Selamat Datang Ke blog-ketegaq.blogspot.com

Blog terbaik yang menyediakan pelbagai cerita dan artikel menarik dari seluruh dunia. Like kami di facebook tanda sokongan anda dan untuk mendapat update artikel terkini dari kami.

Isu Semasa

Artikel-artikel terkini mengenai isu semasa dalam dan luar negara. Segalanya dari sumber-sumber yang boleh dipercayai.

Pelik

Segala fakta dan artikel mengenai perkara-perkara yang pelik boleh diperolehi di sini. Semua artikel adalah berdasarkan sumber dan kesahihannya anda sendiri tentukan.

Herba Dan Botani

Artikel mengenai tumbuh-tumbuhan yang digunakan untuk perubatan dan penjagaan kesihatan.

Alam Ghaib

Himpunan artikel mengenai alam ghaib yang sukar diperjelaskan dengan mata kasar. Admin mengalukan sumbangan artikel, gambar-gambar atau video untuk dikongsi bersama dalam blog ini.

Sunday, September 23, 2012

Lapangan Terbang Antarabangsa P Ramlee

Allayarham Tan Sri P. Ramlee
Allayarham Tan Sri P. Ramlee
SHAH ALAM – Kerajaan Pulau Pinang mencadangkan agar Kerajaan Persekutuan menamakan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang sebagai Lapangan Terbang Antarabangsa P. Ramlee bagi mengenang jasa seniman terunggul itu.

“Pulau Pinang amat bangga bahawa Allayarham Tan Sri P. Ramlee adalah anak negeri Pulau Pinang yang dibesarkan dan belajar di sini,” kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, masih ada ramai yang tidak tahu bahawa P. Ramlee berasal dari Pulau Pinang.

Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang juga dikenali sebagai Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas. Ia dibuka pada 1935.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, memandangkan beliau dikenali umum di peringkat antarabangsa, adalah wajar nama beliau terukir di peringkat antarabangsa seperti lapangan terbang yang berhubung kait dengan pentas dunia.

Pada masa yang sama, ujarnya, keadaan kerja semasa membesarkan Lapangan Terbang Antarabangsa sebanyak RM250 juta di luar atau di dalam agak kurang memuaskan dengan kebocoron air hujan, kualiti kerja kurang baik dalam banyak aspek, kelambatan siap kerja dan pengurusan kerja yang mengganggu penumpang-penumpang.

“Terlalu banyak aduan diterima bukan sahaja daripada penumpang tetapi juga daripada pekerja-pekerja dalam lapangan terbang tersebut,” ujarnya.

Justeru, kata Guan Eng, beliau juga berharap Kerajaan Persektuan boleh menjalankan semakan setiap minggu untuk mengenal pasti masalah tersebut yang timbul agar ia tidak ditutup begitu sahaja.

“Kebimbangan semua pihak adalah bahawa Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang P. Ramlee ini akan menjadi suatu lapangan terbang bermasalah sebaik ia siap kelak,” katanya.

sumber- Sinar

Gempar! Anak kahwin bapa sendiri tanpa sedar

Valerie Spruill
Valerie Spruill
OHIO - Gempar! Ujian DNA yang dijalankan ke atas sebatang berus gigi akhirnya mendedahkan satu rahsia ‘gelap’ hubungan anak dan bapa.

Pendedahan itu hampir meragut nyawa, memusnahkan hubungan institusi kekeluargaan dan meruntuhkan iman.

Kisah benar ini terbongkar selepas kematian suaminya yang merungkai siapa sebenarnya suami ataupun bapa kepada seorang wanita, Valerie Spruill.

Bagi Spruill, apa yang berlaku adalah tidak masuk akal dan tidak menyangka dia telah mengahwini ‘bapanya’ yang tidak pernah dikenali seumur hidupnya.

“Perkara ini sangat buruk dan boleh memusnahkan hidup seseorang. Malah ia hampir musnah,” katanya ketika dihubungi wartawan CNN, Khamis lalu.

Kisah peribadi Spruill, 60, wanita yang berasal dari Doylestown, Ohio mula diterbitkan bulan ini dalam Akron Beacon Journal dengan tujuan dapat membantu orang lain yang menghadapi masalah sama dan diambil iktibar.

Ia adalah sebuah kisah yang menimbulkan persoalan tentang bagaimana perkara itu berlaku dan mampu menarik perhatian orang jauh termasuk di India dan Australia.

Persoalan yang sama terbit di hati Spruill sendiri sehingga dia terpaksa bergelut dengan kebenaran semenjak dia mengetahui kebenarannya pada 2004 iaitu enam tahun selepas suaminya, Percy Spruill meninggal dunia.

“Saya tidak tahu sama ada dia tahu atau tidak kerana perbincangan mengenai perkara itu tidak pernah timbul.

“Saya rasa, kalau dia tahu pun, dia semestinya tidak akan memberitahu saya,” ujarnya kesal.

Spruill sebelum ini telah mengesahkan DNA yang ditemui pada berus gigi suaminya.

Sebaik mengetahui kebenaran itu, Spruill berhadapan dengan tekanan emosi dan fizikal yang teruk sehingga diserang strok dua kali dan telah didiagnosis mendapat diabetes.

“Sakit dan tekanan akan membunuh diri saya tetapi saya terpaksa melepaskan tekanan ini.

“Saya hanya memberitahu cerita untuk melepaskan kesakitan saya,” kata Spruill.

Bagaimanapun, Spruill percaya Tuhan sedang mengujinya kerana melalui pengalaman ini telah membentuk hidupnya.

Bercerita mengenai detik perkenalan pasangan itu, Spruill berkata, dia bertemu suaminya di Akron dan menetap di Doylestown, sebuah pinggir bandar untuk golongan pekerja yang terletak kira-kira 2.3 kilometer dari pusat bandar New York.

Itu adalah perkahwinannya yang kedua. Spruill digambarkan sebagai seorang suami yang baik dan tidak lokek. Dia juga dikatakan memberi layanan yang baik terhadap ‘anak-anak tirinya’.

“Kami mempunyai kehidupan yang baik,” katanya.

Pada mulanya, dia terpaksa berhadapan dengan kemarahan dan membenci suaminya atas apa yang berlaku.

Namun, melalui proses terapi dia akhirnya mulai menerima apa yang berlaku bukan disebabkan oleh dirinya sebaliknya, semua itu ialah ketentuan takdir.

Kebelakangan ini, dia turut dihubungi beberapa pasangan yang senasib dengannya.

Mereka memberitahu Spruill, kisahnya itu menjadi teladan kepada mereka untuk menguruskan kisah masing-masing.

“Mereka cuba berkawan dengan saya sekarang,” katanya.

Sementara yang lain, masih sukar dan kurang mesra.

“Ada yang berpendapat, ‘apa yang rahsia, biarlah rahsia’.

“Saya tidak boleh berbuat apa-apa tentang pendapat mereka itu. Saya hanya tahu apa yang saya fikirkan.

“Tuhan Maha Berkuasa dan Dia telah mengajar kita untuk berkata benar walau dalam situasi apa pun,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Spruill mengakui, tidak ramai di antara mereka yang berkata benar dan dia telah mempelajarinya daripada pengalaman sejak dari kecil.

Mengimbau kisah lalu, ibu Spruill telah hamil masih remaja ketika berpacaran dengan bapanya yang ketika itu berusia 15 tahun.

Selepas dilahirkan, Spruill yang baru berusia tiga bulan telah diserahkan ibunya untuk dijaga oleh datuk dan neneknya, di mana selama ini dia menganggap sebagai orang tua kandungnya.

Ketika berusia lapan atau sembilan tahun, barulah Spruill mengetahui bahawa wanita yang sering datang menziarahinya itu ialah ibu kandungnya yang sebenar dan bukannya kawan keluarganya seperi yang didakwa sebelum ini.

Namun, tidak ada sesiapa pernah membicarakan mengenai siapa bapa kandungnya sebelum ini.

Kini, tiada siapa yang tinggal untuk memberikan Spruill jawapan mengenai suaminya itu. Ibunya, Christine meninggal dunia pada 1984 manakala kedua orang datuk dan neneknya pula telah lama meninggal dunia.

Sebelum ini, Spruill telah mengetahui ibunya bekerja sebagai pelacur dan pernah ditahan pada 1980 kerana terlibat skandal rasuah berprofil tinggi melibatkan James Barbuto, seorang hakim yang disabitkan bersalah kerana mengugut dan memaksa melakukan seks kasar ke atas seorang kerani mahkamah di pejabatnya.

“Ibu telah mencurahkan seluruh kasih sayangnya kepada saya. Walau apa pun yang telah berlaku, saya tidak akan pernah menyesal ataupun merungut,” katanya.

Bagaimanapun, dia percaya, dia masih mempunyai adik beradik kandung dan tiri dari suaminya, termasuk di sebelah ibunya.

Katanya, dia ingin mencari mereka dan memberitahu bahawa mereka tidak keseorangan.

Kini, Spruill bahagia bersama tiga orang cahaya mata dan lapan orang cucu.

Dia sebelum ini terpaksa berhadapan dilema untuk memberitahu anak-anaknya bahawa lelaki yang menjadi bapa tiri  mereka itu sebenarnya adalah datuk mereka sendiri.

Spruill yang sebelum ini terpaksa mendapatkan sokongan dari pakar terapi, "bantu saya untuk memberitahu anak-anak saya,” katanya.

“Saya telah memaklumkan kepada mereka dua tahun lalu dan mereka benar-benar terkejut mengenai perkara itu. Namun, penerimaan mereka jauh lebih baik berbanding saya.”

Beberapa hari sebelum rahsia ini diketahui umum, Spruill memberitahu cucu-cucunya.

"Mereka benar-benar menyokong saya. "Mereka juga kata mereka tetap sayangkan saya dan perlu beritahu apa yang diperlukan oleh saya,” jelasnya lagi.

Semenjak bersara dari jabatan perakaunan Goodyear di mana beliau telah bertugas selama 34 tahun, dia mengisi masa lapangnya dengan menulis kisah hidupnya dan berharap dapat menerbitkannya kelak.

"Saya bersyukur kepada tuhan kerana diberi peluang untuk melalui kehidupan ini.

"Ia juga merupakan satu keajaiban kerana saya masih di sini dan saya mahu orang lain tahu, jika mereka turut melalui pengalaman seperti saya, mereka tetap boleh meneruskan kehidupan," katanya lagi.

sumber- CNN

Trauma diacu parang

Siti Khatijah Ahmad
Siti Khatijah melakonkan semula situasi kakaknya yang diikat dan diselubung dengan selimut semasa rompakan berlaku.
BENTONG - Dua beradik warga emas berdepan saat mencemaskan apabila rumah mereka di Simpang Chamang, dekat sini, dimasuki tiga perompak, kira-kira jam 9.30 malam, kelmarin.

Ketika kejadian, Sainiah Ahmad, 80, sedang menonton televisyen di dalam bilik tidur manakala adiknya, Siti Khatijah Ahmad, 60, sedang berbaring di ruang tamu.

Siti Khatijah berkata, semasa berbaring dia terdengar bunyi bising di bahagian dapur, namun menyangka anak saudaranya datang.

Bagaimanapun katanya, dia terkejut kerana yang muncul ketika itu ialah tiga lelaki dan dua daripadanya bersenjatakan parang.

“Dua lelaki itu terus masuk ke dalam bilik kakak saya dan mengarahkan kakak menyerahkan barangan berharga.

“Dalam masa sama saya juga turut diminta masuk ke dalam bilik sebelum kami berdua diikat,” katanya kepada Sinar Harian.

Siti Khatijah berkata, tangannya diikat ke belakang dan mulut ditutup dengan plaster, manakala kakaknya pula diikat tangan di bahagian depan dan bahagian kaki kemudian diselubung dengan selimut.

Jerit minta tolong

Selepas kira-kira 15 minit menggeledah bilik tidur, Siti Khatijah berkata, ketiga perompak itu berlalu pergi meninggalkan mereka berdua dalam keadaan terikat di atas katil.

Menurutnya, selepas menyedari keadaan selamat, kakaknya mengambil gunting dan terus mengunting ikatan tali di bahagian tangannya.

“Saya kemudian terus ke ruang tamu menelefon saudara mara terdekat, namun hampa kerana talian telefon sudah diputuskan perompak terbabit.

“Selepas itu saya jerit minta tolong dan nasib baik jiran sebelah dengar,” katanya.

Siti Khatijah berkata, jirannya membantu menghubungi ahli keluarga terdekat dan polis bagi memaklumkan kejadian itu.

Ugut bunuh

Sementara itu, Sainiah berkata, perompak terbabit mengacukan parang beberapa kali ke bahagian dadanya sambil mengugut akan membunuhnya sekiranya tidak menyerahkan barang berharga.

Katanya, salah seorang perompak sempat memberitahu mereka sudah lama memerhatikan rumahnya.

“Sehingga kini kami berdua masih trauma dengan apa yang berlaku. Kalau ingat kejadian itu saya akan berasa sesak nafas.

“Namun saya bersyukur kerana kami berdua selamat walaupun hilang barang kemas dan sejumlah wang tunai lebih kurang RM2,000 serta sebuah telefon bimbit,” katanya.

Terkejut terima panggilan jiran

Anak Sainiah, Amiruddin Ahmad, 55, berkata, dia terkejut menerima panggilan telefon daripada jiran ibunya memaklumkan kejadian yang berlaku.

Menurutnya, dia bergegas ke rumah ibunya dan mendapati perompak terbabit masuk selepas mengumpil pintu di bahagian tepi rumah.

“Setiap malam, memang rutin harian saya datang menemani emak dan ibu saudara tidur di rumah ini. Namun pada hari ini (malam kelmarin) saya terlewat sedikit,” katanya.

Amiruddin berkata, dia tidak menyangka kejadian itu berlaku kerana perompak berkenaan seolah-olah sudah membuat pemerhatian sebelum menyamun rumah ibunya.

Polis jalankan siasatan

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Abdul Aziz Salleh, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Menurutnya, pihaknya sedang menjalankan siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan iaitu samun berkumpulan dan bersenjata.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bilut, Datuk Hoh Khai Mun yang melawat keluarga mangsa menasihatkan penduduk supaya peka dengan keadaan persekitaran termasuk kehadiran individu mencurigakan di sekitar kawasan rumah.

Menurutnya, masalah kecurian dan pecah rumah biasanya berlaku di luar jangkaan menyebabkan penduduk perlu lebih berhati-hati pada masa akan datang.

sumber- Sinar

Penyelam maut terkena kipas bot

harga enjin bot baru untuk dijual
gambar hiasan
KUANTAN - Seorang penyelam maut selepas kepalanya terkena bilah kipas sebuah bot di perairan Pahang dekat Jeti Nenasi, Pekan pagi tadi.
   
Mangsa, Lim Yu Leng, 60, berasal dari Petaling Jaya, Selangor mati di lokasi kejadian akibat kecederaan parah yang dialaminya.
   
Ketua Polis Daerah Pekan, Supt Yahaya Othman berkata, dalam kejadian 7.15 pagi itu tujuh penyelam termasuk mangsa menaiki sebuah bot pergi ke kawasan berkenaan.
   
"Sampai di lokasi kejadian kira-kira 10.30 pagi, lima daripada mereka telah turun ke dalam air untuk menjalankan aktiviti selaman di situ.
   
"Lebih kurang 45 minit kemudian, salah seorang rakannya, Wan Heng Nin, 67, juga dari Selangor telah menghidupkan enjin serta menggerakkan bot untuk mengambil semua penyelam.

"Tanpa disedari, kepala mangsa telah terkena bilah kipas bot itu sehingga menyebabkan kecederaan parah," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
   
Yahaya berkata mangsa yang cedera teruk itu kemudiannya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
   
Katanya, mayat mangsa kemudiannya di bawa ke jeti berhampiran sebelum dihantar ke Hospital Pekan untuk bedah siasat.
   
"Polis masih menjalankan siasatan secara terperinci berhubung kejadian terbabit," katanya. 

sumber- Bernama

Datuk tiri mencabuli budak sembilan tahun


JERANTUT - "Harapkan pagar, pagar makan padi" seorang lelaki warga Indonesia ditahan selepas dipercayai mencabul cucu tirinya yang berusia sembilan tahun.

Kejadian cabul itu berlaku di rumah nenek mangsa dekat Felda Sungai Tekam di sini.

Menurut Ketua Polis daerah Jerantut, Supt Azid Ismail kejadian tersebut dimaklumkan abang mangsa yang berusia 12 tahun kepada ibunya, 32, yang pulang ke rumah berkenaan sebelum laporan polis dibuat semalam.

"Kedua-dua beradik itu menetap bersama neneknya di sini, manakala ibunya pula bekerja di Kelantan. Kejadian dipercayai berlaku sejak Jun lepas," katanya di sini hari ini.

Azid berkata suspek berusia 40-an bekerja sebagai penoreh getah dan berkahwin dengan nenek mangsa, berusia 50-an sejak 13 tahun lepas.

Katanya suspek ditahan polis 3 petang semalam di rumahnya dan kini ditahan reman di lokap Ibu Pejabat Polis daerah Jerantut selama empat hari bagi membantu siasatan.

sumber- Bernama

Selamatkan diri guna baldi tutup muka, kepala

Keadaan bengkel besi di Jalan Pantai yang terbakar
Keadaan bengkel besi di Jalan Pantai yang terbakar
PANTAI - "Saya terpaksa menutup muka dan kepala dengan baldi untuk keluar dari kawasan bengkel sebab takut terkena api," kata seorang pekerja bengkel besi yang terselamat dalam kebakaran kira-kira jam 12 tengahari, semalam.

Mohd Al-Hafiz Baharuddin, 23, berkata, ketika itu,  dia berada di dalam tandas.

Menurutnya, dia tidak tahu bagaimana bengkel boleh terbakar dan semasa keluar dari tandas, dia lihat api sudah menjulang tinggi.

“Selepas itu, saya berlari keluar untuk mendapatkan bantuan orang ramai sebelum menelefon pihak bomba dan bos saya,” katanya.

Sementara itu, pemilik bengkel besi itu, Mohd Razali Sharudin, 33, berkata, ketika kejadian, dia keluar untuk membeli barang dan mengetahuinya selepas dimaklumkan pekerjanya semasa dalam perjalanan pulang ke bengkel.

"Semasa tiba di bengkel, api sudah padam dan ketika kejadian hanya seorang  pekerja saya berada di bengkel.

"Semua mesin dan besi yang ada di dalam bengkel terbakar dan tidak ada apa dapat diselamatkan,” katanya.

Katanya, bengkel itu dibuka sejak awal 2011 dan kejadian  tersebut adalah yang pertama dialaminya.

"Anggaran kerugian yang dialami sekitar RM7,000 hingga RM8,000," katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba Jalan Rahang, Mustaza Sairan berkata, sebanyak dua jentera bomba dikejarkan ke tempat kejadian.

“Semasa jentera pertama sampai, api sudah hampir padam dan hanya tinggal bara sahaja. Kita memadamkan sisa-sisa bara bagi mengelakkan kerosakan lebih teruk.

“Siasatan awal tidak menolak putung rokok yang diletakkan di atas meja atau kerusi yang menjadi punca kebakaran," katanya.

Katanya, walau bagaimanapun, pihaknya perlu menunggu laporan penuh Unit Forensik dan Siasatan Jabatan Bomba untuk mengesahkannya.

sumber- Sinar

Awek Kulim lari bersama kekasih

borang tukar sekolah
Borang pertukaran sekolah yang di palsukan oleh remaja perempuan.
KULIM - Polis menahan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang masih bersekolah bersama kekasihnya 16 tahun di sebuah taman permainan di sini, kerana cuba melarikan diri dari rumah kira-kira jam 5 petang kelmarin.

Remaja perempuan itu dilihat duduk di atas motosikal Honda EX5 milik kekasihnya dengan sebuah beg.

Melihatkan keadaan mereka yang mencurigakan, polis dari Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ), Balai Polis Kulim terus mendekati pasangan itu.

Mereka kemudiannya dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.

Ketika pemeriksaan dijalankan, polis menemui surat pertukaran sekolah palsu yang diisi oleh pelajar perempuan itu sendiri.

Polis turut menemui telefon bimbit dipercayai milik ibu pelajar perempuan itu.

Telefon itu akan digunakan untuk memberi pengesahan kepada pihak sekolah, sekiranya mahu mendapat pengesahan ibu pelajar perempuan itu tentang permohonan pertukaran sekolah.

Dalam keterangan dibuat, pelajar perempuan mengenali kekasihnya sejak lima hari lalu dan mengambil keputusan untuk melarikan diri bersamanya.

Untuk memastikan masalah itu tidak berlanjutan, polis mengambil tindakan menghubungi waris kedua-dua remaja terlibat.

Dari semakan nombor kad pengenalan dibuat, polis mendapati pasangan lelaki mempunyai rekod kes cabul seorang pelajar perempuan.

Waris pelajar perempuan menyatakan sejak kebelakangan ini mereka sering kehilangan duit dan mengambil keputusan untuk menyerahkannya kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk ditempatkan di rumah perlindungan.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, masalah sosial dalam kalangan remaja hari ini semakin membimbangkan.

“Ibu bapa harus tegas terhadap anak-anak dan jangan terlalu menyebelahi mereka,” katanya.

sumber- Sinar

Janin dalam kain batik kuning

janin manusia
Anggota forensik polis sedang menjalankan kerja siasatan.
ALOR SETAR - Seorang pekerja kontraktor terkejut apabila menemui satu objek yang dipercayai janin dibungkus menggunakan kain batik berwarna kuning di bawah rimbunan pokok di Jalan Lumba Kuda, semalam.

Saksi, Ahmad Mugul Ahmad, 33, berkata, bungkusan itu ditemui kira-kira jam 9.30 pagi sewaktu dia bersama rakannya sedang melakukan kerja pengorekan bertujuan memasang pagar di kawasan terbabit.

Ahmad yang berasal dari Myanmar mendakwa, pada awal objek sebesar tapak tangan itu ditemui ia menyangka objek berkenaan adalah anak patung.

jumpa janin
Pegawai polis bertugas membawa bungkusan berisi objek dipercayai janin berkenaan.
Menurutnya, setelah menghampiri objek terbabit, dia terkejut apabila objek itu masih dalam keadaan lembik.

“Saya juga terlihat objek seakan-akan kaki dan mengambil keputusan untuk menanam semula bungkusan berkenaan kerana pada waktu itu saya masih berada dalam keadaan terkejut.

“Namun, setelah memaklumkan kepada ketua, dia mengarahkan supaya saya mengorek semula dan memaklumkan kepada pihak polis,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan berkata, pihaknya sudah menerima aduan berhubung kejadian berkenaan kira-kira jam 10.30 pagi.

Adzaman berkata, hasil siasatan awal forensik masih belum dapat menentukan objek terbabit adalah janin atau tidak.

Katanya, siasatan juga mendapati terdapat serpihan kulit telur dan tulang kecil di dalam balutan kain batik berkenaan.

“Penemuan barang di dalam balutan kain yang ditemui itu dilihat menjurus kepada aktiviti pemujaan.

“Objek terbabit akan dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah untuk dibedah siasat,” katanya.

sumber- Sinar

Bangunan lama usang serta menyeramkan

Bangunan lama usang serta menyeramkan
Bangunan Mahkamah Majistret lama semakin usang dan terbiar.
ALOR  GAJAH - Tindakan  mat gian dan kaki botol menjadikan sebuah bangunan lama berusia lebih 70 tahun sebagai port mereka, mengundang persepsi negatif pelancong luar yang datang ke daerah ini.

Bangunan usang yang terletak di tepi jalan itu turut mengundang keresahan penduduk sekitar apabila pernah menggemparkan kawasan sekitar dengan penemuan mayat dipercayai kaki botol. 

Tinjauan di kawasan berkenaan mendapati, struktur bangunan yang dibina pada 1925 itu tetap teguh, malah masih boleh digunakan jika usaha pengubahsuaian dilakukan.

Difahamkan, pengunjung yang datang dari luar negeri ini sering bertanya mengapa bangunan pentadbiran mahkamah lama yang kukuh berdiri itu kelihatan usang tanpa dimanfaatkan.

Pengunjung, Fatimah Miskon, 47, berkata, dia yang kebetulan melalui bangunan berkenaan untuk ke pekan Alor Gajah dan mendapati bangunan berkenaan menyakitkan mata. 

Menurutnya, dia difahamkan bangunan itu menjadi 'port’ persinggahan kaki botol serta penagih dadah melepaskan gian.

“Saya sempat bertanya beberapa penduduk di sini semasa makan malam di sebuah restoran makanan segera. Rata-rata mereka memberi jawapan lebih kurang sama iaitu bimbang dengan keadaan bangunan usang ini,” katanya.

"Sebab itu perlu dilakukan sesuatu agar bangunan itu tidak terus terbiar serta menyakitkan mata pengunjung asing yang datang ke negeri ini,” katanya di sini, semalam.

Pekerja swasta, A.Rendra, 36, berkata, dia hairan kerana tiada sebarang perancangan dilakukan terhadap bangunan tersebut yang kelihatan seperti 'batu hidup' di tengah bandar.

“Bagi saya, daripada ia dibiarkan begitu sahaja, lebih baik dirobohkan ataupun diselenggara dengan sempurna supaya keadaan luaran serta dalaman bangunan tersebut bersih dan cantik.

“Saya tidak pasti sama ada bangunan itu milik Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) ataupun Pejabat Daerah. Tapi yang saya pasti hingga kini bangunan itu masih terbiar dan menyeramkan.

“Apa pandangan orang luar yang kali pertama datang ke sini bila melihat bangunan yang jadi sarang mat gian dan juga kaki botol?,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Kamaruddin Md Shah menjelaskan, bangunan tersebut adalah di bawah bidang kuasa Pejabat Daerah Alor Gajah (PDAG).

"MPAG ada mengeluarkan notis kepada pihak PDAG bagi tujuan pembersihan bangunan tinggal itu dan notis merobohkan bangunan akan dikeluarkan kemudian,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Pegawai Daerah Alor Gajah, Datuk Idrus Md Jani ketika dihubungi berkata, kerja merobohkan bangunaan berkenaan akan dilaksanakan bersama MPAG dalam masa terdekat.

sumber- Sinar

Dua buruh maut jambatan runtuh

jambatan di Korea
Anggota polis menyiasat lokasi jambatan runtuh yang merentasi Sungai Imjin di bandar Paju, utara Seoul, Korea Selatan, semalam. - AFP
SEOUL 22 Sept. - Dua buruh binaan maut, manakala 12 yang lain cedera apabila sebahagian daripada jambatan yang sedang dibina runtuh secara tiba-tiba di bandar Paju, di sini hari ini.

Agensi berita Yonhap melaporkan, struktur sepanjang 55 meter daripada 539 meter panjang jambatan tersebut yang merentasi Sungai Imjin runtuh, menyebabkan beberapa buruh jatuh dari ketinggian 15 meter ke dalam longgokan batu kelikir dan lumpur.

Kesemua buruh yang cedera dihantar ke hospital dan dilaporkan dalam keadaan parah.

Sementara itu, polis menjalankan siasatan bagi mencari punca kejadian. 

sumber- AGENSI

Bahaya jemputan Majlis Hari Jadi di Facebook

facebook birthday party

AMSTERDAM: Polis antirusuhan terpaksa dipanggil untuk menyuraikan remaja yang bertindak ganas di bandar Haren, semalam.

Keganasan meletus selepas beribu-ribu remaja berkumpul untuk menghadiri jemputan majlis hari jadi yang dimuatnaikkan dalam laman Facebook.

Menurut laporan, enam orang cedera, termasuk tiga parah selepas kekacauan berlaku.

Beberapa kedai dijarah, kereta dibakar dan tanda jalan dirosakkan sebelum polis bertindak menyuraikan remaja berkenaan dan menangkap 20 orang.

Media Belanda melaporkan, kira-kira 30,000 remaja menerima jemputan menerusi Facebook daripada seorang gadis untuk meraikan ulang tahun kelahirannya yang ke-16.

Majlis itu sepatutnya diadakan secara kecil-kecilan tetapi gadis berkenaan tidak menetapkan acara itu kepada ‘peribadi’ dalam laman Facebooknya, menyebabkan ia tersebar secara meluas.

Kira-kira 3,000 remaja hadir ke majlis di bandar yang mempunyai 18,000 penduduk itu. 

sumber- Reuters

Penggodam Arab serang laman web Barat, bantah filem anti-Islam

Arab Electronic Army

RIYADH: Penggodam dari beberapa negara Arab yang menggelar diri mereka ‘Tentera Elektronik Arab’ menyerang beberapa laman web Barat, semalam kerana membantah filem anti-Islam, ‘Innocence of Muslims.’

Seorang penggodam dari Maghribi, Ridouan, memberitahu wartawan Al-Arabiya, tindakan itu dilakukan untuk membela Nabi Muhammad (SAW) dan Islam. 
“Penggodaman itu ialah tindak balas terhadap penghinaan ke atas Rasulullah (SAW),” katanya. 

Menurutnya, dia mendapat sokongan daripada penggodam muda Muslim, termasuk rakan senegara, Abdel Hak, Wesker Hacker dari dari Arab Saudi, Alaa dan Khaled dari Syria.

Penggodam berkenaan memasukkan ayat suci Al-Quran dan video berjudul ‘Kebenaran mutlak mengenai Muhammad (SAW)’ pada laman yang mereka godam. 

sumber- Agensi

Dipecat kerana senyuman

Yang Dacai

SHAANXI: Kerana tersenyum di tempat kemalangan sebuah bas yang meragut 36 nyawa, seorang pegawai keselamatan dipecat.

Pegawai wilayah Shaanxi berkata, mereka bertindak memecat Yang Dacai atas tuduhan salah laku selepas gambar menunjukkan dia tersenyum ketika melawat kawasan kemalangan di Yan’an, tersebar di Internet.

Menurut mereka, gambar yang dirakam pada 26 Ogos itu menunjukkan Yang tidak mempunyai perasaan simpati terhadap mangsa.

Gambar itu turut mencetuskan kemarahan orang ramai.

“Saya begitu sedih apabila tiba di tempat kejadian. Pegawai bawahan saya kelihatan gementar ketika meyampaikan butir kejadian kepada saya.

“ Saya cuba mententeramkan mereka dan ketika cuba berbuat demikian, saya tersenyum,” katanya, cuba membela diri. 

sumber- DM

Ular peliharaan terbesar di dunia

ular paling besar di dunia
SEORANG model bergambar bersama Medusa di Edge of Hall, Kansas City.
KANSAS: Beratnya lebih 136 kilogram, panjang 7.62 meter dan memerlukan sekurang-kurangnya 15 orang untuk mengangkatnya.

Medusa kini diiktiraf oleh Buku Rekod Dunia Guiness sebagai ular peliharaan terbesar di dunia.

Ular sawa itu yang dipelihara di Edge of Hall di Kansas City, memakan 18 kilogram haiwan kira-kira seminggu.

Bagaimanapun, ia dengan mudah boleh memakan lebih 454 kilogram makanan.

Makanan utamanya terdiri daripada arnab, rusa dan haiwan lain yang diberikan kepadanya setiap dua minggu.

Petugas berkata, Medusa ialah pemakan yang cuai kerana seringkali tergigit dirinya ketika makan. 

Wakil Buku Rekod Dunia Guinness mengesahkan ular sawa itu akan dimasukkan ke dalam buku berkenaan tahun depan. 

Pemiliknya, Larry Elgar berkata, dia tidak takut dengan ular berkenaan.

“Tidak boleh dinafikan ia boleh memakan manusia. Tetapi saya tidak takut. Saya pernah dibelit hingga pengsan oleh seekor ular sawa rendam sepanjang 5.5 meter.

“Saya sedar bahaya yang saya hadapi tetapi itu bukan alasan untuk takut,” kata Edgar.

Menurutnya, dia membeli Medusa ketika haiwan itu masih kecil lapan tahun lalu.

“Ketika itu, ia hanya 0.6 meter pannjang dan segemuk jari saya saja,” katanya. 

sumber- DM

Buruh panik maut jatuh bangunan

Pangsapuri Taman Tasik Utama, Ayer Keroh
Anggota penguat kuasa melihat Mathoseh yang terjatuh dari tingkat lima Pangsapuri Taman Tasik Utama, Ayer Keroh kelmarin.
MELAKA - Seorang buruh binaan dari Indonesia maut selepas terjatuh dari tingkat lima pangsapuri yang didiaminya di Ayer Keroh di sini ketika cuba mengelak serbuan anggota penguat kuasa Jabatan Imigresen dalam kejadian pada pukul 11.50 malam kelmarin.

Dikenali sebagai Mathoseh, 35, mangsa yang merupakan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan baru 10 bulan berada di negara ini dipercayai panik apabila kediamannya di Pangsapuri Taman Tasik Utama, Ayer Keroh itu diserbu.

Pengarah Jabatan Imigresen negeri, Kamalludin Ismail berkata, penghuni rumah berkenaan enggan membuka pintu ketika diketuk anggotanya menyebabkan mereka terpaksa memotong mangga dan memecahkan pintu rumah itu untuk melarikan diri.

"Kami bagaimanapun berjaya menahan enam warga asing yang bersembunyi di dalam lubang pada siling namun salah seorang daripada mereka telah terjatuh ke lantai tingkat bawah sebelum berjaya ditahan.

"Mangsa dan keenam-enam lagi warga Indonesia terbabit tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah," katanya kepada Kosmo! Ahad semalam.

Mathoseh dipercayai terlepas genggamannya menyebabkan dia menggelongsor ke tingkat paling bawah.

Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia setelah dikejarkan ke Hospital Melaka kira-kira pukul 12 tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd. Rahman ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

Sementara itu mengenai operasi berkenaan, Kamalludin berkata, pihaknya berjaya menahan 32 orang PATI.

Mereka terdiri daripada 14 wanita warga China, Indonesia (10), Thailand (6), warga Mynmar (1) dan sepasang suami isteri dari Kemboja.

sumber- Kosmo

Lelaki parah diserang harimau di Zoo Bronx

Bronx Zoo
PONDOK menjual tiket kelihatan kosong berikutan pintu masuk Zoo Bronx ditutup selepas seorang lelaki cedera parah diserang harimau.
NEW YORK - Seorang lelaki yang melompat dari sebuah monorel dan masuk ke dalam kawasan harimau di Zoo Bronx di sini cedera parah apabila diserang oleh haiwan buas tersebut.

Menurut jurucakap Jabatan Polis New York, Leftenan Don Grimpel, lelaki berusia 25 tahun itu diserang selama hampir sepuluh minit oleh seekor harimau jantan berumur 12 tahun.

"Bahu dan kakinya patah. Kakinya juga berlubang kerana digigit," kata Grimpel. Mangsa yang berada dalam keadaan kritikal dibawa ke Pusat Perubatan Jacobi.

Pengarah Zoo Bronx, Jim Breheny memberitahu kakitangannya menggunakan pemadam api untuk menghalau harimau itu.

"Jika bukan kerana tindakan pantas dan kemampuan kakitangan bertindak dalam situasi kecemasan, insiden ini mungkin berakhir dengan kematian" tambah Breheny. 

sumber- AFP

Kru filem Johnny Depp mati lemas

Lone Ranger Johnny Depp

LOS ANGELES - Seorang penyelam yang bertugas di set penggambaran filem Lone Ranger lakonan Johnny Depp mati lemas ketika membersihkan sebuah tangki, jelas pihak polis dan studio filem Walt Disney Co.

Lelaki yang belum dikenal pasti itu dikatakan memakai peralatan skuba untuk menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan di dalam sebuah kolam di sebuah rumah ladang di Palmdale, utara Los Angeles.

"Kami dengan dukacita mengesahkan bahawa seorang kru filem Lone Ranger meninggal dunia selepas dibawa ke hospital. Takziah buat ahli keluarga dan rakan-rakannya. Kami akan memberi kerjasama penuh dalam siasatan berkaitan insiden ini," kata jurucakap Walt Disney Co., Paul Roeder dalam satu kenyataan.

Mangsa dikatakan sedang menyiapkan tangki tersebut untuk satu babak di dalam air. Punca kematian bagaimanapun masih belum dapat dipastikan.

sumber- Reuters

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...