Selamat Datang Ke blog-ketegaq.blogspot.com

Blog terbaik yang menyediakan pelbagai cerita dan artikel menarik dari seluruh dunia. Like kami di facebook tanda sokongan anda dan untuk mendapat update artikel terkini dari kami.

Isu Semasa

Artikel-artikel terkini mengenai isu semasa dalam dan luar negara. Segalanya dari sumber-sumber yang boleh dipercayai.

Pelik

Segala fakta dan artikel mengenai perkara-perkara yang pelik boleh diperolehi di sini. Semua artikel adalah berdasarkan sumber dan kesahihannya anda sendiri tentukan.

Herba Dan Botani

Artikel mengenai tumbuh-tumbuhan yang digunakan untuk perubatan dan penjagaan kesihatan.

Alam Ghaib

Himpunan artikel mengenai alam ghaib yang sukar diperjelaskan dengan mata kasar. Admin mengalukan sumbangan artikel, gambar-gambar atau video untuk dikongsi bersama dalam blog ini.

Friday, November 9, 2012

Kanak-kanak enam tahun maut dirempuh van

BALING - Seorang kanak-kanak berusia enam tahun maut dalam kemalangan di Kilometer 37.7 Jalan Sungai Petani Baling kira-kira 6.20 petang, kelmarin.

Mangsa, Mohd Zul Ikmal dari Kampung Keda Kledang maut di tempat kejadian setelah basikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah van.

Anak ketiga dari lima beradik itu dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas keluar mencari ikan bersama abangnya di kawasan berdekatan rumahnya itu.

kanak-kanak maut
Anggota polis mengangkat mayat mangsa untuk dihantar ke Hospital Baling.
Menurut saksi kejadian, mangsa cuba melintas jalan, namun gagal sebelum dirempuh oleh sebuah van yang datang dari arah Baling-Sungai Petani.

Kejadian itu mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala sehingga mengakibatkan kematian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Mat Daud Mat Hassan mengesahkan kejadian tersebut.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Baling untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya.

Mat Daud berkata, pihaknya amat berharap ibu bapa menjaga keselamatan anak-anak mereka terutama mereka yang di bawah 12 tahun.

“Menjaga keselamatan tidak bermaksud kita mengongkong, tetapi perlu bertegas demi keselamatan anak-anak mereka,” katanya.

sumber- Sinar

Rakan melambung di simpang

ALOR GAJAH - “Saya nampak objek melambung berdekatan persimpangan lampu isyarat sebelum menyedari rakan terbabit dalam kemalangan,” kata Islami Hisham, 18, menceritakan insiden kemalangan maut melibatkan rakannya, seorang pekerja restoran makanan segera di persimpangan lampu isyarat Sungai Petai, Lebuh Ayer Keroh-Melaka-Jasin (AMJ) dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira 6 pagi itu, mangsa, Mohd Izuan Johari, 24, dari bandar Melaka ke Melaka Pindah sebelum motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggang hilang kawalan melanggar pembahagi jalan.

Rakan melambung di simpang
Polis memeriksa keadaan mangsa yang tertangkup atas jalan raya.
Akibat pelanggaran itu, mangsa dan motosikalnya melambung sebelum kepala Mohd Izuan terhentak pada lampu isyarat dan tercampak ke laluan bertentangan.

Islami yang merupakan saksi terawal kejadian berkata, dia bersama dua rakannya dalam perjalanan pulang ke rumah di Paya Datuk sebelum menyedari terdapat objek melambung di hadapan.

"Saya duduk di sebelah pemandu meminta rakan memperlahankan kereta untuk mengamati objek berkenaan sebelum terkejut melihat seorang lelaki berada dalam keadaan tertangkup atas jalan.

"Sebaik keluar kereta saya terkejut lihat mangsa adalah rakan saya sendiri," katanya.

Menurutnya, dia yang panik melihat mangsa tidak sedarkan diri mengalihkan motosikal yang tercampak beberapa meteri.

"Saya kemudiannya cuba menghubungi keluarga mangsa namun gagal sebelum segera ke rumahnya di Melaka Pindah bagi memaklumkan kejadian," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Sementara itu, ibu mangsa, Zaiton Mohamad, 51, berkata, mangsa keluar dari rumah untuk ke bandar Melaka kira-kira 12 tengah malam semalam sebelum terbabit kemalangan dalam perjalanan pulang.

“Ketika rakannya datang ke rumah memaklumkan kejadian, saya sedang bersiap untuk ke tempat kerja dan menyangka rakan datang untuk menjemput saya ke tempat kerja seperti biasa setiap pagi,” katanya.

Zaiton berkata, dia yang bekerja sebagai pembantu kantin di sebuah sekolah terkejut apabila dimaklumkan anak keduanya dari tiga beradik itu terbabit dalam kemalangan tanpa menyangka anaknya itu terkorban.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan kejadian.

Mayat mangsa dihantar ke bilik mayat Hospital Melaka untuk dibedah siasat.

sumber- Sinar

Homestay Pelacuran

TELUK INTAN - Jabatan Imigresen Cawangan Teluk Intan berjaya menghidu kegiatan pelacuran yang berselindung di sebalik perusahaan rumah inap desa (homestay) di Taman Bunga Raya, Jalan Sultan Abdullah, di sini.

Sehubungan itu, satu serbuan telah diadakan pada jam 12.55 malam oleh sepasukan anggota Imigresen Cawangan Teluk Intan di premis terbabit, malam kelmarin dan berjaya menahan empat wanita warga Vietnam kerana dipercayai menjalankan aktiviti pelacuran.

pelacur Vietnam
Khairul Anuar (kanan) memerhati empat wanita Vietnam yang ditahan.
Ketua Imigresen Cawangan Teluk Intan, Khairul Anuar Sulaiman memaklumkan, keempat-empat wanita itu berusia di antara 22 hingga 32 tahun ditahan setelah didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

"Semua yang ditangkap dibawa ke Pejabat Imigresen Teluk Intan bagi membantu siasatan. Kita turut menahan seorang lelaki berusia 27 tahun kerana dipercayai menjadi orang tengah dalam aktiviti pelacuran serta melindungi pendatang asing tanpa izin (Pati)," katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Beliau turut memaklumkan, lelaki yang enggan memberi kerjasama semasa serbuan itu ditahan reman di bawah Seksyen 5(6)(1)(d) Akta Imigresen 1959/63, manakala empat wanita Vietnam didapati telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(d) akta sama.

"Mereka ditahan reman selama 14 hari di Pusat Tahanan Imigresen Langkap bagi membantu siasatan dan kami turut mendapat perintah tahan daripada Mahkamah Majistret Teluk Intan untuk lelaki terbabit mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

"Kita mendapati rumah inap desa ditukar menjadi pusat pelacuran, menjadi trend sekarang ini dalam usaha mengelak daripada ditahan pihak berkuasa," katanya.

Katanya, siasatan awal turut mendapati rumah inap desa berkenaan pernah melakukan kesalahan sama serta pernah diserbu pada 25 April lalu yang mana dua wanita Vietnam bersama seorang wanita China melakukan kegiatan pelacuran dan kini menjalani hukuman penjara.

"Saya beri amaran kepada mana-mana pengusaha rumah inap desa, bahawa tindakan tegas akan diambil sekiranya mereka didapati menjalankan kegiatan pelacuran dan kita sedang mengesan mana-mana pemilik yang menjadikan rumah mereka sarang kegiatan tidak bermoral itu," tegasnya.

sumber- Sinar

Dua pegawai tentera wanita dipaksa hantar gambar bogel

FORT BRAGG, Carolina Utara - Dua pegawai tentera wanita Amerika Syarikat yang memberi keterangan kelmarin menyatakan mereka menghantar beberapa gambar bogel kepada seorang pegawai tinggi tentera, Brigadier Jeneral Jeffrey Sinclair.

Menurut akhbar Fayetteville Observer, salah seorang daripada mereka menyatakan bahawa Sinclair berulang kali meminta dia menghantar gambar bogelnya.

Bagaimanapun, dia yang berpangkat kapten memuat naik beberapa gambar bogel wanita lain tanpa kepala untuk dihantar kepada pegawai tinggi itu.

Brigadier General Jeffrey Sinclair
Brigadier Jeneral Jeffrey Sinclair
Keterangan itu diberikan pada hari ketiga pendengaran tentera yang diadakan di sini bagi menentukan sama ada Sinclair akan dibicarakan berhubung beberapa dakwaan termasuk liwat dan perzinaan serta perlakuan seks yang dilarang.

Semua perbuatan itu tidak dibenarkan dalam perkhidmatan ketenteraan.

Pada Selasa lalu, seorang lagi pegawai tentera wanita berpangkat kapten memberi keterangan dengan menyatakan dia dipaksa melakukan seks oral dengan Sinclair.

Menurutnya, Sinclair yang sudah berkahwin mengancam untuk membunuhnya dan keluarganya jika dia enggan melakukan perbuatan itu.

Seorang lagi pegawai tentera berpangkat mejar memberitahu kelmarin, dia menghantar gambar payudaranya dan video kepada Sinclair.

Sinclair berdepan hukuman penjara seumur hidup jika didapati bersalah di mahkamah tentera. 

sumber- AP

Pelakon filem porno diwajibkan pakai kondom

LOS ANGELES - Para pengundi daerah Los Angeles telah menyokong langkah yang mewajibkan pelakon filem lucah memakai kondom semasa melakukan adegan seks.

Pelakon-pelakon itu akan disaman dan perlu berpindah ke tempat lain jika mereka melanggar langkah tersebut.

memakai kondom
gambar hiasan
Menurut pejabat Pendaftar Daerah Los Angeles, langkah tersebut yang ditaja Yayasan Penjagaan Kesihatan AIDS mendapat kelulusan pada Selasa lalu daripada para pengundi.

Keputusan pengundian ialah 55.85 peratus menyokong manakala 44.15 lagi menolak.

Para penerbit filem lucah juga dikehendaki mendapatkan permit kesihatan untuk menerbitkan filem dan penggunaan kondom di set penggambaran merupakan syarat wajib bagi mendapatkan permit itu. Kebanyakan produksi filem lucah di Amerika Syarikat dibuat di San Fernando Valley di sini.

Bagaimanapun, para penerbit filem lucah kelmarin berikrar mereka akan mencabar langkah itu di mahkamah.

sumber- Agensi

Seorang maut di lokasi konsert Linkin Park

Seorang maut di lokasi konsert Linkin Park
SEORANG wanita yang cedera (dua dari kiri) dibantu seorang anggota perubatan (dua dari kanan) di luar Stadium Cape Town, Afrika Selatan kelmarin.
JOHANNESBURG, Afrika Selatan - Seorang wanita terbunuh apabila sebuah struktur perancah iklan runtuh akibat angin kencang di lokasi konsert band rock Linkin Park di Cape Town pada Rabu lalu.

Menurut seorang jurucakap Dewan Bandar Raya Cape Town, Kylie Hatton semalam, seramai 19 orang lagi cedera dalam kejadian itu.

Dia berkata, 12 daripada 19 orang itu dirawat di hospital.

Menurutnya, ia runtuh di luar Stadium Cape Town manakala polis masih menyiasat tentang punca kejadian tersebut.

Band rock dari Amerika Syarikat itu kemudian menyatakan perasaan sedih ekoran terdapat mangsa yang cedera.

Anggota-anggota band tersebut juga mengucapkan takziah kepada keluarga wanita yang terbunuh itu.

Wanita itu merupakan peminat band berkenaan.

Band itu akan mengadakan konsert di sini esok.

Anggota kumpulan itu terdiri daripada Chester Bennington, Rob Bourdon, Brad Delson, Dave Farrell, Joe Hahn dan Mike Shinoda. 

sumber- Agensi

Sekolah percuma di bawah jambatan

Sekolah percuma di bawah jambatan
BEBERAPA kanak-kanak belajar di bawah jejambat di New Delhi kelmarin.
NEW DELHI - Kira-kira 30 kanak-kanak belajar di sebuah 'sekolah' di bawah sebuah jejambat di sini.

Kanak-kanak itu tinggal di sebuah kawasan setinggan berdekatan jejambat tersebut.

'Sekolah' itu wujud sejak tiga tahun lalu.

Ia diasaskan oleh seorang sukarelawan, Rajesh Kumar Sharma.

Seorang lagi rakannya, Laxmi Chandra turut mengajar kanak-kanak itu. 

sumber- Agensi

Buaya Gaza ditangkap

GAZA - Kehadiran seekor buaya yang membimbangkan penduduk di sebuah kampung di utara Gaza sejak 18 bulan lalu berakhir apabila reptilia itu ditangkap semalam.

Jurucakap polis, Ayman al-Batniji berkata, seekor daripada empat buaya terlepas dari zoo Gaza tersebut ditangkap dengan menggunakan jaring nelayan.

buaya Gaza
Buaya buruan tewas
“Buaya sepanjang 1.8 meter dijumpai di dalam kolam kumbahan,” katanya.

Menurutnya, buaya digelar ‘Sakher’ itu akan dihantar semula ke zoo berkenaan.

sumber- Reuters

Wanita Kenya namakan bayi kembar Obama, Romney

Millicent Owuor

JOHANNESBURG - Seorang wanita Kenya semalam menamakan bayi kembarnya sempena nama Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama dan calon Presiden yang tewas dalam Pilihan Raya Presiden ke-57, Mitt Romney.

Akhbar Standard melaporkan, wanita itu, Millicent Owuor, 20, melahirkan bayi lelaki kembar terbabit di sebuah hospital di Siaya pada hari yang sama Obama memenangi pilihan raya tersebut, kelmarin.

Hospital berkenaan terletak berdekatan dengan Kagelo yang merupakan kampung nenek moyang kepada bapa Obama dan nenek Presiden AS tersebut, Sarah Obama masih tinggal di negara Afrika Timur itu. 

sumber- dpa

Nenek penipu tumpas

Nenek penipu

KUALA LUMPUR: Seorang nenek berusia 61 tahun yang sering berpindah randah bagi menyembunyikan diri selepas disyaki terbabit dalam penipuan pelaburan dana korporat bernilai RM10 juta ditahan di sebuah kondominium di Taman Datuk Ahmad Razali, Ampang Jaya, di sini kelmarin.

Serbuan dilakukan sepasukan polis Bahagian Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, kira-kira jam 1 tengah hari hasil risikan yang dibuat sejak Ogos lalu.

Timbalan Pengarah II, JSJK Bukit Aman, Datuk Mohd Rodwan Mohd Yusof berkata, hanya wanita itu ditahan untuk siasatan lanjut manakala ahli keluarganya yang lain tidak ditahan.

“Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan rakan sejenayah wanita itu yang masih bebas,” katanya kepada Harian Metro semalam.

Menurutnya, siasatan awal mendapati wanita warga emas itu tinggal menyewa di kondominium berkenaan sejak tiga bulan lalu dan dia direman sehingga esok.

sumber- HMetro

Derita 5 jam dalam lori remuk

BEHRANG: Seorang pemandu lori menderita kesakitan selama lima jam apabila kedua-dua kakinya tersepit selepas lori dipandu terbabas dan terbalik di kawasan kebun sayur berhampiran kilometer 382, Lebuhraya Utara Selatan berhampiran susur Behrang, semalam.

Dalam kejadian jam 1.15 tengah hari itu, mangsa, Ibrahim Yusof, 54, dikatakan gagal mengawal lori dipandu membawa sarat plastik penutup dawai elektrik selepas tayar kenderaan itu meletup.

Derita 5 jam dalam lori remuk
TERSEPIT...anggota bomba bertungkus-lumus mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Keadaan itu menyebabkan kenderaan dipandu mangsa merempuh besi pembahagi jalan di tepi lebuh raya sebelum menjunam ke tebing lalu terbalik dan menghempap kaki mangsa.

Jurucakap bomba dan penyelamat berkata, sepasukan anggota bomba dan penyelamat Balai Bomba Slim River dan Tanjung Malim yang bergegas ke lokasi sukar mengeluarkan mangsa apabila jentera berat digunakan gagal mengangkat kepala lori itu.

Derita 5 jam dalam lori remuk
NASIB...Ibrahim menahan kesakitan sebelum dikeluarkan dari lori.
“Tugas menyelamat terpaksa dilakukan penuh berhati-hati berikutan mangsa kerap menjerit kesakitan dan masih dalam keadaan sedar.

“Mangsa mampu berkomunikasi terpaksa membongkok dan meniarap di bawah lori itu. Hujan lebat tambah menyukarkan operasi menyelamat mangsa,” katanya.

Menurutnya, mangsa akhirnya dapat dibawa keluar dari bawah lori jam 6.15 petang sebelum dikejarkan ke Hospital Slim River menerima rawatan.

sumber- HMetro

Saudi Gangnam Style

Saudi Gangnam Style

JEDDAH: Sebuah video yang baru dimuat naik ke YouTube menunjukkan enam lelaki Arab Saudi meniru tarian Gangnam Style, lagu popular oleh penyanyi Korea, Psy.

Dalam hanya beberapa hari, versi Arab Saudi ini berjaya menarik perhatian tiga juta penonton, memaparkan jenaka terbaru Arab Saudi melalui lagu Gangnam Style itu. 

Video itu dirakam di jalan di Riyadh di mana mereka menari dengan tidak memakai pakaian tradisional Arab Saudi. 

Kumpulan lelaki itu menari dan menunjukkan trend lelaki Arab Saudi yang tidak lagi mengenakan jubah dan melakukan kerja biasa, melepasi rumah sahabat atau menghantar anak ke sekolah, seperti memberitahu keselesaan mereka secara terang-terangan.


Mereka juga sengaja meletakkan tin minuman lemon di tempat asing, menambahkan lagi jenaka kepada sesiapa yang faham dengan perbuatan itu.

Namun begitu, satu babak menarik perhatian penonton, iaitu menurut komen di video itu, adalah “Hospital Irqa” juga dikenali sebagai hospital berhantu di Riyadh.

sumber- Arab News

Kembar siam dipisah lepas 7 jam dibedah

Allison and Amelia Tucker

PHILADELPHIA: Pakar bedah di hospital Philadelphia berjaya menyelesaikan pembedahan untuk memisahkan kembar perempuan berusia lapan bulan yang melekat di bahagian bawah dada dan perut.

Hospital Kanak-Kanak Philadelphia berkata, prosedur tujuh jam untuk memisahkan Allison dan Amelia Tucker selesai tengah hari semalam. Kembar itu berasal dari Adams, New York. Mereka berkongsi dinding dada, diafragma, perikardium dan hati. Pegawai perubatan berkata, mereka adalah ‘calon yang hebat’ untuk dipisahkan.

Ketua pakar bedah, Holly Hedrick berkata, pembedahan rumit itu “berjalan lancar seperti dijangkakan”. Menurutnya, kembar itu akan dipantau secara rapi ketika tempoh pemulihan dan dapat menjalani kehidupan yang sempurna, sihat dan bebas. Pegawai hospital berkata, pembedahan itu adalah yang ke-21 pembedahan kembar siam dilakukan di hospital berkenaan. 

sumber- AP

Keluarga wang palsu

buat duit palsu

NUSAJAYA: Enam beranak diburu polis kerana disyaki menggunakan wang palsu untuk membeli-belah dan menjamu selera di sebuah pusat beli-belah di sini, tanpa menyedari gerak geri mereka dirakam kamera litar tertutup (CCTV).

buat duit palsu
DIBURU...Nor Hashim (kiri) memegang gambar suspek dirakam CCTV.
Kejadian berlaku Isnin lalu dan enam beranak itu membabitkan seorang lelaki, dua perempuan dewasa selain dua kanak-kanak serta seorang bayi. 

Mereka dikatakan berlagak seperti satu keluarga sedang bercuti dan berkunjung ke pusat beli-belah berkenaan untuk berbelanja di sekurang-kurangnya tiga kedai.

buat duit palsu
LICIK...suspek berurusan di kaunter pembayaran di sebuah restoran.
Ketua Polis Daerah Nusajaya, Asisten Komisioner Nor Hashim Mohamad berkata, ketika berurusan petugas di beberapa kedai didatangi enam beranak itu tidak menyedari pembayaran dilakukan menggunakan wang palsu.

“Hasil siasatan mendapati keluarga terbabit membuat pembayaran menggunakan wang palsu di tiga kedai di kompleks itu. Wang palsu yang mereka gunakan hampir menyamai wang kertas tulen berdasarkan warna, kualiti kertas dan ciri keselamatan lain seperti pelekat bersinar.

sumber- HMetro

Budak hampir Dibaham singa ketika bergambar di zoo

hampir dibaham singa

PARIS: Bukan setiap hari anda boleh berdepan dengan singa.

Tetapi itu yang sebenarnya berlaku pada seorang kanak-kanak yang bergaya untuk bergambar di sebuah zoo.

Kanak-kanak comel itu berdiri di depan kandang singa dan menanti ibu bapanya merakamkan gambar apabila seekor haiwan berkenaan menghampirinya. Video singkat kejadian yang dipercayai berlaku di sebuah zoo Perancis menunjukkan kanak-kanak itu pusing ke belakang selepas diarah oleh seorang dewasa.

Sebaik memandang ke belakang, kanak-kanak itu mendapati seekor singa betina merenung tajam ke mukanya. Dia jelas terkejut dan takut sebelum berlari dari kandang berkenaan dengan singa itu masih merenungnya di sebalik dinding kaca yang mengelilingi kandang itu. Kanak-kanak yang berusia antara tujuh atau lapan tahun itu kemudian meninggalkan tempat berkenaan dengan tersenyum. Singa itu pula kelihatan kecewa.

Ibu bapa kanak-kanak berkenaan memuatnaikkan video itu ke Internet dengan menggunakan lagu filem Jaws sebagai muzik latar.

Mereka juga menulis: “Harimau lapar? Ia kelihatan begitu berminat dengan anak saya. Mujur ada tembok kaca.” Ada yang mengulas, singa itu kelihatan lebih ‘berminat untuk berkawan’ daripada untuk membaham kanak-kanak berkenaan. 

sumber- DM

88 tahun nanti gambar kahwin

NANCHING: Tanya mana-mana pasangan yang sudah bertunang dan mereka akan menjawab majlis perkahwinan tidak akan lengkap tanpa gambar romantik bagi mengingati majlis berkenaan.

Sebahagian pasangan yang baru berkahwin akan mengambil gambar mereka selepas majlis itu. 

Tetapi bagi pasangan ini, mereka menanti hingga 88 tahun sebelum dapat merakam gambar paling istimewa dalam hidup mereka. 

Wu Conghan and Wu Sognshi
IMPIAN TERLAKSANA...Wu dan isteri, Sognshi.
Pasangan yang sudah menjangkau usia 100 tahun, Wu Conghan dan Wu Sognshi, berkahwin di wilayah Sichuan, China pada 1924.

Bagaimanapun, mereka tidak merakam gambar perkahwinan itu sehinggalah baru-baru ini.

Conghan, 101, dan Sognshi, 103, hidup bahagia bersama sejak 88 tahun lalu.

Mereka selalu mengimpi untuk merakamkan gambar kahwin mereka. 

Tetapi pasangan itu tidak mempunyai pilihan apabila melangsungkan perkahwinan mereka pada tahun berkenaan.

Impian mereka dijadikan realiti baru-baru ini oleh sebuah syarikat foto di Nanching, bandar tempat tinggal mereka. 

Seperti apa juga yang ada kaitan dengan majlis perkahwinan, pengantin perempuan mahu rakaman itu paling sempurna dan memastikan suaminya kelihatan paling segak denghan baju putih. 

sumber- DM

Pawagam beri ganti rugi

LONDON - Gara-gara menayangkan sedutan beberapa babak filem seram, sebuah pawagam dekat sini memohon maaf dan menawarkan tiket percuma sebagai ganti rugi kepada kanak-kanak yang menjadi sebahagian besar penonton filem di situ.

Insiden di Pawagam Vue, Reading dekat Berkshire semalam, berlaku ketika kanak-kanak itu sedang menunggu tayangan filem animasi Frankenweenie.

Kanak-kanak yang menjadi sebahagian besar penonton, tiba-tiba dikejutkan dengan sedutan babak filem seram sekali gus membuatkan mereka menangis ketakutan sambil keluar meninggalkan pawagam.

Paranormal Activity 4
Antara babak seram filem Paranormal Activity 4 yang ditayangkan kepada sebahagian besar penonton kanak-kanak di Pawagam Vue, Reading, semalam. - AGENSI
Bapa kepada seorang kanak-kanak, Ricky Purser berkata, kanak-kanak itu mula ketakutan selepas pihak pawagam menyiarkan sedutan babak filem Paranormal Activity 4 dan beberapa filem seram lain.

''Saya dihubungi penjaga kepada kanak-kanak lain mengenai insiden itu dan saya dapat mendengar tangisan anak saya.

''Sudah tentu saya amat marah dengan kejadian ini kerana kami akan mengalami masalah sukar untuk tidur selepas ini,'' katanya.

Sementara itu, jurucakap Vue mengesahkan dan mengakui kejadian itu berpunca akibat kesilapan teknikal.

Katanya, pihak pengurusan telah menemui kanak-kanak itu dan meminta maaf sambil memberikan tiket percuma kepada mereka sebagai ganti rugi. 

sumber- AGENSI

Lambaian beruang minta makanan

DUISBURG, Jerman - Kebiasaannya, pelanggan akan mengangkat tangan dan melambai ke arah pelayan di sesebuah restoran untuk meminta pesanan atau memerlukan sesuatu.

Namun, keadaan itu bukan sahaja dilakukan oleh manusia, malah, seekor beruang di Zoo Duisburg di sini, turut melakukan aksi yang sama untuk meminta makanan.

gambar beruang melambai tangan
Beruang yang diberi nama Huanca, melambaikan tangan seperti memanggil pelayan untuk meminta makanan di sebuah zoo di Jerman, baru-baru ini. - AGENSI
Beruang yang diberi nama sebagai Huanca itu akan mengangkat tangannya dan melambai ke arah penjaga zoo untuk meminta kacang sebaik sahaja bekalan makanannya habis.

Aksi menarik itu sempat dirakam oleh seorang jurugambar amatur dari Amerika Syarikat (AS), Rainer Paul, 56, baru-baru ini.

Dengan berdiri menggunakan dua kaki belakangnya, aksi beruang berusia lima tahun itu kelihatan sama seperti pelanggan memanggil pelayan di restoran.

"Huanca merupakan seekor beruang yang bijak kerana pandai menyesuaikan diri dan menjadi perhatian pengunjung.

"Beruang itu mempunyai sifat semula jadi yang istimewa," kata Paul. 

sumber- AGENSI

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...