|
Mangsa yang cedera diberikan rawatan awal di lokasi kejadian. |
REMBAU - Sembilan penumpang cedera parah, sementara 19 lagi cedera ringan selepas bas ekspres dinaiki terbalik dan terseret sejauh 30 meter di Kilometer 233.8 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara, dekat sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, bas ekspres yang bertolak dari Johor Bahru dalam perjalanan ke Kuala Perlis itu hilang kawalan selepas dihalang sebuah kereta di hadapannya sebelum terbabas.
Pemandu bas terbabit, Mazlan Mohd Salleh, 51, berkata, dia memulakan perjalanan kira-kira jam 10 malam.
"Bagaimanapun, ketika memandu, ada sebuah kereta jenis Perodua Viva berwarna hitam seolah-olah cuba menghalang perjalanan saya.
“Saya memandu di laluan kiri dan kereta berkenaan juga dipandu perlahan di laluan sama. Saya cuba memotongnya tetapi pemandu kereta terbabit bertindak memasuki laluan saya menyebabkan saya tidak dapat memintasnya," katanya.
Menurutnya, cubaannya untuk memotong kereta dinaiki dua lelaki itu sekali lagi gagal apabila dihalang, malah kereta terbabit secara tiba-tiba menekan brek.
"Saya terpaksa menekan brek mengejut sehingga menyebabkan bas hilang kawalan dan terhuyung-hayang, sebelum terbalik dan terseret kira-kira 30 meter.
“Kejadian berlaku dalam sekelip mata dan saya dengar jeritan penumpang yang ketakutan," katanya yang berpengalaman memandu bas selama 29 tahun.
Mazlan berkata, dia segera memecahkan cermin hadapan bas dan membantu mengeluarkan penumpang yang mengalami kecederaan terlebih dahulu termasuk pemandu keduanya, K Arumugam, 38.
Sementara itu, seorang penumpang, Nurul Rozaima Rolan, 24, berkata, dia terkejut apabila berasakan bas terhuyung-hayang kerana mengelak sesuatu sebelum terbalik.
“Semasa dalam perjalanan, saya tertidur, tetapi terjaga apabila menyedari bas bergegar kuat sebelum terbalik, menyebabkan saya tercampak ke tempat duduk penumpang sebelah kanan dan bertindih dengan penumpang lain.” katanya.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah, Pemangku Penguasa Bomba, Hairuddin Atan berkata, pihaknya menerima panggilan jam 1.12 pagi.
Menurutnya, enam anggotanya dikerah ke lokasi kejadian dan turut dibantu dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Tampin dan Rembau.
“Tiba di lokasi kejadian, sebahagian penumpang masih terperangkap di dalam bas sebelum dibantu keluar menerusi cermin hadapan," katanya.
Sementara itu, Ketua Operasi Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Alor Gajah, Mohd Farid Hasan berkata, sembilan penumpang cedera dan menerima rawatan kecemasan di lokasi kejadian.
“Mereka dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar di Seremban untuk rawatan lanjut menggunakan lima ambulans," katanya.
sumber- Sinar