Selamat Datang Ke blog-ketegaq.blogspot.com

Blog terbaik yang menyediakan pelbagai cerita dan artikel menarik dari seluruh dunia. Like kami di facebook tanda sokongan anda dan untuk mendapat update artikel terkini dari kami.

Isu Semasa

Artikel-artikel terkini mengenai isu semasa dalam dan luar negara. Segalanya dari sumber-sumber yang boleh dipercayai.

Pelik

Segala fakta dan artikel mengenai perkara-perkara yang pelik boleh diperolehi di sini. Semua artikel adalah berdasarkan sumber dan kesahihannya anda sendiri tentukan.

Herba Dan Botani

Artikel mengenai tumbuh-tumbuhan yang digunakan untuk perubatan dan penjagaan kesihatan.

Alam Ghaib

Himpunan artikel mengenai alam ghaib yang sukar diperjelaskan dengan mata kasar. Admin mengalukan sumbangan artikel, gambar-gambar atau video untuk dikongsi bersama dalam blog ini.

Tuesday, October 2, 2012

Fenomena Halo di Lembah Klang

Fenomena Halo
Fenomena halo adalah lingkaran cahaya yang terbentuk seperti pelangi yang mengelilingi Matahari- Foto Bernama
KUALA LUMPUR - Orang ramai di sekitar Lembah Klang dapat menyaksikan fenomena Halo hari ini.

Halo merupakan fenomena semulajadi yang berupa lingkaran cahaya di sekitar matahari atau bulan yang kadang kala boleh berlaku pada sumber cahaya lain seperti lampu jalan.

Menurut kenyataan Agensi Angkasa Negara (Angkasa), terdapat pelbagai jenis Halo secara umumnya muncul disebabkan kristal ais pada awan cirrus sejuk yang berada pada ketinggian lima hingga 10 kilometer di lapisan atas troposfera.

Ia bergantung pada bentuk dan arah kristal ais, cahaya matahari yang dipantul dan dibiaskan oleh permukaan ais berbentuk prisma sehingga sinaran matahari terpecah kepada beberapa warna kerana kesan sebaran udara dan dipantulkan ke arah tertentu, sama seperti kejadian pelangi.

Angkasa dalam kenyataannya dinasihatkan orang ramai agar berhati-hati apabila melihat atau merakamkan gambar Halo secara telus tanpa penurus matahari kerana ia memberi kesan yang merbahaya kepada mata.

sumber- Bernama

Harimau Benggala 200kg, manusia bercanda untuk hiburkan pengunjung Zoo Arizona

Harimau Benggala
ANTARA lagak ngeri tetapi amat menghibur dilakukan Harwell bersama Akasha di Zoo Arizona. Pertunjukan itu diadakan di depan pengunjung zoo berkenaan setiap hari.
PHOENIX: Seorang kakitangan zoo menunjukkan keyakinannya kepada seekor harimau Benggala dengan berenang bersama-sama haiwan liar itu pada setiap hari.

Rutin itu dilakukan Jeff Harwell, 30, bersama Akasha untuk menghiburkan ribuan pengunjung Zoo Arizona.

Akasha berusia 12 tahun dengan berat badan kira-kira 200 kilogram. 

Kata Harwell, dia melakukan pertunjukan itu bersama Akasha sejak mula bekerja di situ kira-kira lima tahun lalu. 

Kebanyakan pengunjung pula begitu kagum dengan kepercayaan tinggi yang terjalin di antara Harwell dan Akasha. 

Beberapa pengunjung percaya, aksi itu dapat dilakukan kerana wujud hubungan amat istimewa di antara manusia dan haiwan liar berkenaan.

Zoo Arizona adalah satu daripada lima zoo paling popular di kalangan kanak-kanak di Amerika Syarikat. 

sumber- TS

Rela gadai nyawa demi anak jiran

Nelson Fonangwan
FONANGWAN bersama Adam yang diselamatkannya
LONDON: Seorang remaja lelaki memperjudikan nyawanya meredah api semata-mata mahu menyelamatkan seorang budak yang terperangkap dalam rumah terbakar, lapor media semalam.

Sejurus sebelum itu, Nelson Fonangwan, 16, lena tidur tetapi terjaga apabila terdengar jeritan jirannya meminta tolong di kawasan kediaman mereka di Southampton, Hampshire.

Menurut Fonangwan, dia mendapati asap tebal keluar dari sebuah rumah tidak jauh dari situ.

Pada masa sama, ibu kepada dua anak, Aneta Jedlikoswka, 32, menumbuk pintu dapurnya untuk membolehkan dia menggapai tangan anaknya yang baru berusia dua tahun, Adam.

Melihat keadaan itu, Fonangwan bergegas ke rumah berkenaan, manakala ibunya menghubungi talian kecemasan 999.

Nelson Fonangwan
FONANGWAN (tengah) bersama Aneta (dua dari kiri) serta suaminya, Piotr Jedilkowski, dan anak mereka Kamila Brodowska (kiri) dan Adam.
Kata Fonangwan, Aneta memecahkan kaca tingkap rumah itu bagi membolehkan Adam diselamatkan.

“Walaupun gementar, saya merangkak untuk sampai ke tempat Adam dan membawanya keluar dari situ,” katanya. 

Bercakap kepada akhbar Southern Daily Echo, Fonangwan berkata, dia bagaikan tidak percaya melihat Aneta bersusah-payah memecahkan kaca tingkap dapur rumahnya.

“Wanita itu memang dapat membuat lubang pada tingkap dapurnya, tetapi pada masa sama tangannya luka dan berdarah akibat terkena serpihan kaca.

“Apa yang difikirkannya ketika itu cuma menyelamatkan Adam,” katanya.

Menurut Fonangwan, Aneta tidak dapat berbahasa Inggeris dengan baik tetapi cuma mampu menunjuk ke arah dalam rumah berkenaan sambil berkata: “Baby.” 

Melihat keadaan itu, kata Fonangwan, dia tahu tidak ada pilihan lain, kecuali bertindak pantas menyelamatkan anak Aneta. 

Insiden itu berlaku apabila Aneta keluar membuang sampah dan tiupan angin pula menolak daun pintu menyebabkan ia terkunci.

Ketika itu juga, kuali di atas dapur di dalam rumah Aneta mula terbakar. Fonangwan berasal dari Cameroon dan kini menuntut di Southampton. 

sumber- DM

Robot ganti pelajar

Devon Carrow-Sperduti

BUFFALO - Seorang kanak-kanak Amerika Syarikat (AS) muncul pengguna pertama robot interaktif digelar ‘Roboswot’, apabila kehadirannya ke kelas terpaksa diganti mesin tersebut berikutan masalah kesihatan.

Mesin berkenaan perlu menggantikan Devon Carrow-Sperduti, 7, ke sekolah, kerana dia menderita penyakit alergi yang boleh membahayakan nyawanya jika bercampur dengan kanak-kanak lain.

Bukan setakat itu, dia juga terpaksa menghabiskan kebanyakan masanya bersendirian dengan hanya dibenarkan makan epal, bijirin dan kentang.

Menerusi Roboswot yang bernilai AS$3,000 (RM9,000), murid tersebut mampu menghadiri semua kelasnya, menjawab soalan cikgu serta berbual dengan rakan-rakan sekelasnya walaupun hanya dengan berada di rumah.

Malah, robot ciptaan syarikat Vgo Communications Inc di New Hampshire berkenaan turut dilengkapi skrin yang memaparkan muka kanak-kanak itu, menggunakan teknologi kamera web yang dihubungkan dengan komputernya di rumah.

Carrow-Sperduti hanya perlu duduk di rumahnya di Buffalo dan menggunakan komputer untuk mengawal Robotswot yang membolehkan dia melihat cikgu, papan hitam dan keadaan sekeliling kelas.

Robot itu juga membolehkan Carrow-Sperduti ‘berjalan’ di sepanjang koridor sekolah dan menyertai rakan sekelasnya di taman permainan.

Ibu Carrow-Sperduti, Rene berkata, Roboswot boleh dianggap sebagai pengganti diri anaknya.

“Anak saya melakukan semua perkara dan kerja sekolah seperti kanak-kanak lain, yang membezakan mereka adalah Carrow-Sperduti tidak berada di dalam kelas," katanya. 

sumber- AGENSI

Bas ekspres terbalik

Bas ekspres terbalik
Mangsa yang cedera diberikan rawatan awal di lokasi kejadian.
REMBAU - Sembilan penumpang cedera parah, sementara 19 lagi cedera ringan selepas bas ekspres dinaiki terbalik dan terseret sejauh 30 meter di Kilometer 233.8 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara, dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, bas ekspres yang bertolak dari Johor Bahru dalam perjalanan ke Kuala Perlis itu hilang kawalan selepas dihalang sebuah kereta di hadapannya sebelum terbabas.

Pemandu bas terbabit, Mazlan Mohd Salleh, 51, berkata, dia memulakan perjalanan kira-kira jam 10 malam.

"Bagaimanapun, ketika memandu, ada sebuah kereta jenis Perodua Viva berwarna hitam seolah-olah cuba menghalang perjalanan saya.

“Saya memandu di laluan kiri dan kereta berkenaan juga dipandu perlahan di laluan sama. Saya cuba memotongnya tetapi pemandu kereta terbabit bertindak memasuki laluan saya menyebabkan saya tidak dapat memintasnya," katanya.

Menurutnya, cubaannya untuk memotong kereta dinaiki dua lelaki itu sekali lagi gagal apabila dihalang, malah kereta terbabit secara tiba-tiba menekan brek.

"Saya terpaksa menekan brek mengejut sehingga menyebabkan bas hilang kawalan dan terhuyung-hayang, sebelum terbalik dan terseret kira-kira 30 meter.

“Kejadian berlaku dalam sekelip mata dan saya dengar jeritan penumpang yang ketakutan," katanya yang berpengalaman memandu bas selama 29 tahun.

Mazlan berkata, dia segera memecahkan cermin hadapan bas dan membantu mengeluarkan penumpang yang mengalami kecederaan terlebih dahulu termasuk pemandu keduanya, K Arumugam, 38.

Sementara itu, seorang penumpang, Nurul Rozaima Rolan, 24, berkata, dia terkejut apabila berasakan bas terhuyung-hayang kerana mengelak sesuatu sebelum terbalik.

“Semasa dalam perjalanan, saya tertidur, tetapi terjaga apabila menyedari bas bergegar kuat sebelum terbalik, menyebabkan saya tercampak ke tempat duduk penumpang sebelah kanan dan bertindih dengan penumpang lain.” katanya.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah, Pemangku Penguasa Bomba, Hairuddin Atan berkata, pihaknya menerima panggilan jam 1.12 pagi.

Menurutnya, enam anggotanya dikerah ke lokasi kejadian dan turut dibantu dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Tampin dan Rembau.

“Tiba di lokasi kejadian, sebahagian penumpang masih terperangkap di dalam bas sebelum dibantu keluar menerusi cermin hadapan," katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Alor Gajah, Mohd Farid Hasan berkata, sembilan penumpang cedera dan menerima rawatan kecemasan di lokasi kejadian.

“Mereka dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar di Seremban untuk rawatan lanjut menggunakan lima ambulans," katanya.

sumber- Sinar

Nenek melatah lawan penyamun

nenek melatah
Keadaan mulut mangsa.
PENDANG - Setengah jam bergelut dalam kelambu, akhirnya perompak yang tidak tahan dengan latah dan jerit pekik seorang warga emas terus cabut lari dan meninggalkan mangsanya yang cedera.

Kamaliah Ismail, 85, cedera di mulut, kerongkong dan telinga manakala tangan dan badan mengalami lebam-lebam setelah dicucuk menggunakan batang besi dalam kejadian rompakan di rumahnya dekat Kampung Air Puteh Dalam dekat sini awal pagi, Sabtu lalu.

Ketika kejadian jam 5 pagi itu mangsa ketika itu tidur dalam kelambu, tiba-tiba diterkam seorang lelaki bertopeng lalu duduk di atas dada sambil menarik rambut mangsa.

Anak mangsa, Zainol Mustafa, 58, berkata, dia difahamkan ibunya, perompak itu cuba bertindak kasar dengan menyumbat besi ke dalam mulut dan mencucuk besi itu sehingga ke bahagian kerongkong selepas ibunya menjerit.

“Bila lelaki bertopeng itu cuba menanggalkan rantai tangan dan leher dipakai ibu bernilai RM10,000, ibu menjerit dan lelaki itu gagal mengambil barang kemas itu.

“Latah ibu di tahap serius. Ini menyebabkan dia (ibu) ada kekuatan melawan perompak itu walaupun dipukul teruk di badan dan disumbat serta dicucuk besi sehingga ke kerongkong,” katanya.

Zainol berkata, setengah jam ibu bergelut dengan perompak dan melawan sehingga tangannya diikat dengan kain kelambu.

“Perompak itu masuk melalui tingkap dapur dan ibu terjaga, namun menyangka kucing menyebabkan dia tidak bangun melihat. Kurang satu minit perompak itu bertindak menerkam dalam kelambu ibu tidur.

“Terkejut dengan tindakan yang dilakukan itu menyebabkan ibu melatah dengan melawan perompak itu sehingga dia gagal melarikan barang kemas dan beredar,” katanya.

Menurutnya, kejadian itu disedari cucunya yang bersiap untuk bekerja apabila terdengar bunyi dari rumah neneknya, namun menyangka neneknya sedang bermimpi dan memanggil neneknya, tetapi tidak disahut.

“Ketika cucunya masuk, dia mendapati ibu berlumuran darah dan keadaannya tidak bermaya manakala gigi palsu yang dipakai patah dan berselerak di tempat kejadian.

“Kejadian ini kali pertama berlaku pada keluarga saya dan di kampung ini,” katanya.

Mangsa hanya mampu terlantar dan sukar untuk makan disebabkan kecederaan teruk di bahagian mulut dan kerongkong, manakala kes telah dilaporkan di Ibu Pejabat Polis Daerah Pendang.

sumber- Sinar

DJ nyaris jadi mangsa culik, bunuh, bakar

Julie Diana Omar Shariff
Julie Diana menunjukkan kecederaan yang dialaminya.
JOHOR BAHRU – Seorang penyampai (DJ) di stesen radio Best 104 di sini nyaris menjadi mangsa culik, bunuh dan bakar selepas dilarikan lebih sepuluh lelaki tidak dikenali dalam kejadian jam 1 pagi, Sabtu lalu.

Menceritakan detik-detik cemas dilaluinya, Julie Diana Omar Shariff, 34, berkata, selepas tamat bekerja pada hari itu, dia terus memandu kereta menuju ke rumah ibunya di Kampung Sungai Danga, di sini.

“Saya memandu seperti biasa di Lebuhraya Persisir Pantai dan terkejut apabila tiba-tiba datang sebuah kereta jenis Proton Iswara berwarna merah terus menuju ke depan menghalang Proton Neo yang saya naiki.

“Seorang lelaki keluar daripada kereta tersebut, sebelum kereta saya dihimpit pula di sebelah tepi oleh sebuah Kereta Wira yang juga datang secara tiba-tiba,” katanya membuka cerita.

Menurut Julie Diana, segala-galanya berlaku begitu pantas sehingga dia tergamam dan tidak mampu berbuat apa-apa.

“Salah seorang daripada lelaki tersebut membuka pintu kereta lalu mengacukan pisau Rambo ke leher saya. Dia menarik saya keluar dan memaksa menaiki keretanya.

“Sebaik sahaja saya masuk, muka saya segera diserkup dengan kain dan tangan pula diikat,” katanya kepada wartawan sewaktu ditemui di rumah keluarganya, di sini.

Diculik kerana cinta tak berbalas

Julie Diana berkata, apabila bertanya mengapa dia diperlakukan sebegitu rupa, salah seorang daripada penjenayah itu memberitahu mereka datang dari jauh selepas diarahkan seseorang untuk menculik kemudian membunuh dan membakarnya kerana cinta tidak berbalas.

“Kepala saya ligat memikirkan siapa yang dimaksudkan kerana saya memang tak ada langsung masalah percintaan, sekadar ramai peminat. Itupun kerana tugas saya sebagai penyampai radio,” katanya yang menganggarkan ada dua atau tiga lelaki turut sama berada dalam kenderaan berkenaan.

Tambah Julie Diana, menerusi walkie-talkie yang digunakan penjenayah tersebut, dia terdengar rancangan mereka untuk membawanya ke sebuah gudang di Batu Pahat untuk dibunuh.

“Berderau darah saya mendengarnya. Apatah lagi untuk membuktikan tindakan mereka serius, ibu jari dan leher saya dihiris dengan pisau Rambo sehingga luka sebagai tanda amaran,” katanya.

Menurutnya, selepas beberapa ketika, mereka berhenti di satu tempat.

“Kebetulan kain yang menutupi muka saya tersingkap sedikit, dan dari situ saya dapat lihat kami berada di kawasan tanah perkuburan Cina. Ada ramai lelaki di situ dengan bunyi kenderaan yang banyak. Saya rasa mungkin lebih daripada sepuluh lelaki. Salah seorang daripada mereka kemudiannya meminta saya menyerahkan wang, barang kemas dan kad ATM bersama nombor pin,” katanya yang terus menyerahkan apa yang diminta tanpa banyak soal.

sumber- Sinar

Laporan palsu Reuters, Ninja Wanita Iran selaku pembunuh upahan

ninja perempuan Iran

TEHERAN: Barisan juri mendapati agensi berita Reuters bersalah melakukan jenayah “propaganda terhadap regim” Iran kerana melaporkan penuntut wanita seni bela diri ninja sebagai pembunuh upahan, lapor media negara itu semalam.

Reuters juga bersalah “menerbitkan maklumat palsu dalam usaha mengganggu pendapat awam” dalam laporan disiarkan pada Februari lalu.

Kini terserah kepada hakim untuk menetapkan hukuman atas kesalahan itu - dijangka beberapa minggu lagi. 

sumber- AFP

Lebih baik mati daripada berpisah

Lebih baik mati daripada berpisah

SAMUT PRAKAN (Thailand): Seorang lelaki menembak mati teman wanitanya kemudian membunuh diri kerana teman wanitanya enggan kembali bersamanya, kata polis, semalam.

Polis menerima laporan mayat sepasang kekasih yang ditemui di dalam bilik apartmen di daerah Samrong Nua. 

Mayat Patcharin Cheakham, 38, dan bekas teman lelakinya Tee Saelee, 44, ditemui di dalam bilik. Kedua-dua mereka ditembak di kepala. 

Menurut polis, tangan Tee memeluk tubuh teman wanitanya.

Polis menemui nota bunuh diri yang ditulis oleh Tee.

Nota itu berkata, “Dia (Patcharing) memberi tahu saya supaya meninggalkannya. Saya tak boleh buat begitu dan dia perlu bersama saya.” 

Siasatan awal mendapati, pasangan itu telah bersama selama lapan tahun tetapi hubungan mereka putus kerana lelaki itu dikatakan terlalu cemburu. 

Menurut polis, Tee menyewa bilik di apartmen itu untuk mengintip gerak geri Patcharin dan mendapat tahu dia ada teman lelaki lain. 

Tee mungkin mahu kembali kepada teman wanitanya tetapi tidak berjaya lalu mengambil keputusan membunuhnya. Selepas itu dia memeluk Patcharing dan menembak dirinya sendiri. 

sumber- BP 

6 petani maut trak terlanggar periuk api

bahaya periuk api

PHNOM PENH: Enam petani mati selepas trak mereka terlanggar periuk api antikereta kebal yang dipercayai ditanam ketika pertempuran antara tentera dan gerila Khmer Rouge pada tahun 1980-an, kata polis, semalam.

Dua lagi cedera parah dalam kejadian itu yang berlaku di wilayah Battambang, kelmarin.

Ketua Polis Battambang, Khum Soy berkata, mangsa berusia antara 17 dan 56. 

“Mereka dalam perjalanan pulang dari pasar apabila terlanggar periuk api,” katanya.

Perang saudara yang berlaku hampir tiga dekad menjadikan Kemboja, negara paling banyak periuk api di dunia.

Menurut laporan statistik, pada 2011, periuk api tinggal dan bahan letupan lain menyebabkan 43 orang terbunuh, dan168 cedera, menyebabkan 33 orang terpaksa dipotong anggota badan. 

sumber- Phnom Penh Post 

Ngeri! Leher dihiris pembahagi besi jalan

Kemalangan Ngeri Lebuhraya Utara-Selatan
MAUT...anggota polis trafik menutup jenazah mangsa.
SERDANG: Mengerikan apabila seorang penunggang motosikal maut selepas lehernya hampir putus terhiris besi pembahagi jalan dalam kemalangan di Kilometer 306.8 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran hentian Serdang arah tol Sungai Besi, semalam.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, mangsa yang dikenali sebagai Alfa Sa’am, 39, berasal dari Pantai Dalam, dekat sini, dalam perjalanan pulang ke rumahnya dari Seremban bersama tunangnya.

Bagaimanapun, tunang mangsa yang terjatuh dari motosikal cedera ringan.

Difahamkan, kejadian itu berlaku apabila motosikal yang ditunggang mangsa hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh besi penghadang jalan di sebelah kanan lebuh raya.

Sumber polis trafik berkata, akibat rempuhan itu, kepala mangsa tersangkut pada besi berkenaan dan terseret hingga lehernya hampir putus akibat terhiris besi itu.

“Mangsa mati di tempat kejadian manakala motosikalnya terseret beberapa meter menyebabkan tunangnya tercampak di atas jalan,” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abd Razak Elias ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Katanya, saksi kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu di balai polis berhampiran atau menghubungi Balai Polis Serdang di talian 03-80742222.

sumber- HMetro

Pantai merah menyala di China

pantai aneh berwarna merah
GAMBAR pada 20 September lalu menunjukkan sekumpulan pengunjung melawat Pantai Merah di Panjin, timur laut China.
BANDAR RAYA PANJIN, China - Sebuah pantai yang terletak di Delta Sungai Liaohe dekat sini terkenal dengan keunikan permukaannya yang berwarna merah.

Fenomena itu berlaku ekoran kehadiran sejenis rumpai laut beralkali yang tumbuh melata di bahagian dasar pantai berkenaan.

Rumpai laut berkenaan mulai tumbuh sekitar April atau Mei lalu dan berwarna hijau sepanjang musim panas. Namun, apabila tiba musim luruh, warna tumbuhan maritim itu mula bertukar kepada merah bara, sekali gus menjadikan permukaan pantai itu kelihatan seolah-olah sebuah hamparan permaidani merah yang besar.

Dikenali sebagai Pantai Merah, sebahagian besar pantai itu ditutup kepada orang ramai. Cuma satu bahagian yang agak terpencil dibuka kepada pelancong. 

sumber- Agensi

Dua anak harimau bintang mati dipukul kejam

Dua anak harimau bintang mati dipukul kejam
SEKUMPULAN penduduk kampung mengangkat bangkai dua ekor anak harimau bintang di daerah Sivasagar, dalam negeri Assam pada 29 September lalu.
JORHAT, India - Dua ekor anak harimau bintang dipukul hingga mati oleh penduduk sebuah kampung dalam daerah Sivasagar, di negeri Assam, timur laut India.

Menurut laporan akhbar The Economic Times baru-baru ini, insiden tersebut berlaku selepas kedua-dua ekor haiwan itu muncul di kawasan penempatan penduduk dan menakutkan orang ramai.

Akhbar berkenaan menyatakan, dua pegawai perhutanan bergegas ke lokasi kejadian selepas dihubungi oleh penduduk setempat.

"Pasukan kami bergegas ke tempat kejadian untuk menyelamatkan anak-anak harimau bintang ini. Tetapi orang kampung bertindak membunuh haiwan tersebut terlebih dahulu," kata seorang pegawai berkenaan, Sivasagar Praneswar Das.

Kedua-kedua anak harimau itu mati akibat kecederaan teruk setelah dipukul dengan senjata selama setengah jam oleh sekumpulan penduduk.

Das memberitahu, peristiwa itu berlaku selepas seekor harimau bintang betina dan dua ekor anaknya kerap dilihat merayau-rayau di kampung tersebut sejak seminggu lalu. Penduduk kampung percaya ibu harimau bintang itu telah menyerang beberapa ekor lembu peliharaan mereka. 

sumber- Agensi

Pistol pasangan penjenayah AS dilelong RM1.5 juta

Bonnie Parker and Clyde Barrow
DUA pucuk pistol yang ditemui pada mayat pasangan penjenayah, Bonnie Parker dan Clyde Barrow selepas mereka dibunuh oleh pihak berkuasa pada tahun 1934.
NEW HAMPSHIRE - Dua pucuk pistol yang pernah dimiliki oleh pasangan gengster Amerika Syarikat (AS), Bonnie dan Clyde apabila mereka terbunuh dalam pertempuran dengan pihak berkuasa dijual pada harga AS$504,000 (RM1.5 juta) pada satu majlis lelongan di sini kelmarin.

Senjata api itu merupakan antara sejumlah 134 artifak yang mencatatkan harga keseluruhan AS$1.1 juta (RM3.3 juta) dalam acara berkenaan.

Sekitar dua pertiga barangan yang dilelong milik pasangan Clyde Barrow dan Bonnie Parker. Sementara sebahagian lagi dimiliki oleh beberapa penjenayah kejam lain di AS termasuk Al Capone, Pretty Boy Floyd dan John Dillinger.

Timbalan Presiden firma lelongan RR Auction yang mengendalikan lelongan tersebut, Bobby Livingston berkata, pistol jenis .38 kaliber Detective Special yang dilekatkan oleh Bonnie di pahanya apabila dia terbunuh pada 1934 mencatat tawaran tertinggi untuk dijual pada harga AS$264,000 (RM806,916).

Menurut Livingston, pistol automatik Colt. 45 milik Clyde pula dilelong pada harga AS$240,000 (RM733,560) kepada pembida sama yang tidak mahu identitinya didedahkan.

"Anda boleh menjangkakan keterujaan seperti ini apabila ada barangan yang sukar didapati dilelong," kata Livingston.

Seutas jam poket milik Clyde pula dijual pada harga AS$36,000 (RM110,034) dalam lelongan itu. 

sumber- Agensi

Anjing sertai pertandingan luncur ombak

Anjing sertai pertandingan luncur ombak
SEEKOR anjing dipukul ombak dalam pertandingan luncur di Pantai Huntington, Amerika Syarikat kelmarin.
PANTAI HUNTINGTON - Lebih 40 ekor anjing pelbagai saiz dan rupa mengambil bahagian dalam Pertandingan Luncur Anjing Surf City di negeri California, Amerika Syarikat.

Berlangsung di sini pada Sabtu lepas, kejohanan tahunan kali ketiga itu dibahagikan kepada beberapa kategori berat bermula daripada anjing di bawah sembilan kilogram (kg) hingga kepada lebih 27kg.

Pertandingan tersebut mendapat sambutan menggalakkan daripada penonton sejak ia diperkenalkan.

Selain bersaing sesama sendiri, anjing-anjing itu cuba mencipta rekod dunia dengan meluncur bersama-sama di atas sebuah papan luncur pada satu masa.

Salah seorang pemilik anjing, Mark Bednorz memberitahu anjingnya telah menyertai sukan berkenaan sejak dua tahun yang lalu. Malah, anjingnya amat gemar melakukannya.

"Hampir semua anjing suka berada di sini," kata Bednorz.

sumber- Agensi

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...