Selamat Datang Ke blog-ketegaq.blogspot.com

Blog terbaik yang menyediakan pelbagai cerita dan artikel menarik dari seluruh dunia. Like kami di facebook tanda sokongan anda dan untuk mendapat update artikel terkini dari kami.

Isu Semasa

Artikel-artikel terkini mengenai isu semasa dalam dan luar negara. Segalanya dari sumber-sumber yang boleh dipercayai.

Pelik

Segala fakta dan artikel mengenai perkara-perkara yang pelik boleh diperolehi di sini. Semua artikel adalah berdasarkan sumber dan kesahihannya anda sendiri tentukan.

Herba Dan Botani

Artikel mengenai tumbuh-tumbuhan yang digunakan untuk perubatan dan penjagaan kesihatan.

Alam Ghaib

Himpunan artikel mengenai alam ghaib yang sukar diperjelaskan dengan mata kasar. Admin mengalukan sumbangan artikel, gambar-gambar atau video untuk dikongsi bersama dalam blog ini.

Monday, October 8, 2012

Toyota Vios terjun longkang

Toyota Vios

Seorang lelaki nyaris maut apabila kereta Toyota Vios yang dipandunya hilang kawalan lalu terjunam ke dalam longkang besar di Persiaran Forest Height dekat sini, Isnin.

Jurucakap polis berkata kereta yang dipandu mangsa, Goh Chee Seng, 24, dipercayai hilang kawalan akibat keadaan jalan yang licin ketika dia dalam perjalanan dari bandar ke tempat kerjanya di sebuah pasaraya di Senawang dalam kejadian kira-kira 10.20 pagi.

Chee Seng yang memandu bersendirian berjaya merangkak keluar daripada kereta yang dipandunya dan mendapat bantuan orang ramai sebelum dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk mendapatkan rawatan.

sumber- BERNAMA 

481,424 Calon Duduki PMR Esok

keputusan peperiksaan PMR

KUALA LUMPUR: Sebanyak 481,424 calon akan menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang bermula esok sehingga 16 Oktober ini di 3,560 pusat peperiksaan di seluruh negara.

Menurut kenyataan Lembaga Peperiksaan Kementerian Pelajaran hari ini, mereka melibatkan 448,436 calon sekolah kerajaan, bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan, manakala 5,846 calon adalah dari sekolah di bawah agensi kerajaan seperti Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Seramai 10,051 calon lagi adalah dari sekolah menengah agama negeri, 13,728 calon sekolah swasta, 1,151 calon persendirian dan 2,212 calon sekolah menengah agama rakyat.

Sementara itu di JOHOR BAHARU, Pengarah Pelajaran Johor Mohd Nor A.Ghani berkata sebanyak 58,138 calon dari 279 buah sekolah di negeri itu akan menduduki PMR tahun ini.

"Sebanyak 396 pusat peperiksaan dibuka yang melibatkan 3,411 jumlah petugas. Ia melibatkan 93 penyelia kawasan, 396 ketua pengawas, 396 pembersih bilik dan 2,526 pengawas peperiksaan," katanya dalam kenyataan, di sini, Isnin.

Mohd Nor berkata terdapat dua calon yang menduduki peperiksaan sebagai calon tahanan iaitu di Pusat Pemulihan Akhlak Kempas, di sini.

Selain itu, 17 calon rabun, 31 calon pekak dan bisu serta seorang calon buta turut menduduki PMR kali ini, katanya.

sumber- BERNAMA

Seluar renang tidak dibasuh James Bond berharga £44,450

seluar renang James Bond

Sesuatu barangan yang memiliki nilai sejarah atau seni mungkin akan sangat berharga bagi sesetengah individu. Antaranya seluar renang James Bond yang tidak dicuci, dibida dengan harga £44,450.

Seluar renang yang dipakai Daniel Craig dalam filem 'Casino Royale' itu merupakan barang paling mahal yang berjaya dijual jika melihat dari 'bentuknya'. Seluar renang berwarna biru itu bersaiz L.

"Saya memberitahu pada anda bahawa seluar ini tidak dicuci," kata pelakon Judy Dench yang berperanan sebagai M dalam filem tersebut.

Judi merupakan salah seorang pelakon yang hadir dalam acara lelongan barang-barang James Bond, Jumaat (5/10/2012) lalu yang digelar rumah lelongan Christy. Sebanyak 50 jenis barangan kenangan 007 dilelong sebagai memperingati 50 tahun filem James Bond.

Antara barangan lain yang dijual ialah kereta Aston Martin DB5 yang dipandu oleh Daniel Craig. Kereta itu terjual dengan harga £241,250.

Hasil dari lelongan tersebut akan disumbangkan ke Unicef ​​UK dan Childline.

Lelaki dengan imej botak lebih dominan

fesyen kepala botak
Bryan Cranston dan Samuel L. Jackson (kanan) antara personaliti Hollywood yang muncul dengan imej botak. – Foto ihsan lifeinc.today.com
KAJIAN mendapati lelaki botak bersifat lebih dominan, lebih maskulin dan sesuai untuk menjadi pemimpin.

Menurut penyelidik, Albert Mannes, beliau memutuskan untuk membotakkan kepalanya apabila mula mengalami masalah keguguran rambut di usia 30-an dan mendapati ramai yang melayannya dengan cara berbeza dan mula berfikir untuk membuat kajian berhubung senario tersebut.

Dalam ujian pertama, beliau menunjukkan gambar peserta lelaki dengan kepala botak dan peserta yang mempunyai rambut.

Undian jelas memihak kepada si botak dengan statistik yang tinggi berbanding lelaki berambut.

Bagi eksperimen kedua, Mannes menunjukkan seorang lelaki mempunyai rambut dan lelaki sama dengan kepala botak menggunakan teknik Photoshop.

Keputusan bancian itu kemudiannya memihak kepada lelaki botak kerana disifatkan lebih berpotensi untuk berkuasa, berkeyakinan, lebih maskulin dan tinggi sifat kepimpinan.

“Ini menunjukkan lelaki botak mampu memberi mereka rangsangan sosial dan psikologi dan mampu membuka laluan di tempat kerja serta dalam kehidupan,” katanya.

Tetapi, ini tidak bermakna lelaki botak mampu menjadi pemimpin yang baik, ia juga boleh menjadi sebaliknya.

“Orang ramai boleh memberi mereka peluang untuk menunjukkan sifat kepimpinan tetapi proses ini tetap memakan masa dengan melibatkan persepsi sosial di kalangan rakan sekerja, jadi lelaki botak juga mampu merawat masa depan mereka,” ujar beliau.

Jadi, jika lelaki di luar sana mengalami masalah keguguran rambut, Mannes berkata, membotakkan kepala mungkin boleh manjadi altenatif dengan kadar kos yang lebih rendah.

sumber- Sinar

Lelaki langgani pelacur aniaya isteri

KUALA LUMPUR: Individu yang dijangkiti penyakit kelamin seperti sifilis akibat melanggan pelacur dan wanita pelayan pelanggan (GRO) berisiko mendedahkan pasangan mereka kepada keguguran, kerosakan rahim dan mandul seumur hidup jika mengadakan hubungan bersama.

Pakar sakit tuan, Dr Ismail Tamby berkata, ramai lelaki tidak sedar perbuatan mereka melakukan seks oral dengan pasangan haram di luar walaupun untuk keseronokan sementara mendedahkan mereka kepada penyakit kelamin dikenali ‘non-gonococcal urethritis’ (NGU).

bahaya tempah pelacur
gambar hiasan
“Kebanyakan kes dirujuk menunjukkan penyakit itu diperoleh individu ketika berkunjung ke spa dan mengadakan seks oral untuk memuaskan nafsu, namun tanpa disedari akibat perbuatan itu, mereka mendedahkan risiko kepada pasangan.

“Apa yang berlaku memang pada awalnya tidak mempunyai sebarang tanda dan selepas pulang ke rumah serta mengadakan hubungan intim bersama pasangan, dia (suami) sebenarnya sudah mendedahkan penyakit kepada isteri,” katanya.

Beliau mengulas laporan muka depan Harian Metro kelmarin mengenai pengakuan seorang remaja wanita Vietnam, Chi, 16, yang menghidap penyakit kelamin kronik akibat dieksploitasi sebagai pekerja seks.

sumber- HMetro

Jerat gadis seksi

KUALA LUMPUR: Bermodalkan pakaian seksi dan gaya menggoda, seorang wanita berusia 20-an dikesan menggunakan taktik itu untuk menghampiri mana-mana lelaki bagi menjerat mereka.

Selepas berjaya menghampiri lelaki terutama individu yang bersendirian di Jalan Raja Laut, di sini, wanita terbabit akan mengumpan mangsa untuk ke rumahnya. 

Di rumah berkenaan, siap menunggu dua lelaki berusia lewat 20-an yang bersenjatakan kayu dan pisau sebelum seorang daripadanya mengaku suami kepada wanita terbabit. 

bahaya perempuan seksi
gambar hiasan
Mangsa yang terperangkap dipaksa menyerahkan wang atau barangan berharga kepada kumpulan berkenaan.

Difahamkan, sudah lebih 10 lelaki menjadi mangsa kelicikan kumpulan itu membabitkan kerugian puluhan ribu ringgit.

sumber- HMetro

Kaki skodeng dibelasah mati

skodeng tandas perempuan

GEORGETOWN: Seorang lelaki warga emas terpaksa membayar dengan nyawanya apabila dia dibelasah orang ramai ketika mengintai seorang wanita dalam tandas di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini, menyebabkan dia di masukkan ke wad neurologi Hospital Pulau Pinang (HPP) sebelum meninggal dunia, malam kelmarin.

Mangsa yang berusia 59 tahun meninggal dunia kira-kira jam 9 malam selepas dimasukkan ke hospital sejak seminggu lalu kerana mengalami pendarahan dalam otak. 

Dalam kejadian Sabtu lalu, seorang peniaga wanita masuk ke tandas untuk membuang air kecil sebelum menyedari dia diintai seorang lelaki melalui celahan pintu yang renggang. 

Wanita terbabit kemudian menjerit meminta tolong dan seorang saudaranya masuk dan terserempak seorang lelaki yang berada di tandas bersebelahan.

Suspek yang berusia 59 tahun dan juga seorang pengemis dipukul beramai-ramai oleh orang awam yang berang sebelum diserahkan kepada polis.

sumber- HMetro

Acara Anime diserang tebuan

gambar anime Jepun


TOKUSHIMA- Sekurang-kurang 11 individu dilaporkan terkena sengatan tebuan ketika menghadiri acara Anime yang dianjurkan di sebuah gunung di Wilayah Tokushima.

Kesemua mangsa berusia antara 17 hingga 47 tahun.

Mereka dibawa ke hospital untuk menerima rawatan setelah terkena sengatan di bahagian muka dan juga tangan, lapor TV Asahi.

Menurut pihak polis, tebuan yang menyerang muncul secara tiba-tiba ketika acara Anime baru sahaja bermula di Gunung Bizan kira-kira jam 10.30 pagi waktu tempatan.

Polis berkata, para pengunjung berjalan sepanjang laluan di gunung tersebut dan kemungkinan sarang tebuan turut berada berdekatan.

Lelaki Kanada mengaku dera isteri

suami dera isteri

BANDAR SERI BEGAWAN: Seorang lelaki rakyat Kanada semalam mengaku bersalah atas dakwaan mendera isterinya dan akan dijatuhkan hukuman esok (hari ini) oleh Mahkamah Majistret Bandar Seri Begawan.

Arnold Frederick Tauber berkelahi dengan isterinya mengenai masalah kewangan pada 16 September lalu.

Tauber pulang dalam keadaan mabuk dan mengejutkan isterinya dengan menendang pintu bilik tidur lalu mencetuskan pergaduhan. 

Tauber menolak isterinya ke dinding sebelum mencampakkan wanita itu ke atas katil menyebabkan mangsa cedera di dahi dan mengalami pendarahan. 

Dua anak perempuannya yang mendengar kekecohan itu bergegas masuk ke dalam bilik tidur ibu bapa mereka.

Kedua-duanya kemudian membantu mangsa sebelum menghubungi polis. 

sumber- BT

Taman port memadu asmara

Taman port memadu asmara
Pasangan yang duduk berdua-duaan di Taman Rekreasi Tampin.
TAMPIN – Memalukan. Itulah luahan orang awam berikutan lokasi riadah pada waktu petang dicemari dengan segelintir pasangan muda memadu kasih di situ.

Tindakan pasangan berkenaan bukan saja melangkaui batasan agama, malah menunjukkan contoh kurang sopan kepada golongan kanak-kanak, lebih-lebih lagi kawasan itu menjadi tumpuan keluarga.

Itulah situasi yang berlaku di Taman Rekreasi Tampin, di sini, seolah-olah tiada pemantauan pihak berkenaan.

Penduduk tempatan, Azahar Kasim, 40-an berkata, dia sering menghabiskan waktu petangnya di taman berkenaan untuk berjoging.

Azahar mengakui sering ternampak pasangan kekasih muda atau mungkin masih di bangku sekolah berkelakuan tidak sopan di sebalik pokok besar di taman berkenaan.

“Mula-mula memang saya terperanjat dan malu kerana budaya ini tidak sepatutnya berlaku di negara ini.

“Namun, apabila ia semakin berleluasa, rasa malu saya bertukar menjadi marah dan berharap agar pihak berkenaan segera buat pemantauan," katanya kepada Sinar Harian.

Tinjauan Sinar Harian juga mendapati, lokasi terbabit dicemari 'drama' segelintir pasangan seawal 2 petang di lokasi terlindung daripada orang ramai.

Seorang penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai Rahmat, 50-an berkata, dia kesal kerana taman rekreasi itu disalahgunakan golongan muda.

“Jika pasangan terbabit beri alasan mahu berehat di sini, kelakuan mereka tetap salah kerana duduk dengan pasangan bukan muhrim dalam keadaan mencurigakan," katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Daerah Tampin (MDT), Razali Bakar berkata, taman rekreasi itu adalah kemudahan yang terdapat berhampiran pusat bandar bagi membolehkan masyarakat beriadah dalam usaha membudayakan cara hidup sihat.

“Bagaimanapun, sekiranya perkara ini berlaku iaitu kelakuan tidak senonoh pasangan di lokasi tersembunyi di taman ini, diharap pihak berkenaan dapat memantau aktiviti tidak bermoral ini," katanya.

sumber- Sinar

Wanita Singapura kelima paling tak setia di dunia

SINGAPURA: Kaji selidik Durex baru-baru ini menyenaraikan wanita Singapura yang kelima paling tidak setia di dunia.

Pungutan pendapat daripada 29,000 wanita di 36 negara meletakkan Ghana di tangga pertama dengan 62 peratus apabila wanitanya mengakui menipu teman lelaki dan suami mereka. 

Wanita Thai berada di kedudukan kedua dengan 59 peratus, wanita Malaysia ketiga (39 peratus) dan Russia keempat (33 peratus).

Wanita Singapura kelima paling tak setia di dunia
gambar hiasan
Di tangga kelima adalah wanita Singapura yang tidak begitu setia dengan 19 peratus.

Menyenaraikan lelaki Singapura sebagai paling ramai melakukan seks rambang di Asia, kaji selidik jenama kondom itu berkata, mereka mempunyai 16 pasangan secara purata dalam kehidupan mereka. 

sumber- ST

Sophie wanita RoboCop

Sophie Morgan
SOPHIE amat teruja apabila dapat meninggalkan kerusi roda dan kembali berjalan dengan bantuan Rex untuk kali pertama.
LONDON: Sophie Morgan boleh dianggap seorang RoboCop apabila separuh daripada tubuhnya berfungsi dengan bantuan peralatan canggih bernilai £90,000 (RM443,747).

Bagi sesiapa yang melihat Sophie, pasti akan berasa kagum.

Dari pinggang ke bawah, setiap tubuhnya disokong alat bermotor diperbuat daripada gentian karbon. Sophie, 27, mengawal pergerakan mesin itu menggunakan alat pada tangannya bagi membolehkan kakinya berjalan. 

Pada tiga langkah terawal, Sophie kelihatan menahan sakit tetapi dia tersenyum lebar beberapa detik kemudian. Hanya lima minit sebelum itu, dia hanya mampu duduk di kerusi roda apabila pergerakannya jadi sangat terbatas akibat lumpuh dari paras dada ke bawah.

Sophie ditimpa bencana sembilan tahun lalu apabila kereta dinaikinya terbabit dalam kemalangan dan insiden itu merosakkan tulang belakangnya.

Selepas beberapa tahun, dia menerima kenyataan tidak akan berjalan lagi seperti sebelum ini. Namun, media semalam melaporkan, Sophie adalah antara manusia pertama mendapat faedah daripada alat dikenali sebagai Rex itu.

Sophie Morgan
SOPHIE (tengah) diberi peluang mencuba Rex disaksikan keluarga dan teman lelakinya, Tom (dua dari kiri).
Rex adalah kemajuan perubatan besar pertama dicapai untuk membantu orang lumpuh sejak beberapa dekad lalu. Ia membantu pesakit termasuk yang lumpuh dari paras leher ke bawah - untuk kembali berjalan.

Dalam perkataan lain, Rex akan menamatkan penggantungan pesakit lumpuh kepada kerusi roda. Sophie - kini bertugas sebagai penyampai televisyen - mencuba Rex kali pertama pada Mei lalu.

Katanya, ia adalah pengalaman yang sukar diceritakan.

“Dengan ketinggian 1.5 meter, lantai kelihatan begitu jauh apabila memakai Rex.

“Saya berasa selamat tetapi emosi bercampur-baur dan selepas beberapa minit saya tidak percaya boleh berjalan,” katanya. Pengalaman itu menyebabkan dia terus mahu mencuba Rex secara berterusan. 

Teman lelaki Sophie, Tom, 28, berkata sejak berkenalan lima tahun lalu, Rex membolehkan dia melihat kekasihnya berdiri untuk kali pertama. Ketika ini ada hanya 10 unit Rex dicipta dan 30 orang pernah mencubanya. 

sumber- DM

Cubaan kedua samun gagal

penyamun ditahan polis
BANGUN...suspek yang ditahan di tempat kejadian, semalam.
SEPANG: “Ketika sedang membeli buah naga, tiba-tiba jalan sesak, mulanya saya ingatkan kemalangan jalan raya, tidak lama selepas itu terdengar dua das tembakan sebelum melihat seorang lelaki ditahan polis dengan kaki berlumuran darah dan mengaduh kesakitan di tepi jalan,” kata saksi yang hanya ingin dikenali sebagai Salleh.

Pada masa sama, dia melihat seorang lagi lelaki melarikan diri ke laluan bertentangan menaiki motosikal.

“Selain itu, seorang lelaki India turut tercedera di lengan kiri, rupa-rupanya dia ditetak ketika cuba disamun. Kejadian berlaku amat pantas dan keadaan di situ kecoh seketika...nasib baik penyamun itu dapat ditangkap.

“Beberapa orang awam lain melihat tiga lagi rakan penyamun melarikan diri menaiki dua motosikal,” katanya di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 1.15 petang itu, suspek cedera di paha kiri selepas ditembak polis ketika cuba menyamun seorang lelaki dikenali K Panneer, 28, di Pekan Sungai Pelek, dekat sini.

sumber- HMetro

Budak Gian Mengemis

pengemis muda

BUKIT MERTAJAM: Termakan hasutan kawan bagi mendapatkan wang dengan cara mudah, seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun berasal dari daerah ini bertindak nekad melarikan diri dari rumah lebih 10 kali sejak hampir dua tahun lalu untuk menjadi pengemis di beberapa negeri.

Malah, kanak-kanak yang dikenali sebagai Shah itu meninggalkan persekolahan semata-mata mahu mengikut kenalannya, seorang warga asing berusia 20-an, menjadi peminta sedekah di Pulau Pinang, Kedah, Kuala Lumpur, Melaka dan Johor.

memohon maaf kepada ibu
INSAF...Shah memeluk ibunya, Fatimah dan meminta maaf.
Bagaimanapun, Shah kini insaf dan kesal dengan perbuatannya selepas ditangkap ketika asyik bermain di pusat permainan komputer di Melaka sebelum diserahkan kepada keluarganya, Julai lalu. 

Sepanjang tempoh menjadi pengemis dan melarikan diri dari rumah itu, kanak-kanak terbabit menginap di hotel murah yang dibayar menggunakan wang hasil mengemis selain menjual surah Yasin kepada orang ramai dengan harga RM3 senaskhah.

Shah berkata, pendapatan diperolehnya antara RM60 dan RM200 sehari dibahagikan dengan rakannya selain diasingkan untuk membayar hotel, membeli pakaian serta makan.

sumber- HMetro

Kunjungan bawa maut

gambar mangsa bunuh berlumuran darah
MAUT...anggota polis forensik melakukan siasatan pada mayat mangsa.
SHAH ALAM: Kegembiraan seorang sahabat menemui rakan senegaranya berakhir tragedi apabila dia ditemui mati dalam keadaan ngeri dengan perut terburai di kaki lima sebuah bangunan pejabat kosong di Jalan Kota Raja, Hicom Town Centre di Seksyen 27, di sini awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Santhartun, 31, warga Myanmar ditemui orang awam dalam keadaan terlentang berlumuran darah dengan kesan tikaman di perut.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, sejurus menerima maklumat kejadian pada jam 10.30 pagi, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam dikejarkan ke tempat kejadian bersama sepasukan forensik.

“Berdasarkan maklumat diterima, mangsa dipercayai baru tiba dari Ipoh malam kelmarin untuk bertemu rakannya yang menyewa di bangunan berkenaan.

“Siasatan awal mendapati sebelum kejadian berlaku, mangsa dan suspek baru pulang dari kelab malam berhampiran rumah sewa dalam keadaan mabuk.

“Mangsa dan suspek kemudian bertengkar sehingga berlarutan ke bahagian bawah rumah sebelum suspek naik semula untuk mengambil pisau pemotong sayur sebelum menikam perut mangsa bertubi-tubi,” katanya.

Zahedi berkata, melihat mangsa yang sudah tidak bernyawa, suspek yang ketakutan terus melarikan diri dan gerakan memburunya sedang dijalankan.

Beliau berkata, mangsa dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan dalaman di perut selain mengalami pendarahan teruk akibat ditikam.

Katanya, pemeriksaan polis di rumah suspek juga menemui sebilah pisau pemotong sayur berukuran 20 sentimeter dipercayai digunakan suspek menikam mangsa.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat.

“Hasil siasatan awal mendapati suspek berusia 29 tahun dan bekerja di kedai perabot berhampiran rumah sewa mereka. Sewaktu melarikan diri, difahamkan suspek memakai baju T-shirt berwarna putih.

“Polis juga menahan dua rakan serumah mangsa berusia awal 30-an bagi membantu siasatan,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) kerana membunuh dan sabit kesalahan boleh dihukum mati.

Orang ramai yang mempunyai butiran lanjut mengenai suspek diminta menghubungi balai polis berhampiran untuk menyalurkan maklumat.

sumber- HMetro

4 maut, Nissan Skyline dan GTR terbabas

Nissan Skyline
KEADAAN kereta Nissan Skyline yang remuk teruk selepas merempuh pokok di Jalan Haji Ahmad 1, Kuantan semalam.
KUANTAN - Empat termasuk seorang pekerja spa wanita warga China maut manakala dua lagi cedera parah apabila dua buah kereta yang dipandu laju terbabas dan melanggar pokok di Jalan Haji Ahmad 1 menghala ke arah Semambu di sini semalam.

Mangsa-mangsa yang terbunuh dalam kemalangan ngeri pada pukul 4 pagi itu ialah pemandu kereta Nissan GTR, Tan Kah Yong, 24, dari Klang, Selangor dan penumpangnya wanita warga China, Bao Shanshan, 26.

Dua lagi mangsa yang terkorban ialah pemandu kereta Nissan Skyline iaitu Go Haw Wei, 20, dari Alor Akar di sini dan penumpang sebelah pemandu Koay Khor Liang, 21, dari Bukit Sekilau di sini.

Dua yang cedera parah juga merupakan warga China yang menaiki Nissan GTR. Dua mangsa itu juga pekerja spa sama dengan Bao. Mereka ialah Wei Li Dong, 27, dan Chang Hong Nei, 36.

Pegawai Penguat Kuasa Tadbir/Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, Asisten Superintendan Zainalabidin Othman berkata, sebelum kejadian kedua-dua buah kereta tersebut dipercayai dipandu laju sehingga terbabas dan melanggar pokok.

sumber- Kosmo

Filipina berdamai dengan barisan Moro

Filipina berdamai dengan barisan Moro
GAMBAR fail menunjukkan anggota-anggota Barisan Pembebasan Islam Moro berkawal di dalam sebuah pangkalan mereka di Kem Darapan, wilayah Sultan Kudarat, selatan Filipina pada 5 September 2011.
MANILA - Presiden Filipina, Benigno Aquino III mengumumkan semalam bahawa pentadbirannya mencapai persetujuan awal perjanjian damai dengan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) yang merupakan kumpulan pemberontak Islam terbesar di negara itu.

Beliau berkata, persetujuan itu merupakan satu kejayaan besar ke arah menamatkan pemberontakan yang berlanjutan selama sedekad di selatan negara itu.

Menurut Aquino, rangka kerja persetujuan tersebut merupakan jaminan pemberontak MILF menamatkan perjuangan mereka untuk berpisah dari Filipina.

Persetujuan damai tersebut memberi laluan kepada penubuhan sebuah wilayah autonomi untuk penduduk minoriti Islam di selatan Filipina.

Perjanjian damai tersebut yang akan dimeterai pada 15 Oktober ini di Manila menggariskan prinsip asas berhubung beberapa isu utama termasuk pembahagian kuasa, hasil dan wilayah di rantau berpenduduk Islam tersebut.

Jika segalanya berjalan lancar, satu perjanjian damai yang muktamad akan ditandatangani menjelang tahun 2016 apabila penggal pemerintahan Aquino berakhir.

"Persetujuan asas memberi laluan kepada keamanan muktamad dan berpanjangan di selatan Filipina," kata Aquino.

"Ia bermakna tangan yang pernah mengangkat senjata (para pemberontak MILF) akan digunakan untuk berbudi kepada tanah, menjual produk dan membuka laluan untuk pelbagai peluang lain," tambahnya.

Persetujuan tersebut merupakan kejayaan terbesar proses rundingan dengan MILF yang memiliki 11,000 anggota sejak 15 tahun lalu.

Pemberontakan MILF telah menyebabkan lebih 120,000 orang terbunuh dengan sekitar dua juta orang lagi menjadi pelarian selain membantutkan pembangunan di selatan Filipina. 

sumber- Agensi

Filem E.T masih diminati ramai

E.T The Extra-Terrestrial
SALAH satu adegan yang terdapat dalam filem E.T.: The Extra-Terrestrial.
LOS ANGELES - Seorang pengkritik filem Amerika Syarikat (AS), Christy Lemire masih terharu seperti tiga dekad lalu apabila dia menonton filem sains fiksyen popular, E.T.: The Extra-Terrestrial di sebuah pawagam pada Rabu lalu.

Filem yang diarahkan oleh Steven Spielberg pada tahun 1980-an yang mencipta fenomena di seluruh dunia itu bakal menemui peminat dalam bentuk cakera video digital sinar biru bermula esok.

Filem E.T memenangi empat Anugerah Akademi dan menjana hasil kutipan tiket hampir AS$800 juta (RM2.44 bilion) selepas tayangannya di seluruh dunia.

Ia menceritakan tentang persahabatan antara makhluk asing dengan sekumpulan kanak-kanak lakonan Henry Thomas, Robert MacNaughton dan Drew Barrymore.

Bagi meraikan pencapaian gemilang tersebut, pawagam-pawagam di seluruh AS menayangkan semula filem E.T dalam bentuk digital di seluruh AS pada hari tersebut.

Pengkritik filem berkenaan berkata, filem tersebut masih menyentuh emosinya seperti 30 tahun dahulu terutamanya apabila dia menonton adegan perpisahan makhluk asing tersebut dengan watak utama, seorang budak lelaki berusia 10 tahun yang bernama Elliott.

Menurutnya, perasaan terharu turut dikongsi ramai penonton lain yang turut membanjiri panggung wayang untuk menyaksikan filem yang penuh nostalgia itu. 

sumber- Agensi

Bot khas angkut lembu

lembu ternakan
SEORANG petani berdiri di tepi sebuah bot yang membawa sejumlah lembu dekat kampung Schoenau di tepi Tasik Koenigssee pada Rabu lalu.
BERCHTESGADEN, Jerman - Sebuah bot khas digunakan untuk mengangkut sejumlah lembu ternakan di sini pada Rabu lalu.

Bot itu menyeberangi Tasik Koenigssee dekat sini ketika membawa haiwan tersebut kembali daripada meragut rumput di kawasan pergunungan Alps.

Pada setiap musim panas, para pemilik lembu akan menghantar haiwan ternakan mereka ke kawasan pergunungan itu untuk meragut rumput. 

sumber- Agensi

Bahan letupan diguna untuk runtuhkan serombong

Bahan letupan diguna untuk runtuhkan serombong
KOMBINASI gambar menunjukkan detik-detik sebuah serombong Pusat Tenaga Boxberg diruntuhkan di Boxberg, Jerman kelmarin.
BOXBERG, Jerman - Sebuah serombong asap diruntuhkan di Pusat Tenaga Boxberg di sini dengan menggunakan sejumlah bahan letupan kelmarin.

Tinggi serombong itu ialah 300 meter dan beratnya kira-kira 11,000 tan.

Sebanyak 1,653 lubang ditebuk pada serombong tersebut untuk diisi dengan bahan letupan.

Sejumlah orang menyaksikan serombong itu diruntuhkan dalam tempoh beberapa saat.

Serombong itu dibina pada tahun 1970-an. 

sumber- Agensi

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...