Pages - Menu

Saturday, September 15, 2012

Skarf Kate bawa memori Puteri Diana

Skarf Kate bawa memori Puteri Diana
(Dari kiri) Duchess of Cambridge, Duchess of Cornwall, Camilla dan Puteri Diana ketika mengenakan scarf. – Foto ihsan portal people.com
KETIKA mengunjungi Masjid Assyakirin di Kuala Lumpur semalam, pada hari Jumaat, Duchess of Cambridge, Catherine telah mematuhi protokol dengan mengenakan skarf.

Jika diimbas kembali sejarah kerabat diraja, Kate bukan orang pertama berbuat demikian ketika melawat negara-negara Asia.

Skarf Kate bawa memori Puteri Diana
Foto kombinasi Duchess of Cambridge, Catherine membuka kasut ketika tiba untuk melawat Masjid Assyakirin, semalam. - Foto Bernama
Ketika kunjungan ke Istanbul, Turki pada 2007, Duchess of Cornwall juga mematuhi budaya tempatan dengan mengenakan skarf berwarna kelabu semasa melangkah ke Masjid Eyup Sultan. Duchess of Cornwall mengadakan lawatan ke sana bersama suaminya, Putera Charles. Mendiang Puteri Diana merupakan isteri pertama Charles.

Putera William, anak sulung pasangan Charles-Diana telah mendirikan rumah tangan dengan Kate tahun lalu.

Putera William dan Kate mengadakan lawatan sulung ke Malaysia selama empat mulai kelmarin.

Hari ini mereka berada di Sabah.

Semalam, Putera William, Duke of Cambridge dan Catherine (kiri) melawat Masjid Assyakirin dalam lawatan ke KLCC. Duke dan Duchess of Cambridge berada di Malaysia selama empat hari bagi mewakili Ratu Elizabeth II sempena sambutan 60 tahun pemerintahan baginda.

Skarf Kate bawa memori Puteri Diana
Duke of Cambridge, Putera William (kanan) dan Duchess of Cambridge, Catherine (kiri) ketika melawat Masjid Assyakirin dalam lawatan ke KLCC, semalam.
Laporan portal people.com menyebut bahawa apa yang menarik ialah skarf yang dikenakan oleh Kate semalam, seolah-olah dunia kembali kepada memori tahun 1991 semasa Putera Diana melawat sebuah masjid di Pakistan.

Sehingga meninggal dunia dalam satu kemalangan di Paris, Puteri Diana menarik ramai dengan mengembara ke seluruh dunia, mengunjungi gunung-ganang dan golongan kurang bernasib baik - seolah-olah bertindak sebagai duta Great Britain.

Selain peristiwa menarik dan bersejarah itu, pasangan tersebut khususnya Kate seolah-olah dihantui oleh sejarah dan pengalaman Puteri Diana yang dikejar paparazzi sepanjang masa.

sumber- Sinar

Lelaki disyaki terbit filem hina Nabi ditahan

Lelaki disyaki terbit filem hina Nabi di tahan
Seorang lelaki disyaki menghasilkan filem Innocense of Muslims dibawa keluar dari rumahnya oleh pihak berkuasa AS, semalam. – Foto ihsan
LOS ANGELES - Seorang lelaki yang disyaki menghasilkan filem yang menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW, sehingga mencetuskan kemarahan dan protes mengorbankan hampir 10 orang setakat ini, ditahan oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS), semalam.

Lelaki berkenaan, Nakoula Basseley Nakoula, pernah disabitkan kesalahan berhubung kes menipu bank pada 2010, dan diletakkan di bawah pemantauan selama lima tahun dan tidak boleh akses kepada Internet.

Nakoula, 55, dilaporkan telah menafikan terbabit dalam pembikinan filem tersebut, yang dinamakan Innocense of Muslims.

Protes ekoran tayangan filem itu merebak ke banyak negara Timur Tengah dan Mesir. Semalam, protes juga diadakan di Malaysia. Hari ini, protes merebak ke Australia.

Nakoula ditahan sejurus selepas tengah malam tadi.

Wakil media menunggu kemunculan lelaki itu selama 48 jam di hadapan rumahnya di selatan California.

Dia muncul dengan mengenakan skarf, kot dan cermin mata bagi mengelakkan wajahnya dirakam oleh media.

Berdasarkan rekod hartanah, rumah dia ditahan ada miliknya.

Jurucakap Jabatan Sherif Los Angeles, Steve Whitmore mengesahkan bahawa Nakoula dibawa ke stesen sherif Cerritos untuk disoal siasat oleh pegawai-pegawai pemantauan persekutuan bagi menentukan sama ada dia telah melanggar syarat hukuman dipantau selama lima tahun yang dikenakan.

Whitmore menambah, Nakoula telah bersetuju untuk ditemu siasat oleh pihak berkuasa sebelum tiba di rumahnya.

Oleh itu katanya, keputusan dibuat Nakoula adalah secara sukarela.

"Lelaki itu memberi kerjasama," katanya lagi.

Nakoula ada memberitahu Associated Press bahawa dia bukan pengarah filem itu tetapi hanya pengurus logistik.

Pengarah filem itu dikatakan menggunakan nama Sam Bassiel.

Laporan terdahulu menunjukkan Nakoula menggunakan sekurang-kurangnya lapan nama yang lain.

sumber- Sinar

Iklan televisyen paling mahal di dunia

Iklan televisyen paling mahal di dunia

Sebuah filem durasi empat minit hasil arahan Baz Lurhmann (Australia) untuk iklan Chanel No. 5 perfume merupakan iklan televisyen paling mahal di dunia yang menelan kos sebanyak £18 juta ($33 juta) bagi disiapkan sepenuhnya. Iklan ini dibintangi oleh Nicole Kidman (Australia) yang memegang watak gaya Marilyn Monroe yang diburu oleh paparazzi. Julung kalinya iklan ini ditayangkan di seluruh pawagam Amerika Syarikat pada 1 November 2004 dan mula disiarkan oleh seluruh stesen televisyen Amerika Syarikat pada 11 November 2004.

Setelah membuat kemunculan sulung di layar besar Amerika Syarikat, iklan ini disusuli tayangan di pawagam serta siaran televisyen Australia, Britain, Perancis, dan Belanda bermula pada November 2004. Bayaran yang diterima oleh Nicole Kidman bagi kemunculannya dalam iklan tersebut ialah £2 juta ($3.7 juta). Pakaian yang digunakan adalah hasil rekaan Karl Lagerfeld manakala selingan muzik adalah hasil karya komposer klasik terkenal iaitu Debussy.

Mizz Nina ikut langkah Ning Baizura

gambar Mizz Nina seksi
Mizz Nina
PENYANYI yang terkenal dengan lagu berentak 'catchy', Mizz Nina berkata, dia tidak akan membuat persembahan sempena Arthur’s Day, yang akan berlangsung di Souled Out, 28 September ini.

Mizz Nina, 32, membuat pengumuman itu menerusi laman mikro Twitter pagi tadi.

Katanya, "Souled Out akan mengumumkan barisan artis baru yang akan menjayakan persembahan untuk Arthur’s Day, hari ini."

"Saya tidak akan terlibat dengan persembahan itu disebabkan situasi-situasi yang tidak diduga," katanya lagi.

Sebelum ini, Mizz Nina dan seorang lagi artis, Ning Baizura dilaporkan akan menjayakan persembahan meraikan ulang tahun syarikat minuman keras itu.

Ning, 37, sudah menarik diri daripada persembahan itu awal minggu ini selepas gambarnya digunakan pada poster promosi persembahan tanpa pengetahuannya.

sumber- Sinar

Ning Baizura hamil anak sulung

gambar ning hamil
Ning dan suami, Omar Sharif
SETELAH 4 tahun mendirikan rumah tangga, akhirnya penyanyi bersuara soprano, Ning Baizura, bakal menimang cahaya mata.

Ning mengesahkan berita kehamilannya itu menerusi sebuah portal hiburan tempatan. Enggan bercerita lanjut, Ning berkata, dia bakal mengadakan sidang media untuk berkongsi berita gembira itu.

Perkara ini dikuatkan lagi apabila Ning yang ditemui ketika majlis gala tayangan filem 3 Hari arahan Afdlin Shauki, kelihatan agak berisi dengan perutnya yang sedikit membonjol.

Apa pun, tahniah Zass ucapkan dan semoga dia selamat melahirkan cahaya mata sulungnya ini.

Ning dan suami, Omar Sharif telah diijabkabulkan di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar pada 31 Januari 2008.

sumber- Sinar

Bayi disahkan buta

bayi disahkan buta
Beginilah keadaan Nur Amira Umairah yang disahkan buta pada mata sebelah kirinya.
PENDANG – Ibu bapa mana yang sanggup melihat anak menderita menghidap pelbagai penyakit, apatah lagi jika anak itu masih kecil.

Kesedihan itu dirasakan sepasang suami isteri di Kampung Sungai Baru Mukim Air Puteh dekat sini, apabila anak sulung mereka Nur Amira Umairah Mohd Akbal berusia 10 bulan telah disahkan buta pada mata kiri manakala mata kanan mengalami rabun tahap serius selepas menghidap penyakit glaucoma apabila kedua matanya terbonjol sejak dilahirkan.

Nur Amira Umairah dikenal pasti menghidap penyakit itu sejak lahir pada 24 November 2011 di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar apabila matanya terbonjol dan semakin membengkak.

Mohd Akbal Baharuddin, 23, dan isteri, Zainon Mohd Tajuddin, 20, memaklumkan  berikutan penyakit anaknya itu mereka kini buntu untuk menjelaskan bayaran wad dan cermin mata anak yang masih tertunggak selain kos pengangkutan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) setiap kali mendapatkan rawatan.

Mohd Akbal berkata, setiap bulan dia perlu membawa anaknya itu ke HSB dua kali dan ke HKL sebanyak tiga kali.

“Pendapatan saya sebagai pembantu kedai runcit hanya RM20 sehari, itu pun bukan hari-hari saya bekerja. Nak bawa anak ke hospital lagi.

"Zaman sekarang gaji sebanyak itu mana cukup, nak makan hari-hari pun susah, apatah lagi nak tanggung kos rawatan yang terlalu tinggi.

“Saya ada terima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Pendang sebanyak RM300 sebulan.

"Ia juga tidak cukup kerana kos pengangkutan ke HKL saja dah cecah RM1,000 sebulan sehingga saya terpaksa juga berhutang untuk membeli lampin pakai buang untuk anak,” katanya.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan derita yang dialami Nur Amira Umairah ketika dia baru berusia empat bulan berkaitan penyakit yang dihadapinya itu pada peringkat permulaan.

Kepada mana-mana pihak yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi keluarga terbabit di talian 013-4756126 atau menyumbang melalui akaun Maybank di nombor 152125198708.

sumber- Sinar

Rozita Che Wan Sudah Ada Facebook

facebook rozita che wan

KUALA LUMPUR: Pelakon popular Rozita Che Wan akhirnya membuka akaun rasmi di laman Facebook (FB) untuk para peminatnya selepas lima tahun berkecimpung dalam dunia lakonan.

Rozita, 39, berkata, pertanyaan yang berterusan daripada peminat mengenai aktiviti dan perkembangannya menjadi faktor dia mendaftarkan akaun FB bernama 'Rozita Che Wan (RCW)' di laman itu.

"Saya buat akaun FB kerana mahu mendekati dan berkomunikasi dengan peminat.

Sebenarnya sudah lama mereka bertanya bila saya akan mempunyai akaun FB sendiri.

"Selama lima tahun menjadi pelakon, saya memang tidak pernah ada apa-apa akaun di laman sosial tidak kira FB, Twitter atau Instagram. Sejak tiga hari akaun itu dibuka, saya sudah mempunyai 400 kenalan," katanya.

Rozita berkata demikian ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Hari Raya anjurannya di sebuah hotel di sini, petang Jumaat.

Pada majlis yang julung kali diadakan itu, Rozita meraikan sekitar 100 tetamu yang terdiri daripada kaum keluarga, kenalan artis yang rapat dan wakil media.

Antara kenalan artis yang hadir adalah Dafi, Didie Alias, Roslan Shah, Azza (Elite), Fazly Zainal, Zain Saidin, adiknya Ayu Raudhah dan adik ipar Mazlan Pet Pet.

Rozita berkata, idea untuk menubuhkan akaun rasmi itu tercetus sejak dia memeterai perjanjian pengurusan artis dengan syarikat Laugh Out Loud (LOL) Entertainment milik penyanyi Dafi, pada awal bulan ini.

"Akaun FB ini bukan sahaja sebagai platform untuk saya berkomunikasi dengan peminat, malah saya dapat berkongsi aktiviti terbaru dan mempromosikan drama televisyen yang saya bintangi.

"Sejak bernaung di bawah pengurusan LOL Entertainment pada awal bulan ini, kami merasakan penubuhan akaun FB ini idea yang baik untuk mendekati peminat dan tujuan kerja.

"Selama ini, saya uruskan hal ehwal kerja sendirian dan tidak berkesempatan untuk mempunyai akaun sosial.

"Bila sudah ada pengurusan ini tentu saya ada waktu terluang sikit untuk berinteraksi dengan peminat di laman itu," katanya.

Mengenai kerjaya, Rozita berkata, dia bakal memulakan penggambaran telefilem komedi terbaru berjudul Bila Daddy Buat PHD di Perlis pada minggu hadapan.

"Saya juga akan terlibat dalam penggambaran sebuah telefilem Hari Raya Haji juga diterbitkan Zeel Productions selepas ini."Pada Oktober depan, saya akan terlibat dalam drama bersiri Kiah Pekasam untuk musim terbaru.

"Kami dijangka terbang ke Jepun untuk penggambaran," katanya yang akan bercuti ke London, England dan Paris, Perancis bersama Ayu Raudhah tidak lama lagi.

sumber- MStar

Tauke tayar, kekasih dibunuh

menukar tayar kereta

KAJANG: Seorang ahli perniagaan yang mempunyai rangkaian kedai tayar di sekitar Lembah Klang dan teman wanitanya ditemui mati dibunuh dengan kesan tetakan pada badan, tangan dan leher di rumahnya di Taman Segar Perdana, di sini, malam kelmarin.

Mangsa dikenali sebagai Leong Kian Sheong, 37, dan Vivien Wong, 20, ditemui terbaring berlumuran darah dalam sebuah bilik di tingkat bawah rumah, kira-kira jam 10 malam. 

Mayat mereka ditemui ahli keluarga dan rakan yang datang meninjau ke rumah itu selepas curiga apabila panggilan telefon tidak berjawab sejak awal pagi. 

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid AB Wahab berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian pada jam 10.30 malam dan pemeriksaan mendapati kedua-dua mangsa ditemui dalam keadaan terbaring secara bertentangan dengan kesan darah berlumuran di keliling mereka.

sumber- HMetro

Polis minta kerjasama cari gadis lembam hilang

gadis lembam hilang
Umar Ali menunjukkan gambar mangsa yang hilang sejak 21 Ogos lalu.
ALOR GAJAH  – Polis meminta kerjasama orang ramai untuk membantu menjejaki seorang gadis lembam, A Vantha, 16, yang dilaporkan hilang selepas tiga hari tinggal bersama ibu saudaranya di sebuah taman, di sini, 21 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, bapa mangsa, K Annandan, 37, menghantar mangsa pada 18 Ogos lalu untuk tinggal bersama ibu saudaranya, R Sarida, 25, di taman berkenaan.

Difahamkan, kehilangan mangsa yang juga anak sulung daripada lapan beradik itu turut dikaitkan dengan seorang lelaki dikenali sebagai Bulat.

“Mangsa dihantar ke rumah ibu saudaranya di sebuah taman di sini pada 18 Ogos lalu kerana mangsa bekerja di sebuah kedai di kawasan kilang solar di Rembia sebelum disedari hilang kira-kira jam 10.30 pagi pada 21 Ogos.

“Kehilangan mangsa disedari ibu saudaranya yang ketika itu sibuk menguruskan bapanya yang terlantar sakit sebelum didatangi majikan mangsa yang menjemputnya di rumah setiap hari," katanya.

Menurutnya, ibu saudara mangsa terkejut kerana menyangka mangsa keluar awal dijemput majikannya sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah.

"Mangsa yang juga orang kurang upaya (OKU) masih menuntut di tingkatan empat di sebuah sekolah menengah di Jasin, keluar rumah sehelai sepinggang.

“Mangsa keluar dengan hanya membawa dompet berisi MyKad," katanya.

Umar Ali berkata, bapa mangsa cuba menghubungi telefon bimbit anaknya tetapi dijawab seorang lelaki yang mendakwa mangsa ada bersamanya.

"Berdasarkan siasatan, nombor telefon bimbit mangsa masih digunakan dan dikesan di sekitar Kuala Sungai Baru," katanya.

Sehubungan itu katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat atau melihat mangsa, diminta segera menghubungi Inspektor Shuhaida Mohd Idris menerusi talian 06-5562222.

sumber- Sinar

Penerbit filem hina Islam guna 10 nama, pernah tipu bank

Penerbit filem hina Islam guna 10 nama, pernah tipu bank
Rumah Nakoula Basseley Nakoula di Cerritos, California menjadi tumpuan media sejak beberapa hari lalu. - Foto ihsan CNN
LOS ANGELES - Pegawai-pegawai persekutuan Amerika Syarikat (AS) sedang mengkaji semula tempoh pemantauan ke atas seorang penduduk tempatan, yang dipercayai menghasilkan filem yang mencetuskan kemarahan umat Islam seluruh dunia.

Jurucakap Pejabat Pentadbiran Mahkamah AS, Karen Redmond berkata, Nakoula Basseley Nakoula telah disabitkan bersalah pada 2009 berhubung kesalahan menipu bank.

Hukuman yang dijatuhkan meletakkan dia di bawah pemantauan selama lima tahun.

Pegawai-pegawai persekutuan mengesyaki Nakoula sebagai individu yang bertanggungjawab menerbitkan filem Innocence of Muslims.

Laporan media menyebut lelaki itu menggunakan nama yang berlainan, tetapi Associated Press melaporkan dia orang yang sama.

Dipetik CNN, Redmond berkata, semakan semula hukuman pemantauan masih berjalan.

Bagaimanapun beliau tidak memberi maklumat bila dan sebab semakan ke atas pemantauan diadakan, selain bila proses itu akan selesai.

Sepanjang pemantauan, Nakoula tidak boleh mengguakan komputer atau mana-mana peralatan yang membolehkan dia akses kepada Internet tanpa kebenaran pegawai pemantau.

Dia pernah menjalani hukuman penjara selama setahun di Lompoc, California.

Bagaimanapun pegawai-pegawai mahkamah tidak dapat memberi maklumat sama ada Nakoula telah memulangkan kembali AS$794,700 (lebih RM2.1 juta) sebagaimana diarahkan oleh mahkamah.

Sejak sedutan filem itu disebar luas menerusi YouTube, Nakoula dilaporkan sudah menghilangkan dirinya daripada publik dan tinggal bersama keluarganya di rumah mereka di Cerritos, California. Kawasan rumahnya juga kini menjadi tumpuan wartawan.

Cerritos terletak kira-kira 35 kilometer ke tenggara Los Angeles.

Filem itu, dihasilkan oleh kumpulan anti-Islam di AS, satu projek kos rendah yang tidak dipandang di AS ketika mula ditayangkan tiga bulan lalu.

Bagaimanapun ia mencetuskan protes dan keganasan di Mesir, Yaman, Tunisia, Maghribi, Sudan, Iran, Iraq, Palestin dan wilayah Palestin, serta di Indonesia dan Malaysia, apabila dimuat naik menerusi YouTube.

Minggu ini, FBI telah menghubungi penerbit filem itu ekoran risiko ancaman, kata seorang pegawai penguat kuasa undang-undang persekutuan kepada CNN kelmarin.

Bagaimanapun dia tidak tertakluk kepada siasatan.

Satu laporan awal awam mengenai Nakoula muncul awal minggu ini apabila dia menghubungi Jabatan Sheriff Los Angeles malam Rabu lalu untuk membuat laporan mengenai gangguan, kata jurucakap polis Steve Whitmore.

Dia mahu polis tempatan memberi perlindungan ke atasnya.

Apabila berita mengenai filemnya muncul, penerbitnya mengelar dirinya, Sam Bacile.

Bacile memberitahu Wall Street Journal berkata, dia seorang keturunan Israel-AS berusia 52 tahun, dan merupakan ejen hartanah dari California.
Katanya, penderma Yahudi membiayai filem itu.

Seorang anggota staf penerbitan, yang pernah terlibat dalam peringkat awal pembikinan filem itu memberitahu CNN bahawa nama yang diisi pada borang Screen Actors Guild adalah "Abenob Nakoula Bassely". Penyelidikan rekod awam menunjukkkan Abanob B. Nakoula tinggal di alamat yang sama dengan Nakoula Basseley Nakoula.

Dia percaya bahawa penerbit filem itu seorang Kristian Koptik dan ketika mereka bercakap menerusi telefon semasa penggambaran berjalan, Nakoula pernah berkata dia berada di Iskandariah, Mesir untuk menjana dana bagi filemnya.

Mesir pernah menyaksikan ketegangan antara masyarakat Islam dan minoriti 'Copts'.

Seorang lagi yang pernah terlibat dalam penghasilan filem ini berkata, dia mengenali penerbit filem dengan nama Sam Bassil.

Dia menandatangani cek menggunakan nama itu.

Apabila CNN membuat penyelidikan mengenai Sam Bassil, pejabat Peguam Negara menghantar satu salinan tuduhan yang dibawa pada 2009.

Dokumen-dokumen mahkamah menunjukkan bahawa Nakoula disabitkan kesalahan berhubung kes menipu bank.

Beberapa nama sampingan atau nama lain juga disertakan dalam kertas tuduhan iaitu Mark Basseley Youssef, Yousseff M. Basseley, Nicola Bacily dan Malid Ahlawi. Dokumen mahkamah yang lain menggunakan Thomas J. Tanas, Ahmad Hamdy dan Erwin Salameh sebagai alias.

Dalam temu bual dengan Wall Street Journal, penerbit itu menyifatkan filemnya sebagai "satu usaha untuk membawa perhatian kepada hipokrasi Islam."

"Islam itu kanser," dakwanya.

"Filem ini filem politik, bukan filem agama," katanya mempertahankan pembikinan filem yang telah mengorbankan sekurang-kurangnya sembilan nyawa termasuk Duta AS ke Libya, Christopher Stevens.

sumber- Sinar

Lelaki seiras Saddam dipaksa berlakon filem pornografi

Lelaki seiras Saddam dipaksa berlakon filem lucah

KAHERAH: Seorang lelaki dengan wajah seiras Saddam Hussain mendakwa sekumpulan samseng cuba menculik dan memaksanya menyamar sebagai diktator terkenal itu untuk berlakon dalam filem pornografi melampau.

Warga Mesir, Mohamed Bishr yang saling tak tumpah menyerupai bekas pemerintah kuku besi itu mendakwa dipaksa melakukan perbuatan itu oleh kumpulan samseng berkenaan minggu lalu.

Kumpulan yang tidak dikenal pasti itu memberitahunya, mereka akan menyiarkan rakaman palsu itu sebagai pita porno asli Saddam dan menjualnya ke seluruh dunia bagi mendapatkan wang.

Pada awalnya mereka berkata, akan membayarnya 205,000 pound (RM1.09 juta) untuk adegannya dalam kerjasama itu, tetapi kemudian membelasahnya apabila dia enggan.

Mohamed dari Iskandariah berkata, dia turut menerima ugutan melalui panggilan telefon mengatakan dia akan diculik jika dia enggan berlakon dalam filem itu. 

Mohamed yang warak berkata, pada minggu lalu, tiga lelaki berpakaian hitam keluar dari van dan memaksanya untuk memasuki belakang kenderaan itu.

Dia memberitahu akhbar harian Mesir, Al-Ahram: “Tiga lelaki itu yang mempunyai pistol tersisip di tali pinggang mereka memaksa saya keluar dari kereta dan menolak saya ke dalam sebuah van sambil memukul kepala saya.” 

Menurutnya, orang yang lalu lalang berhimpun di tempat kejadian, tetapi amat takut untuk campur tangan dan perkara terakhir yang diingatnya, dia dicampak dari van ke kaki lima.

Mohamed juga telah diserang beberapa kali pada masa lalu oleh rakyat Iraq yang menetap di Mesir.

Kebanyakan mereka tersilap menganggapnya sebagai pemimpin mereka yang diguling (dihukum mati di penjara Baghdad pada Disember 2006) dan mahu menyerahkannya kepada pihak berkuasa untuk mendapatkan ganjaran. Dia terpaksa berpindah rumah beberapa kali bagi mengelak diganggu.

Anak lelakinya, Mahmoud berkata: “Kami meminta polis supaya memberi perlindungan khas kepada bapa kami kerana perkara ini sudah berlaku beberapa kali.” 

sumber- TS

Maut dibakar di laman sekolah

Maut dibakar di laman sekolah
MAYAT Saquil (bulatan merah) terbaring di halaman sekolah selepas dibakar sekumpulan perusuh, semalam.
BANDAR RAYA GUATEMALA: Satu kumpulan perusuh membalas dendam terhadap seorang lelaki yang dikatakan pihak berkuasa membunuh dua kanak-kanak di sebuah sekolah rendah, semalam.

Menteri Dalam Negeri, Mauricio Lopez Bonilla berkata, lelaki mabuk yang dikenali sebagai Julio Saquil itu menceroboh masuk ke sekolah di Tactic, Alta Verapaz, di utara negara itu sebelum menyembelih dua kanak-kanak dengan sebilah parang.

Bonilla berkata, sekumpulan perusuh kemudian membawa Saquil, 35, ke halaman sekolah itu dan membakarnya hingga mati.

“Dia berjalan masuk ke dalam sebuah kelas dan mula menyerang pelajar. Dia memenggal kepala seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun dan menyembelih seorang murid perempuan berusia lapan tahun dengan parang,” kata anggota bomba Tactic, Wilson Cahuec.

Pihak berkuasa tempatan berkata, Saquil mempunyai sejarah terbabit dengan masalah dadah dan keganasan, tetapi mereka belum dapat mengenal pasti motif serangannya.

Pihak berkuasa mengenal pasti murid yang mati itu sebagai Evelyn Yanisa Saquij Bin, 8, dan Juan Armando Coy Cal, 13.

Mayat kanak-kanak itu mempunyai kesan kecederaan yang cuba mempertahankan diri.

Sementara itu, Fox News melaporkan kumpulan perusuh terbabit terdiri daripada guru-guru dan penduduk tempatan.

Hukuman tanpa perbicaraan bukan satu perkara luar biasa di Guatemala di mana bilangan polis agak kurang.

Agensi hak asasi kemanusiaan negara itu pula berkata, 234 percubaan menghukum bunuh tanpa bicara berlaku tahun lalu dan sekurang-kurangnya 40 orang maut.

Ekoran perbuatan ganas itu, ketegangan semakin berleluasa di kawasan kejiranan tempatan yang mula bertindak melakukan hukuman sendiri.

Baru-baru ini, empat lelaki yang disyaki mencuri ditangkap dan dibelasah oleh penduduk yang berang. Mereka menganggap kaedah hukuman yang dilakukan mereka lebih sesuai berbanding undang-undang pihak berkuasa.

Bagaimanapun, nasib masih menyebelahi empat lelaki berkenaan apabila akhirnya diselamatkan dan ditahan oleh polis. Itu pun selepas mereka diikat, dipukul dengan kayu, ditumbuk dan ditendang. 

sumber- DM

Tragedi barbeku meletup

Tragedi barbeku meletup
SAKIT...Muhammad Azreen yang parah menerima rawatan di PPUKM.
KUALA LUMPUR: Lima pelajar sebuah sekolah menengah di Taman Mulia, Bandar Tun Razak, Cheras, di sini, pagi semalam melecur teruk selepas berlaku letupan ketika mereka berbarbeku sempena majlis rumah terbuka Adilfitri di sekolah berkenaan jam 9.30 pagi semalam.

Mangsa membabitkan pelajar tingkatan empat dan seorang tingkatan lima dengan empat daripada mangsa parah akibat melecur 25 hingga 45 peratus dari paras pinggang hingga muka.

Menurut seorang daripada mangsa, Mohd Hidayad Mohd Yazid, 16, ketika kejadian dia bersama 20 rakan memerhati seorang guru mencurahkan cecair pelarut ke dalam api, apabila secara tiba-tiba berlaku letupan kuat serta api menyambar mereka yang berada di sekeliling alat barbeku.

“Baju saya terbakar pada bahagian seluar dan lengan, saya kemudian menanggalkan seluar dengan bantuan rakan.

“Selepas kejadian, guru yang mencurah cecair itu menghantar saya dan seorang rakan yang parah, Muhammad Azreen Rahim, 16, ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk mendapatkan rawatan,” katanya ketika ditemui di sini, malam tadi.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Abdul Rahim Hamzah mengesahkan menerima laporan kejadian itu daripada keluarga pelajar yang cedera.

Menurutnya, setakat ini kes berkenaan tiada unsur jenayah dan lebih menjurus kepada kemalangan.

sumber- HMetro

Tangisan bayi di sisi mayat ibu

Tangisan bayi di sisi mayat ibu
NORMAYA...ditemui mati
BAGAN DATOH: Seorang bayi perempuan berusia tujuh bulan dipercayai menangis berjam-jam sebelum ditemui di sisi mayat ibunya di kuarters guru di Sekolah Menengah Sains Bagan Datoh, di sini, pagi kelmarin.

Mayat Normaya Mokhtar, 33, yang juga guru Bahasa Jepun di sekolah berkenaan dan dipercayai meninggal dunia akibat serangan jantung, ditemui rakan yang ke rumahnya jam 8 pagi kelmarin.

Rakan mangsa yang enggan dikenali berkata, dia menghantar SMS, malam Rabu lalu, namun tidak dibalas, menyebabkan dia beranggapan mangsa sibuk.

“Saya pelik apabila mendapat tahu dia tidak hadir ke sekolah (pagi kelmarin) menyebabkan saya ke rumahnya yang tidak jauh dari sekolah itu. Sebaik tiba di rumahnya, saya dapati pintu rumah tertutup rapat biarpun berkali-kali dipanggil, namun tiada jawapan.

“Saya segera memeriksa keadaan sekeliling rumah dan mendapati kunci pendua disimpan di hadapan rak kasut rumah berkenaan sehingga membolehkan saya membuka pintu hadapan rumahnya,” katanya.

Menurutnya, sebaik melangkah masuk, dia terus mencari rakannya di setiap ruang sebelum mendapati mangsa terbaring di ruang bilik tidur utama dan bayinya berada di sisi.

“Dia ditemui dalam keadaan pucat dan terbaring di atas katilnya bersama bayinya yang menangis. Doktor yang memeriksa keadaannya selepas itu memaklumkan dia sudah meninggal dunia,” katanya.

Menurut seorang lagi saksi yang enggan dikenali, dia terdengar tangisan bayi berpanjangan sehari sebelum mengetahui berita kematian guru berkenaan, namun dia tidak mengambil apa-apa tindakan.

“Arwah seorang guru bahasa Jepun dan sudah mengajar di sekolah berkenaan sejak lebih dua tahun lalu. Dia sangat disenangi rakan-rakan dan suka membantu,” katanya. Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan berkata, mangsa disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung.

“Mangsa meninggal dunia lewat petang Rabu lalu, namun hanya diketahui jiran dan rakan yang ke rumah mangsa pagi esoknya. Setakat ini polis mengklasifikasikan kes ini sebagai mati mengejut namun turut menjalankan siasatan bagi mengesan jika ada unsur jenayah,” katanya.

Difahamkan, mangsa dipercayai menetap di rumah berkenaan bersama bayinya yang berusia tujuh bulan, manakala suami bekerja di Johor Bahru.

Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu Gajah petang kelmarin.

Sementara itu, Exco Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin ketika dihubungi merakamkan takziah kepada keluarga mangsa dan menyifatkan kematiannya satu kehilangan besar bagi warga pendidik.

“Saya dimaklumkan pengurusan sekolah berkenaan mengenai perkara itu. Saya sepatutnya mewakili Exco Pelajaran, Pengajian Tinggi, ICT, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid, namun terpaksa menghantar wakil kerana terbabit dengan program lain,” katanya.

sumber- HMetro

Badan sasa, batin lemah

lemah tenaga batin

ALOR SETAR: Keghairahan mengambil ubat-ubatan mengandung steroid jenis ‘testosterone’ bagi menambah kekuatan ketika menjalani latihan angkat berat menyebabkan seorang ahli bina badan kini menderita lemah tenaga batin dan kerandut zakar turut mengecil.

Malah, masalah dialami lelaki berusia 40-an itu turut menjejaskan keseluruhan hidupnya apabila ditinggalkan isteri selain sering mengalami pelbagai masalah kesihatan. 

Dia yang tinggal di bandar raya ini dan hanya mahu dikenali sebagai Thomas berkata, doktor memberitahu masalah lemah tenaga batin yang dialaminya berpunca daripada pengambilan steroid jenis testosterone berlebihan sejak lebih tujuh tahun lalu.

Menurut Thomas, dia menceburi sukan bina badan sejak berusia 20 tahun dan pada mulanya hanya mengambil makanan kesihatan tambahan serta ubat-ubatan untuk meningkatkan tenaga fizikal.

sumber- HMetro

Dipanah petir ketika pegang telefon bimbit

Aniq dipanah petir
Aniq Syazwan sambil diperhatikan bapanya (kanan) melakonkan semula bagaimana keadaan tangannya yang kaku selepas terkena renjatan elektrik akibat panahan petir.
CHUKAI – “Waktu itu saya sedang caj telefon bimbit dan letakkannya atas paha sambil tangan diletakkan atas telefon itu namun tak semena-mena saya rasakan terkena renjatan elektrik lalu saya yang berada di atas katil dalam bilik tidur tercampak di tepi dinding dengan badan kaku serta kejang,” kata Aniq Syazwan Abu Bakar, 16.

Aniq Syazwan nyaris maut akibat panahan petir menyambar wayar elektrik hingga menyebabkan dia terkena renjatan dalam kejadian ketika hujan lebat dan kilat sambar menyambar kira-kira jam 8.12 malam di rumahnya di Taman Mawar 2, Jalan Tempurung, dekat sini, tiga hari lalu.

Pelajar tingkatan empat ini yang masih sedarkan diri sejurus renjatan itu hanya mampu membuka mata dan melihat kedua-dua tangannya bertukar menjadi biru kehitaman sebelum tidak sedarkan diri ketika kedua ibu bapanya memasuki bilik tidurnya.

“Semasa terkena renjatan itu saya lihat cahaya menyambar tangan lantas saya tercampak ke tepi dinding. Kejadian ini buatkan saya trauma dan serik untuk memegang telefon bimbit lagi semasa petir atau kilat,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Aniq dipanah petir
Ketika menerima rawatan di Hospital Kemaman.
Sementara itu, bapa Aniq Syazwan yang juga kakitangan Pejabat Penerangan Daerah Kemaman, Abu Bakar Abdullah, 55, berkata, semasa kejadian dia sedang berwirid di ruang solat di rumahnya sebelum terdengar bunyi ‘prakkk’ lalu bekalan elektrik terpadam sebelum terdengar sayup-sayup anak bongsunya daripada lima beradik itu meraung kesakitan.

“Ketika itu terdetik di hati saya mungkin anak bongsu saya sudah meninggal. Lalu dalam keadaan gelap saya dapat capai telefon bimbit isteri sebagai sumber cahaya dan menuju ke bilik adik (nama panggilan untuk Aniq).

“Bila masuk ke biliknya, saya suruhnya mengucap kerana sangkakan keadaannya sudah tenat tapi Alhamdulillah waktu saya masuk ke dalam biliknya bersama isteri, Pasiah Hamzah, 51, dia masih sedarkan diri tetapi badannya kejang seperti robot sebelum kami menghantarnya ke Hospital Kemaman,” katanya sambil menganggap kejadian berkenaan satu keajaiban dan kebesaran Allah SWT kerana anaknya masih selamat.

Difahamkan akibat panahan petir itu, televisyen dan mentol di rumah dua jiran mereka turut meletup. Aniq Syazwan ditahan dalam wad selama dua hari kerana dikhuatiri kesan arus elektrik boleh memudaratkan otak dan jantungnya sebelum dibenarkan pulang petang kelmarin.

sumber- Sinar

Gadis api diganggu rayu pakar perubatan tradisional

Gadis api terus diganggu
Wan Nor Fatihah menunjukkan api yang muncul secara tiba-tiba, ketika wartawan Sinar Harian menemu bualnya kelmarin.
KOTA BHARU - ’Gadis api’ yang mengalami masalah diekori api misteri sejak dua tahun lalu dari Kampung Penambang, Bunga Emas, di sini, hanya tenang ketika solat.

Wan Nor Fatihah Wan Hanafi, 14, meminta agar mana-mana pakar perubatan tradisional atau ustaz dapat merawat gangguan jin yang dikatakan berdampingan dengannya yang juga menjadi punca diekori api itu.

Menurutnya, sejak diekori api berkenaan, hidupnya tidak keruan selain sering dicemuh masyarakat kerana menimbulkan kekecohan di kawasan setempat, setiap kali diekori api misteri itu.

Wan Nor Fatihah berkata, dia begitu mengharapkan pertolongan pihak berpengalaman bagi merawat gangguan itu.

“Saya harap jika ada mana-mana ustaz atau bomoh, yang boleh merawat saya untuk buang gangguan jin ini.

“Lebih teruk lagi, apabila api misteri itu akan muncul hampir 11 kali setiap hari bermula awal pagi sehingga lewat malam, di dalam rumah dengan membakar pakaian, telefon bimbit, almari, selimut selain telefon bimbit dan kamera serta segala peralatan dalam rumah,” katanya.

Gadis api terus diganggu
Antara sebahagian telefon bimbit miliknya serta ahli keluarga yang turut terbakar selepas api misteri itu muncul.
Pada kunjungan ke rumahnya kelmarin, wartawan Sinar Harian turut merasai pengalaman mengenai kemunculan api misteri itu kira-kira jam 6 petang, hampir dua kali.

Seperti tidak percaya apa yang dilihat, api misteri itu muncul di permukaan kain dan keluarganya terpaksa bertungkus lumus memadamkan api itu.

Sementara itu menurut Wan Nor Fatihah lagi, insiden terbaru, menyebabkan rumah ibu saudaranya juga yang berada berdekatan, turut terbakar selepas dia serta neneknya Zainab Sulaiman, 75 berkunjung ke kawasan itu kelmarin.

“Sudah puas saya ikhtiar sendiri, bertemu berpuluh bomoh dan ustaz di Kelantan dan luar Kelantan, namun gangguan itu tetap muncul semula dan api itu akan muncul pada setiap masa.

“Saya sedih apabila masyarakat memandang serong terhadap diri saya, akibat kejadian ini saya hanya duduk di rumah dan tidak bercampur dengan penduduk sekitar,” katanya.

Biarpun dicemuh dan kecam, namun dia masih berharap ada sinar baru bagi dirinya yang ingin hidup seperti manusia normal lain, dan dapat bergaul dengan masyarakat setempat.

“Saya ingin menjalani hidup seperti orang lain juga, boleh berkawan dengan sesiapa sahaja dan tidak dibelenggu masalah ini setiap masa.

“Akibat kejadian itu, saya takut untuk berkunjung ke rumah orang lain, bimbang jika api misteri itu muncul dan menyebabkan mereka terpaksa menanggung kerugian,” katanya.

Menurut Zainab, dia sentiasa berharap agar cucunya itu dapat menjalani kehidupan lebih baik selepas ini dan pulih dari gangguan itu.

Ia bukan sahaja menyebabkan dia terpaksa hidup dalam ketakutan, malah anaknya Rafeah Zakaria, 42, yang merupakan ibu kepada Wan Nor Fatihah, selain dua cucunya, Wan Mohd Faiz, 16, dan Wan Nurfatini 12,  terpaksa menghadapi kebakaran yang berlaku tidak kira waktu dan ketika.

Mereka turut bertungkus lumus memadamkan api yang membakar apa sahaja yang ada di dalam kediaman mereka.

Sinar Harian sebelum ini, ada melaporkan mengenai kejadian terbabit yang menghantui gadis dan keluarganya itu sejak dua tahun lalu, namun walaupun pernah berubat dengan pelbagai pihak termasuk ustaz dan  berjumpa dengan pakar perubatan tradisional, namun kejadian itu tetap mengganggunya dan keluarga sehingga kini.

sumber- Sinar

Perokok ada masalah tidur

lelaki merokok

Berlin: Perokok mungkin kurang tidur dan tidak nyenyak berbanding mereka yang tidak merokok, menurut kajian membabitkan 2,000 orang di Jerman. 

Kajian sekumpulan penyelidik itu disiarkan jurnal ‘Addiction Biology’ yang menyatakan, daripada hampir 1,100 perokok yang mengambil bahagian, 17 peratus daripada mereka tidur kurang daripada enam jam. Selain itu, 28 peratus lagi responden kajian melaporkan sewaktu lelap, tidur mereka juga ‘ada gangguan.’ 
Sementara itu, bagi lebih 1,200 peserta kajian yang tidak merokok, hanya tujuh peratus tidur kurang daripada enam jam dan 19 peratus melaporkan ada gangguan ketika tidur. 

“Kajian itu menunjukkan buat kali pertama ramai perokok yang ada masalah tidur berbanding mereka yang tidak merokok membabitkan masyarakat tanpa masalah psikiatrik selepas mengambil kira faktor relevan risiko berpotensi,” kata ketua penyelidik, Stefan Cohrs, dari Sekolah Perubatan Charite di sini, serta rakannya. 

Nikotin sebabkan kesukaran tidur

Pada masa sama, penemuan mereka tidak membuktikan tabiat merokok menjejaskan tidur seseorang kerana perokok juga mungkin ada tabiat lain yang menyebabkan mereka sukar tidur termasuk tidur lewat kerana menonton televisyen atau tidak melakukan senaman mencukupi, kata Cohrs dalam emel. 
Tetapi, satu lagi sebab mengapa ia berlaku ialah kesan nikotin kepada perokok. 
“Jika anda merokok dan sukar untuk tidur, itu satu lagi sebab yang baik untuk anda berhenti merokok,” kata Cohrs. 

Mutu tidur mempengaruhi mutu kesihatan 

Mutu tidur yang teruk bukan hanya menyebabkan seseorang itu rasa lebih sukar menjalankan rutin harian tetapi ada kena mengena dengan keadaan obes, kencing manis atau masalah jantung. 

Kajian membabitkan 1,071 perokok dan 1,243 bukan perokok yang tiada masalah mental kerana faktor itu mungkin mempengaruhi seseorang untuk menghisap rokok dan sukar tidur. 

Penyelidik menggunakan soalan tertentu untuk mengukur seseorang itu tidur dengan nyenyak atau tidak. Keseluruhannya, lebih satu suku perokok mendapat markah menunjukkan mereka menghadapi gangguan tidur. 

Faktor lain yang mempengaruhi tidur ialah usia, berat badan dan alkohol tetapi pasukan Cohrs mendapati merokok punca utama keadaan itu. 

sumber- REUTERS

Mangsa sesat maut dipatuk ular

Mangsa sesat maut dipatuk ular
Penduduk setempat memenuhi pekarangan Lata Bayu untuk mendapatkan maklumat kejadian
BALING - Salah seorang daripada empat lelaki dan seorang perempuan yang  sesat dalam hutan berdekatan Pusat Peranginan Lata Bayu, Baling dilaporkan mati akibat dipatuk ular manakala seorang lagi tenat setelah dua hari berada dalam hutan tersebut.

Kejadian itu dimaklumkan salah seorang rakan mangsa menerusi sistem radio amatur yang digunakan kumpulan terbabit.

Kelima-lima mangsa yang dikatakan berasal dari Selangor itu tidak sempat menyampaikan maklumat lengkap mengenai kedudukan dan identiti mereka setelah sistem radio yang digunakan itu tidak dapat berfungsi.

Keadaan itu mengakibatkan komunikasi antara kumpulan berkenaan dengan pengguna radio amatur  lain terputus seterusnya menyukarkan operasi mencari dan menyelamat.

Mangsa sesat maut dipatuk ular
Rakan radio amatur turut sama dalam operasi mencari mangsa.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Mat Daud Mat Hassan berkata, kejadian itu disedari setelah kumpulan berkenaan  memancarkan isyarat kecemasan menerusi radio amatur mereka pada jam 10 malam kelmarin.

Menurutnya, isyarat itu diterima pengguna radio amatur seluruh Semenanjung Malaysia sebelum dilaporkan kepada pihak berkuasa di sini, termasuk penduduk kampung.

“Kali terakhir kumpulan itu dihubungi pada jam 7 pagi semalam. Salah seorang rakan kumpulan itu sempat memaklumkan mereka berada di kawasan cerun dan seorang rakan mereka meninggal dunia akibat dipatuk ular dan seorang lagi sedang tenat,” katanya kepada Sinar Harian.

Mangsa sesat maut dipatuk ular
Kumpulan berkenaan dilaporkan sesat di kawasan hutan ini.
Katanya, kumpulan radio amatur di sini cuba dapatkan maklumat lengkap mengenai kumpulan itu, tetapi tidak berhasil setelah radio yang digunakan kumpulan itu tidak berfungsi.

“Justeru, kita tidak mengetahui berapa lama mereka berada di dalam hutan berkenaan, termasuk maklumat ahli keluarga mereka.

“Polis juga tidak terima laporan perjalanan ke hutan oleh kumpulan terbabit sebelum ini dan menyukarkan pihak berkuasa mendapatkan maklumat dan menjalankan siasatan,” katanya.

Lancar operasi menyelamat

Mat Daud berkata, operasi mencari dan menyelamat melibatkan polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan awam, Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) termasuk penduduk kampung dan pertubuhan sukarelawan dilancarkan  pada jam 3 pagi sehingga 7 pagi semalam.

Operasi yang diteruskan pada jam 9 pagi itu tidak menemukan sebarang petanda mahupun jejak kumpulan berkenaan.

Menurutnya, penduduk yang berpengalaman di dalam hutan juga tidak menemukan sebarang jejak walaupun telah mencari sejauh tiga kilometer di dalam hutan tersebut.

“Namun begitu, anggota yang terlibat masih lagi berjaga di pekarangan Lata Bayu sehingga jam 6 petang ini (semalam). Setakat ini, kita masih menunggu maklumat lengkap terutama laporan polis oleh ahli keluarga kumpulan tersebut.

“Laporan berkenaan sedikit sebanyak dapat mengesahkan kejadian itu benar-benar berlaku ataupun hanya penipuan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Terdapat beberapa penduduk yang mendakwa ternampak kelibat salah seorang lelaki yang melambai ke arah mereka ketika operasi menyelamat dilakukan.

Penduduk yang hanya mahu dikenali Mat berkata, terdapat seorang mangsa yang tidak berbaju dan berseluar pendek melambai ke arah kumpulan penyelamat awal pagi semalam.

Menurutnya, dia bersama rakan-rakannya memberikan salam dan melaungkan azan ke arah lelaki berkenaan yang berada 50 meter dari kedudukan mereka.

“Salam kami dibalas, malah lelaki itu turut melaungkan azan. Jadi, saya dan rakan-rakan pun bergerak ke arah lelaki berkenaan kerana yakin lelaki itu adalah salah seorang mangsa yang sesat dalam hutan itu.

“Namun, setelah sampai ke lokasi lelaki tersebut, lelaki itu hilang tanpa sebarang jejak,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, kejadian itu tidak melemahkan semangatnya kerana ia merupakan kejadian yang sering berlaku dalam hutan.

“Kita akan meneruskan operasi mencari kerana bimbang sesuatu yang lebih buruk berlaku kepada kumpulan tersebut,” katanya.

Mat berkata, kejadian yang pertama kali berlaku di kawasan itu turut menimbulkan beberapa persoalan dalam kalangan penduduk setempat, termasuk pasukan penyelamat.

“Kami tidak ada maklumat lengkap dan sahih mengenai kejadian ini. Ia hanya berdasarkan maklumat menerusi sistem radio. Namun, kita akan terus mencari sehinggalah mendapat kata putus daripada pihak berkuasa,” katanya.

sumber- Sinar

Ratusan orang terapung di Laut Mati

Ratusan orang terapung di Laut Mati
RATUSAN orang menyertai acara terapung beramai-ramai di Laut Mati dekat resort Ein Boqeq, Israel kelmarin.
TEL AVIV - Ratusan orang terapung di Laut Mati yang mengandungi kandungan tinggi garam dekat resort Ein Boqeq, Israel kelmarin.

Mereka menyertai tunjuk perasaan bagi membangkitkan kesedaran tentang kualiti alam sekitar di kawasan laut tersebut.

Para aktivis alam sekitar menuntut laut tersebut tersebut memerlukan perlindungan daripada masyarakat antarabangsa dan pemerintah Israel bagi mengelak ia mengalami kemusnahan.

sumber- Agensi

Zeus anjing tertinggi di dunia

Zeus of Otsego
DOORLAG (kanan) berdiri dekat anjing paling tinggi di dunia yang dipeliharanya di Otsego, Michigan kelmarin.
OTSEGO, Michigan - Guinness World Records kelmarin mengiktiraf Zeus of Otsego yang berusia tiga tahun sebagai anjing paling tinggi di dunia.

Menurut agensi berita AP semalam, pengiktirafan itu dibuat dalam buku The Guinness World Records 2013.

Anjing itu setinggi 1.120 meter dari kaki ke bahu haiwan tersebut.

Ketika anjing baka Great Dane itu berdiri, ketinggiannya ialah 2.25 meter.

Haiwan itu milik seorang wanita, Denise Doorlag dari sini.

Ketinggian Zeus hanya 2.5 sentimter daripada Giant George yang sebelum ini merupakan anjing paling tinggi di dunia.

Berat Zeus ialah 70 kilogram.

Menurut Doorlag, dia terpaksa menggunakan van untuk mengangkut anjingnya itu. 

sumber- Agensi

Lady Gaga lancar minyak wangi di New York

Lady Gaga lancar minyak wangi di New York
LADY GAGA dikerumuni para peminat dan jurugambar pada majlis pelancaran minyak wanginya di New York kelmarin.
NEW YORK - Penyanyi terkenal, Lady Gaga memakai pakaian berwarna hitam pada pelancaran minyak wangi sulungnya, Lady Gaga Fame di Muzium Guggenheim di sini kelmarin.

Beratus-ratus tetamu diminta mengenakan aksesori kepala atau sekurang-kurangnya topeng parti semasa menghadiri parti pada sebelah malam.

Antara selebriti yang hadir termasuk, Paris Hilton, Lindsay Lohan, Yoko Ono dan pereka-pereka fesyen serta model terkenal New York.

Kehadiran mereka disambut oleh beberapa model lelaki yang bertubuh sasa dan hanya memakai seluar jean ketat.

Pada majlis tersebut, sebuah filem berdurasi lima minit yang mempromosikan minyak wangi Lady Gaga turut ditayangkan.

Filem arahan jurufoto Steven Klein itu menunjukkan tubuh bintang berusia 26 tahun itu dikerumuni beberapa lelaki bersaiz kecil.

"Anda tahu, filem itu mahal," kata Klein ketika dia ditemu bual wartawan majalah Hollywood Reporter.

Penghasilan filem tersebut menelan belanja lebih AS$1 juta (RM3.07 juta).

Penyanyi itu turut baring di dalam sebuah botol dalam majlis pelancaran tersebut.

Lady Gaga atau nama sebenarnya Stefani Joanne Angelina Germanotta sempat mencacah bahagian belakang kepalanya dengan tatu.

Tatu itu dihasilkan oleh Mark Mahoney yang berpengalaman selama 35 tahun mencacah tatu di hadapan tetamu yang hadir. 

sumber- AFP

Gambar separuh telanjang isteri Putera William tersebar

Gambar separuh telanjang Kate Middleton
PUTERA WILLIAM dan isterinya semasa mereka berada di Istana Presiden di Singapura pada 11 September lalu.
LONDON - Pewaris kedua takhta diraja Britain, Putera William dan isterinya Kate Middleton berang semalam selepas sebuah majalah Perancis menyiarkan gambar separuh bogel wanita berkenaan.

Perbuatan tersebut membangkitkan kembali insiden gangguan yang dilakukan oleh pihak media terhadap ibu William, mendiang Puteri Diana.

Middleton memakai gelaran Duchess of Cambridge selepas berkahwin dengan William.

Beberapa pegawai Istana St James di sini berkata, pasangan diraja berkenaan yang kini berada di Malaysia sedang berunding dengan beberapa peguam berhubung tindakan majalah Closer versi Perancis itu.

Mereka menyifatkan perbuatan majalah itu sebagai pencerobohan privasi yang melampau.

Gambar eksklusif itu menunjukkan Catherine, 30, memakai seluar dalam manakala William menyapu krim matahari pada belakang badannya ketika isterinya sedang berbaring.

"Pasangan diraja berkenaan amat sedih dan marah kerana satu penerbitan Perancis dan seorang jurugambar menceroboh privasi mereka secara melampau dan tanpa sebarang justifikasi," kata kenyataan Istana St James.

"Insiden itu mengimbau kembali perbuatan melampau media cetak dan jurugambar paparazi semasa Diana masih hidup," tambah kenyataan tersebut.

Foto separuh bogel Middleton itu yang dirakamkan dari jauh disiarkan oleh majalah berkenaan semalam.

Penerbitan tersebut mendakwa gambar itu dirakamkan di atas sebuah rumah rehat di selatan Perancis semasa Middleton dan William bercuti pada bulan ini.

Penyiaran gambar kontroversi itu merupakan cabaran getir pertama yang dicetuskan oleh media cetak terhadap pasangan diraja itu selepas Diana mati dalam satu kemalangan kereta di Paris ketika beliau dikejar beberapa paparazi.

Gambar itu disiarkan selepas portal hiburan dan akhbar The Sun di Britain menyiarkan gambar bogel adik William, Putera Harry baru-baru ini.

Harry berbogel dengan seorang wanita semasa mereka berada di dalam sebuah bilik hotel di Las Vegas, Amerika Syarikat.

Sementara itu, William semalam mengaku bahawa beliau bukan peminat durian selepas merasa raja buah itu semasa lawatan beliau ke Malaysia.

William dan isterinya dihidangkan dengan buah durian semasa menghadiri majlis makan tengah hari bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak setibanya pasangan itu di Malaysia untuk lawatan tiga hari kelmarin.

Namun, semasa menghadiri satu lagi majlis makan tengah hari bersama sejumlah eksekutif perniagaan di ibu kota Malaysia, Kuala Lumpur semalam, bakal Raja Britain itu memberitahu: "Saya cuma mahu menyatakan betapa sedapnya makan tengah hari ini dan saya gembira kerana durian tidak terkandung dalam menu kali ini."

"Selepas merasa buah ini (durian) semalam, saya bimbang akan keselamatan mereka yang saya temui selepas itu," katanya.

Ucapan lucu William disambut dengan gelak ketawa para hadirin yang terdiri daripada lebih 1,000 ahli perniagaan.

Durian popular di Malaysia dan beberapa negara jirannya kerana rasa buah berkenaan yang lazat dan unik.

Namun, ramai tidak tahan dengan bau buah itu.

William dan Kate sedang dalam rangka lawatan ke seluruh dunia pada tahun ini bagi meraikan pemerintahan 60 tahun nendanya, Ratu Elizabeth II.

sumber- Agensi