Pada zaman dahulu, tinggal seorang penebang pokok bersama ibunya yang miskin di dalam hutan. Selepas penat bekerja dia pun berehat.“Sudah sampai waktu makan,” katanya. Dia pun duduk dan memakan roti di atas sebatang tunggul kayu. Kemudian dia pergi ketebing sungai yang berhampiran untuk minum. Ketika membongkok untuk minum, kapak yang terselit di pinggangnya terjatuh ke dalam air.“Apa mesti ku buat? Aku tak boleh berenang. Lagi pun sungai ini amat dalam. Aku tak boleh bekerja tanpa kapakku. Apa patut ku lakukan?” keluhnya. Apabila mengenangkan ibunya yang sakit di rumah, si penebang pokok merasa semakin sedih. Pilunya tidak tertahan, lalu dia pun menangis. Tiba- tiba air sungai berbuih dan bersinar indah. Penunggu air menjelma dari dalam cahaya dan bertanya dengan lembut, “Hai penebang pokok, kenapa kamu menangis?” Dengan perasaan gerun, si penebang pokok menceritakan kepada penunggu air itu apa yang telah berlaku. “Kasihan! Oleh kerana kamu ingat kepada ibumu, aku akan tolong carikan kapakmu. Jadi janganlah risau,” kata penunggu itu. Kemudian dia pun menghilangkan diri ke dalam air.
Tidak lama kemudian, penunggu air muncul semula sambil memegang sebilah kapak emas. Dia bertanya kepada si penebang pokok. “Inikah kapakmu?” “Oh! Bukan, pasti bukan! Kapakku bukanlah kapak emas. Ia cuma kapak biasa sahaja,” jawab si penebang pokok. Penunggu itu ghaib lagi. Bila air berbuih semula, dia muncul dengan sebilah kapak perak di tangannya. “Inikah kapakmu?” tanyanya. Penebang pokok yang jujur itu menggelengkan kepalanya.“Bukan Tok! Kapakku biasa saja, bukan seperti itu,” jawabnya. Penunggu itu ghaib sekali lagi. Kemudian dia timbul dengan memegang sebilah kapak besi yang buruk. “Inikah kapakmu?” tanyanya.“Ya, Tok. Itulah kapakku. Terima kasih banyak- banyak. Dengan kapak ini, dapatlah aku bekerja kuat untuk menjaga ibuku,” jawab si penebang pokok.“ Kau seorang yang amat lurus. Akan ku beri kamu kedua-dua kapak emas dan perak sebagai balasan kejujuranmu,” kata penunggu itu sambil tersenyum. Si penunggu mengeluarkan kedua- dua kapak dari balik jubahnya dan memberikan kepada si penebang pokok.
Si penebang pokok yang terpegun itu menerima dengan tangan yang terketar- ketar. Kemudian penunggu itu pun ghaib. Keesokan harinya, si penebang pokok menunjukkan kapak emas dan kapak perak itu kepada kawan- kawannya. Dia juga menceritakan pengalamannya yang menakjubkan kepada mereka. Selepas mendengar cerita itu, seorang penebang pokok yang tamak menanyakan tempat kejadian itu dan segera berangkat ke sana. “Di sinikah tempatnya aku boleh mendapatkan kapak emas? Nah! Inilah kapakku,” katanya. Si penebang pokok yang tamak itu pun mencampakkan kapaknya ke dalam air lalu menangis. Tidak lama kemudian, air sungai berbuih dan penunngu sir pun menjelma.“Kenapa kamu menangis?” tanya si penunggu air itu. “Kapakku terjatuh ke dalam air. Tanpanya aku tak boleh bekerja dan ibuku yang sedang sakit akan mati,” jawab si penebang pokok yang tamak. Penunggu itu ghaib ke dalam air. Tidak lama kemudian, dia pun muncul dengan memegang sebilah kapak emas yang bersinar- sinar. “Inikah kapakmu?” Si penebang pokok yang tamak itu menghulurkan tangan dan berkata dengan gembira. “Ya Tok! Itulah kapakku.”Setelah mendengar jawapan si penebang pokok yang tamak itu, penunggu air berasa amat marah. “Tamak! Penipu! Ini kapakmu yang buruk,” katanya. Si penunggu itu pun ghaib bersama kapak itu dan tidak lagi memunculkan dirinya. Si penebang pokok yang tamak itu meratapi nasibnya kerana tidak dapat menanggung hidup tanpa kapak itu.
kisah yang byk pengajaran
ReplyDelete