Selamat Datang Ke blog-ketegaq.blogspot.com

Blog terbaik yang menyediakan pelbagai cerita dan artikel menarik dari seluruh dunia. Like kami di facebook tanda sokongan anda dan untuk mendapat update artikel terkini dari kami.

Isu Semasa

Artikel-artikel terkini mengenai isu semasa dalam dan luar negara. Segalanya dari sumber-sumber yang boleh dipercayai.

Pelik

Segala fakta dan artikel mengenai perkara-perkara yang pelik boleh diperolehi di sini. Semua artikel adalah berdasarkan sumber dan kesahihannya anda sendiri tentukan.

Herba Dan Botani

Artikel mengenai tumbuh-tumbuhan yang digunakan untuk perubatan dan penjagaan kesihatan.

Alam Ghaib

Himpunan artikel mengenai alam ghaib yang sukar diperjelaskan dengan mata kasar. Admin mengalukan sumbangan artikel, gambar-gambar atau video untuk dikongsi bersama dalam blog ini.

Wednesday, October 24, 2012

Kanak-kanak enam tahun melecur kena air panas

KUALA LUMPUR - “Tidak berapa lama selepas saya menjerit kegirangan kerana pasukan Kelantan berjaya menjaringkan gol pertama, saya terdengar jeritan anak dari dapur, saya fikir dia terkejut kerana saya menjerit, tetapi rupanya air panas tersimbah ke badannya,”.

kena air panas
Dari kiri: Fahmi, Wan Azhar dan Norrabayah melihat keadaan Wan Mohd Farhan yang kini menerima rawatan di PPUM kerana kesan lecur pada sebahagian besar badannya
Demikian kata Wan Azhar Wan Mahmood, 48, bapa kepada kanak-kanak berusia 6 tahun, Wan Mohd Farhan yang melecur hampir seluruh badan dari paras dada hingga kaki selepas terkena simbahan air panas pada malam Sabtu lalu ketika berlangsungnya perlawanan akhir Piala Malaysia.

Kanak-kanak tersebut dikatakan memasak sendiri air menggunakan cerek elektrik untuk memasak mi segera.

Azhar berkata, anak bongsunya itu tidak pernah berbuat demikian sebelum ini dan tidak menyangka anaknya nekad melakukannya sendiri.

Menurutnya, sebaik dia pergi ke dapur, lantai yang basah masih berasap sementara anaknya menggelupur t kesakitan.

“Ketika itu saya panik, tidak tahu apa yang perlu saya buat dan saya mengambil masa untuk bertindak cara terbaik untuk anak saya ketika itu.

“Saya ambil keputusan membuka pakaiannya, dan ketika itu kulitnya juga turut tertanggal dan menggulung. Kira-kira 40 minit juga saya ambil masa untuk sampai ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM),” katanya ketika ditemui pada lawatan Setiausaha Politik, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil, di PPUM, semalam.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar sepatutnya dijadualkan turut sama melawat namun terpaksa menangguhkan hasrat kerana persidangan di Parlimen.

Sementara itu, ibu kanak-kanak itu, E-Norrabayah Ibrahim, 42, berkata, anaknya perlu terus dirawat di situ dalam tempoh tiga minggu lagi.

Katanya, tiada sebarang pembedahan dibuat setakat ini bergantung pada perkembangan keadaan anaknya.

“Kesan lecur itu kini hanya dicuci dua kali sehari dan pihak hospital akan menyuntik pelali setiap kali mahu mencuci luka,” katanya yang menghuni di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pantai Ria, Pantai Dalam, di sini.

Difahamkan, Pusat Khidmat Wakil Rakyat Lembah Pantai, sedang mengumpulkan dana bagi meringankan beban keluarga ini, memandangkan Azhar yang hanya berniaga kini tidak dapat memperoleh pendapatan berikutan perlu menjaga anaknya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun bank (RHB) 16416000013755 atau menghubungi Azhar ditalian 019-2900446.

sumber- Sinar

Mangsa ragut terancam keluarga suspek cari sampai rumah

JOHOR BAHRU – Mangsa ragut di Jalan Lingkaran Dalam berhampiran Danga City Mall, di sini berasa terancam dengan kehadiran keluarga suspek yang meminta kes itu ditarik balik.

Yong Shui Wen, 30, berkata, kejadian berlaku ketika dia bersama bapanya, Yong You Kim, 58, menunggang motosikal ke tempat kerjanya di Singapura kira-kira jam 6.30 pagi, 10 Oktober lepas.

mangsa ragut
Shui Wen bersama bapanya menunjukkan laporan polis dan foto kecederaan yang dialami
Menurutnya, secara tiba-tiba seorang lelaki bermotosikal menarik beg sandang milik bapanya yang diletakkan di dalam bakul sehingga mereka terjatuh.

“Saya bersama bapa mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan termasuk muka dan kedua-dua belah tangan dan kaki sehingga dikejarkan ke hospital.

“Kami bernasib baik kerana ketika kejadian anggota polis berada berhampiran sehingga suspek berjaya ditangkap tidak berapa jauh dari lokasi kejadian,” katanya kepada pemberita di pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Skudai, di sini, semalam.

Shui Wen berkata, apa yang membuatkannya resah ialah, dia sudah dua kali didatangi beberapa individu yang mengaku keluarga mangsa ke rumahnya pada Sabtu dan Ahad lepas.

“Dua kali mereka datang ke rumah saya dengan menaiki van dan Perodua Kembara meminta maaf dan minta kes ditarik balik kerana katanya ibu suspek tidak sihat dan hidup susah.

“Kami mula rasa tidak selamat dan terancam kerana suspek sudah mengetahui alamat kediaman kami,” katanya.

Katanya, walaupun di dalam beg sandang milik bapanya tidak mengandungi barang berharga, tetapi kejadian dua kali diragut itu benar-benar membuatnya trauma.

“Sepanjang 10 tahun bekerja di Singapura, saya dengan bapa sebelum ini pernah diragut, tapi tidak mengalami kecederaan.

“Kejadian pada kali ini masih membuatkan saya trauma, tambahan apabila melihat kesan luka-luka pada badan yang masih berparut,” katanya.

Sementara itu, Adun Skudai, Dr Boo Cheng Hau berkata, pihaknya telah menulis surat kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan dan Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff supaya siasatan terperinci dapat dilakukan segera.

sumber- Sinar

Bapa dera kerana mahu didik anak dijel 12 bulan

JOHOR BAHRU -  Rayuan seorang bapa yang memukul anak lelakinya sehingga menyebabkan kecederaan fizikal atas alasan mahu mendidik tidak mampu melepaskan dirinya daripada dikenakan hukuman 12 bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Mohd Azlan Shah Mohd Allias dalam keputusannya berkata, alasan mendidik sehingga mencederakan kanak-kanak berusia sembilan tahun itu melampaui batasan.

dera anak
Norrizam Sapuan dibawa keluar dari kawasan mahkamah.
Norrizam Sapuan, 40, mengaku bersalah atas dakwaan menganiaya Nazirul Mubim Norrizam, 9, di rumahnya di 0301, Blok G, Flat Pekaka, Jalan Pekaka 3, Taman Perling, di sini, kira-kira pukul 12.15 tengah hari.

Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Mengikut fakta kes, Nazirul Mubim merupakan anak kandung tertuduh dikatakan dipukul dengan menggunakan tali pinggang yang dipakai Norrizam kerana tidak melayan adiknya berusia lima tahun.

Perkara tersebut disedari guru sekolah Nazirul Mubim apabila mangsa menangis lalu menceritakan insiden yang berlaku.

Mohd Azlan menetapkan hukuman terhadap Norrizam bermula dari tarikh tangkapan iaitu 18 Oktober lepas.

Pendakwaan kes itu dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Afif Ali manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

sumber- Sinar

Bawa unta untuk mengemis

Membawa anjing untuk mengemis adalah suatu perkara yang biasa. Namun, apakah yang akan terjadi jika anjing  digantikan dengan haiwan yang lebih besar, contohnya unta.

Perkara ini benar-benar berlaku. Gelagat pengemis yang membawa unta untuk mengemis ini sempat dirakamkan oleh orang ramai yang lalu lalang. Gambar ini diambil di sebuah kota di China. Kelihatan 2 budak lelaki (kemungkinan mereka adalah adik-beradik) merayu-rayu meraih simpati dari orang ramai bersama unta mereka.

budak minta sedekah
pengemis
budak mengemis
unta minta sedekah

Misteri dikhatan oleh Jin

disunat oleh Jin

Agak sukar dipercayai apabila dikatakan seseorang itu dikhatankan oleh jin. Namun peristiwa tersebut benar-benar berlaku di Indonesia. Muhammad Rasya, 5 tahun, mengalami sendiri peristiwa tersebut pada 24 Jun lalu di rumahnya yang terletak di Lenteng Agung. Ketika itu Rasya sedang menonton animasi bersiri kegemarannya, 'Shaun the Sheep' dan mula berasa sakit pada kemaluannya.

Rasya pun mengadukan perkara tersebut kepada ibunya. Ternyata terjadi sesuatu yang luar biasa. Apabila dibelek, kemaluannya telah dikhatankan. Walhal ibu bapanya tidak pernah menghantar Rasya ke klinik bagi tujuan tersebut. 

Ruhiyah, ibu kepada Rasya, mengatakan kejadian tersebut berlaku pada 24 Jun lalu pada pukul 7.00 malam. Dia berasa pelik apabila melihat kemaluan anaknya telah dikhatankan namun langsung tidak mengeluarkan walau setitis darah. Dari situlah dia beranggapan bahawa kejadian ini dilakukan oleh makhluk halus. Bentuk potongan pada kemaluan Rasya kelihatan rapi. Oleh kerana Rasya mengeluh kesakitan, dia telah dibawa untuk berjumpa doktor.

Doktor memberikan ubat penahan sakit sehingga Rasya kembali tenang. Doktor Nunung yang merawat Rasya mengatakan dia pernah berhadapan kejadian yang sama sebanyak 2 kali sebelum ini. Namun, kejadian kali ini lebih misteri apabila keratan yang dilakukan begitu rapi seperti dilakukan oleh kuasa ghaib.

"Kita tunggu 2 minggu lagi, mungkin pucungnya akan tumbuh semula," kata Doktor Nunung. "Tetapi jika diikutkan kejadian sebelum ini, pucung kemaluan mereka tidak tumbuh semula. Namun tiada sebarang rungutan tentang berasa sakit. Bererti segalanya kelihatan normal," tambahnya lagi.

Peristiwa ini menarik perhatian penduduk setempat dan ramai yang mahu lihat dengan mata kepala sendiri. Sehingga kini, tiada siapa yang dapat mengungkai misteri kejadian tersebut. Rasya pula sudah kembali cerdas bermain bersama rakan-rakannya. Dia juga sudah mampu berlari seolah-olah tiada apa yang berlaku.

Ejek, mabuk bawa padah

MASJID TANAH - Berpunca daripada insiden ejek-mengejek, seorang warga Nepal cedera parah apabila berlaku pergaduhan di sebuah rumah kongsi ladang ternakan ayam di sini, malam kelmarin.  

Dalam kejadian kira-kira 10 malam itu, Thara Bahadur, 37, cedera selepas urat tangan kanannya putus terkena cermin tingkap rumah yang dipecahkannya.

Jabatan Pertahanan Awam (JPAM)
Anggota JPAM membantu memberi rawatan awal kepada mangsa sebelum membawanya ke hospital.
Ketika kejadian, mangsa dikatakan bersama empat rakannya dalam keadaan mabuk sebelum berlaku insiden ejek-mengejek sehingga merebak menjadi pertengkaran.

Mangsa dikatakan mengamuk bagi meleraikan pergaduhan itu dengan menumbuk deretan enam keping tingkap nako bahagian tepi rumah sehingga tangannya cedera.

Rakan mangsa, R.Selva, 27, berkata, ketika kejadian, dia berada di dalam bilik dan terkejut mendengar bunyi bising dari luar bilik.

Menurutnya, mangsa dilihat bersama empat rakan bersuka ria di dalam rumah kongsi berkenaan seawal kira-kira 8 malam bagi meraikan sambutan perayaan negara Nepal.

"Mereka kemudian dilihat mula mabuk sebelum saya terus masuk ke bilik semula tanpa menghiraukan keadaan mereka,” katanya kepada Sinar Harian.

Selva berkata, beberapa minit selepas itu, dia terdengar bunyi bising sebelum mendapati kumpulan berkenaan mula ejek-mengejek antara satu sama lain.

"Saya keluar bilik dan melihat berlaku tolak-menolak antara mereka dalam rumah. Bagaimanapun, mangsa tak semena-mena mengamuk seperti dirasuk lalu menumbuk deretan enam keping tingkap nako di bahagian tepi rumah sehingga pecah," katanya.

Menurutnya, mangsa terbaring menahan kesakitan, manakala rakan lain panik dengan serpihan kaca penuh atas lantai.

"Tangan kanan mangsa meleleh darah menyebabkan saya mengambil tuala dan membalutnya sebelum menghubungi polis untuk bantuan," katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Alor Gajah, Shahril Anuar Abd Rauf berkata, pihaknya tiba di lokasi kejadian sejurus selepas menerima laporan.

“Setiba di rumah itu, mangsa yang berlumuran darah di tangan ditenangkan rakan-rakannya. Kita memberi rawatan awal sebelum menghantar mangsa ke Hospital Alor Gajah untuk rawatan lanjut," katanya.

sumber- Sinar

Belasah ibu mertua

KOTA BHARU – Seorang penganggur mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan membelasah ibu mertuanya hingga mangsa patah tulang rusuk, September lalu.

Hukuman terhadap Azmi Zahari, 37, bagaimanapun ditangguhkan berikutan menunggu laporan perubatan warga emas terbabit.

Belasah ibu mertua
Tertuduh sempat tersenyum ketika gambarnya dirakam sewaktu keluar dari mahkamah, semalam.
Azmi dituduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Meriam Deraman, 80, iaitu patah dua tulang rusuk kiri kerana ditumbuk di pinggang dan pipi kiri selain menghantukkan kelapa mangsa ke dinding.

Kejadian berlaku pada jam 8.30 pagi, 23 September di hadapan sebuah rumah di Kampung Che Deris, Jalan PCB di sini.

Tertuduh dihadapkan ke mahkamah mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Pada prosiding semalam, Majistret Muhamad Hafiz Mohd Noor membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin.

Kes tersebut bersambung pada 28 November depan.

sumber- Sinar

Maut dalam nahas 3 kereta

KUANTAN – Seorang lelaki maut dalam kemalangan membabitkan tiga buah kereta di Kilometer 12 Jalan Kuantan – Kemaman, dekat sini, semalam.

Dalam nahas kira-kira jam 10 pagi itu, mangsa Muhammad Fakhrul Razi Awang, 24, yang duduk di bahagian penumpang hadapan maut di tempat kejadian selepas mengalami cedera parah.

Maut dalam nahas 3 kereta
Antara kereta yang terlibat dalam kemalangan ngeri itu
Pegawai Penguatkuasa Tadbir/Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Asisten Superintendan Zainalabidin Othman berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah kenderaan jenis Proton Iswara yang datang dari arah Kuantan menuju ke Kemaman cuba memotong kenderaan lain di hadapannya.

Menurutnya, cubaan memotong kenderaan lain itu menyebabkan kereta terbabit masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah kereta lain jenis Proton Perdana. “Ketika kejadian, sebuah lagi kereta jenis Proton Wira yang berada di belakang kereta Proton

Perdana itu tidak sempat menekan brek lalu merempuh bahagian belakang kereta berkenaan,” katanya.

Zainalabidin berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk dibedah siasat.

“Orang ramai yang melihat kejadian atau mempunyai sebarang maklumat mengenai kemalangan itu diminta tampil untuk membantu siasatan polis dengan menghubungi mana-mana balai berhampiran,” katanya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

sumber- Sinar

12 maut, hospital terbakar di Taiwan

TAIPEI - Sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh, manakala 60 yang lain cedera dalam satu insiden kebakaran di sebuah hospital di selatan Taiwan, awal pagi ini.

Menurut pegawai kesihatan tempatan, kebakaran tersebut berlaku di Hospital Sinying yang menempatkan kebanyakan pesakit warga emas di bandar Tainan.

12 maut, hospital terbakar di Taiwan
Gambar dikeluarkan Jabatan Bomba Taiwan merakamkan anggota polis dan bomba memeriksa kerosakan teruk akibat kebakaran di Hospital Sinying, bandar Tainan, selatan Taiwan, semalam. - AFP
Lebih 100 pesakit dipindahkan ketika kebakaran berlaku.

Pihak berkuasa pada awalnya menganggarkan seramai 72 pesakit cedera, sebelum jumlah itu diturunkan kepada 60 orang.

Kebanyakan pesakit yang terkorban dipercayai mengalami sesak nafas ekoran asap tebal, manakala mangsa yang cedera dikejarkan ke beberapa hospital lain.

Kebakaran tersebut merupakan insiden terburuk dalam tempoh beberapa tahun ini dan punca kejadian masih disiasat.

Media yang memetik kenyataan pasukan bomba melaporkan, kebakaran berkemungkinan bermula dari sebuah stor di tingkat dua bangunan setinggi lima tingkat itu.

Saluran berita TVBS melaporkan sejumlah katil dan kerusi roda pesakit dibawa keluar dari bangunan tersebut.

Beberapa keluarga mangsa bergegas ke hospital itu untuk mengetahui keadaan ahli keluarga mereka, sebaik-baik Menteri Kesihatan, Chiu Wen-ta menyatakan pihak berkuasa akan mengenal pasti identiti pesakit yang terkorban.

Perdana Menteri Sean Chen melahirkan rasa simpati dan menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa. 

sumber- AFP

Diganggu kelibat pocong

KERIAN - Penduduk kampung tersusun Raja Bashah Kuala Kurau, di sini gempar dengan gangguan kelibat lembaga berkain putih atau dikenali sebagai hantu ‘pocong’ sehingga menyebabkan sebahagian besar mereka takut keluar rumah terutama waktu malam.

hantu pocong
Laluan keluar masuk penduduk yang dikelilingi hutan bakau dan nipah.
Seorang saksi kejadian, Mohd Desa Ahmad, 52, berkata, cerita kewujudan hantu itu mula tersebar di seluruh kampung sejak tiga bulan lalu apabila sebanyak tiga kes penemuan lembaga berkenaan dilaporkan sehingga kini.

Menurutnya, pengalaman terserempak dengan lembaga menyerupai hantu pocong benar-benar memberi igauan buruk setelah sebelum ini menganggap dakwaan beberapa penduduk sebagai tidak berasas.

“Kejadian itu berlaku semasa saya sedang mengambil angin di luar rumah baru-baru ini dan tercium bau aneh seakan-akan bau tanah kubur sewaktu sedang menghisap rokok.

“Pada masa sama, saya mendapati terdapat sebuah motosikal sedang melintasi hadapan rumah dan alangkah terkejutnya apabila terdapat satu objek berbungkus kain putih sedang ‘membonceng’ motosikal itu tanpa disedari penunggangnya,” katanya sewaktu ditemui Sinar Harian di rumahnya di sini semalam.

Mohd Desa berkata, dia tergamam melihat objek berbungkus itu buat seketika, bagaimanapun keadaan menjadi lebih mengerikan apabila muncul di hadapannya secara tiba-tiba.

“Sedang saya tergamam melihat kejadian itu, tiba-tiba objek itu hilang dan paling memeranjatkan, lembaga itu muncul di hadapan saya dalam jarak 10 meter.

“Hanya Allah yang tahu perasaan saya ketika ini dan saya segera meluru masuk ke dalam rumah dan menutup semua tingkap serta pintu tanpa berfikir panjang,” katanya.

Seorang lagi saksi kejadian, Salleh Mat, 58, berkata, semasa kejadian dia bersama isteri dan anak-anaknya sedang berehat di ruang tamu sambil menonton televisyen pada jam 11 malam.

“Pada masa itu saya hendak menutup pintu belakang rumah kerana sudah lewat malam. Saya perasan ada kelibat seseorang di luar rumah berpakaian serba putih namun tidak berapa jelas kerana keadaan pada masa itu terlalu gelap.

“Saya pun turun dari rumah dan memberanikan diri untuk melihat dengan lebih dekat. Bagaimanapun, kelibat lembaga itu merupakan sebuah objek berbungkus yang menyerupai tubuh mayat yang dikafankan,” katanya.

Salleh yang terperanjat dengan kejadian itu terus memasuki rumah dan mengunci semua pintu dan tingkap sehingga menimbulkan kehairanan isteri dan anak-anaknya.

“Saya yakin lembaga yang saya lihat merupakan hantu pocong berdasarkan bentuk sama seperti manusia yang dikafankan di mana kain yang membaluti tubuh amat pudar selain mempunyai satu ikatan di atas kepala,” katanya.

Sementara itu, sumber dari penduduk asal kampung menceritakan kejadian ini dikatakan sering berlaku semasa pembukaan kampung ini sekitar tahun 1980-an sebelum isu itu lenyap beberapa tahun kemudian.

Bagaimanapun, kejadian penduduk ‘diganggu’ hantu pocong berulang kembali dipercayai berpunca perlaksanaan projek penempatan semula penduduk kampung yang dikatakan ‘mengganggu’ kediaman asal makhluk halus di sini.

“Berdasarkan cerita orang tua sebelum ini, kampung ini sebelum dibuka dipenuhi hutan nipah dan hutan paya bakau. Dikatakan pelbagai perkara buruk berlaku semasa pembukaan kampung.

“Ia disebabkan di kawasan hutan nipah ini terdapat banyak kubur-kubur lama yang tidak bertanda selain sebuah kubur ‘keramat’ yang dikatakan turut terletak di kawasan kampung kami,” katanya.

Seorang lagi penduduk yang ingin dikenali sebagai Radhi berkata, lokasi pangkalan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kuala Kurau dan kawasan sekitarnya dikatakan berasal dari tapak perkuburan lama yang banyak terdapat di kawasan itu.

“Semasa pembinaan pangkalan itu, terdapat gangguan sebegini dialami penduduk kampung sebelum perkara sama berulang kembali sejak tiga bulan.

“Kami tidak menolak kemungkinan ‘kemunculan’ kembali makhluk berkenaan disebabkan kerja pembinaan penempatan semula penduduk kampung yang sedang dijalankan yang dipercayai menyebabkan makhluk itu ‘marah’ dan mengganggu kami,” katanya.

sumber- Sinar

120 penampar dalam 1/2 jam

BEIJING: Seorang guru prasekolah didapati mendera muridnya dengan menampar serta menendang mereka berkali-kali.

Perbuatan kejam itu terbongkar selepas aksi guru terbabit dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di sebuah pusat pendidikan di Taiyuan, utara Shanxi.

cikgu tampar murid
RAKAMAN video menunjukkan guru wanita (membelakangkan kamera) menampar seorang daripada muridnya.
Melalui rakaman video selama 30 minit itu, guru terbabit dilihat menampar empat muridnya lebih 120 kali apabila mereka gagal menjawab soalan diberi. 

Insiden itu disiasat selepas seorang daripada bapa murid terbabit - cuma dikenali sebagai Han kehairanan apabila muka anak perempuannya merah dan bengkak. 

Media semalam melaporkan, Han pergi bertemu pentadbiran prasekolah berkenaan dan menuntut untuk melihat rakaman CCTV di situ.

Menurut Han, melalui rakaman berkenaan, dia melihat anaknya serta tiga kanak-kanak lain menjadi mangsa dera seorang guru.

“Dalam tempoh setengah jam, guru wanita terbabit menampar anak saya 43 kali, selain menendangnya dua kali,” katanya. 

Mengenai tiga kanak-kanak lain, Han berkata, mereka masing-masing ditampar 43, 27 dan 10 kali dalam tempoh sama. 

“Wanita itu tidak sepatutnya menjadi guru. Dia bukan manusia, tetapi jembalang!” katanya. 

Menurut Han, bukan sekali anak perempuannya pulang dengan muka merah dan membengkak tetapi menyangka ia disebabkan kecederaan ketika bermain. 

Melalui rakaman itu, Han berkata, guru matematik terbabit meminta anaknya mencampurkan dua angka lebih daripada 10.

Apabila anaknya mengaku tidak tahu, guru terbabit menamparnya. Sementara itu, media China melaporkan, guru wanita itu kini dipecat dari sekolah berkenaan. 

sumber- DM

Amy Search tutup restoran setelah empat tahun operasi

KUALA LUMPUR - Selepas empat tahun beroperasi, penyanyi Amy Search akhirnya menerima hakikat bahawa Restoran Cheng Ho miliknya di Wangsa Maju di sini terpaksa ditutup mulai semalam.

Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman, 53, berkata, restoran yang terkenal dengan masakan ala Cina itu terpaksa ditutup kerana pihak yang diberi tanggungjawab untuk menguruskannya berdepan pelbagai masalah.

restoran Cheng Ho
INILAH Restoran Cheng Ho milik Amy Search di Wangsa Maju, Kuala Lumpur yang ditutup mulai semalam.
"Apa pun, saya tetap sedih kerana perniagaan ini sudah lama dijalankan tetapi akhirnya terpaksa ditutup," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Menurut Amy, dia memulakan perniagaan tersebut empat tahun lalu dengan modal RM250,000.

Bagaimanapun pada bulan Jun tahun lalu dia menyerahkan segala urusan perniagaan itu kepada seorang rakan tetapi ia berdepan masalah.

Restoran tersebut menyediakan masakan ala Cina kegemaran pelanggan antaranya ketam masak telur masin, udang bersalut mentega dan ikan siakap nyonya.

Amy berkata, dia bernasib baik kerana telah mempatenkan nama Restoran Cheng Ho sebelum ini.

Justeru, katanya, tiada pihak yang dibenarkan menggunakan nama tersebut.

sumber- Kosmo

Calon SPM jadi GRO

KUALA LUMPUR - Seorang pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam tempoh dua minggu lagi diberkas selepas dia didapati menjadi pegawai perhubungan pelanggan (GRO) di sebuah pusat hiburan di Taman Tun Dr. Ismail di sini kelmarin.

Calon SPM jadi GRO
ANGGOTA polis memeriksa 21 GRO yang diberkas dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur kelmarin.
Selain pelajar berusia 17 tahun terbabit, polis turut memberkas seorang GRO berumur 16 tahun dalam serbuan pada pukul 9.45 malam. Ketika serbuan, kedua-duanya mengenakan pakaian seksi.

Dua remaja berkenaan merupakan antara 21 GRO yang ditahan dalam serbuan yang dilakukan sepasukan polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Bukit Aman.

Pegawai Operasi, Inspektor Muhammad Mohd. Jais berkata, siasatan awal pihaknya mendapati kedua-dua remaja itu masih bersekolah.

sumber- Kosmo

Ibu muda maut selepas bersalin

KULIM – Penduduk di Taman Kekwa dekat sini gempar apabila seorang ibu muda yang sedang sarat hamil ditemui meninggal dunia bersama bayi yang baru dilahirkannya kelmarin.

Ibu muda maut selepas bersalin di Kulim
ROHIZAT (kanan) dan Normah menunjukkan rumah yang menjadi tempat Shaniza ditemui meninggal dunia bersama bayinya di Kulim kelmarin.
Mayat Shaniza Idris, 27, ditemui pada pukul 2.30 petang oleh jirannya yang masuk ke dalam rumah selepas curiga apabila mendapati wanita itu tidak keluar untuk menjemput anaknya pulang sekolah.

Shaniza meninggal dunia selepas mengalami perdarahan teruk apabila uri dikatakan tidak keluar sepenuhnya ketika mangsa bersalin bersendirian.

Mayatnya ditemui dalam keadaan tertiarap dalam bilik utama dengan berlumuran darah manakala mayat bayinya itu berada dalam bilik air.

Ketika kejadian, suami mangsa, Konstabel Asmadi Ahmad, 28, yang bertugas di Balai Polis Kulim tiada di rumah kerana sedang berkursus sejak seminggu lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan di Nibong Tebal.

Pasangan itu dikurniakan tiga anak iaitu Mohd. Danial, 7; Mohd. Dani, 4, serta Puteri Dayana, 1.

sumber- Kosmo

Suami tangkap basah isteri dalam rumah sendiri

MELAKA - Suami keluar mencari rezeki, isteri pula bermain cinta dengan lelaki lain.Itulah nasib seorang kontraktor yang terkedu apabila mendapati isterinya menjalin hubungan sulit ketika dia bekerja.

isteri curang
ISTERI Salman (kiri) ditahan bersama kekasihnya dan seorang wanita lain (kanan) di sebuah pangsapuri di Melaka pada Ahad lalu.
Lebih mengecewakan, suami tersebut berjaya menghidu kecurangan isterinya apabila terdengar wanita itu bergurau senda dengan 'kekasih gelapnya' di pangsapuri mereka di Ayer Keroh di sini Ahad lalu.

Suami malang itu yang hanya mahu dikenali sebagai Salman, 36, berkata, geram dengan kejadian berkenaan, dia bergegas ke ke pejabat Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan meminta penguat kuasa jabatan itu menangkap isterinya dan lelaki terbabit.

Cerita Salman, semuanya terbongkar apabila dia yang tertinggal pengecas bateri telefon bimbit, berpatah balik ke rumahnya pada pukul 10 malam untuk mengambil alat tersebut.

Salman yang keluar bekerja pukul 8 pagi hari yang sama sempat memberitahu isterinya yang berusia 24 tahun itu bahawa dia akan pulang lewat kerana bertugas di luar kawasan.

"Apabila tiba di rumah, saya terperanjat apabila terdengar suara isteri saya ketawa bersama seorang lelaki seolah-olah sedang bermesra," katanya di sini semalam.

sumber- Kosmo

Gangnam Style tidak popular di Jepun

SEOUL - Lagu Gangnam Style yang menonjolkan aksi penyanyi rap Korea Selatan, Psy menari tarian kuda tidak popular di Jepun, walaupun lagu tersebut mencipta fenomena di serata dunia.

Perkembangan tersebut berlaku di sebalik pengaruh besar muzik pop Korea (K-pop) di negara matahari terbit itu. Namun, peminat K-pop Jepun dilaporkan menjauhi Gangnam Style.

F1 gangnam style
PSY menyampaikan lagu Gangnam Style semasa konsert sempena perlumbaan Formula Satu di Litar Antarabangsa Korea, Yeongam, Korea Selatan pada 14 Oktober lalu.
Terdapat spekulasi di Korea Selatan bahawa isu pertikaian sejumlah pulau di antara keda-dua negara menyebabkan lagu tersebut tidak popular.

Gangnam Style pernah mengungguli beberapa carta muzik di Britain dan Amerika Syarikat. Namun lagu itu cuma berada di tempat ke-30 carta 30 muzik iTunes di Jepun.

Bagi memburukkan lagi keadaan, banyak blog muzik Jepun berpendapat, kejayaan besar video muzik Gangnam Style di laman perkongsian video YouTube adalah kerana penggunaan program tontonan automatik dikenali 'bots'.

Mereka memberitahu, Gangnam Style mencatat tontonan tinggi ekoran peminat di Korea Selatan menekan butang F5 pada papan kekunci komputer bagi memainkan lagu itu berulang kali.

Justeru, sebahagian peminat K-Pop di Jepun menggelarkan lagu popular itu sebagai F5 Style.

Menurut beberapa pendapat lain, Gangnam Style kurang mendapat sambutan di Jepun kerana Psy, 34, tidak menerbitkan lagu versi bahasa Jepun seperti dilakukan sejumlah bintang K-pop lain sebelum ini.

Muzik video Gangnam Style yang dimuat naik pada Julai lalu telah ditonton lebih 532 juta kali di laman YouTube. 

sumber- AFP

Singapura buka terminal kapal mewah

SINGAPURA - Pemerintah di sini membuka sebuah terminal kapal persiaran baharu yang setanding dengan pusat persinggahan kapal-kapal mewah bertaraf dunia sebagai usaha menjadikan republik itu sebagai hab pelancongan serantau.

kapal mewah
GAMBAR oleh firma Communications DNA Pte Ltd menunjukkan kapal persiaran Diamond Princess dan Voyager of the Seas berlabuh di terminal Pusat Pelayaran Teluk Marina di Singapura kelmarin.
Dikenali dengan nama Pusat Pelayaran Kapal Teluk Marina, ia dibuka secara rasmi kelmarin.

Pembinaan terminal tersebut membolehkan pulau ini memenuhi peningkatan bilangan pelancong di Asia yang bercuti di atas kapal-kapal persiaran mewah.

Pusat pelayaran itu beroperasi hasil kerjasama di antara pihak Perkhidmatan Terminal Lapangan Terbang Singapura dan syarikat Eropah, Creuers del Port de Barcelona.

Terminal berkenaan boleh menempatkan kapal penumpang seberat 220,000 tan dengan panjang melebihi 360 meter.

Bangunan tersebut turut dilengkapi pelbagai kemudahan yang dibina dengan kos sekitar Sg$500 juta (RM1.25 bilion).

Ketua Eksekutif terminal berkenaan, Melvin Vu berkata, Singapura bakal menjadi pangkalan utama pelayaran kapal-kapal mewah berikutan terminal moden yang dimilikinya.

"Pembukaan rasmi terminal menjadi mercu tanda kepada satu perubahan signifikan dalam perkembangan landskap pelayaran di Singapura dan rantau ASEAN," katanya.

Singapura mencatatkan kehadiran 13.2 juta pelancong asing tahun lalu dengan hasil industri pelancongan mencecah Sg$22.3 bilion (RM55.6 bilion). 

sumber- AFP

Aceh tutup gereja dan kuil Buddha

JAKARTA - Pihak berkuasa di Aceh, Indonesia semalam berkata, mereka terpaksa menutup beberapa buah gereja Kristian dan kuil Buddha selepas mendapat tekanan daripada Barisan Pertahanan Islam (FPI).

Aceh merupakan satu-satunya wilayah di negara ini yang mengamalkan undang-udang Islam sepenuhnya. Penutupan rumah ibadat itu menjadi petanda terbaharu mengenai sikap tidak bertoleransi antara agama kian meningkat.

SEORANG lelaki menunggang basikal di hadapan sebuah gereja yang ditutup di ibu negeri wilayah Aceh, Banda semalam.
Timbalan Datuk Bandar Banda Aceh, Illiza Sa'aduddin Djamal memberitahu, penutupan itu dibuat kerana sembilan gereja Kristian dan enam kuil Buddha tersebut tidak memiliki permit.

Namun, jelasnya kepada agensi berita AFP, kesemua tempat beribadat itu diarah tutup pada minggu lalu selepas mendapat aduan daripada FPI dan berlaku sedikit ketegangan sebelum keputusan dibuat.

"Kami tidak mahu sebarang masalah keselamatan timbul di Banda Aceh disebabkan aktiviti-aktiviti haram," kara Djamal.

FPI menyifatkan dirinya sebagai penguat kuasa moral dan undang-undang Islam. Ia sering menyertai pasukan polis dalam operasi serbuan ganas ke atas bar dan pusat-pusat pelacuran.

Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri memberi isyarat bahawa ia tidak akan campur tangan.

Seorang jurucakap berkata, tidak berlaku sebarang penutupan ke atas semua rumah ibadat tersebut kerana ia belum mempunyai permit. 

sumber- AFP

Lelaki Tibet bakar diri

BEIJING - Seorang lelaki Tibet berusia dalam lingkungan 50-an maut selepas membakar dirinya di sebuah biara utama di barat laut China, kata sebuah pertubuhan hak asasi manusia yang beribu pejabat di London.

Lelaki Tibet bakar diri
GAMBAR dirakam kelmarin menunjukkan seorang lelaki Tibet dikenali sebagai Dhondup membakar dirinya di Biara Labrang dalam wilayah Gansu di China.
Pertubuhan berkenaan, Bebaskan Tibet menyatakan, Insiden tersebut merupakan perbuatan membakar terbaharu bagi memprotes penguasaan China ke atas Tibet.

Lelaki itu yang hanya dikenali sebagai Dhondup, melaungkan slogan bebaskan Tibet semasa dia menyalakan api pada badannya di dewan ibadat Biara Labrang, dalam wilayah Gansu kelmarin.

Agensi berita rasmi Xinhua memetik seorang pegawai pemerintah sebagai berkata, seorang pengembala membakar dirinya di biara itu sekitar pukul 9 pagi (waktu tempatan) kelmarin.

"Dhondup merupakan antara lapan penduduk Tibet yang telah mengorbankan nyawa mereka bagi membantah pemerintahan China di Tibet sepanjang bulan lalu," kata pengarah pertubuhan hak asasi manusia berkenaan, Stephanie Brigden.

sumber- Agensi

Budak lelaki tersepit dua jam di celah bangunan

BANDAR RAYA JINHUA - Seorang kanak-kanak berusia empat tahun yang tersangkut di celah dinding dua bangunan setelah terjatuh dari balkoni kediamannya di tingkat tiga diselamatkan baru-baru ini.

Agensi berita Reuters melaporkan semasa kejadian, kanak-kanak itu sedang bermain di balkoni rumahnya di perkampungan Wujiangkou di sini, dalam wilayah Zhejiang di timur China pada Sabtu lepas.

Dia kemudian secara tidak sengaja terjatuh dari balkoni rumahnya dan tersepit di celah dinding dua buah bangunan dengan ruang cuma 25 sentimeter.

budak tersepit
SEORANG budak lelaki tersepit di celah dinding dua bangunan di perkampungan Wujiangkou, dalam wilayah Zhejiang, China pada Sabtu lalu.
Kanak-kanak itu tersangkut di celah dinding tingkat dua bangunan-bangunan itu selama dua jam sebelum diselamatkan oleh pasukan bomba dan penyelamat.

Anggota-anggota bomba bertindak mengikat kanak-kanak itu dengan seutas tali bagi mengelakkan dia daripada terjatuh.

Mereka kemudian mengenal pasti lokasi kedudukan kanak-kanak itu sebelum memecahkan dinding setebal 60 sentimeter itu dari dalam sebuah bangunan tersebut.

Pasukan bomba membuat sebuah lubang besar pada dinding dan menarik kanak-kanak itu ke dalam bangunan berkenan.

Dia yang kemudian dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut, didapati cuma mengalami kecederaan kecil pada dahi. 

sumber- Reuters

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...