Selamat Datang Ke blog-ketegaq.blogspot.com

Blog terbaik yang menyediakan pelbagai cerita dan artikel menarik dari seluruh dunia. Like kami di facebook tanda sokongan anda dan untuk mendapat update artikel terkini dari kami.

Isu Semasa

Artikel-artikel terkini mengenai isu semasa dalam dan luar negara. Segalanya dari sumber-sumber yang boleh dipercayai.

Pelik

Segala fakta dan artikel mengenai perkara-perkara yang pelik boleh diperolehi di sini. Semua artikel adalah berdasarkan sumber dan kesahihannya anda sendiri tentukan.

Herba Dan Botani

Artikel mengenai tumbuh-tumbuhan yang digunakan untuk perubatan dan penjagaan kesihatan.

Alam Ghaib

Himpunan artikel mengenai alam ghaib yang sukar diperjelaskan dengan mata kasar. Admin mengalukan sumbangan artikel, gambar-gambar atau video untuk dikongsi bersama dalam blog ini.

Tuesday, October 16, 2012

Farid Kamil, Diana nikah 3 November

SETELAH mengikat tali pertunangan secara tertutup 2 September lalu, Farid Kamil, 31, mengumumkan akan bernikah dengan aktres kacukan, Diana Danielle, 21, pada 3 November ini.

Farid turut mengejutkan tetamu yang hadir pada sesi pratonton filem arahan dan lakonan terbarunya, Petiga, di TGV Sunway Piramid, Bandar Sunway, dengan pengumumannya itu.

“Setelah mendapat restu kedua ibu bapa saya, saya mengumumkan bahawa saya dan Diana akan melangsungkan perkahwinan kami pada 3 November ini.

"Saya berharap dengan pengumuman ini, ramai pihak akan mendoakan yang terbaik buat kami,” katanya ringkas.

Farid Kamil - Diana Danielle
Farid Kamil - Diana Danielle
Bagaimanapun, Farid yang ditemui selepas itu berkata, mereka sepakat untuk memilih bulan November kerana ia merupakan bulan kelahiran Diana dan perancangan mengenai tarikh perkahwinan juga sudah di buat sebelum bertunang lagi.

Katanya, mereka akan bernikah di Hotel Flamingo pada sebelah pagi manakala resepsi akan diadakan 21 November iaitu sehari sebelum hari ulang tahun kelahiran Diana dan resepsi di sebelah pihaknya pula akan diadakan pada bulan Disember.

“Buat masa ini persiapan sedang giat dilakukan dan kami memang sudah berbincang mengenai hal perkahwinan ini sejak awal lagi. Lokasi, konsep perkahwinan telah dipilih oleh Diana dan rasanya dia lebih sesuai menjawab mengenai persiapan.

“Kami juga ada merancang untuk mereka dan menempah baju pernikahan kami memandangkan ia hari paling bersejarah dalam hidup kami. Namun, mengenai hantaran, dan lain-lain akan saya umumkan kelak,” jelasnya.

Farid juga mengakui berdebar-debar menanti majlis pernikahan mereka dan berharap segalanya akan berjalan dengan lancar dan baik.

“Semenjak bertunang lagi, saya memang berdebar-debar menanti hari bersejarah ini. Saya harap segalanya berjalan dengan baik dan semua pihak mendoakan yang terbaik untuk kami,” ujarnya.

Menyentuh mengenai pengumuman tarikh perkahwinannya yang dibuat mengejut tanpa sidang media yang lebih tersusun, Farid berkata, dia merasakan sesi tayangan filemnya itu adalah masa yang sesuai untuk membuat pengumuman memandangkan kebanyakan media hadir ketika itu.

“Buat peminat, saya harap mereka tidak terkejut dengan pengumuman ini. Memang saya berniat untuk umumkan hari ini (semalam) kerana semua media ada dan saya mahu bertindak adil pada semua,” jelasnya.

sumber- Sinar

Gambar bogel Justin Bieber tersebar

NAMA Justin Bieber kembali menjadi perhatian ramai apabila beberapa keping gambar bogel mirip penyanyi itu tersebar meluas di internet.

Dipercayai, gambar tersebut diambil dari komputer riba Bieber yang dilaporkan hilang sejak beberapa minggu lalu.

Justin Bieber
Justin Bieber
Menurut Daily Mail, jejaka di dalam foto tersebut memiliki bentuk dan kedudukan tatu yang sama dengan Bieber. Menerusi gambar-gambar yang tersebar itu, Bieber dikatakan merakamkan gambar alat sulitnya menggunakan kamera pada komputer ribanya itu.

Bagaimanapun, syarikat pengurusan Bieber menafikan sekeras-kerasnya bahawa gambar tersebut adalah milik penyanyi tersebut. Malah, demi menyatakan sokongan, peminat Bieber turut membantah dan menegaskan gambar tersebut bukan milik penyanyi pujaan mereka.

sumber- Sinar

Umpan bakso cabul budak

SUBANG JAYA: Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang mahu membeli makanan kegemarannya terpaksa menghadapi detik hitam dalam hidupnya apabila dicabul warga asing menjual makanan itu di rumah lelaki terbabit di Batu 13, di Bukit Puchong di sini, Khamis lalu.

Lelaki berusia 43 tahun itu dikatakan mengumpan kanak-kanak berkenaan menggunakan bakso yang dijualnya dan membawa budak itu pulang ke rumahnya untuk dicabul.

Menurut sumber, dalam kejadian jam 3.30 petang itu, kanak-kanak itu ke gerai menjual bakso di depan rumah seorang diri.

resepi membuat bakso
gambar hiasan
“Ketika di rumah selepas kejadian itu, dia memberitahu ibunya mengenai suspek, seorang warga asing, mengajaknya makan bakso di rumah.

“Mangsa turut menceritakan perbuatan suspek memegang alat sulitnya beberapa kali sehingga sakit sebelum menyerahkan bakso dibelinya untuk dibawa pulang,” katanya.

Terkejut mendengar cerita anaknya, ibu mangsa membawa anaknya membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Puchong.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Tan Ah Chua yang mengesahkan kejadian, berkata hasil maklumat ibu mangsa, polis ke rumah suspek dan menahannya sehari selepas laporan dibuat.

sumber- HMetro

Lelaki Siam cedera ditembak 3 das

KOTA BHARU - Seorang lelaki Siam cedera di bahagian kepala dan lengan selepas ditembak dengan tiga das dalam kejadian di stesen minyak Jalan Kebun Sultan, di sini, malam tadi.

Bagaimanapun mangsa dilaporkan stabil dan kini ditempatkan di wad Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu berlaku ketika mangsa, Samnuan Sunnuan, bersama rakannya menaiki kenderaan jenis Myvi singgah di stesen berkenaan untuk mengisi minyak kenderaan itu.

Dipercayai ketika Samnuan berada di luar, seorang lelaki menghampiri kereta berkenaan dan masuk ke dalamnya sehingga menyebabkan rakannya yang berada di dalam kereta melarikan diri.

proton wira
Kereta jenis Proton Wira dinaiki Ong Sok Cha pecah cermin sisi selepas terkena tempias tembakan dalam kejadian malam tadi.
Seorang saksi, Ong Sok Cha, berkata, kejadian berlaku ketika dia bersama dua rakannya sampai di kawasan itu untuk mengisi minyak di sebelah kenderaan itu.

“Saya tidak nampak kelibat lelaki yang melepaskan tembakan itu, cuma saya dengar bunyi tiga das tembakan dan kami bertiga dalam kereta terus lari menyelamatkan diri.

 “Akibat kejadian itu, kereta milik suami turut pecah cermin di bahagian sisi pemandu,” katanya.

 Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, melihatkan tindakan lelaki itu, Samnuan cuba menghalang lelaki terbabit masuk ke dalam kereta dan menyebabkan suspek melepaskan tiga das tembakan dan terus melarikan diri dengan kereta Myvi terbabit.

“Dipercayai lelaki berkenaan datang dengan kereta jenis Waja yang dinaiki dua lagi suspek ke kawasan itu.

“Ekoran kejadian itu, Ops tutup dilancarkan serta merta dan kesemua kenderaan MPV polis serta bahagian anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) diarahkan mengesan suspek dan kenderaan jenis Proton Waja berjaya dijumpai di Jalan Yaakobiah pada malam itu juga,” katanya.

Jalaluddin berkata, berlaku adegan kejar mengejar dengan kenderaan Waja berkenaan yang dipercayai menggunakan nombor pendaftaran palsu yang dipercayai hilang di Tanah Merah.

“Akibat takut dikepong polis, suspek yang menaiki kereta itu melanggar lima buah kenderaan dan cuba melanggar seorang anggota polis sehingga menyebabkan polis melepaskan satu das tembakan yang terkena pada bumper kereta.

“Dua suspek dalam kereta itu cuba meloloskan diri namun cubaan mereka tidak berjaya dan dapat ditahan,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati tiga suspek terlibat dan lelaki yang melarikan Myvi itu masih bebas dan dipercayai punca kejadian mempunyai kaitan dengan hutang dadah.

“Setakat ini usaha mengesan suspek masih diteruskan dan kes disiasat di bawah seksyen 3 FIPA  1971,” katanya.

Dalam pada itu, dua suspek terbabit dalam kes tersebut dikenakan perintah tahanan reman selama tujuh hari oleh Mahkamah Kota Bharu di sini, semalam.

Perintah keluarkan Timbalan Pendaftar Mahkamah Sesyen, Rozita Md Saad.

 Kedua suspek berusia 25 dan 22 tahun itu ditahan reman bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971. Reman kedua-duanya berkuat kuasa hari ini.

sumber- Sinar

Drebar wanita tendang burung perogol

BANGKOK: Seorang pemandu tut tut wanita berlawan dengan seorang perogol semalam, menendang alat sulit suspek sebelum melarikan diri, lapor akhbar.

Polis Don Muang berkata, mereka mendapat laporan seorang wanita diserang dekat Jalan Klong Riep Prapa. Polis menemui Somjai, 37, yang hanya berseluar dalam dengan kesan lebam di muka dan tubuhnya. Dia bekerja sebagai pemandu tut tut di Soi Sanwee 5.

Mangsa memberitahu polis, dia diminta oleh seorang lelaki agar dibawa ke estet perumahan di Burapha 25.

tut-tut di Thailand
gambar hiasan
Bagaimanapun, penumpang itu merentap kunci kenderaan itu di separuh jalan dan menyerangnya.

Pada awalnya, Somjai merayu agar tidak disakiti, tetapi mengubah taktiknya apabila suspek tidak mempedulikan rayuannya. Somjai berkata, lelaki itu mengoyakkan pakaian dan menumbuknya beberapa kali. Dia kemudian menendang alat sulit suspek dengan kuat menyebabkan lelaki itu kesakitan. 

sumber- Bangkok Post

Pocong tanah kubur

Pocong tanah kubur

JOHOR BAHRU: Seorang pengamal perubatan tradisional tercampak sejauh tiga meter ketika cuba mengambil objek seakan-akan pocong yang dicampak di depan rumah Ahli Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT), Pandak Ahmad, 49, di Taman Mutiara Rini, di sini, semalam.

Bagaimanapun, dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, selepas membaca ayat suci al-Quran selama beberapa minit baru pengamal perubatan Islam terbabit berjaya mengangkat objek yang dipercayai menjadi medium ilmu hitam itu. 

“Saya tidak menyangka sihir digunakan terlalu kuat sehingga tubuh saya boleh tercampak,” kata pengamal perubatan berusia 50-an itu yang hanya mahu dikenali sebagai Ustaz.

Pocong tanah kubur
BUKTI...Pandak melihat objek menyerupai pocong dicampak di depan rumahnya, semalam.
Menurutnya, selepas mengangkat objek sepanjang 45 sentimeter itu dan melakukan pemeriksaan, ia didapati penuh dengan serbuk pewarna merah, dicucuk jarum dan tulisan Siam.

Katanya, objek pocong itu dipercayai diisi menggunakan tanah kubur dan diwarnakan merah melambangkan darah manakala tulisan Siam yang tertera adalah sebahagian mantera.

sumber- HMetro

Boleh akses senarai pesalah seks

Sydney: Daftar pesalah seks kanak-kanak pertama kali boleh diakses orang ramai di Australia semalam di mana ia menyediakan gambar dan nama pesalah seks terhadap kanak-kanak berikutan kebimbangan ia boleh menyebabkan kesilapan identiti.

Halaman web Community Protection, sebuah inisiatif kerajaan Australia Barat (WA) menyediakan maklumat mengenai pesalah seks berulang disifatkan paling bahaya di negara itu. 

“Ia membabitkan keseimbangan perbuatan antara keselamatan komuniti dan menguruskan keupayaan polis berhadapan pesalah seks berbahaya dan melaporkan pesalah dalam masyarakat,” kata menteri polis WA, Liza Harvey.

keganasan seks
gambar hiasan
“Ia alat yang kita ada, saya rasa berguna kepada ibu bapa mencuba dan memastikan keselamatan anak mereka.”

Detektif kanan sarjan Darryln Noye dari Skuad Jenayah Seks Kanak-Kanak berkata ada 120 orang layak disiarkan melalui halaman web itu yang mula berhadapan masalah pelayan sebaik saja mula disiarkan pada Isnin.

Pada awalnya ia dikenali berdasarkan gambar, tarikh lahir, penerangan fizikal, nama dan nama samaran diketahui, sembilan pesalah seks dilaporkan hilang dan gagal melapor diri. 

sumber- AFP

Dibelasah curi sekampit beras

KEPALA BATAS - Akibat mencuri sekampit beras, seorang buruh teruk dibelasah sekumpulan peniaga di sebuah premis perniagaan di jalan utama dekat Kompleks Kailan di sini, petang semalam.

Lebih malang, suspek berbangsa Melayu lewat 20-an yang cedera di muka dan badan itu tidak ditolong pelanggan kedai runcit berkenaan dan orang ramai yang lalu lalang biarpun kejadian itu berlaku di tempat awam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 petang kelmarin, perbuatan jenayah suspek itu yang selamba mengendong sekampit beras yang diambil dari kedai berkenaan disedari pemiliknya.

Suspek diarah memulangkan beras berkenaan, tetapi tidak diendahkannya sebaliknya cuba melarikan diri sebelum dihalang seorang lelaki saudara pemilik premis berkenaan.

Dibelasah curi sekampit beras
Suspek (tengah) menundukkan mukanya semasa dibawa ambulans untuk rawatan lanjut
Kejadian itu dilihat oleh sekumpulan peniaga di sekitar premis berkenaan yang kemudiannya bertindak cuba menahan suspek sehingga berlaku pergelutan dan akhirnya suspek cedera dibelasah sebelum diikat kemudiannya.

Pemilik kedai yang enggan mendedahkan namanya berkata, kejadian itu bukan kali pertama berlaku tetapi kejadian terdahulu didiamkan sahaja.

Menurutnya, sebagai peniaga yang sudah lama menjalankan perniagaan kedai runcit di situ, dia mengenali sebahagian besar pelanggannya dan mengecam wajah suspek yang sebelum ini sering mencuri pelbagai barangan di kedainya tanpa membuat bayaran.

Sebaik polis tiba suspek dibawa ke Hospital Kepala Batas untuk rawatan lanjut kerana cedera teruk di muka dan beberapa bahagian badannya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Superintendan Mohd Shukri Awang yang dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Katanya, selepas diberikan rawatan suspek ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan hasil pemeriksaan mendapati suspek positif dadah jenis syabu.

sumber- Sinar

Lebih 20 dibunuh selepas tunai solat

Lebih 20 dibunuh selepas tunai solat
Pasukan perubatan membawa salah seorang mangsa yang parah ditembak penyerang.
KADUNA - Sekumpulan lelaki bersenjata menyerang sebuah perkampungan di utara Nigeria, menyebabkan 22 orang yang kebanyakannya baru selesai menunaikan solat terkorban, kelmarin.

Pegawai polis, Olufemi Adenaike berkata, serangan di sebuah kampung terpencil, Dogo Dawa dipercayai bermotifkan membalas dendam selepas empat ahli kumpulan bersenjata itu, ditahan anggota rukun tetangga kampung yang kemudian membawa mereka ke balai polis.

"Selepas kejadian itu, sekumpulan lelaki bersenjata dari kampung Kuyello menyerbu kampung ini, kemudian menembak penduduk kampung yang baru keluar dari masjid dan ada yang ditembak di rumah mereka," kata Dawa.

Daerah Kaduna sering diganggu oleh kumpulan pemberontakan Boko Haram sekali gus menyekat kebebasan penduduk yang terancam di tanah air sendiri.

Jenayah rompakan bersenjata dan perebutan kawasan sehingga mencetuskan situasi tembak-menembak, adalah perkara yang biasa berlaku di perkampungan penduduk miskin utara negara itu.

Pemimpin tradisional, Abdullahi Muhammad berkata, perkampungan yang bersebelahan dengan kawasan kerajaan tempatan, diserang oleh sekumpulan pemberontak yang terkenal.

"Kumpulan lelaki bersenjata yang beroperasi dari kem dalam hutan telah mengganas di kampung itu.

Mereka sering menyerang kampung-kampung dan pemandu kereta di sepanjang laluan sibuk Kaduna menghala ke lebuh raya Lagos," katanya. 

sumber- Reuters

Dongeng: Anak Itik Yang Hodoh

Anak Itik Yang Hodoh

Seekor itik betina sedang mengeramkan telurnya. Ada empat biji telur kesemuanya. Setelah beberapa lama, telur-telur itu pecah. Telur pertama, kedua dan ketiga menetaskan anak-anak itik berbulu kuning yang comel. Tinggal sebiji telur sahaja lagi yang belum menetas. Telur itu bersaiz agak besar. Akhirnya telur itu pun pecah. Ia menetaskan seekor anak itik yang besar dan berbulu kelabu. "Oh tidak! Kamu tidak sama dengan anak-anakku yang lain. Kamu sungguh besar dan hodoh!"Keluh ibu itik.

Pada hari berikutnya, ibu itik membawa anak-anaknya pulang ke reban. Itik-itik lain di reban itu ketawa apabila melihat anak itik yang berbulu kelabu dan hodoh itu. Mereka mematuk dan mengejarnya. Anak itik yang hodoh berasa amat sedih. Keesokan paginya, anak itik yang hodoh pun berjalan keluar meninggalkan reban. Ketika itu penghuni lain masih lagi tidur. Anak itik yang hodoh membawa dirinya tanpa arah tujuan. 

Akhirnya dia sampai ke sebuah kawasan semak. Anak itik yang hodoh duduk bersendirian di dalam semak tersebut. Dia berasa agak selamat namun, itu semua tidak lama. Menjelang petang, beberapa ekor itik liar tiba disitu."Kuek, kuek, kuek, pergi dari sini! Kamu sungguh hodoh!" kata mereka. Itik-itik liar itu mengetawakannya anak itik yang hodoh itu . Akhirnya anak itik yang hodoh terpaksa berlalu dari situ. 

Hari semakin lewat dan cuaca menjadi semakin sejuk. Dia terus berjalan sehinggalah bertemu sebuah pondok. Seorang perempuan tua yang tinggal di situ membenarkan dia masuk. Di dalam pondok itu ada seekor ayam betina dan seekor kucing. "Bolehkan kamu bertelur?" Tanya ayam betina"Tidak." Jawab anak itik yang hodoh. "Kalau begitu, kamu kena pergi dari sini!" kata ayam betina dan kucing. Sekali lagi, anak itik yang hodoh terpaksa membawa diri. Ke mana sahaja dia pergi, burung-burung dan binatang lain akan berkata, "Betapa buruk dan hodohnya kamu!"

Apabila musim sejuk tiba, seluruh kawasan mula dilitupi salji. Anak itik yang hodoh tidak tahu kemana hendak berlindung. Dia berasa amat sedih mengenangkan nasib dirinya. Dia memandang ke langit dan ternampak sekawan burung yang berbulu putih dan berleher panjangs edang terbang ke sana ke mari. "Alangkah seronoknya kalau aku dapat jadi seperti mereka," katanya sendirian. 

Akibat terlalu lapar dan letih akhirnya dia tertidur di atas salji itu. Keesokan paginya,seorang petani yang baik hati menemuinya lalu membawanya pulang. Isteri petani itu memanaskan tubuhnya dan memberinya makan. Anak itik yang hodoh menyangka akhirnya dia akan selamat di situ. Tengah hari itu, anak lelaki petani telah telah ternampak dirinya. Dia membawa anak itik yang hodoh itu bermain-main di dalam air. Namun, caranya yang kasar itu membuatkan anak itik yang hodoh berasa sungguh takut. 

Sebaik berkesempatan, anak itik yang hodoh pun melarikan diri. Akhirnya, dia tiba di sebuah kolam. Dia berasa selamat berlindung di situ. Dia pun tinggal di situ buat beberapa lama. Pada suatu hari, apabila dia mengibaskan kedua-dua kepaknya, dia berasa sungguh terkejut. Dia mendapati kepaknya begitu kuat dan bulu tubuhnya sudah bertukar putih. Dia berasa terkejut apabila mendapati dirinya boleh terbang. Dia berpusing-pusing di udara sebelum turun semula ke kolam . 

Dia ternampak bayangannya di permukaan air lalu berkata, "Wah, alangkah cantiknya. Bagaimana boleh terjadi begitu!" Kemudian, dia ternampak sekawan burung bewarna putih dan berleher panjang sedang berenang di kolam. Mereka sungguh cantik katanya di dalam hati. Burung-burung itu memandang ke arahnya dan berkata, "Kamu seekor angsa yang tampan. Marilah bermain bersama kami." "Saya? Saya seekor angsa?" tanyanya kehairanan. "Ya, cuba lihat bayangmu di dalam air. Betapa cantiknya bulumu yang putih dan lehermu yang  panjang itu!" Buat pertama kali dalam hidupnya, anak itik yang hodoh berasa cukup gembira. "Aku adalah seekor angsa! Aku benar-benar seekor angsa!" teriaknya riang. Kini dia tidak lagi dipanggil anak itik yang hodoh. Dia juga tidak akan bersendirian lagi.

sumber- scribd

Sekolah Rusia larang murid perempuan Islam pakai tudung

MOSCOW - Beberapa keluarga Islam tidak membenarkan anak perempuan mereka belajar di sekolah-sekolah di selatan Rusia selepas pihak sekolah melarang pemakaian tudung.

Mufti wilayah Stavropol, Muhammad-Haji Rakhimov semalam berkata, beliau menerima banyak aduan daripada beberapa keluarga yang mendakwa anak perempuan mereka tidak dibenarkan memakai tudung di sekolah.

pelajar perempuan Rusia
gambar hiasan
Katanya, isu tersebut menemui gagal diselesaikan selepas ibu bapa murid dan pihak sekolah enggan mengalah, menyebabkan beberapa murid perempuan tidak hadir ke sekolah selama dua minggu.

"Ibu bapa murid perempuan tidak membenarkan anak mereka ke sekolah dan situasi itu boleh menyebabkan agensi kebajikan kanak-kanak campur tangan," jelasnya. 

sumber- AFP

Tapir sesat dikejar anjing

ALOR GAJAH – Penduduk di perkampungan Orang Asli Bukit Payung, Taboh Naning, di sini, gempar apabila seekor tapir dewasa lari lintang-pukang masuk ke kampung itu akibat dikejar sekumpulan anjing, pagi kelmarin.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, tapir berkenaan ditemui dalam keadaan cedera di badan dipercayai dicederakan binatang buas sebelum tersesat di kebun getah penduduk.

Penduduk, Mohd Erwan Ridwan Abdullah, 26, berkata, dia yang berada di rumah ketika itu terdengar bunyi riuh rendah dan mendapati seekor tapir dikejar sekumpulan anjing.

“Melihat tapir berkenaan dalam ketakutan, kami segera mengejarnya yang lari ke arah projek pembinaan landasan kereta api dan menghalau anjing dari terus mengejarnya.

tapir di Melaka
Tapir yang ditemui sesat ke perkampungan Orang Asli Bukit Payung, kelmarin.
“Kami mengepung tapir yang terperangkap di sebalik tembok pagar landasan namun tidak berani menangkap nya sebelum saya mengambil tali di rumah untuk menjerat kakinya,” katanya.

Menurutnya, sejurus kaki belakang sebelah kiri tapir itu masuk ke dalam jerat, penduduk segera menariknya namun kedudukan jalan yang bercerun mengakibatkan haiwan itu tergelincir dan tidak boleh naik ke atas.

“Melihat keadaan tapir yang tidak berupaya bergerak, kami ikat kedua belah kakinya dan menggunakan kayu untuk dijadikan kandar sebelum cuba membawanya naik dengan kekuatan 12 penduduk.

“Kami mengambil masa kira-kira 20 minit untuk membawanya naik ke atas sebelum dimasukkan ke dalam pacuan empat roda dan ditambat di kawasan balai raya,” katanya.

Menurutnya, pada mulanya penduduk sepakat untuk melepaskan semula tapir itu ke dalam hutan namun setelah melihat keadaannya yang cedera mereka segera menghubungi pihak berkenaan.

Ketua Operasi JPAM Alor Gajah, Hamidah Puteh berkata, tapir berkenaan diberi rawatan awal sebelum diserahkan kepada Perhilitan.

sumber- Sinar

Maut tepi sampah

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki ditemui mati selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika sedang mengutip sampah berhampiran kafe siber di Jalan Raja Laut, malam kelmarin.

Mayat lelaki berusia 30-an itu ditemui mati oleh orang ramai dalam keadaan tidak terurus serta tidak mempunyai pengenalan diri.

Lelaki tersebut yang dipercayai penagih dadah dan alkohol itu terjatuh dan menyebabkan kepalanya terkena bucu di kaki lima.

Maut tepi sampah
Polis menjalankan pemeriksaan ke atas mayat yang mati dipercayai terkena renjatan elektrik.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai terjatuh, tetapi siasatan masih diteruskan.

“Mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

“Kematian diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Sumber berkata, dia melihat mangsa melalui jalan di hadapan kedai sebelum jatuh dan tidak bergerak.

Menurutnya, dia sempat melihat keadaan mayat mangsa dan mendapati ada kesan terbakar di kaki.

sumber- Sinar

Pelajar mati peha terputus

KIJAL – Seorang pelajar tingkatan empat maut dalam keadaan mengerikan selepas motosikal yang ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta BMW, di Kilometer 136.2 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Gerai Lemang Kijal, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, Che Ku Mohd Shafiq Asmawi Che Ku Mohd Sani, 16, beralamat di Taman Air Jerneh, Kemasik yang dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu ke Kuantan, mati serta merta di tempat kejadian.

Honda EX5 Dream
Motosikal yang ditunggangi Che Ku Mohd Shafiq Asmawi putus dua selepas bertembung dengan kereta BMW dalam kemalangan dekat Gerai Lemang Kijal.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Baru Kerteh itu yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 Dream, dipercayai berlanggar secara berdepan dengan kereta yang datang dari arah bertentangan menyebabkan mangsa tercampak ke tepi jalan.

Sejurus kemalangan itu, motosikal ditemui kira-kira 42 meter dari tempat mangsa yang juga anak sulung dari empat beradik terbaring.

BMW
Walaupun kereta BMW turut remuk, namun pemandunya yang juga seorang kontraktor terselamat.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam yang mengesahkan kejadian itu berkata, akibat pertembungan itu motosikal yang dinaiki mangsa terputus dua, sementara kereta BMW yang dinaiki seorang kontraktor remuk teruk di bahagian depan sebelah kanan.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kemaman untuk bedah siasat dan hasil pemeriksaan didapati mangsa meninggal dunia disebabkan kecederaan parah pada bahagian dada kanan dan paha kanan. Jenazahnya dituntut ahli keluarga kira-kira jam 2 pagi.

“Bagaimanapun, punca kemalangan masih dalam siasatan. Justeru kita harapkan orang awam yang melihat kejadian tampil memberi maklumat untuk membantu siasatan,” katanya.

Mereka yang mempunyai maklumat boleh datang ke balai polis berdekatan atau menghubungi talian 09-859 2222.

sumber- Sinar

Jumpa emas dalam sampah

PERSIARAN GURNEY – Pengalaman terjumpa rantai emas dalam timbunan sampah tidak mungkin akan dilupakan seorang pemungut barangan terpakai, Boon Siew Chin, 65, dari Tanjung Tokong di sini.

Dia yang melakukan pekerjaan itu selama 12 tahun, berkata, ia adalah barangan berharga pertama dijumpainya di Pantai Persiaran Gurney.

“Setiap pagi saya akan ke sini untuk kutip botol, kotak dan juga barang-barang yang boleh digunakan semula, tetapi pada hari yang bertuah itu saya terjumpa kotak kecil dalam selut dan sampah.

“Selepas membukanya saya amat terkejut kerana ada rantai emas dan saya segera membawanya ke kedai emas untuk bertanyakan jika ia tulen atau tidak, rupa-rupanya memang emas tulen,” katanya.

Jumpa emas dalam sampah
Siew Chin enggan wajahnya dirakam, membawa guni yang dipenuhi botol.
Punca pendapatannya itu pernah dianggap gila oleh sesetengah sanak saudaranya kerana biasanya orang mengutip siput ataupun kerang di tepi-tepi laut ketika air surut, berbeza bagi Siew Chin yang lebih suka mengutip sampah.

Siew Chin memaklumkan rutinnya bermula setiap pagi iaitu seawal jam 7 hinggalah 10 pagi ketika air sedang surut.

“Ini kerja yang saya buat kalau orang tidak panggil saya untuk cat rumah atau baiki paip air. Kalau datang sini memang saya boleh punggah dua guni botol.

“Botol yang saya kutip ini banyak di permukaan selut. Daripada air laut telan botol ini, lebih baik saya ambil dulu dan jual. Boleh buat duit,” katanya.

Pantai di sepanjang Persiaran Gurney sememangnya menjadi tempat paling popular dikunjungi orang ramai, khasnya pada waktu malam.

Namun mendukacitakan apabila pada waktu siang keadaan lautnya begitu kotor dan menjijikkan dengan selut dan taburan sampah yang dibuang orang ramai.

sumber- Sinar

Pelik! Budak suka makan mancis

Budak suka makan mancis

Pemalang – Seorang kanak-kanak perempuan Tiara Handayani (2,5) warga Dusun Sirandu, Kelurahan Purwosari, Kecamatan Comal, Kabupaten Pemalang, Jawa Tengah, mempunyai tabiat pelik iaitu gemar memakan mancis api. Dalam sekali makan sahaja, dia mampu menghabiskan satu hingga dua kotak mancis.

Tabiat pelik anak ke tiga pasangan Bejo (34) dan Sri Handayani (28) tersebut bermula ketika keluarga tersebut melihat Tiara berada di dapur seorang diri dengan mulut sedang mengunyah kepala mancis, sementara batang mancis api tersebut berselerakan di sekelilingnya.

“Waktu itu kami terkejut melihat Tiara memakan sekotak mancis sehingga habis, namun kami lega kerana keesokannya Tiara tidak mengalami sakit perut atau pening akibat makan bahagian kepala mancis itu,” kata Handayani, ibu kepada Tiara.

Handayani mengatakan, Tiara mula memiliki tabiat pelik tersebut sejak berusia sekitar satu tahun. “Untuk mencegah tabiat pelik itu supaya tidak terus berlanjutan, kami sering menyembunyikan kotak mancis ke dalam almari atau tempat lain, namun Tiara tetap pergi ke rumah jiran-jiran untuk mengambil sendiri mancis kemudian memakannya,” katanya.

Dia mengatakan, jika kotak berisi puluhan batang mancis tidak segera dibuang dari dapur atau disembunyikan di tempat yang tidak boleh dicapai olehnya, maka dalam sekali makan sahaja Tiara dapat menghabiskan sebanyak satu hingga dua kotak mancis.

Ibu bapa Tiara mengaku sudah hilang akal bagi melarang anak mereka dari terus melakukan tabiat peliknya, namun oleh kerana Tiara tidak pernah mengeluh sakit setelah memakan mancis, maka mereka terpaksa membiarkan tabiat gadis tersebut.

Selain itu, Tiara juga ada memujuk rakan-rakannya untuk ikut sama memakan mancis namun tidak ada yang mahu, kalau ada pun terus dimuntahkan kerana rasanya tidak sedap.

Sementara itu, Tiara mengaku suka memakan mancis kerana rangup seperti rasa coklat, sehinggakan jika makan sekali pasti mahu lagi.

Jururawat pelatih nyaris buta

STOKE: Seorang jururawat pelatih cedera dimuka selepas dilibas dengan pisau oleh seorang penceroboh di kediamannya.

Gemma Ball, 20, terpaksa menjalani jahitan dalaman selepas terkena pisau lelaki itu yang ditemuinya di belakang taman rumahnya di Stoke-on-Trent, Staffs. 

Pelatih itu ketakutan selepas penceroboh bertutup kepala itu menendang anjingnya sebelum melibas pisau itu pada mukanya, kira-kira tiga sentimeter dari matanya dalam kejadian yang berlaku siang hari itu. 

Gemma berkata: “Ibu dan bapa saya keluar kerja awal dan saya masih tidur apabila dikejutkan oleh bunyi salakan anjing.

Gemma Ball
Gemma Ball
“Saya bawa anjing peliharaan saya, Rosie dan Bella, keluar dan mereka terus berlari ke hujung taman.

“Saya mengekori mereka dan ternampak lelaki itu. Saya tergamam dan menjerit ke arahnya supaya keluar. 

“Bella meluru ke arahnya sambil menyalak. Tetapi lelaki itu menendang anjing saya, menyebabkan dia tercampak ke tembok. 

“Saya sangka dia mahu menikam Bella, menyebabkan saya memeluk anjing itu. 

Kemudian saya menyedari dia berlumuran darah.“Hanya selepas berlari melintas sebuah cermin baru saya tahu darah itu datang daripada saya.” 

sumber- DM

Isteri, 4 anak doktor rentung

ESSEX: Seorang ibu dan empat anaknya mati selepas rumah mereka di sini terbakar, dipercayai akibat perbuatan khianat.

Dua budak lelaki berusia 13 tahun dan enam tahun serta seorang perempuan berumur 11 tahun serta ibu mereka disahkan mati selepas ditarik keluar dari rumah itu.

Wanita yang mati dikenalpasti sebagai Sabah Usmani. Suaminya, Doktor Abdul Shakour hanya cedera ringan. Anak mereka yang terbunuh ialah Sohaib dan Rayan serta anak perempuan, Hira.

Abdul Shakour and Sabah Usmani
Gambar kenangan Doktor Abdul Shakour bersama isterinya
Anak lelaki ketiga, Muneeb, sembilan, dan anak perempuan, Maheen, tiga, diselamatkan oleh anggota bomba dan dibawa ke hospital. Bagaimanapun, Muneeb kemudian meninggal dunia di Hospital Princess Alexandra.

Ketua Bomba, David Johnson berkata, kebakaran itu bermula di tingkat bawah rumah ketika keluarga itu tidur di atas. Ia merebak dengan pantas, menunjukkan sejenis bahan pembakar mungkin digunakan.

Menurutnya, Dr Abdul berada di luar rumah apabila kebakaran bermula.

“Anggota bomba bertindak sedaya upaya untuk menyelamatkan keluarga itu,” kata Johnson.

Rakan Dr Abdul, Parvez Hamid, 43, yang melawat kediaman mangsa menyifatkan keluarga itu sebagai ‘keluarga contoh.’ “Keluarga itu cukup menakjubkan. Mereka baru saja menetap di sini dan keluarga kami dan keluarganya menjadi rapat. “Anak kami sering bermain bersama. Saya tertarik dengan tingkah laku dan sopan santun mereka. “Mereka ialah keluarga contoh. Abdul ialah doktor dan lelaki yang bijak. Saya diberitahu dia lompat dari tingkat atas untuk membunyikan penggera. “Dia dan isteri amat menyanyangi anak mereka dan akan melakukan apa saja untuk mereka.

“Apa yang berlaku amat mengejutkan. Isteri saya menangis sejak pagi. Dia dan Sabah berkawan baik,” kata Parvez. 

sumber- DM

Ukiran labu menyeramkan

Ukiran labu menyeramkan
MENARIK...pelbagai bentuk ukiran Villafane.
BELLAIRE: Inilah skulptur menyeramkan yang diukir daripada buah labu.

Artis, Ray Villafane dan Andy Bergholtz menghasilkan ciptaan Halloween yang menyeramkan ini di bengkel mereka. 

Bekas guru seni, Villafane mula mengukir tanpa sebarang latihan dan hanya meyedari bakatnya selepas menawarkan khidmat mengukir labu kepada seorang muridnya.

Dia kini boleh mengukir buah berkenaan dalam masa hanya dua jam.

Villafane yang berasal dari Bellaire di Michigan, Amerika Syarikat berkata: “Selalunya saya tidak mempunyai idea ukiran yang hendak saya lakukan.

“Saya hanya mulakan ukiran dan idea kreatif itu akan datang. 

“Hasilnya tidak semesti apa yang saya kehendaki dan selalu juga saya terpaksa buang labu itu dan memulakan yang baru.

“Labu itu adalah elemen paling penting dalam kerjaya saya. Saya akan mendapatkan kira-kira 50 jenis buah itu sebelum dapat menemui satu yang sesuai untuk diukir.

“Labu terbaik ialah yang lebih berat daripada saiznya. Ini bermakna ia tebal. Anda perlukan labu tebal supaya dapat mengukir imej 3-D daripadanya,” 

sumber- DM

Pelajar UMS rugi RM8,000 kena pukau

JOHOR BAHRU - Seorang penuntut Universiti Malaysia Sabah (UMS) mendakwa menjadi mangsa pukau menyebabkan dia kerugian lebih RM8,000 ketika membeli-belah di pasar raya Giant, Plentong di sini pada 9 Oktober lalu.

Ketika kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Nadzirah, 22, mengunjungi pasar raya berkenaan seorang diri untuk membeli kasut yang akan dipakai pada majlis konvokesyennya Sabtu ini.

awek kena pukau
NADZIRAH menunjukkan laporan polis dan barangan yang diberikan oleh dua lelaki yang didakwa melarikan wang tunai dan barang kemas miliknya di Pasir Gudang, Johor Bahru semalam.
Menurut pelajar Ijazah Sains Perhutanan itu, dia pada mulanya didatangi dua lelaki berusia dalam lingkungan 40-an yang mendakwa pelajar sekolah pondok dari Brunei dan meminta bantuannya menunjukkan kedai buku agama di pasar raya berkenaan.

Ujar Nadzirah lagi, salah seorang daripada mereka kemudian memberikannya sebiji batu berwarna merah sebagai tanda terima kasih.

"Mereka selepas itu mengajak pula saya ke sebuah restoran makanan segera berhampiran untuk berbicara mengenai agama.

sumber- Kosmo

Dongeng: Kapak Emas dan Kapak Perak

Si penebang pokok yang jujur

Pada zaman dahulu, tinggal seorang penebang pokok bersama ibunya yang miskin di dalam hutan. Selepas penat bekerja dia pun berehat.“Sudah sampai waktu makan,” katanya. Dia pun duduk dan memakan roti di atas sebatang tunggul kayu. Kemudian dia pergi ketebing sungai yang berhampiran untuk minum. Ketika membongkok untuk minum, kapak yang terselit di pinggangnya terjatuh ke dalam air.“Apa mesti ku buat? Aku tak boleh berenang. Lagi pun sungai ini amat dalam. Aku tak boleh bekerja tanpa kapakku. Apa patut ku lakukan?” keluhnya. Apabila mengenangkan ibunya yang sakit di rumah, si penebang pokok merasa semakin sedih. Pilunya tidak tertahan, lalu dia pun menangis. Tiba- tiba air sungai berbuih dan bersinar indah. Penunggu air menjelma dari dalam cahaya dan bertanya dengan lembut, “Hai penebang pokok, kenapa kamu menangis?” Dengan perasaan gerun, si penebang pokok menceritakan kepada penunggu air itu apa yang telah berlaku. “Kasihan! Oleh kerana kamu ingat kepada ibumu, aku akan tolong carikan kapakmu. Jadi janganlah risau,” kata penunggu itu. Kemudian dia pun menghilangkan diri ke dalam air.

Tidak lama kemudian, penunggu air muncul semula sambil memegang sebilah kapak emas. Dia bertanya kepada si penebang pokok. “Inikah kapakmu?” “Oh! Bukan, pasti bukan! Kapakku bukanlah kapak emas. Ia cuma kapak biasa sahaja,” jawab si penebang pokok. Penunggu itu ghaib lagi. Bila air berbuih semula, dia muncul dengan sebilah kapak perak di tangannya. “Inikah kapakmu?” tanyanya. Penebang pokok yang jujur itu menggelengkan kepalanya.“Bukan Tok! Kapakku biasa saja, bukan seperti itu,” jawabnya. Penunggu itu ghaib sekali lagi. Kemudian dia timbul dengan memegang sebilah kapak besi yang buruk. “Inikah kapakmu?” tanyanya.“Ya, Tok. Itulah kapakku. Terima kasih banyak- banyak. Dengan kapak ini, dapatlah aku bekerja kuat untuk menjaga ibuku,” jawab si penebang pokok.“ Kau seorang yang amat lurus. Akan ku beri kamu kedua-dua kapak emas dan perak sebagai balasan kejujuranmu,” kata penunggu itu sambil tersenyum. Si penunggu mengeluarkan kedua- dua kapak dari balik jubahnya dan memberikan kepada si penebang pokok.

Si penebang pokok yang terpegun itu menerima dengan tangan yang terketar- ketar. Kemudian penunggu itu pun ghaib. Keesokan harinya, si penebang pokok menunjukkan kapak emas dan kapak perak itu kepada kawan- kawannya. Dia juga menceritakan pengalamannya yang menakjubkan kepada mereka. Selepas mendengar cerita itu, seorang penebang pokok yang tamak menanyakan tempat kejadian itu dan segera berangkat ke sana. “Di sinikah tempatnya aku boleh mendapatkan kapak emas? Nah! Inilah kapakku,” katanya. Si penebang pokok yang tamak itu pun mencampakkan kapaknya ke dalam air lalu menangis. Tidak lama kemudian, air sungai berbuih dan penunngu sir pun menjelma.“Kenapa kamu menangis?” tanya si penunggu air itu. “Kapakku terjatuh ke dalam air. Tanpanya aku tak boleh bekerja dan ibuku yang sedang sakit akan mati,” jawab si penebang pokok yang tamak. Penunggu itu ghaib ke dalam air. Tidak lama kemudian, dia pun muncul dengan memegang sebilah kapak emas yang bersinar- sinar. “Inikah kapakmu?” Si penebang pokok yang tamak itu menghulurkan tangan dan berkata dengan gembira. “Ya Tok! Itulah kapakku.”Setelah mendengar jawapan si penebang pokok yang tamak itu, penunggu air berasa amat marah. “Tamak! Penipu! Ini kapakmu yang buruk,” katanya. Si penunggu itu pun ghaib bersama kapak itu dan tidak lagi memunculkan dirinya. Si penebang pokok yang tamak itu meratapi nasibnya kerana tidak dapat menanggung hidup tanpa kapak itu.

Pengetua dituduh rasuah

Bachok @ Abdul Samad Abdul Latip
BACHOK @ ABDUL SAMAD (bersongkok) diiringi keluar dari Mahkamah Sesyen Johor Bahru di Johor Bahru semalam.
JOHOR BAHRU – Seorang pengetua sekolah menengah agama dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini atas 14 pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan lebih RM1 juta bagi syarikat milik isterinya sendiri antara Julai 2011 hingga Julai lalu.

Pengetua Sekolah Menengah Agama (Arab) An-Nur, Bachok @ Abdul Samad Abdul Latip, 65, bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi kesemua tuduhan tersebut di hadapan Hakim Mohd. Nasir Mohd. Nordin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga pengasas kepada sekolah agama yang dulunya dikenali sebagai Al-Madrasah Al-Arabiah An-Nur yang sudah 30 tahun bertapak di Jalan Jaafar, Benut, Pontian, didakwa mengarahkan kakitangan dan guru sekolah tersebut untuk mengeluarkan 14 baucar dan 14 cek Maybank Islamic yang berbeza nilai sepanjang tempoh berkenaan.

Tertuduh didapati telah menandatangani baucar dan cek itu untuk membuat bayaran kerja membekal makanan bermasak di asrama sekolah tersebut kepada Syarikat Hajah Zainab Enterprise yang merupakan syarikat milik isterinya, Zainab Yahya, 60-an dengan nilai keseluruhan mencecah RM1,120,462.40.

Bapa kepada tiga orang anak itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di pejabatnya di sekolah itu di Jalan Jaafar, Benut, Pontian.

Dia didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama kerana menggunakan kedudukannya sebagai penjawat awam untuk apa-apa suapan, sama ada bagi dirinya sendiri, saudaranya atau sekutunya.

Jika disabit atas semua kesalahan, tertuduh boleh didenda RM5 juta dan 20 tahun penjara.

sumber- Kosmo

Perut hancur digilis lori tanah

kemalangan ngeri
KESAN seretan jelas kelihatan di tempat kemalangan yang mengakibatkan Muhamad Fikri maut di Jalan Cheras-Kajang kelmarin.
KUALA LUMPUR - Malang berganda.Hanya itu perkataan yang sesuai untuk menggambarkan mengenai satu kemalangan yang mengorbankan dua nyawa di Jalan Cheras-Kajang menghala ke pusat bandar berhampiran Taman Midah, Cheras di sini kelmarin.

Kejadian pukul 11.05 malam itu mengakibatkan Muhamad Fikri Khairol Anuar, 22, dan seorang lagi pejalan kaki yang belum dikenal pasti identitinya maut. Muhamad Fikri menunggang motosikal jenis Yamaha FZ.

Kemalangan berlaku apabila Muhamad Fikri yang merupakan juruteknik gagal mengelak lalu terlanggar lelaki warga asing tersebut yang tiba-tiba melintas di lorong kanan.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Abdullah Roning berkata, ekoran itu, Muhamad Fikri telah hilang kawalan lalu terjatuh hingga ke lorong tengah sebelum dilenyek oleh sebuah lori membawa muatan tanah dari arah sama.

Katanya, pemandu lori itu dipercayai tidak sempat membrek untuk mengelak daripada terlanggar mangsa yang terjatuh.

"Mangsa terseret beberapa meter hingga mengakibatkan bahagian dari perut ke kaki Muhamad Fikri hancur digilis.

"Pejalan kaki itu juga maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala. Kita percaya kejadian berpunca apabila pejalan kaki tersebut tidak menggunakan jejantas untuk melintas di jalan yang agak sibuk itu," katanya.

sumber- Kosmo

Isteri mati, suami ditahan

Norhana Mohd. Nordin
NORHANA disyaki mati selepas dicekik atau dijerut di lehernya Sabtu lalu.
SHAH ALAM - Seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung kematian isterinya yang didakwa terjatuh di dalam bilik air di rumah mereka di Apartmen Kiambang, Taman Bukit Subang, dekat sini Sabtu lalu.

Lelaki berusia 36 tahun tersebut ditahan kelmarin selepas polis mendapati keterangan yang diberikan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam bercanggah dengan siasatan polis. Suspek bekerja sendiri.

Difahamkan, mangsa dikenali sebagai Norhana Mohd. Nordin, 39, dan merupakan bekas pelajar Kolej Tunku Kurshiah, Seremban, Negeri Sembilan. Dia juga dikatakan merupakan bekas graduan Universiti Huddersfield, United Kingdom dan berasal dari Ipoh, Perak.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah berkata, suspek memaklumkan yang isterinya terjatuh di dalam bilik air ketika membawa wanita itu ke Hospital Sungai Buloh dekat sini.

sumber- Kosmo

Basikal kadbod dicipta

Izhar Gafni
BASIKAL kadbod Gafni lebih ringan.
MOSHAV AHITUV, Israel - Seorang pencipta Israel, Izhar Gafni mencipta sebuah basikal yang hampir keseluruhan badannya diperbuat daripada kadbod.

Menurut Gafni, basikal itu dihasilkan selepas menjalani banyak ujian.

Beliau yang berusia 50 tahun berkata, pengeluaran basikal itu akan bermula dalam tempoh beberapa bulan lagi dan akan dijual pada harga tidak lebih AS$20 (RM61.17).

"Semasa kami bermula (mencipta basikal tersebut) setahun setengah lalu, orang ramai ketawakan kami. Namun, kini kami menerima sebanyak 12 e-mel pada setiap hari untuk bertanyakan di mana mereka boleh membeli basikal itu," katanya.

Dia mencipta basikal itu di sebuah bengkel di sini.

Gafni meramalkan bahawa pada masa depan, kadbod mungkin digunakan dalam pembuatan kereta dan pesawat.

Kadbod dihasilkan daripada pulpa kayu yang dicipta pada abad ke-19. 

sumber- Reuters

Kenderaan amfibia dijual di AS

Quadski
KENDERAAN Quadski dipandu ke arah permukaan air di Oxford, Michigan pada 12 Oktober lalu.
DETROIT - Sebuah kenderaan amfibia yang boleh bergerak di permukaan air dijual di Amerika Syarikat (AS) pada harga AS$40,000 (RM122,279).

Kenderaan itu dikeluarkan oleh syarikat Gibbs Sports Amphibians Incorporation di sini.

Pihak pengurusan syarikat itu berharap kenderaan tersebut yang bernama Quadski akan dijual di seluruh dunia menjelang 2014.

Ia menggunakan enjin yang dibekalkan syarikat pengeluar kenderaan BMW dan mempunyai satu tempat duduk.

Kenderaan itu boleh bergerak sejauh 72 kilometer sejam di daratan dan butang khas perlu ditekan jika penggunanya mahu ia bergerak di permukaan air.

Butang itu akan menyebabkan empat tayar kenderaan itu 'dilipat' bagi boleh membolehkannya bergerak di permukaan air pada kelajuan yang sama di daratan. - Agensi

Baumgartner lebih pantas daripada kelajuan bunyi

Felix Baumgartner
TERJUNAN yang dibuat Baumgartner.
WASHINGTON - Pelagak ngeri Austria, Felix Baumgartner menjadi manusia pertama bergerak lebih pantas daripada kelajuan bunyi di luar sebuah kapsul kelmarin.

Dia terjun dari kapsul tersebut yang berada setinggi 39 kilometer (km) dari Bumi.

Kapsul tersebut bergerak ke udara dengan menggunakan belon helium.

Ia mengambil masa lebih dua jam untuk tiba pada ketinggian 39km dari Bumi.

Kelajuannya mencecah 1,342 kilometer sejam (km/j).

Lelaki itu 265km/j lebih pantas daripada bunyi.

Baumgartner, 43, kemudian mendarat dengan menggunakan payung terjun di sebuah kawasan di sebuah gurun di Roswell, New Mexico, Amerika Syarikat (AS).

Laman web syarikat minuman tenaga Red Bull menyiarkan aksi pelagak ngeri itu yang memakai pakaian seperti angkasawan semasa dia berada di dalam kapsul tersebut.

Baumgartner menanggalkan topi dan menggenggam kedua-dua tangannya selepas dia mendarat dengan selamat.

"Apabila saya berdiri di atas dunia, anda berasa rendah diri. Anda tidak berfikir tentang memecahkan rekod lagi. Anda juga tidak memikirkan untuk memperoleh data saintifik.

"Satu-satunya perkara yang anda fikirkan ialah pulang dengan selamat," katanya selepas dia selamat mendarat kepada wartawan stesen televisyen CBS.

Dia turut memecahkan rekod sebagai manusia pertama membuat terjunan dari altitud tinggi.

Sebelum ini seorang bekas pegawai tentera udara AS, Kolonel Joe Kittinger memegang rekod itu dengan terjun dari sebuah gondola pada ketinggian 31 kilometer dari Bumi dengan kelajuan 988km/j pada tahun 1960.

Baumgartner menyatakan pengalamannya terjun dengan lebih laju daripada bunyi itu sukar untuk digambarkan.

"Anda tidak mengetahui kepantasan anda," katanya.

Rekod itu kemudian disahkan oleh jurucakap Persekutuan Aeronautik Antarabangsa (FAI) pada sidang akhbar di Roswell, New Mexico.

Presiden Austria, Heinz Fischer mengucapkan tahniah ekoran kejayaannya dalam projek terjunan anjuran Red Bull Stratos.

Baumgartner pernah terjun dengan menggunakan payung terjun dari Bangunan Petronas di Kuala Lumpur pada 1999. 

sumber- Agensi

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...