sama-sama menghormati Ramadan dan tidak mengambil kesempatan untuk kejar keuntungan semata-mata," katanya.

Menurutnya, kesemua yang ditahan itu akan disiasat mengikut Seksyen 49 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka yang memperuntukkan denda RM1,000 dan penjara enam bulan.

Berikutan itu juga, katanya, Jaim akan terus melipat gandakan penguatkuasaan untuk memastikan kesucian Islam sepanjang Ramadan ini tidak diperlekehkan.

Katanya, ini termasuk tindakan terhadap mereka yang dikesan membeli nombor ekor pada bulan Ramadan.

sumber- Sinar

Farid Kamil bertongkat

Farid Kamil
Farid Kamil
Pelakon kacak, Farid Kamil memang dikenali suka melakukan sendiri aksi lasak dalam lakonannya. Malah, Farid sanggup mengambil kursus khas lagak ngeri di luar negara tidak lama dulu.

Bagaimanapun, malang tidak berbau apabila Farid mengalami kecederaan di tempurung lutut kiri ketika melakonkan babak aksi dalam filem terbarunya, Dampak.

Akibatnya, Farid kini terpaksa berjalan menggunakan tongkat dan dinasihatkan doktor untuk berehat selama enam minggu.

Zass doakan agar Farid cepat sembuh dan lebih berhati-hati apabila melakukan adegan aksi selepas ini.

sumber- Sinar

Hukuman Ariel tamat esok

porno seks
ARIEL akan mula menghirup udara segar mulai esok dan pembebasannya ditunggu-tunggu oleh banyak pihak.
JIKA mengikut percaturan, vokalis kumpulan Peterpan, Nazriel Irham yang popular dipanggil Ariel akan dibebas pada tahun hadapan. Bagaimanapun, mulai esok, Ariel yang dihukum penjara tiga tahun akibat kesalahan mengedar bahan pornografi akan dapat menghirup udara segar di luar jeriji besi.

Ketua Bahagian Kemasyarakatan Indonesia, Dedi Sutardi menerangkan, Ariel dibebaskan setelah dia menjalani dua pertiga masa hukumannya.

"Selain itu, dia juga telah menjalani asimilasi dan berkelakuan baik selama di lembaga pemasyarakatan," katanya.

Menurut Dedi, pembebasan awal Ariel merupakan amalan piawai dan dia bebas awal bukan kerana dia berstatus selebriti.

"Semua tahanan kalau sudah menjalani dua pertiga masa tahanan boleh dibebaskan. Selain itu juga dinilai melalui sikapnya," ujar Dedi.

Ariel dijangka akan menyudahkan kerja-kerja yang berbaki dengan grupnya. Selain itu Ariel juga telah mempersiapkan sebuah buku biografi.

Peterpan yang terkenal dengan lagu Bintang Di Surga itu menghentikan aktiviti seni mereka sejak Ariel dipenjara pada 2010.

sumber- Kosmo

Hilang Semua Jari Kerana Tikus


Portland – Seorang lelaki dari Oregon yang dijangkiti penyakit jangkitan tikus yang jarang berlaku kehilangan kesemua jari tangan dan kaki. "Dia kini dibenarkan keluar dari hospital," kata pihak berkuasa pusat perubatan berkenaan semalam.

Paul Gaylord, 59, menghabiskan masa kira-kira sebulan di unit rawatan rapi dan bergantung kepada alat sokongan hayat selepas dijangkiti penyakit yang dikenali sebagai Bubonic Plague ketika cuba mengeluarkan tikus dari mulut kucingnya 2 Jun lalu.

Kucing yang tercekik itu menggigit tangan dan mencakar Gaylord menyebabkan bakteria pada bangkai tikus terbabit menjangkitinya.

Penyakit itu menyebabkan kelenjar limfanya membengkak dan anggota lain yang dijangkiti menjadi busuk dalam tempoh masa yang singkat. Jika tidak mendapat rawatan segera, pesakit boleh mati dalam tempoh empat hari. 

sumber- Reuters

FACE, Robot Dengan Ekspresi Wajah Manusia


Ternyata bukan Jepun sahaja yang mampu mencipta robot wanita dengan tambahan ekspresi wajah. Seperti yang dilaporkan oleh Gizmag.com, baru-baru ini beberapa penuntut dari University of Pisa, Itali berjaya mencipta robot wanita atau femboid yang juga dilengkapi dengan ekspresi wajah.


Robot yang dinamakan FACE ini dilengkapi dengan 32 motor penggerak yang dinamakan HEFES (Hybrid Engine for Facial Expressions Synthesis). Motor-motor tersebut terletak dibahagian kepala dan bahu yang berfungsi untuk menjadikan robot wanita tersebut mendapat ekspresi seperti manusia.


Ekxpresi yang ditunjukkan oleh FACE sama seperti ekspresi wajah manusia ketika  marah, gembira, terkejut, kecewa dan lain-lain. FACE atau ringkasan dari (Facial Automation for Conveying Emotions) ini juga dapat menggerakkan bahunya ketika wajahnya menunjukkan sesuatu ekspresi.


Teknologi HEFES ini dibangunkan sejak tahun 1978 dengan menggunakan animasi serta analisa psikologi manusia. Bukan sahaja menggunakan teknologi HEFES, pencipta FACE juga menggunakan teknologi Human Interaction Persuasive Observation Platform (HIPOP) yang berfungsi sebagai sensor perasaan serta Facial Action Coding System yang berfungsi sebagai penghubung antara gerak bahu dengan mimik wajah.

Malangnya, menurut Newscientist.com, wajah FACE sedikit kelihatan jahat dan menjadikannya kelihatan menyeramkan. Sehingga ke hari ini, FACE masih terus diperkembangkan sehingga sempurna.

Sedih! Lelaki kahwini teman wanitanya yang telah mati


Kisah tragis ini memaparkan tentang seorang lelaki Thai yang mengahwini kekasihnya meskipun wanita ini telah mati. Kisahnya bermula, Sarinya Kamsook, 29, terbabit dengan kemalangan sehari sebelum majlis perkahwinannya dengan teman lelakinya iaitu Chadil Deffy, 28. Dalam insiden itu, wanita ni cedera parah. Dia dikejarkan ke hospital namun oleh kerana wad ICU sesak, wanita ini dibiarkan terpaksa menanggung kesakitan selama 6 jam sebelum menemui ajal.


Sarinya sudah beberapa kali meminta Deffy untuk melangsungkan perkahwinan. Namun, oleh kerana Deffy masih lagi belajar, dia terpaksa menangguhkan hasrat teman wanitanya itu untuk beberapa kali. Meskipun sudah tiada, Deffy berkeras mahu menunaikan hajat terakhir Sarinya iaitu dengan mengahwininya. Akhirnya, mereka telah pun bergelar suami isteri. 

2 banduan Indonesia diampun Sultan Johor bebas hari ini

2 banduan Indonesia diampun Sultan Johor bebas hari ini
Dua banduan warga Indonesia yang dibebaskan setelah mendapat pengampunan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar - Foto BERNAMA
POKOK SENA - Dua banduan warga negara Indonesia yang dijatuhkan hukuman penjara sepanjang hayat yang menghuni penjara Pokok Sena di sini dibebaskan setelah mendapat pengampunan daripada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Mansur Tahir, 50, dan Salleh @ Mon Mion, 43, adalah antara lapan banduan lain yang turut sama mendapat pengampunan daripada Sultan Ibrahim yang diumumkan Rabu lepas.

Mansur yang berasal dari Sumbawa, Bali, Indonesia yang menjalani hukuman selama 30 tahun berkata dia amat bersyukur kepada Allah atas kurniaan ini dan berterima kasih kepada Sultan Ibrahim yang memilihnya termasuk dalam senarai pengampunan.

Katanya ini peluang kedua baginya untuk meneruskan kehidupan seperti orang lain di samping keluarga tersayang terutamanya pada bulan Ramadan yang mulia ini dan perayaan Aidilfitri yang bakal menjelma tidak lama lagi.

"Apabila warden penjara memaklumkan perkara itu, saya terkejut dan rasa seolah-olah tidak percaya dengan berita gembira itu. Syukur kepada Allah dan menjunjung kasih kepada Sultan Johor," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Penjara Pokok Sena, di sini hari ini.

Mansur yang dipenjara ketika berusia 20 tahun berkata perkara utama yang akan dilakukan setelah pulang ke kampung halamannya ialah untuk menziarahi kubur bapanya serta anggota keluarga yang lain.

Katanya dengan kemahiran menjahit yang dipelajari sepanjang berada di penjara, dia akan bekerja mengambil upah menjahit baju bagi mendapatkan rezeki halal untuk meneruskan kehidupan di luar yang makin mencabar.

Mansur yang sebelum ini bekerja sebagai buruh ladang dijatuhi hukuman penjara seumur hayat dan enam sebatan atas kesalahan rompakan dan menunjukkan senjata api di bawah Seksyen 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih  Berat) 1971.

Bagi Salleh yang dipenjara ketika berusia 17 tahun berkata ini saat paling berharga baginya untuk bersama-sama menyambut Ramadan dan hari raya Aidilfitri bersama keluarga dan saudara yang lain di Indonesia.

Dia yang pernah bekerja sebagai buruh binaan berkata berasa amat sedih setiap kali menyambut Ramadan dan hari raya tanpa keluarga tercinta kerana berada dalam penjara.

Salleh menjalani hukuman selama 26 tahun setelah dijatuhi hukuman penjara seumur hayat dan 10 sebatan atas kesalahan rompakan dan melepaskan tembakan di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti lebih berat) 1971.

Dia juga turut menasihatkan masyarakat terutamanya warga Indonesia yang datang bekerja di negara ini agar tidak melakukan jenayah yang boleh menyebabkan mereka meringkuk dalam penjara sepertinya.

Katanya dia akan menceritakan pengalaman pahitnya sepanjang menjalani hukuman di penjara sebagai pengajaran kepada orang ramai agar dapat menghindarkan diri daripada jenayah.

Sementara itu, Pengarah Penjara Pokok Sena, Zawari Abd Rashid berkata kedua-dua banduan itu akan dibebaskan esok setelah proses dokumentasi mereka yang dibuat oleh Jabatan Imigresen Malaysia dan Konsulat  Indonesia di Pulau  Pinang selesai.

Katanya proses penghantaran kedua-dua banduan tersebut akan diuruskan pegawai dari Konsulat Indonesia di Pulau Pinang.

sumber- Bernama

Tragedi Ramadan, hajat warga emas pakai gelang tak kesampaian

Tragedi Ramadan, hajat warga emas pakai gelang tak kesampaian
Sebahagian ahli keluarga berkumpul di pekarangan bilik mayat Hospital Sultanah Bahiyah. Gambar kecil Halimah Yunus.
ALOR SETAR - Hajat seorang warga emas memakai gelang tangan emas Korea pada pagi Aidilfitri tidak kesampaian apabila dia maut dikelar di rumahnya, di Kampung Bukit Hangus, Jeneri, Sik, malam tadi.

Mangsa, Halimah Yunus, 66, ditemui terbaring lemah dengan kesan kelar di leher kiri di bilik tidurnya, sekitar 9.20 malam, dipercayai dilakukan individu tidak dikenali selepas rumahnya dipecah masuk.

Arwah ditemui berlumuran darah oleh suaminya, Mee Hashim, 63, yang ketika itu baru pulang dari menunaikan solat terawih di surau berdekatan.   

Arwah dikejarkan ke Hospital Sik namun disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan.

Mee berkata, sebaik tiba di rumah pada malam kejadian, dia memanggil nama isterinya dan ketika memasuki bilik tidur, alangkah terkejutnya apabila arwah memberitahu dia ditikam individu tidak dikenali.

“Arwah tidak pergi ke surau kerana kurang sihat dan sakit penat beberapa tahun lalu. Arwah berseorangan di rumah ketika itu. Sebaik melihat keadaan arwah, saya berlari minta pertolongan jiran dan terus menghantar arwah ke Hospital Sik,” katanya ketika ditemui di pekarangan bilik mayat, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), hari ini.

Menurutnya, arwah yang juga bekas Ketua Wanita Umno cawangan Kampung Bukit Hangus sekitar 90-an, dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Hangus, selepas Asar, semalam.

“Inilah kejadian pertama rumah kami dipecah masuk sejak tinggal di rumah dua tingkat ini lebih 20 tahun lalu. Saya dapati ada kesan umpilan pada pintu bilik air di tingkat bawah,” katanya.

Mee berkata, kali terakhir dia bercakap dengan arwah adalah sebelum ke surau untuk solat maghrib.

“Arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan. Kami tinggal di rumah berdua sahaja kerana anak perempuan tunggal tinggal di Sungai Petani bersama suami dan anaknya,” katanya.

Anak pasangan itu, Nurliza Mansor, 46, terkilan kerana tidak sempat menghadiahkan arwah sehelai jubah kelabu yang telah dibelinya, berserta seutas gelang yang diidamkan arwah untuk dipakai pada pagi Aidilfitri.

 “Saya sudah janji pada arwah belikan jubah dan saya mahu kejutkan dia dengan hadiah ini esok (hari ini). Saya juga berhasrat hadiahkan gelang kerana sebelum ini arwah ada kata teringin nak pakai gelang. Nampaknya semuanya tinggal kenangan buat kami,” katanya.

Menurutnya, kali terakhir dia dan keluarga berjumpa arwah Rabu lalu ketika menziarahi arwah yang kurang sihat.

“Arwah gembira jumpa tiga cucunya, tetapi tidak pula tunjukkan sebarang perubahan. Kami redha dengan ketentuan Ilahi, ALLAH SWT lebih sayangkan arwah,” katanya.

Sementara Ketua Polis Daerah Sik, DeputiSupritendan  Mohd Ismail Ibrahim mengesahkan kejadian dan kes disiasat bawah Kanun Keseksaan 320.

“Laporan awal mendapati arwah meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital akibat kesan kelar di bahagian leher kiri. Polis tidak menjumpai senjata yang digunakan dalam kejadian itu dan dipercayai dikelar menggunakan senjata tajam,” katanya.

Menurutnya, dalam kejadian itu, barang kemas yang dipakai arwah tidak diusik malah bilik itu tidak digeledah, termasuk pakaian yang dilipat kemas.

“Tiada barang kemas atau wang dilaporkan hilang. Motif pembunuhan juga masih disiasat. Jarak rumah mangsa dengan jiran sekitar 200 meter dan dalam kejadian itu, tiada saksi yang melihat atau mendengar sesuatu mencurigakan dari rumah mangsa,” katanya.

sumber- Sinar

Pegawai tentera udara AS hadapi 28 tuduhan salah laku seks

Walker
Walker
SAN ANTONIO - Seorang pengajar Tentera Udara Amerika Syarikat (AS) disabitkan kesalahan merogol, serangan seksual dan beberapa tuduhan skandal seks lain di pangkalan Texas, yang anggota tentera udara negara itu akan menjalani latihan asas.

Staf Sarjan Luis Walker tidak menunjukkan sebarang reaksi ketika keputusan juri tentera enam anggota membacakan keputusan di kamar mahkamah Pangkalan Tentera Udara  Lackland, lapor msnbc.com memetik AP.

Walker berhadapan dengan 28 tuduhan termasuk merogol dan cubaan serangan seksual.

Dia juga berhadapan dengan tuduhan mengadakan hubungan seksual tidak wajar dengan 10 wanita di pangkalan itu.

Tentera negara itu tidak pernah menyaksikan begitu banyak kes salah laku seks melibatkan seorang pegawai di pangkalan tentera udara sejak 1996 - kes terakhir membabitkan di pangkalan Aberdeen Proving Ground Army, Maryland, yang membawa kepada beberapa pegawai dikenakan tuduhan berkaitan serangan seksual.

Walker merupakan pengajar pertama daripada tujuh orang dihadapkan di mahkamah.

Lima yang lain sedang disiasat manakala 35 lagi digugurkan daripada tugasan aktif.

Walker kemungkinan berhadapan hukuman penjara seumur hidup dan pemecatan.

sumber- Sinar