Selamat Datang Ke blog-ketegaq.blogspot.com

Blog terbaik yang menyediakan pelbagai cerita dan artikel menarik dari seluruh dunia. Like kami di facebook tanda sokongan anda dan untuk mendapat update artikel terkini dari kami.

Isu Semasa

Artikel-artikel terkini mengenai isu semasa dalam dan luar negara. Segalanya dari sumber-sumber yang boleh dipercayai.

Pelik

Segala fakta dan artikel mengenai perkara-perkara yang pelik boleh diperolehi di sini. Semua artikel adalah berdasarkan sumber dan kesahihannya anda sendiri tentukan.

Herba Dan Botani

Artikel mengenai tumbuh-tumbuhan yang digunakan untuk perubatan dan penjagaan kesihatan.

Alam Ghaib

Himpunan artikel mengenai alam ghaib yang sukar diperjelaskan dengan mata kasar. Admin mengalukan sumbangan artikel, gambar-gambar atau video untuk dikongsi bersama dalam blog ini.

Wednesday, September 19, 2012

Robert Pattinson & Kristen Stewart kembali bersama

Robert Pattinson & Kristen Stewart
Robert Pattinson & Kristen Stewart
Setelah menyedari mereka tidak boleh hidup diantara satu sama lain, akhirnya bintang “Twilight”, Robert Pattinson telah mengambil keputusan untuk memaafkan kekasihnya, Kristen Stewart dengan memberinya peluang kedua, dan mahu kembali menjalin hubungan dengan Kristen.

Menurut satu sumber, aktor berusia 26 tahun itu mengambil keputusan memaafkan Kristen selepas menyedari dia tidak mampu hidup tanpa kekasihnya itu.

“Nampaknya mereka seperti tidak boleh berpisah antara satu sama lain,” kata sumber tersebut kepada The Sun.

Sebelum ini, Pattinson bertindak menjual rumah kenangannya bersama Kristen selepas kecewa dengan kecurangan yang dilakukan kekasihnya itu bersama pengarah filem “Snow White and the Huntsman”, Rupert Sanders.

“Robert dapat melihat betapa kesalnya Kristen dengan kecurangan yang dilakukannya, dan Rob memaafkannya. Mereka saling mencintai antara satu sama lain, dan kini mereka kembali sebagai pasangan kekasih,” tambah sumber itu lagi.

Pasangan ini dikatakan bakal muncul bersama di karpet merah pada tayangan perdana “The Twilight Saga : Breaking Dawn Part 2”.

sumber- Tupai

Fesyen terbaru Gaga

Lady Gaga
Lady Gaga
Selebriti Hollywood yang terkenal dengan fesyen pelik ini tampil dengan gaya terbaru ketika menghadiri acara, London Fashion Show, Isnin lalu. 

Seakan berhijab, Gaga mengenakan kain jenis satin yang menutup wajahnya.

Jika dilihat secara keseluruhan, ia tak ubah seperti kain cadar yang membaluti tubuhnya. Di tambah pula dengan aksesori bulu haiwan.

Penyanyi ... nampaknya tak pernah kalah dalam mencuri perhatian umum. Pelik, tapi itulah Lady Gaga!

sumber- Sinar

Warga Afrika cedera parah terjatuh dari tingkat tiga

Warga Afrika cedera parah terjatuh dari tingkat tiga
Lelaki warganegara Afrika cedera parah setelah terjatuh dari tingkat tiga salah sebuah blok bangunan Apartment Sri Jasmin, Mantin. - Foto Bernama
NILAI - Seorang lelaki warganegara Afrika cedera parah setelah terjatuh dari tingkat tiga salah sebuah blok bangunan apartment Sri Jasmin, Mantin dekat sini ketika cuba melarikan diri dalam satu operasi Jabatan Imigresen Negeri Sembilan tengah hari tadi.

Pengarah Jabatan Imigresen Negeri Sembilan Faizal Fazri Othman berkata ketika serbuan dibuat pada kira-kira 12 tengah hari, dia cuba melarikan diri tetapi kakinya tersangkut dan jatuh ke tanah.

"Lelaki itu yang berumur 30-an mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban oleh sebuah ambulans dari Klinik Kesihatan Mantin.

Keadaannya bagaimanapun dilaporkan stabil," katanya kepada pemberita di sini.

Operasi empat jam bermula 11 pagi itu membabitkan 52 pegawai dan anggota Jabatan Imigresen Negeri Sembilan.

Warga Afrika cedera parah terjatuh dari tingkat tiga
Pegawai Jabatan Imigresen sedang menahan sebahagian dari warganegara Afrika dalam satu operasi Jabatan Imigresen Negeri Sembilan di Apartment Sri Jasmin, Mantin. - Foto Bernama
Katanya 52 lelaki dan tujuh wanita membabitkan warganegara Afrika pelbagai negara kecuali seorang wanita warga Thailand ditahan dalam operasi itu.

Katanya kesemua mereka yang ditahan berumur antara 20 dan 40 tahun dan kebanyakannya tidak memiliki dokumen perjalanan sah, tinggal lebih masa serta menyalah guna pas lawatan sosial mereka.

Kesemua mereka dihantar ke Depot Tahanan Imigresen Lenggeng untuk tindakan lanjut.

"Ops 6P itu bertujuan mengesan pelajar warga Afrika yang didapati tidak menghadiri kelas. Kita tahan mereka untuk siasatan lanjut kerana kita hendak tahu sama ada pihak kolej akan membuat tuntutan atau pun tidak.

"Hasil tangkapan kita temui ramai warga Afrika yang mempunyai pas pelajar dan mereka ini didapati belajar di kolej dan pusat pengajian di luar negeri ini," katanya. 

sumber- Bernama

Majalah Perancis siar kartun Nabi, Islam tambah marah

Majalah Perancis siar kartun Nabi
Umat Islam Indonesia melaungkan slogan ketika mengadakan protes di luar Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Jakarta, Indonesia, hari ini. – Foto EPA
PARIS - Sementara protes berhubung filem Innocense of Muslims masuk minggu kedua, sebuah majalah satira Perancis, Charlie Hebdo pula menerbitkan karikatur Nabi Muhammad SAW hari ini  sehingga membawa kepada kritikan pihak berkuasa negara itu dan menambah kemarahan umat Islam.

Perkembangan itu menyebabkan polis rusuhan terpaksa dikerah untuk melindungi pejabat majalah tersebut.

Muka depan majalah terbabit yang menunjukkan Yahudi Ortodoks menolak serban seorang individu  yang digambarkan sebagai Nabi Muhammad, malah beberapa gambar didalam majalah tersebut turut diletakkan termasuk gambar bogel.

Editor majalah itu berkata pihaknya "akan mengejutkan" mereka yang mahu dikejutkan.

Majalah tersebut dikeluarkan ketika bantahan yang meruncing terhadap filem anti - Islam tersebar di internet. Menteri Luar Perancis, Laurent Fabius mengutuk keputusan Charlie Hebdo yang bersifat provokatif dan telah mengarahkan untuk meningkatkan kawalan keselamatan di pejabat diplomatik di negara-negara Islam.

Editor majalah tersebut, pada asalnya seorang kartunis yang menggunakan nama Charb, nafi melakukan provokasi terhadap perkara tersebut.

"Ia adalah satu kebebasan akhbar, adakah ia satu provokasi?" katanya.

"Saya tidak menyuruh masyarakat Islam untuk membaca Charlie Hebdo, seperti mana saya tidak akan pergi ke masjid untuk mendengar khutbah, mendengar perkara yang saya sendiri tidak percaya," katanya.

Seorang imam besar masjid di Paris, Dalil Boubakeur menyeru empat juta umat Islam di Perancis agar bertenang.

"Ia adalah satu kekeliruan, kesedihan dan kebimbangan yang telah saya lalui, di mana ia menambah lagi kemarahan umat Islam yang berlaku sekarang di seluruh negara Islam," kata beliau.

"Saya merayu kepada mereka agar untuk tidak mencurah minyak dalam api yang sedang marak," katanya.

Majlis Islam Perancis turut memohon umat Islam agar bertenang.

sumber- Sinar

Tragedi Kanibal, Uruguayan Air Force Flight 571

Tragedi Kanibal

Pada tanggal 13 Oktober 1972, pasukan ragbi Kolej Stella Maris sedang dalam perjalanan dari Monteviedo, Uruguay ke Santiago, Chile untuk bertanding dalam satu perlawanan ragbi. 

Namun, malang tidak berbau apabila pesawat yang mereka naiki terhempas di puncak gunung antara Chile dan Argentina akibat cuaca buruk. Kesemua 45 orang penumpang dijangkakan mati setelah operasi pencarian selama 11 hari gagal menemui sebarang jejak. 

Perkiraan tersebut ternyata salah kerana pada waktu itu 29 penumpang masih selamat. Selebihnya mati akibat kesejukan, kecederaan dan pelbagai lagi penyebab. Mereka terpaksa tinggal di atas gunung tersebut selama dua bulan tanpa sebarang sumber makanan. 

Yang ada hanyalah mayat rakan-rakan mereka. Demi melangsungkan hidup, mereka terpaksa memakan daging seorang demi seorang yang meninggal dunia.

Lebih memilukan, ada yang terlebih dahulu mewasiatkan tubuh badan sendiri dijadikan santapan rakan-rakan sebelum meninggal. Dengan erti kata lain, itulah pengorbanan terakhir yang boleh mereka lakukan. 

Pada 23 Disember 1972, hanya 16 orang yang berjaya diselamatkan. Kesemua mereka yang selamat di bawa ke hospital untuk menerima rawatan. Peristiwa ini pernah difilemkan dan mendapat sambutan hangat.

Lelaki bakar seluar dalam demi isteri

bakar seluar dalam

JAKARTA: Seorang lelaki yang kesunyian membakar seluar dalam isteri yang telah berpisah dengannya, dalam satu upacara pelik untuk mendapatkan kembali isterinya, ditahan di Tanah Abang, Jawa Tengah.

Muhammad Ridwan, 38, ditahan kelmarin kerana meletakkan orang lain dalam keadaan bahaya selepas jiran terlihat api di biliknya. 

Mereka kemudian memukulnya sehingga lebam kerana mengesyaki dia mahu membakar bangunan tempat tinggal mereka. 

Ridwan memberitahu polis, jirannya marah dan tidak percaya apabila dia memberitahu mereka dia hanya melakukan upacara mistik untuk mendapatkan kembali isterinya.

Komander Unit Detektif Tanah Abang, Komisioner Widarto berkata, “Dia percaya isterinya, yang keluar rumah selepas mereka bergaduh akan kembali kepadanya sekiranya dia membakar seluar dalam isterinya itu dan menyapu abunya di badan.”

Widarto berkata, kejadian itu berlaku pada kira-kira jam 7.30 malam apabila seorang jiran, Yunita, melihat Ridwan membakar pakaian. 

Dalam keadaan panik, dia terus mengambil sebotol minyak tanah yang disangka air mineral dan menuangkannya ke api. 

“Apabila api itu marak, seorang lagi jiran yang panik menjerit mengatakan Ridwan membakar rumah itu,” kata Widarto. 

Penduduk di Jakarta sangat berhati-hati dengan kebakaran yang selalunya memusnahkan beratus-ratus rumah dalam musim panas yang panjang. 

Kebakaran menjadi isu panas dalam kempen pilihan raya gabenor dan ada di antara mereka menyalahkan penyokong calon yang kalah dalam pusingan pertama undi yang diadakan Julai lalu. 

sumber- Jakarta Post

Bayi, ibu, nenek maut

Cwmbran
ANGGOTA polis menyiasat kebakaran yang disyaki berpunca daripada perbuatan khianat awal pagi semalam.
CARDIFF: Tiga sekeluarga dari tiga generasi, termasuk seorang bayi berusia enam bulan yang baru beberapa hari berada di rumahnya, terbunuh dalam kebakaran disyaki berpunca daripada perbuatan khianat, semalam.

Kimberley Buckley terbunuh bersama ibunya, Kayleigh Buckley, 17, serta neneknya, Kim Buckley, 46, apabila mereka terperangkap dalam rumah semiberangkai yang terbakar di Coed Eva, barat Cwmbran di Wales Selatan.

Keluarga itu dilaporkan sedang meraikan kepulangan Kimberly yang sebelum ini dirawat di hospital kerana lahir pramatang.

Kimberly lahir dengan berat 860 gram adalah anak kembar tetapi pasangannya, Rose seberat 425 gram meninggal dunia dua hari selepas dilahirkan.

Jiran mendengar jeritan Kayleigh meminta tolong kira-kira jam 3.30 pagi semalam ketika rumah berkenaan terbakar. Bomba menemui mayat mereka sejurus selepas dihubungi orang ramai.

Seorang lelaki dikenali penduduk setempat sebagai Carl Mills, 27, ditahan untuk disoal siasat kerana disyaki membakar rumah berkenaan. Mills adalah bekas kekasih Kayleigh yang juga bapa kepada anak kembarnya. 

Jiran berkata, Kim seorang nenek yang penyayang dan begitu teruja menyambut kepulangan Kimberly beberapa jam sebelum kejadian. 

Kain rentang menyambut kepulangan Kimberly turut dinaikkan di rumah berkenaan. Seorang jiran mangsa berkata, keluarga terbabit berulang-alik ke hospital selama beberapa bulan untuk bersama Kimberly.

“Kim begitu tabah memberi apa saja sokongan untuk anak dan cucunya,” katanya. Malah, katanya, Kim juga berhenti kerja bagi membolehkan dia menumpukan sepenuh perhatian kepada mereka. 

“Sebab itu Kayleigh menamakan anaknya Kimberley sebagai menghargai pengorbanan ibunya,” katanya. 

sumber- DM

Makan mee dengan mangkuk kencing

mangkuk hayun

Untuk memakan mi segera, seseorang itu haruslah mempunyai mangkuk. Namun, bukan kesemua mangkuk boleh digunakan untuk memakan mi segera contohnya seperti mangkuk tandas dan juga mangkuk kencing.

Mungkin disebabkan salah faham mengenai mangkuk, seorang lelaki asia telah memakan mi segera dengan menggunakan mangkuk kencing di sebuah tandas awam. Perkara ini agak jijik tetapi melucukan. Nampaknya lelaki tersebut tidak perlu menambahkan rencah perasa ke dalam mi nya. Sebatian mi segera dengan air kencing pasti sudah lebih dari memadai. 

Dua orang lelaki lain yang turut menggunakan tandas yang sama memerhatikan perilaku lelaki tersebut. Mungkin salah seorang dari mereka ada mengatakan, "Mangkuk hayun betullah dia ni!"

Tertuduh kes sumbang mahram rayu jaga isteri

sumbang mahram
Tertuduh mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan merogol anak tirinya berusia 18 tahun.
KUALA TERENGGANU - Seorang pembantu am dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas dakwaan melakukan sumbang mahram dengan anak tirinya pada Jun 2009 dan Mei lalu.

Tertuduh, 55, dari Kuala Berang, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan merogol mangsa yang baru berusia 18 tahun.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh, didakwa pada 15 Jun 2009, kira-kira jam 10 malam, telah melakukan persetubuhan dengan mangsa, 18.

Manakala bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan perbuatan sama di lokasi sama pada 25 Mei lalu lebih kurang jam 5.55 petang terhadap anak sulung kepada empat beradik itu.

Dengan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 376 (B) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman tidak kurang enam tahun penjara dan tidak lebih 20 tahun penjara dan sebatan jika disabitkan kesalahan.

Bagaimanapun, tertuduh yang berbaju lokap mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas kedua-dua pertuduhan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfazliah Mahmud di hadapan Hakim Wan Fadhilah Nor Wan Idris manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, tertuduh merayu mahkamah membenarkan dia diikat jamin dengan alasan dia perlu menjaga isteri pertama yang tidak sihat serta terpaksa menanggung anak-anak yang masih kecil.

Pada masa sama, tertuduh turut berjanji tidak akan sesekali menjejakkan kaki ke rumah isteri keduanya iaitu ibu kepada mangsa selagi kes tersebut masih tidak selesai.

Selepas mempertimbangkan rayuan tertuduh, Wan Fadhilah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM16,000 oleh seorang penjamin dan menetapkan 21 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

sumber- Sinar

Mati terdampar atas batu

Mayat Air Terjun Buntong
Mayat mangsa yang dijumpai dalam keadaan separuh badan terdampar di atas batu di kawasan Air Terjun Buntong, kelmarin.
IPOH - Seorang pekerja kilang ditemui mati dalam keadaan berseluar dalam dengan kesan pukul di kepala dan beberapa bahagian badan di kawasan Air Terjun Buntong, Isnin lalu.

Mangsa, D Raymond Roy, 27, dari Taman Gamelan, Menglembu dijumpai dalam keadaan terdampar di atas batu dengan separuh badannya di dalam air oleh orang awam yang berada ditempat kejadian kira-kira jam 4 petang kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Negeri, Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim berkata, selepas menerima panggilan daripada orang awam berhubung penemuan mayat tersebut anggota dari JSJ Ipoh dan Unit Forensik dikejarkan ke tempat kejadian.

Menurutnya, pemeriksaan awal ke atas mayat pihaknya menemui menemui dua kesan cedera di bahagian belakang dan kepala.

“Selain itu, anggota kami turut menemui pakaian, dompet dan motosikal dipercayai milik mangsa.

“Mengikut siasatan awal, kami mendapati mangsa tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Dzuraidi berkata, keputusan bedah siasat yang diperolehi dari Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) semalam mendapati mangsa mati akibat diketuk dengan objek keras.

“Mangsa dipercayai dipukul di tempat lain sebelum dicampak ke kawasan air terjun tersebut berdasarkan kecederaan yang dialami.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan pihak kami akan meneruskan siasatan bagi mengesan motif kejadian tersebut.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut boleh menghubungi balai polis terdekat,” katanya.

Sementara itu, adik mangsa, D Kumar, 20, ketika ditemui di kelmarin masih terkejut dengan kematian abang sulungnya.

Katanya, beberapa jam sebelum kejadian, abangnya memberitahu dia mahu mengisi minyak motosikal.

“Kemudian saya dimaklumkan polis bahawa mayat abang ditemui di kawasan air terjun di sini,” katanya.

Kumar berkata, sepanjang pengetahuannya, abangnya tidak mempunyai sebarang musuh mahupun terbabit dalam mana-mana kumpulan samseng.

“Dia (abang) seorang yang pendiam dan tidak pernah bermusuhan dengan sesiapa. Oleh itu, saya berharap mereka yang terbabit dalam kes kematian abang saya dapat ditangkap dengan segera,” katanya.

sumber- Sinar

Merogol kerana balas dendam

Keng Ninchu
Keng Ninchu
BANGKOK: Seorang lelaki disyaki perogol bersiri yang mengekori dan mengganggu wanita di perhentian bas, ditahan polis di rumahnya di daerah Bang Khun Thian di sini, semalam.

Menurut polis, suspek, Keng Ninchu, 28 tahun, mengaku merogol beberapa wanita kerana dia marah kerana tidak memiliki wajah menarik dan pernah ditipu oleh wanita sebelum ini. 
Katanya, dia mahu membalas dendam. 

Keng mengaku merogol sekurang-kurangnya 10 wanita dan melakukan gangguan seksual terhadap beberapa wanita lagi, kata polis.

Menurut polis, suspek mensasarkan wanita yang berdiri di perhentian bas pada waktu malam.

Dia akan memilih mangsanya kemudian mengekori mereka untuk memastikan mangsa tiba di tempat yang sama setiap hari. 

Selepas itu, suspek akan bertindak. 

Dia akan berpura-pura menjadi teman lelaki mangsa, kemudian sengaja menarik perhatian orang ramai dengan seolah-olah mereka bergaduh kerana suatu perkara. 

Pada masa yang sama, dia akan mendekati mangsanya sambil menghunuskan pisau ke arah mangsa untuk memastikan mangsa ketakutan dan tidak akan cuba meminta tolong, kata polis. 

Polis berkata, mereka berjaya menahan suspek kerana dia meninggalkan nombor telefonnya kepada seorang daripada mangsanya, dengan harapan mahu meneruskan hubungan cinta. 

Mangsa terus menghubungi polis. 

Polis kemudiannya memasang perangkap. 

Seorang anggota polis wanita ditugaskan untuk berlagak sebagai mangsa, kemudian mengajak suspek keluar untuk temu janji. 

Suspek tiba di tempat yang dijanjikan tetapi enggan keluar dari keretanya. 

Polis yang menunggu, mengekori suspek pulang ke rumah dan terus menahannya. 

Polis berkata, mereka menghubungi semua mangsa dan meminta mereka untuk mengecam suspek, semalam. 

sumber- Bangkok Post

Polis hilang gigi

Polis hilang gigi
RAMPAS...parang dan barangan milik suspek yang menyerang polis.
SUBANG JAYA: Seorang anggota Balai Polis Subang Jaya patah gigi, luka di lengan dan lutut kanan selepas bergelut dengan seorang penjenayah yang cuba menyerangnya dengan parang dalam kejadian di Persiaran Kewajipan berhampiran SS14, di sini, tengah malam semalam.

Dalam kejadian pada jam 12.50 tengah malam, anggota itu yang berusia 20-an bersama empat lagi rakan setugas mengejar tiga suspek lelaki yang menaiki motosikal yang cuba menyamun di SS16, di sini.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, sebelum kejadian, anggota polis berkenaan melakukan rondaan bermotosikal pencegahan jenayah dan pemantauan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) apabila terserempak tiga lelaki mencurigakan.

“Anggota berkenaan menghampiri dua lelaki terbabit yang menaiki satu motosikal, manakala seorang lagi menunggang sendirian untuk membuat pemeriksaan identiti.

“Bagaimanapun, ketiga-tiga suspek memecut motosikal mereka menghala USJ1 menyebabkan anggota polis berkenaan mengejar,” katanya.

Menurutnya, anggota polis berkenaan berjaya memintas sebuah motosikal dinaiki dua suspek sebelum pemboncengnya terjatuh.

“Ketika mengejar, seorang suspek yang membonceng mengeluarkan parang panjang dari dalam bajunya lalu melibas ke arah anggota polis yang menghampiri dengan motosikal.

“Namun, tiba-tiba lelaki terbabit terjatuh dan cuba lari dengan melompat pembahagi jalan menuju SS14, manakala dua rakannya melepaskan diri,” katanya.

Katanya, seorang anggota polis mengejar suspek terbabit dan mengepungnya di tempat kejadian sebelum suspek nekad menyerang dengan parang panjang.

“Anggota polis berkenaan bergelut dengan suspek dan dalam pergelutan itu dia terlepas satu tembakan.

“Tembakan itu mengenai cermin hadapan sebuah kereta yang melalui tempat kejadian, tetapi tidak mencederakan pemandu dan penumpangnya,” katanya.

Yahaya berkata, suspek terbabit diberkas dan dibawa ke Balai Polis Subang Jaya untuk tindakan lanjut, manakala parang berukuran 68.5 sentimeter yang digunakan untuk menyerang polis turut dirampas.

“Siasatan mendapati, suspek berusia 22 tahun berada dalam keadaan khayal ketika kejadian apabila ujian air kencingnya didapati positif dadah jenis syabu,” katanya.

Sehubungan itu, Yahaya meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai dua lagi suspek supaya diminta menghubungi talian 03-78627222 atau balai polis berhampiran.

sumber- HMetro

Bayi mati dalam buaian

Norfahezatul Batrisya
NORFAHEZATUL BATRISYA
ALOR GAJAH - Seorang bayi berusia 4 bulan meninggal dunia di rumah pengasuhnya di sebuah taman di Durian Tunggal, di sini, kira-kira jam 10.30 pagi kelmarin.

Dalam kejadian itu, Norfahezatul Batrisya Shahroniza tidur dalam buaian di rumah pengasuh sebelum disedari tidak bernyawa dalam keadaan basah lencun kerana berpeluh.

Bapa bayi berkenaan, Shahroniza Hashim, 42, berkata, pagi sebelum kejadian, isterinya, Norlela Adam, 28, menyusukan bayi mereka sebelum dihantar ke rumah pengasuh seperti pada hari kebiasaan.

“Kira-kira jam 6.30 pagi, isteri sempat menyusukan bayi kami sebelum keluar bekerja dan menghantarnya ke rumah pengasuh, selang sebuah rumah di taman yang sama kira-kira jam 7 pagi.

"Saya bercuti pada hari berkenaan dan dikejutkan dengan kedatangan pengasuh terbabit dalam keadaan panik memaklumkan keadaan bayi kami yang kelihatan pucat semasa tidur," katanya.

Menurutnya, dia segera ke rumah pengasuh berkenaan dan mendapati anak bongsunya tidur dalam keadaan berpeluh.

"Panik melihat anak yang lemah, ditambah bibirnya yang pucat kebiruan, saya segera membawanya ke Hospital Alor Gajah sebelum memaklumkan kejadian kepada isteri.

"Bagaimanapun, doktor mengesahkan anak saya telah meninggal dunia," katanya.

Shahroniza berkata, biasanya bayinya menangis apabila ditinggalkan di rumah pengasuh tetapi pada hari kejadian, Norfahezatul Batrisya diam sahaja.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan kejadian.

Menurutnya, mayat bayi berkenaan dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat.

"Kami masih menunggu laporan penuh bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

sumber- Sinar

Budak 8 tahun berjihad

Ruqaya
Ruqaya memberi ucapan ketika persidangan di Sydney, Australia.
SYDNEY - Seorang budak perempuan berumur lapan tahun, membuat pengakuan mencintai jihad dan kebangkitan Islam di Syria di dalam satu persidangan Islam di ibu negara baru-baru ini.

Namun, pengumuman dibuatnya telah mengundang rasa kurang senang Australia yang mendakwa Ruqaya menimbulkan kontroversi dalam negara ketika kerajaan sedang berhadapan dengan kesan buruk protes yang berlaku sepanjang minggu lalu.

Menerusi rakaman, Ruqaya dilihat memberi ucapan di hadapan orang ramai semasa berlangsungnya persidangan bertajuk Kebangkitan Islam oleh pengikut Hizb ut-Tharir Australia di Bankstown, selatan ibu negara.

Pihak berkuasa tempatan kini dilapor menjalankan siasatan terhadap identiti kanak-kanak itu yang menggambarkan jihadnya sebagai perjuangan semangat suci bersamaan dengan kebangkitan keganasan di Syria serta masyarakat dunia.

Menurut agensi 9News, dalam video berkenaan Ruqaya mengungkapkan kebangkitan menunjukkan umat Islam dalam keadaan baik dan hidup, sentimennya adalah demi Islam, cintanya hanya untuk jihad selain membuang rasa takut yang sedia ada di dalam dirinya.

"Kita dapat melihat keadaan kanak-kanak seusia saya di jalananan negara bergolak, mereka membahayakan nyawa dengan membawa makanan, air dan ubat untuk ahli-ahli keluarga mereka yang cedera.

"Malah ada sebahagiannya langsung tidak kembali ke pangkuan ibu mereka. Tiada istilah terlalu muda bagi mereka," katanya.

Sementara itu, Menteri Kebajikan Masyarakat dan Keluarga, Pru Goward mengarahkan pihak berkuasa melakukan siasatan mengejut terhadap mana-mana kanak-kanak yang dijumpai terlibat dalam sebarang protes dan tunjuk perasaan di Australia.

"Kita tidak boleh membiarkan kanak-kanak dijadikan alat keganasan untuk apa sahaja perhimpunan dan kita tidak boleh mempergunakan mereka sebagai medium mempromosikan mesej hasutan yang menjurus kepada keganasan," kata dalam 9News. 

sumber- The Mail

Lelaki persenda al-Quran

Lelaki persenda al-Quran
Muhammad Sombhas dibawa ke Mahkamah Tinggi Syariah, semalam.
SEREMBAN – Seorang lelaki dihadapkan di Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam, atas tuduhan mempersendakan al-Quran, menghina Islam dan melakukan perbuatan serta ajaran salah di sisi agama.

Muhammad Sombhas Abdullah, 48, yang menghadapi empat tuduhan, dibawa ke kamar mahkamah oleh penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), kira-kira jam 3 petang.

Tiada pertuduhan dibacakan kerana pihak pendakwaan masih mengumpul bukti dan siasatan kes.

Muhammad Sombhas didakwa atas tiga kesalahan di Mahkamah Tinggi Syariah iaitu di bawah Seksyen 49 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 kerana mempersendakan al-Quran dan hadis, Seksyen 50 enakmen yang sama kerana mencela dan menghina agama Islam serta Seksyen 52 kerana perbuatan dan ajaran salah di sisi Islam.

Pendakwa Syarie, Wan Mohd Helmi Masran memohon mahkamah mengenakan Muhammad Sombhas jaminan RM5,000 bagi setiap tuduhan.

Mahkamah menetapkan 9 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

sumber- Sinar

Ibu mati selamat anak, diserang 20 lelaki

Kalyani Krishnan
Kalyani Krishnan
SUNGAI PETANI – “Saya sudah menetap di sini hampir 28 tahun, namun ini adalah kejadian pertama yang berlaku dalam keluarga kami."

Demikian luahan Thannimalai Muthu, 63, berhubung pergaduhan yang berlaku di hadapan rumahnya, malam kelmarin, dekat Ladang Bukit Lembu yang menyebabkan isterinya, Kalyani Krishnan, 57, maut.

Menurutnya, keluarganya diserang sekumpulan lelaki menggunakan senjata tajam sebelum menetak tiga mangsa sementara isterinya ditembak hingga menemui ajal.

Suspek dianggarkan kira-kira 20 orang menggunakan motosikal dan menaiki kereta menyerang seorang mangsa di hadapan jalan besar dekat Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Tun Sambanthan.

Motosikal turut dibakar.
Motosikal turut dibakar.
Seorang lagi lelaki yang cuba membantu turut ditetak apabila penjenayah melepaskan tembakan ke arah keretanya sehingga terbabas ke pintu pagar sekolah.

Lelaki itu kemudian ditarik keluar oleh penjenayah sebelum ditetak.

Difahamkan, semasa anak lelaki mangsa, Kathiraven, 23, lari pulang ke rumah, Kalyani cuba menghalang penjenayah dari terus menyerang namun cubaannya gagal apabila ditembak.

Kejadian turut menyebabkan beberapa kerosakan lain, termasuk kemusnahan harta benda apabila beberapa motosikal dirosak dan dibakar selain beberapa kereta  memasuki kawasan rumahnya turut dirosakkan.

Menurut Thannimalai, isterinya seorang penoreh getah sementara dia baru sahaja pencen dari melakukan pekerjaan itu dan tidak pernah mengganggu atau bermusuhan dengan sesiapa.

“Kami juga bukan jenis orang yang banyak harta namun tidak sangka boleh menjadi sasaran penjenayah,” katanya.

Kereta dan van di luar rumah jiran mangsa yang rosak berikutan kes itu.
Kereta dan van di luar rumah jiran mangsa yang rosak berikutan kes itu.
Sedang bersembang di luar rumah

“Ahli keluarga mangsa dan jiran semua sedang bersembang di luar rumah secara tiba-tiba nampak dari jauh sekumpulan lelaki sedang menuju ke arah rumah dalam kejadian jam 11 malam.

“Pada masa sama ada yang menjerit supaya masuk ke dalam rumah sebelum terdengar beberapa das tembakan ke udara yang dilepaskan ahli kumpulan terbabit,” demikian luahan jiran mangsa M Munniammal, 42.

Bagaimanapun, katanya, tembakan seterusnya mengenai pipi Kalyani Krishnan, 57, yang ketika itu cuba menghalang ahli kumpulan tersebut dari terus menyerang anak lelaki mangsa.

Akibat tembakan itu, Kalyani rebah dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Anak mangsa serang jiran,  rosakkan kereta, van

Seorang jiran yang mahu dikenali sebagai Subramaniam, 58, berkata, sebaik penjenayah melarikan diri dari lokasi kejadian, anak si mati terus meluru ke arah rumahnya sambil menjerit kenapa tidak sama-sama membantu menyelamatkan keadaan.

“Selepas marah kepada jiran, mereka terus merosakkan sebuah kereta dan van yang di parkir dalam rumah saya sehingga menyebabkan kerosakan,” katanya.

sumber- Sinar

Kereta terbabas, banduan hilang

kereta polis terbabas
KEADAAN kereta polis membawa banduan yang merempuh belakang lori di Jalan Kuantan-By Pass dekat Taman Dato Rashid, Kuantan semalam.
KUANTAN - Seorang banduan yang baru dijatuhi hukuman penjara atas kesalahan dadah bertindak agresif dengan bergelut dan menendang anggota polis yang mengiringinya menyebabkan kereta polis yang mereka naiki terbabas dan merempuh belakang sebuah lori.

Kejadian pada pukul 11.45 pagi di Jalan Kuantan-By Pass dekat Taman Dato Rashid di sini itu menyebabkan tiga anggota polis cedera parah manakala banduan itu pula berjaya melarikan diri.

Anggota polis yang cedera ialah pemandu kereta polis, Konstabel Filyx Lansaver Jinol, 25, Koperal Zulhairi Ramli, 24, dan Koperal Abd. Rashid Ahmad, 51.

Kesemua mangsa yang cedera dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd. Jasmani Yusuff berkata, ketika kejadian, kereta polis berkenaan dalam perjalanan membawa banduan terbabit yang baru dijatuhkan hukuman atas kesalahan mengikut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1953. Mereka bertolak dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuala Berang, Terengganu menuju ke Penjara Penor di sini.

"Sampai di tempat kejadian banduan terbabit, Roslan Ismail, 32, tiba-tiba bertindak agresif dan bergelut dengan anggota polis sebelum menendang pemandu hingga menyebabkan kereta polis hilang kawalan. Kereta itu terbabas dan melanggar sebuah lori rosak yang diletakkan di bahu kiri jalan menghala ke Kuantan.

"Selepas kejadian itu, banduan terbabit bertindak melarikan diri dengan tangan bergari menuju ke kawasan hutan berhampiran taman berkenaan," kata beliau kepada pemberita di sini.

Menurut beliau, seorang saksi yang berada di tempat kejadian cuba mengejar banduan terbabit dan menyuruh banduan itu menyerah diri namun dia tidak mengendahkan arahan itu dan terus menghilangkan diri.

Beliau berkata, pemandu lori berkenaan, Mohd. Zamri Abdul Kadir, 22, yang sedang menggantikan tayar sebelah kiri lorinya yang pancit di situ turut mengalami kecederaan di betis kiri akibat rempuhan kereta polis yang membawa banduan itu.

"Polis kini membuat sekatan jalan di sempadan daerah Kemaman, Maran, Temerloh dan Pekan bagi memburu banduan terbabit," kata beliau.

Polis pada pukul 10.25 malam tadi berjaya memberkas semula banduan itu ketika penjenayah terbabit pergi ke rumah penduduk di Taman Dato Rashid untuk meminta air dengan tangan masih bergari.

Banduan yang berasal dari Terengganu itu dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan sepuluh sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu berkuat kuasa pada 28 Jun lepas.

sumber- Kosmo

Bunuh rakan untuk larikan wang

Bunuh rakan untuk larikan wang
ANGGOTA polis memeriksa sebuah van keselamatan yang terlibat dalam kejadian samun dan bunuh di Taiping semalam.
TAIPING – Seorang pengawal keselamatan yang memaksa rakan setugasnya menggunakan laluan lain ketika hendak pulang ke pejabat rupa-rupanya berniat jahat apabila dia disyaki menembak mati mangsa sebelum lesap bersama wang lebih RM1.2 juta semalam.

Kejadian pukul 3 petang di Jalan Tekah-Aulong berdekatan sebuah pasar raya di sini itu mengakibatkan Hasnol Hafiz Saad, 28, mati akibat terkena empat das tembakan dari jarak dekat di dada. Mangsa ditemui mati di tempat duduk pemandu dengan kecederaan parah di perut, dada, bahu kanan dan betis kiri.

Difahamkan, kejadian berlaku ketika mangsa dan suspek dalam perjalanan pulang selepas memungut wang daripada mesin deposit tunai beberapa buah bank di bandar ini.

Suspek yang dikenali sebagai Mohamad Hafizuddin Zainal Abidin (gambar kecil), 25, yang menghilangkan diri bersama wang dan selaras senapang kini menjadi buruan polis.

Seorang saksi mendakwa, dia melihat suspek melarikan diri bersama beberapa beg mengandungi wang dengan menaiki sebuah kereta Honda Civic hitam yang berada beberapa meter di belakang van keselamatan tersebut.

Kebiasaannya, mereka akan menggunakan Jalan Taman Long Jaafar di Kampung Boyan di sini iaitu hanya sejauh lima kilometer untuk pulang ke pejabat tetapi semalam Hasnol telah dipaksa menggunakan Jalan Tekah-Aulong selepas mengutip wang. Jarak jalan itu kira-kira 10 kilometer dari pejabat mereka.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusof Mohd. Diah berkata, pemeriksaan mendapati enam daripada 13 karung berisi wang lesap.

“Enam karung itu dipercayai mengandungi wang lebih RM1.2 juta dan siasatan awal mendapati bahagian luar van itu tidak mempunyai kesan dilanggar.

“Tempat kejadian bukan laluan yang biasa digunakan untuk pulang ke pejabat selepas mengutip wang. Van itu didapati terbabas di kiri jalan dipercayai akibat tindakan agresif suspek,” kata Yusof yang masih menyiasat jumlah sebenar wang yang dilarikan serta penglibatan individu lain.

Tambahnya, polis kini giat memburu Mohamad Hafizuddin bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Taiping di sini untuk bedah siasat.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping di talian 05-829 1222.

sumber- Kosmo

Janin ditemui di tangga kuarters KLIA

Janin ditemui di tangga kuarters KLIA
SAIFUL NIZAM menunjukkan tempat janin yang ditemuinyadi atas tangga di kuarters KLIA, Nilai.
NILAI - Seorang kakitangan Jabatan Imigresen terkejut apabila menemui janin manusia di tangga tingkat satu sebuah blok kuarters KLIA dekat Nilai semalam.

Saiful Nizam Abas, 40, berkata, dia ternampak janin itu ketika keluar dari rumah berhampiran lokasi kejadian untuk mengambil seorang kanak-kanak yang dijaga oleh isterinya.

"Sebaik sahaja membuka pintu rumah, saya terkejut melihat beberapa tompokan darah di lantai berhampiran tangga untuk naik ke tingkat atas.

"Saya ikut kesan tompokan darah itu sebelum ternampak objek yang bergulung seperti janin manusia," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Katanya, selepas memaklumkan perkara itu kepada jiran, dia kemudian segera menghubungi polis.

Jelasnya, dia difahamkan oleh jururawat Klinik Kesihatan Kuarters KLIA yang tiba di lokasi bagi membantu siasatan, berdasarkan pemerhatian awal ia janin manusia berusia dalam lingkungan tiga bulan.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd. Yusof Awang berkata, polis masih menyiasat kejadian itu dan sedang menunggu keputusan forensik daripada Hospital Tuanku Ja'afar Seremban.

Beliau berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan iaitu menyembunyikan kelahiran dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu, diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai di talian 06-758 3222.

sumber- Kosmo

Hui Yee mati di pangkuan bapa

Tee Hui Yee
DINO Bato Sam bua meratapi kematian anak kesayangannya, Tee Hui Yee di kediamannya di Batu Pahat, Johor semalam.
BATU PAHAT - Selepas lima tahun menikmati kehidupan sebagai insan normal, Tee Hui Yee yang merupakan penerima organ jantung baharu menerusi satu pembedahan maraton pada 2007, meninggal dunia secara mengejut di kediaman ibu bapanya di Kampung Parit Besar di sini semalam.

Gadis berusia 19 tahun itu yang pernah menyentuh hati nurani rakyat Malaysia kerana terpaksa menyorong jantung mekanikalnya yang diletakkan di dalam beg untuk ke mana-mana, disahkan meninggal dunia di pangkuan bapanya, Tee Ah Soon pada pukul 10.02 pagi semalam.

Ibunya, Dina Bato Sam Bua, 51, berkata, anak kesayangannya itu mengadu sakit dada dan bahagian kiri tengkuknya selepas dia keluar makan bersama rakan-rakan di sebuah restoran hidangan kukus berhampiran kira-kira pukul 9 malam kelmarin.

Menurutnya, selepas anaknya muntah, dia bersama rakan baik anaknya, Thong Liew Sze Yun, 17, mengurut badannya perlahan-lahan dan dia sempat menjamah sekeping roti sebelum muntah sekali lagi.

Ketika itu, katanya, dia turut memujuk anaknya itu supaya mendapatkan rawatan di hospital malam kelmarin tapi anaknya itu enggan kerana beranggapan dia hanya diserang gastrik.

"Saya mula cemas apabila melihat anak bongsu daripada empat beradik itu menggigil dan kedua-dua tangannya kejang kira-kira 9 pagi semalam sebelum menjerit memanggil bapanya, Tee Ah Soon," katanya ketika ditemui di pusat persemadian di Jalan Fatimah di sini.

Sementara itu, Ah Soon berkata, isterinya itu cuba mengurut mendiang tetapi tidak berhasil malah situasi anaknya itu makin teruk sehingga dia terpaksa membuat bantuan pernafasan dari mulut ke mulut (CPR) selama 10 minit tetapi masih tidak berjaya.

"Saya sempat mendengar nafas terakhirnya sebelum dia kelihatan kaku lalu menyebabkan saya bergegas membawanya ke Hospital Batu Pahat.

"Doktor tidak memberitahu kami punca kematiannya sama ada ia berkaitan dengan jantung atau tidak," kata pekebun sayur itu.

Kisah Hui Yee yang menderita sakit jantung sejak berusia dua tahun mendapat liputan meluas media apabila terpaksa bergantung nyawa selama setahun dengan jantung mekanikal sebelum menjalani pemindahan jantung pada Oktober 2007.

sumber- Kosmo

China mahu berunding isu pulau

China mahu berunding isu pulau
BEBERAPA anggota polis mengawal sejumlah penunjuk perasaan anti-Jepun di sebatang jalan raya menuju ke Pejabat Konsulat Jepun di Shanghai semalam.
BEIJING - China mahu berunding bagi menyelesaikan pertikaian dengan Jepun berhubung tuntutan bertindih ke atas beberapa buah pulau tetapi akan mengambil 'tindakan susulan' sekiranya rundingan itu gagal, kata Menteri Pertahanan, Liang Guanglie semalam.

"Kami berhak mengambil tindakan susulan walaupun kami berharap dapat menyelesaikan isu ini menerusi rundingan secara aman," Guanglie dipetik sebagai berkata oleh media China selepas berunding dengan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Leon Panetta di sini semalam.

Pada pertemuan mereka, Guanglie dan Panetta membincangkan tentang kepulauan yang dituntut oleh kedua-dua Beijing dan Tokyo yang dikenali sebagai Diaoyu di China serta Senkaku in Jepun.

Panetta turut menggesa China supaya meningkatkan hubungan ketenteraan dengan AS bagi mengurangkan risiko konfrontasi ketika kedua-dua buah kuasa besar itu bergelut dengan isu pertikaian wilayah antara Tokyo dan Beijing.

Isu tersebut timbul selepas kerajaan Jepun membeli tiga daripada empat pulau kecil itu daripada beberapa pemilik persendirian pada minggu lalu sekali gus mencetuskan bantahan anti-Jepun di beberapa buah bandar di China.

Kepulauan tersebut turut dituntut oleh Taiwan.

Dalam perkembangan berkaitan, lebih 100 aktivis Taiwan membakar bendera Jepun pada tunjuk perasaan di pusat bandar di sini semalam.

Tunjuk perasaan bagi menyokong kerajaan Jepun berhubung isu pulau tersebut turut diadakan di Tokyo semalam.

Perkembangan itu berlaku ketika 11 kapal China memasuki perairan sekitar kepulauan berkenaan semalam beberapa jam selepas dua aktivis Jepun berenang ke sebuah pulau tuntutan bertindih tersebut.

Kapal-kapal itu tidak memasuki wilayah Jepun tetapi berlabuh di perairan yang dikenali di bawah undang-undang maritim antarabangsa sebagai zon persempadanan.

Sementara itu, beribu-ribu penduduk China menyertai beberapa bantahan semalam bagi memperingati insiden yang mencetuskan pencerobohan Jepun di timur laut China pada 1931.

Penunjuk-penunjuk perasaan di sini membawa sepanduk dan melaungkan slogan supaya memboikot barangan dan mengebom Jepun semasa mereka diiringi oleh sejumlah anggota polis beruniform dan berpakaian awam.

Beberapa penunjuk perasaan membaling botol air plastik, telur, tomato dan pelbagai benda lain ke arah Kedutaan Jepun semasa mereka berarak melepasi halangan pihak berkuasa. 

sumber- Agensi

Psy ucap terima kasih kepada peminat

oppa gangnam style
PSY (kanan) menari tarian kuda ketika dia membuat persembahan untuk program televisyen Today di New York pada 14 September lalu.
SEOUL - Artis rap terkenal Korea Selatan, Psy semalam mengucapkan terima kasih kerana muzik video Gangnam Style telah ditonton lebih 200 juta kali di YouTube.

Lagu itu turut mengungguli carta muzik iTunes di Amerika Syarikat (AS) pada Sabtu lalu.

"Mendapat 200 juta tontonan, terima kasih semua," kata Psy di laman Twitternya.

Populariti Psy melonjak selepas muzik videonya yang menampilkan dia menari tarian kuda dimuat naik pada Julai lalu.

Penyanyi berusia 34 tahun itu baru-baru ini membuat persembahan pada Anugerah Muzik Video MTV dan diundang menghadiri beberapa rancangan bual bicara di AS.

Psy atau nama sebenarnya Park Jae-sang turut menandatangani kontrak dengan syarikat pengurusan yang turut menguruskan bintang pop remaja, Justin Bieber ekoran populariti tarian kudanya.

Muzik video Baby oleh Bieber, 18, kini ditonton hampir 800 juta kali di YouTube. 

sumber- Agensi

Lelaki Korea Selatan bermekap untuk kerjaya

lelaki bersolek
GIL-NAM mencari produk penjagaan kulit di sebuah kedai di Seoul pada 10 Ogos lalu.
SEOUL - Jika dahulu, pemakaian mekap sinonim dengan kaum wanita namun kini semakin ramai lelaki di Korea Selatan gemar bersolek bagi membantu mereka berjaya dalam kerjaya yang diceburi.

Seorang pelajar sebuah pusat pengajian tinggi di sini, Cho Won-hyuk berkata, dia akan menggunakan bedak dan celak pada setiap pagi sebelum keluar rumah.

"Memiliki wajah bersih dan licin membuatkan anda kelihatan memiliki penjagaan diri yang baik," kata pelajar kolej berusia 24 tahun tersebut.

Seorang lelaki lain, Cho Gil-nam memberitahu, dia akan bersolek pada setiap pagi selepas mencuci dan memakai krim pelembap pada wajahnya.

Bekerja sebagai seorang penyiasat insurans di sini, lelaki berusia 27 tahun itu berkata, dia turut membawa kotak mekap untuk digunakan di dalam tandas awam bagi memastikan wajahnya kekal bersih dan licin sepanjang hari.

Mengulas fenomena yang kini melanda lelaki Korea Selatan, pakar kajian Korea di Universiti Nasional Australia, Roald Maliangkay berkata, kecantikan diri penting di negara berkenaan kerana ia menjadi penanda aras kejayaan seseorang lelaki.

"Bagi masyarakat Korea Selatan, gambaran pertama amat penting. Kulit seseorang lelaki memainkan peranan utama tentang gambaran itu," kata seorang pelajar berusia 20 tahun, Kim Deuk-ryong yang sependapat dengan Maliangkay. 

sumber- AP

Pejabat penunjuk perasaan separuh berbogel di Paris

Pejabat penunjuk perasaan separuh berbogel di Paris
SEORANG wanita memotong reben dengan menggunakan gergaji di pintu ibu pejabat Femen di Paris semalam.
PARIS - Ibu pejabat kumpulan pembela wanita, Femen yang terkenal dengan anggota-anggotanya mendedahkan payu dara dibuka secara rasmi di sini semalam.

Beberapa acara diadakan sempena majlis perasmian itu di sebuah bekas pawagam yang diubah suai menjadi ibu pejabat kumpulan tersebut.

Antara acara itu ialah perarakan anggota-anggota kumpulan tersebut yang berjalan dengan mendedahkan payu dara mereka.

Pertandingan menggunakan gergaji rantai dan membaling pai turut diadakan.

Sejumlah anggota kumpulan tersebut hadir pada majlis perasmian itu tanpa memakai baju.

Kumpulan tersebut terkenal dengan perjuangan menentang diskriminasi terhadap wanita.

Anggota-anggota kumpulan itu pernah mengadakan tunjuk perasaan dengan mendedahkan payu dara mereka di beberapa buah bandar raya di dunia. 

sumber- Agensi

Elmayan jadi pemain tenis tertua dunia

Artin Elmayan
Artin Elmayan
BUENOS AIRES, Argentina - Seorang lelaki, Artin Elmayan menjadi pemain tenis tertua di dunia pada usia 95 tahun.

Dilahirkan di Armenia, Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF) menyenaraikan Elmayan sebagai pemain ranking yang ke-26 dalam kategori pemain tenis berusia lebih 85 tahun.

Setakat ini, hanya terdapat 39 lelaki dalam senarai ITF itu dengan tiga daripada mereka warga Argentina dan cuma Elmayan yang lahir sebelum tahun 1920.

Pemain tenis berusia 91 tahun dari Poland, Eugeniusz Czerepaniak merupakan pemain kedua tertua diikuti pemain Australia berusia 90 tahun, Neville Halligan.

"Saya biasanya akan bermain menentang pemain berusia 85 tahun kerana tidak ramai yang berumur 90 tahun," kata Elmayan.

Menurutnya, permainan tenis membantu mengurangkan masalah kolesterol dan mengelak tubuh menjadi gemuk.

sumber- Reuters

Orang utan hidap kanser dirawat seperti manusia

Orang utan hidap kanser dirawat seperti manusia
ORANG utan yang bernama Peanut dirawat di Pusat Kanser Menyeluruh Sylvester di Miami pada 5 September lalu.
MIAMI - Seekor orang utan betina bernama Peanut di Amerika Syarikat (AS) menjalani rawatan kanser yang sama seperti manusia.

Empat hari lalu, orang utan berusia lapan tahun itu menjalani rawatan kemoterapi di Pusat Kanser Menyeluruh Sylvester di sini selepas ia disahkan menghidap kanser darah.

"Saya belum pernah diselubungi perasaan bimbang seperti ini," kata Joseph Rosenblatt salah seorang doktor yang merawat Peanut.

Peanut bukan satu-satunya orang utan yang menerima rawatan kanser seperti manusia.

Pada tahun 2000, seekor orang utan yang menghidap kanser di Zoo Nasional di Washington telah menjalani pembedahan untuk membuang tumor pada usus haiwan itu.

Namun, berbeza dengan beberapa kes lain, Peanut masih muda dan berpeluang untuk hidup lama selepas menjalani rawatan. 

sumber- AP

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...