Selamat Datang Ke blog-ketegaq.blogspot.com

Blog terbaik yang menyediakan pelbagai cerita dan artikel menarik dari seluruh dunia. Like kami di facebook tanda sokongan anda dan untuk mendapat update artikel terkini dari kami.

Isu Semasa

Artikel-artikel terkini mengenai isu semasa dalam dan luar negara. Segalanya dari sumber-sumber yang boleh dipercayai.

Pelik

Segala fakta dan artikel mengenai perkara-perkara yang pelik boleh diperolehi di sini. Semua artikel adalah berdasarkan sumber dan kesahihannya anda sendiri tentukan.

Herba Dan Botani

Artikel mengenai tumbuh-tumbuhan yang digunakan untuk perubatan dan penjagaan kesihatan.

Alam Ghaib

Himpunan artikel mengenai alam ghaib yang sukar diperjelaskan dengan mata kasar. Admin mengalukan sumbangan artikel, gambar-gambar atau video untuk dikongsi bersama dalam blog ini.

Monday, November 5, 2012

Kanak-kanak 11 tahun mengaku bunuh murid

BANDAR RAYA QUEZON: Polis terpaksa menangani kes jenayah membabitkan dua suspek juvana dalam insiden berasingan di Taguig dan bandar raya ini sepanjang minggu lalu.

Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun disyaki menyebabkan kematian seorang murid berusia sembilan tahun di mana mayatnya ditemui di tapak lombong di Taguig. Kanak-kanak yang diletakkan di bawah kawalan pekerja sosial itu mengaku kepada ibunya mengenai insiden buli yang mengakibatkan kematian mangsa di Fort Bonifacio.

gambar pembunuhan dalam gelap
gambar hiasan
Mayat mangsa ditemui di tapak lombong di kawasan pembinaan selepas pihak berkuasa Barangay dimaklumkan mangsa ditolak ke dalam lombong itu oleh suspek tiga hari sebelumnya. Dalam kes berasingan, seorang remaja pula ditahan dan didakwa membunuh pemberi maklumat polis dan mencederakan seorang pegawai polis di bandar raya Quezon.

Monaim Dodig, 18, menjalani sidang inkuiri malam semalam atas tuduhan membunuh, kegagalan membunuh dan memiliki senjata api secara haram selepas terbabit dengan insiden tembakan yang membunuh Denis Vann Pineda dan mencederakan Frederick Gracilla. 

sumber- MT

Juliana Evans nafi cinta dengan mat salih

Di sebalik Taufan Sandy yang melanda di New York awal minggu lalu, pelakon Juliana Evans yang turut melanjutkan pengajian di sebuah universiti di Amerika Syarikat, tidak terlepas daripada kontroversi apabila dirinya dikaitkan mempunyai hubungan cinta dengan seorang jejaka dikenali sebagai Nate Miller.

Khabar angin itu bertebaran berikutan penyebaran tiga keping gambar Juliana yang dilihat mesra bercuti bersama lelaki itu baru-baru ini di beberapa portal hiburan tempatan.

Juliana Evans
Juliana Evans
Juliana yang menyedari mengenai gosip terbaru melanda dirinya itu lantas memuat naik kenyataan di laman Twitternya awal pagi tadi dengan menegaskan, “Teman lelaki? Saya tak punya masa untuk itu!"

"Saya seronok dengan kehidupan 'single'!” katanya.

Juliana yang popular dengan drama bersiri Kami dan filem seperti Hantu Bonceng, turut menyatakan keutamaannya sekarang adalah untuk fokus pengajian apabila ditanya seorang peminatnya di laman sosial tersebut.

Juliana turut mengecam sesetengah media di Malaysia yang tidak merujuk dengannya mengenai maklumat itu.

“Media di Malaysia, boleh tak tanya kepada saya dulu sebelum membuat apa-apa andaian? Tiada seorang pun yang bertanyakan saya?" katanya.

Pelakon kacukan Inggeris-Melayu ini mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa di University of Michigan selama dua tahun sejak awal tahun ini.

Juliana atau nama sebenarnya Juliana Sophie Evans sebelum ini hangat digosipkan dengan pelawak terkenal, Zizan Razak.

Bagaimanapun mereka telah menafikan perkara itu, sebaliknya mengatakan hubungan mereka tidak lebih daripada kawan baik.

Juliana sebelum ini pernah bercinta dengan vokalis kumpulan Bunkface, Sam, yang juga abang kepada pelakon Siti Saleha.

sumber- Sinar

Harimau bintang baham 15 orang di Nepal diburu

KATHMANDU: Pihak berkuasa Nepal berusaha untuk membunuh seekor harimau bintang yang dipercayai membunuh 15 orang sejak 15 bulan lalu.

Kepala mangsa terbaru haiwan itu, seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun, ditemui dalam hutan yang terletak kira-kira satu kilometer dari kediaman mangsa, kata Ketua Polis Daerah Baitadi, Kamal Prasad Kharel.

Kawasan itu terletak kira-kira 600 kilometer ke barat Kathmandu.

cheetah
gambar hiasan
CNN melaporkan, haiwan itu mengheret kanak-kanak berkenaan ke dalam hutan untuk memakannya, mangsa ke-15 sejak ia mula mengganas tahun lalu.

Kamal mengesyaki seekor harimau bintang, atau paling banyak dua, bertanggungjawab terhadap kematian penduduk daerah itu.

Pakar ekologi Jabatan Taman Negara dan Perlindungan Hidupan Liar di Kathmandu, Maheshwor Dhakal, berkata, sekumpulan haiwan itu yang mendiami kawasan rendah di pergunungan Nepal mungkin menyebabkan lebih banyak kematian. “Sebaik saja haiwan liar merasai kemasinan darah manusia, ia tidak inginkan lagi memakan haiwan lain, seperti rusa,” katanya.

Menurutnya, angka kematian sebenar mungkin lebih tinggi daripada 15 kerana terdapat serangan lain di Uttarkhand di utara India yang bersempadan dengan daerah Baitadi.

Daripada 15 mangsa di Nepal setakat ini, dua pertiga daripadanya ialah kanak-kanak bawah usia 10 tahun dan semuanya berasal dari kampung kecil yang jauh di pedalaman. 

sumber- DM

Alwaleed Arab paling kaya

Alwaleed bin Talal

RIYADH: Kekayaan bilionair Arab Saudi, Putera Alwaleed bin Talal meningkat sebanyak 32 peratus kepada AS$ 22.9 bilion (RM69 bilion) tahun lalu, menjadikan beliau orang Arab paling kaya.

Menurut senarai ‘200 Orang Paling Kaya Dunia’ yang dikeluarkan Bloomberg, kekayaan putera itu meningkat sebanyak AS$5.6 bilion (RM2 bilion) sepanjang 12 bulan lalu.

Pengerusi Kingdom Holding berusia 57 tahun itu menduduki tangga ke-20 senarai berkenaan. Pelaburannya termasuk dalam syarikat Apple, News Corporation dan Twitter.

Seorang lagi bilionair Arab Saudi, Mohammed Al Amoudi menduduki tangga ke-10 senarai berkenaan dengan kekayaannya meningkat sebanyak 10.7 peratus kepada AS$10.1 bilion (RM30 bilion). Pengerusi Bank Al Rajhi, Sulaiman Bin Abdul Aziz Al Rajhi menduduki tangga ke 140 dengan kekayaannya meningkat 5.2 peratus kepada AS$7.9 bilion (RM24 bilion). 

sumber- Agensi

Dua beranak maut, isteri parah kemalangan

Wira Aeroback
Orang ramai memenuhi kawasan kemalangan untuk melihat kejadian tersebut.
TELOK PANGLIMA GARANG - Seorang lelaki dan anaknya maut manakala isterinya cedera parah pada bahagian kepala selepas kereta jenis Wira Aeroback dinaiki mereka bertembung dengan sebuah pacuan empat roda yang terbabas dari arah bertentangan berhampiran Balai Polis Telok Panglima Garang di Kilometer 16, Jalan Klang-Banting, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.15 malam itu, mangsa, Azhar Mohamad Jafar, 40, dan anaknya meninggal dunia akibat kecederaan parah.

Menurut sumber, kejadian berlaku ketika hujan lebat apabila pemandu yang memandu bersendirian dalam perjalanan dari arah Klang menuju ke Banting tidak dapat mengawal kenderaan di selekoh akibat hujan lebat.

“Sampai di tempat kejadian, pemandu terbabit terbabas lalu memasuki laluan bertentangan sehingga menyebabkan sebuah  kenderaan Wira Aeroback yang cuba mengelak terbabit dalam kemalangan.

“Pada masa sama, sebuah kereta lain dipandu oleh pasangan suami isteri turut merempuh bahagian belakang kereta mangsa,” katanya.

Isteri Azhar dan pasangan suami isteri terbabit masih lagi dirawat di HTAR akibat cedera parah.

Pemandu kenderaan pacuan empat roda hanya mengalami cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Nordin Manan mengesahkan kejadian itu dan memberitahu bahawa punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.

sumber- Sinar

Fabregas kebas isteri jutawan

LONDON: Seorang jutawan semalam menceritakan bagaimana dia dan isterinya berusaha untuk mendapatkan anak ketiga apabila mendapati wanita itu bermain kayu tiga dengan bintang bola sepak, Cesc Fabregas.

Elie Taktouk and Daniella Semaan
ELIE dan Daniella.
Jutawan hartanah, Elie Taktouk mengetahui kecurangan isterinya apabila melihat gambar bekas kapten Arsenal itu bercuti dengan ‘wanita misteri berambut perang’ yang menurutnya ialah isterinya, Daniella Semaan, 38, dalam akhbar. Elie yang juga 38, kini sudah bercerai dan terpaksa melihat Fabregas, bintang bola sepak Sepanyol berusia 25 tahun menjadi bapa tiri kepada anak lelakinya berumur lapan tahun dan anak perempuan, 11.

“Saya berada dalam keadaan terkejut selama beberapa bulan tetapi saya tidak mahu isteri saya lagi. Saya rasa begitu meluat sebaik melihat gambar itu. Saya terus membuang segala perasaan terhadapnya. “Kami berusaha mendapatkan anak ketiga apabila dia berlaku curang. “Saya tidak terkejut dengan sikap Fabregas. Dia baru berusia 25 tahun dan bodoh. Isteri saya mengejarnya dan akan meninggalkannya sebaik saja duit dan popularitinya berakhir. Dia bukan David Beckham,” kata Elie.

Fabregas
Fabregas
Ahli perniagaan itu yang menetap di Knightsbridge, London Barat, menceritakan bagaimana dia mengahwini Daniella pada 1998 di negara asal mereka, Lubnan.

Dia menemui gambar isterinya berbikini, memeluk Fabregas di tepi kolam renang dan berfoya-foya di atas jet ski di Nice, selatan Perancis.

Fabregas yang meninggalkan Arsenal untuk bermain dengan Barcelona baru saja berpisah dengan teman wanitanya, Carla Garcia, ketika itu.

Elie yang mendapat hak bersama untuk menjaga anaknya berkata: “Fabregas mengadakan hubungan sulit dengan ibu seorang kanak-kanak berusia lapan tahun. Perbuatan paling memalukan yang saya akan lakukan ialah mengucup pipi isteri saya di depan anak kami.” Fabregas dan Daniella dirakam bercium ketika bercuti di Itali.

Dalam perbicaraan penceraian mereka, Daniella diberikan elaun £2,500 (RM7,500) sebulan, kurang daripada jumlah £10,000 (RM50,000) yang dituntutnya.

Fabregas meninggalkan Gunners selepas khabar angin sejak beberapa tahun lalu mengaitkannya dengan Barcelona.

Pasukannya mengalahkan Celta Vigo 3-1 kelmarin sementara rakan lamanya di Arsenal tumpas 1-2 kepada Manchester United. 

sumber- TS

Makam Rasulullah akan diroboh

makam Nabi Muhammad

MADINAH: Tiga masjid tertua dunia, termasuk makam Nabi Muhammad (SAW) akan dimusnahkan apabila Arab Saudi meneruskan rancangan untuk meluaskan kawasan Masjid Nabawi.

Kerja pembinaan di masjid kedua paling suci itu di Madinah, tempat Rasulullah (SAW) dimakamkan, dijadual bermula bulan depan.

Akhbar The Independent melaporkan, berdasarkan pelan cadangan, kawasan itu akan dibangunkan semula, termasuk pembinaan masjid yang boleh memuatkan 1.6 juta jemaah.

Pembinaan semula itu dijadual dilakukan di bahagian barat masjid sedia ada. Selain makam Nabi (SAW), kawasan itu juga menempatkan makam Saidina Abu Bakar dan Omar.

Di luar tembok bahagian barat perkarangan yang ada sekarang ialah masjid yang diabadikan kepada Abu Bakar, Omar dan Masjid Ghamama yang dibina bagi menandakan tempat Rasulullah (SAW) dipercayai menunaikan solat pertama hari raya. Pihak berkuasa Arab Saudi tidak mengumumkan sebarang rancangan untuk mengekalkan ketiga-tiga masjid itu yang wujud sejak abad ketujuh, lapor The Independent.

Negara itu membelanjakan berbilion dolar untuk membangunkan Makkah dalam usaha untuk membolehkan lebih ramai jemaah menunaikan ibadah haji dan umrah.

Lebih 10 juta orang mengunjungi bandar suci itu sepanjang tahun untuk melaksanakan ibadah berkenaan. Pada musim haji baru-baru ini, kira-kira empat juta orang menunaikan rukun Islam kelima itu.

Ini bukan kali pertama pihak berkuasa Arab Saudi meruntuhkan kawasan bersejarah di Makkah dan Madinah bagi projek pembangunan semula.

Negara itu meruntuhkan Kubu Ajyad yang dibina pada era Uthamniyah untuk projek komp- leks Jabal Omar. Ia juga melaksanakan projek pembangunan baru di tempat kelahiran Rasulullah (SAW) serta rumah isteri pertama baginda, Saidatina Khadijah.

Institut Teluk yang berpusat di Washington menganggarkan, 95 peratus daripada 1,000 bangunan lama di kedua-dua bandar suci berkenaan dimusnahkan sejak 20 tahun lalu. 

sumber- Agensi

Bangunan paling Hodoh dibuka tahun depan

Ryugyong Hotel

PYONGYANG: Hotel berbentuk piramid setinggi 105 tingkat yang dibina di ibu negara Korea Utara ini sejak lebih 20 tahun lalu, akhirnya akan dibuka.

Sebahagian Hotel Ryugyong diharap dapat dibuka pertengahan tahun depan, 26 tahun selepas pembinaannya bermula.

Ia adalah bangunan ke-47 paling tinggi di dunia dengan ketinggan 335 meter dan mempunyai jumlah aras kelima paling banyak.

Reto Wittwer, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kempinski AG, syarikat pengendali hotel antarabangsa berkata, hanya 150 bilik di tingkat paling atas akan digunakan untuk hotel berbanding 3,000 yang dicadangkan sebelum ini.

Baki ruang bangunan berkenaan akan digunakan untuk kedai, pejabat, dewan majlis dan restoran. Struktur bangunan yang amat besar itu yang digelar ‘Hotel Kiamat’ sebelum ini menjadi sumber tarikan dan cemuhan di seluruh dunia serta memalukan pihak berkuasa negara itu yang diketuai Parti Pekerja Korea.

Korea Utara mula membina Ryugyong pada 1980-an tetapi menghentikannya apabila negara itu dilanda krisis ekonomi dan kehabisan pembiayaan pada 1990-an.

Ia diundi sebagai ‘Bangunan Terburuk dalam Sejarah Peradaban Manusia’ oleh majalah Esquire pada 2008 yang menyifatkan Ryugyong sebagai ‘sangat hodoh walaupun pada standard komunis.’ Pembinaan luaran bagaimanapun disambung semula pada 2009 apabila syarikat Mesir, Orascom Telecom, mengambil alih. Beberapa laporan baru-baru ini berkata, hotel itu akhirnya sudah siap untuk dibuka.

Orascom Telecom melancarkan rangkaian telefon bimbit di negara itu pada 2008 dan dilapor membelanjakan RM660 juta untuk menyiapkan permukaan bangunan berkenaan. Pada September lalu, sebuah agensi pelancongan yang berpejabat di Beijing dibenar melihat bahagian dalam bangunan itu dan menyiarkan gambar lobi yang masih berlantai dan berdinding konkrit. 

sumber- DM

Rangka Perisik ditemukan

burung merpati hantar surat

SURREY - Rangka seekor burung merpati yang ditugaskan menghantar mesej ketika Perang Dunia Kedua ditemukan oleh seorang warga emas baru-baru ini, bersama satu kapsul kecil yang mengandungi kod rahsia pada pergelangan kakinya.

David Martin, 74, menemukan rangka burung itu ketika dia merancang untuk menggunakan semula tempat pendiang api yang sudah lama tidak digunakan, ketika melakukan pengubahsuaian kediamannya.

Pakar percaya, burung itu sedang terbang beratus-ratus kilometer daripada kawasan yang diduduki tentera Nazi untuk pulang ke ibu pejabat perisikan Britain yang terletak di Reigate, Surrey atau di Bletchley Park di Buckinghamshire.

Disebabkan keletihan, 'perisik' tentera Britain itu berehat sebentar pada serombong kediaman tersebut, malangnya terjatuh ke dalam tempat pendiangan api dengan mesej berkod di dalam kapsul kecil terlekat pada kakinya.

"Serombong itu dipenuhi dengan sampah dan sarang labah-labah. Saya terperanjat apabila menemukan cebisan rangka burung merpati dan kemudian cuba mengumpul bahagian-bahagiannya.

"Pada mulanya saya menjangkakan burung itu digunakan bagi tujuan perlumbaan sehinggalah saya ternampak kapsul merah pada pergelangan kakinya," katanya.

Selepas membuka kapsul itu, Martin dan isterinya, Anne, menemukan mesej tulisan tangan pada kertas nipis yang biasa digunakan pada bungkusan rokok.

Mesej itu sudah dihantar ke Bletchley Park, yang berfungsi menterjemah kod Nazi sejak dulu dengan kerjasama ibu pejabat komunikasi Britain di Cheltenham, Gloucestershire, yang cuba mentafsir maksud mesej tersebut.

Pakar berkata, burung tersebut terlibat dalam operasi khas yang melakukan misi sabotaj seperti meletupkan rel kereta api, jambatan dan kilang yang diduduki tentera Jerman.

Mesej itu ditulis oleh Sarjan W Stott dan mengandungi beberapa gabungan kod yang mengandungi lima huruf.

Dipercayai sebanyak 250,000 burung merpati telah digunakan ketika perang itu meletus, kerana ia mampu terbang dengan pantas beratus-ratus kilometer termasuk melintasi kawasan musuh.

sumber- AGENSI

Pemandu teksi mati dikelar

Pemandu teksi mati dikelar
Polis forensik sedang mengumpulkan bukti untuk menjalankan siasatan. - Foto Ihsan Sin Chew Daily
KUALA LUMPUR -  Seorang pemandu teksi ditemui mati dalam keadaan lehernya dikelar di tempat duduk pemandu kenderaannya di Jalan Tun H.S Lee, awal pagi kelmarin.

Kejadian disedari orang awam kira-kira jam 12.44 pagi selepas mendapati kenderaan tersebut dalam keadaan berasap.

Mayat lelaki berusia 26 tahun ditemui dengan keadaan mulutnya disumbat dengan kain dan kesan terbakar di tangan kiri mangsa dipercayai berpunca daripada baju mangsa dibakar penjenayah.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, siasatan awal mendapati terdapat kesan kelar di leher, tikaman di  dada dan belakang mangsa.

“Pemeriksaan awal tidak menemui senjata digunakan penjenayah dan semua pengenalan diri, dompet dan telefon bimbit tiada bersama mangsa.

“Siasatan mendapati teksi didaftarkan di sebuah syarikat di Ampang,” katanya.

Zainuddin berkata, pihaknya akan melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari premis berdekatan tempat kejadian untuk mengesan suspek.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

Menurutnya, motif kejadian masih belum diketahui dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

sumber- Sinar

Wanita dipaksa tebus Dosa

MANAMA: Seorang wanita muda Arab Saudi dipaksa berkahwin dengan sepupunya yang buta sebelah mata akibat perbuatannya ketika mereka kanak-kanak.

mata buta
gambar hiasan
Laman berita Arab Saudi, Sabaq, melaporkan, si lelaki gagal mencari calon isteri menyebabkan bapanya, mendesak anak perempuan adiknya mengahwini anaknya. Wanita berkenaan tercucuk mata sepupunya itu dengan penyapu ketika mereka kanak-kanak. 

sumber- AN

Buli: Kau nyanyi Anak Kampung

pak guard kena buli
MALU...rakaman video yang menunjukkan mangsa diherdik pegawai atasan.
JOHOR BAHRU: Seorang pengawal keselamatan mendakwa dibuli ala budak sekolah oleh dua pegawai atasannya apabila diarah berdiri di atas kerusi, sebelum diminta menyanyikan lagu Negaraku dan Anak Kampung, kerana kesalahan tidur ketika bertugas.

Kejadian dikatakan berlaku di sebuah hospital awam, di sini pada 23 Oktober lalu dan aksi buli itu dirakam menerusi telefon bimbit seorang daripada dua pegawai terbabit. Rakaman itu disebarkan menerusi Khidmat Pesanan Multimedia (MMS) kepada pengawal keselamatan syarikat yang sama kononnya sebagai pengajaran supaya mereka lebih berdisiplin.

“Apa yang mereka lakukan mengaibkan saya. Saya boleh terima teguran, tetapi mengapa mereka bertindak melampau dan merakam perbuatan itu sebelum berkongsi video berkenaan dengan orang lain.

“Saya malu. Maruah saya tercalar kerana apa yang dilakukan seolah-olah saya pelajar sekolah,” kata pengawal keselamatan itu yang hanya mahu dikenali sebagai Jalil, 29.

Menurutnya, kejadian itu bermula apabila seorang daripada rakan sekerjanya melihat dia merenyuk surat tunjuk sebab yang diberikan ketua mereka, pada pagi hari kejadian.

“Kira-kira jam 4.30 petang saya diarahkan masuk ke pejabat dan berjumpa dua pegawai itu. Saya ingatkan hanya diberi amaran dan tidak menjangka dibuli mereka yang turut memaki saya.

“Malah, mereka turut merakam aksi menerusi telefon bimbit sebelum menyebarkannya,” katanya.

Menurutnya, pada awal pertemuan itu, kedua-dua lelaki itu memaki dan mengherdik sebelum mengajaknya bergaduh kerana tak berpuas hati tindakan dia merenyuk surat yang menyatakan dia mengingkari arahan. “Saya hanya mendiamkan diri kerana takut dan pada masa sama, mereka menyatakan saya dihukum kerana terlena ketika bertugas.

“Sebelum ini, saya pernah bertugas lebih empat tahun di sebuah jabatan kerajaan di Pahang, sebelum dipindahkan ke sini, tidak pernah mempunyai masalah disiplin atau dihukum sedemikian di tempat kerja lama,” katanya.

Jalil berkata, selain diarah berdiri di atas kerusi selama 10 minit dia juga disuruh menyanyikan lagu kebangsaan dan lagu Anak Kampung nyanyian Jimmy Palikat.

Katanya, walaupun ada pihak beranggapan hukuman luar biasa dijatuhkan kepadanya itu bertujuan mendisiplinkannya, dia kesal apabila apabila kejadian itu dirakam dan video disebarkan.

Berikutan itu, Jalil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, di sini, semalam.

Rakannya, yang hanya mahu dikenali sebagai Malek, 34, berkata, dia sedih dan terkilan apabila melihat rakaman video selama 16 minit itu.

Menurutnya, Jalil yang masih bujang baru bertukar ke sini dari Kuantan, Pahang dan orangnya agak ‘lurus’.

“Saya difahamkan perbuatan itu bukan kali pertama. Sebelum ini, ada antara kami dihukum tekan tubi 20 kali disebabkan tertidur ketika bekerja atau berpakaian tidak kemas.

“Jika tak berpuas hati dengan prestasi kerjanya, pegawai berkenaan sepatutnya memberikan surat amaran atau memberi nasihat kepadanya,” katanya.

sumber- HMetro

Gadis diperkosa lima rakan lama

KUALA LUMPUR: Pertemuan dengan lima rakan untuk makan malam membawa padah kepada seorang remaja berusia 17 tahun apabila dia dikurung di sebuah hotel di Chow Kit dan dirogol bergilir-gilir selama tiga hari sebelum diselamatkan pekerja hotel berkenaan, kelmarin.

Mangsa yang berasal dari Datuk Keramat terjumpa lima rakan lamanya yang berasal dari Sabah di ibu kota pada jam 8 malam Khamis lalu.

awek kena rogol bergilir-gilir
gambar hiasan
Mangsa yang mahu dikenali sebagai Siti itu berkata, selepas berbual lima rakannya itu mengajak dia mengikuti mereka dengan menaiki kereta ke kawasan Chow Kit.

Menurutnya, selepas makan mereka menariknya ke sebuah bilik hotel bajet sebelum ditumbuk beberapa kali oleh tiga rakannya hingga pengsan.

“Tidak cukup dengan itu, saya dirogol bergilir-gilir oleh mereka dan dikurung selama tiga hari di dalam bilik itu.

“Sepanjang tempoh itu, saya dirogol mereka beberapa kali dan tidak diberikan makanan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

sumber- HMetro

Maut terhempas dari tingkat 6

Apartmen Ixora
ANAK panah menunjukkan arah seorang wanita terjatuh dari tingkat enam Apartmen Ixora, Jalan Tun Razak semalam.
KUALA LUMPUR - Seorang wanita Sarawak yang baru tiba di sini untuk mengubati penyakit misteri yang didakwa berpunca daripada rasukan makhluk halus mati selepas tiga jam dia ditemui dalam keadaan parah akibat terjatuh dari tingkat enam Apartmen Ixora, Jalan Tun Razak, Pudu di sini kelmarin.

Wong Wei Sing, 54, disahkan mati ketika dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada pukul 5.30 petang selepas mengalami kecederaan parah dengan kedua-dua belah kakinya patah manakala pahanya cedera akibat terjatuh tiga jam sebelum itu.

Ketua Polis Daerah Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, kejadian itu disedari suami mangsa yang terdengar bunyi hentaman kuat di kawasan apartmen tersebut.

Katanya, siasatan di tempat kejadian mendapati mangsa terjatuh dari tingkap bilik kedua yang tidak mempunyai jeriji besi dengan menonggengkan kepalanya ke bawah sebelum terhempas di atas bumbung tingkat satu bangunan itu.

"Pasangan itu baru tiba di sini dari Sarawak untuk mendapatkan rawatan mengenai gangguan makhluk halus yang didakwa meresapi wanita itu.

"Soal siasat mendapati suami mangsa mendakwa isterinya sering mengalami gangguan itu dan kerap diserang histeria sejak beberapa minggu lalu," katanya.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

sumber- Kosmo

Cucu saksi nenek dibunuh

Cucu saksi nenek dibunuh
ORANG ramai berkumpul di rumah tempat Sadariah ditemui mati akibat dibunuh dua penyamun yang memecah masuk rumahnya di Sabak Bernam semalam.
SABAK BERNAM – Seorang calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melalui pengalaman paling sukar dalam hidupnya apabila menyaksikan bagaimana neneknya dibunuh oleh dua penyamun yang memecah masuk rumah kedai warga emas itu di Jalan Parit 6 Timur, Sungai Besar di sini semalam.

Mohd. Hafizul Azuan Mohd. Aznan, 17, masih tidak dapat melupakan tragedi yang meragut nyawa Sadariah Tohbasar@Ahmad, 65, walaupun perompak hanya memasuki rumah mereka selama 10 minit sebelum melarikan diri bersama bekas berisi barang kemas dan wang RM500.

Mohd. Hafizul tinggal bersama keluarganya di Sungai Besar, dekat sini dan hanya menemani Sadariah pada setiap hujung minggu.

Sadariah merupakan bekas guru Jabatan Kemajuan Masyarakat dan mengusahakan perniagaan menjahit pakaian sejak kematian suaminya tujuh tahun lalu dan tinggal sendirian.

Mengimbau semula kejadian pada pukul 4.45 pagi itu, Mohd. Hafizul memberitahu, dia yang sedang tidur di ruang tamu bersama neneknya terjaga selepas merasakan tubuhnya dihempap sesuatu dan mukanya ditumbuk.

Katanya, perompak bertopeng itu kemudian mengacukan parang di lehernya dan mengarahkannya supaya diam manakala seorang lagi menumbuk muka neneknya kerana menjerit sebelum ditekup dengan bantal.

“Penjenayah kemudian mengarahkan saya masuk ke dalam bilik untuk mencari barangan berharga sebelum saya yang ketakutan menyerahkan satu bekas berisi barang kemas termasuk cincin dan gelang emas serta wang RM500.

“Selepas itu, saya dibawa keluar dari bilik dan melihat muka nenek masih ditekup. Penjenayah kemudian mengikat tangan dan kaki kami dengan tali manakala mulut nenek diikat dengan tuala good morning selain mukanya ditutup dengan selimut,” cerita pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Besar itu.

Tambahnya, selepas melepaskan ikatan sebaik penyamun itu melarikan diri, dia telah menghampiri Sadariah sebelum mendapati warga emas itu tidak lagi bernyawa.

Menurut Mohd. Hafizul, dia kemudian memaklumkan kejadian itu kepada seorang jiran yang baru pulang dari menonton perlawanan bola sepak Liga Sepanyol di sebuah restoran.

“Kedua-dua penjenayah itu bertubuh kurus dan tinggi serta bertopeng dan memakai sarung tangan. Perompak hanya mengeluarkan tiga patah perkataan iaitu diam, ambil barang dan bergerak,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohamad berkata, berdasarkan kenyataan cucu mangsa, siasatan awal mendapati warga emas itu mati akibat lemas selepas mukanya ditekup dengan bantal.

“Ketika kejadian, mangsa dipercayai sedang memasak kuih dan mengukus roti untuk dijual di kedai berhampiran. Kita percaya Sadariah menjadi mangsa selepas dia menjerit manakala cucunya terselamat kerana dia diam dan tidak melawan,” ujarnya yang masih belum membuat sebarang tangkapan.

Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut supaya menghubungi Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Daerah Sabak Bernam, Asisten Superintendan Masri Md. Hassan di talian 03-322 42613 bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, polis menahan seorang lelaki berusia 24 tahun di Tanjung Malim, Perak pada pukul 4 petang semalam bagi membantu siasatan.

sumber- Kosmo

Ukiran unik di Lapangan Terbang Wellington

The Hobbit: An Unexpected Journey
SEORANG lelaki merakamkan gambar ukiran Gollum.
WELLINGTON - Satu ukiran unik yang menunjukkan Gollum iaitu watak fiksyen dalam filem The Lord of the Rings dipamerkan di Lapangan Terbang Wellington di sini sejak 31 Oktober lalu.

Ukiran sepanjang 13 meter itu dihasilkan oleh artis seni Jepun, Masayuki Ohashi dengan menggunakan polistirena, gergaji rantai dan teknologi robot.

Gollum merupakan watak yang diperkenalkan dalam novel fantasi The Hobbit karya J.R.R. Tolkien.

Filem Lord of the Rings diarahkan oleh pengarah filem dari New Zealand, Peter Jackson.

Tujuan ukiran itu dipamerkan adalah bagi meraikan tayangan perdana filem The Hobbit: An Unexpected Journey arahan Jackson pada 28 November depan. 

sumber- Agensi

Makam puteri Firaun ditemui

makam seorang puteri Firaun
TIGA ukiran patung ditemui di makam Puteri Nebti di selatan Kaherah baru-baru ini.
KAHERAH - Sekumpulan ahli arkeologi Republik Czech menemui makam seorang puteri Firaun yang berusia 4,500 tahun di selatan bandar raya ini.

Makam Puteri Shert Nebti itu dikelilingi kubur empat pegawai tinggi di Kompleks Abu Sir berdekatan piramid Saqqara.

Penemuan itu didedahkan Ketua Jabatan Mesir dan Yunani-Romawi, Kementerian Antikuiti, Mohammed El-Bialy kelmarin selepas ia ditemui baru-baru ini.

Terdapat empat tiang batu di makam puteri tersebut.

Inskripsi pada tiang itu menunjukkan puteri berkenaan merupakan anak perempuan Raja Men Salbo.

Tapak makam itu kini ditutup bagi mengelak kehadiran orang awam.

Bagaimanapun, Mohamed berkata, kerja-kerja penggalian di lokasi tersebut masih lagi di peringkat awal. 

sumber- AP

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...