Selamat Datang Ke blog-ketegaq.blogspot.com

Blog terbaik yang menyediakan pelbagai cerita dan artikel menarik dari seluruh dunia. Like kami di facebook tanda sokongan anda dan untuk mendapat update artikel terkini dari kami.

Isu Semasa

Artikel-artikel terkini mengenai isu semasa dalam dan luar negara. Segalanya dari sumber-sumber yang boleh dipercayai.

Pelik

Segala fakta dan artikel mengenai perkara-perkara yang pelik boleh diperolehi di sini. Semua artikel adalah berdasarkan sumber dan kesahihannya anda sendiri tentukan.

Herba Dan Botani

Artikel mengenai tumbuh-tumbuhan yang digunakan untuk perubatan dan penjagaan kesihatan.

Alam Ghaib

Himpunan artikel mengenai alam ghaib yang sukar diperjelaskan dengan mata kasar. Admin mengalukan sumbangan artikel, gambar-gambar atau video untuk dikongsi bersama dalam blog ini.

Saturday, September 29, 2012

Dua jari hampir putus ditetak rakan

gambar parang berdarah

SHAH ALAM: Seorang pengawal keselamatan menerima 12 jahitan di jari kanannya yang hampir putus akibat ditetak dengan parang oleh rakan setugas yang tidak berpuas hati dengan pertukaran syif kerja dengan mangsa dalam kejadian di Taman Subang Murni, Seksyen U5, Shah Alam, kelmarin.

Dalam kejadian jam 8 malam itu, mangsa berusia 33 tahun bertugas di pondok keselamatan taman perumahan berkenaan apabila tiba-tiba didatangi rakan sekerjanya yang menaiki motosikal. “Sebaik keluar, rakan sekerjanya itu mengeluarkan parang yang diselit di belakang pinggang dan menyerang mangsa.

“Mangsa yang terkejut mengelak dan mempertahankan diri dengan menepis senjata berkenaan,” katanya.

Bagaimanapun, ketika cuba menahan dengan tangan ketika libasan kedua menyebabkan parang itu terkena jari mangsa.

sumber- HMetro

Wanita dakwa dipukau sebelum dicabul

ilmu pukau guna rokok

KUALA LUMPUR: Seorang wanita mendakwa dipukau sebelum menuruti arahan seorang lelaki yang memintanya masuk ke dalam kereta Perodua Viva berwarna putih sebelum dicabul, Rabu lalu.

Dalam kejadian jam 5.40 petang itu, mangsa berusia 26 tahun berjalan berseorangan ke hentian menunggu bas berhampiran Jalan Pahang sebelum tiba-tiba kereta dipandu seorang lelaki berhenti dan terus memanggil namanya.

Menurut sumber, mangsa menghampiri kenderaan itu sebelum lelaki berkenaan memperkenalkan diri dan bertanya sama ada mengenalinya atau tidak.

“Bagaimanapun mangsa memberitahu tidak mengenali lelaki itu.

“Suspek kemudian terus membuka pintu dan menarik mangsa masuk ke dalam kenderaannya. “Mangsa ketika itu tidak cuba melawan sebaliknya akur dan mengikut suspek yang menyatakan hasrat mahu menghantar mangsa pulang ke rumahnya di Sungai Besi,” katanya.

Sumber berkata, ketika dalam perjalanan, suspek mengambil kesempatan memegang alat sulit mangsa beberapa kali, namun tidak dapat melawan seolah-olah dipukau.

“Suspek turut mengambil nombor telefon mangsa sebelum menghantarnya pulang,” katanya.

sumber- HMetro

Kesha bercinta dengan hantu

Kesha
Kesha
SERING mengalami kejadian mistik dalam kehidupannya, pelantun lagu Tik Tok, Kesha, mengakui dia pernah bercinta dengan hantu.

"Ya, saya pernah bercinta dengan hantu. Namun, saya tidak pernah tahu namanya. Walaupun dia hantu, kami melalui detik bersama seperti manusia lain," katanya.

Malah, pengalaman bercinta dengan makhluk halus itu turut diterjemahkan dalam bentuk lagu, Supernatural yang terdapat dalam album barunya, Warrior.

Menurut Kesha, album tersebut adalah rentetan perjalanan hidupnya yang penuh misteri.

"Walaupun ianya menguji tahap pemikiran dan kepercayaan individu mengenai hantu dan makhluk lain, namun saya percaya, album ini akan memberi gambaran sebenar kepada dunia yang penuh keajaiban," kata Kesha lagi.

sumber- Sinar

Samseng buat kecoh

samseng Ipoh
Keadaan restoran yang berselerak akibat tindakan kumpulan samseng tersebut.
IPOH - Tindakan sekumpulan samseng memporak-perandakan sebuah restoran kerana enggan membayar makanan yang dijamah, di sini, malam kelmarin, menyebabkan pemilik restoran berkenaan tergamam.

Dalam kejadian pada jam 11.30 malam itu, kumpulan samseng terbabit telah bertindak merosakkan kelengkapan seperti kerusi dan meja makan yang terdapat di restoran berkenaan.

Pemilik restoran yang hanya mahu dikenali sebagai Pang, 40-an memaklumkan, pada awalnya, kumpulan itu datang ke restorannya untuk makan malam dengan menaiki beberapa buah kenderaan.

Menurutnya, seorang lelaki dari kumpulan itu kemudiannya memesan sajian steamboat bersaiz besar dan pekerja saya mengambil pesanan itu serta melayan mereka sepertimana pelanggan lain.

"Di samping steamboat, mereka turut memesan 20 botol minuman keras bersaiz besar.

"Saya tiada di restoran ketika kejadian dan isteri serta pekerja saya mengambil alih tugas untuk melayan pelanggan," katanya.

Pang berkata, pekerjanya telah membawa bil makanan berjumlah RM500 kepada kumpulan terbabit memandangkan masa operasi restorannya hampir tamat.

"Kumpulan berkenaan berpura-pura mabuk dan enggan melayan pekerja saya, kemudian mengamuk dan sengaja menendang meja makan serta kerusi. Mereka turut berteriak serta memecahkan botol minuman keras sambil mengugut mahu membunuh pekerja saya.

"Pekerja saya lari menyembunyikan diri kerana takut dicederakan, sementara isteri saya yang berada di tingkat atas ketika itu menghubungi pasukan sukarelawan polis untuk bantuan," katanya.

Tambahnya, seramai 10 anggota sukarelawan polis tiba di restoran berkenaan selepas menerima panggilan kecemasan dan kumpulan terbabit melarikan diri sebaik sahaja melihat kehadiran anggota sukarelawan polis.

Katanya, laporan polis telah dibuat pada hari sama dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh mengesahkan ada menerima laporan daripada mangsa serta siasatan sedang dijalankan.

sumber- Sinar

Tikus mampu sembuh sendiri

Acomys kempi

FLORIDA - Sejenis tikus kecil dari Afrika didapati mampu menyembuhkan lukanya sendiri, sekali gus menjadi kunci kepada revolusi perubatan dalam bidang pertumbuhan semula tisu mamalia.

Sebelum ini, hanya cicak diketahui boleh menggantikan anggotanya yang hilang, namun secara saintifik, biologi amfibia sangat berbeza dengan manusia dan pakar mendapati haiwan itu tidak boleh digunakan dalam perubatan manusia.

Menurut sekumpulan saintis dari Universiti Florida, gen tikus kecil dari Afrika yang dikenali dengan nama santifiknya Acomys kempi dan Acomys percivali itu didapati paling hampir dengan manusia dan berpotensi merawat luka manusia.

Ketua kajian, Ashley Seifert berkata, tikus itu mampu membina semula tisu telinga sama seperti cicak membina semula anggotanya yang hilang akibat diserang.

"Tikus kecil ini mampu menghasilkan kulit, folikel rambut dan rawan," katanya.

Seifert melakukan ujian menggunakan kaedah menebuk lubang pada telinga tikus tersebut untuk melihat bagaimana ia akan tumbuh semula.

"Keputusannya sangat menakjubkan. Tisu yang pelbagai tumbuh semula melalui kaedah yang sama digunakan oleh cicak untuk menghasilkan anggotanya," katanya.

Sementara itu, Profesor Ken Muneoka dari Universiti Tulane, menganggap penemuan tersebut sangat penting kerana ia menghasilkan kaedah baru perubatan merawat luka di bahagian kulit dan pertumbuhan semula tisu di kalangan manusia. 

sumber- AGENSI

Kahwin dalam banjir

Kahwin dalam banjir
Chang Chuan dan Kim Lee ketika diarak menggunakan jenangkat pada majlis perkahwinan mereka.
PENDANG - Ternyata banjir yang melanda tidak menghalang pasangan pengantin untuk mengadakan majlis perkahwinan mereka di rumah pasangan lelaki di Kampung Seberang Pendang semalam.

Ng Chang Chuan, 26, dan isterinya, Lim Kim Lee, 28, dari Kuala Kedah diarak menggunakan forklift sejauh 100 meter kerana kawasan rumah dan kampung terbabit dilanda banjir sejak kelmarin.

Menurut pasangan itu, mereka tidak menyangka hari bahagia mereka diraikan ketika banjir namun ia sama sekali tidak menghalang untuk majlis itu diadakan secara meriah.

Sementara itu, bapa pengantin lelaki, Ng Thai Iyang, 61, berkata, dia gembira kerana majlis perkahwinan anaknya berjalan lancar namun sedikit terkilan berikutan keadaan banjir menghalang beberapa saudara mara untuk datang meraikan majlis  berkenaan.

“Semua tetamu yang hadir perlu meninggalkan kenderaan mereka kira-kira 100 meter dan turut diangkut menggunakan jenangkat kerana paras air sudah mencecah 3 meter.

“Sebenarnya keadaan ini pernah saya alami 40 tahun lalu di mana ketika itu kakak saya juga berkahwin dalam keadaan banjir,” katanya.

sumber- Sinar

Misteri kereta terbakar bergerak sendiri tanpa pemandu

Toyota Corolla
Anggota bomba membantu memadamkan kebakaran kedua-dua kereta, semalam.
BUKIT BERUANG (MELAKA) – Sebuah kereta yang tiba-tiba terbakar di Taman Bukit Baru, berhampiran sebuah pasar raya di Ayer Keroh, di sini, semalam menjadi tanda tanya apabila dikatakan sebelum kejadian bergerak sendiri sejauh kira-kira lima meter dari kedudukan asal.

Dalam kejadian kira-kira 2.30 petang, kereta jenis Toyota Corolla yang didakwa begerak tanpa pemandu dan dipakir di bahu jalan kawasan perumahan itu turut merempuh sebuah kereta Perodua Kelisa di hadapannya.

Akibat pertembungan itu, kedua-dua kereta milik dua pekerja kakitangan pasar raya berhampiran taman perumahan berkenaan terbakar di bahagian hadapan enjin.

Pemilik kereta yang enggan dikenali mendakwa dia telah menarik brek tangan ketika meletakkan keretanya di kawasan itu selepas masuk semula bekerja kira-kira 2.10 petang.

Wanita berusia 48 tahun yang bekerja sebagai jurujual berkata sering meletakkan kenderaan di situ seperti kebanyakan kakitangan lain.

Ketua Operasi, Pegawai Bomba dan Penyelamat Balai Bomba Ayer Keroh, Musa Dora berkata, sebuah jentera membabitkan enam anggota bomba dan penyelamat bergegas lokasi kejadian.

“Api yang marak di bahagian hadapan kedua-dua kereta tersebut berjaya dikawal pada jam 2.51 dan padam sepenuhnya lima minit kemudian.

“Punca sebenar kebakaran dan jumlah kerugian dialami masih dalam siasatan. Bagaimanapun kebakaran tidak membabitkan kemala-ngan jiwa,” katanya.

sumber- Sinar

Padah tunjuk Burung

India tunjuk anu
Tertuduh dibawa keluar dari mahkamah, semalam.
AYER KEROH - Gara-gara berkelakuan lucah terhadap seorang pensyarah, seorang pengawal keselamatan dijatuhi hukuman denda sebanyak RM1,500 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, semalam.

R Siva, 24, dijatuhi hukuman tersebut selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Ida Rahayu Sharif.

Berdasarkan pertuduhan, Siva didapati menunjukkan kemaluannya untuk dilihat Mahfuza Jamaluddin, 28, di hadapan lif tingkat satu, Blok C, Hospital Melaka pada jam 3.50 petang, 25 September lalu.

Dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksima lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam belanya, N Gunalan merayu diberikan hukuman rendah kerana mempunyai pendapatan kecil, selain perlu menanggung dua anak dan bapanya yang tua.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa, Inspektor Muhamad Juhari Haron meminta mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh kerana tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Ida Rahayu kemudian mengarahkan tertuduh membayar denda RM1,500 atau dua bulan penjara jika gagal membayar denda.

Mengikut fakta kes, ketika pengadu (mangsa) menunggu lif selepas mengadakan temu janji dengan doktor di Blok C, Hospital Melaka, dia terkejut apabila seorang pengawal keselamatan di situ menunjukkan kemaluan sebelum bertindak membuat laporan polis.

sumber- Sinar

Gadis lesap bersama barang kemas ibu

Siti Saharah Abd Hamid
Siti Saharah yang dilaporkan hilang sejak tiga minggu lalu, selepas didakwa mengikuti teman lelaki dari Kelantan yang baru dikenalinya.
KOTA BHARU - Seorang gadis berusia 16 tahun, dipercayai menghilangkan diri sejak tiga minggu lalu bersama barang kemas milik ibunya bernilai RM30,000.

Gadis terbabit, Siti Saharah Abd Hamid, dikatakan keluar dari rumahnya di Kuala Lipis, Pahang pada 4 September lalu, dipercayai mengikut teman lelakinya yang baru dikenali berasal dari Kelantan.

Bapanya, Abdul Hamid Mahmood, 63, berkata, ketika keluar dari rumah, anaknya langsung tidak menunjukkan tanda-tanda mencurigakan dan juga tidak memberitahu  keluarga.

“Kami tidak pernah berselisih pendapat, malah dia (Siti Saharah) merupakan anak yang rapat dengan keluarga.

“Dia juga tidak pernah mempunyai teman lelaki namun selepas mengenali lelaki itu, dia mulai berubah, “katanya kepada Sinar Harian.

Abdul Hamid berkata, buntu dengan perkara itu, dia cuba berjumpa dengan pengamal perubatan tradisional bagi mengesan anaknya itu.

“Dari maklumat yang diperolehi, dipercayai anak saya berada di Kelantan dan mengikut lelaki yang baru dikenalinya itu yang berhajat melangsungkan perkahwinan dengan anak saya di Thailand.

“Saya risau dengan keadaan ini, kerana dia masih bersekolah dan kehilangannya, menjadi tanda tanya kami sekeluarga,” katanya.

Menurutnya lagi, isterinya, Jambi Hassan, 58, juga sudah kering air mata, mengenangkan nasib anaknya itu.

“Saya syak mungkin dia dipukau kerana anak saya tidak pernah melakukan perkara seperti ini.

“Pernah saya cuba menghubungi telefon bimbitnya, namun taliannya dimatikan dan gagal dihubungi sehingga kini,” katanya.

Abdul Hamid mengharapkan supaya sesiapa yang menemui anaknya, di sekitar Kelantan termasuk di Rantau Panjang atau sekitarnya supaya dapat menghubungi talian 017-9875300 atau Eqram di talian 017-9405369.

sumber- Sinar

Misteri ribuan paku dalam badan wanita ini

Misteri ribuan paku dalam badan wanita ini

BANTUL (Indonesia): Seorang penduduk, Supiati, 25, di daerah Harjomulyo, Ogan Komering Ulu, selatan Sumatera, mengalami penyakit misteri.

Terdapat beribu-ribu paku di dalam tubuhnya menyebabkan dia kesakitan dan sukar untuk bergerak.

“Saya telah bertemu dengan ramai doktor tetapi kesakitan ini masih berterusan,” kata Supiati, semalam. 

Walaupun telah dibawa ke hospital dua kali oleh bapanya, doktor hanya menemui bukti paku di dalam tubuhnya selepas pemeriksaan kedua.

Pengarah Hospital Besar Nur Hidayah, Arrus Ferry berkata, Supiati akan menjalani pembedahan selepas imbasan X-ray kedua mengesan paku di dalam tubuhnya.

Seorang jururawat, Evariyanti, mengaku dia dan beberapa jururawat lain mengeluarkan 56 paku dari tapak kaki Supiati. 

“Setakat ini, lebih daripada 2,000 paku telah dikeluarkan dan saya rasa sedikit sihat,” kata Supiati dan tambahnya dia merasa resah kerana penyakitnya ini kini tersebar luas di kampung Dlinggo di mana bapanya mempunyai rumah di situ. 

sumber- Jakarta Post

Guru mengaku bersalah rakam video paha pelajar wanita

Seow Swee Hong
Seow Swee Hong
SINGAPURA: Seorang guru semalam mengaku bersalah terhadap 10 daripada 94 dakwaan mencabul kehormatan wanita.

Seow Swee Hong, 39, yang mengajar di sekolah di timur negara ini, menggunakan telefon bimbitnya untuk merakam gambar seluar pendek dan paha mangsa di sekolah dan di kedai buku Popular di hab HDB Tao Payoh, tahun lalu. 

Mahkamah diberitahu, Seow melakukan sekurang-kurangnya separuh daripada kesalahan itu ketika masih lagi dalam ikat jamin polis. 

Timbalan Pendakwa raya Awam, Lee Zu Zhao berkata, Seow berada di sekolah pada 25 Julai tahun lalu apabila dia merakam video yang memaparkan bahagian atas paha pelajar perempuan ketika pelajar itu menaiki tangga. 

sumber- The New Paper

China cuba ceroboh komputer Pentagon

hackers

WASHINGTON: Pegawai tertinggi Pusat Arahan Siber Amerika Syarikat (AS) semalam mendakwa China terus cuba menceroboh rangkaian komputer Pentagon.

Untuk menghadapinya, satu cadangan dikemukakan kepada kerajaan bagi meningkatkan kedudukan pusat berkenaan dalam hiraki tentera AS. 

Pengarah Risikan pusat itu, Samuel Cox berkata usaha pencerobohan ke atas Jabatan Pertahanan adalah berterusan, manakala cubaan China mencuri rahsia dagangan korporat semakin meningkat. 

Tahun lalu, Pejabat Eksekutif Antirisikan Kebangsaan satu sayap perisikan AS berkata, aktor China adalah perisik ekonomi paling konsisten untuk Beijing. 

Cox berkata, dia yakin usaha China menceroboh rangkaian komputer AS itu semakin meningkat. Ditanya mengenai kemungkinan ada maklumat berjaya diperoleh China, Cox enggan memberi komen. 

sumber- Reuters

Tengkorak dalam perut bekas ratu cantik

Jamie Hilton

BOISE (Idaho): Bekas ratu cantik menjalani pembedahan luar biasa apabila suku daripada tengkoraknya dipotong dan disimpan dalam perut sementara menanti kecederaan parah di kepalanya sembuh.

Pakar bedah menyimpan bahagian belakang tengkorak Jamie Hilton itu dalam perutnya bagi memastikan ia kekal bebas daripada pencemaran kuman dan mendapat khasiat sewajarnya ketika menunggu bengkak di otaknya surut. Apabila ibu kepada tiga anak itu sedar daripada pembedahan, dia mendapati ada benjolan besar dan keras di perutnya.

Jamie Hilton

Pada masa sama, sebahagian daripada tengkoraknya ‘hilang.’ Menurut media, cebisan tengkorak itu disimpan di perut Jamie selama 42 hari sebelum Jamie sekali lagi dibedah untuk mencantumkan semula tulang berkenaan.

Semalam, Jamie, 36, dibenarkan pulang selepas bertarung dengan maut kira-kira tiga bulan lalu. Menulis di blog mengenai pengalaman itu, Jamie berkata, tiada yang lebih penting padanya daripada terselamat melalui detik kritikal sebelum ini.

Jamie Hilton

“Saya boleh bermain dengan anak-anak, mencium suami, melepak dengan ibu dan hidup. “Hati saya bagaikan mahu meledak dengan kesyukuran.

“Adakah hidup saya segala-galanya sempurna? Tidak, tetapi hari ini saya masih hidup!” katanya. Memenangi gelaran Ratu Idaho pada 2009, Jamie menyertai suaminya, Nick, dan iparnya, Greg memancing ikan salmon di Hell’s Canyon, Jun lalu. Ketika Jamie cuba menarik tali pancingnya, dia tergelincir dan terjatuh kira-kira empat meter ke atas bongkah batu.

Apabila Nick tiba di situ, dia mendapati Jamie terkulai tanpa denyutan nadi atau bernafas. Namun, ketika Nick mengangkat Jamie, wanita itu kembali bernafas dan hasil bantuan Renjer Hutan dan perkhidmatan kecemasan, dia dikejarkan ke hospital di Boise menaiki helikopter. Pemeriksaan doktor mendapati otak Jamie membengkak dan perlu dibedah untuk menyelamatkan nyawanya. 

sumber- TS

Bomoh tipu dipenjara 45 tahun

Bomoh penipu
OMAR diiringi polis ketika berjalan keluar dari Mahkamah Majistret Johor Bahru semalam.
JOHOR BAHRU – Seorang pengamal perubatan tradisional dijatuhi hukuman penjara 45 tahun dan 15 sebatan selepas mengaku bersalah terhadap 15 pertuduhan menipu di Mahkamah Majistret di sini semalam.

Majistret Mohd. Azlan Shah Mohd. Allias menjatuhkan hukuman itu selepas Omar Mohamad, 38, mengaku bersalah atas dakwaan penipuan kononnya boleh mengganda wang, mengelak wang daripada disedut makhluk halus dan membersih barang kemas daripada saka.

Omar didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan kerana melupuskan barang kemas bernilai RM20,000 dengan memajak harta tersebut untuk kegunaan sendiri. Sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara lima tahun, sebat dan denda.

Tertuduh turut didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan bagi 14 tuduhan lain kerana menipu boleh menggandakan wang, mengelak wang simpanan disedut mahkluk halus dan membersihkan wang daripada saka. Dia boleh dihukum penjara 10 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

sumber- Kosmo

Hakim arah penerbit filem hina Nabi ditahan

Innocence of Muslims
LAKARAN imej Nakoula (kanan) di sebuah mahkamah di Los Angeles kelmarin.
LOS ANGELES - Seorang lelaki yang dipercayai penerbit dan pengarah filem yang menghina Nabi Muhammad SAW, Innocence of Muslims, Nakoula Basseley Nakoula ditahan tanpa dibenarkan diikat jamin kelmarin.

Nakoula, 55, yang berketurunan Mesir dihadapkan ke sebuah mahkamah di sini selepas ditangkap kerana melanggar syarat-syarat pembebasannya.

Dia dihukum penjara 21 bulan dan dibebaskan pada Jun 2011 setelah didapati bersalah menipu bank pada 2010.

Pendakwa raya Robert Dugdale berkata, Nakoula dituduh melakukan lapan kesalahan termasuk membuat kenyataan palsu kepada para pegawai perunding cara dan menggunakan tiga nama berlainan.

Hakim Suzanne Segal memutuskan Nakoula ditahan tanpa dibenarkan diikat jamin kerana bimbang dia akan melarikan diri selain dianggap berbahaya kepada masyarakat.

Dia ditahan di Pusat Tahanan Metropolitan di sini dan mungkin dipenjarakan selama dua tahun jika dia didapati bersalah melanggar syarat-syarat pembebasannya.

Nakoula yang merupakan penganut Kristian Koptik bersembunyi sejak dua minggu lalu selepas peranannya dalam pembikinan filem tersebut dibongkar.

Penduduk Islam di serata dunia menyertai tunjuk perasaan bagi membantah penyiaran filem itu selepas ia disebarkan di laman YouTube baru-baru ini.

Pada Rabu lalu, seorang pelakon filem itu, Cindy Lee Garcia memfailkan saman di sebuah mahkamah persekutuan di Santa Clarita, California terhadap pembikin filem berkenaan dan syarikat Google Inc. yang memiliki laman YouTube.

Dia menuntut sejumlah ganti rugi dengan mengemukakan dakwaan perlanggaran hak cipta dan diperdaya supaya berlakon dalam filem tersebut. 

sumber- Agensi

19 maut pesawat terbakar sebelum terhempas

pesawat terbakar
ORANG RAMAI menyaksikan bangkai pesawat syarikat Sita Air yang terbakar selepas ia terhempas dekat Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan, Kathmandu semalam.
KATHMANDU - Seramai 19 orang maut apabila pesawat yang mereka naiki terhempas selepas dua minit berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan di sini semalam.

Menurut Pihak Berkuasa Penerbangan Nepal, juruterbang pesawat tersebut melaporkan, pesawat itu berlanggar dengan seekor burung beberapa saat sebelum nahas itu berlaku.

Beberapa saksi memberitahu, mereka menyaksikan salah satu sayap pesawat itu terbakar, manakala beberapa penumpang menjerit sebelum ia terhempas kurang satu kilometer dari lapangan terbang tersebut.

Warga asing yang terbunuh itu ialah tujuh rakyat Britain dan lima pelancong China.

Baki mangsa yang terbunuh ialah warga Nepal termasuk tiga kru penerbangan.

Pesawat itu terhempas ketika menuju ke bandar Lukla yang dikenali sebagai pintu masuk ke Gunung Everest. 

sumber- Agensi

Saintis temui bukti terdapat aliran air di Marikh

pemandangan di Marikh
GAMBAR yang disiarkan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan kelmarin menunjukkan batu-batu yang dipercayai pernah dihanyutkan air deras di planet Marikh.
WASHINGTON - Kenderaan robotik Curiosity menemui batu-batu yang pernah dihanyutkan air di planet Marikh, jelas Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) kelmarin.

Penemuan itu menunjukkan mungkin terdapat aliran air yang deras dan setinggi paras pinggang di planet tersebut.

"Kami teruja mengenai perkara ini," kata Ketua Saintis Institut Teknologi California, John Grotzinger.

Gambar-gambar batu itu dihantar kenderaan tersebut untuk dikaji oleh saintis-saintis NASA.

Kenderaan robotik itu mendarat di Kawah Gale di Marikh pada 6 Ogos lalu. 

sumber- Agensi

Tentera Laut menari Gangnam Style

Tentera Laut Diraja Thailand menari Gangnam Style
GAMBAR rakaman video yang tidak bertarikh menunjukkan beberapa anggota tentera laut menari tarian kuda di Pulau Phuket.
BANGKOK - Beberapa anggota Tentera Laut Diraja Thailand menari tarian kuda yang sebelum ini dipopularkan oleh penyanyi rap Korea Selatan, Psy dalam muzik video Gangnam Style, lapor agensi berita AP semalam.

Klip video yang menunjukkan anggota tentera itu menari tarian tersebut dimuat naik di laman YouTube pada Khamis lalu.

Seorang pegawai tentera laut, Leftenan Komander Patiroop Khemtis berkata, klip tersebut disiarkan semasa parti tahunan yang diadakan di sebuah pangkalan tentera di Pulau Phuket, selatan Thailand pada Rabu lalu.

Tarian kuda itu kini menjadi popular di kebanyakan negara termasuk di Amerika Syarikat (AS).

Video muzik Gangnam Style telah ditonton lebih 292 juta kali di YouTube sejak ia dimuat naik pada 15 Julai lalu.

Tarian tersebut juga menyebabkan Psy, 34, menjadi terkenal di AS dan dipikat menjadi artis syarikat Schoolboy Records milik Scooter Braun.

Braun merupakan pengurus penyanyi remaja terkenal, Justin Bieber. 

sumber- Agensi

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...