|
BERSATU... Sulaiman dan Salmah bernikah selepas berkenalan lima bulan. |
KUALA LUMPUR: Berbaring di katil bersebelahan ketika menjalani terapi kesihatan di Pusat Ceragem Setapak berjaya menemukan jodoh sepasang duda berusia 75 tahun dengan janda 48 tahun.
Mereka kemudian diraikan pada majlis perkahwinan di pusat itu di sini, semalam.
Sulaiman Sihab dan Salmah Ismail dinikahkan di Surau At-Takwa, di sini, dengan mas kahwin RM80 pada majlis dihadiri lebih 400 tetamu membabitkan anggota keluarga dan teman rapat di pusat terapi itu.
Bapa kepada dua cahaya mata itu mengakui tidak terlintas akan bertemu jodoh selepas pemergian isterinya setahun lalu, tambahan pula kesihatannya tidak mengizinkannya apabila disahkan menghidapi penyakit darah tinggi dan diabetes.
“Saya mengunjungi pusat terapi ini untuk mengubati penyakit, tapi tak sangka sekali lagi menemui jodoh yang sesuai di mata dan di hati, biarpun hanya berkenalan lima bulan.
“Usikan teman mengatakan kami sepadan membuahkan hasil apabila kami mula bertegur sapa dan berbual. Saya mengambil langkah berani menyatakan hasrat ingin melamarnya sebagai isteri.
“Selain dia (Salmah) memiliki wajah cantik, saya terpesona dengan pertuturan lemah lembut.
“Insya-Allah, andai dimurahkan rezeki, saya ingin membawa Salmah mengerjakan umrah dalam tempoh terdekat, sekali gus menjadi destinasi bulan madu kami,” katanya ketika ditemui.
Sementara itu, Salmah yang bernikah untuk kali ketiga berkata, pertemuan mereka tidak diatur, sebaliknya terserempak selepas menjalani terapi, namun jodoh mereka kuat hingga bergelar suami isteri.
“Selepas berjumpa beberapa kali dan selesa berbual, saya mendapati dia sesuai, apatah lagi mempunyai pengetahuan agama luas dan mampu membimbing saya,” katanya yang memakai persalinan berwarna hijau.
sumber- HMetro