Selamat Datang Ke blog-ketegaq.blogspot.com

Blog terbaik yang menyediakan pelbagai cerita dan artikel menarik dari seluruh dunia. Like kami di facebook tanda sokongan anda dan untuk mendapat update artikel terkini dari kami.

Isu Semasa

Artikel-artikel terkini mengenai isu semasa dalam dan luar negara. Segalanya dari sumber-sumber yang boleh dipercayai.

Pelik

Segala fakta dan artikel mengenai perkara-perkara yang pelik boleh diperolehi di sini. Semua artikel adalah berdasarkan sumber dan kesahihannya anda sendiri tentukan.

Herba Dan Botani

Artikel mengenai tumbuh-tumbuhan yang digunakan untuk perubatan dan penjagaan kesihatan.

Alam Ghaib

Himpunan artikel mengenai alam ghaib yang sukar diperjelaskan dengan mata kasar. Admin mengalukan sumbangan artikel, gambar-gambar atau video untuk dikongsi bersama dalam blog ini.

Saturday, November 10, 2012

Bunuh diri sebab tak dapat skuter

NEW DELHI: Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun menggantung diri di rumahnya kerana bapanya enggan membelikannya sebuah skuter.

Mayat Happy ditemui kelmarin di Narela, di utara Delhi, kata polis, semalam. 

Polis berkata, pelajar Kelas 10 di Sekolah Maharaja Agrasen meninggalkan satu nota yang berulis: “Kini simpanlah wang anda.” 

skuter
gambar hiasan
Happy berseorangan di rumah dan mengunci biliknya sebelum menggantung diri di kipas siling.

Pegawai polis berkata, bapanya, Praven Kumar, memecahkan pintu bilik dan menemui mayat anaknya.

Kumar, seorang pekerja syarikat swasta berkata, dia tidak dapat membelikan skuter untuk anaknya kerana masalah kewangan. 

sumber- HMetro

Wanita Indonesia diperkosa tiga anggota di balai polis

BUKIT MERTAJAM - Seorang pekerja kedai makan warga Indonesia mendakwa dia dirogol tiga anggota polis di sebuah balai polis dekat sini semalam.

Mangsa berusia 25 tahun mendakwa ditahan tiga anggota polis berusia lingkungan 20-an sehingga 30-an pada jam 6.20 pagi berhampiran  pasar raya Pacific, Perai dan dibawa ke balai polis.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abd Rahim Hanafi yang dihubungi berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas mengikut lunas perundangan jika benar dakwaan itu.

rogol wanita Indonesia
Mangsa bersama Chiek Tuan menunjukkan laporan polis di pejabat MCA, Bukit Mertajam.
Beliau juga mengesahkan tiga anggota terbabit direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Menurut mangsa, ketika ditahan dia berada dalam kereta sewa bersama seorang pemandu teksi tempatan selepas menghantar seorang rakan perempuannya yang tinggal di kawasan itu .

“Tidak lama selepas itu, sebuah kereta peronda polis jenis proton Wira menahan kereta yang kami naiki dan dua anggota polis yang memakai uniform polis meminta kami menunjukkan kad pengenalan.

“Ketika itu, saya hanya membawa salinan pasport. Jadi, anggota polis itu tidak mahu menerima salinan pasport dan mengatakan akan membawa kami ke balai polis.

“Bagaimanapun, saya merayu kepada dua anggota polis ini dan meminta mereka melepaskan pemandu teksi yang ketika itu digari,” katanya yang ditemui di Pejabat MCA Bukit Mertajam, pagi tadi.

Turut hadir, Penyelaras Barisan Nasional (BN) Bukit Mertajam, Lau Chiek Tuan dan Pengerusi Wanita MCA Bukit Mertajam, Goh Swee Gim.

sumber- Sinar

Pegawai bank diculik kekasih

KAJANG - Gara-gara cemburu, seorang lelaki tergamak melarikan dan menjerut leher kekasihnya sehingga wanita itu mengalami keretakan pada tulang lehernya manakala kedua-dua belah pergelangan tangannya pula cedera.

Episod malang wanita yang bekerja sebagai pegawai di sebuah bank itu bermula pada pukul 5.30 petang Rabu lalu apabila mangsa dibawa kekasihnya tidak jauh dari rumahnya di Taman Cheras Awana, Batu 9 di sini.

culik kekasih
gambar hiasan
Ketika berada di dalam kereta suspek, mangsa yang berusia 27 tahun mendakwa dia dipukul sehingga pengsan oleh teman lelakinya yang dikatakan cemburu buta.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab berkata, mangsa bagaimanapun bernasib baik apabila dia dapat melarikan diri ketika cuba dibawa ke sebuah hotel di Seksyen 7, Shah Alam pada pukul 7 malam.

Jarak antara lokasi mangsa diculik dengan hotel tersebut kira-kira 40 kilometer.

Menurut beliau, selepas terlepas daripada kekasihnya, mangsa kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Shah Alam semalam.

Ab. Rashid memberitahu, akibat dipukul mangsa mengalami keretakan tulang leher manakala kedua-dua pergelangan tangannya pula mempunyai kesan dijerut dengan tali.

Mangsa dirujuk ke Hospital Kajang untuk rawatan dan dibenarkan keluar dari wad semalam.

Kata beliau, bertindak atas maklumat, polis menemui kereta yang digunakan untuk melarikan mangsa ditinggalkan di kawasan Shah Alam sehari selepas mangsa dilarikan.

Menurut beliau, lelaki yang berusia 28 tahun itu kemudian ditangkap di sini pada pukul 7 malam tadi.

Bagaimanapun, polis belum mendapat maklumat penuh mengenai suspek itu.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cuba membunuh yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun.

sumber- Kosmo

Suspek kes rompakan bank di Sungai Buloh mati

KUALA LUMPUR - Polis hari ini menembak mati seorang suspek kes rompak sebuah bank yang kerugian RM202,800 pada 5 Nov lepas, dalam kejadian di Kampung Chubadak, Jalan Datuk Senu 3 di sini. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Mohd Adnan Abdullah berkata seorang lagi rakan suspek yang turut berada di dalam kereta jenis Toyota Vios, melarikan diri dalam kejadian kira-kira 4.30 pagi ini.

mayat penjenayah yang berjaya ditembak
Anggota Polis mengeluarkan mayat penjenayah yang berjaya ditembak dari kenderaannya dalam satu kejadian tembakan yang berlaku di Kampung Chubadak, hari ini.-Foto Bernama
Beliau berkata kejadian berlaku apabila pasukan khas polis yang dibentuk untuk menyiasat kes itu mengesan kereta sebuah BMW putih di Greenwood, Gombak, yang digunakan dalam rompakan bank di Sungai Buloh itu.

"Menyedari diekori, pemandu BMW memecut laju kereta itu dan berhenti di Plaza Tol Gombak sebelum menaiki kereta Toyota Vios yang menunggu di situ. 

"Polis menghampiri kereta berkenaan sebelum seorang daripada mereka mengeluarkan selaras pump gun seolah-olah mahu melepaskan tembakan ke arah polis," kata Mohd Adnan kepada pemberita di tempat kejadian.

Mohd Adnan berkata bagi mempertahankan diri, polis melepaskan beberapa das tembakan ke arah kereta suspek sebelum kenderaan itu memecut laju melarikan diri.

"Suspek dan polis berbalas tembakan ketika kereta itu dikejar sejauh 15km. Dalam keadaan kelam kabut itu, kereta Vios tersebut terbabas sebelum merempuh tembok sebuah madrasah di lokasi kejadian," katanya.

Mohd Adnan berkata seorang suspek melarikan diri manakala pemandu kereta berusia 33 tahun berasal dari Kelantan, mati ditembak. 

Hasil pemeriksaan terhadap kereta itu, polis menemui selaras pump gun yang dirampas daripada pengawal keselamatan bank serta sepucuk pistol yang dipercayai digunakan dalam rompakan itu. 

"Siasatan lanjut juga mendapati kereta BMW yang ditinggalkan di Plaza Tol Gombak dilaporkan disamun di Setapak manakala kereta Vios itu disamun di Sri Damansara awal bulan ini," katanya. 

Mohd Adnan berkata suspek yang mati ditembak memiliki enam rekod jenayah lampau, antaranya dua kes samun dan satu curi kereta. 

Dalam kejadian pukul 2.40 petang 5 Nov lepas, tiga lelaki memakai topi besbol bersenjatakan dua pucuk pistol menjadikan pelanggan dan pengawal keselamatan bank berkenaan sebagai tebusan sebelum melarikan  wang tunai RM202,800 dalam kejadian yang hanya mengambil masa lima minit.  

sumber- Bernama

Cari ayam, tapi jumpa mayat

KUBANG SEPAT – Bilal Masjid Serdang tidak menyangka kokokan ayam selepas bertelur, membawa kepada penemuan mayat reput, jam 12.30 tengah hari semalam.

Bilal, Che Hassan Che Mamat berkata, jirannya, Su Minah cuba mencari ayamnya di bawah rumah mangsa, namun ternampak titisan air dari lantai dan dipenuhi lalat.

mayat diusung
Anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Pasir Mas bersama kakitangan bilik Mayat Hospital daerah, mengusung mayatnya untuk bedah siasat.
Tidak berani untuk menerjah masuk ke rumah itu katanya, Su Minah memanggilnya dan beberapa penduduk lain untuk menyiasat.

“Ternyata telahan kami benar, apabila menemui mayat mangsa dalam keadaan terlentang, tanpa seurat benang,” katanya semalam.

Beliau berkata, pemilik rumah sewa ini ada cuba menghubunginya 3 November lalu, tetapi panggilan tidak dijawab.

Menurutnya, dia tidak menyangka bau busuk sejak seminggu lalu, merupakan bau mayat reput kerana penduduk beranggapan ia adalah bau najis dari reban ayam di sebelah rumah mangsa.

Che Hassan berkata, penduduk tidak mengenali mangsa dengan lebih dekat, kerana baru menyewa di rumah ini sejak enam bulan lalu.

“Kita hanya tahu dia seorang bapa tunggal, berasal dari Machang dan mempunyai dua anak yang kini menetap di Kuala Lumpur.

“Kami tidak mempunyai sebarang nombor untuk menghubungi keluarga mangsa dan masih mencari waris terdekatnya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim ketika dihubungi, mengesahkan ada menerima laporan berhubung perkara terbabit.

Menurutnya, mangsa dikenali sebagai Ahmad Shihabuddin Abdul Ghani, 48, ditemui penduduk kampung di dalam rumahnya seorang diri.

“Hasil siasatan mendapati, tiada sebarang unsur jenayah terlibat dan kita mengklasifikasikan mangsa mati mengejut,” katanya.

sumber- Sinar

Rakam imej hantu

CHUKAI – Imej lembaga berwajah putih dengan mata kemerahan dipercayai hantu berjaya dirakam seorang pembantu gerai, yang mendakwa melihat lembaga itu di sebuah gerai makan belakang Pasar Chukai, malam kelmarin.

Mohd Hishamuddin Mazidi, 16, berkata, walaupun tergamam melihat lembaga misteri itu, tapi dia sempat mengeluarkan telefon bimbit lalu merakam gambar lembaga berambut panjang itu kira-kira jam 11.30 malam.

foto hantu
Lembaga berwajah putih dengan mata kemerahan serta berambut panjang dirakam Mohd Hishamuddin, di sebuah gerai makan belakang Pasar Chukai, malam kelmarin.
“Lembaga itu berada di dalam gerai di belakang pekerja kedai yang sedang duduk membelakanginya. Bila imej dirakam, dapat dilihat wajah lembaga itu tetapi gambarnya tidak terlalu jelas.

Namun bila diamati akan dapat dilihat wajah hantu tersebut,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Sementara itu, seorang peniaga, Faridah Puteh, 46, mendakwa, kemunculan lembaga itu berkemungkinan ada kaitan dengan penyakit misteri yang dialami anaknya yang bekerja sebagai tukang masak di gerai berkenaan tempat dirakam imej hantu.

Katanya, anak ketiganya, Mohd Suhaimi Khairul Samri, 27, yang masih bujang mengalami masalah buang air kecil berdarah, sejak Jumaat lalu.

“Darah yang keluar seperti darah beku dan kehitam-hitaman.

Terkejut dengan keadaan itu saya membawanya mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta di Chukai sebelum pergi mendapatkan rawatan di sebuah hospital pakar di Kuantan, Pahang pula.

“Namun, hasil pemeriksaan menyeluruh yang dilakukan, doktor yang merawat anak saya beritahu dia tidak mengalami sebarang penyakit.

Yang peliknya anak saya tidak mengalami sakit ketika membuang air kecil tetapi darah hitam yang keluar dan bukan air kencing biasa,” katanya.

Susulan itu dakwanya, badan anaknya kini semakin susut dan hanya memakan ubat hospital dengan harapan penyakit misteri itu sembuh.

Sehubungan itu, Faridah memohon mana-mana pihak terutama pengamal perubatan Islam tampil membantu dengan menghubunginya menerusi talian 012-9845772 agar penyakit misteri anaknya itu dapat diubati.

sumber- Sinar

Busuk mayat disangka bangkai tikus

Kuala Lumpur: Misteri bau busuk melampau dari sebuah kediaman di Rumah Pangsa Sri Langkawi 1, Gombak, di sini sejak dua minggu lalu, terbongkar malam kelmarin selepas polis menemui mayat dipercayai mangsa bunuh.

Mayat lelaki berusia 28 tahun itu ditemui kira-kira jam 10 malam, tertiarap atas katil di bilik tidurnya. Penduduk yang curiga dengan bau busuk dari rumah berkenaan sebelum itu melaporkannya kepada polis.

Difahamkan, lelaki terbabit yang bekerja sebagai pemuzik bebas, tinggal seorang diri di rumah berkenaan, dipercayai milik ibu bapanya sejak beberapa bulan lalu. 

mayat di Rumah Pangsa Sri Langkawi
Anggota polis mengangkat mayat seorang pemuda dipercayai mati lebih kurang 3 minggu di Rumah Pangsa Sri Langkawi 1, Taman Melati, Kuala Lumpur. - Foto Mustaffa Kamal
Sangka bangkai tikus

Jirannya, Rozlina Mat Zain, 32, berkata dia mulanya menyangka ia bau bangkai tikus, namun mula mengesyaki sesuatu apabila mangsa dilihat tidak keluar rumah sejak dua minggu lalu.

“Ibu bapa saya yang datang ke sini dua minggu lalu ada bertanya mengenai bau seakan-akan bau mayat itu, tetapi saya katakan ia mungkin bangkai tikus. Namun, semakin hari bau busuk itu semakin kuat hingga menimbulkan kemusykilan, lebih-lebih lagi jiran saya itu sudah lama tidak kelihatan. 

“Tidak tahan dengan bau itu, penduduk menghubungi polis untuk memeriksa sebelum menemui mayat di rumah terbabit,” kata Rozlina sambil menyifatkan jirannya itu seorang yang baik dan suka bertegur sapa setiap kali mahu ke tempat kerja.

sumber- BH

Direktori porno RM30

KUANTAN: Seorang pengguna facebook (fb) dikesan memanipulasi laman sosial itu dengan menjadi perantara medium lucah dan aktiviti persundalan bagi membolehkannya mengaut pendapatan haram dengan cara mudah.

facebook 18sx
LUCAH...antara khidmat dipaparkan dalam laman web terbabit.
Dengan mengenakan caj RM30 melalui akaun fb dikendalikannya, individu itu yang menggunakan nama Siti Normaisyarah menyediakan perkhidmatan membekal senarai nombor telefon rumah urut dan agensi teman sosial, selain gambar video klip dan pautan ke laman web lucah.

Nama Siti Normaisyarah itu dikesan pada nombor akaun bank yang diberikan kepada wartawan Harian Metro yang membuat penyamaran dan membuat pembayaran melalui pindahan wang.

borang khidmat lucah
ISI DULU...borang yang perlu diisi untuk melanggan laman web lucah.
Sebelum itu, kewujudan akaun fb individu terbabit dikesan dengan mematuhi prosedur cukup mudah iaitu hanya perlu ‘like’ sebelum diminta mengirim e-mel ke alamat diberikan.

Pemerhatian dilakukan mendapati sehingga kini akaun fb itu sudah mendapat 39,542 ‘like’ sejak beroperasi pada 2006.

sumber- HMetro

Budak 2 tahun parah dicekau helang

Alfie Hall

LONDON: Seorang kanak-kanak berusia dua tahun cedera dengan mukanya berlumuran darah selepas diterkam seekor burung helang peliharaan di sebuah taman permainan, dekat sini, semalam.

Burung berkenaan menerkam Alfie Hall ketika dia bersiar-siar di taman itu dengan ibunya, Elysia dan beberapa anggota keluarga lain.

Kanak-kanak itu bagaimanapun bernasib baik kerana matanya terselamat. 

Helang berkenaan yang sayapnya selebar 1.4 meter, turut mencekau telinga kiri kanak-kanak itu, menyebabkannya hampir putus.

Doktor terpaksa mencantumkan semula telinga itu di hospital.

Elysia, 23 berkata malam tadi: “Ia sungguh menakutkan. Burung itu kelihatan begitu besar dan kuat ketika menerkam kepala anak saya. 

“Burung berkenaan mengoyakkan beberapa daging kepala Alfie, termasuk menyebabkan turisan besar berhampiran sebelah matanya yang memerlukan ia dijahit. 

“Doktor memberitahu kami, dia bernasib baik kerana tidak hilang penglihatan. 

“Adik saya meluru sambil menjerit dan memekik untuk mengusir burung berkenaan. Saya pula berkejar untuk mendapatkan Alfie. 

“Dia begitu terkejut. Matanya bengkak dan saya dapat melihat telinganya terkoyak.” 

Kejadian berlaku di taman permainan di Farnborough, Hants. 

Burung itu tidak mempedulikan panggilan pemiliknya yang berusia belasan tahun yang berada di situ. 

“Kami pernah melihat tuan burung itu berjalan di sekitar taman bersama haiwan itu. Kali ini, dia membiarkannya terbang dan kemudian cuba memanggilnya. 

“Tetapi burung itu hinggap pada pokok. Dia cuba memujuk helang peliharaannya itu tetapi burung berkenaan tiba-tiba terbang dan menerkam kepala Alfie,” katanya. 

Polis berkata, seorang remaja berusia 18 tahun dari Farnborough ditahan dan kemudian dibebaskan selepas disoal siasat. 

sumber- DM

Ketiak busuk tak boleh jadi pilot

bau ketiak

BEIJING: Apa yang diperlukan untuk menjadi seorang juruterbang? Anda mungkin mengatakan penglihatan jelas, kesihatan baik dan mampu berbahasa Inggeris, tetapi nampaknya itu bukan ciri diperlukan oleh satu syarikat penerbangan China.

Syarikat Penerbangan Hainan memerlukan calon juruterbang tidak mempunyai bau badan. 

Syarikat itu mencetuskan kontroversi selepas menetapkan syarat tiada bau badan langsung kepada calon juruterbang. 

Dalam temuduganya, staf syarikat akan datang dekat dengan calon juruterbang dan menghidu ketiak sekiranya ada bau yang tidak menyenangkan.

Seorang calon yang ditolak permohonannya berkata, “Saya lulus semua ujian kecuali bau ketiak.”

Pegawai syarikat mendakwa, staf di pesawat sentiasa berinteraksi dengan orang ramai. Penumpang tidak mahu berurusan dengan seseorang yang mempunyai bau badan terutama pekerja yang bekerja dalam pesawat.

sumber- HMetro

Kereta sains fiksyen

LONDON: Kereta luar biasa baru ini, ‘Extra Terrestrial Vehicle’ sudah pasti dikagumi peminat sains fiksyen.

Kenderaan futuristik ini yang berharga £75,000 (RM375,000), dikenali juga dengan ETV adalah berdasarkan platform yang sama dengan kereta Chevrolet biasa.

Extra Terrestrial Vehicle
PINTU bersayap dibuka dengan kawalan jarak jauh.
Tetapi di situ sajalah persamaannya. ETV yang berinspirasikan sains fiksyen kelihatan lebih daripada kereta biasa di jalan raya.

Ia dijana oleh enjin berkelajuan tinggi 2 liter yang menyediakan 270 kuasa kuda kepada roda depan menerusi kotak gear lima kelajuan.

Ia memiliki skrin depan setinggi 1.5 meter dan pintu sayap yang akan terbuka cara automatik menerusi kawalan jarak jauh.

Extra Terrestrial Vehicle
Ia dijual pada harga RM375,000.
Di dalam, terdapat dua kamera yang akan membolehkan kereta berbentuk aneh ini diparkir dengan mudah.

Michael Vetter yang berasal dari Itali dan menguruskan The Car Factory di Florida, Amerika Syarikat, mereka dan menghasilkan kenderaan canggih ini.

Dia yang dikenali sebagai Kit Car Mike sudah menghasilkan tujuh ETV dengan satu model dipamerkan di Muzium Kereta London di Middlesex.

“ETV ini dihasilkan untuk orang yang sudah memiliki semua jenis kereta tetapi masih mencari sesuatu yang berbeza,” katanya. 

sumber- TS

Pusat jagaan wanita disita

KUALA LUMPUR – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menyerbu dan menyita sebuah rumah yang dijadikan pusat perlindungan wanita dan remaja di Kampung Sungai Mulia, Setapak di sini yang beroperasi tanpa lesen sejak lebih 24 tahun lalu.

Pengarahnya, Noormah Abdul Rauf berkata, dalam serbuan selama tiga jam bermula pada pukul 10 pagi itu, pusat tersebut didapati menempatkan 69 wanita berumur antara 14 dan 30 tahun termasuk seorang bayi berusia lima bulan tanpa mengikut syarat yang ditetapkan Akta Pusat Jagaan 1993.

Pusat Kebahagiaan Wanita dan Remaja (Kewaja)
PENGHUNI Kewaja diberi penerangan selepas tempat mereka berlindung diserbu dan disita pihak berkuasa di Setapak, Kuala Lumpur semalam.
Pusat yang diberi nama Pusat Kebahagiaan Wanita dan Remaja (Kewaja) itu didapati gagal mematuhi piawaian minimum yang ditetapkan di bawah akta tersebut.

“Dengan keluasan rumah tersebut, maksimum penghuni yang dibenarkan hanya seramai 28 orang tetapi penjaga pusat itu meletakkan seramai 69 orang di ruang yang sempit. Mana selesa?

“Sedangkan pihak keluarga juga membayar yuran kepada pusat itu sebanyak RM10,000 setahun untuk seorang bagi menjaga ahli keluarga mereka yang mempunyai masalah sosial atau sedang mengandung,” katanya kepada pemberita selepas serbuan ke pusat itu di sini semalam.

Pusat Kebahagiaan Wanita dan Remaja (Kewaja)
NOORMAH bersama beberapa pegawai JKM menyita pejabat Kewaja ekoran beroperasi tanpa lesen sejak 24 tahun lalu.
Menurut beliau, antara piawaian yang perlu dipatuhi oleh penjaga pusat tersebut ialah had bilangan penghuni tidak melebihi keluasan ruang lantai yang dibenarkan bagi memastikan keselesaan penghuninya.

Piawaian lain yang perlu dipatuhi ialah nisbah penjaga dengan penghuni perlulah mencukupi, menyediakan modul latihan dan jadual aktiviti harian yang sesuai.

“Hasil siasatan JKM mendapati Kewaja gagal mematuhi piawaian yang telah ditetapkan walaupun telah diberi nasihat dan panduan sejak tahun 2003,” jelas beliau.

Ketika serbuan itu dibuat, pihak berkuasa mendapati 69 penghuni pusat jagaan tersebut terdiri daripada 42 wanita yang sedang mengandung, 19 orang berada dalam pantang selepas baru melahirkan anak manakala tujuh lagi menghadapi pelbagai masalah sosial yang lain.

Mereka kemudiannya, termasuk seorang bayi yang berusia lima bulan, ditempatkan untuk sementara waktu di Asrama Bahagia, Kampung Pandan di sini untuk tujuan saringan sebelum diserahkan kepada keluarga masing-masing.

Menurut Noormah, pihak pengurusan Kewaja perlu mengemukakan perakuan pendaftaran bagi pusat jagaan tersebut kepada JKM untuk mengoperasikan semula tempat tersebut dalam tempoh 21 hari dari tarikh notis ia dikeluarkan.

“Sekiranya Kewaja gagal berbuat demikian, suatu perintah mahkamah akan diperoleh bagi menghalang premis tersebut daripada dijadikan pusat jagaan,” katanya.

Tambah Noormah, sekiranya didapati bersalah, Kewaja boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali di bawah Seksyen 5 (2) Akta Pusat Jagaan 1993.

Dalam pada itu, tinjauan Kosmo! di pusat tersebut mendapati semua penghuninya terpaksa tinggal dalam keadaan tidak selesa di rumah itu yang menyediakan sebuah ruang tamu dan dua bilik untuk mereka.

Selain itu, mereka juga terpaksa tidur beramai-ramai di ruang tamu yang sempit selain persekitaran yang kurang bersih dan tidak selamat kepada penghuni.

Seorang penghuni yang hanya mahu dikenali sebagai Maya, 16, berkata, kehidupan yang beliau impikan untuk berubah apabila memasuki pusat jagaan tersebut selepas terjebak dengan masalah sosial disifatkan ‘tidak seindah yang disangka’.

“Pada mulanya saya ingat saya ingin mendalami ilmu agama tetapi tempat ini tidak menyediakan guru yang mampu untuk mengajar agama, sebaliknya kami hanya belajar sesama sendiri sahaja,” katanya.

Bagi Effa, 19, pula, tindakannya yang pernah melarikan diri akibat tidak tahan dengan kehidupan di pusat itu yang disifatkannya sebagai tempat yang teruk menjadi mimpi ngeri apabila dia ditangkap dan dipukul warden pusat berkenaan.

“Saya memang tidak sangka kehidupan di sini amat teruk, mereka mengenakan yuran tetapi tidak menyediakan keselesaan kepada kami. Bayangkan ibu mengandung, ibu yang baru bersalin disuruh membuat kerja-kerja berat, jadi perkara inilah membuatkan kami ingin memberontak,” katanya.

sumber- Kosmo

13 orang terbunuh akibat banjir kilat

JAKARTA - Bilangan mangsa yang terkorban akibat hujan lebat selama beberapa hari yang menyebabkan berlakunya tanah runtuh dan banjir kilat meningkat kepada 13 orang, kata beberapa pegawai polis semalam.

Ketua sebuah agensi pengurusan bencana Sulawesi Barat, Kain Lotong Sembe, berkata, bilangan mangsa yang masih hilang berkurangan menjadi empat orang.

banjir kilat di Batanguru, Sulawesi Barat
BEBERAPA orang mencari mangsa-mangsa runtuhan sebuah rumah akibat banjir kilat di Batanguru, Sulawesi Barat semalam.
Menurutnya, bilangan itu berkurangan selepas 20 orang yang dilaporkan hilang didapati masih hidup.

Seorang ketua polis tempatan, Kapten Yuslim Yunus berkata, anggota-anggota penyelamat dan penduduk di Batanguru di daerah Mamasa turut menggali lumpur dengan menggunakan tangan bagi mencari mangsa yang masih hilang.

Menurutnya, tanah runtuh yang berlaku kelmarin telah menyebabkan arus sungai mengalir dengan laju sehingga memusnahkan tujuh buah rumah.

Musim tengkujuh sering mengakibatkan kejadian tanah runtuh berlaku di Indonesia.

sumber- AP

Pemuda mengaku bakar kapal selam nuklear AS

PORTLAND, Maine - Seorang bekas pekerja sebuah pelabuhan, Casey James Fury kelmarin mengaku bersalah membakar sebuah kapal selam nuklear milik tentera Amerika Syarikat (AS) yang menyebabkan kerugian sebanyak AS$450 juta (RM1.3 bilion).

Fury, 24, mengaku bersalah di Mahkamah Daerah AS kerana melakukan kebakaran dengan sengaja sebanyak dua kali.

Dia mengaku melakukan perbuatan itu di dalam kapal selam nuklear HMS Miami pada 23 Mei lalu di Limbungan Tentera Laut Portsmouth di Maine.

kapal selam nuklear
API marak dan asap tebal pada kapal selam nuklear HMS Miami yang terbakar di Limbungan Tentera Laut Portsmouth di Maine pada 23 Mei lalu.
Fury sekali lagi melakukan perbuatan yang sama tetapi di luar kapal selam berkenaan pada 16 Jun lepas.

Pemuda itu melakukan perbuatan tersebut dengan alasan untuk segera pulang ke rumahnya.

Fury memberitahu para penyiasat bahawa dia mengambil pelbagai jenis ubat bagi menangani kemurungan, alahan dan masalah sukar untuk tidur semasa kali pertama membakar kapal selam tersebut.

Dia juga menjelaskan mahu pulang ke rumah selepas berasa bimbang apabila membaca mesej daripada bekas kekasihnya menyebabkannya melakukan perbuatan itu buat kali kedua.

Bagaimanapun, kebakaran itu tidak merebak ke bahagian belakang kapal yang menempatkan pelbagai komponen nuklear.

Ekoran pengakuan itu, dia mungkin akan dipenjarakan hampir 20 tahun.

Kapal selam itu dibaiki sebelum ia kembali beroperasi pada 2015.

Kos membina kapal selam itu pada 1990 dianggarkan AS$900 juta (RM2.7 bilion).

Jika kapal selam itu dibina pada tahun ini, kosnya dianggarkan AS$1.5 bilion (RM4.6 bilion). 

sumber- Agensi

Majlis menghormati tengkorak di Bolivia

LA PAZ, Bolivia - Satu majlis bagi menghormati tengkorak diadakan di sini kelmarin oleh sekumpulan penganut agama Kristian Katolik.

Kira-kira 300 tengkorak diarak ke sebuah gereja kecil di tanah perkuburan di sini.

Sekumpulan penganut itu mendakwa tengkorak tersebut mempunyai kuasa ajaib.

Majlis menghormati tengkorak di Bolivia
SEORANG wanita membawa sebuah bekas yang mengandungi tengkorak di sebuah kawasan perkuburan di La Paz, Bolivia kelmarin.
Tengkorak tersebut dipercayai boleh menolong mereka mendapatkan pekerjaan dan membantu pasukan bola sepak yang diminati memperoleh kemenangan.

Kalungan bunga turut diletakkan pada tengkorak itu pada majlis itu.

Para penganut tersebut juga memperdengarkan muzik dan menyediakan hidangan makanan untuk tengkorak itu.

Lima tahun lalu, seorang ketua biskop Kristian Katolik di negara ini pernah mengutuk majlis itu kerana ia dianggap bertentangan dengan agama tersebut. 

sumber- AP

Kerbau terjatuh ke dalam perigi

BEIJING - Seekor kerbau terjatuh ke dalam sebuah perigi di daerah Cangnan, wilayah Zhejiang, timur China kelmarin.

Beberapa anggota bomba dan petani kemudian menyelamatkan kerbau itu yang mempunyai berat lebih 200 kilogram.

Kerbau terjatuh ke dalam perigi
BEBERAPA anggota bomba dan petani menarik seekor kerbau yang terjatuh ke dalam perigi dengan menggunakan tali di daerah Cangnan, Zhejiang kelmarin.
Kerbau tersebut ditarik keluar dari perigi itu dengan menggunakan tali.

Haiwan itu terjatuh ke dalam perigi semasa ia meragut rumput.

Pemilik kerbau tersebut yang hanya mahu dikenali sebagai Wang meminta bantuan anggota bomba bagi menyelamatkan haiwannya itu.

sumber- Agensi

Restoran Bas Lama Di China

SHENYANG, China - Sebuah bas lama diubah suai untuk dijadikan restoran yang menyediakan beraneka hidangan makanan panggang di sini sejak sebulan lalu.

Satu pasangan sanggup membeli sebuah bas lama itu pada harga AS$3,206 (RM9,816) untuk dijadikan sebuah restoran.

restoran dari bas lama
SEORANG pelayan menghantar makanan kepada beberapa pelanggan di dalam sebuah bas di Shenyang kelmarin.
Beberapa meja kecil untuk meletakkan makanan disediakan di dalam bas tersebut.

Hidangan makanan akan dihantar oleh pelayan untuk para pelanggan restoran unik itu.

Restoran bas itu terletak di sebuah pekarangan kediaman lama.

sumber- Agensi

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...