Selamat Datang Ke blog-ketegaq.blogspot.com

Blog terbaik yang menyediakan pelbagai cerita dan artikel menarik dari seluruh dunia. Like kami di facebook tanda sokongan anda dan untuk mendapat update artikel terkini dari kami.

Isu Semasa

Artikel-artikel terkini mengenai isu semasa dalam dan luar negara. Segalanya dari sumber-sumber yang boleh dipercayai.

Pelik

Segala fakta dan artikel mengenai perkara-perkara yang pelik boleh diperolehi di sini. Semua artikel adalah berdasarkan sumber dan kesahihannya anda sendiri tentukan.

Herba Dan Botani

Artikel mengenai tumbuh-tumbuhan yang digunakan untuk perubatan dan penjagaan kesihatan.

Alam Ghaib

Himpunan artikel mengenai alam ghaib yang sukar diperjelaskan dengan mata kasar. Admin mengalukan sumbangan artikel, gambar-gambar atau video untuk dikongsi bersama dalam blog ini.

Saturday, July 28, 2012

(Video) Rompakan menggunakan renjatan elektrik

kes samun butik pengantin

KUALA LUMPUR – Empat penyamun yang menggunakan alat renjatan elektrik terhadap seorang wanita ketika menyamun butik pengantinnya di Taman Tasik Permaisuri di sini, bukan saja melaram dengan pakaian dan barang curi bernilai lebih RM10,000 bagaikan orang kaya di sebuah pusat beli-belah, malah turut mencabul wanita berkenaan, Rabu lalu.

Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, empat penyamun berkenaan menyamar sebagai pelanggan ingin menempah pakaian untuk majlis akad nikah, mula mengintip pergerakan di kawasan butik beberapa jam sebelum itu.

Mangsa mahu dikenali sebagai Yati, 28, berkata ketika dia berehat di atas sofa butik yang terletak di tingkat satu, seorang lelaki masuk memberitahu mahu menempah pakaian untuk akad nikah melalui interkom.

Bagaimanapun katanya, sebaik membuka pintu butik, tiga lagi rakan lelaki itu menyerbu masuk sebelum mengenakan alat renjatan elektrik ke mukanya menyebabkan badannya lemah.

“Akibat terkena renjatan elektrik pada muka, saya terkencing dan terduduk lemah.

“Mereka menggeledah setiap ruang dalam butik dan melarikan beg tangan mengandungi 10 kad kredit, dua telefon bimbit, komputer tablet, barang kemas, wang tunai, cermin mata dan pakaian pengantin lelaki semuanya bernilai lebih RM10,000,” katanya ketika ditemui Harian Metro di sini, semalam.

Menurutnya, ketika kejadian tubuhnya turut diraba dan dalam tempoh 10 minit mereka dalam kedainya, seorang daripada suspek membuka seluarnya dan cuba mendekatinya tetapi dia sempat melarikan diri bersembunyi dalam tandas.


Sebaik mereka meninggalkan butiknya, Yati menghubungi bank bagi menamatkan perkhidmatan lapan daripada 10 kad kreditnya dan jangkaannya tepat apabila kumpulan itu cuba menggunakan kad kreditnya untuk membeli-belah di sebuah pusat beli-belah di Jalan Klang Lama, di sini.

Katanya, mereka melaram dengan pakaian pengantin yang dicuri dari butiknya itu dan berlagak seperti orang kaya dengan memasuki beberapa kedai jam dan cermin mata.

Menurut Yati, berdasarkan rekod bank, penyamun berkenaan cuba menggunakan kad kreditnya untuk membeli jam tangan berharga RM900 tetapi gagal kerana kad kredit berkenaan sudah dibatalkan.

“Sebaik dimaklumkan pihak bank kad kredit saya digunakan di pusat beli-belah itu, saya bergegas ke sana dan menemui pihak pengurusan pusat beli-belah bagi melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) untuk mengenal pasti wajah mereka,” katanya.

“Dalam rakaman itu jelas keempat-empat mereka memasuki beberapa kedai dengan bersahaja dan berlagak seperti orang kaya membeli-belah,” katanya.

Menurutnya, apabila beberapa transaksi pembelian mereka gagal, keempat-empat suspek melarikan diri. dan tidak sempat dikejar pemilik kedai.

Susulan itu, Yati membuat laporan polis di Balai Polis Salak Selatan untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Timbalan Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan.

sumber- HMetro

Mangsa sup bazar Ramadan

keracunan makanan
Ismail (tengah) dan Dr Mohd Zulfa melawat Tuan Maizatul Elmi yang masih menerima rawatan.
PORT DICKSON – Nurul Sabrina Idris, 7, yang baru belajar berpuasa, antara 38 mangsa keracunan makanan selepas menikmati makanan bersup yang dibeli di sebuah gerai bazar Ramadan di Tanjung Agas, Rabu lalu.

Ayah mangsa, Idris Ab Razak, 41, yang turut mengalami keracunan berkata, dia baru pertama kali ke bazar berkenaan untuk membeli bubur kerana isterinya kurang sihat.

“Saya ajak Nurul Sabrina kerana dia baru belajar puasa. Saya beli mi sup, bihun sup, bubur nasi dan nasi ayam. “Ketika kami berbuka, isteri dan Nurul Sabrina makan bihun sup serta bubur nasi yang turut disediakan sup. Saya makan mi sup, manakala anak bongsu pula makan nasi ayam tetapi tidak menghirup sup,” katanya, semalam.

Anak cirit birit

Idris yang bekerja sebagai Pembantu Am pejabat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Panjang berkata, dia, isteri dan Nurul Sabrina mengalami sakit perut keesokan harinya tetapi tidak begitu ambil peduli.

“Bagaimanapun, pada jam 9 pagi, guru sekolah menghubungi saya memaklumkan Nurul Sabrina yang cirit birit. “Saya yang turut cirit birit terus bawa Nurul Sabrina ke Klinik Kesihatan Pasir Panjang untuk rawatan,” katanya.

Menurutnya, isteri yang turut serta mendapatkan rawatan dibenarkan pulang, sementara anak bongsu pula tidak mengalami sebarang keracunan.

“Di klinik, saya lihat ramai yang turut mengalami sakit seperti kami. Sekitar jam 6 petang, kami dibawa ke Hospital Port Dickson (HPD) dan dimasukkan ke wad,” katanya.

Hirup beberapa sudu sup

Sementara itu, seorang pelajar Kolej Uniti yang dimasukkan ke Unit Rawatan rapi (ICU) HPD, Tuan Maizatul Elmi Syed Mazlan, 18, berkata, dia hanya menghirup beberapa sudu sup yang dibeli rakannya.

“Rasa sup berkenaan seperti biasa sahaja, tidak ada rasa basi. Saya hanya mula rasa seperti demam dan sakit perut ketika bangun sahur pagi semalam (Khamis).

“Disebabkan terlalu lemah, saya beritahu warden asrama sebelum dihantar ke Klinik Kesihatan Pasir Panjang dan kemudian ke HPD,” katanya yang mengakui serik membeli makanan di bazar atau gerai.

Seorang lagi pelajar yang dimasukkan ke ICU HPD, Kartika Idayu Tajul Arifin, 19, berkata, dia memang sering membeli makanan di gerai yang menjual sup berkenaan.

“Makanan yang dijual peniaga berkenaan sedap dan harganya berpatutan. Sebelum ini tidak pernah berlaku kejadian seumpama ini.

“Saya mula rasa sakit semasa bangun sahur pagi semalam (Khamis) tetapi tetap ke kelas seperti biasa. Namun terpaksa memaklumkan kepada warden selepas mengalami cirit birit yang serius,” katanya.

Gerai diarah tutup

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ismail Taib berkata, Pejabat Kesihatan segera melakukan pemeriksaan terhadap gerai yang dipercayai menjual makanan kepada mangsa terbabit.

Menurutnya, arahan supaya pemilik gerai menghentikan operasi selama dua minggu juga dikeluarkan bagi membolehkan siasatan dilakukan dan sampel sup tersebut turut diambil untuk kajian makmal.

“Siasatan awal mendapati, tahap kebersihan gerai dan penjual terbabit baik.

“Pejabat Kesihatan juga telah melakukan pemeriksaan di rumah peniaga terbabit iaitu lokasi makanan tersebut disediakan,” katanya ketika melawat mangsa di HPD, semalam.

Ismail berkata, kes seumpama itu adalah yang pertama berlaku di negeri ini sejak Ramadan tahun ini.

“Sejak hampir lima hingga enam tahun kebelakangan ini, tidak pernah berlaku kes keracunan makanan akibat pembelian di bazar Ramadan.

“Diharap peniaga atau pembekal makanan mengambil iktibar daripada kejadian ini supaya tidak berulang pada masa depan,” katanya.

Tekanan darah rendah

Dalam pada itu, Pegawai Kesihatan Daerah 2, Dr Mohd Zulfa Mohamad berkata, Klinik Kesihatan Pasir Panjang menerima 38 pesakit mengadu sakit perut dan cirit birit sekitar jam 3 petang.

“Daripada jumlah itu, 33 adalah pelajar, empat orang awam dan seorang kakitangan Kolej Uniti.

“12 daripada mereka melibatkan 10 pelajar dan dua orang awam termasuk kanak- kanak. Mereka dihantar ke HPD sekitar jam 6 petang untuk rawatan . Seramai 26 pesakit dirawat sebagai pesakit luar,” katanya.

Menurutnya, dua daripada 12 pesakit terbabit dimasukkan ke ICU awal pagi tadi (semalam) kerana mengalami tekanan darah rendah dan dilaporkan stabil.

“Pesakit yang mengalami keracunan makanan, jika tidak mendapat rawatan awal boleh memudaratkan sehingga membawa maut,” katanya.

Kebersihan tak terjamin

Yang Dipertua MPPD, Abd Wahab Shamsuddin berkata, bazar Ramadan di Kolej Uniti itu adalah di bawah penganjuran kolej berkenaan.

“MPPD hanya membekalkan lesen namun pemeriksaan tetap dilakukan dari semasa ke semasa,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan, Datuk Dr Zailan Adnan mengesahkan menerima laporan mengenai kes keracunan makanan itu.

Menurutnya, walaupun tahap kebersihan terkawal tetapi tidak menjamin kualiti kebersihan penyediaan makanan itu sendiri.

“Kami telah menjalankan pemeriksaan awal dan mendapati kebersihan persekitaran gerai peniaga terbabit berada pada tahap 88 peratus.

“Dalam kes ini, mungkin penyediaan makanan oleh peniaga terbabit di rumahnya berada pada bawah 65 peratus,” katanya.

Dr Zailan berkata, arahan pemilik gerai menghentikan operasi selama dua minggu dikeluarkan bagi membolehkan pemeriksaan dilakukan.

sumber- Sinar

RM 50,000 Hangus Dalam Ketuhar

kereta untuk dijual

Seorang lelaki mendapat pengajaran pahit kerana kesilapannya menyembunyikan wang di tempat tidak sepatutnya, lapor media Australia, semalam.

Lelaki tidak didedahkan identitinya itu menjual keretanya hujung minggu lalu dan mendapat bayaran sebanyak A$15,000 (RM49,473). Untuk mengelak dari dicuri, lelaki terbabit mencari tempat yang jarang digunakan serta tidak disangka sesiapa.

Justeru, lelaki terbabit menyimpan wang berkenaan dalam ketuhar yang sangat jarang digunakan di rumahnya. Bagaimanapun, secara kebetulan isteri lelaki terbabit tergerak untuk menggunakan ketuhar berkenaan pada hari itu untuk memanaskan ketulan daging ayam.

Tanpa disedari wanita terbabit, wang itu turut rosak dalam ketuhar berkenaan. Lelaki itu berkata, dia bercadang menggunakan wang berkenaan untuk membayar semua hutangnya.

“Kini saya langsung tiada wang simpanan,” katanya. Menurut media, isteri lelaki tersebut juga terlalu sedih dan tidak berhenti-henti menangis sebaik saja diberitahu keadaan sebenar.

sumber- miraakim

Lahar api dari 'pintu ke alam neraka'

Lahar api dari 'pintu ke alam neraka'
Dari jauh kelihatan dua lelaki sedang berdiri berhampiran pintu ke alam neraka. Pakar geologi berharap api yang membakar gas berkenaan dapat dipadamkan tetapi gagal.
ASHGABAT - Pada pandangan pertama, ia mungkin salah satu dari babak dramatik filem fiksyen sains, tetapi lubang lahar berapi di tengah Gurun Karakum, Terkmenistan sebenarnya disebabkan kesilapan manusia lebih 40 tahun lalu.

Selamat datang ke Derweze atau lebih dikenali sebagai 'pintu ke alam neraka'.

Pada 1971 lalu, sekumpulan pakar geologi Kesatuan Soviet melakukan kerja menggerudi dan mengorek ke dalam sebuah gua besar yang penuh dengan sumber gas asli, tetapi terpaksa dihentikan kerana lantainya runtuh dan mewujudkan satu lubang besar bersaiz 70 meter.

Kumpulan itu kemudian membakar lubang berkenaan kerana bimbang ia akan mengeluarkan sejenis gas beracun.

Sebaliknya lubang berkenaan terbakar sehingga ke hari ini.

Kebakaran lubang gas itu boleh dilihat dari jarak satu kilometer sekitar Derweze .

Pada April 2010, Presiden Terkmenistan, Gurbanguly Berdimuhamedow mengarahkan pihak berkuasa menutup lubang tersebut.

sumber- Sinar

Pelik! Anunya dicuri

kemaluan dicuri

Seorang lelaki yang berasal dari China melaporkan sebuah kes kecurian kepada pihak polis tempatan. Tiada sebarang benda yang hilang, melainkan anu lelaki tersebut sendiri. Fein Lin, iaitu mangsa mengatakan bahawa kecurian tersebut berlaku ketika dia sedang tidur.

Fein Lin yang sedang terlelap tidur terasa seperti kepalanya ditutup dengan sesuatu, lalu dilondehkan seluarnya. Peliknya, Fein Lin tidak berasa sakit. Selepas pencuri melarikan diri, Fein Lin membuka penutup kepalanya dan terkejut melihat banyak darah yang mengalir.

Menurut siasatan, kemungkinan perkara ini dilakukan oleh seseorang yang cemburu terhadap Fein Lin kerana dia menjalinkan hubungan dengan beberapa wanita di sekitar kawasan perumahannya. Fein Lin yang masih trauma kini dirawat di hospital tempatan.

Lelaki berkulit paling regang di dunia

Lelaki berkulit paling regang di dunia
Di sebalik keunikan ini, Turnner sebenarnya penghidap EDS iaitu gangguan genetik yang lemahkan sel kulitnya.
LONDON - Kulitnya sangat longgar dan regang sehingga mampu menukar bahagian perutnya menjadi tempat takungan 1.4 liter air.

Gary Tunner, sebenarnya menghidapi sejenis Sindrom Ehlers-Danlos (EDS) iaitu gangguan genetik luar biasa yang menyebabkan sel-sel pada kulitnya lemah dan dalam erti kata lain, kulitnya tidak menegang seperti manusia normal.

Namun, Tunner, 41, tidak melemahkan dirinya disebabkan sindrom itu sebaliknya dia mengubah penyakitnya menjadi kerjaya yang menarik perhatian orang ramai sekitar London, Britain.

Dalam kebanyakan kes, pesakit akan mengalami gangguan pada otot sendi dan saluran darah.

Sindrom ini hanya berlaku kepada satu dalam 10,000 individu seluruh dunia.

Tunner yang menyedari penyakitnya itu sejak berumur 10 tahun berkata, kulitnya begitu nipis dan dua kali ganda nipis berbanding ketebalan kulit manusia normal.

sumber- Sinar

Mangsa kemalangan masih hidup dilanggar kereta

kemalangan ngeri
Ah Lai yang cedera maut ketika dalam perjalanan ke Hospital Jempol.
JEMPOL- Hasrat dua pemuda yang ingin membantu seorang lelaki terjatuh akibat terlanggar pokok tumbang tidak kesampaian apabila kedua mereka tidak sempat menarik mangsa yang terbaring di tepi jalan di kilometer 34 jalan Bahau-Kemayan, kira-kira jam 9.24 malam, semalam.

Difahamkan, mangsa tidak sempat diselamatkan dua pemuda terbabit apabila sebuah kereta Persona dari arah Bahau turut gagal mengelak pokok berkenaan dan melanggar mangsa yang ketika itu masih hidup.

Kejadian bermula apabila mangsa, Toh Ah Lai, 48, menunggang motosikal jenis Yahama sendirian dari arah Bahau menghala ke Kemayan dikatakan terjatuh susulan terlanggar pokok getah tumbang di lokasi kejadian.

Menurut sumber, sebelum kereta Persona berkenaan muncul, dua pemuda itu yang menaiki kereta Proton Waja memberhentikan kenderaan mereka di bahu jalan bagi membantu mangsa yang cedera.

“Kereta Proton Waja itu berhenti di bahu jalan, lalu keluar dua lelaki yang ingin membantu mangsa.

“Namun malangnya, mereka tidak sempat membantu apabila kereta Proton Persona tiba-tiba muncul dari arah Bahau lalu merempuh pokok dan mangsa.

“Pemandu kereta Persona cuba mengelak tetapi gagal dan sekali lagi merempuh kereta Proton Waja yang berada di bahu jalan,” katanya.

Menurut sumber lagi, kereta Proton Waja itu kemudiannya tercampak sehingga ke bahu jalan menghala ke Bahau.

“Bagaimanapun, dua lelaki berusia 40-an serta pemandu dan penumpang kereta Proton Persona terselamat dan mangsa maut ketika dalam perjalanan ke Hospital Jempol,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Superintendan Mohd Sabri Mohamad ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

sumber- Sinar

Remaja didakwa bunuh ibu angkat

awek melayu terlampau
DIDAKWA...remaja bawah umur (kanan) bersama kakak tirinya dibawa ke mahkamah, semalam.
KLANG: Seorang pelajar berusia 16 tahun dan kakak tirinya dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini, atas tuduhan membunuh ibu angkat berusia 72 tahun dengan cara menekup muka mangsa dengan bantal di Klang dekat sini, dua minggu lalu.

Remaja itu dan pekerja, Zahidah Ahmad, 29, yang memakai baju lokap berwarna ungu hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ho Kwong Chin.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan.

Sepanjang prosiding, remaja itu dilihat mengalirkan air mata, manakala Zahidah kelihatan tenang.

Mengikut pertuduhan, kedua-duanya didakwa membunuh Tanziah Zainuddin yang juga guru agama di sebuah rumah di Taman Sri Wangi, Kapar, Klang jam 5.30 petang pada 14 Julai lalu.

sumber- HMetro

Bapa ajar anak curi motosikal

aksi bapak dengan anak
INILAH tiga buah motosikal Honda EX5 yang dirampas daripada empat beranak yang diberkas di Taman Putera Jaya, Telipok, Kota Kinabalu, Rabu lalu.
KOTA KINABALU – Seorang bapa seharusnya memberi contoh baik kepada anak-anak namun lain pula yang berlaku kepada seorang ketua keluarga yang menurunkan ilmu menjadi penjenayah kepada ketiga-tiga anak lelakinya.

Lelaki berusia 47 tahun itu dipercayai memberi latihan kepada ketiga-tiga anaknya yang berusia 18 hingga 25 tahun untuk mencuri motosikal untuk dijadikan sumber rezeki.

Bapa dan tiga orang anak lelakinya itu diberkas pada pukul 12.40 pagi, 25 Julai lalu di sebuah kedai berhampiran kawasan Taman Putera Jaya, Telipok.

Ketiga-tiga anak lelaki tersebut masih bujang. Empat beranak itu penganggur.

Ketua Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Ahmad Sofi Zakaria berkata, penangkapan empat beranak itu ekoran laporan seorang mangsa yang kehilangan sebuah motosikalnya di sebuah institusi pengajian tinggi di bandaraya ini baru-baru ini.

Menurut beliau, bersama dengan penangkapan tersebut polis merampas tiga buah motosikal curi jenis Honda EX5 bersama empat beranak terbabit.

“Soal siasat terhadap empat beranak berkenaan membawa kepada penahanan suspek kelima berusia 26 tahun di tepi jalan di Taman Putera Jaya,” kata beliau,

Suspek kelima itu dipercayai bersubahat dengan empat beranak itu untuk melakukan jenayah curi motosikal sejak April lalu.

Nilai rampasan membabitkan tiga buah motosikal itu berjumlah RM10,000.

Ahmad Sofi memberitahu, modus operandi pencuri motosikal itu ialah menyasarkan motosikal yang diletakkan di kawasan tersembunyi di sekitar bandar raya ini.

“Penjenayah tersebut menggunakan pemutar skru bagi membuka enjin motosikal sebelum menyambungkan wayar untuk menghidupkan enjinnya,” kata beliau.

sumber- Kosmo

Kembar Siam berjaya dipisah

bayi kembar siam
KEMBAR Muaimin Azli (kanan) dan Muaiman sebelum mereka dipisahkan.
KUALA LUMPUR – Pakar-pakar perubatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) mencatat satu lagi sejarah apabila berjaya memisahkan kembar Siam berusia setahun yang berasal dari Segamat, Johor dan bercantum di bahagian tulang pinggul baru-baru ini.

Mereka yang terdiri daripada 19 pakar bedah dan anastetik serta 36 jururawat dan pegawai perubatan berjaya memisahkan kembar Muaiman Azli dan Muaimin dalam satu pembedahan maraton selama 24 jam.

Pasangan kembar tersebut yang bercantum di bahagian tulang pinggul dan turut berkongsi usus dan saluran kencing tetapi tiada lubang dubur, selamat menjalani pembedahan untuk pemisahan pada 15 Julai lalu.

Ketua Jabatan Bedah Pediatrik HKL, Datuk Dr. Zakaria Zahari berkata, pembedahan tersebut bertujuan memisahkan dan menstrukturkan semula anggota badan kembar tersebut

“Kami berjaya memisahkan mereka pada pukul 10.10 malam pada hari pertama pembedahan iaitu 14 Julai lalu sebelum dua pasukan pakar bedah bertanggungjawab ke atas bayi tersebut masing-masing.

“Mereka kini berada dalam keadaan stabil tetapi masih memerlukan pembedahan bagi tampalan kulit memandangkan luka pembedahan itu agak besar,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai turut meluangkan masa melawat kembar berkenaan di Wad Pediatrik, HKL.

Muaiman dan Muaimin telah dilahirkan pada 14 April tahun lalu di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru sebelum mereka ditempatkan di HKL keesokan harinya iaitu 15 April.

Tambah Zakaria, salah seorang daripada bayi berkenaan akan memiliki satu kaki sahaja memandangkan hanya tiga anggota badan berkenaan yang terbentuk.

“Kita lihat dulu keadaan mereka dalam masa dua minggu. Sekiranya semua berjalan lancar kembar berkenaan akan mula menjalani fisioterapi,” katanya.

sumber- Kosmo

Mr Bean, Bond meriahkan perasmian Olimpik

Ratu Elizabeth II
Rakaman video menunjukkan Ratu Elizabeth tiba di Olympic Stadium dengan bantuan pelakon James Bond, Daniel Craig. - Foto ihsan BBC
olimpik rasmi
Simbol Olimpik dan Revolusi Perindustrian memeriahkan majlis perasmian Olimpik 2012 London. - Foto ihsan London 2012
olimpik rasmi
Sebahagian aksi pada upacara perasmian sukan Olimpik 2012 London. - Foto ihsan Olimpik 2012
LONDON - Temasya sukan Olimpik 2012 sedang berlangsung di Olympic Stadium di sini dengan lebih satu bilion orang menyaksikannya secara langsung.

Lebih 80,000 orang berhimpun di Olympic Stadium di mana Britain menganjurkan temasya itu buat kali ketiga.

Temasya kali ini disertai 204 negara dan wilayah.

Bagi menandakan permulaan majlis perasmian, Red Arrows terbang melintasi Olympic Stadium pada jam 20.12 malam waktu London (4.12 waktu Malaysia).

Kesemua 204 kontinjen masuk ke dalam stadium dengan persekitaran yang menggambarkan aduan era moden dan lama sejak 5.30 pagi waktu Malaysia.

Kontinjen Malaysia melintasi pentas utama sekitar jam 6.15 pagi (waktu Malaysia).

Majlis perasmian yang mengadunkan era perindustrian dan moden, turut dimuatkan dengan penampilan 'Mr Bean' dan James Bond.

Perasmian disempurnakan oleh Ratu Elizabeth II.

Laporan BBC menyifatkan kemunculan Ratu Elizabeth sebagai "The Queen made an unexpected entrance - with a little help from James Bond."

Ratu Elizabeth tiba di stadium selepas satu video yang dihasilkan oleh BBC menunjukkan baginda diterbangkan menerusi helikopter oleh pelakon James Bond semasa, Daniel Craig.

Baginda merasmikan sukan ini dengan membacakan mesej perasmian satu ayat pada jam 7.15 pagi (waktu Malaysia).

Ia disusuli dengan pembacaan ikrar oleh Sarah Stevenson, pemenang pingat perak acara tae kwon do Olimpik 2008.

Kemudiannya, Sir Steve Redgrave, pendayung British yang pernah memenang pingat dalam lima sukan Olimpik berturut-turut, membawa obor ke dalam stadium.

sumber- Sinar

Saya tak kisah pandangan umum

aksi pengantin
KENANGAN...antara video perkahwinan Syafiq dan Yana dalam YouTube.
PEKAN: Video majlis perkahwinan pengantin muda, Syafiq, 16 dan Yana, 14, yang dipaparkan di YouTube hingga menarik perhatian lebih setengah juta penonton mengejutkan ayah pengantin lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Man, 37.

Man berharap, majlis perkahwinan anaknya itu tidak dijadikan isu kerana berkahwin pada usia muda seakan-akan sudah menjadi tradisi dalam keluarganya.

“Hampir semua ahli keluarga kami, baik di sebelah keluarga saya mahupun isteri menamatkan zaman bujang masing-masing pada usia muda iaitu 14 hingga 19 tahun.

“Saya berkahwin pada usia 19 tahun dan sehingga kini rumah tangga saya bahagia tanpa sebarang masalah, ” katanya ketika dihubungi.

Man agak keberatan untuk mengulas lanjut mengenai perkahwinan itu dan enggan membenarkan Harian Metro berjumpa serta menemu bual anak dan menantunya.

sumber- HMetro

Ditipu beli baju kurung di Facebook

baju kurung ketat
DUA mangsa menunjukkan kedai menjual pakaian di Facebook yang didakwa menipu mereka selepas membeli baju kurung di laman sosial tersebut di Padang Besar semalam.
PADANG BESAR – Impian lima rakan sekerja untuk melaram baju kurung baharu yang didakwa dibeli melalui sebuah kedai pakaian di laman sosial, Facebook bagi menyambut Aidilfitri nanti berkecai setelah baju kurung yang dipesan tidak diterima.

Kesemua mereka bertugas di sebuah institut pengajian tinggi di sini kerugian RM520 berikutan 10 pasang baju kurung yang dipesan itu tidak diterima selepas membuat bayaran pada 19 Julai lalu.

Seorang mangsa, Nohasihida Mat Yazid, 26, berkata, pengendali kedai laman sosial tersebut didakwa telah menutup akaun Facebook tersebut selepas dua hari membuat bayaran.

“Kami amat terkilan dengan taktik pengendali laman Facebook itu yang mengambil kesempatan sempena hari raya ini untuk menipu orang ramai dan hasrat kami untuk membeli baju raya tidak kesampaian,” katanya di sini semalam.

Menurut Nohashida, dia tertarik untuk membeli baju kurung di laman pengendali tersebut ekoran harga yang ditawarkan murah berbanding baju kurung di kedai lain dan pakaian yang ditonjolkan itu cantik serta mempunyai ciri serba moden berlabuci.

“Harga baju kurung yang dijual di kedai pengendali laman sosial itu sekitar RM90 sepasang, jimat RM100 dari baju kurung di kedai luar dan apabila kita membeli dalam kuantiti lebih 10 pasang, kedai tersebut menurunkan harga kepada RM50 sepasang,” ujarnya.

sumber- Metro

Ikan paus terdampar dekat pantai Jawa

ikan paus terperangkap
SEBUAH bot penyelamat berada dekat seekor ikan paus yang terdampar dekat pantai Pakis, Jawa Barat semalam.- AFP
JAKARTA - Seekor ikan paus sepanjang 11 meter terperangkap dekat pantai Pakis, Jawa Barat di kawasan air cetek kelmarin.

Menurut seorang penyelamat dari Rangkaian Bantuan Haiwan Jakarta, Benvika, usaha menyelamat ikan tersebut terjejas kerana bunyi enjin bot.

"Kami hampir melepaskan ikan itu beberapa kali kelmarin tetapi bunyi enjin puluhan bot menyebabkan haiwan tersebut keliru menyebabkan ia tidak dapat berenang ke laut," katanya semalam.

Beliau berkata, seramai 16 orang penyelam terlibat dalam usaha untuk menyelamatkan ikan tersebut.

Menurutnya, sebelum ketibaan pasukan penyelamat itu, sekumpulan nelayan cuba menarik ikan tersebut kembali ke laut.

Namun, Benvika berkata, bahagian belakang ikan itu lebam semasa proses menarik ikan tersebut dilakukan oleh para nelayan.

Beliau berkata, seramai 30 buah bot membawa pelancong turut bergerak di sekitar ikan tersebut.

Menurutnya, setiap penduduk tempatan membayar sebanyak AS$0.50 (RM1.57) untuk melihat ikan paus tersebut dengan menaiki bot.

sumber- AFP

Sebatang kayu jadi tumpuan ribuan orang

kayu ajaib
SEJUMLAH orang menyaksikan sebatang kayu yang dipercayai mempunyai kuasa untuk menyembuhkan penyakit di Kampung Prey Yeang, Kemboja pada 19 Julai lalu. - AFP
PHNOM PENH - Sebatang kayu di Kampung Prey Yeang, wilayah Pursat menjadi tumpuan ribuan orang yang percaya ia mempunyai kuasa menyembuhkan penyakit dan meramalkan nombor tiket loteri yang akan menang, kata beberapa pegawai kelmarin.

Kayu itu sepanjang 13 meter dan ditemui pada awal bulan ini semasa sebuah keluarga menggali sebuah kolam.

"Sekurang-kurangnya,dalam tempoh seratus orang melawat kayu itu sehari untuk meminta nombor tiket loteri dan menyembuhkan penyakit mereka," kata ketua kampung itu, Hun Nov menerusi telefon.

Nov menyatakan beberapa orang meletakkan bedak di atas kayu itu dengan harapan untuk melihat nombor tiket loteri.

Menurutnya, beberapa orang lagi meminum air dari kolam tersebut dan melumurkan badan mereka dengan lumpur sebagai usaha untuk menyembuhkan penyakit mereka.

Kira-kira 4,000 hingga 5,000 orang telah mengunjungi lokasi kayu tersebut.

sumber- AFP

Orang utan suka merokok dipindahkan

orang utan merokok
GAMBAR fail menunjukkan Tori menghisap rokok di Zoo Taru Jurug di Solo pada 6 Julai lalu.
JAKARTA - Beberapa pekerja telah memindahkan seekor orang utan yang suka merokok ke sebuah pulau di dalam sebuah zoo di Jawa Tengah.

Jurucakap Zoo Taru Jurug, Daniek Hendarto berkata kelmarin, orang utan itu yang bernama Tori dan teman hidupnya, Didik dipindahkan ke pulau tersebut kelmarin.

Tori merupakan orang utan betina berusia 15 tahun yang telah menghisap rokok selama satu dekad.

Pemindahan itu dilakukan supaya pengunjung zoo tersebut di Solo tidak melemparkan rokok di dalam kurungannya. 

sumber- AP

'Tandas terbesar' dunia di India

tandas terbesar di dunia
GAMBAR fail menunjukkan seorang pekerja perkhidmatan kereta api India memeriksalandasan di Mumbai pada 13 Julai lalu. Ramai penduduk India membuang air dalam kereta api.
NEW DELHI - Menteri Pembangunan Luar Bandar India, Jairam Ramesh mencadangkan projek bernilai AS$130 juta (RM411.35 juta) untuk membersihkan landasan kereta api di negaranya yang dianggapnya sebagai 'tandas terbuka' yang terbesar di dunia, menurut beberapa laporan semalam.

Beliau menyatakan demikian pada satu mesyuarat di sini kelmarin bahawa terdapat 130 juta isi rumah yang tidak mempunyai kemudahan tandas.

"Ia merupakan sesuatu yang amat memalukan, dukacita dan marah," kata Ramesh seperti yang dilaporkan akhbar Times of India.

Menteri itu mencadangkan supaya sebanyak AS$28 juta (RM88.59 juta) diperuntukkan untuk menyediakan 100,000 tandas mesra alam di kampung-kampung di seluruh India.

Menurutnya, kereta api di India membawa 11 juta penumpang setiap hari.

Justeru, katanya, landasan kereta api di negara ini merupakan tandas terbuka yang paling besar di dunia. 

sumber- AFP

Ikat kaki! Tradisi seram masyarakat China.

pengikatan kaki / foot binding

Foot Binding atau pengikatan kaki adalah tradisi menghentikan pertumbuhan kaki wanita China pada zaman dahulu. Tradisi ini telah menyebabkan penderitaan besar bagi kaum wanita China pada masa itu. Pengikatan kaki biasanya bermula apabila kanak-kanak perempuan mencecah usia empat hingga tujuh tahun.

Pengikatan kaki dilakukan dengan cara membalut kaki dengan ketat menggunakan kain sepanjang 10 meter dan lebar 2 cm, kemudian melipat empat jari kaki ke bahagian bawah lalu menarik ibu jari kaki medekati tumit. Hal ini membuatkan kaki menjadi lebih pendek. Pembalut kaki semakin diketatkan dari hari ke hari dan kaki dipaksa memakai kasut yang semakin kecil. Kaki harus dicuci dan dipotong kukunya. Jika tidak, ia akan membuatkan kuku pada kaki yang diikat menusuk ke dalam dan menyebabkan jangkitan.

Jika balutan terlalu ketat maka akan terjadi kematu yang harus dipotong menggunakan pisau. Kemudian kaki juga harus menjalani terapi sejuk dan panas bagi mengurangkan rasa sakit. Pengikatan kaki membuatkan pengaliran darah tidak lancar sehingga daging kaki menjadi busuk dan mengeluarkan nanah. Menurut generasi pada zaman tersebut, semakin kecil kaki seorang gadis maka semakin cantik dia dipandang. Panjang kaki seorang gadis hanya sekitar 10-15 cm sahaja.

Pengikatan kaki sering menyebabkan kecacatan seperti lumpuh malahan ada yang berlaku kematian kanak-kanak perempuan kerana jangkitan, namun perkara ini telah dianggap normal. Pengikatan kaki juga menyebabkan wanita sukar untuk berjalan dan melakukan kerja rumah. Dalam jangka masa panjang, ia menyebabkan kecacatan pada kaum wanita ketika usia tua di China.

Pengikatan kaki bermula pada penghujung pemerintahan dinasti Tang (618-907). Sepanjang sekitar seribu tahun adat ini diamalkan, lebih dari satu billion wanita China yang telah mempraktikkannya.

Pengikatan kaki pada mulanya lebih cenderung diamalkan oleh golongan bangsawan dan kenamaan. Adat ini menyebabkan golongan wanita menjadi seseorang yang tidak berguna terutama untuk aktiviti pekerjaan di luar rumah. Orang miskin pula lebih malang kerana sukar untuk mengusahakan bendang dan kebun untuk mencari rezeki. Pengikatan kaki kemudiannya menjadi syarat dalam pernikahan.

Lelaki tidak akan menikahi perempuan yang kakinya tidak diikat. Seorang gadis harus diikat kakinya supaya dapat berkahwin terutama dengan golongan pertengahan ke atas. Tanggungjawab seorang ibu pula ialah harus memastikan anak mereka diikat kaki jika benar-benar mahukan anak mereka berkahwin. Pengikatan kaki menjadi lambang kesucian kerana apabila ia diikat, ia akan kekal untuk seseorang wanita. Dengan kedatangan Revolusi Sun Yat Sen pada tahun 1911, amalan ini telah diharamkan oleh pemerintah China.

sumber- Orbit

Mayat anak ditemui di bawah jambatan selepas dua hari

Mayat anak ditemui di bawah jambatan selepas dua hari
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Pontian untuk bedah siasat.
PONTIAN - Seorang bapa tidak menyangka keceriaan berbuka puasa bersama anak lelaki di kampung halamannya adalah detik terakhir sebelum mayat si anak berusia 28 tahun dijumpai di bawah jambatan Sungai Pinggan, berhampiran Kampung Parit Selangor, Benut, petang kelmarin.

Bachok Hadadak, 67, tidak menyangka Adzlin Bachok yang merupakan anak kelapan dari 11 beradik itu pergi buat selamanya ketika umat Islam sedang menyambut Ramadan.

Menurutnya, dia sempat bertemu dengan anaknya itu yang bekerja sebagai pemandu lori di sebuah syarikatdi Pontian, pada malam Isnin untuk berbuka bersama sebelum Allahyarham keluar rumah kira-kira jam 10 malam.

“Kira-kira jam 10 malam, dia memberitahu hendak keluar sebentar, untuk berjumpa kawan tetapi tidak menyatakan ke mana," kata peneroka Felda Layang-layang itu.

Katanya, dia menyangka anaknya itu pulang ke rumah sewanya dan tidak mengesyaki apa-apa yang buruk berlaku memandangkan anaknya itu tidak pulang keesokan harinya.

“Saya sangka arwah pulang ke rumah sewanya dan langsung tidak mengesyaki apa-apa yang buruk berlaku ke atas dirinya," katanya ketika ditemui di rumah mayat Hospital Pontian, malam kelmarin.

Bachok berkata, dia mendapat tahu kematian anaknya itu kira-kira jam 6 petang Rabu lalu melalui panggilan telefon yang dibuat rakannya.

Katanya, sebelum kejadian, rakan kepada arwah ada memberitahu kereta yang arwah gunakan itu berada di kawasan pasar awam Benut namun tidak mengesyaki sebarang perkara pelik kerana menyangka anaknya itu menumpang kereta rakan.

"Isnin lalu, saya dan isteri dari Felda Layang-layang pulang ke kampungnya di Kampung Parit Mastar, Benut untuk berjumpa ahli keluarga termasuk arwah selepas mengambil durian runtuh RM5,000.

"Arwah sudah bertunang dan akan mengakhiri zaman bujangnya pada April tahun depan dan bekerja sebagai pemandu lori," katanya.

Katanya, arwah merupakan seorang yang peramah dan tidak suka banyak berbual selain tidak menunjukkan sebarang tingkah laku ganjil ketika mereka berbuka puasa bersama Isnin lalu.

Sementara itu Pemangku Ketua Polis, Superintendan Tan Moh Chuan, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Katanya pihak polis menerima laporan daripada orang awam memberitahu terjumpa mayat hanyut di dalam Sungai Pinggan berhampiran Jambatan Parit Makasar, Benut, kira-kira jam 5.10 petang Rabu.

Mayat dikenal pasti sebagai lelaki berpakaian lengkap dipercayai berusia dua hari berdasarkan keadaannya.

Pihak polis katanya, sedang menjalankan siasatan dan kini masih menunggu laporan bedah siasat dari Hospital Pontian (HP) serta akan mengadakan sidang akhbar sebaik sahaja menerima laporan bedah siasat.

sumber- Sinar

Dunia menanti perasmian Olimpik London

Sir Matthew Pinsent
Sir Matthew Pinsent mengaktifkan kawah obor Olimpik pada hari terakhir larian obor. - Foto ihsan London 2012
PEMBUKAAN rasmi sukan Olimpik London 2012 dilihat akan menjadi upacara gilang-gemilang melangkaui jangkaan kerana penonton seluruh dunia begitu teruja menyaksikan raptai akhir, semalam

Selepas persediaan selama tujuh tahun, selepas dikejutkan dengan letupan bom di tengah London sehari selepas menjadi tuan rumah Olimpik pada 2005, majlis pembukaan akan berlangsung hari ini - jam 8.12 malam waktu London (sekitar jam 4.12 pagi esok waktu Malaysia).

Sukarelawan dan tentera diberi tiket secara percuma sebagai tanda penghargaan atas usaha meraka sepanjang pembabitan dalam sukan Olimpik,
15,000 peserta upacara tersebut boleh memberikan tiket mereka kepada ahli keluarga dan rakan.

Seramai 60,000 penonton dijangka akan menyaksikan upacara hebat majlis perasmian tersebut.

Tema upacara perasmian menelan belanja 27 juta pound (RM132.4 juta), yang menceritakan tentang Ises of Wonder iaitu hasil inspirasi William Shakespeare, The Tempest.

Namun begitu, segala atur cara majlis dirahsiakan. Mereka yang menghadiri upcara raptai diminta merahsiakan maklumat.

Upacara ini akan disaksikan seluruh dunia menerusi siaran televisyen dan atas talian.

Danny Boyle pernah memenangi Oscar telah dipertanggungjawabkan untuk menyempurnakan majlis perasmian Sukan Olimpik berprestij ini.

Boyle memenangi Academy Award hasil arahan filem Slumdog Millionaire menerangkan tentang idea-idea yang membimbingkan mereka untuk menghasilkan upacara tersebut.

Seorang lagi pengarah filem, Stephen Daldry merupakan pengarah kreatif majlis perasmian tersebut, mendedahkan upacara ini kaya dengan warisan, kepelbagaian, tenaga, daya cipta kreativiti yang benar-benar menerangkan tentang kepulauan Britian.

Sementara itu, skuad memanah negara akan memulakan kira-kira lapan jam sebelum majlis perasmian sukan Olimpik bermula di sebelah malam esoknya dengan harapan yang disandarkan kepada pasukan lelaki yang diketuai oleh Cheng Chu Sian.

Chu Sian, Khairul Anuar Mohamad dan Haziq Kamaruddin akan memulakan acara recurve kategori berpasukan lelaki kira-kira jam 9 pagi waktu tempatan (4 petang waktu Malaysia).

Berbekalkan pengalaman Chu Sian pernah menyertai Olimpik Beijing 2008 dan prestasi semasa Khairul Anuar, selaku pemain kelima ranking dunia.

Mereka diharap dapat melangkah ke pusingan 16 daripada 64 peserta lain.

Di gelanggang yang sama, Padang Kriket Lord, wakil tunggal peserta wanita negara, Nurul Syafikah Hashim juga beraksi dalam acara recurve kategori perseorangan wanita.

sumber- Sinar

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...