Selamat Datang Ke blog-ketegaq.blogspot.com

Blog terbaik yang menyediakan pelbagai cerita dan artikel menarik dari seluruh dunia. Like kami di facebook tanda sokongan anda dan untuk mendapat update artikel terkini dari kami.

Isu Semasa

Artikel-artikel terkini mengenai isu semasa dalam dan luar negara. Segalanya dari sumber-sumber yang boleh dipercayai.

Pelik

Segala fakta dan artikel mengenai perkara-perkara yang pelik boleh diperolehi di sini. Semua artikel adalah berdasarkan sumber dan kesahihannya anda sendiri tentukan.

Herba Dan Botani

Artikel mengenai tumbuh-tumbuhan yang digunakan untuk perubatan dan penjagaan kesihatan.

Alam Ghaib

Himpunan artikel mengenai alam ghaib yang sukar diperjelaskan dengan mata kasar. Admin mengalukan sumbangan artikel, gambar-gambar atau video untuk dikongsi bersama dalam blog ini.

Thursday, October 4, 2012

Ugut ibu bapa, amuk sampai tertidur

Ugut ibu bapa, amuk sampai tertidur
Imran dipenjara 11 bulan dan didenda RM2,000 selepas mengaku mengugut bapanya di Mahkamah Majistret, di sini, semalam.
KUALA TERENGGANU - Seorang buruh bukan sahaja sanggup mengugut akan membunuh ibu kandungnya dengan kapak, malah dalam masa sama melakukan ugutan jenayah terhadap bapanya yang cuba memujuknya dalam satu kejadian amuk, awal September lalu di Kampung Padang Polis, Batu Rakit, di sini.

Bagaimanapun, perbuatan tertuduh, Imran Yaacub, 32, menerima pembalasan selepas Mahkamah Majistret, semalam menjatuhkan hukuman penjara 11 bulan dan denda RM2,500 atau sebulan lagi penjara jika gagal menjelaskan denda.

Majistret Noradila Ab Latiff menjatuhkan hukuman itu selepas Imran mengaku bersalah dengan sengaja melakukan ugutan jenayah terhadap bapanya, Yaacub Taib, 56, di kediaman mereka di Kampung Padang Polis, Batu Rakit, di sini, 2 September lalu kira-kira jam 11 pagi.

Dia mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa, Inspektor L Rathna manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, setibanya di rumah selepas mendapatkan pemeriksaan kesihatan di Klinik Wakaf Tengah, Batu Rakit, di sini, bapa malang itu nampak anaknya sedang mengamuk sambil tangannya memegang sebilah kapak serta berulang kali menyatakan akan membunuh ibunya yang ketika itu berada di rumah bersendirian.

Melihatkan situasi tegang itu, mangsa cuba memujuk anaknya jangan bertindak sedemikian, namun pujukan mangsa tidak 'menjadi' sebaliknya anaknya turut sanggup mengugut akan mengapa-apakan dirinya jika masuk campur.

Bagaimanapun, mungkin penat mengamuk, tertuduh kemudiannya tertidur di bawah rumahnya kira-kira jam 11.45 pagi sebelum ditangkap polis yang dimaklumkan orang ramai mengenai kejadian itu.

sumber- Sinar

Lagi kes bayi maut tersedak susu

Ho Zi Xin
Mayat Zi Xin dibawa masuk ke dalam van oleh pengurus pengebumian untuk dibawa ke rumahnya di Menglembu.
IPOH - Tidak sampai 24 jam insiden tersedak susu yang meragut nyawa seorang bayi berusia sebulan di Taman Perling, Johor, kejadian yang sama turut menimpa seorang bayi perempuan di Taman Rishah, Menglembu, di sini, awal pagi semalam.

Ho Zi Xin, yang baru berusia dua bulan, disahkan meninggal dunia oleh doktor sebaik tiba di Hospital Pakar Ipoh (KPJ-ISH) untuk mendapatkan rawatan.

Seorang anggota keluarga yang enggan dikenali berkata, kejadian itu hanya disedari ibunya kira-kira jam 1 pagi semalam selepas melihat wajah mangsa berubah menjadi pucat dan tidak bergerak selepas diberi minum susu menggunakan botol.

“Sejurus melihat Zi Xin dalam keadaan tidak sedarkan diri, mereka segera membawanya ke unit kecemasan KPJ-ISH untuk mendapatkan rawatan namun disahkan meninggal dunia beberapa minit selepas itu.

“Mayat mangsa kemudiannya dipindahkan ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat,” katanya ketika ditemui, semalam.

Menurutnya, setiap hari Zi Xin dihantar kepada pengasuh berhampiran rumah mereka pada waktu siang memandangkan ibu bapa bayi itu bekerja.

“Pada sebelah malam, mereka akan membawanya pulang ke rumah dan menjaga anak bongsu daripada empat adik beradik itu. Ia adalah rutin harian mereka pada hari bekerja,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian ke pekarangan Jabatan Forensik HRPB mendapati bapa mangsa berada dalam keadaan sedih dan enggan ditemu bual.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

Katanya, laporan bedah siasat pihak hospital mengesahkan bayi itu maut disebabkan susu yang diminumnya memasuki paru-paru ketika sedang tidur sehingga menyekat saluran pernafasan.

“Siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah atau kecuaian ditemui pada mangsa dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

sumber- Sinar

Promo foto, FB mahu anda bayar fi

Promo foto, FB mahu anda bayar fi
Komponen Promote yang sedang diuji Facebook bagi membolehkan pengguna membayar ke atas foto atau pengumuman pada 'newsfeed' rakan-rakan mereka. - Foto ihsan CNN
NEW YORK - Lebih lima bulan selepas disenaraikan, Facebook Incorporation  mengumumkan langkah mengenakan fi ke atas penggunanya yang mahu mempromosikan foto atau pengumuman masing-masing menerusi laman sosial.

Facebook mengambil langkah itu untuk menambah pendapatannya.

Komponen baru yang dikenali "Promote" diumumkan semalam.

Ia diperkenalkan kepada sekumpulan kecil pengguna Facebook di Amerika Syarikat (AS).

Berdasarkan laporan semalam, Facebook telah membuat kajian ke atas sebilangan pengguna terhad laman sosial berkenaan dengan menawarkan ciri aplikasi baru bagi memastikan komen atau gambar yang dikongsi bersama ahli Facebook mengeluarkan fi pada 'newsfeed' rakan-rakan mereka.

“Apabila anda mempromosikan sesuatu pada laman sosial anda, sama ada gambar perkahwinan, jualan garaj atau berita yang besar, ia akan terletak dalam news feed teratas supaya rakan-rakan dan pelanggan anda menyedarinya,” umum Facebook menerusi blog rasminya.

Difahamkan Facebook juga sedang mempertimbangkan fi yang setimpal bagi kemudahan aplikasi berkenaan.

Menurut jurucakap laman berkenaan, harga ujian yang dikenakan ke atas pengguna mereka di AS ialah AS$7 (RM21).

Ia adalah usaha terbaru Facebook untuk bereksperimen dengan cara-cara baru untuk menambah pendapat selain menyediakan ruang iklan yang menyumbang kira-kira 84 peratus perolehan syarikat dalam suku kedua tahun ini.

Facebook juga memperoleh 30 peratus daripada pembelian barang-barang maya oleh pengguna yang bermain Farmville Zynga (ZNGA.O) dan permainan maya lain di laman sosial terbabit.

Ekoran penurun perolehan yang  mendadak pada sukuterkahir tahun ini, banyak pelabur dan penganalisis percaya,  Facebook  perlu mencari cara baru untuk menambah pendapatan.

Minggu lepas, Facebook mengumumkan ciri-ciri yang boleh digunakan pengguna AS untuk membeli dan menghantar hadiah sebenar seperti cermin mata, pastry dan kad-kad hadiah kepada rakan mereka.

Meskipun setakat ini hanya pengguna terhad sahaja yang mempunyai akses kepada aplikasi berkenaan, Facebook Gifts memberikan isyarat syarikat berkenaan akan memainkan peranan yang lebih besar dalam e-dagang.

Facebook satu-satunya laman sosial yang mempunyai 955,000,000 pengguna yang akan kekal percuma, kata juru cakapnya, Jonathan Thaw. 

sumber- Sinar

Ratusan ribu pekerja di Indonesia adakan mogok sehari

Ratusan ribu pekerja di Indonesia adakan mogok sehari

JAKARTA - Ratusan ribu pekerja di seluruh Indonesia mengadakan mogok sehari pada Rabu bagi menuntut upah lebih tinggi dan membantah pengambilan pekerja secara kontrak di bawah sistem 'outsourcing' (penyumberan luar).

Mereka mengadakan demonstrasi serentak di beberapa tempat penting di seluruh negara bagi menyokong tuntutan itu.

Dalam mogok nasional yang digerakkan Persekutuan Kesatuan Sekerja Indonesia (KSPI) itu, pekerja menyenaraikan tiga tuntutan kepada kerajaan iaitu menghentikan sistem perkhidmatan kerja secara kontrak, menaikkan upah pekerja dan memberi jaminan kesihatan kepada pekerja.

Mereka turut mengancam untuk mengadakan demonstrasi lebih besar jika tuntutan terbabit tidak dipenuhi.

Tindakan mogok dan beberapa tunjuk perasaan itu yang bermula pukul 7 pagi hingga 4 petang,turut mengakibatkan kesesakan lalu lintas di beberapa kawasan di Indonesia sehingga ada kawasan yang lumpuh sama sekali.

Timbalan Ketua Gabungan Pengusaha Makanan dan Minuman Indonesia Yusuf Hadi dilapor berkata bahawa industri makanan dan minuman Indonesia mengalami kerugian berpuluh juta rupiah akibat demonstrasi dan mogok nasional hari ini.

Media tempatan melaporkan sebelum ini bahawa lebih dua juta pekerja akan mengambil bahagian dalam mogok nasional pada hari ini, dengan sejumlah 23,000 orang akan bertumpu di Jakarta dan beberapa bandar di sekitarnya.

Polis Kontinjen Jakarta pada hari ini menyediakan 15,000 anggota keselamatan termasuk dari Tentera Nasional Indonesia, bagi mengawal keadaan di kawasan ibu negara dan bandar sekitarnya berikutan mogok nasional itu.

Sementara itu, Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono yang prihatin dengan aspirasi pekerja, meminta Menteri Tenaga Kerja dan Transmigrasi Muhaimin Iskandar menyelesaikan segera isu 'outsourcing' dengan melibatkan kesatuan sekerja dan majikan.

Jurucakap Presiden, Julian Aldrin Pasha berkata Yudhoyono menasihatkan pekerja berkenaan supaya tertib dalam demonstrasi tidak terpengaruh untuk melakukan tindakan yang menjurus anarki. 

Beliau juga berpesan agar tindakan mereka pada hari ini tidak mengganggu proses pengeluaran di kilang-kilang kerana perbuatan itu boleh mengganggu ekonomi negara.

Mengenai isu jaminan kesihatan, Julian berkata perkara itu sedang ditangani melalui  Undang Undang Tentang Badan Penyelenggara Jaminan Sosial dan Undang Undang Tentang Sistem Jaminan Sosial.

Badan Penyelenggara Jaminan Sosial (BPJS) akan berkuat kuasa pada 1 Jan 2014 manakala BPJS bidang tenaga kerja pada 1 Jun 2015, katanya.
  
sumber- Bernama

Puluhan penuntut kolej mati ditembak

Puluhan penuntut kolej mati ditembak
Pasukan perubatan membawa mangsa cedera keluar dari kawasan kejadian selepas serangan
ABUJA - Satu perintah berkurung dikeluarkan selepas puluhan penuntut kolej tempatan dibunuh oleh sekumpulan penyerang di bandar Mubi, Adamawa timur laut Nigeria.

Jurucakap polis Adamawa, Ibrahim Muhammad berkata, seramai 25 lelaki ditemui mati termasuk 19 penuntut Kolej Politeknik Persekutuan Mubi (KPPM), tiga penuntut kolej berlainan, seorang bekas askar, seorang pengawal keselamatan dan seorang lelaki tua.

Menurut polis, serangan kejam itu dipercayai berlaku di antara jam 10 pagi (waktu tempatan) pada Isnin dan 3 pagi kelmarin, di tempat penginapan pelajar luar kampus (KPPM).

Pihak berkuasa juga tidak dapat memastikan sama ada serangan dilakukan oleh pemberontak Boko Haram atau ianya tercetus disebabkan pertikaian di antara kumpulan-kumpulan politik berasingan di kolej tersebut.

"Polis percaya jika insiden ini bukan disebabkan oleh serangan Boko Haram, pasti ianya berkaitan dengan pilihan raya kolej yang berlangsung baru-baru ini kerana salah seorang mangsa yang dibunuh merupakan calon dalam pilihan raya kampus," kata Muhammad.

Seorang saksi yang turut cedera dalam kejadian itu, Mohammed Awal memberitahu beberapa penyerang dilihat masuk ke beberapa buah bilik, kemudian membunuh seorang demi seorang.

"Beberapa orang ditembak sampai mati ketika sedang tidur dan ada yang dicederakan menggunakan parang," katanya.  

sumber- Al-Jazeera

Rumah penduduk Palestin dijadikan berek

tentera Israel yang zalim
Tentera Israel sengaja merampas rumah masyarakat Palestin kemudian menjadikannya sebagai berek.
HEBRON  -  Sekumpulan tentera Israel bertindak merampas sebuah rumah penduduk Palestin di Al-Baqa'a, timur Hebron dan menjadikannya sebagai berek tentera, kelmarin.

Dalam kejadian itu, tentera rejim memaksa semua penghuni bangunan itu berpindah ke tingkat satu sebelum menahan mereka di dalam rumah.

Pemilik bangunan dua tingkat, Salim Al-Salayma berkata, rumahnya sering dijadikan berek tentera semasa musim percutian masyarakat Yahudi sejak empat tahun lalu dan menghuni bangunan itu selama 22 hari.

"Tentera Israel merampas rumah saya petang semalam (kelmarin) dan menjadikan rumah ini sebagai berek tentera," katanya.

Salayma berkata, dia turut dipaksa menandatangani satu perjanjian yang ditulis dalam bahasa Ibrani.

sumber- PNN

Mike Tyson dilarang ke New Zealand

Mike Tyson
Mike Tyson
WELLINGTON - Kerajaan New Zealand menyekat kemasukan bekas juara tinju heavyweight, Mike Tyson ke negara itu kerana bersabit kesalahan merogol dan bukannya disebabkan tatu.

Tyson pada asalnya diberikan visa oleh Perdana Menteri, John Key untuk melawat negara itu pada November bagi menghadiri majlis amal.

Namun, Menteri Imigresen, Kate Wilkinson berkata, visa itu dibatalkan selepas penaja, Amanah Hayat Pendidikan, membuat kenyataan enggan terbabit dengan lawatan Tyson.

“Disebabkan Tabung Amanah tidak menyokong acara itu, saya membuat keputusan membatalkan visa beliau," katanya.

Sementara itu, Tyson berasa kesal dengan tindakan terbabit kerana segala persiapan telah dilakukan, termasuk membuat tatu masyarakat Maori di wajahnya. 

sumber- AFP

Kasanova terlibat kes pemerkosaan, kikis duit wanita ditangkap

 hotel di Jalan Ipoh
Di sebuah bilik hotel di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur inilah seorang kasanova dari Kelantan ditangkap kelmarin.
KUALA LUMPUR – Seorang kasanova memperalatkan rupa paras dan kata-kata manis dimilikinya bagi memperdaya wanita untuk membolehkannya menampung kehidupan sebagai penganggur selama berbulan-bulan.

Lebih malang mangsa-mangsa yang tergoda dengan penampilan fizikal lelaki berusia 32 tahun itu sanggup melakukan hubungan seks dengan suspek.

Aksi ranjang antara mangsa dan suspek itu pula dirakam menggunakan telefon bimbit lelaki itu.

Suspek kemudian turut menjadikan rakaman itu sebagai alat memeras ugut setiap mangsa bagi mendapat duit dengan cara mudah.

Bagaimanapun, tembelang kasanova dari Ketereh, Kelantan itu terbongkar apabila seorang model berusia 31 tahun membuat laporan polis pada 29 September lalu mendakwa dia dirogol dan ditipu suspek.

sumber- Kosmo

Maut jatuh tingkat empat

Maut jatuh tingkat empat
Mangsa menemui maut selepas terjatuh dari tingkat empat.
JOHOR BAHRU – Seorang remaja maut selepas terjatuh dari tingkat empat sebuah bangunan institusi pengajian tinggi (IPT), di sini dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang, kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintendan Beh Eng Lai berkata, mangsa yang berumur 16 tahun bersama dua rakannya sedang membuat pemasangan alat penghawa dingin di bangunan berkenaan.

Menurutnya, mangsa yang merupakan pekerja teknikal pada mulanya mengadu sakit kepala sebelum disedari rakan terjatuh dari tingkat empat bangunan tersebut.

“Rakan mangsa menyuruhnya berehat selepas mengadu sakit kepala sementara rakannya meneruskan kerja pemasangan alat penghawa dingin di bangunan itu.

“Bagaimanapun sebaik rakannya menoleh, dia mendapati mangsa telah tiada dan ditemui terbaring di tingkat bawah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini, semalam.

Eng Lai berkata, mangsa telah dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk mendapatkan rawatan kecemasan, tetapi menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 12.45 petang, semalam.

Menurutnya, hasil siasatan dan bedah siasat yang dijalankan mengesahkan kematian mangsa yang beralamat di Tampoi itu tidak melibatkan sebarang unsur jenayah.

“Hasil bedah siasat yang dijalankan menunjukkan punca kematian mangsa disebabkan kecederaan parah di bahagian kepala dan tidak melibatkan unsur jenayah.

“Mayat mangsa telah dituntut keluarga petang tadi (semalam) untuk urusan pengebumian,” katanya.

sumber- Sinar

Janda tomboy berasmara di hotel murah

janda kena tangkap basah
Ibu tunggal beranak satu dan pasangannya yang ditahan Penguat kuasa syariah di sebuah hotel murah di Kuala Dungun.
KUALA DUNGUN - Tindakan seorang janda berpakaian ala ‘tomboy’ memadu asmara bersama teman lelaki dengan menjadikan bilik hotel murah sebagai port untuk melepaskan nafsu membawa padah apabila mereka dicekup pihak berkuasa, dekat sini, awal pagi kelmarin.

Wanita terbabit yang difahamkan mempunyai seorang anak hasil perkongsian hidup bersama bekas suami bagaimanapun dipercayai cuba mengaburi pihak berkuasa dengan mendakwa dia berasal dari Kuala Lumpur.

Namun, siasatan lanjut oleh pegawai penguat kuasa syariah mendapati, dia sebenarnya berasal dari Kampung Padang Jambu dan dipercayai mempunyai hubungan sulit dengan teman lelakinya yang bekerja sebagai buruh, masih bujang dan kini menetap di Tanah Lot.

Pasangan berkenaan dibawa ke Pejabat Agama Dungun untuk diambil keterangan sebelum diikat jamin ahli keluarga.

Mereka akan dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Dungun pada 5 November atas dakwaan khalwat mengikut Seksyen 31(a) (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Negeri Terengganu 2001.

Jika sabit kesalahan, pasangan itu yang masing-masing berumur 30 dan 40-an itu boleh dikenakan denda maksimum RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

sumber- Sinar

Warga emas nyaris maut kereta terbabas ke laut

kereta terbabas ke laut

PORTLAND: Seorang wanita warga emas terselamat daripada maut selepas sekumpulan orang tidak dikenali mengharung ombak menyelamatkannya yang terperangkap dalam kereta di laut.

Media melaporkan, Ursula Nixon, 84, gagal mengawal kereta Nissan dipandunya menyebabkan dia merempuh dua pagar dan terhumban ke laut di Maine. Seorang daripada penyelamat itu, Michael Weill, berkata kejadian itu berlaku amat pantas. Katie Nelson pula adalah individu pertama masuk ke air dan memanjat bumbung kereta yang tenggelam itu sebelum menarik Ursula keluar melalui tingkap. Katanya, Ursula ketakutan ketika itu.

“Saya memperkenalkan diri dan menarik tangannya keluar dari situ secepat mungkin,” katanya. Ursula juga bernasib baik kerana ketika kejadian, dua polis bersama sekumpulan anggota bomba berada berhampiran tempat kejadian kerana menjalani latihan menyelamat. 

sumber- AP

Pengantin diarah bekerja pada hari perkahwinan

Zhang Yu

QINGDAO: Majlis perkahwinan seorang wanita terjejas pada hari perkahwinannya selepas dia diarah mengendalikan pondok tol beberapa jam sebelum majlis itu.

Zhang Yu, pengurus di pusat tol lebuh raya di Qingdao, wilayah Shandong di timur China, merancang bercuti seminggu untuk melangsungkan perkahwinannya.

Bagaimanapun, majikannya membatalkan semua cuti apabila jalan raya di seluruh China sesak dengan berjuta-juta pemandu pulang ke kampung halaman masing-masing minggu lalu sempena cuti Festival Bulan.

Zhang Yu terpaksa mengendalikan pondok tol itu dan pada masa sama, berjaya melangsungkan perkahwinan ketika waktu rehat makan tengah hari apabila rombongan kereta perkahwinannya melalui tol itu.

“Ia minggu yang sukar untuk semua orang. Saya tidak boleh mengecewakan majikan saya,” katanya. 

sumber- DM

Tragedi cerita seram pertama

Tragedi cerita seram pertama
PILU...ahli keluarga mangsa tidak dapat menahan kesedihan. Gambar kecil, S Kavi Arasu.
KUALA LUMPUR: Kegembiraan seorang lelaki menonton cerita seram buat kali pertama dalam hidupnya bertukar tragedi apabila maut dalam kemalangan di Kilometer 5.3, Lebuhraya Kuala Lumpur- Seremban arah Sungai Besi berhampiran Desa Petaling, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 5 pagi itu, mangsa yang juga pembonceng motosikal, S Kavi Arasu, 21, maut di tempat kejadian kerana parah di kepala selepas tercampak ke tebing jalan manakala penunggang motosikal terbabit yang identiti belum dikenali cedera parah.

Seorang saksi kejadian berkata, motosikal yang dinaiki Kavi bersama rakannya itu terbabas selepas dihimpit sebuah lori yang meninggalkan lokasi sebaik menyedari kedua-dua mangsa terjatuh.

Menurut sepupu mangsa yang dikenali sebagai Ammu, 21, sebelum kejadian itu, mendiang menghubunginya memberitahu baru selesai menonton sebuah drama seram.

“Mendiang memberitahu saya dia sudah dewasa dan bukan lagi seorang yang penakut kerana berjaya menonton cerita seram itu. Sebelum ini, mendiang langsung tidak menonton cerita seram.

“Saya tidak sangka kata-kata dan tindakannya itu tanda mendiang pergi selama-lamanya,” katanya yang ditemui di tempat kejadian.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan di Kilometer 9, Lebuh raya Damansara Puchong (LDP) arah Petaling Jaya, seorang penunggang motosikal maut selepas digilis sebuah kereta yang tidak sempat mengelak.

Kejadian jam 7 pagi itu berlaku apabila mangsa, Mohd Nor Azam Idris, 42, terjatuh daripada motosikal sebelum sebuah kereta yang mengekori merempuh dan mengheretnya kira-kira 10 meter.

Mayat mangsa yang tersepit di bawah kereta terpaksa dikeluarkan dengan bantuan anggota bomba dan penyelamat sebelum dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk bedah siasat.

sumber- HMetro

CEO Yahoo! dapat anak lelaki

Marissa Mayer
Marissa Mayer
KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) Yahoo!, Marissa Mayer selamat melahirkan seorang cahaya mata lelaki kelmarin.

Berita gembira itu dikongsi oleh suaminya, Zachary Bogue dalam laman Twitternya dengan menulis, “anak lelaki selamat dilahirkan malam tadi (1 Oktober)."

"Kedua-dua ibu dan anak dalam keadaan baik, dan kami sangat teruja dengan kelahirannya," katanya.
Menurut jurucakapnya, Anne Espiritu, setakat ini Mayer dan suaminya masih belum memberikan nama kepada anak mereka.

Pasangan Mayer dan Bogue telah berkahwin pada 2009.

Tidak lama selepas dilantik memegang jawatan tertinggi firma Internet itu pada Julai lalu, Mayer mengumumkan bahawa dia hamil enam bulan.

Sementara itu, menurut Espiritu, Mayer bakal kembali mengetuai perjalanan syarikat itu selepas dua minggu berehat di rumah.  

Mayer, 37, yang merupakan jurutera serta bekas Eksekutif pesaing Yahoo!, Google, telah tersenarai di tangga ke-14 sebagai 50 Wanita Paling Berkuasa dalam Perniagaan dalam keluran terbaru majalah Fortune yang mana dia menjadi penghias muka hadapan majalah itu.

sumber- Sinar

Dr Rozmey digantung Majlis Perubatan tidak mahu rayu

Dr Rozmey
Datuk Dr Che Rozmey Che Din yang juga pengeluar formula menurunkan berat badan pada sidang media di pejabatnya di sini hari ini.- Foto Bernama
JITRA - Pengasas syarikat Herba Marketing Sdn Bhd., Datuk Dr Che Rozmey Che Din hari ini akur dengan keputusan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) menggantung keahliannya selama dua tahun berkuatkuasa 14 Mac lepas kerana melanggar Kod Etika Profesional di bawah Akta Perubatan 1971.

Pengeluar dan pencipta formula pelbagai produk kesihatan, pelangsingan badan kecantikan itu berkata beliau tidak akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan tersebut kerana tidak lagi bertugas sebagai pakar sakit puan sejak 2008.

"Saya telah meninggalkan kerjaya sebagai pengamal perubatan sejak 2008 lagi dan menumpukan kerjaya sebagai usahawan. Kes ini dibangkitkan pada 2009 dan hukuman telah berjalan sehingga 2014," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, hari ini.

Beliau berkata beliau tidak menyalahkan MMC mengenai perkara tersebut kerana beliau tidak melakukan kesalahan dalam bidang perubatan dan hanya melanggar etika sahaja.

Semalam, Presiden MMC Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman, yang juga Ketua Pengarah Kesihatan, dalam kenyataan berkata inkuiri pada 16 Jan lepas mendapati Dr Rozmey bersalah atas pertuduhan terlibat dalam penjualan bahan didakwa mampu menurunkan berat badan, membungkus serta menyimpan bahan berkenaan, yang melanggar Seksyen 3.4 kod itu.

Beliau berkata Dr Rozmey juga didapati bersalah mengiklan diri sendiri, sama ada secara langsung atau tidak langsung, bagi tujuan mempromosi kelebihan sendiri serta membabitkan diri dengan perusahaan komersial yang melanggar Bahagian 4.1 dan 3.4 Kod Etika Profesional.

Bagaimanapun, Dr Hasan berkata Dr Rozmey tidak menggunakan haknya untuk merayu ke Mahkamah Tinggi seperti diperuntuk oleh Akta Perubatan 1971.

Dr Rozmey berkata beliau akur dengan tindakan disiplin itu namun mempertahankan tindakannya untuk memperkenalkan diri dalam iklan produk kesihatan sebagai usahawan.

Beliau berkata tindakan MMC terhadapnya itu tidak akan mengganggu perniagaannya kerana semua produk keluaran syarikatnya selamat dan berkesan serta mengikut peraturan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan melalui Jabatan Farmasi dan Pemakanan.

Beliau berkata hasil kejayaan formula baru produknya telah membolehkan keluarannya berjaya menembusi pasaran luar negara seperti Indonesia, Qatar dan Dubai di Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

sumber- Bernama

Surat tulisan tangan Einstein dilelong

surat Albert Einstein
SURAT yang mengandungi tulisan tangan Einstein.
NEW YORK - Sepucuk surat tulisan tangan ahli fizik terkenal, Albert Einstein akan dilelong pada bulan ini dengan harga pembukaan AS$3 juta (RM9.17 juta), kata sebuah firma lelongan Auction Cause kelmarin.

Surat yang menyatakan pandangan Einstein tentang agama itu akan dilelong di laman eBay.

Einstein menulis surat tersebut setahun sebelum kematiannya.

Beliau menulis surat itu di Jerman pada 3 Januari 1954 dengan menggunakan kepala surat Universiti Princeton kepada seorang ahli falsafah, Erik Gutkind.

Pemilik surat itu akan turut melelong sampul surat yang mengandungi setem dan cop pos.

Surat tersebut dibeli oleh seorang pemilik pada 2008 dengan harga AS$404,000 (RM1.2 juta) daripada firma lelongan Bloomsbury di London.

Einstein dilahirkan pada 14 Mac 1879 di Ulm, Württemberg, Jerman dan meninggal dunia pada 18 April 1955 ketika berusia 76 tahun di Amerika Syarikat. 

sumber- Agensi

Aksi terbaru David Blaine

Electrified: One Million Volts Always On
AHLI silap mata, David Blaine melakukan demonstrasi persembahan berbahaya terbaharunya, Electrified pada satu sidang akhbar di New York kelmarin.
NEW YORK - Ahli silap mata Amerika Syarikat, David Blaine meluangkan masa beberapa jam menjelang aksi lagak ngeri terbaharunya dengan menyepikan diri dan berpuasa.

Ini kerana bermula esok, Blaine akan berdiri selama tiga hari di tengah beberapa lingkaran yang mengeluarkan tenaga elektrik berkuasa tinggi mencecah satu juta volt.

Aksi tersebut yang dinamakan Electrified: One Million Volts Always On, akan berlangsung di Pier 54, di tebing sebatang sungai di sini.

Dia akan memakai sebuah topi keledar berwayar bagi melindungi telinga dan matanya. 

sumber- Agensi

Psy buat konsert percuma

Gangnam Style
PSY menari tarian kuda di sebuah stadium di Seoul kelmarin.
SEOUL - Lebih 8,000 orang peminat menyaksikan konsert percuma Psy yang terkenal dengan tarian kuda di sebuah stadium di sini kelmarin, lapor portal berita ITN semalam.

Psy atau nama sebenarnya Park Jai-sang menjadi fenomena global apabila muzik video Gangnam Style yang menunjukkan dia menari tarian kuda itu dilihat oleh lebih 300 juta kali di laman YouTube sejak dimuat naik pada 15 Julai lalu.

Portal hiburan KpopStarz melaporkan, konsert tersebut adalah yang pertama buat Psy dalam tempoh dua bulan.

Menurut Psy, sebelum ini dia banyak membuat persembahan di luar negara.

Konsert itu diadakan secara percuma bagi menghargai sokongan para peminatnya.

Sementara itu, Psy, 34, menyatakan darah beku berlaku pada kedua-dua kakinya selepas dia menari tarian kuda pada konsert yang berlangsung selama tiga jam.

Menurutnya, dia menggunakan rawatan akupunktur yang menggunakan 40 batang jarum yang cucuk di kakinya itu. 

sumber- Agensi

Anjing tersepit di celah bampar kereta

nasib anjing yang malang
SEORANG pegawai sebuah pusat perlindungan haiwan mengeluarkan seekor anjing yang tersepit di celah bampar kereta di Providence Timur pada 20 September lalu.
TAUNTON, Massachusetts - Pihak berkuasa menyatakan, seekor anjing ditemui masih hidup walaupun ia tersepit pada bampar sebuah kereta di sini pada 20 September lalu.

Haiwan itu tersepit selepas ia dilanggar kereta tersebut.

Anjing tersebut tersepit semasa kereta berkenaan bergerak sejauh 17 kilometer.

Penyelia sebuah pusat perlindungan haiwan, William Mugle berkata, anjing betina itu berlari di depan kereta tersebut sebelum ia dilanggar.

Pemandu itu kemudian menekan brek tetapi dia tidak menyedari anjing berkenaan.

Muggle memberitahu akhbar Taunton Daily Gazette, kejadian itu hanya disedari apabila pemandu itu tiba di Providence Timur, Pulau Rhode.

Dia berkata, pemandu itu melihat anjing tersebut tersepit selepas seorang pemandu lain memberitahunya.

Pemandu kereta itu membuat laporan di sebuah balai polis berhubung kejadian tersebut.

Beberapa pegawai pusat perlindungan haiwan itu kemudian bertindak mengeluarkan anjing berbulu putih tersebut dari celah bampar kereta.

Pihak berkuasa kini mencari pemilik anjing itu. 

sumber- AP

Buaya gergasi kembali lapar

buaya besar di Australia
REX mengunyah daging lembu.
SYDNEY, Australia - Seekor buaya yang bernama Rex dan mempunyai berat 700 kilogram semalam kembali 'berselera' untuk makan di Zoo Sydney di sini.

Buaya itu selama ini tidak memakan sebarang makanan selama tiga bulan ketika musim sejuk.

Ia dianggap sebagai kejadian semula jadi yang berlaku ke atas haiwan itu.

Seorang kakitangan zoo memberikan buaya itu daging lembu.

Daging itu diikat dengan tali pada sebatang kayu sebelum Rex timbul di permukaan air untuk memakan daging tersebut.

Haiwan itu kembali lapar semasa ketibaan musim panas.

Buaya tersebut sudah berada di zoo itu sejak 2009.

Sebelum dihantar ke zoo itu, Rex ditempatkan di sebuah kolam buaya dekat Darwin, utara Australia. 

sumber- Agensi

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...