Selamat Datang Ke blog-ketegaq.blogspot.com

Blog terbaik yang menyediakan pelbagai cerita dan artikel menarik dari seluruh dunia. Like kami di facebook tanda sokongan anda dan untuk mendapat update artikel terkini dari kami.

Isu Semasa

Artikel-artikel terkini mengenai isu semasa dalam dan luar negara. Segalanya dari sumber-sumber yang boleh dipercayai.

Pelik

Segala fakta dan artikel mengenai perkara-perkara yang pelik boleh diperolehi di sini. Semua artikel adalah berdasarkan sumber dan kesahihannya anda sendiri tentukan.

Herba Dan Botani

Artikel mengenai tumbuh-tumbuhan yang digunakan untuk perubatan dan penjagaan kesihatan.

Alam Ghaib

Himpunan artikel mengenai alam ghaib yang sukar diperjelaskan dengan mata kasar. Admin mengalukan sumbangan artikel, gambar-gambar atau video untuk dikongsi bersama dalam blog ini.

Monday, September 24, 2012

Bekas juara tinju dunia mati ditembak

Corrie Sanders

JOHANNESBURG - Bekas juara tinju dunia kategori 'heavyweight', Corrie Sanders meninggal dunia akibat ditembak dalam satu kejadian rompakan di sebuah restoran, di sini semalam.

Agensi berita SAPA yang memetik kenyataan polis berkata, tiga lelaki didakwa masuk ke dalam restoran Pretoria dan melepaskan tembakan rambang ketika Sanders, 46, serta keluarganya meraikan sambutan hari jadi anak perempuannya pada petang kelmarin.

"Sanders terkena tembakan di perut serta tangan dan disahkan meninggal dunia selepas menerima rawatan di hospital," katanya. 

sumber- AFP

GPS pada kasut

GPS pada kasut
Kasut dilengkapi lampu LED yang berkelip ketika menunjukkan arah jalan yang betul.
LONDON - Risau sesat jalan atau sukar mengingati jalan ke tempat dituju? Kasut yang dilengkapi sistem kemudahan sistem penentu kedudukan global (GPS) mungkin dapat  bantu selesaikan masalah anda.

Seorang pereka kasut, Dominic Wilcox menggabungkan bahagian tumit kasut dengan papan litar GPS dan lampu kelip-kelip LED yang berfungsi penunjuk arah jalan.   

Jika anda berasa sesat jalan atau keliru  ke lokasi  dituju, hanya perlu menghentakkan kaki tiga kali kemudian lampu LED akan menyala tanda GPS dihidupkan.

"Saya membuat keputusan untuk mencipta sepasang kasut yang boleh memandu arah pemakainya pulang ke rumah dengan selamat tanpa perlu sesat lagi. Saya mendapat idea ini daripada filem Wizard of Oz yang menceritakan bagaimana watak Dorothy hanya perlu menghentak kasutnya kemudian sampai ke rumah," kata pemegang Sarjana Seni daripada Kolej Diraja Kesenian, London.

Kasut yang mendapat pengiktirafan daripada syarikat Global Footprint yang memiliki warisan lama bersama Dr Martens and Barkers itu, dilengkapi dengan perisian komputer dan kabel USB supaya apabila si pemakainya sampai di rumah, kemudian memakainya semula untuk keluar berjalan-jalan kasut ajaib itu dapat menjejaki alamat rumah tuannya.

Kasut itu memiliki antena di dalam tumit sebelah kiri yang mengandungi lampu LED berfungsi sebagai kompas selain berkomunikasi dengan pasangannya di sebelah kanan menggunakan sistem tanpa wayar bagi menunjukkan sejauh mana jalan yang perlu dilalui tuannya. 

sumber- The Mail

Maut! Rusuk tembus kena tanduk lembu

Tuan Mohd Hazrie Tuan Ismail
Mohd Fazli (kiri) menunjukkan rusuk kiri mangsa (gambar kecil) yang berlubang dipercayai terkena tanduk lembu selepas merempuh haiwan tersebut, sambil diperhatikan jiran mangsa,
MARANG – Gara-gara ternakan berkeliaran, seorang pemuda menjadi mangsa apabila menemui ajal dalam keadaan tragis, selepas terlanggar seekor lembu di Jalan Pengkalan Berangan ke Pulau Kerengga, di Kampung Alur Wan Syed malam kelmarin.

Dalam kejadian itu, seorang remaja perempuan yang juga adik angkat mangsa, turut cedera.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, mangsa, Tuan Mohd Hazrie Tuan Ismail, 21, menunggang motosikal bersama adik angkatnya untuk keluar makan bersama.

Bagaimanapun, mangsa dan adik angkatnya yang menunggang motosikal jenis Yamaha 125Z dipercayai tidak sempat mengelak daripada melanggar lembu yang berada di tengah jalan.

Akibatnya, mereka tercampak namun hanya mangsa cedera teruk.

“Sejurus kemalangan, mangsa dan adik angkatnya dikejarkan ke Klinik Kesihatan Pengkalan Berangan oleh ahli keluarga mangsa yang tinggal berdekatan dengan lokasi kejadian,” kata anak saudara mangsa yang maut, Mohd Fazli Jaafar, 24.

Rusuk kiri mangsa tembus selepas terkena tanduk haiwan itu, manakala pembonceng pula tercampak ke atas jalan dan cedera bahu kanan sebelum mereka dikejarkan ke Klinik Kesihatan Pengkalan Berangan.

Bagaimanapun, akibat kecederaan parah, anak kelima daripada lapan beradik yang bekerja sendiri dan beralamat dari Kampung Alur Wan Syed itu dipercayai menghembuskan nafas terakhir ketika dibawa ke Klinik Kesihatan Pengkalan Berangan di sini.

“Mangsa juga tidak sempat menerima rawatan lanjut manakala adik angkatnya dikejarkan ke hospital besar menggunakan ambulan Klinik Kesihatan Pengkalan Berangan,” katanya.


Trauma kes panah petir belum hilang

BAGI ibu saudara mangsa, Noor Hayati Mohd Noor, 37, dugaan yang dihadapi sungguh berat untuk ditanggung keluarga.

Sebelum ini dia sudah kehilangan seorang anak dan seorang anak saudara akibat dipanah petir di Kampung Felda Cador.

Dalam kejadian 14 Ogos lalu itu, anaknya, Tuan Ahmad Salihin Tan Ibrahim, 8, dan anak saudaranya, Tuan Mohd Azhar Tuan Sulaiman, 9, maut disambar petir ketika menemani suaminya mencari lembu hilang di ladang ternakan Kampung Felda Cador.

“Hari ini (semalam) saya dikejutkan lagi dengan berita kematian seorang lagi anak saudara akibat nahas jalan raya. Sedih rasanya sebab belum cukup 40 hari, kami terpaksa hadapi sebuah lagi kematian berlaku dalam keluarga ini,” katanya.

Ibu bapa mangsa, Tuan Ismail Tuan Senik, 52, dan isterinya, Rohani Wahab, 49, redha dengan ketentuan ILAHI walaupun berat hati mereka untuk menerima kenyataan anak kelima mereka telah pergi buat selama-lamanya.

Jenazah mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pengkalan Berangan kira-kira jam 11 pagi, semalam. Turut hadir, Timbalan Pengarah MTD Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong.


Waspada di kawasan gelap

SEMENTARA itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya mengesahkan kejadian itu berkata, mangsa dipercayai mati di tempat kejadian sebelum dikejarkan ke Klinik Kesihatan Pengkalan Berangan.

Beliau mengingatkan penternak tidak melepaskan haiwan peliharaan terutama lembu dan kerbau tanpa pengawasan kerana ia menyumbang kepada kemalangan apabila haiwan berkeliaran di jalan raya.

“Pengguna jalan raya juga perlu sentiasa berhati-hati ketika melalui jalan gelap dan dekat kawasan kampung.

"Selain haiwan ternakan, binatang liar seperti babi hutan juga biasanya melintas pada waktu malam,” katanya.

sumber- Sinar

Hantar gambar bogel untuk ubati sakit jantung

awek hantar gambar bogel MMS
Sim cuba mendapatkan maklumat daripada Caroline tentang kejadian yang menimpa dirinya.
KUANTAN – Seorang gadis sanggup mencederakan diri serta menghantar gambar bogelnya melalui Perkhidmatan Pesanan Multimedia (MMS) kononnya untuk mengubati teman lelaki yang diserang penyakit jantung.

Gadis yang hanya mahu dikenali sebagai Caroline, 16, berkata, dia mengenali lelaki itu sejak Februari tahun lalu selepas diperkenalkan oleh rakan sekolahnya.

Namun, sepanjang tempoh perkenalan dengan lelaki itu, mereka tidak pernah berjumpa, sebaliknya hanya berhubung melalui telefon.

“Lebih setahun saya berkenalan dengan lelaki itu tetapi belum pernah berjumpa. Saya hanya mengenalinya melalui gambar yang dihantarnya melalui MMS. Dalam tempoh perkenalan kami, dia memang seorang lelaki yang baik dan romantik,” katanya ketika ditemui di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kuantan, semalam.

Katanya, sebelum ini teman lelakinya pernah meminta dia menghantar gambar bogel dan akur terhadap permintaan itu kerana rasa sayang.

“Tanpa berfikir panjang, saya memberi gambar yang diminta kerana percaya permintaan itu sekadar suka-suka, tiada niat lain,” katanya.

Caroline berkata, peristiwa hitam hidupnya bermula apabila dia dimaklumkan oleh seorang lelaki yang mengaku sebagai bapa saudara teman lelakinya bahawa kekasihnya itu terpaksa dimasukkan ke hospital kerana sakit jantung.

“Ketika itu, pakcik teman lelaki saya yang turut bergelar ‘Datuk’ meminta supaya saya MMS gambar bogel bagi mengubati teman lelaki saya.

“Selain itu, dia turut memberikan syarat lain iaitu tidak boleh tidur selama enam hari kerana jika saya tidur, teman lelaki saya itu akan mati,” katanya.

Lebih berani, bapa saudara teman lelakinya itu turut menyuruh Caroline mencederakan diri kerana boleh memberikan alasan didera oleh ibu bapa jika dia keluar dari rumah nanti.

“Dia (pakcik) kata, ada makhluk halus yang memerhatikan saya setiap masa, jadi saya kena ikut segala kemahuannya jika mahu teman lelaki selamat. Dia juga ada menghantar MMS gambar lucah teman lelaki saya selepas saya menghantar gambar saya,” katanya.

Tingkah laku pelik Caroline bagaimanapun dapat dikesan oleh ibunnya yang menyedari dia tidak tidur pada waktu malam.

Menurut ibunya yang dikenali sebagai  Mei Ling, 35, dia mendapati anaknya tidak tidur dan duduk di biliknya sambil menangis ketakutan.

“Ketika ditanya, anak saya menunjukkan telefonnya dan menceritakan apa yang berlaku.

“Bimbang dengan keselamatan anak, saya membuat dua laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan iaitu pada 18 September dan 20 September,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Khas Ahli Parlimen Kuantan, Sim Chong Siang berkata, mana-mana remaja yang mengalami masalah yang sama diminta tampil membuat laporan polis bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

sumber- Sinar

Pengurus merompak untuk uji bank

Logo Bank Mega Syariah

MADIUN: Seorang pengurus pejabat Bank Mega Syariah cawangan Mejayan, Carubah, gagal dalam cubaannya merompak tempat kerja sendiri, lapor media semalam.

Jatmiko, 36, mengenakan topi keledar berpenutup muka dan bersenjata pisau menyerbu masuk ke premis berkenaan ketika hanya ada dua kakitangan masih bekerja, kelmarin.

Jurucakap polis berkata, Jatmiko mengarahkan staf bank berkenaan menyerahkan wang tetapi dia melengah-lengahkannya.

“Jatmiko berang dan memukul kakitangan terbabit, menyebabkan keadaan menjadi kelam-kabut dan mangsa menjerit meminta tolong,” katanya. 

Disebabkan panik, Jatmiko cuba melarikan diri tetapi ditangkap orang awam yang terdengar jeritan berkenaan.

Sementara itu, Jatmiko mengaku merompak pejabatnya kerana ingin ‘menguji sistem penggera di bank berkenaan.’ “Ia cuma satu ujian untuk sistem keselamatan bank,” katanya. 

sumber- Republika

Belajar kenali Maria Ozawa

Maria Ozawa

JAKARTA: Kementerian Pendidikan Dan Kebudayaan diminta menyiasat bagaimana gambar artis porno boleh muncul dalam buku latihan pelajar Sekolah Menengah di Mojokerto, Jawa Timur.

Media semalam melaporkan, ahli Suruhanjaya Parlimen, Eko Patrio, berkata kes berkenaan mesti disiasat dan tindakan segera diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab kerana sangat memalukan.

“Pelakunya juga mesti ditangkap dan dihukum jika kejadian itu berlaku secara sengaja,” katanya. 

Isu itu menjadi perhatian apabila buku latihan pelajar sekolah menengah di Mojokerto menggunakan gambar Maria Ozawa - juga dikenali sebagai Miyabi - untuk menguji kefahaman disiarkan.

Turut mengiringi gambar Miyabi itu ialah harimau, hamster dan aktor Indonesia, Dude Herlino.

Pada lembaran latihan itu, pelajar diminta mengenal pasti gambar berkenaan dengan tepat. 

Dalam kata pengantarnya, penerbit berkata, buku berkenaan memuatkan gambar Miyabi untuk membantu pelajar mempelajari pola pemikiran baru membabitkan aspek pembelajaran kerjasama, aktif dan mandiri.

Penerbit juga yakin buku latihan itu akan membolehkan pelajar berfikir kritik mencari sendiri maklumat sambil meningkatkan perkembangan minda. 

Sementara itu, Menteri Pendidikan Dan Kebudayaan, Muhammad Nuh, mengarahkan buku itu ditarik balik serta-merta.

“Buku latihan perlu dipilih dengan teliti oleh guru dan sekolah,” katanya. 

sumber- JP

Biayai pembunuhan diri sendiri tanpa sedar

Stephen Phillips

BANGKOK: Seorang pesara syarikat kereta api ditembak mati pembunuh profesional diupah isterinya - seorang wanita muda kelahiran Thailand, kata polis semalam.

Stephen Phillips, 59, dari Torquay, Devon, ditembak ketika menunggang motosikal berhampiran rumahnya di kampung terpencil di Baan Phai, bulan lalu.

Isteri Phillips, Wilaiwan, dan dua lelaki tempatan menghadapi tuduhan bersubahat membunuh di mahkamah semalam.

Seorang daripada lelaki yang didakwa itu adalah kekasih Wilaiwan. Polis percaya, Phillips memberikan sejumlah wang kepada Wilaiwan tanpa menyedari ia digunakan untuk membunuhnya.

Phillips ditembak di perut kakinya sebelum pembunuh menembak kepalanya yang menyebabkan kematiannya. Difahamkan, Phillips baru saja mengambil wang daripada polisi insurans nyawa bernilai $200,000 (RM990,869).

Sejumlah kira-kira RM60,000 daripadanya dikeluarkan dari bank beberapa minggu sebelum dia dibunuh. 

sumber- DM

Penganggur menyamar juruterbang untuk naik pesawat percuma

Andrea Sirlo

ROME: Seorang penganggur berpakaian seperti juruterbang sebagai helah menaiki kokpit bagi mendapat penerbangan percuma, kata polis semalam.

Lelaki berusia 32 tahun itu ditahan di Lapangan Terbang Caselle di Turin apabila kad pengenalan digunakannya mencurigakan. 

Bagaimanapun, sebelum ditahan, lelaki terbabit sempat menaiki penerbangan secara percuma dari Munich, Jerman ke Turin, April lalu. 

Sumber polis Itali berkata, dua juruterbang yang mengendalikan pesawat syarikat Air Dolomiti itu berkata, lelaki terbabit tidak menyentuh sebarang suis sepanjang berada di kokpit berkenaan. 

Kes itu mengingatkan orang ramai kepada Frank Abagnale yang menyamar sebagai juruterbang sebelum ini dan menjadi inspirasi kepada filem Hollywood, Catch Me If You Can. Polis berkata, mereka menjejaki lelaki itu - mendakwa bernama Andrea Sirlo di Facebook - selama beberapa bulan sejak mendapat maklumat mengenainya. 

Penyiasat berkata, dia mengaku dia juruterbang komersial yang dinaikkan pangkat sejak muda dan ia mencurigakan pihak berkuasa. 

sumber- DM

Presiden Termiskin

el presidente mas pobre
MUJICA dan isterinya cuma ada sebuah kereta murah.
MONTEVIDEO: Presiden Uruguay, Jose Mujica, mendapat gelaran unik, el presidente mas pobre (Presiden Termiskin) apabila dia menyumbangkan 90 peratus daripada gajinya kepada rakyat negara itu.

Bercakap kepada akhbar Sepanyol, El Mundo, semalam Mujica berkata dia menerima gaji AS$12,500 (RM38,132) sebulan tetapi dia hanya mengambil kira-kira 10 peratus atau AS$1,250 (RM4,575) untuk kegunaan sendiri.

“Ia mencukupi untuk saya dan keluarga, atau saya perlu mencukupkan keperluan dengan gaji sebegitu kerana ramai penduduk Uruguay yang hidup dengan pendapatan jauh lebih kecil daripada itu,” katanya.

Selain Mujica, 77, isterinya, Lucia Topolansky, 67, turut menyumbang pendapatannya sebagai senator kepada tabung negara.

Pasangan suami isteri itu menetap di sebuah rumah petani di Montevideo.

Mereka memiliki seunit kereta Volkswagen Beetle bernilai kira-kira RM6,000. 

Mantan pejuang gerila itu menyertai politik dengan bergabung bersama parti aliran kiri sebelum terpilih sebagai presiden pada 2010.

Uruguay menjadi satu daripada negara paling rendah kadar rasuah di Amerika Selatan. 

Selain digelar Presiden Termiskin, Mujica juga mendapat penghormatan ramai kerana dikenali sebagai Presiden Paling Pemurah. 

Dia tidak memiliki akaun bank atau hutang, manakala sahabatnya yang paling baik ialah seekor anjing bernama Manuela.

Mujica bukanlah presiden pertama menyumbang gajinya untuk negara. 

Presiden Amerika Syarikat (AS), John F Kennedy - berasal dari keluarga kaya - turut mendermakan sebahagian gajinya, manakala presiden ke-31 negara itu, Herbert Hoover, tidak pernah menerima sebarang wang daripada dana awam bagi mengelakkan dia dikaitkan dengan rasuah.

sumber- Agensi

Sejuta pam tandas beramai-ramai

Thaba Moyo
Thaba Moyo
HARARE: Sejuta orang dijangka mengambil bahagian dalam aktiviti mengepam tandas secara serentak dalam usaha negara itu mengatasi masalah saluran tersumbat, lapor media semalam.

Pihak berkuasa Bulawayo - bandar raya kedua terbesar di negara itu - merayu orang ramai mengepam tandas masing-masing pada jam 7.30 pagi hari ini (waktu tempatan) bagi membuang semua kotoran yang berkumpul dalam saluran pembetungan. 

Bekalan air dicatu di bandar itu sehingga 72 jam setiap minggu, menyebabkan bahan kumbahan berkumpul dalam pembetung. 

Datuk Bandar Bulawayo, Thaba Moyo, berkata kegiatan itu akan menjadi acara mingguan.

“Idea ketua jurutera bandar ini boleh mengatasi masalah saluran tersumbat ketika penduduk di sini ketiadaan air dalam tempoh catuan,” katanya. 

sumber- AFP

Ratu Ular Si Gadis 16 Tahun

awek main ular
Laili Syuhada menunjukkan aksi memasukkan kepala ular ke dalam mulutnya ketika membuat persembahan di Bachok, kelmarin.
Bachok: Seorang gadis dari Kuala Krai, Kelantan, mengisi hujung minggu dengan beraksi bersama ular berbisa, termasuk tedung selar. 

Laili Syuhada Abdul Razak, 16, pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah (SM) Teknik Kuala Krai, bukan saja berani bermain ular bisa, malah mencium serta memasukkan kepala ular berbisa itu ke dalam mulutnya.

Beliau berkata, minat untuk bermain ular ini timbul sejak awal tahun lalu sehingga sanggup berguru dengan Raja Ular Kelantan, Hamdan Mahadi, 26, bagi meningkatkan kemahiran mengawal serta beraksi dengan ular. 
"Sejak kecil lagi, saya sudah tertarik untuk mendekati reptilia ini dan kini mendalami minat dengan Hamdan sehingga mampu mengadakan persembahan bersama ular tedung selar dan senduk. 

"Sepanjang mengadakan persembahan belum pernah terjadi kejadian tidak diingini dan berterima kasih kepada Hamdan yang memberi banyak tunjuk ajar untuk berdepan dengan reptilia ini," katanya ketika ditemui selepas mengadakan persembahan di Karnival Astro Fiesta Mesra Belia 1Malaysia di Beris Kubur Besar, dekat sini, kelmarin. 

Guru sentiasa bersama 

Laili Syuhada berkata, beliau sedar kegiatan ini merbahaya, namun tidak takut berdepan dengan ular kerana gurunya akan sentiasa bersama untuk memastikan keselamatannya terjamin. 
"Sebelum memulakan sebarang persembahan, Hamdan akan memberikan beberapa petua supaya tidak tersilap langkah," katanya. 

Ibunya, Rosnani Yaakob, 39, mengakui pada awalnya agak keberatan untuk membenarkan anaknya terbabit dalam kegiatan bermain dengan ular, namun selepas melihat kesungguhannya, beliau membenarkan walaupun masih risau terhadap keselamatannya.

sumber- BH

Cinta punca ramai gadis lari rumah

faktor lari dari rumah
Suriani Abdul Wahab, 21, memeluk ibunya, Siti Zaleko Wahab, sebaik tiba dari Lombok, di LCCT Mei lalu.
Kuala Lumpur: Lari mengikut kekasih dikenal pasti salah satu faktor utama remaja, termasuk gadis sunti yang masih bersekolah rendah lari dari rumah.

Jerat cinta 

Mengikut statistik polis bagi tempoh 2010 hingga Jun lalu, bahana cinta itu adalah punca kedua tertinggi mereka yang berumur 17 tahun ke bawah lari dari rumah dengan kebanyakan daripada mereka Melayu.

Daripada 1,309 kes lari mengikut kekasih sepanjang tempoh itu, 97.6 peratus atau 1,278 membabitkan gadis berusia sembilan hingga 17 tahun, berbanding 31 lelaki.

Sebahagian besar adalah remaja berumur 13 hingga 17 tahun, kecuali 14 kes yang semuanya membabitkan gadis sunti berusia sembilan hingga 12 tahun.

Gejala itu makin membimbangkan kerana 549 kes direkodkan tahun lalu berbanding 493 kes pada 2010. Setakat Jun tahun ini pula polis sudah menerima 267 laporan.

Bagaimanapun, berdasarkan laporan yang diterima oleh polis, punca utama remaja lari dari rumah ialah terpengaruh dengan kawan.

Sebanyak 74 peratus daripada kes terpengaruh dengan kawan membabitkan perempuan atau 1,061 daripada keseluruhan 1,436 kes.

Dua lagi faktor utama ialah mencari kebebasan di luar rumah dan berselisih faham dengan keluarga, di samping punca lain seperti hilang minat belajar, mencari pekerjaan, kurang mendapat perhatian keluarga dan penagihan dadah.

Selain itu, kegagalan dalam peperiksaan turut menjadi alasan lapan remaja perempuan lari dari rumah pada 2010 dan 2011, namun tiada kes dilaporkan setakat Jun lalu.

Lebih mengejutkan, kanak-kanak berumur lapan tahun ke bawah turut mencatat kes lari dari rumah kerana berselisih faham dengan keluarga yang membabitkan dua perempuan pada 2010 dan dua lelaki pada 2011. Selain itu, masing-masing seorang perempuan dan lelaki berbuat demikian setakat Jun tahun ini.

Turut menjadi punca remaja lelaki dan perempuan lari dari rumah ialah mencari kebebasan di luar rumah.

sumber- BH

Air gas punca gemuk

air gas
GAMBAR fail menunjukkan minuman berkarbonat yang boleh didapati di pasaran.
WASHINGTON - Tiga kajian terbaharu yang disiarkan di Amerika Syarikat (AS) pada minggu lalu mengesahkan terdapat kaitan antara minuman manis berkarbonat dan air buah-buahan yang mengandungi kandungan gula tinggi dengan penularan kegemukan atau obesiti dalam kalangan penduduk AS.

Menurut penulis satu kajian yang disiarkan jurnal New England Journal of Medicine di online, pengambilan minuman tersebut meningkat lebih dua kali ganda sejak tahun 1970-an.

Kajian itu menyatakan pada tempoh masa yang sama, kadar obesiti dalam kalangan penduduk dewasa AS meningkat 30 peratus.

Berdasarkan kajian pertama, minuman bergula didapati menjejaskan gen yang mengatur berat dan meningkatkan kecenderungan untuk berat badan seseorang bertambah.

Para penyelidik menggunakan 32 variasi gen yang diketahui akan memberi kesan terhadap berat badan bagi mewujudkan profil peserta yang menyertai kajian berkenaan.

Tabiat pemakanan para peserta itu juga dikenal pasti oleh penyelidik selain pengambilan minuman bergula dan amalan senaman.

Dua lagi kajian menunjukkan kumpulan kanak-kanak dan remaja yang diberikan minuman tanpa kalori seperti air mineral atau minuman tanpa banyak kandungan gula yang mengandungi gula tiruan didapati mengalami pertambahan berat badan yang sedikit.

sumber- Kosmo

Persandingan Puteri Sultan Brunei

Majlis Persandingan Puteri Sultan Brunei
SULTAN Hassanal Bolkiah dan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha mengapit pasangan pengantin diraja, Muhammad Ruzaini dan Puteri Hafizah Sururul Bolkiah bersama ahli keluarga diraja yang lain di Bandar Seri Begawan semalam.
BANDAR SERI BEGAWAN - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor menghadiri Majlis Santapan Diraja di Istana Nurul Iman di sini malam tadi.

Majlis itu diadakan sempena perkahwinan Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hafizah Sururul Bolkiah, anakanda kelima Sultan Brunei Darussalam dengan Pengiran Muhammad Ruzaini.

Istiadat bermula sebaik keberangkatan masuk pengantin diraja ke Dewan Bankuet Diraja pada kira-kira 8.30 malam.

Pasangan mempelai itu diiringi Sultan Hassanal Bolkiah dan Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Saleha serta tetamu kenamaan lain termasuk Najib dan Rosmah.

Turut hadir ke istiadat berkenaan ialah Putera Faisal Saud dari Arab Saudi; Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra; Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen dan Menteri Pertahanan Singapura, Dr. Ng Eng Hen.

sumber- Kosmo

Mangsa samun parah dibelasah

Abu Syed Sulaiman
Abu Syed cedera di muka akibat dibelasah dua perompak di Taman Bukit Rinting, Masai semalam.
MASAI - Seorang pemuda cedera di muka, tangan dan kaki manakala telefon bimbit jenis Nokia miliknya pecah selepas dibelasah dua perompak yang bersenjatakan parang ketika menunggang motosikal di Taman Bukit Rinting di sini semalam.

Sebelum kejadian pada pukul 1 pagi, mangsa, Abu Syed Sulaiman, 23, dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Kota Puteri sebelum sebuah motosikal dinaiki dua lelaki menghimpit motosikal mangsa dari belakang.

Sebelum itu, mangsa yang bekerja sebagai kelindan lori baru menghantar seorang rakannya pulang ke rumah di taman tersebut.

"Ketika itu, saya menunggang motosikal di kawasan berbukit dan disebabkan saya enggan berhenti, salah seorang perompak itu mengacukan parang ke leher saya sebelum motosikal saya ditendang.

"Sebaik saya terjatuh, kedua-dua perompak berkenaan terus menyeluk poket seluar saya dan merampas telefon bimbit dan dompet saya," kata Abu Syed ketika ditemui di rumahnya di sini.

sumber- Kosmo

Pekerja didakwa bunuh penyelia

Mohd. Zaidi Abdul Hamid
Mohd. Zaidi dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kota Bharu semalam atas atas tuduhan membunuh penyelianya.
KOTA BHARU - Seorang pekerja lombong bijih besi didakwa di Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan membunuh penyelia lombong berkenaan yang juga rakan serumahnya dalam kejadian di Lubuk Stol, Pasir Mas tiga minggu lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Mohd. Zaidi Abdul Hamid, 37, ketika dihadapkan di hadapan Majistret Mohd. Fazaly Ali Mohd. Ghazaly.

Mohd. Zaidi didakwa melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian Mohd. Yusof Zakaria, 41, di depan kantin Lombong Bijih Besi Indah Bumi Perfect Mining, Lubuk Stol antara pukul 9.30 pagi hingga pukul 9.40 pagi, 8 September lalu.

sumber- Kosmo

Grandis doktor HUSM ditemui

Mitsubishi Grandis
DUA anggota polis memeriksa kenderaan Mitsubishi Grandis milik doktor pakar HUSM yang disamun ditinggalkan di Kampung Padang Enggang, Kota Bharu kelmarin.
KOTA BHARU – Kenderaan pelbagai guna, Mitsubishi Grandis milik seorang doktor pakar Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Dr. Ida Zarina Zaini, 38, berjaya ditemui selepas seminggu dilarikan penjenayah.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Idris Abd. Rafar berkata, kenderaan tersebut pada mulanya dikesan oleh anggota polis peronda ketika menjalankan rondaan di Kampung Paya Senang, Telipot pukul 5 petang kelmarin.

Menurut beliau, selepas menyedari kenderaan tersebut menggunakan nombor pendaftaran palsu, anggota polis peronda tersebut mengekori kenderaan itu yang dipandu seorang lelaki dan membawa penumpang wanita menghala ke Wakaf Che Yeh.

“Kenderaan tersebut dipecut laju selepas menyedari anggota polis peronda mengekori mereka.

“Selepas kira-kira setengah jam diekori kenderaan tersebut ditinggalkan di kawasan sebuah rumah di Kampung Padang Enggang,” kata beliau di sini.

sumber- Kosmo

Kembalikan semula Perak Man

Perak Man
ARTIFAK Perak Man menjadikan Malaysia dan Perak terkenal di dunia.
LENGGONG - Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan khususnya Jabatan Warisan Negara digesa mempertimbangkan hasrat kerajaan Perak mahu membawa pulang rangka sebenar manusia pertama di Asia Tenggara, Perak Man ke daerah ini.

Ketika ini, rangka Perak Man atau Orang Perak yang hidup kira-kira 11,000 tahun lalu ditempatkan di Muzium Negara, Kuala Lumpur sejak Julai 2006 lalu.

Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, sudah tiba masanya artifak yang menjadi sebutan dunia itu dikembalikan semua ke tempat asalnya dan ditempatkan di Galeri Arkeologi di sini.

Katanya, permintaan tersebut wajar diberi perhatian serius memandangkan jumlah pengunjung ke galeri terbabit meningkat mendadak sehingga empat kali ganda sejak Lembah Lenggong diisytiharkan Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

sumber- Kosmo

Gigih hasilkan salad terbesar di dunia

salad terbesar di dunia
SEORANG sukarelawan menambahkan kandungan sayur-sayuran sebagai usaha untuk menghasilkan salad terbesar di dunia di Pantelimon semalam.
BUCHAREST, Romania - Sekumpulan sukarelawan berusaha untuk menghasilkan salad terbesar di dunia di Pantelimon dekat sini semalam.

Antara sayur-sayuran yang digunakan untuk membuat salad itu ialah 20 tan tomato, timun, bawang dan lobak. 

sumber- Agensi

Wajah lucu pertandingan misai, janggut di timur Perancis

gambar gambar lucu kumis
KOMBINASI gambar-gambar lucu menunjukkan beberapa peserta yang menyertai pertandingan misai dan janggut di Mulhouse kelmarin. - Reuters
MULHOUSE - Lebih 100 orang menyertai pertandingan misai dan janggut peringkat Eropah di sini, timur Perancis kelmarin.

Pertandingan peringkat Eropah itu diadakan buat kali pertama.

Panel juri akan menilai dan memilih pemenang pertandingan tersebut. - Agensi

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...