Selamat Datang Ke blog-ketegaq.blogspot.com

Blog terbaik yang menyediakan pelbagai cerita dan artikel menarik dari seluruh dunia. Like kami di facebook tanda sokongan anda dan untuk mendapat update artikel terkini dari kami.

Isu Semasa

Artikel-artikel terkini mengenai isu semasa dalam dan luar negara. Segalanya dari sumber-sumber yang boleh dipercayai.

Pelik

Segala fakta dan artikel mengenai perkara-perkara yang pelik boleh diperolehi di sini. Semua artikel adalah berdasarkan sumber dan kesahihannya anda sendiri tentukan.

Herba Dan Botani

Artikel mengenai tumbuh-tumbuhan yang digunakan untuk perubatan dan penjagaan kesihatan.

Alam Ghaib

Himpunan artikel mengenai alam ghaib yang sukar diperjelaskan dengan mata kasar. Admin mengalukan sumbangan artikel, gambar-gambar atau video untuk dikongsi bersama dalam blog ini.

Friday, November 2, 2012

Upah geng culik awek

RAWANG: Seorang lelaki sanggup mengupah sekumpulan lelaki membelasah teman wanitanya hingga pengsan sebelum melarikan dan mengurung mangsa dalam sebuah rumah di Bandar Country Homes, Selasa lalu.

Selain itu, pasangan kembar mangsa berusia 18 tahun dan teman lelakinya yang berusia 19 tahun turut menjadi mangsa. Kembar mangsa turut pengsan manakala teman lelakinya sempat melarikan diri kira-kira 100 meter untuk meminta bantuan selepas dikejar dengan parang ketika mereka berada di taman permainan kawasan perumahan berkenaan. 

awek kena culik
gambar hiasan
Bagaimanapun, teman lelaki kembar mangsa yang mahu dikenali sebagai Rahim datang semula ke tempat kejadian bersama bapa saudaranya kira-kira jam 9.30 malam namun hanya menemui teman wanitanya pengsan sementara mangsa sudah dilarikan. 

Mangsa berjaya diselamatkan jam 12.30 tengah hari kelmarin selepas polis menyerbu kediaman kekasihnya itu di taman sama dan tujuh lelaki diberkas.

Kakak mangsa dikenali sebagai Amira berkata, pada petang hari kejadian, adiknya menghubungi memaklumkan pergaduhan antara dia dengan kekasihnya berusia 19 tahun.

sumber- HMetro

Rentung ketika sedang tidur

TAMAN SENTOSA - Seorang lelaki ditemui rentung dalam sebuah bengkel jentera berat yang terbakar di Batu 5, Jalan Sungai Jati di sini, awal pagi semalam.

Ketika kejadian, mangsa berusia 30 an itu dipercayai sedang tidur di salah satu ruang dalam bengkel yang dijaganya itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Andalas, Zulkifli Osman berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian sekitar jam 12.17 malam dan tiba di lokasi kejadian empat minit kemudian.

mayat rentung
Mangsa ditemui rentung atas lantai ruang yang dijadikannya tempat berehat di bengkel terbabit.
“Seramai 22 anggota membabitkan Balai Bomba Andalas, Shah Alam dan Kota Raja dikejarkan ke tempat kejadian bagi memadamkan kebakaran," katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Zulkifli berkata, api berjaya dipadamkan dan hanya 20 peratus bengkel itu terbakar manakala selebihnya berjaya diselamatkan.

Beliau berkata, pihaknya percaya mangsa lemas disebabkan asap tebal dan mungkin panik serta gagal mencari jalan keluar menyelamatkan diri.

“Berdasarkan maklumat pemilik bengkel, bahagian bilik itu mempunyai pintu. Kita yakin kalau mangsa berjaya menendang pintu itu, dia dapat menyelamatkan dirinya.

“Bagaimanapun, asap yang banyak dan bahang panas menyebabkan badan mangsa menjadi lemah dan gagal mencari jalan keluar,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa ditemui dalam keadaan mengerikan di atas lantai.

"Mayat mangsa dihantar ke Bilik Mayat, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) oleh pihak polis,” katanya

Dalam kejadian itu, beliau berkata, kereta jenis Proton Kembara dan motosikal milik mangsa yang diletakkan dalam bengkel turut musnah termasuk sebuah lori kecil milik pengusaha bengkel.

Menurutnya, keseluruhan kerugian dianggarkan berjumlah lebih RM100,000, bagaimanapun punca kejadian masih dalam siasatan.

Sementara itu, pemilik bengkel yang enggan dikenali berkata, mangsa yang mempunyai masalah kesihatan sudah lama berada di situ.

“Disebabkan masalah kesihatan, dia hanya menjaga dan memantau bengkel itu. Dia tinggal di kediaman lain tidak jauh dari sini. Dia hanya menjadikan bilik dalam bengkel sebagai tempat berehat.

sumber- Sinar

Kulit kelapa tertera kalimah ALLAH

HULU TERENGGANU - "Pada mulanya, saya ingatkan ia hanyalah debu walaupun kelihatan seperti huruf Jawi kerana kelapa ini hanya digantung di pagar rumah tetapi apabila diamati, rupanya tertera kalimah ALLAH dan semakin hari ia semakin jelas."

Demikian menurut Asrul Wahab, 36, mengenai penemuan kalimah berkenaan pada kulit kelapa pandan milik ibunya, Habsah Hod, 66, yang disifatkan mereka sekeluarga sebagai bukti kekuasaan Ilahi dan turut menarik perhatian komuniti setempat.

kelapa ada kalimah Allah
Asrul menunjukkan salah sebiji buah kelapa pandan tua milik ibunya yang tertera kalimah Allah pada bahagian kulit.
“Dua biji kelapa pandan tua ini diperoleh emak saya sekitar akhir Julai lalu daripada seorang saudara di Kuala Terengganu untuk dibuat benih. Sementara menunggu kelapa ini ‘bercambah’ sebelum ditanam, dia hanya gantungkannya di pagar rumah.

“Namun, kira-kira tiga minggu selepas itu ketika membersihkan halaman rumah, saya melihat salah satu kulit kelapa tersebut bagaikan berdebu tetapi kelihatan seperti huruf Jawi," katanya.

Menurutnya, apabila diamati, ia tertera kalimah ALLAH dan semakin hari jelas dapat dilihat.

"Malah, kulit kelapa yang sebiji lagi juga berbeza sebagaimana kelapa tua yang lain. Semua ini sebenarnya antara kekuasaan-Nya.

“Keajaiban buah kelapa pandan tua ini menarik minat individu lain membelinya tetapi kami sekeluarga tidak akan menjualkannya kerana khuatir sekiranya ia disalah guna bagi perkara bertentangan dengan akidah,” katanya.

sumber- Sinar

Megaupload bakal dilancar semula

download percuma

WELLINGTON - Pemilik laman web perkongsian data Megaupload, Kim Dotcom hari ini mendedahkan rancangannya untuk melancarkan semula empayar perkongsian fail pada Januari depan.

Bulan itu dipilih kerana ia adalah ulang tahun dia ditangkap di New Zealand atas dakwaan melanggar hak cipta.

Rakyat Jerman berumur 38 tahun itu mengumumkan rancangannya untuk melancarkan perkhidmatan terbarunya, Mega dalam akaun Twitternya. 

sumber- AFP

Tiga mati terpijak di parti Halloween

Halloween

MADRID: Tiga wanita mati dalam satu kejadian bersesak-sesak pada sambutan Halloween, semalam.

Kejadian berlaku selepas seorang pengunjung melontar bunga api kira-kira jam 4 pagi di Madrid Arena, stadium tertutup yang boleh memuatkan kira-kira 10,000 orang di Madrid, ibu negara Sepanyol. Dua orang turut cedera.

Menurut jurucakap polis, suasana panik berlaku selepas seorang pengunjung dalam stadium melontar bunga api.

Siasatan terhadap kejadian itu sudahpun dimulakan.

Mereka yang terbunuh berusia antara18 dan 25 tahun.

Sementara itu, empat orang cedera selepas ditembak dalam sambutan parti Halloween di kampus Universiti California Selatan di Los Angeles.

Polis berkata, dua orang ditahan berikutan kejadian menembak itu yang berlaku sejurus sebelum tengah malam kelmarin. 

sumber- DM

Patung Lance Armstrong akan dibakar

Lance Armstong

EDENBRIDGE: Model bekas jaguh lumba basikal, Lance Armstong dengan lencana ‘ Jim Fix It For Me’ akan dibakar di depan beribu-ribu pengunjung pada malam unggun api hujung minggu ini.

Patung itu juga menggambarkan Armstrong memegang poster berbunyi: “Untuk dijual, basikal lumba tidak lagi diperlukan.” Langkah itu diambil selepas tujuh gelaran perlumbaan Tour de France dilucutkan daripada pelumba berusia 41 tahun itu kerana kesalahan dadah.

Bagaimanapun, lencana yang dikalung pada leher Armstrong, akuan pencabulan seks terhadap kanak-kanak ke atas mendiang Jimmy Savile, mencetuskan kebimbangan ia mungkin tidak sesuai untuk kanak-kanak. 

Pembakaran patung berkenaan akan memburukkan lagi reputasi Armstrong kerana ia akan mengaitkan imejnya dengan Jiimy Savile, orang yang dipercayai polis Britain sebagai lelaki paling banyak melakukan kesalahan seks di negara itu. 

Jurucakap Persatuan Bonfire, Mark Young berkata: “Lance Armstrong sudah pasti menjadi penyangak terbesar dalam sukan. Orang ramai di seluruh dunia merasa ditipu olehnya.” Patung itu akan disumbat dengan kertas surat khabar yang sudah direndam dengan minyak tanah sebelum dibakar. 

sumber- TS

Wanita tewaskan jerung

HAWAII: Seorang penyelam wanita terselamat daripada serangan jerung sepanjang empat meter di sini selepas menggunakan gerakan seni mempertahankan diri.

Pemegang tali pinggang hitam taekwondo, Mariko Haugen sedang berenang bersama suaminya di pantai Maui apabila mendapati dirinya berdepan dengan seekor jerung harimau.

Mariko Haugen
MARIKO menceritakan bagaimana dia menumbuk jerung yang cuba membahamnya sambil diperhatikan suaminya.
Apabila diserang, Mariko menggunakan kemahirannya dan menumbuk hidung haiwan pemakan manusia itu.

“Keadaan tiba-tiba menjadi seperti filem Hollywood. Anda melihat rahang besar ikan itu menerkam anda. Saya tidak dapat menceritakan bagaimana takutnya saya ketika itu.

“Taekwondo yang saya pelajar membolehkan saya bersedia untuk menumbuk,” kata Mariko.

Menyedari ia berdepan dengan orang yang setanding dengannya, jerung berkenaan meninggalkan tempat itu, sekali gus membolehkan Mariko dan suami, Don berenang ke pantai.

Mariko yang berasal dari Folsom, California, tidak dibaham, tetapi memerlukan 60 hingga 70 jahitan pada tangan kirinya yang cedera kerana terkena gigi ikan itu ketika menumbuknya.

jerung harimau
JERUNG harimau.
Sementara itu, Don berkata, mereka sungguh bernasib baik.

Bagaimanapun, pengalaman ngeri itu tidak akan menyebabkan dia berhenti berenang di laut.

“Saya sentiasa memberitahu anak saya, tidak ada alasan untuk takut kepada jerung kerana apa yang lebih menakutkan ialah barah payu dara. Satu daripada lapan orang menghidapnya.

“Tetapi hanya satu daripada empat juta pelancong ke Hawaii dibaham jerung. Kerana itu kita tidak perlu takut langsung,” kata Don. 

sumber- DM

22 maut, 135 cedera lori tangki meletup di Riyadh

RIYADH, Arab Saudi - Sekurang-kurangnya 22 maut apabila sebuah lori tangki melanggar jejambat di sini, sekali gus mengakibatkan satu letupan besar dan memusnahkan sebuah bangunan serta beberapa buah kenderaan berhampiran.

lori tangki meletup
BEBERAPA anggota Jabatan Perkhidmatan Awam Arab Saudi cuba memadamkan api selepas satu letupan besar memusnahkan sebuah bangunan dan beberapa buah kenderaan.
Jurucakap Kementerian Kesihatan Arab Saudi, Saad al-Qahtani memberitahu, seramai 135 orang mengalami kecederaan. Mangsa kebanyakannya terdiri daripada golongan lelaki dan beberapa orang pekerja asing.

Menurut Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Arab Saudi, sebuah lori tangki telah melanggar jejambat, menyebabkan berlakunya kebocoran minyak sebelum meletup.

"Pemandu lori terkejut apabila berlaku kemalangan di laluannya. Dia kemudian hilang kawalan dan melanggar salah satu tiang jejambat," kata jurucakap JPA Arab Saudi, Kapten Mohamed Hubail Hammadi.

Biarpun insiden itu berlaku berhampiran ibu pejabat Pengawal Negara Arab Saudi dan Kolej Sains Keselamatan Putera Nayef, pihak berkuasa menegaskan bahawa ia adalah satu kemalangan. 

sumber- Reuters

Pulau dilitupi debu gunung berapi 100 tahun

JUNEAU, Alaska - Sebuah pulau di Alaska, Amerika Syarikat (AS) dilanda jerebu yang dipercayai kesan daripada debu letusan sebuah gunung berapi sekitar 100 tahun lalu.

Keadaan berjerebu itu melanda Pulau Kodiak dekat sini sejak minggu lalu.

gunung berapi
JEREBU melitupi dua kincir angin di puncak Gunung Pillar di Pulau Kodiak, Alaska pada 9 Oktober lalu.
Perkhidmatan Kaji Cuaca Kebangsaan menyatakan, angin kencang serta kekurangan salji pada Selasa lepas menyebabkan debu gunung berapi Novarupta di Alaska yang meletus pada 1912 merebak dengan lebih meluas.

Letusan tersebut adalah yang terkuat pada abad ke-20.

Rantau Alaska di utara AS merupakan kawasan beriklim sejuk dan bersalji.

Kepulan jerebu itu kini mencecah ketinggian 1,219 meter dan meliputi keseluruhan Pulau Kodiak dengan menyebabkan amaran penerbangan dikeluarkan.

Pada Jun 1912, Novarupta meletus dan menghamburkan debu setinggi 30,480 meter ke udara yang melitupi seluruh daerah Katmai di Alaska. 

sumber- AP

Usaha pulih AS lambat

NEW YORK - Bunyi tren bawah tanah kedengaran buat kali pertama semalam dalam tempoh empat hari yang merupakan antara petanda awal bahawa bandar raya yang menjadi ikon kemodenan Amerika Syarikat (AS) itu kini semakin pulih selepas lumpuh dilanda taufan Sandy.

Namun, di kebanyakan kawasan lain di Pantai Timur AS, berjuta-juta orang kini mengalami kekurangan petrol dan diesel, selain ketiadaan bekalan elektrik.

taufan Sandy
SEJUMLAH rumah yang musnah dan rosak akibat taufan Sandy di Queens, New York kelmarin.
Sekitar enam juta kediaman dan premis perniagaan di 15 buah negeri di AS masih terputus bekalan elektrik setakat kelmarin.

"Saya terpaksa bergelap dan memerlukan petrol untuk menghidupkan generator di rumah," kata seorang lelaki, Abdul Rahim Anwar di sebuah stesen petrol di Brooklyn di sini.

Ketika ini, pasukan-pasukan penyelamat masih bergelut untuk sampai ke beberapa kawasan paling teruk terjejas akibat bencana besar tersebut.

Sekurang-kurangnya 76 orang terkorban dalam malapetaka itu di AS sejak Isnin lalu dengan pihak berkuasa memberitahu, angka korban dijangka terus meningkat selepas anggota-anggota penyelamat melakukan operasi mencari mangsa dari rumah ke rumah di beberapa bandar pesisir pantai di rantau berkenaan.

Pihak berkuasa AS menyatakan, Sandy mendatangkan kerugian AS$200 juta (RM610 juta) sehari akibat kehilangan aktiviti, manakala anggaran kerugian keseluruhan mencecah AS$15 bilion (RM45.7 bilion).

Ribut berkenaan yang meliputi kawasan seluas 1,609 kilometer dan bertiup selaju 130 kilometer sejam kini bergerak ke utara menuju ke negeri Pennsylvania dan Kanada.

sumber- Kosmo

Simpan pistol, buat bom

GEORGE TOWN – Kegiatan tiga penjenayah berbahaya yang paling dikehendaki polis negeri ini kerana memeras ugut ahli perniagaan menggunakan senjata api, peluru dan bom tangan buatan sendiri bagi memperoleh wang terbongkar apabila kesemuanya diberkas kelmarin.

Kesemua samseng berusia lingkungan 30-an tersebut diberkas pada pukul 5.30 petang di sebuah rumah di Taman Damai, Padang Serai, Kedah hasil maklumat dan risikan terperinci yang dilakukan polis sejak setahun lalu.

ABDUL RAHIM melihat mercun, bom buatan sendiri, pistol, dan bebola besi yang dirampas daripada tiga lelaki pada sidang akhbar di George Town semalam.
Polis yang menggeledah rumah mereka menemui pelbagai jenis senjata api dan bahan membuat bom seolah-olah penjenayah ingin memberitahu yang mereka mampu bertindak ganas pada bila-bila masa.

Antara yang ditemui sepucuk pistol semi automatik buatan sendiri, lapan butir peluru, empat bom tangan buatan sendiri, tiga bungkus bebola besi dan 35 biji mercun bola.

Turut dirampas ialah lapan buah telefon bimbit dan sebuah kereta curi jenis Proton Waja.

Difahamkan, penjenayah tersebut tidak mempunyai kepakaran tertentu mengenai letupan tetapi memiliki pengetahuan untuk membuat bom menggunakan bebola besi dan petrol.

Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, modus operandi penjenayah ialah akan memeras ugut ahli perniagaan dengan cara menghantar peluru hidup atau mencampakkan bom tangan buatan sendiri yang tidak dihidupkan ke laman rumah mangsa sebagai amaran.

Katanya, suspek kemudian akan membuat panggilan telefon kepada mangsa dan meminta wang sekurang-kurangnya RM500,000 jika tidak mahu diapa-apakan.

“Setakat ini, polis telah menerima enam laporan daripada ahli perniagaan di sekitar Seberang Perai mengatakan mereka diperas ugut penjenayah sejak Mac 2011 menggunakan modus operandi yang sama.

“Bagaimanapun, kesemua mangsa tidak mengalami kerugian dan tidak membuat bayaran kerana mereka terus membuat laporan polis,” katanya pada sidang akhbar semalam.

Tambahnya, walaupun kesemua mangsa tidak diapa-apakan, pihaknya menganggap ketiga-tiga penjenayah yang berasal dari Kedah itu sebagai sangat berbahaya dan dikehendaki kerana memiliki senjata api dan bahan letupan.

Menurut Abdul Rahim, kesemua suspek yang tidak bekerja itu kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971, 1960 dan 1957 kerana memiliki senjata api dan bahan letupan serta Seksyen 36 akta sama atas kesalahan memiliki senjata api palsu. Sabit kesalahan, kesemua suspek boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 14 tahun serta enam sebatan atau denda RM10,000.

sumber- Kosmo

Majlis Al-Arqam diserbu JAIS

RAWANG – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyerbu sebuah majlis khas yang dipercayai cuba menghidupkan kembali ajaran sesat Al-Arqam di Bandar Country Homes di sini malam tadi.

Dalam serbuan pada pukul 10 malam itu, beberapa individu ditahan termasuk Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, Dr. Badrulamin Bahron.

Badrulamin merupakan tetamu kehormat dan ahli jawatankuasa majlis tersebut.

Al-Arqam
Badrulamin antara yang ditahan dalam serbuan di markas Al-Arqam di Bandar Country Homes, Rawang malam tadi.
Beliau adalah pemimpin PKR yang pernah ditahan oleh Jabatan Agama Islam Pahang kerana didakwa berkhalwat dengan isteri orang berusia 28 tahun di sebuah hotel di Pahang, Februari tahun ini.

Difahamkan, majlis yang dihadiri kira-kira 3,500 orang itu melanggar arahan mufti mengikut Seksyen 12C Enakmen Jenayah Syariah Selangor iaitu membantu menghidupkan fahaman Al-Arqam.

Kain rentang yang digantung pada majlis tersebut tertera Majlis Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Abuya Syeikh Imam Ashaari Muhammad At-Tamimi yang bertemakan “Abuya terus memimpin walaupun ghaib”.

Kesemua yang ditahan dibawa ke pejabat JAIS di Shah Alam, Selangor.

Sehubungan itu, JAIS akan menjalankan siasatan lanjut dan memantau aktiviti pengikut bekas pemimpin Al-Arqam berkenaan sebelum mengambil tindakan lanjut termasuk menahan mereka yang didapati terbabit dalam cubaan menghidupkan kembali gerakan itu.

Difahamkan, selain jamuan makan, pengisian majlis tersebut turut disertai dengan konsert khas dan jualan pelbagai jenis barangan termasuk buku-buku.

Al-Arqam merupakan gerakan agama di Malaysia yang diasaskan oleh Ashaari Muhammad sebelum ia diisytihar sesat dan diharamkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada Ogos 1994.

Kumpulan ini menyebarkan kegiatan dakwah islam melalui bidang pendidikan, penerangan, penerbitan, perusahaan, perniagaan, perubatan, dan pertanian.

Pengasasnya, Ashaari meninggal dunia di Hospital Ipoh pada 13 Mei 2010 akibat jangkitan paru-paru.

sumber- Kosmo

Udang karang unik berwarna oren hitam

BOSTON - Seekor udang karang unik berwarna oren dan hitam yang sinonim dengan warna hari Halloween diberikan rumah baharu di Akuarium New England di sini, Amerika Syarikat (AS).

Orang ramai terutama kanak-kanak akan memakai kostum menyeramkan pada perayaan tersebut yang dikaitkan dengan elemen hantu dan disambut pada setiap 31 Oktober di AS.

Udang karang unik berwarna oren hitam
GAMBAR daripada pihak Akuarium New England di Boston kelmarin menunjukkan udang karang berbelang oren hitam yang diberi nama Split.
Udang betina seberat 450 gram itu yang diberi nama Split, ditangkap di perairan Lautan Atlantik dekat bandar Salem, dalam negeri Massachusetts pada minggu lalu.

"Haiwan ini memang memiliki belang oren hitam," kata seorang jurucakap pusat akuarium tersebut berhubung spesies yang jarang ditemui itu.

Bahagian kiri udang tersebut berwarna hitam, manakala warna oren terdapat di sebelah kanannya.

Mengulas mengenai keganjilan tersebut, beberapa pakar biologi marin berkata, warna pelik itu mungkin disebabkan oleh pemecahan sel semasa proses persenyawaan.

Hidupan laut itu bakal dipamer kepada orang ramai selepas tempoh kuarantin tamat.

"Dianggarkan terdapat cuma seekor udang karang seperti ini dalam setiap 50 hingga 100 juta udang karang," ujar pihak akuarium berkenaan.

Udang karang pada kebiasaannya berwarna hijau. 

sumber- Agensi

Lori padi terbabas, empat maut

ALOR SETAR – Empat beranak maut manakala seorang lagi parah apabila kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori padi yang terbabas dalam kemalangan di Jalan Tualang dekat Kampung Permatang Limau dekat sini semalam.

Mangsa yang maut ialah pesara tentera, Shafie Abd. Hamid, 57; isterinya, Che Faridah Ani, 60, serta dua anak mereka iaitu Nurul Faiz, 24, dan Mohd. Iptihar, 26.

Kemalangan Pokok Sena
MAYAT empat sekeluarga mangsa kemalangan ditutup dengan kertas surat khabar di Jalan Tualang dekat Kampung Permatang Limau, Pokok Sena, Alor Setar semalam.
Anak bongsu mereka, Mohd. Iqbal, 15, cedera parah dan kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.

Lokasi kemalangan terletak kira-kira enam kilometer dari rumah keluarga mangsa di Kampung Kubang Pisang, Pendang.

Kejadian pada kira-kira pukul 3 petang itu berlaku ketika keluarga malang itu dalam perjalanan untuk menziarah keluarga mereka di sini dengan menaiki kereta Perodua Viva dari arah Pendang menghala ke Kebun 500, Pokok Sena.

Bagaimanapun, ketika melalui tempat kejadian, sebuah lori padi tanpa muatan dari arah Kebun 500 dipercayai mengalami kerosakan stereng dan brek lalu terbabas dan bertembung dengan kereta tersebut yang dipercayai dipandu Mohd. Iptihar.

Dalam pada itu, anak kedua mangsa, Mohd. Anuar Shafie, 32, menjelaskan, dia yang berada di Jabi berasa tidak sedap hati apabila ternampak dua buah ambulans memasuki persimpangan Kebun 500.

Dia kemudian segera pulang ke rumah keluarganya di Kampung Kubang Pisang, namun sebaik dia tiba di tempat kejadian, perasaan tidak sedap hatinya menjadi kenyataan apabila kereta yang terbabit kemalangan itu adalah milik bapanya berdasarkan nombor pendaftaran KCS 396.

“Masa saya tiba, kesemua mereka sudah tidak ada lagi di tempat kejadian dan orang ramai meminta saya pulang ke rumah untuk membuat kepastian.

“Bila saya tiba di rumah, itulah kenyataan apabila empat ahli keluarga meninggalkan kami sekali gus tetapi saya tetap reda dan pasrah,” katanya.

Dia menjelaskan, ibu bapanya ada mengunjungi rumahnya di Guar Kepayang, Pendang bagi menziarahi dua cucunya yang berusia lima dan setahun.

“Mereka datang ke rumah kira-kira pukul 10 malam kelmarin untuk melihat cucu tetapi mereka sudah tidur.

“Ibu dan bapa saya kurang bercakap dan tidak duduk lama sebelum beredar kira-kira setengah jam kemudian,” katanya yang bekerja sebagai buruh di Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS).

Sementara itu, menurut anak ketiga mangsa, Mohd. Fashah, 28, kesemua jenazah dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Kubang Pisang malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superitendan Rohana Omar mengesahkan kemalangan berlaku apabila lori terbabit yang mengalami kerosakan tiba-tiba memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan Perodua Viva yang dinaiki lima beranak tersebut.

“Akibat pertembungan itu, empat mangsa mati di tempat kejadian dan mayat kesemua mereka dihantar ke HSB.

“Pemandu lori dipercayai hanya mengalami cedera ringan dan dia ke balai polis untuk diambil kenyataan,” katanya.

sumber- Kosmo

Meteorit 300kg ditemui di barat Poland

WARSAW - Beberapa ahli geologi Poland berjaya menemui meteorit seberat 300 kilogram (kg) yang tertanam sedalam dua meter di kawasan Rizab Meteorit Morasko, di bandar Poznan, barat Poland.

Meteorit itu adalah yang terbesar pernah ditemui di rantau Eropah Timur. Penemuannya diharap dapat memberi petunjuk baharu mengenai komposisi teras Bumi.

Meteorit 300kg
BEBERAPA jurufoto mengambil gambar meteorit yang ditemui di Poznan, Poland kelmarin.
"Kita tahu bahawa teras Bumi terdiri daripada besi, tetapi kita tidak boleh mengkajinya. Di sini kita mempunyai meteorit dari angkasa lepas yang memiliki struktur hampir sama dengan teras bumi dan kita boleh mengkajinya," kata seorang pakar geologi, Professor Andrzej Muszynski kelmarin.

Meteorit selebar dua meter dan berbentuk kon itu ditemui oleh dua orang pemburu meteorit lewat bulan lalu.

Seorang ahli geologi Universiti Adam Mickiewicz yang mengkaji meteorit itu percaya ia terhempas ke Bumi sekitar 5,000 tahun dahulu.

Meteorit merupakan objek yang berasal dari angkasa lepas. 

sumber- AFP

Pembedahan selamatkan budak berpenyakit ganjil

SYDNEY - Sepasukan doktor Australia semalam memuji pembedahan pertama di dunia ke atas seorang budak lelaki yang menghidap sejenis penyakit ganjil menyebabkan tekanan darah tinggi dan strok.

Dikenali sebagai autosomal recessive polycystic dan congenital hepatic fibrosis, penyakit tersebut menyerang ginjal dan hati manusia.

Alat penyahsaraf
Alat penyahsaraf yang dimasukkan ke dalam salur darah pesakit. - AFP
Budak lelaki itu, Matthew Gaythorpe, 10, menghidap tekanan darah tinggi dan pernah diserang strok pada tahun lalu selain mengalami sawan dan kelesuan.

Gaythorpe yang didiagnosis menghidap penyakit gangguan tidur kronik pada usia empat tahun juga terpaksa mengambil sekitar 30 jenis ubat sehari.

Namun, nasib kanak-kanak itu berubah selepas dia mendapat kebenaran menjalani pembedahan berbentuk eksperimen baru-baru ini.

Dalam pembedahan tersebut di Institut Jantung Monash, Amerika Syarikat, satu alat khas yang begitu halus dimasukkan ke salur darah di dalam ginjal Gaythorpe.

"Dengan menggunakan teknologi frekuensi radio pada alatan itu kami telah membuang sebilangan saraf dan tisu di sekeliling arteri ginjal Gaythorpe yang menyebabkan darah tinggi," kata pakar bedah Ian Meredith dari Institut Monash Heart.

"Pembedahan ini berjaya mengurangkan simptom dan tekanan darah Gaythorpe."

Ibu pesakit, Alex memberitahu bahawa pembedahan itu memberikan kesan menakjubkan dengan Gaythorpe kini lebih tenang manakala tekanan darahnya juga telah menurun.

"Dia kini dapat membaca buku semula (dengan selesa)," kata wanita tersebut. 

sumber- AFP

Pemain pakau profesional AS menang RM26 juta

LOS ANGELES - Seorang pemain pakau profesional dari Amerika Syarikat (AS), Greg Merson diumum sebagai juara Kejohanan Pakau Siri Dunia semalam, kata pihak penganjur.

Merson dinobatkan sebagai juara dunia selepas menamatkan perlawanan pakau peringkat akhir selama 13 jam.

main pakau
MERSON dari Laurel, Maryland memegang gelang emasnya selepas memenangi Kejuaraan Pakau Siri Dunia di Rio Hotel & Casino di Las Vegas, Nevada, Amerika Syarikat baru-baru ini.
Pemuda berusia 24 tahun itu membawa pulang wang tunai berjumlah AS$8,531,853 (RM26 juta) bersama gelang emas. Siri kejohanan tersebut mengambil masa sepanjang malam melibatkan 400 orang peserta di Las Vegas.

Pada perlawanan akhir, Merson menentang dua peserta akhir iaitu Jesse Sylvia dan Jake Balsiger.

Jelas Merson, dia merancang untuk mengembara ke pusat perjudian utama China, Macau untuk bermain dalam permainan pakau yang menawarkan hadiah wang tunai tinggi dan bukannya menyertai sirkit perlawanan pakau yang memenatkan.

"Itulah yang ingin saya lakukan. Menyertai permainan pakau terbesar dunia dan tidak kehilangan semua wang saya," kata Merson yang dipetik oleh akhbar Sun Las Vegas.

Seorang lagi finalis, Sylvia memenangi wang tunai AS$5,295,149 (RM16 juta) apabila menduduki tempat kedua.

"Saya sudah cuba sedaya upaya. Adakalanya perkara tidak berlaku seperti yang kita kehendaki, tidak mengapa. Saya rasa saya telah bermain dengan baik sekali," kata Sylvia.

Balsiger, 21, yang membawa pulang wang tunai berjumlah AS$3,799,073 (RM11.2 juta) pula dikatakan sebagai pemenang termuda kejohanan tersebut setakat ini.

sumber- AFP

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...