Selamat Datang Ke blog-ketegaq.blogspot.com

Blog terbaik yang menyediakan pelbagai cerita dan artikel menarik dari seluruh dunia. Like kami di facebook tanda sokongan anda dan untuk mendapat update artikel terkini dari kami.

Isu Semasa

Artikel-artikel terkini mengenai isu semasa dalam dan luar negara. Segalanya dari sumber-sumber yang boleh dipercayai.

Pelik

Segala fakta dan artikel mengenai perkara-perkara yang pelik boleh diperolehi di sini. Semua artikel adalah berdasarkan sumber dan kesahihannya anda sendiri tentukan.

Herba Dan Botani

Artikel mengenai tumbuh-tumbuhan yang digunakan untuk perubatan dan penjagaan kesihatan.

Alam Ghaib

Himpunan artikel mengenai alam ghaib yang sukar diperjelaskan dengan mata kasar. Admin mengalukan sumbangan artikel, gambar-gambar atau video untuk dikongsi bersama dalam blog ini.

Friday, September 21, 2012

Ngeri! Roti paling menakutkan

makanan pelik asia

Jika anda seorang penggemar roti yang sejati, pasti anda tidak mahu lepaskan peluang untuk merasai roti paling ngeri di dunia. Roti-roti ini dibentuk seakan anatomi tubuh manusia yang menyeramkan. 

makanan paling menakutkan

Ianya adalah hasil kreativiti Kittiwat Unarrom dari Potharam, Thailand. Dapur yang digunakan Kittiwat tidak ubah seperti rumah sembelihan manusia. 

tubuh manusia dipotong
makan daging manusia

Semua karyanya adalah hasil rujukan buku anatomi serta dari pengalamannya sendiri ketika melawat sebuah muzium forensik beberapa tahun yang lalu. 

Jika diletakkan mayat sebenar bersama roti-roti ini, pasti ramai yang tidak dapat membezakan mayat yang tulen dengan roti tersebut. 

seni paling menakutkan
kaki manusia

Anda boleh membuat pilihan untuk memakan, kaki, tangan, kepala atau sebagainya bergantung pada selera anda. 

ngeri kepala manusia

Roti ini mendapat permintaan yang tinggi dipasaran terutama dari mereka yang mempunyai perasaan ingin tahu atau mereka yang suka membuat usikan kepada kenalan.

" Apabila mereka lihat roti ini, mereka takut untuk memakannya. Namun apabila dirasa, ianya hanyalah roti biasa," kata Kittiwat.

Mayat suami luka, lebam

Suriati Hussein
Suriati bersama anak tunggalnya pilu ketika menceritakan keadaan jenazah suaminya.
LUBUK BUNTAR - "Ketika suami saya ditahan polis, tiada sebarang kecederaan pada badannya, namun ketika melihat jenazahnya kelmarin, saya dapat lihat ada kesan luka dan lebam. Ini amat menyedihkan saya."

Begitulah kata Suriati Hussein, 38, balu kepada seorang tahanan reman yang meninggal dunia kelmarin selepas dihantar pihak penjara untuk menjalani rawatan jangkitan kuman di Hospital Sultanah Aminah, Johor.

Dia yang tinggal di Taman Seri Skudai, Johor berkata, suaminya ditahan polis sebagai suspek kes dera. Setelah tiga hari direman di lokap Balai Polis Seri Serdang, suaminya dibawa semula ke mahkamah untuk permohonan sambungan reman.

Ketika itu dia berkesempatan bertemu suaminya yang dilihat tidak bermaya serta mengalami bengkak kaki.

"Selepas tempoh reman selama seminggu tamat, mahkamah membebaskan suami dengan jaminan RM7,000 tetapi saya gagal membayar wang jaminan kerana tidak ada duit menyebabkan suami dipindahkan ke Penjara Air Molek.

"Bagaimanapun, pada 18 September lalu kira-kira jam 4.35 pagi, hospital memaklumkan kepada saya bahawa suami sudah meninggal dunia. Apa yang menyedihkan, saya tidak dapat berjumpa dengan suami hingga ke saat akhirnya.

"Selepas jenazah suami dibawa balik ke kampung halamannya di Lubuk Buntar, kira-kira jam 11 malam kelmarin, barulah saya berpeluang menatapnya dan ketika itu saya nampak ada kesan lebam dan luka di tubuh arwah," katanya.

Ibu kepada seorang anak itu mendakwa kecederaan pada tubuh arwah tidak ada ketika suaminya ditahan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bandar Baharu, Deputi Superintendan Helmi Aris ketika dihubungi berkata, sehingga kini keluarga si mati masih belum membuat sebarang laporan polis berhubung keraguan yang ditimbulkan.

sumber- Sinar

5 Pencuci mulut termahal di dunia

Strawberries Arnaud 

Strawberries Arnaud

Anda pasti tahu resepi Strawberries Arnaud iaitu aiskrim strawberi dengan campuran buah lemon dan anggur merah. Namun di Restoran Arnaud di New Orleans, Amerika Syarikat, hidangan tersebut bukan sekadar potongan buah biasa. Apa yang menyelerakan dan seperti tidak masuk akal adalah di atas pencuci mulut tersebut telah dihiasi dengan sebentuk cincin berlian 5 karat yang pernah menjadi milik Sir Ernest Cassel dimana cincin tersebut hanya ada satu sahaja di dunia dimana nilai pencuci mulut ini dianggarkan berharga RM5 juta. Selain cincin esklusif tadi, minuman Charles X Crysttal turut dihidangkan yang beharga RM 87,000 sebotol. 

Kek Platinum 

Kek Platinum

Kek yang beharga RM 450 ribu ini tentunya nampak begitu menyelerakan dengan warna yang berkilau indahnya. Kek ini dibuat oleh Nobue Ikara iaitu seorang chef pastry terkenal dari Jepun. Mahu memberi penghargaan kepada kaum wanita, Ikara telah menghasilkan kek yang didedikasikan kepada wanita yang terkenal di Jepun seperti Rinko Kikunchi dan Chie Kumazawa. 

Frozen Haute Chocolate 

Frozen Haute Chocolate

Sehingga sekarang, sundae buatan Serendipity 3 ini sentiasa terpilih sebagai sundae (aiskrim campuran) termahal di dunia, dengan harga boleh mencapai sehingga RM3,500 per skop. Mahu menjadikan aiskrim mereka adalah yang termahal di dunia, mereka telah menghasilkan aiskrim Frozen Haute Chocolate hasil kerjasama bersama pembuat perhiasan, Euphoria New York dimana harga aiskrim ini berharga RM87,000. Frozen Haute Chocolate dihasilkan daripada 28 jenis coklat dimana 14 jenis coklat daripada 28 jenis coklat itu merupakan coklat paling mahal dan eksotik di dunia. Untuk menjadikannya lebih ekslusif adalah aiskrim sundae ini terdapat emas seberat 5 gram dimana emas tersebut boleh dimakan dan juga ada gelang emas dengan berlian di dasar gelas. Bahkan, untuk memakan aiskrim ini dikhususkan menggunakan sudu emas, dan beberapa butir berlian coklat dan putih yang dapat anda simpan. 

The Fortress Stilt Fisherman Indulgence 

The Fortress Stilt Fisherman Indulgence

Pernah menjadi makanan kedua paling mahal di dunia, The Fortress Stills Fisherman Indulgence yang dibuat di Hotel Sri Langka ini berharga RM50,000. Isi kandungan pencuci mulut ini dibuat daripada Cassata daun emas serta buah mangga dan delima eksotik. Makanan ini kelihatan biasa jika tidak dihias dengan ukiran coklat seorang pemancing dengan batu akuarium 80 karat. 

Macaroons Haute Couture Macaroon 

Macaroons Haute Couture Macaroon

jika diikutkan memang menjadi kegilaan masyarakat sekarang dengan kelazatan yang ada di intinya. Dengan harga yang berpatutan, setiap orang dapat memilikinya. Namun apa yang ingin diceritakan di sini adalah Macaroon Haute Couture. Pierre Hermé merupakan seorang artis luar biasa dalam menghasilkan macaroons. Dia mempunyai dua cawangan besar di Paris dan Tokyo yang merupakan pusat pembuatan macaroons. Macaroons paling terkenal yang dihasilkan adalah Meringgue Puff dimana ia akan dihasilkan mengikut bahan pilihan pembeli itu sendiri. Berdasarkan bahan yang dipilih oleh pembeli, macaroon buatan Pierre boleh mencapai harga mencecah RM25,000 per kilogram.

sumber- Tupai

Yuna kembali single

Tinggal kenangan...Saat manis Yuna dan Qi.
Tinggal kenangan...Saat manis Yuna dan Qi.
Kesukaran cinta jarak jauh membuatkan pelantun Terukir di Bintang, Yuna terpaksa ‘merehatkan’ hubungannya dengan Qushairi Razali atau Qi.

Yuna atau nama sebenarnya, Yunalis Zarai berkata, keputusan tersebut dibuat bersama selepas masing-masing tidak dapat memberi komitmen terhadap hubungan yang sudah berlangsung hampir dua tahun itu.

“Secara jujurnya, 'we are taking a break from our relationship'. Susah untuk kami teruskan hubungan ini kerana masing-masing jauh, saya di Amerika Syarikat (AS) dan dia di sini.

“Apabila masing-masing tidak dapat memberi komitmen, ini adalah jalan terbaik. Apa pun, keputusan ini dibuat secara matang oleh kami berdua,” katanya yang ditemui di sidang media Yuna Homecoming Concert, kelmarin.

Enggan memberitahu bila keputusan itu diambil, Yuna bagaimanapun mengakui kesibukan kariernya yang kini semakin berkembang di AS juga menyumbang kepada perpisahan mereka.

“Saya selalu sibuk. Saya ada impian yang ingin dikejar, begitu juga dia. Kami sama-sama bekerja keras.

“Memang banyak tekanan dalam hubungan ini. Rasanya lebih baik kami begini kerana saya tidak mahu ambil mudah perkara yang ada depan mata,” jawab Yuna tenang walaupun pada mulanya kelihatan hampir sebak.

Masih berkawan

Biarpun hubungan cinta mereka terkandas separuh jalan, jelas Yuna, dia masih berkawan baik dengan Qi dan mengambil berat antara satu sama lain.

"Baru beberapa hari lalu kami keluar bersama dengan rakan-rakan lain.

"Memandangkan masing-masing sudah tidak ada komitmen, Qi boleh mencari teman wanita lain jika dia mahu," ujar Yuna.

Enggan memikirkan soal cinta lagi, kata Yuna, dia mahu memberi sepenuh komitmen terhadap kerjaya seninya.

"Status saya sekarang ialah single but not available. Dengan jadual yang terlalu padat, tidak mungkin saya dapat membahagikan fokus kepada banyak perkara," katanya yang akan pulang ke AS, 23 September ini.

Mengenai impian peminat yang mahu melihat dia dan Qi ke jinjang pelamin, Yuna berharap peminat mendoakan yang terbaik untuk mereka.

"Kami tidak boleh menggembirakan hati orang lain tanpa memikirkan perasaan kami.

"Kalau ada jodoh saya dengan Qi, tidak akan ke mana. Siapa tahu, mungkin sekarang bukan masanya lagi. Doakan saja yang terbaik untuk kami," akhiri Yuna.

sumber- Sinar

Lady Gaga penagih dadah

Lady Gaga
Lady Gaga
KETIKA  menjayakan konsert di Amsterdam, Lady Gaga sempat membuat pengakuan yang mengejutkan peminatnya.

Gaga berkata, dia sebenarnya penagih alkohol dan dadah jenis ganja. Jelasnya, cara itu banyak membantunya mendapatkan idea untuk berkarya.

Malah, tidak pasti antara sedar atau tidak, Gaga meluahkan hasrat berjumpa dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama bagi memohon penggunaan ganja secara terbuka di AS.

Kontroversi dan Gaga sememangnya tidak dapat dipisahkan lagi dan penyanyi lagu Born This Way ini dilihat gemar melakukan sesuatu yang pelik untuk menarik perhatian paparazi dan peminat.

sumber- Sinar

Remaja gelandangan terima anugerah

Cris Valdez

THE HAGUE. - Seorang remaja gelandangan yang tinggal di kawasan pembuangan sampah dan tidur di atas kubur, memenangi anugerah berprestij di sini atas usahanya memperbaiki kehidupan kanak-kanak yang senasib dengannya.

Cris Valdez (gambar), 13, menerima Hadiah Kanak-Kanak Antarabangsa tahun ini dan membawa pulang wang tunai bernilai AS$130,000 (RM390,000) dalam satu majlis penuh gemilang, semalam.

Valdez dipilih daripada tiga nama akhir atas usahanya kebajikannya melalui kempen 'Memperkasa Komuniti Kanak-kanak' yang berjaya mengumpul dana bagi disumbangkan kepada kanak-kanak yang memerlukan di Cavite City, kira-kira 30 kilometer di selatan Manila.

Penerima Hadiah Nobel Keamanan, Desmond Tutu yang menyampaikan hadiah tersebut menganggap usaha remaja itu sebagai sangat mengagumkan.

"Saya mahu menyampaikan pesanan kepada semua kanak-kanak di seluruh dunia agar tidak berputus harap dan menitik beratkan soal kebersihan," katanya.

Valdez berhasrat menggunakan wang kemenangannya itu untuk menampung pengajian dalam merealisasikan impiannya bergelar seorang doktor.

Melalui kerja amal yang dilakukan, Valdez telah menghulurkan lebih 5,000 hadiah kepada kanak-kanak melarat seperti barangan keperluan harian termasuk selipar, peralatan permainan, gula-gula dan pakaian.

Yayasan Hak Kanak-kanak yang menguruskan pembahagian sumbangan tersebut berkata, secara keseluruhan, Valdez telah membantu kira-kira 10,000 kanak-kanak di kawasannya mengenai kebersihan, kesihatan dan juga hak mereka.

Sebanyak 246,000 kanak-kanak jalanan seperti Valdez, dikatakan menjadi mangsa dera, keganasan dan buruh bawah umur di Filipina, menurut yayasan itu lagi. 

sumber- AFP

Lori tanah tersangkut di jejantas

Lori tanah tersangkut di jejantas
Keadaan lori yang tersangkut di jejantas laluan pejalan kaki, semalam.
MELAKA - Akibat tidak menurunkan bahagian muatan belakang, sebuah lori tanah  tersangkut di jejantas laluan pejalan kaki yang menghubungkan bangunan Hattem Square dan Mahkota Prade di Melaka Raya, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, pemandu lori terbabit berusia 20-an, tidak menyedari bahagian muatan belakang terangkat selepas menurunkan muatan tanah ketika melintasi jejantas berketinggian 6.5 meter.

Sumber polis berkata, beberapa pemandu kereta dan penunggang motosikal membunyikan hon selepas menyedari bahagian muatan belakang lori berkenaan tidak diturunkan.

“Bagaimanapun mungkin disebabkan suasana bising di sekitar Jalan Merdeka menyebabkan pemandu lori tidak mendengar hon tersebut.

"Pemandu lori terbabit hanya menyedari belakang badan lori yang dipandunya tidak diturunkan selepas terdengar bunyi dentuman kuat," katanya.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehuddin Abd Rahman yang mengesahkan kejadian berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

sumber- Sinar

Awek bunting ditinggal kekasih, diusir keluarga

awek terlanjur
Mimi bersama seorang rakan selepas ditemubual.
KULIM - Kerana ditipu kekasih, seorang remaja berusia 16 tahun kini terpaksa menanggung masalah dihadapi sendirian setelah doktor mengesahkannya hamil.

Lebih mengecewakan, kekasihnya berusia 17 tahun yang sebelum ini berjanji akan menikahinya bersikap lepas tangan dan menuduh anak dalam kandungannya itu milik orang lain.

Dia, yang hanya ingin dikenali sebagai Mimi berkata, kejadian berlaku di rumah teman lelakinya apabila kedua-dua mereka bertindak ponteng sekolah.

Katanya, memandangkan tidak ada wang dan tempat untuk pergi, teman lelakinya mempelawa balik ke rumahnya untuk berehat sehingga tamat waktu sekolah.

“Pada mulanya saya memang takut untuk melakukan hubungan seks dengan kekasih saya itu. Saya bimbang sekiranya mengandung, namun termakan dengan pujuk rayunya, saya bersetuju untuk melakukan perbuatan sumbang itu bersamanya.

“Sebagai pelajar sekolah, saya masih tidak tahu apa-apa tentang hamil, walaupun saya sudah tidak datang haid selama empat bulan. Sehinggalah pada bulan kelima, saya rasa seperti ada sesuatu bergerak dalam perut.

“Saya kemudiannya pergi ke klinik untuk menjalani ujian air kencing dan doktor mengesahkan saya hamil. Saya cuba hubungi kekasih saya itu tetapi dia sudah menukar nombor telefon,” katanya.

Memandangkan keadaan perutnya yang semakin membesar, Mimi kemudiannya memaklumkan kejadian yang berlaku kepada keluarganya.

Malangnya, keluarga mengusirnya keluar dari rumah kerana rasa terhina dengan perlakuannya. Mimi kemudiannya pergi berjumpa seorang rakan dan menceritakan masalah dialaminya. Kerana simpati, rakannya itu membenarkan Mimi tinggal di rumah sewanya sehinggalah dia bersalin.

“Ketika dalam pantang, saya didatangi sepasang suami isteri yang tidak mempunyai anak. Mereka meminta kebenaran untuk menjaga anak saya. Saya tidak ada pilihan lain selain menyerahkan bayi perempuan saya kepada mereka.

“Saya tidak berniat untuk menjualnya, tetapi kerana ketiadaan wang, saya terpaksa meminta RM1,500 daripada pasangan itu,” katanya.

Katanya, kerana cinta dia hilang keluarga, anak dan sekolah dan berharap golongan remaja lain menjadikan apa yang berlaku kepadanya sebagai iktibar.

“Kerana terlalu sayang seorang lelaki yang masih mentah dan terlalu taksub pada cinta, akhirnya saya tinggal berseorangan. Ingatlah usia muda hanya datang sekali dan jangan kita sia-siakannya,” katanya.

sumber- Sinar

Wanita ditangkap basah, dakwa sudah diceraikan

isteri orang kena tangkap basah
Wanita tersebut sedang disoal siasat oleh bahagian penguat kuasa JAJ.
KLUANG - Seorang wanita yang menyangka dirinya telah sah diceraikan oleh suaminya kira-kira tiga bulan lalu dicekup berkhalwat dengan seorang lelaki di sebuah rumah di Taman Seri Impian, dekat sini, malam kelmarin.

Pasangan terbabit dicekup Bahagian Penguat kuasa Jabatan Agama Johor (JAJ) daerah Kluang kira-kira jam 5 pagi selepas menerima maklumat berhubung kegiatan maksiat pasangan terbabit.

Pegawai Tadbir Tadbir JAJ daerah Kluang, Mohd Khalil Md Noor berkata, selepas 10 minit pintu rumah diketuk, wanita berusia 27 tahun itu membuka pintu dalam keadaan baru bangun tidur dan kelihatan bersamanya seorang lelaki berusia 26 tahun.

Menurutnya, pemeriksaan dijalankan mendapati pasangan terbabit tidak mempunyai ikatan perkahwinan, manakala wanita yang mengaku dari Sabah itu mendakwa dirinya telah diceraikan kira-kira tiga bulan lalu.

“Namun, setelah semua dokumen tentang perceraian diperiksa, mendapati wanita tersebut masih dalam proses perceraian dan ianya belum diputuskan oleh Mahkamah Syariah lagi,” katanya.

Mohd Khalil berkata, pasangan tersebut juga mengaku sebagai saudara sepupu.

“Walau bagaimanapun mereka tetap didakwa berkhalwat dan akan disiasat di bawah Seksyen 27(1) a&b Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997 yang boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Apa yang menjadi kekeliruan kepada wanita itu adalah hanya berpandukan mesej menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar suaminya dan surat arahan untuk datang ke Mahkamah Syariah bagi menentukan keputusan kes tersebut.

“Tetapi wanita tersebut tidak datang pada hari yang ditetapkan dan mempercayai apa yang dikatakan oleh suaminya itu menyebabkan dia yakin mereka telah bercerai,” katanya.

sumber- Sinar

Liu rela kaki dipotong

Liu Sau
LIU bersama anak bongsunya.
JIANGXI: Seorang wanita yang kaki kanannya membengkak sehingga saiz kaki seekor gajah, menimbang untuk memotongnya kerana tidak mampu menjalani rawatan perubatan.

Liu Sau dipercayai menghadapi masalah limfa yang menyebabkan kakinya membengkak sebesar itu.

Kaki kanannya mula membesar lima tahun lalu selepas melahirkan anak sulungnya. Kakinya itu kini lebih besar daripada pinggang anak bongsunya.

Liu Sau
WANITA malang berkenaan dengan suami dan anak mereka.
Ibu dua anak itu yang berasal dari sebuah kampung di wilayah Jiangxi, timur China, tidak boleh bekerja.

Dia terpaksa bergantung kepada suaminya, Yang Yifa untuk bekerja di ladang dan melakukan tugas rumah walaupun si suami menghidap batuk kering yang teruk.

Meskipun keadaan Liu boleh dirawat, ia dijangka akan berulang. Dia kini merancang mengambil langkah drastik dengan memotong kakinya itu. 

“Mengekalkan kaki ini adalah pilihan terbaik tetapi kami tidak ada pilihan lain,” katanya.

Yang pula berkata: “Kami berharap ada hospital yang boleh memotong kaki isteri saya secara percuma.” 

sumber- TS

Tengkorak disangka bola

tengkorak dijumpai
gambar hiasan
KUALA SELANGOR: Misteri bungkusan plastik yang pada awalnya disangka berisi bola membawa kepada penemuan tengkorak manusia di sebuah kebun buah-buahan di Batu 18, Jeram, di sini, petang kelmarin.

Tengkorak manusia terbabit ditemui sepasang suami isteri yang mengusahakan kebun berkenaan kira-kira jam 5 petang dan segera menghubungi polis sebelum sepasukan anggota dari Balai Polis Jeram bergegas ke tempat kejadian. 

Menurut Zailan Kamaruddin, 48, sewaktu menemui bungkusan itu, dia bersama isteri sedang menebas rumput dan membersihkan semak di sekitar kebunnya. 

Katanya, sewaktu isterinya sedang menebas lalang di celahan pokok pisang, dia menemui satu bungkusan plastik berwarna merah tidak jauh dari tempat isterinya menebas.

sumber- HMetro

Syria rancang alih senjata kimia

Syria rancang alih senjata kimia
Rejim Assad bersama kumpulan saintis menguji senjata kimia itu di kawasan gurun Diraiham berhampiran kampung Khanasir pada akhir bulan lalu.
LONDON - Bekas jeneral Syria yang berpaling tadah, Adnan Sillu mendedahkan Presiden Bashar al-Assad ada merancang untuk memindahkan senjata kimia kepada Hizbullah menerusi wawancara bersama Times of London.

Selain itu, Sillu juga membongkar rancangan kerajaan untuk menggunakan senjata kimia itu ke atas penduduk Syria.

"Kami pernah mengadakan perbincangan serius berhubung penggunaan senjata itu sebagai jalan terakhir jika rejim hilang kawalan di kawasan penting seperti Aleppo," katanya.

Awal minggu ini, akhbar mingguan Der Spiegel di Jerman turut melaporkan Syria telah mula menguji sistem senjata kimia itu di kawasan gurun Diraiham pada akhir bulan lalu.

Menurut laporan tersebut lagi, Assad turut menggunakan kepakaran saintis dari Iran dan Korea Utara untuk melakukan kajian di pusat penyelidikan al-Safir, di mana didakwa sebagai tapak ujian terbesar bagi senjata kimia atau gas beracun itu.  

sumber- Times

Gadis OKU ditolak dari kereta

Gadis OKU ditolak dari kereta
Sara (kiri) ditemani David Chua (dua, kanan) melihat keadaan Sofia (dua, kiri) yang ditinggalkan anggota keluarganya semasa ditemui di Kampung Federal, malam kelmarin.
BAGAN - Siapa lagi yang mahu diharap oleh seorang anak istimewa yang memegang kad pengenalan diri sebagai orang kurang upaya (OKU) selain anggota keluarga sendiri.

Namun dalam satu kejadian yang berlaku di Kampung Cantik di sini, dua hari lalu, remaja malang itu, Sofia (bukan nama sebenar) dikatakan telah ditolak keluar dari kereta dipercayai dilakukan oleh anggota keluarganya sendiri.

Sofia, 29, seorang anak tunggal yang mengalami masalah lembam.

Mujur kejadian yang menimpa gadis yang memegang kad  Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) itu dilihat oleh seorang penduduk kampung.

Saksi kejadian, Sara Che Daud, 54, berkata, dia melihat Sofia terjatuh dipercayai selepas ditolak dari sebuah kereta di jalan masuk ke kampungnya sekitar jam 12.50 tengah hari, Ahad lalu.

Sara ketika itu dalam perjalanan  pulang dari menghadiri  majlis kenduri.

Menurut Sara, dia kemudian mendekati remaja itu.

"Saya cukup terkejut apabila mendapati wanita yang ditolak keluar dari kereta itu ialah Sofia yang mempunyai pertalian saudara dengan ahli keluarga saya.

“Saya terus  menghubungi seorang anggota keluarga untuk mengambilnya,” katanya.

Bimbang sesuatu yang lebih buruk menimpa gadis istimewa itu, mereka kemudian menghubungi Penyelaras Barisan Nasional (BN) Parlimen Bagan, David Chua Teik Siang untuk minta bantuan..

Ditemui di rumah Sara selepas menziarahi Sofia, David  berkata, dia telah melihat keadaan gadis itu semalam dan menghubungi JKM Seberang Perai Utara (SPU) bagi tindakan selanjutnya memandangkan Sofia pemegang kad OKU.

Sementara itu, Pegawai Kebajikan Daerah SPU, Abdul Rahim Mohd Aliff berkata, pihaknya akan ambil Sofia untuk ditempatkan sementara di rumah kebajikan terpilih dan berusaha menjejaki ibu kandungnya bagi bantu menyelesaikan kes penjagaannya.

sumber- Sinar

Lelaki ditangkap selepas membunuh

Lelaki ditangkap selepas membunuh
ANGGOTA polis memeriksa mayat seorang lelaki yang mati akibat ditikam penyamun di Seremban semalam.
SEREMBAN – Perbuatan jahat seorang penjenayah yang bersekongkol dengan dua lagi rakannya menyamun dan membunuh seorang lelaki berbalas apabila dia ditangkap ketika cuba melarikan diri dalam kejadian di lorong belakang sebuah bangunan di Jalan Utam Sigh di sini semalam.

Kejadian pada pukul 5.10 pagi itu berlaku setelah tindakan kejam suspek tersebut disedari oleh seorang pemilik restoran yang terdengar jeritan mangsa. Lelaki yang belum dikenal pasti identitinya itu mati akibat ditikam di dada.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin berkata, kejadian dikatakan berlaku apabila mangsa yang sedang berjalan bersendirian dihampiri tiga penyamun terbabit.

“Mangsa kemudian sempat menjerit sebelum didengari oleh pemilik restoran yang bergegas ke tempat kejadian bersama beberapa orang awam.

“Melihatkan keadaan itu, kesemua suspek melarikan diri mengikut arah berasingan namun salah seorang daripada mereka dapat diberkas kira-kira 100 meter dari tempat kejadian,” katanya.

Tambahnya, suspek berusia lingkungan 40-an itu merupakan warga asing dan polis turut menemui sebatang pemutar skru padanya. Polis sedang menyiasat barangan berharga milik mangsa yang dilarikan suspek.

Menurut Saiful Azly, polis sedang mengesan dua lagi rakannya. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk bedah siasat. Kes bunuh itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

sumber- Kosmo

Pemuda maut disepit mesin

Pemuda maut disepit mesin
ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan Mohd. Hanafi yang tersepit di antara mesin pengangkat struktur landasan dan bongkah LRT yang dalam pembinaan di PPR Kampung Muhibbah, Kuala Lumpur semalam.
KUALA LUMPUR – Rakan-rakan Mohd. Hanafi Abdullah sering tidak kering gusi setiap kali juruteknik itu bergurau dengan menyelitkan lawak yang menggelikan hati.

Mohd. Hanafi, 23, sudah dianggap lebih daripada seorang sahabat oleh rakan sekerja kerana tingkah lakunya yang disenangi ramai.

Bagaimanapun, semua itu hanya tinggal kenangan apabila anak kelahiran Alor Setar, Kedah itu meninggal dunia selepas badannya tersepit di antara mesin pengangkat struktur bongkah yang sedang bergerak dan landasan Transit Aliran Ringan (LRT) yang dalam pembinaan berhampiran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah di Jalan Klang Lama di sini semalam.

Mangsa merupakan pekerja sub kontraktor.

Kejadian yang tidak diduga itu berlaku pada pukul 11.30 pagi ketika mangsa bersama empat lagi rakan setugas sedang melakukan kerja-kerja penyambungan bongkah landasan.

Rakan sekerja mangsa, Mohd. Ammar Abdullah Sidek, 21, memberitahu, sebelum kejadian, mangsa ditugaskan untuk mengawal wayar pada mesin tersebut bagi memastikannya tidak berpintal manakala dia dan dua lagi rakan sedang melakukan kerja masing-masing berdekatan Mohd. Hanafi.

Katanya, tiba-tiba dia terdengar mangsa menjerit sebelum bergegas mematikan suis untuk membantu mengeluarkan mangsa yang dalam keadaan lemah akibat tersepit.

“Sebaik mesin itu dialihkan, mangsa terus jatuh terduduk atas landasan.

“Sebaik didekati, kami lihat rusuk kanannya terdapat kesan lebam teruk. Ketika itu dia masih boleh bercakap tetapi tidak berapa jelas lalu kami memintanya supaya bertenang.

“Bagaimanapun, dia kemudian disahkan meninggal dunia ketika dibawa ke sebuah klinik berhampiran,” ceritanya ketika ditemui di sini.

Seorang lagi rakan mangsa, Ezil Maizan Abdullah, 38, berkata, mangsa bagaikan tahu ajalnya bakal tiba apabila dia menjadi pendiam dan langsung tidak bergurau dengan sesiapa ketika memulakan tugas sejak awal pagi.

“Kami perasan dengan perubahan sikapnya tetapi tidak mengendahkannya sehinggalah kejadian itu berlaku. Sebelum ini, dia memang suka bergurau senda,” katanya.

Tambahnya, dia dan rakan-rakan menganggap Mohd. Hanafi lebih daripada seorang sahabat dan kehilangannya pasti dirasai.

Difahamkan, kerja-kerja pembinaan landasan tersebut dihentikan buat sementara waktu sehingga siasatan oleh Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerja selesai.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail berkata, mangsa hanya dapat diturunkan dari landasan setinggi 15 meter itu 30 minit kemudian.

“Mangsa yang pengsan kemudian dikejarkan ke sebuah klinik berhampiran sebelum dia disahkan meninggal dunia pada pukul 1.30 petang,” katanya.

Projek penyambungan landasan LRT itu adalah salah satu projek dalam pembangunan LRT bernilai RM4.5 bilion.

sumber- Kosmo

70 bomoh halau api tidak berkesan

70 bomoh halau api misteri tidak berkesan
Wan Norfatihah menunjukkan pakaian sekolah yang terbakar akibat api misteri di rumahnya di Kampung Penambang Bunga Emas, Kota Bharu baru-baru ini.
KOTA BHARU - Meskipun sudah menggunakan khidmat 70 orang bomoh dan ribuan ringgit dihabiskan untuk membayar upah mereka, api misteri tetap mengganggu keluarga Zainab Sulaiman di Kampung Penambang Bunga Emas di sini.

Lebih mengejutkan, tidak sampai seminggu api misteri itu mengganggu keluarga itu baru-baru ini, semalam gangguan itu datang lagi ketika Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengunjungi rumah berkenaan bersama isterinya, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak.

Menteri Besar Kelantan itu mengunjungi rumah tersebut dengan tujuan untuk mengadakan solat hajat dan membaca ayat-ayat suci al-Quran bagi memohon Allah supaya menjauhkan keluarga itu daripada api misteri itu.

Malangnya kata Zainab, 75, api berkenaan muncul di dalam sebuah bilik di bahagian belakang rumah ketika Nik Abdul Aziz sedang mengadakan solat hajat di ruang tamu rumah mereka.

Bagaimanapun dalam kejadian kali ini, api tersebut tidak membakar sebarang benda atau peralatan di rumah itu sebaliknya hilang begitu sahaja.

Zainab tetap gembira menerima kunjungan Menteri Besar yang sudi membantu menyelesaikan masalahnya sekeluarga.

"Sudah 70 orang bomoh saya guna untuk hapuskan gangguan ini, duit pula sudah habis ribuan ringgit kami sudah hilang punca untuk menyelesaikannya," ceritanya ketika dihubungi di sini semalam.

Episod serangan api misteri membabitkan sebuah keluarga tersebut bagaikan tiada penghujungnya selepas kali pertama berlaku tiga tahun lalu.

Sepanjang tempoh tersebut, Zainab yang tinggal bersama menantunya, Rafeah Zakaria, 40, dan tiga cucunya, Wan Mohd. Faiz Wan Hanafi, 15, Wan Norfatihah, 14, dan Wan Nurfatini, 12, terus dihantui keresahan kerana serangan tersebut tidak pernah berhenti.

Sepanjang Aidilfitri lalu, keluarga tersebut terpaksa bersengkang mata apabila api misteri berkenaan kembali mengganas dengan serangan antara empat hingga enam kali sehari membakar pelbagai peralatan rumah termasuk pakaian.

sumber- Kosmo

10 gajah liar ancam penduduk

spesis gajah Malaysia
RAMLI (kiri) dan Omar menunjukkan pokok pisang yang musnah akibat dimakan gajah liar di Baling semalam.
BALING – Lebih 40 penduduk di Kampung Rambong Padang, Batu Tujuh, Jalan Pengkalan Hulu di sini terpaksa ‘bercuti’ daripada menoreh getah sejak seminggu lalu kerana bimbang kemunculan sekumpulan gajah liar di kawasan kebun getah mereka.

Dianggarkan 10 ekor gajah liar berada di kawasan itu dan merosakkan hasil tanaman milik penduduk termasuk pisang, kelapa dan pokok getah muda pada waktu malam.

Penduduk mendakwa pada waktu-waktu tertentu gajah liar tersebut berada kira-kira 50 meter sahaja dari rumah mereka.

Seorang penduduk, Ramli Awang Kechik, 39, berkata, dia tidak menoreh sejak seminggu lalu selepas menemui tapak kaki gajah di kawasan kebun getahnya.

“Saya takut untuk pergi menoreh getah kerana bimbang mungkin gajah itu masih berada di sekitar kawasan kebun getah,” katanya.

Kata Ramli, meskipun hilang mata pencarian sejak seminggu lalu, namun dia lebih pentingkan keselamatan diri kerana bimbang diserang gajah tersebut.

“Rata-rata penoreh getah di sini amat takut jika terserempak dengan gajah liar ketika menoreh,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Omar Md. Rejab, 60, berkata, masalah itu tidak sepatutnya dibiarkan berlarutan dan beliau meminta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) segera bertindak menghalau binatang liar itu masuk ke dalam Hutan Simpan Ulu Muda.

Katanya, gajah biasanya masuk ke kawasan kampung itu antara pukul 8.30 hingga 11 malam sebelum memusnahkan hasil tanaman penduduk.

Bukan setakat itu, katanya, seekor lembu peliharaannya hilang sejak empat hari lalu dipercayai lari kerana terkejut selepas terserempak dengan sekumpulan gajah pada waktu petang.

Difahamkan gajah liar itu tinggal di kawasan Hutan Simpan Ulu Muda dan pernah keluar ke kawasan Lenggong dan Kuak, Pengkalan Hulu beberapa tahun lalu.

Abdul Latif Md. Nor, 55, pula berkata, penduduk di situ akhir-akhir ini kerap mendengar bunyi gajah menjerit berhampiran rumah mereka.

sumber- Kosmo

Askar Britain lahirkan anak di medan perang

Askar Britain lahirkan anak di medan perang
SEBUAH kereta perisai meronda kawasan di sekitar Kem Bastion, selatan Afghanistan pada 10 Januari 2007.
LONDON - Seorang anggota tentera Britain melahirkan anak lelaki semasa berkhidmat di sebuah kem tentera tempat Putera Harry ditempatkan di Afghanistan.

Kelahiran di zon perang itu dipercayai kes pertama seumpamanya dalam sejarah tentera Britain.

Askar wanita berkenaan yang merupakan seorang pengendali meriam, melahirkan bayinya pada Selasa lalu di Kem Bastion.

Terletak dalam wilayah Helmand, kem tersebut merupakan pangkalan utama tentera Britain di selatan Afghanistan.

Pangkalan itu diserang hebat oleh kumpulan Taliban pada minggu lalu dengan menyebabkan dua askar Marin Amerika Syarikat (AS) terbunuh manakala enam pesawat pejuang AS turut musnah.

Mengulas kelahiran mengejut itu, Kementerian Pertahanan Britain (MOD) dalam satu kenyataan semalam menyatakan ia tidak menyedari askar tersebut sedang mengandung.

Kenyataan MOD menegaskan bahawa pihaknya tidak akan membenarkan askar wanita dikerahkan ke medan perang sekiranya mereka hamil.

Kenyataan sama enggan mendedahkan sama ada askar tersebut yang tidak didedahkan identitinya menyedari tentang kehamilannya.

"Kedua-dua ibu dan anak berada dalam keadaan baik di hospital tersebut dengan mereka kini diberikan rawatan terbaik," kata kementerian berkenaan.

Menurut kementerian itu lagi, sepasukan doktor akan diterbangkan ke Afghanistan dalam tempoh beberapa hari lagi bagi membantu askar terbabit dan bayinya pulang ke Britain.

Askar wanita berkenaan hamil sebelum dihantar ke medan perang ekoran dia dikerahkan ke Afghanistan pada Mac lalu.

Ditanya tentang insiden tersebut, sebuah badan amal penjagaan kanak-kanak di Britain, National Childbirth Trust menyatakan tugas berat askar terbabit dipercayai menyebabkan dia tidak menyedari atau cuba untuk tidak mengendahkan kehamilannya.

"Askar ini mungkin terlalu fokus pada tugasnya tambahan pula, dia berada dalam situasi hidup mati di zon perang. Ini menyebabkan dia tidak menyedari atau tidak mengendahkan kehamilannya," kata ketua eksekutif badan amal tersebut, Belinda Phipps.

Menurutnya, kehamilan tersebut mungkin tidak disedari oleh askar-askar lain.

"Bukan semua wanita memiliki perut yang besar semasa hamil, sebahagian wanita mempunyai rahim yang jauh ke dalam," tambahnya. 

sumber- AP

Mayat reput dalam tangki air, 337 penghuni saman RM100 juta

Mayat reput dalam tangki air
Sebahagian penduduk Perumahan Taman Sri Titingan memfailkan saman terhadap Presiden Majlis Perbandaran Tawau dan Jurunila & Perunding Hartanah Sabah ekoran penemuan mayat.
TAWAU - Sejumlah 337 penghuni perumahan Taman Titingan di sini hari ini memfailkan tuntutan saman berjumlah RM100 juta terhadap Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT) dan Jurunilai & Perunding Hartanah Sabah (JPHS) atas dakwaan cuai sehingga menyebabkan mayat hampir reput dijumpai di dalam tangki simpanan perumahan berkenaan.

Penduduk yang diwakili peguam Chong Kian Ming, memfailkan saman terhadap MPT sebagai defendan pertama dan JPHS selaku defendan kedua di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Tawau, di sini kira-kira 2.45 petang.

Dalam pernyataan tuntutannya, plaintif mendakwa pada 12 Mei 2012, selepas beberapa kali membuat aduan sejak 30 April 2012 berhubung bau air paip tidak menyenangkan di perumahan itu, seorang daripada pekerja defendan menjumpai mayat hampir reput di dalam satu daripada tangki simpanan air perumahan itu.

Plaintif juga mendakwa sejak 20 April 2012, mereka menyedari perubahan bau air tidak menyenangkan yang dibekalkan kepada mereka dari tangki simpanan berkenaan dan mereka telah meminum serta menggunakan air dari tangki yang dicemari mayat hampir reput itu.

Menurut plaintif, penemuan mayat hampir reput yang tidak diketahui identitinya dan bukan penghuni perumahan itu di dalam satu daripada tangki simpanan perumahan Taman Titingan, adalah disebabkan kecuaian defendan kedua yang merupakan ejen defendan pertama.

Mayat reput dalam tangki air
Kelihatan peguam yang mewakili penduduk, Chong Kian Ming (memegang kertas) menerangkan sesuatu kepada pemberita selepas memfailkan saman mereka di Mahkamah Tinggai Tawau.
Plaintif mendakwa pihak defendan telah melakukan enam kecuaian termasuk membiarkan tangki simpanan berkenaan tidak dikawal sehingga memudahkan sesiapa sahaja memasukinya dan gagal menghalang si mati daripada memasuki kawasan perumahan seterusnya masuk ke dalam satu daripada tangki simpanan di situ.

Plaintif mendakwa pihak defendan telah cuai sehingga gagal mengambil langkah berkesan bagi menghalang sesiapa sahaja daripada memasuki kawasan tangki simpanan air perumahan itu.

Defendan juga didakwa cuai dengan tidak mengambil langkah berkesan sama ada memeriksa dan menjalankan ujian bagi memastikan tidak ada dan tidak akan ada risiko pencemaran apabila plaintif membuat aduan kepada defendan kedua mengenai perubahan bau air berkenaan.

Plaintif mendakwa disebabkan kecuaian defendan berkenaan, mereka telah terminum air tercemar dalam tempoh tertentu dan akibatnya mereka sangat tertekan.

Selain menuntut RM100 juta, plantif juga menuntut supaya semua paip di dalam atau di luar rumah penghuni serta kesemua tangki simpanan air perumahan berkenaan diganti dengan yang baharu.

sumber- Bernama

Bernama akui foto telah diubah

Bernama akui foto telah diubah

KUALA LUMPUR - Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) telah menjalankan siasatan awal berhubung dakwaan satu daripada gambarnya baru-baru ini telah dibega, kata Ketua Pengarangnya Datuk Yong Soo Heong.  

"Siasatan awal mendedahkan kecacatan pada gambar itu dikesan berpunca dari tempat ia telah dihantar," katanya hari ini semasa mengulas sekeping gambar Bernama yang dirakamkan di Pekan Sabtu lepas.

Siasatan lanjut sedang dijalankan untuk menentukan motif individu terbabit dan sama ada wujud elemen sabotaj, kata Soo Heong.

"Kami melihat perkara ini dengan serius dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sesuai terhadap mereka yang bertanggungjawab melakukan perkara tidak bertanggungjawab itu.

sumber- Sinar

Kedutaan AS ditutup 11 pagi ekoran demonstrasi

Kedutaan AS ditutup

KUALA LUMPUR - Kedutaan Amerika Syarikat di sini akan ditutup pada 11 pagi berikutan rancangan demonstrasi di hadapan bangunan kedutaan itu di Jalan Tun Razak.

Menurut kenyataan kedutaan itu hari ini, kedutaan dirancang akan dibuka semula seperti biasa pada Isnin ini.

Bagaimanapun, dalam sebarang situasi kecemasan, warga Amerika Syarikat boleh menghubungi pejabat kedutaan pada bila-bila masa melalui talian 03-2168-5000.

Pergerakan Pemuda Umno dn Dewan Pemuda Pas akan mengadakan perhimpunan berasingan bagi membantah penerbitan dan penyiaran filem anti-Islam Innocence of Muslims dan karikatur mempersendakan Nabi Muhammad SAW di dalam sebuah majalah Perancis Charlie Hebdo.

Perhimpunan Pemuda Umno serta pergerakan sayap pemuda parti komponen Barisan Nasional (BN) dan lebih 10 badan bukan kerajaan (NGO) akan diadakan di pekarangan Masjid Kampung Baru di sini selepas solat Jumaat.

Pada waktu yang sama, Dewan Pemuda Pas pula akan menganjurkan protes di luar pekarangan Kedutaan Amerika Syarikat.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh, ketika melakukan tinjauan mesra di Pasar Seni di sini, berkata, polis telah bersiap sedia menghadapi segala kemungkinan ketika berlangsungnya perhimpunan tersebut.

sumber- Bernama

Ban anggap filem anti-Islam keji dan memalukan

Ban Ki-Moon
Ban Ki-Moon
NEW YORK - Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-Moon (gambar) menyelar filem anti-Islam, Innocence of Muslims yang menyinggung perasaan dan mencetuskan protes di seluruh dunia sebagai keji serta memalukan.

Menyifatkan kebebasan bersuara dan hak berhimpun sebagai sesuatu yang tidak dapat dipisahkan, Ban kelmarin berkata, ia perlu diberi jaminan dan dilindungi apabila digunakan bagi tujuan keadilan serta berniat baik.

"Apabila sesetengah orang menggunakan kebebasan bersuara ini untuk melakukan provokasi atau menghina nilai dan kepercayaan orang lain, maka ia tidak perlu dilindungi dalam apa jua cara sekalipun," kata Ban kepada wartawan di ibu pejabat PBB di sini.

"Walaupun kebebasan bersuara adalah hak asas dan istimewa, ia tidak sepatutnya disalah guna menerusi tindakan yang keji dan memalukan seperti ini."

Filem yang menghina Nabi Muhammad SAW telah mencetuskan protes ganas di seluruh dunia Islam. Ia turut menjadi punca kepada serangan ke atas Konsulat Amerika Syarikat (AS) di Benghazi, Libya dan menyebabkan empat maut termasuk dutanya, Chris Stevens.

Video amatur bajet rendah itu adalah hasil kerja Nakoula Basseley Nakoula yang merupakan seorang penganut Kristian Koptik Mesir. Dia pernah disabit melakukan penipuan ketika menetap di Carlifornia kini sedang menyembunyikan diri. 

sumber- AFP

Ais lautan Artik semakin mencair

Ais lautan Artik semakin mencair
IMEJ satelit yang dikeluarkan oleh Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika Syarikat (NASA) menunjukkan kecairan ais laut yang berlaku di kawasan Artik.
NEW YORK - Sekumpulan pakar kelmarin memberi amaran kecemasan berikutan kesan global akibat kecairan ais di kawasan Artik yang tidak diramal boleh berlaku, termasuklah pelepasan gas metana dari kawasan permafrost yang ketika ini berada di bawah ais.

Universiti Columbia dan kumpulan aktivis alam sekitar Greenpeace mengadakan majlis berasingan bagi membincangkan data kerajaan Amerika Syarikat (AS) yang menunjukkan bahawa ais di lautan Artik telah menyusut kepada permukaan paling kecilnya sejak ia mula direkodkan pada tahun 1979.

Menurut data daripada Pusat Data Salji dan Ais di Boulder, Colorado, imej-imej satelit menunjukkan litupan ais Artik cair kepada 3.4 juta kilometer persegi pada Ahad lalu yang merupakan titik ramalan terendah tahun ini.

"Di antara tahun 1979 dan 2012, kita mengalami penurunan ais laut sebanyak 13 peratus bagi setiap dekad, melonjak daripada kadar enam peratus di antara tahun 1979 hingga 2000," kata pakar oseanografi, Wieslaw Maslowski ketika berucap pada majlis Greenpeace.

"Jika trend ini berterusan kita akan kehilangan ais laut menjelang hujung dekad ini," Maslowski. 

sumber- AFP

Jumlah wanita hamil hidap kanser meningkat

menjaga kehamilan

SYDNEY - Bilangan wanita hamil yang menghidap kanser semakin meningkat sejak beberapa dekad lalu, jelas satu kajian oleh pasukan penyelidik di Australia.

Mereka berpendapat, perkembanganmembimbangkan itu antara lain disebabkan oleh usia ibu hamil yang kian meningkat, selain teknologi mengesan kanser yang lebih baik.

Kajian tersebut disiarkan oleh sebuah jurnal saintifik obstetrik dan ginekologi (BJOG).

Menurut penyelidikan itu, pada tahun 2007, sejumlah 192 daripada 100,000 wanita hamil dan pasca kelahiran diagnosis menghidap kanser berbanding 112 orang daripada 100,000 ibu hamil pada tahun 1994.

"Kanser-kanser yang dikaitkan dengan kehamilan telah meningkat. Sebahagian daripada peningkatan itu disebabkan oleh usia ibu yang semakin tua," kata seorang penyelidik obstetrik, Christine Roberts yang merupakan penyelidik di Universiti Sydney.

Pasukan penyelidikannya mengumpul maklumat daripada tiga pangkalan data kelahiran, kes-kes kanser dan rekod kemasukan ke hospital di New South Wales.

Data berkenaan termasuklah kira-kira 780,000 wanita yang melahirkan anak lebih daripada 1.3 juta kali di antara tahun 1994 dan 2008.

Sepanjang tempoh sama, terdapat sekitar 1,800 kanser baharu dikesan dalam kalangan ibu mengandung. 

sumber- Reuters

Kubur batu kapur lebih 1,000 tahun

Kubur batu kapur lebih 1,000 tahun
SEBUAH kubur kuno yang ditemui di puncak Gunung Kamhantik di Filipina pada 26 Februari tahun lalu.
MANILA - Sepasukan ahli arkeologi menemui tinggalan sebuah kampung purba di puncak sebuah gunung yang dilitupi hutan di Flipina bersama beberapa keranda batu kapur yang belum pernah ditemui di negara Asia Tenggara berkenaan, kata seorang pegawai semalam.

Pegawai Muzium Nasional, Eusebio Dizon berkata, kampung tersebut terletak di kawasan seluas lima hektar di atas Gunung Kamhantik dekat bandar Mualanay di wilayah Quezon.

Menurut Dizon, tinggalan bersejarah itu berusia sekurang-kurangnya 1,000 tahun.

Usia itu, katanya, adalah berdasarkan teknik pengiraan usia karbon ke atas sebatang gigi manusia yang ditemui di dalam satu daripada 15 kubur batu kapur tersebut.

Penemuan beberapa kubur segi empat tepat itu penting kerana artifak tersebut menjadi bukti masyarakat Filipina ketika itu mengamalkan upacara pengebumian yang lebih canggih berbanding tanggapan sebelum ini.

Mereka juga menggunakan peralatan diperbuat daripada logam untuk menghasilkan keranda batu kapur berkenaan.

Beberapa penemuan lalu menunjukkan masyarakat Filipina pada era tersebut menggunakan keranda kayu, keranda tanah liat dan balang untuk menyimpan mayat manusia di beberapa bahagian di negara itu. 

sumber- AP

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...